30 April 2009

Pengumuman Cuti : Europe Trip Siri 3

InsyaAllah kami ke Prague, Republic Czech bermula 1 Mei hingga 3 Mei. Saya tinggalkan anda dengan beberapa entri. Jumpa lagi!


28 April 2009

Akibat Buta Bahasa


Achtung!!! Achtung!!!
Am Montag, dem 27. April, fällt die 1. Stunde aus.
Unterrichsbeginn : 8.55 Uhr

Di sini, Hardy ada buku komunikasi antara guru dan ibubapa. Setiap kali balik sekolah, guru akan mencatatkan apa-apa mesej yang ingin disampaikannya kepada ibubapa sama ada kerja sekolah, aktiviti luar, pencapaian anak, tingkahlaku dan emosi anak yang mungkin perlukan perhatian dan galakan ibubapa (di Malaysia saya sudah buat tapi maklumbalas dari ibubapa mengecewakan saya). Jadi setiap kali balik sekolah, saya akan tanya Hardy jika gurunya ada mencatatkan apa-apa. Selalunya saya akan ke google translate untuk menterjemahkan mesej guru tersebut. Tetapi minggu lepas kerana malas hendak bangun dari sofa, saya terjemahkan saja sendiri ikut pemahaman saya. Berikut adalah terjemahan saya mengikut 7 bulan pemerhatian tinggal di Jerman:

Hati-hati! Hari Isnin, 27 April, tangga akan dibaiki selama sejam bermula jam 8.55 pagi.

Hardy bertanya dengan hairan. "Ya ke mama?" Saya yang malas hendak ke komputer berkata, "Nanti bila abah balik, kita tanyalah." Si anak yang patuh pada si ibu kelihatan terangguk-angguk walaupun dia kelihatan tidak percaya dengan jawapan si ibu.

Bila abang balik petang itu, Hardy terus membawa buku komunikasi itu kepada abahnya. Ini terjemahan abahnya.

Perhatian! Hari Isnin, 27 April, kelas akan ditunda selama 1 jam. Kelas akan bermula jam 8.55 pagi.

Hardy berkata, "Ya ke abah? Mama kata lain." Dia melaporkan dengan wajah yang berkerut. Abahnya bertanya "Mama kata apa?" Hardy jawab, "Mama kata hati-hati naik tangga sebab ada orang nak baiki tangga. Tapi Aid tengok, orang tu baiki pagar."

Abang yang berada di dalam bilik terus datang kepada saya yang sudah terkekeh-kekeh ketawa seorang diri mendengarkan perbualan dua-beranak itu. Ini bukan kali pertama saya melakukan kesalahan kerana sebelumnya angkara tidak mahu melihat kamus, saya tidak membekalkan Hardy dengan makanan semasa dia ke Muzium Coklat kerana apa yang saya faham, wang Euro 3 yang diminta guru termasuk yuran masuk ke muzium dan sarapan pagi.

Itulah natijahnya kalau tak tahu tapi buat-buat tahu. Pengajarannya selepas ini, saya akan sentiasa melihat kamus dan google translation. Hendak ke kelas bahasa, saya asyik bertangguh. Sebenarnya saya rasa, saya bertangguh kerana saya memang tidak minat belajar bahasa sejak dari dulu lagi. Mujurlah saya boleh berbahasa Melayu....itupun bukanlah begitu baik. Di sana sini compang-camping. Perbendaharaan kata pun macam tak cukup-cukup....Mujurlah dengan bahasa Melayu yang koyak-rabak itu boleh juga saya menulis 3 buah buku dan blog yang merapu-rapu....

27 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland IV - The Hague

Sebelum singgah ke Rotterdam, kami mengambil peluang untuk ke Den Haag, tempat di mana telah mencatat pelbagai peristiwa bersejarah. Kami ke International Court of Justice, ataupun Mahkamah Keadilan Dunia, The Hague. Mahkamah yang dibina pada tahun 1945 ini oleh PBB antara fungsinya menyelesaikan pertikaian antarabangsa.Di sini telah terlakar banyak sejarah yang melibatkan negara kita. Antara yang masih segar dalam memori kita tentulah pada 23 Mei 2008 ICJ telahpun memutuskan Pulau Batu Puteh, Pedra Branca yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura diputuskan kepada negara Kota Singa itu dan memberikan Pulau Batu Tengah, Middle Rocks kepada kita.

The Flames of Justice, melambangkan semangat dan cahaya keadilan tidak akan terpadam dari dunia ini. Tetapi sayangnya nama Israel tercatat sebagai negara yang diiktiraf oleh ICJ ini tetapi nama Palestin tiada. Sayang seribu kali sayang dan entah bila agaknya nama Palestin akan diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

Di mana keadilan? Di sinilah keadilan? Agaknya itulah yang sedang dilaungkan Hardy di dalam hatinya. Kami sentiasa berdoa semoga dunia akan sentiasa aman dan tenteram kerana peperangan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.

23 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland III - Amsterdam

Hari kedua kami di Amsterdam dimulakan dengan berjalan-jalan di kawasan Rijksmuseum yang terkenal itu. Kami mencari landmark Iamsterdam yang besar untuk bergambar sebagai tanda kami sudah sampai ke sini. Bila sudah berjumpa, kami menunggu tram untuk ke Schiphol Centraal. Disebabkan kami ni sarat dengan beg dan stroller maka, kami ditinggalkan tram. Hanya Emy dan Naz yang dapat masuk ke dalam tram maka kami terpaksa menunggu tram berikutnya. Pengalaman menggunakan pengangkutan awam di sini, pemandu tidak menunggu penumpang. Mereka hanya berhenti bagi penumpang masuk dan turun, saya kira cuma 1 atau 2 minit sahaja. Jadi sekalipun anda sudah beratur tetapi melepasi masa yang ditetapkan untuknya berhenti, anda terpaksa menunggu tram yang lagi satu.




Iamsterdam giant!
Saya juga mendapati keretapi di sini tidak mesra OKU. Bermaksud, OKU tidak boleh menaiki keretapi jika berjalan bersendirian kerana ia bertangga. Ini mungkin disebabkan keretapi penumpang mereka sudah berusia berpuluh tahun berbanding dengan keretapi yang digunakan di Berlin. Patutlah saya tidak nampak OKU berjalan sendirian sebagaimana di Berlin. Bagi yang membawa stroller seperti saya, memang bermasalah kerana terpaksa mengangkat berdua stroller tersebut disebabkan tangga keretapi atau tram. Bagi bas, alhamdulillah, ruang untuk OKU dan kanak-kanak ada disediakan.

lagi sekitar Iamsterdam
Kami ke check in di hotel dan kemudian menunggu bas untuk ke Keukenhof. Selepas 5 jam di sana, Emy, Naz juga Raja mahu terus pulang ke hotel sedangkan kami masih mahu berjalan-jalan di kotaraya Amsterdam. Jadi kami menaiki keretapi ke Amsterdam Centraal menggunakan tiket semalam yang masih sah digunakan kerana sah selama 24 jam. Inilah gambar-gambar yang sempat kami rakam semasa di Amsterdam.


satu terusan
anak-anak jadi pilot di KLM store
Amsterdam kota raya yang dikelilingi air maka di mana-mana anda akan nampak terusan dan bot-bot menyusuri kotaraya yang sibuk dengan basikal ini. Di mana-mana orang lebih gemar berbasikal dari menaiki kereta. Saya menggeleng kepala bila melihat ada antara basikal yang terpakir sama tua dan sama uzurnya dengan basikal arwah Tok Wan saya tetapi masih digunakan. Orang kata, selagi boleh bergerak, selagi itulah khidmatnya digunakan. Kalau buang dalam laut, belum tentu ikanpun berminat hendak buat tempat bermain-main kerana sudah berkarat serba-serbi. Tetapi itulah yang membuatkan saya kagum. Saya rasa itulah mengapa bandaraya Amsterdam sentiasa bersih, tenang dan subur. Basikal yang terpakir seluas mata memandang. Kalau senang nak dibayangkan, bayangkan motorsikal yang terpakir kat tempat parkir semasa mahasiswa sudah masuk ke dalam dewan peperiksaan!

Hard Rock Cafe, Dam Square, Rijksmuseum, Magna Plaza

Saya terbaca artikel di surat khabar semasa saya berkunjung di Gent. Wartawan Malaysia itu berpeluang bersiar-siar di Amsterdam. Tetapi sekalipun beliau mengagumi bumi Tulip ini, tetapi beliau komplen harga barangan/makanan di sini yang mahal. Yelah, memanglah mahal jika ditukar ke RM. Menurutnya 1 botol air mineral bila ditukar ke RM menjadi RM30. Aduhai! Itulah nasib kita kalau nilai duit kita rendah terpaksa pula pergi ke negara orang yang duitnya mahal dari kita.

Itu saja catatan saya di Amsterdam. Saya hanya ada 2 hari di sini kerana esoknya pagi-pagi kami sudah menaiki keretapi ke Rotterdam. Jika ada masa, boleh saja berkunjung lagi ke sini.

22 April 2009

Leazes Park, Newcastle

Pertemuan yang tidak diduga, menggamit semula apa yang sedaya upaya dilupakan bagi Ainnur Azleen tetapi bagi Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Redza ia sekadar untuk melengkapkan sebuah kisah yang tidak sudah....

Menjelang 1 Mei 2009

Tak sampaipun 10 hari lagi, saya dan suami tercinta akan menyambut ulangtahun perkahwinan yang ke 9. Pejam celik dah 9 tahun kami berumahtangga. Rasa macam baru semalam Kadhi bertanyakan kepada saya setuju atau tidak dinikahkan dengan dia. Rasa macam baru semalam kami berpeluh di depan Kadhi menjawab macam-macam soalan yang ditanya. Hehe. Bila diingat, memang banyak kenangan antara saya dan dia... Kami berdua telah menempuh macam-macam dugaan sebelum dan selepas berumahtangga. Alhamdulillah sehingga kini kami masih teguh bersama dengan 2 hero yang gagah perkasa. Pada usia 32 tahun, saya sudah ada anak berusia 8 dan 3 tahun! Macam tak percaya!


Kami bernikah pada 1 Mei 2000 bersamaan 27 Muharram 1421H. Tarikh tu dipilih antaranya kerana ia mudah diingati. 1500. Ia akan berganda setiap tahun menandakan bilangan tahun perkahwinan kami. Tahun ini 1.5.09 bermakna 9 tahun usia perkahwinan kami. Mudah nak ingat tak payah susah nak bilang dengan jari. Tarikh itu amat bermakna buat kami dan kami abadikan di setiap nombor pendaftaran kenderaan kami. Jadi kenderaan kami mesti ada 1500 di belakangnya. Dan yang baiknya, setiap tahun tarikh itu semua orang akan bercuti sempena Hari Buruh. Jadi kalau hendak bercuti untuk meraikan ulangtahun perkahwinan mudah bagi kami!



Menjelang 1 Mei 2009, seperti selalu saya sedang tercari-cari hadiah dan kejutan untuk dia (walaupun selalunya dia yang selalu kejutkan saya dengan hadiah dan agendanya). Saya sentiasa berdoa semoga dipanjangkan umur saya dan dia, jodoh saya dan dia kerana kami ingin menunaikan janji - untuk melalui hari tua bersama. Doakan semoga perkahwinan kami sentiasa berada dalam peliharaan Allah Yang Maha Berkuasa. Amin.

19 April 2009

Back to Bisness

Mabuk tidur sudah pun berakhir, abangpun dah balik dari Geneva, sekolahpun sudah hendak dibuka esok, jadi sudah masanya saya kembali ke rutin. Menulis CPK? Semalam sudahpun 4 mukasurat, maksudnya sudahpun ada perkembangannya. Selepas ini, insyaAllah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya kerana seperti orang lain, saya juga hendak tahu sangat, bagaimana sudahnya saya mengakhirkan novel ke 4 saya ini...

Jadi hari Ahad yang santai-santai ini, sambil menikmati Cordon Bleu (masakan Turki yang dibalut dengan daging dan sos putih), saya dan abang akan menonton filem The Reader dan James Bond-Quantum of Solace. Sudah lama kami tidak menonton bersama, inilah harinya telah tiba...back to bisness, back to normal life....


15 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda (Holland) I - Volendam

Perjalanan kami bermula seawal 6.30 pagi pada 4 April 2009 tetapi matahari sudah menunjukkan wajahnya di kaki langit. Syuruk memang awal kerana kami sudah meninggalkan Winter. Cuaca tidaklah sejuk sangat, sekitar 18 darjah tetapi angin pagi yang bertiup membuatkan sesekala kami terasa kesejukan. Kami menaiki kapal terbang tambang murah Transavia milik Belanda dari lapangan terbang Tegel, Berlin.

Sekalipun tambang murah, kami dibawa menaiki bas untuk ke tangga pesawat sedangkan perjalanannya memang terlalu dekat. Tidak seperti Air Asia yang kebanyakan pesawatnya jauh dari balai menunggu menyebabkan kita terpaksa menapak agak jauh.

Masuk ke dalam kapal terbang, sekali lagi kami dipertontonkan dengan kecanggihan pesawat yang lengkap dengan skrin tv. Ternyata Transavia tidak seperti pesawat tambang murah lain seperti Ryan Air contohnya.

di dalam pesawat Transavia

mini Keukenhof di Schiphol Centraal
Kami tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam kira-kira satu jam setengah selepas itu. Lapangan terbang yang sibuk ini memang luas dan besar. Kami berjalan jauh juga sebelum ke tempat mengambil bagasi. Mujurlah kemudahan seperti laluan escalator dan deretan kerusi menunggu yang banyak dapat membantu keselesaan pengguna.

Setelah menyimpan beg di tempat simpanan beg, kami mengambil keretapi ke pusat bandaraya Amsterdam. Yang tak bestnya tambangnya agak mahal iaitu kira-kira Euro7 pergi-balik dan semasa di dalam bandaraya, kami kena membeli tiket lain pula untuk menggunakan kenderaan awam di sana. One Day Ticket berharga sekitar Euro7 dan harga untuk ke tempat-tempat lain di luar bandaraya Amsterdam harganya lain pula.

Petang itu, kami merancang ke Volemdam untuk melihat kebudayaan Belanda dan kincir angin. Jadi kami terpaksa membayar Euro7 lagi untuk ke sana!



di hadapan Amsterdam Centraal

rombongan Cik Kiah di Volendam


Volendam memang kawasan tarikan pelancong di Amsterdam tetapi ramai yang tidak mengetahuinya. Perjalanan ke sana memang cantik diliputi kawasan rumput hijau dan sungai-sungai, binatang ternak seperti kuda dan biri-biri, juga rumah-rumah tradisi yang cantik. sepanjang perjalanan saya memang begitu asyik dengan pemandangannya. Di dalam hati, saya berasa begitu bersyukur kerana dapat juga menjejakkan kaki ke bumi Belanda ini.

Alkisahnya dolu-dolu semasa ditanya cik abang negara mana saya paling teringin hendak menjejakkan kaki, saya menjawabnya dengan spontan Belanda. Bila ditanya mengapa, saya katakan kepada dia yang cikgu saya pernah cerita masa di sekolah bahawa akibat perubahan cuaca dan pemanasan global, suatu hari nanti ada beberapa negara yang akan lupus dari peta dunia dan negara baru akan muncul. Negara yang akan lupus itu antaranya ialah Belanda kerana kedudukannya berada di bawah paras laut. Jadi kerana itu saya bercita-cita sejak kecil hendak ke Belanda dan alhamdulillah cita-cita itu akhirnya terlaksana juga....

Di Volendam, kami menikmati pemandangan kapal-kapal layar yang berlabuh. Kawasan ini memang cantik dan bersih. Ia adalah sebuah perkampungan nelayan.Gerai-gerai menjual cenderahati juga berderetan. Paling istimewa, walau harga barangan yang anda beli itu hanya Euro1, tuan kedai berbesar hati membalutnya dengan kertas hadiah untuk anda. Saya tidak sempat mengambil gambar dengan berpakaian Deutch kerana ketika itu Hakimy sedang tidur.


Kami pulang tanpa dapat bergamar di hadapan kincir angin kerana bas tidak boleh berhenti di kawasan kincir angin yang ada di hadapan jalanraya itu. Kami pulang ke hotel dan malam itu saya benar-benar keletihan!

Pesta Buku Kuala Lumpur 2009 Datang Lagi!


Pesta Buku tahun ini akan bermula pada 17-26 April 2009. Masuk tahun ini dah 2 tahun saya tidak berada di meja penulis menandatangani autograf di novel. Tetapi kemeriahan Pesta Buku masih terngiang-ngiang dan terasa. Ketika inilah peminat buku dari seluruh pelusuk Malaysia akan datang berduyun-duyun ke PWTC, sesaknya hingga bersentuh bahu. Kalau nak bawa stroller dan budak kecil, memang akan menyusahkan...apatah pula yang memandu kereta. Mencari parkir pasti sudah membuang banyak masa. Komuter dan LRT juga ada cerita sendiri....

Masih ingat lagi, jika sebelum bergelar penulis, saya ke Pesta Buku untuk membeli koleksi novel-novel kegemaran saya. Biasanya saya sudah ada senarai novel yang akan saya beli yang sudah dibuat awal-awal lagi. Saya jarang dapat tandatangan penulis kerana saya biasanya akan pergi pada hari bekerja untuk mengelakkan kesesakan dan penulis pula biasanya ramai pada waktu hujung minggu. Bagi saya jika hendak membeli buku, saya harus membeleknya lama hingga dapat 'rasa'. Bila sudah puas hati baru saya beli (walaupun memang buku itu sudah awal-awal lagi ada dalam senarai saya). Kalau orang ramai, tentu susah saya hendak membelek-belek.

Bila sudah ada novel sendiri, biasanya saya akan pergi ke PWTC berkali-kali memenuhi jadual bertugas yang telah disediakan Penerbit. Di sana saya gembira kerana selain dapat berjumpa peminat buku secara bersemuka, saya akan dapat mendengar komen mereka secara spontan. Selain itu apabila bertemu dengan teman penulis, kami akan bertukar-tukar cerita. Semuanya saya kumpulkan dan simpulkan supaya saya dapat memperbaiki hasil penulisan saya pada masa akan datang.

Tahun ini, saya di sini. Tahun depan, belum tentu lagi saya akan berada di PWTC ketika berlangsungnya Pesta Buku nanti. Doa dan harapan saya semoga penulis dan peminat buku akan dapat mencapai matlamat masing-masing semasa di sana.

Untuk mengetahui jadual penulis bertugas sila layari :
http://www.alaf21.com.my/buletin_isnin/pestabuku%20&%20pameran/pestabukupwtc2009/jadual%20writer.html

dan http://cesb.net.my/main/

Selamat Berpesta!

14 April 2009

KEMBARA EROPAH: Satu pengembaraan yang manis, indah dan segar

Bak bunga-bungaan tulip yang kembang mekar di Keukenhof, begitulah rasanya percutian saya kali ini ke Belanda, Belgium dan Peranchis.. 10 hari memang lama dan penuh dengan kenangan... Kami berada 2 hari di Amsterdam, 1 hari di Rotterdam (terima kasih kepada Dina-Ross) sebelum ke Brussels, Gent (terima kasih kepada Natrah) dan Brugge (2 hari) dan akhirnya ke kota Paris (terima kasih abang Yusri) selama 4 hari.

Sudah Kembali ke Berlin

Alhamdulillah kami sekeluarga telah selamat pulang ke Berlin pagi tadi jam 10 pagi... Penat sangat setelah mengembara selama 10 hari...merentasi 4 negara dengan kapal terbang, keretapi dan bas... ops bas? silaplah, kami ketinggalan bas semasa di Gent, Belgium....satu pengalaman yang mencemaskan dan penuh cabaran! Tunggulah cerita saya nanti kerana buat masa ini saya sedang mabuk tidur sebab jauh sangat berjalan, tapak kakipun dah bertmbah 'luas'....Jumpa nanti!

04 April 2009

Pengumuman Cuti : Europe Trip Siri 2

Salam semua. Saya akan bercuti ke Amsterdam, Brussels dan Paris bermula hari ini hingga 12 April nanti. Semoga bertemu kembali!

Alhamdulillah...

Abang sudah selamat sampai malam tadi jam 8 malam waktu Jerman bersamaan 2 pagi waktu Malaysia. Sampai kat pintu depan, si Hakimy beria-ia berlari memeluk abahnya....Tak sangka, dalam tidak suka nak bercakap di telefon sepanjang abahnya di Malaysia selama 6 minggu, dia memeluk dan mencium abahnya bersungguh-sungguh. Saya dan Hardy hanya tergamam di muka pintu melihatkan aksi spontannya....

02 April 2009

Berdoalah...


Inilah harinya, saya, anak-anak dan si dia akan dipertemukan kembali, InsyaAllah....Doakan semoga segalanya berjalan dengan lancar, InsyaAllah...

Ku Bukan Superstar



Kejap tadi semasa sedang tension kerana sedang berperang dengan manuskrip, teman saya Emy telah memberitahu sedang menonton video klip Band Projek Pop dari Indonesia yang katanya kelakar. Jadi saya tanpa membuang masa terus ke You Tube untuk menontonnya. Saya dah pernah dengar lagu ini yang diputarkan Hotfm baru-baru ini.

Tengok video klip memang kelakar tapi masalahnya saya ini bukannya orang Indonesia jadi saya tidak faham sangat lirik lagunya kerana ia dinyanyikan secara laju. Jadi terpaksalah buat kajian sikit, cari liriknya dan bila dah dapat barulah puas hati.

Ya! Saya juga bukan superstar. Saya juga bukan siapa-siapa. Saya hanya insan yang ingin dicintai.... Layanzzzzzzzzz. Jangan sampai tidur pulak...

01 April 2009

Telefon Bimbit : Bolehkah bawa ke sekolah?

Dengar Hotfm hari ni... Kieran bagi topik ini dan saya rasa seronok juga kalau dibuat entri kali ini. Mari kita senaraikan kebaikan dan keburukannya jika dipraktikkan;

Baik
1. senang nak telefon ibubapa
2. senang ibubapa nak telefon anak
3.kalau kecemasan lagi berguna almaklumlah telefon awam sekarang bukan boleh dipercayai sangat. Masa kita nak gunalah ia nak buat perangai.
4.boleh ambil gambar untuk projek folio sekolah
5.boleh dengar lagu dan main game sambil tunggu bas


Buruk
1.telefon hilang akan nyusahkan cikgu kat sekolah, nyusahkan ibubapa yang kena beli barula pulak
2. murid main SMS masa cikgu tengah mengajar di dalam kelas
3.bunyi telefon bimbit berdering sebab murid lupa silent bila masuk kelas
4. ramai murid nak pergi tandas sama ada nak balas SMS atau jawab panggilan telefon
5.murid ambil gambar dalam kelas
6. tayang telefon siapa paling canggih
7.rakam pergerakan cikgu dalam kelas tengah mengajar
8.murid main game dalam kelas
9. komunikasi antara murid murid kurang kerana waktu rehat murid lebih suka melayan telefon bimbit dari berbual dengan rakan
10.murid sekolah rendah sudah semakin gemuk sebab sudah tak mahu main lari-lari lagi waktu rehat, lebih suka duduk mengadap game

Dari dulu sampai sekarang, saya tetap merasakan ianya lebih banyak buruk dari baiknya...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...