Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Khas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan Khas. Papar semua catatan

27 September 2015

BULETIN LAILA KAMILIA OKTOBER 2015

SALAM sayang-sayang...
Baru habis cuti raya Aidiladha disambung pula dengan cuti jerebu (yang akan berganti). Pejam celik sudah hampir hujung tahun kita. Banyak aktiviti yang kita rancang di awal tahun sudah sampai di penghujung, sama ada kita nak teruskan atau tergantung-gantung jadi rancangan tahun depan pulak hehe.

Bagi LK, alhamdulillah beberapa projek yang dirancang sudah di akhir garisan dan sedang merangka rancangan-rancangan baru pula, projek yang lebih gempak insyaaALLAH.

Antara projek yang telah berjalan dan akan menuju garisan adalah :
1-Majalah Sinar Seputra edisi 2/2015 sudah siap deraf yang pertama. yeay! Projek ni memang selalu buat saya stress. 2 tahun lepas sampai pakai baju terbalik dibuatnya, tahun sebelumnya upset terkejut badak dan tahun ni jerawat tumbuh macam cendawan lepas hujan. Memang terbaikla hehe.

2-2 peperiksaan untuk murid pendidikan khas akan berlangsung hujung tahun ni selepas UPSR. Sebagai SU Peperiksaan PPKI, saya memang stress bila menyiapkan jadual exam dan memantau soalan exam yang dibuat oleh rakan-rakan.

Asyik-asyik stress je haha. Tapi stress tu menjadikan kita move forward insyaaALLAH.

Projek baru LK? Wah! Bercakap pasal projek baru memang mengujakan. Tapi sukacita saya ingin mengumumkan bahawa Drama inspirasi novel CINTA PANDANG KE-2 kini bersiaran di TVi pula. Best! Best! Semoga semakin ramai yang menonton dan dapat inspirasi daripada cerita Zairul-Ainnur ini dan mendapat pengajaran baik daripadanya!

Antara projek terbaru LK adalah Boling 3.0 NovelistNovelholic 2015 yang bakal dilangsungkan pada 15/11/15 ini. Khabarnya Dazrin, Adam AF2 dan Aman Nassim dah mengesahkan akan turut bertanding. Di manakah acaranya? Tunggu pengumuman lanjut ye!

Selain daripada itu, LK dan Herna Diana bersama rakan-rakan akan menemui pembaca di Pest Konvo MFI-UNIKL pada 8-10/10 nanti. Tunggukan posternya untuk info lanjut.

Manuskrip terbaru? Jeng! jeng! jeng! Ada yang cabar untuk saya siapkan dalam cuti sekolah nanti. hehe Mungkin tidak siap kerana saya ada projek mega hujung tahun nanti. Namun adrenalina yang ada di tubuh melonjak-lonjak untuk menari-nari di keyboard. Doakan saya ye semua! Sampai jumpa lagi nanti di entri seterusnya! #muahciket

27 Mei 2014

Shopping Sambil Menderma Kepada Pesakit Kanser (CAKNE)

Bersempena dengan Aidilfitri, CAKNE telahpun membuat jualan amal bagi menambah dana dengan menjual kad Aidilfitri. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi Puan Azlina di talian 012224 9569. 


Beliau adalah salah seorang ibu kepada murid Laila Kamilia di sekolah. Anaknya merupakan seorang survival kanser dan sekarang sedang mengikuti pembelajaran di aliran perdana di bawah pemantauan guru Pendidikan Khas.


Jom kita beramal. Semoga usaha yang sedikit dapat membantu mereka!



Boleh layari FB mereka di https://www.facebook.com/cakne.ppukm

Berikut adalah maklumat lanjut tentang CAKNE.

CAKNE (Cancer Associates & Kindred Network) - PPUKM (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) adalah sebuah kumpulan sokongan (Support Group) untuk pesakit kanser kanak kanak yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta ahli keluarga mereka. Ia ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 oleh beberapa orang ibubapa yang anak mereka mengidap kanser.

CAKNE telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dengan nama PERSATUAN SOKONGAN KANSER KANAK-KANAK PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA pada 2 Ogos 2013.
No Pendaftaran : PPM-020-10-02082013 


Matlamat
a. Membantu pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.
b. Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pesakit kanser kanak kanak dan ahli keluarga mereka tentang penyakit yang dihadapi serta kaedah rawatan, kaedah penjagaan dan yang seumpamanya.
c. Meningkatkan tahap kesediaan dan ketahanan pesakit kanser kanak kanak dan ahli keluarga mereka semasa sebelum rawatan, semasa sedang rawatan dan selepas rawatan.
d. Menyediakan bantuan kewangan dan peralatan untuk pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka yang memerlukan berdasarkan merit dan kemampuan kewangan pertubuhan.
e. Meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat tentang cara cara untuk menyokong pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka.
f. Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser kanak kanak khususnya dan penjagaan kesihatan secara umumnya.
g. Meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan ahli khususnya dan anggota masyarakat amnya.


13 Mac 2014

Kajian Kes : Menangani Masalah Gugup dan Keyakinan Diri di Kalangan Murid Lembam

Ramai yang bertanya tentang kajian kes yang akan dibentangkan di Seminar PPKI yang akan diumumkan nanti. Inilah abstrak yang dapat saya kongsikan setakat ini. Kajian kes ini adalah kajian yang dibuat bersama Puan Penyelaras, PPKI, Puan Zarina Muhamed Sam. Semoga kajian kes ini memberi manfaat kepada yang membaca, in syaa Allah.


17 Februari 2014

Sudah Darjah 5 Tak Tahu Baca? Apa Yang Boleh Bantu Dia?

Anak dilahirkan tidak mempunyai sebarang kelainan. Normal. Wajahnya saling tak tumpah bagai suami atau isteri. Normal. Pendek kata, anak itu bagai anak-anak lain. Bersekolah tadika pada usia 6 tahun dan masuk ke tahun 1 setahun kemudiannya. 

Tetapi tahukah anda, murid berkeperluan khas kebanyakannya kelihatan normal seperti anak-anak biasa juga. Malah rata-rata murid Autism sangat comel. Murid yang mempunyai masalah lewat perkembangan juga tidak menunjukkan rupa fizikal yang berbeza daripada kebanyakan murid lain. Hanya murid Down Syndrom, Serebral Palsy (berkerusi roda) dan beberapa sindrom lain mudah dikenali berbeza daripada murid lain. Kesimpulannya, dengan sekali pandang adalah sukar untuk mengenali murid berkeperluan khas jika diukur daripada pandangan fizikal sahaja. Jadi berkemungkinan murid-murid ini berada di aliran perdana adalah besar. 

Saya mendapat kes rujukan ini daripada guru kaunseling. Katanya murid ini mempunyai masalah dalam pelajaran. Selalu tak siap kerja sekolah dan berada dalam dunia sendiri. Oleh yang demikian, saya minta kawan menghantarnya ke pendidikan khas untuk diagnosis awal. Alhamdulillah, kebanyakan guru-guru sekarang ini telah didedahkan kepada dunia pendidikan khas semasa di IPT. Jadi sedikit sebanyak, guru-guru di aliran perdana dapat mengesan tanda-tanda awal murid di aliran perdana yang mempunyai kecenderungan bermasalah pembelajaran.

Murid yang dirujuk ini didiagnos menggunakan instrumen-instrumen saringan di pendidikan khas. Antara instrumen yang digunakan adalah untuk menguji kemahiran 3 M- menulis, membaca dan mengira.  Bagi murid yang sudah 5 tahun mengikuti pembelajaran di aliran perdana, tentulah pelik apabila masih tidak dapat membaca, menulis huruf terbalik dan hanya boleh mengira nombor setakat nombor 20.

Kami membuat diagnosis awal bahawa murid ini mempunyai masalah lewat perkembangan, bermaksud umur fizikalnya sudah mencapai 11 tahun tetapi umur mentalnya masih berada di tahap yang lebih rendah. Bagi kes murid ini umur mentalnya boleh dikatakan sangat rendah dengan pencapaiannya  menyamai tahap pendidikan khas di Tahun 2. Murid ini mengeja namanya dengaan tidak tekal (sekejap betul dan sekejap salah), tidak dapat menulis nama bapanya sekalipun dia tahu nama bapanya. Malah apabila ditanya tentang ibunya juga dia masih gagap-gagap. Sedangkan jika soalan-soalan itu ditanyakan kepada anak-anak kita yang berada di aliran perdana, ia boleh dijawab sambil pejam mata.

Pada masa dahulu, kita tidak terdedah dengan pendidikan awal. Saya tidak pernah bersekolah tadika dan hanya mendapat pendidikan pada umur 7 tahun pada darjah 1. Kerana itu saya hanya belajar ABC dan membilang pada usia 7 tahun. Tidak hairan ada rakan-rakan saya yang lain, yang hanya boleh mula menulis dan membaca secara tekal pada darjah 3.

Walau bagaimanapun dengan arus kemodenan di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak telah berkembang dengan baik. Anak-anak dihantar ke tadika seawal umur 4 tahun, malah ada yang lebih awal daripada itu. Oleh yang demikian, ibubapa boleh mengandaikan bahawa pada usia 7 tahun, anak-anak kita sudah boleh membaca dan mengira. Sekiranya pada umur 8 tahun tetapi masih juga tidak boleh membaca, ibubapa haruslah mendapatkan pandangan daripada doktor pakar.

Doktor pakar kanak-kanak akan membuat pelbagai ujian ke atas anak. Janganlah merasakan bahawa jika membawa kepada doktor, anak itu akan sah mempunyai masalah. Kadang-kadang memang anak itu sedikit lewat perkembangannya tetapi masih boleh mengikuti pendidikan perdana dengan bantuan extra (mengambil tuisyen). Kalau anak itu tidak mempunyai masalah, tidak mengapa. Alhamdulillah. Ia akan buat kita menjadi lega dan membantunya dengan lebih lagi. Namun jika anak itu didiagnos mempunyai masalah pembelajaran dan perlu dirujuk ke pendidikan khas, sebenarnya sebagai ibubapa kita telah cuba yang terbaik membantunya.

Dunia anak itu tidak berakhir jika memang telah disahkan mempunyai masalah pembelajaran. Dengan tindakan awal ibubapa mengenalpasti anak-anak, guru-guru di pendidikan khas akan cuba membantu 'memulihkan' murid tersebut dengan bimbingan dan latihan berterusan. Terdapat murid yang telah 'pulih' dan dikembalikan ke aliran perdana melalui pendidikan inklusif. Apakah pendidikan inklusif? Saya akan kongsikan pada entri yang akan datang.

Tahukah anda bahawa dengan lesen pendidikan khas, murid tersebut boleh mendapat pelbagai keistimewaan yang tidak dapat diperolehi jika beliau terus berada di aliran perdana. Antara keistimewaan yang akan diperolehi oleh anak adalah boleh diletakkan di mana-mana kelas yang dirasakan sesuai dengan tahap pencapaiannya (umur 10 tahun tapi belajar di tahun 2), mendapat masa yang lebih dalam peperiksaan awam malah boleh memohon diletakkan di bilik berasingan (lebih privasi) selain mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan dan Elaun Pendidikan Khas sebanyak RM1800 setahun tanpa mengira ibubapanya berpendapatan RM1 juta sekalipun (hehe).

Apabila murid ini berada di bawah pengawasan pendidikan khas, mereka akan dapat bersaing dengan lebih adil di kalangan rakan sebaya dengan diberi peluang mewakili sekolah dalam pelbagai acara seperti sukan, tilawah Al-Quran, aktiviti kebudayaan, keusahawanan, kemahiran hidup dan lain-lain lagi sama seperti di aliran perdana. Semuanya ini akan berjaya meningkatkan rasa kendiri murid. 

Apalah ertinya berada di aliran perdana tetapi sekadar menjadi penumpang dan melepaskan semua keistimewaan yang ditawarkan kepadanya di pendidikan khas? Bantulah anak-anak anda kerana berada di pendidikan khas bukanlah penamat kepada masa depan mereka. TUHAN telah menetapkan tempat mereka di syurga, maka berikanlah mereka dengan kesenangan-kesenangan dunia!

03 Januari 2014

Salah Tanggapan Tentang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran


Gambar saya dan rakan-rakan guru PPKI bersama Tokoh Murid PPKI, Muhammad Faiz. Beliau merupakan murid autism yang berjaya bersosial dengan baik dan menjadi kebanggan PPKI. Pernah mendapat anugerah Tokoh Usahawan Daerah Hulu Langat.


Tahun baru ini saya ingin menulis tentang salah tanggapan masyarakat tentang PPKI. Tahun ini saya jadi guru kelas yang kebanyakannya murid baru. Jadi, ini antara yang saya mahu kongsi dengan anda supaya anda membantu saya memberi penerangan tentang salah tanggapan kepada PPKI.

Perlukah PPM? Kelas kotor?
Saya mengajar Pendidikan Khas bermula dari 2008. Ketika itu pendidikan khas masih baru bercambah. Ketika itu jawatan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) baru diperkenalkan. Pada ketika itu, semua kerja-kerja menguruskan murid dilakukan oleh guru.

Saya masih ingat dengan murid saya yang suka membuat helah. Dia tidak suka datang ke sekolah. Setiap hari, dia pasti mencari idea bernas untuk balik ke rumah. Siapa kata murid pendidikan khas tidak cerdik? Hehe. Murid saya itu cuma lembam (lewat perkembangan). Kalau setakat dia menangis memang cikgu tak layan. Keistimewaan guru pendidikan khas, telinganya memang lali dengan bunyi-bunyi bising. Kami boleh bertenang dalam keadaan murid menangis. Saya tidak boleh lupa, penyelaras saya, Puan Zarina akan bersama murid yang pertama kali masuk sekolah dan murid ini menangis satu hari selama berminggi-minggu! Kalian boleh bayangkan betapa tabahnya dia? 

Berbalik kepada murid saya tadi, kerana dia cerdik, dia fikir satu-satunya cara untuk membuatkan guru angkat bendera putih adalah dengan muntah. Dia fikir saya akan geli dengan dia?  Dia akan memasukkan tangannya ke dalam kerongkong dan memuntahkan semua makanan di dalam perutnya, terutama selepas waktu rehat. Tapi dia tidak berjaya 'menipu' saya. Saya bukanlah orang yang penggeli terutama kepada murid-murid saya. Saya mengemop lantai dan mengemaskan dia sambil terpaksa mengajar juga di dalam kelas yang penuh. Tentu tak boleh dibayangkan rasa ketika itu. 

Tetapi kini, dengan adanya ramai PPM, guru lebih dapat menumpukan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Apabila murid perlu dibersihkan, PPM akan menguruskan murid tersebut dan guru dapat meneruskan P&P. Jadi, jika ada pandangan negatif, yang mengatakan kelas pendidikan khas adalah kotor sebenarnya salah sama sekali. PPM akan mengemop lantai dan meja setiap hari. Malah, kebersihan di dalam kelas menjadi keutamaan kerana anak-anak murid pendidikan khas tidak boleh terdedah kepada persekitaran yang kotor kerana kesihatan mereka.  Kelas juga semakin teratur dan murid dapat menumpukan kepada pengajaran guru.

Cikgu tidak faham masalah anak saya. Guru tidak bertauliah?
Hehe... kalau cikgu pendidikan khas tak faham masalah anak murid, jadi cikgu mana yang akan faham?  Pada mulanya pastilah cikgu masih belajar memahami anak murid sebab baru kenal tapi lama-kelamaan guru akan 'masak' dengan perangai mereka dan belajar menanganinya. 

Sebagai contoh murid yang datang ke sekolah asyik menangis dan tentarum. Biasanya jika sesi pujuk-memujuk tidak menjadi, guru/PPM akan memandikan murid supaya murid dapat bertenang dan 'sejuk'. Jika murid masih tidak dapat bertenang, guru akan mencari 'benda' yang boleh membuatkan murid tenang seperti mungkin murid sukakan sesuatu, diberikan supaya dia boleh diam. Apabila sudah okey, barulah perlahan-lahan guru mengajak murid kembali kepada P&P. Selain daripada itu, jika tentarumnya berlarutan, guru akan mengambil langkah memanggil ibubapa kerana ia dikuatiri mengganggu perjalanan P&P kelas lain. Murid yang tentarum yang tidak boleh ditenangkan berkemungkinan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain. Jadi, jalan terakhir adalah membawa murid pulang. Guru boleh me'rehat'kan murid untuk kepentingan murid dan rakan-rakan sekelas.

Pada masa sekarang, kebanyakan guru adalah berijazah dan memegang diploma pendidikan dalam bidang pendidikan khas. Jadi seperti tuan/puan yang belajar bertahun-tahun di universiti dalam bidang tuan/puan, pastilah kami juga ada bidang kami yang tersendiri. Tambah pula pengalaman mengajar menjadikan kami guru-guru yang lebih berpengalaman.

Daripada tinjauan di luar, kelas pendidikan khas dikendalikan swasta adalah sekitar RM1000 dan ke atas sebulan sedangkan di sekolah kerajaan adalah percuma. Jadi, boleh tepuk dada tepuk poket. Bidang ini memang bidang yang memerlukan kepakaran dan tak perlulah dipersoalkan kelulusan guru-guru. Apabila ada yang bertanya kelayakan seorang guru dalam bidang pendidikan khas, sebenarnya mereka tidak faham. Bukan semua guru boleh mengajar di kelas PPKI.


Anak saya kena dengan guru? Mentang-mentang tak tahu cakap, cikgu belasah anak saya. Tengok! Ada lebam-lebam!
Kalau ada masalah, jangan bergosip. Sila berjumpa guru dan bertanya serta berbincang. Kami adalah guru-guru yang profesional. Yang dijaga dan diajar adalah anak-anak syurga.  Setiap yang kami lakukan kepada mereka akan dihitung di sana. Percayalah cakap guru. In syaa Allah kami tidak menipu dan kami lakukan semuanya demi kebaikan murid. Ada ibubapa yang sangat suka mencari salah guru hinggakan ada lebam sikit sudah buat spekulasi kena belasah guru. Kadang-kadang murid terjatuh di rumah saja, kena gigit dengan adik. Apabila disiasat, termalu sendiri. Janganlah menyusahkan guru dengan perkara remeh sampai kami terpaksa scan seorang demi seorang murid setiap pagi sebelum datang ke sekolah untuk tengok lebam atau tidak ada di badan. Ini bukan bermana tidak boleh berbincang, boleh... silakan tetapi percayalah dengan penerangan yang diberikan....

Kat PPKI mana ada belajar. Rugi!
Sebenarnya anak yang bermasalah pembelajaran, jika dikesan awal lebih baik. Ada yang sudah darjah 3, tak boleh membaca baru hendak masuk ke PPKI. Ini sudah agak lambat. Sepatutnya apabila darjah 1, jika tidak boleh membaca, ibubapa boleh bawa anak ke doktor untuk diagnos. Banyak kejadian, apabila murid diletakkan ditempatnya, guru-guru pendidikan khas dapat membantu mereka. Ramai murid PPKI yang kembali diinklusifkan di aliran perdana dan menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM! Bantulah anak anda sebelum terlambat! Ketepikan ego demi masa depan!

Ada banyak lagi persepsi negatif tentang PPKI. Ada masa saya kongsikan lagi! Kepada guru-guru yang baru masuk ke dunia pendidikan khas, Selamat Datang! Semoga hati-hati kita tabah mengharungi dunia pendidikan yang penuh cabaran! Kita bukan bibik, kita adalah pendidik!

Sampai jumpa lagi! Semoga ganjarannya dibalas di sana! Amin.

02 Januari 2014

REPOST : Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran: Sejauh Mana Kita Memahaminya?

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendefinisikan murid yang mengalami Masalah Pembelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah kognitif yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal. Terdapat pelbagai kategori murid bermasalah pembelajaran seperti Sindrom Down, Autisme, Hiperaktif, terencat akal minima, kurang upaya dalam pembelajaran (learning disabilities) dan kurang upaya dalam pembelajaran khusus contoh disleksia.
Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini berada di sekeliling kita dan jumlahnya semakin bertambah dengan meningkatnya tahun ke tahun. Terdapat banyak faktor peningkatan kelahiran kanak-kanak ini seperti faktor usia ibu, masalah kesukaran semasa kelahiran, pemakanan, pencemaran alam sekitar mahupun baka. Kanak-kanak ini mungkin jiran kita, sanak-saudara, murid-murid mahupun anak sendiri. Persoalannya sejauhmanakah kita mengenali kelompok ini dan bagaimanakah kita dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian sebagaimana kanak-kanak normal yang lain?
Artikel ini akan menyentuh kategori murid bermasalah pembelajaran untuk mengenali mereka seterusnya memahami nature mereka supaya kita menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin dan penyayang selaras dengan visi Wawasan 2020.
Sindrom Down
Merupakan kecelaruan genetik yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Ia berpunca dari lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke 21 yang juga dikenali sebagai Trisomo 21. Individu ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas yang biasa dilihat seperti mata sepet, hidung penyek, bertubuh rendah, lidah yang tebal dan panjang (menyebabkan kesukaran mereka bertutur) dan jari tangan yan pendek (menyebabkan kesukaran memegang pensel dan gunting). Ujian pra natal bertujuan mengesan kecacatan semasa janin yang biasa dijalankan adalah amniocentesis, Chorionic Villus Biopsy (CVB) dan Chorionic Villus Sampling (CVS).
Autisme
Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bermakna diri sendiri dan isme bermaksud aliran. Kanak-kanak Autisme bermaksud kanak-kanak yang berada di dalam dunianya sendiri. Ia biasanya mula dikesan pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun disebabkan oleh kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak. Individu ini biasanya sukar diajak bercakap dan suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu, mengeluarkan bahasa sendiri yang sukar difahami oleh orang lain dan meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa memahami maksudnya. Mereka suka mengulangi percakapan orang lain secara berulang-ulang yang dikenali dengan istilah ekolalia. Kebiasaannya mereka tidak suka bermain dengan orang lain (lebih suka menyendiri dengan menyorok) dan lebih sukakan objek-objek yang berputar seperti kipas angin ataupun kertas yang ditiup angin. Penggunaan Ritalin bertujuan untuk merawat masalah kurang tupuan dan hiperaktif selain vitamin B6 dan Magnesium untuk meningkatkan kesedaran dan tumpuan/perhatian kanak-kanak.
Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorder, ADHD)
Istilah hiperaktif merujuk kepada kanak-kanak yang bertingkahlaku terlampau aktif dan mengganggu. Tingkahlaku mereka yang aktif dan sukar diramal memberi gangguan kepada proses pengajaran guru di sekolah mahupun penjagaan harian di rumah. Paling ketara mereka bersikap agresif (contohnya memulakan pergaduhan dan pertengkaran), cuai menyiapkan tugasan, tidak mahu mendengar apabila kita bercakap dengannya selain mengelak membuat tugasan yang memerlukan pengekalan daya mental. Kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan dari ibubapa dan guru dalam belajar mengurus perasaan marah dan tekanan. Ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman. Selain itu sikap tegas terhadap murid, memberi maklumbalas impromptu dan bersifat pemaaf boleh membantu mendidik murid ADHD.
Disleksia
Disleksia diterangkan sebagai keadaan di mana seorang murid mengalami masalah membaca yang serius, yang berkait-rapat dengan gangguan urat saraf. Mereka kelihatan normal tetapi kecelaruan pada bahagian otaknya menyebabkan mereka sukar untuk membaca, menulis, mengeja mahupun mengendalikan nombor yang tidak selaras dengan tahap pencapaiannya walaupun telah diajar berkali-kali. Kanak-kanak ini berisiko menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kerana kecewa dengan pencapaian mereka dalam akademik yang tidak selaras dengan umur mereka. Punca disleksia tidak diketahui tetapi faktor genetik, biologi (kesukaran ketika dilahirkan) juga kematangan (lelaki lambat matang dari perempuan) dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada disleksia. Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disarankan untuk kanak-kanak disleksia adalah melalui pendekatan multisensori; menggabungkan beberapa deria seperti auditori, visual, oral dan kinestetik.

Prosedur Kemasukan ke Program Pendidikan Khas
Program pendidikan khas bermasalah pembelajaran atau program integrasi terletak di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk melayakkan seseorang kanak-kanak mengikuti program ini, beberapa criteria harus diikuti seperti :
· Membawa kanak-kanak ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor akan membuat diagnos dan membuat pengesahan kecacatan kanak-kanak tersebut.
· Pengesahan tersebut dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (opsyenal) untuk didaftarkan sebagai individu berkeperluan khas. Ini melayakkan kanak-kanak mendapat elaun bantuan RM150 sebulan.
· Kanak-kanak seterusnya mendaftar ke Pejabat Pendidikan Daerah. Unit Pendidikan Khas di Jabatan Pendidikan akan memanggil ibubapa bagi menentukan sekolah yang ingin dipilih.
· Unit Pendidikan Khas akan memaklumkan kepada Guru Besar sekolah berkenaan. Temuduga murid dijalankan.
· Ibubapa harus membuat pengesahan penerimaan atau persetujuan untuk anak mereka mendaftar di sekolah tersebut jika diterima masuk ke sekolah berkenaan.

artikel ini ditulis pada 23/5/2008 dan direpost sempena tahun baru persekolahan 2014.

14 Ogos 2013

Projek Ferro Cement- Terapi Sensori bak rawatan akupuntur

Kini anda boleh membuat sendiri ferro cement ini di rumah. Saya akan menunjukkan kepada anda bagaimana ia dibuat langkah demi langkah. Menghasilkan ferro cement ini bukannya susah. Jika anda membelinya di kedai nurseri, harga bagi satu acuan ferro cement yang sudah siap bersama batu sungai adalah sekitar RM10, namun sekiranya anda membuatnya sendiri, harganya sekitar RM7 (untuk saiz yang agak besar juga, harga ferro cement yang telah siap bergantung kepada saiznya). Ini bermakna anda boleh jimat sekitar RM3 untuk satu acuan.

Bahan-bahan
Simen
Gam simen
Pasir
  Semua bahan ini dibancuh seperti hendak membuat bahan binaan.

Kayu
Paku
   Bahan ini untuk membuat acuan (frame)

Jaring
Cat luar (tahan air)
Varnish 

Langkah-langkah

1- Membuat acuan/frame- Kayu dibuat frame mengikut saiz yang anda suka. Satu cara lagi adalah dengan membuat frame terus di atas tanah (memanjang) tetapi pastikan ketika itu adalah tidak hujan supaya simen dapat kering sepenuhnya.


2- Membancuh simen dan meletakkan bancuhan ke dalam acuan/frame. Isikan simen separuh sahaja kemudian letakkan jaring untuk menguatkan binaan. Masukkan baki simen untuk menutup keseluruhan acuan/frame. 

Sekiranya anda memilih untuk membuat acuan/frame terus ke dalam tanah, sila pastikan batu sungai terus diletakkan ke atas bancuhan simen sebelum ia mengering.




3- Meletakkan batu sungai ke dalam bancuhan simen. Bahagian ini paling seronok kerana kita bebas mereka corak yang kita suka. Boleh campur warna batu dan jenis batu seperti gambar.



 4- Ferro cement yang sudah siap dicorak, perlu dijemur. Walau bagaimanapun jika anda memilih untuk meletakkannya di atas tanah terus, langkah ini boleh diabaikan dan menjimatkan masa menunggu.



5- Mengecat ferro cement yang telah kering. Setelah mengecat biarkan kering dan varnish bagi meninggalkan kesan berkilat.

 6- Mengorek tanah untuk tapak ferro cement. Ketika ini anda boleh menentukan corak yang anda mahukan, sama ada melengkung atau memanjang mengikut citarasa anda.


 7- Menyusun ferro cement yang telah siap di atas tanah.
8- Ferro cement yang telah siap, sedia untuk digunakan. Batuan ini sangat bagus merangsang deria dan dipercayai boleh memulihkan banyak jenis penyakit. Sekiranya mahu, anda boleh meletakkan pemegang bagi membantu anda  memijak batuan. Ferro cement ini banyak digunakan di taman-taman rekriasi tetapi anda boleh juga meletakkannya di rumah sebagai hiasan dan kesihatan. Bagus untuk bersama-sama anak-anak menyiapkannya sebagai satu aktiviti keluarga.

Selamat mencuba!
Nota : Saya ingin merakam penghargaan kepada para guru praktikum Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras kerana berkongsi ilmu dengan para guru menyiapkan taman mini refleksiologi ini di sekolah. Selain daripada itu, gambar-gambar di dalam entri ini adalah milik peribadi dan dirakam untuk tujuan pendidikan sahaja.

17 Disember 2012

Kesediaan Menulis

Sudah berapa lama juga saya tidak menulis entri tentang pendidikan walaupun sebenarnya saya ingin tulis sejak sekian lama. Kalau dulu saya menulis tentang kesediaan membaca, kali ini saya ingin menyentuh tentang kesediaan menulis pula. Ya, menulis sebenarnya datang dulu dari membaca atau pandai memabaca dulu baru boleh menulis? Ia sebenarnya terpulang kepada kebolehan individu kerana ada yang suka membaca manakala ada yang suka menulis. Tapi saya percaya, sebenarnya ramai antara kita yang bermula dengan menulis terlebih dahulu.

Kebolehan menulis bermula dengan contengan. Ya, semasa kita bayi lagi, bila mendapat pensel, kita akan mula menconteng entah apa-apa. Mula-mula garisan dan kemudian bulatan. Tetapi pernahkah kita terfikir, bagaimana asas untuk kita menulis?

Menulis memerlukan kekuatan motor halus. Oleh itu semasa anak anda masih bayi, sentiasa beri dia galakan untuk menyentuh pelbagai benda, bermula dengan yang lembut kemudian barulah keras. Semasa Hardy masih kecil, saya sentiasa memakaikan dia sarung tangan kerana kata orang tua-tua nanti sejuk tetapi berlainan dengan Hakimy saya sentiasa lepas bebas tangannya tanpa sarung tangan sejak bayi kecuali semasa sejuk. Saya dapati Hakimy lebih cepat memegang, melempar kerana otot tangannya telah bersedia. Motor halusnya telah bersedia untuk dia mengembara dengan pengalaman-pengalaman baru melalui deria sentuhannya.

Oleh itu sebagai persediaan awal, semasa kanak-kanak, adalah digalakkan supaya memberi peluang kepada anak anda bermain dengan pasir, tanah liat ataupun bola lembut supaya dia dapat bermain dan mengembara dengan deria sentuhannya supaya apabila motor halusnya sudah bersedia, dia akan boleh memegang pensel dan mengawalnya dengan baik. Ini kerana menulis bukan sekadar boleh memegang pensel tetapi mengawal pergerakan pensel itu yang paling penting. Kerana itu, di sekolah di dalam kelas pendidikan khas, guru-guru selalu bermain-main dengan tangan anak-anak seperti mengurut, menyentuh, menguli tanah liat dan sebagainya. Janganlah pula dimarah kerana kelihatan seolah-olah guru-guru itu tidak mengajar tetapi sebenarnya beliau sedang melakukan senaman dan terapi kepada tangan anak anda.

Seorang teman suatu hari merungut kerana tulisan anaknya tidak cantik. Dia bertanyakan kepada saya kerana bimbangkan tentang prestasi anaknya yang dikatakan tidak sejajar dengan prestasi dia suami isteri yang sudah boleh menulis cantik pada usia yang lebih awal. Saya tanyakan kepada dia bagaimana dia mengajar anaknya menulis dan jawapannya ialah dengan meminta anaknya menulis di atas kertas A4 kosong yang tidak bergaris. Saya meminta dia membuat garisan atas kertas tersebut dan bila anaknya sudah mahir, barulah dilatih menulis tanpa garisan. Alhamdulillah tidak berapa lama kemudian, dia memberitahu tulisan anaknya sudah semakin cantik. 

Semasa saya bersekolah, teman saya yang mempunyai tulisan yang sangat cantik. Namanya Hirdawati. Sehingga kini saya tidak pernah berjumpa dengan tulisan tangan secantik tulisan tangan dia. Dia boleh menyalin nota yang dibaca guru dengan cantik sekali, berkait-kait, berbunga-bunga. Apa yang saya boleh katakan, dia memang suka membuat latihan menulis hingga mendapat tulisan cantik seperti itu. Kawan saya seorang lagi, berkata ayahnya akan memegang rotan semasa mengajar anak-anak menulis kerana itu adik-beradiknya mempunyai tulisan tangan yang cantik dan kemas.

Kesimpulannya, menulis memerlukan latihan juga sebagaimana lain-lain kemahiran yang kita pelajari. Semakin banyak kita berlatih, semakin kita mahir dengannya. Tetapi ia sebenarnya bermula sejak anak-anak itu masih bayi kerana kesediaan menulis harus diterapkan lebih awal.


Satu lagi, saya ingin kongsikan. Jika anak anda rajin benar menulis, berikan dia kertas. Jangan sesekali memberinya menconteng dinding atau sofa etc kerana ia adalah medium yang salah. Saya bimbang kerana rajinnya dia menulis, habis dinding tandas di sekolah diconteng! Rajin-rajin juga bawa mereka masuk pertandingan melukis atau mewarna. Walaupun tidak menang, semua itu memberi satu pengalaman berharga kepada mereka!

17 September 2012

Bantulah Anak Pintar Cerdas Anda!

Ramai yang tidak tahu bahawa, anak pintar cerdas juga sebenarnya harus diletakkan di dalam program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah kerajaan. Selalunya orang menganggap program PPKI ini hanyalah untuk anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autism, sindrom down, disleksia dan lain-lain lagi. Sementelah apabila kita melawat PPKI, murid-murid sebeginilah yang memang ramai berada di kelas. Tanggapan ini sebenarnya adalah sedikit silap dan harus diperbetulkan. Sebenarnya selagi murid itu memerlukan guru memberikan perhatian one to one (perseorangan), maka dia tergolong dalam murid yang berada di dalam PPKI.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang anak pintar cerdas. Anak ini perlu diberikan perhatian istimewa kerana bakat kecerdasannya jika tidak ditangani akan merugikan bukan saja ibubapa tetapi kepada negara. Berikut adalah beberapa persoalan tentang anak pintar cerdas yang perlu anda tahu. Apa kata kita tengok anak kita di rumah dan fikirkannya, malah tahu rupa-rupanya anak kita itu tergolong dalam golongan yang diklasifikasikan sebagai anak PINTAR CERDAS.

APAKAH CIRI PALING MUDAH YANG BOLEH DIPERHATI?
Anak ini mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih pintar dari rakan sebayanya. Sebagai contoh mempunyai kebolehan membaca pada usia 2 tahun.

Anak ini mungkin juga mempunyai kebolehan luar biasa di dalam bidang selain dari akademik seperti dalam bidang sukan, muzik, seni dan sebagainya. Sebagai contoh boleh menghasilkan lukisan yang sangat cantik yang kadang-kadang sama baiknya dengan orang dewasa pada usia kecil.

Kecerdasan kanak-kanak ini kadang-kadang hanya menjurus ke dalam satu bidang yang diminatinya sahaja seperti Matematik. Sebagai contoh, kebolehannya dalam mata pelajaran lain adalah setara dengan rakan sebaya tetapi beliau boleh menghasilkan formula Matematik sendiri dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan angka-angka. Selain daripada itu ada juga anak yang boleh menghafaz al-Quran pada usia 4 tahun misalnya.

APAKAH UJIAN YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK MENGESAHKAN ANAK SAYA PINTAR CERDAS?
Anda boleh membawa anak ini untuk pemeriksaan doktor. Anak ini boleh menjalani Ujian Kederdasan IQ. Biasanya anak yang mempunyai IQ melebihi 130 dikategorikan sebagai pintar cerdas (IQ manusia normal adalah 91-120).

SETELAH SAH ANAK SAYA PINTAR CERDAS, APA YANG SAYA BOLEH LAKUKAN UNTUK MEMBANTUNYA?
Tidak ramai yang tahu bahawa negara kita sedang mengumpulkan anak-anak yang pintar cerdas dari seluruh Malaysia. sebenarnya jika dibandingkan dengan negara lain di dunia memang Malaysia tertinggal dari aspek ini. Malahan jangan tidak percaya jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia juga agak terkebelakang. Bayangkan negara seperti Vietnam telah punya sekolah anak pintar sendiri! Singapura lagilah telah maju ke hadapan dengan rangkaian sekolah-sekolah khas untuk anak pintar. 

Oleh yang demikian, kita harus menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia melalui program PERMATA PINTAR. Program ini telah bermula pada bulan 17 Januari 2011. Pengambilan pertama pelajar pintar cerdas untuk program ini ialah seramai 116 orang pelajar berumur 16 tahun dari seluruh Malaysia yang telah melalui tiga ujian saringan iaitu Ujian PERMATApintar UKM1, Ujian PERMATApintar UKM2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains (Ujian UKM3).

Jadi apa kata, anda mengorak langkah pertama dengan membaca maklumat lanjut tentang program ini di http://www.permatapintar.edu.my

Terdapat ujian UKM1 yang anda boleh minta anak anda jalani di mana-mana saja internet boleh dicapai. Manalah tahu, anak anda memang pintar cerdas dan langkah anda hari ini  telah membantu kehidupannya di masa depan. Ini kerana tidak semua anak yang pintar cerdas boleh menangani dirinya sendiri dengan baik. 

Saya berharap artikel saya ini dapat membantu anda dan si permata! Selamat maju jaya!


Ilustrasi di atas sekadar hiasan,  diambil dari buku terbaru saya Kawan Baru FB. Di dalam buku yang mengandungi 15 buah cerpen kanak-kanak yang ditulis bersama 4 penulis Grup Buku Karangkraf. Ilustrasi ini terdapat dalam kisah Neptun Perlukan Raja. Kisah seorang budak lelaki bernama Amsyar Daniel yang dibawa ke Planet Neptun kerana  Neptune memerlukan raja mempunyai IQ130 ke atas. 

08 Ogos 2012

Simulasi Projek Shopping Raya 2012

Hari ini saya dan teman Kak Zura dapat pelepasan mengajar kerana melakukan simulasi Projek Membeli Belah Raya untuk murid Pendidikan Khas yang miskin dan yatim sempena ketibaan Ramadhan 1433 tahun ini. Disebabkan program ini telah mendapat slot tayangan rancangan Al-Hidayah Istimewa sempena Maal Hirah pada 16 November 2012 nanti, maka rakaman akan dibuat oleh TV3 pada minggu depan hari rabu 15 Ogos 2012. Jadinya kenala buat simulasi supaya nanti program berjalan dengan lancar.

Mengikut rancangan asal, kami akan menaiki komuter di Bangi, kemudian bertukar LRT ke Bandar Tasik Selatan (BTS) dan turun di Masjid Jamek. Nampak macam mudahkan? Tapi hari ini memberi saya seribu satu pengalaman baru. Kami bertolak dari sekolah jam 8.40 pagi dan tiba di stesen komuter Bangi 5 minit selepas itu. Perkara pertama yang terjadi, kami telahpun keliru kerana selalunya tren ke Rawang berada di platform sebelah kiri sekali tetapi kali ini berada di platform tengah. Bila ditanya kepada petugas, beliau minta kami menunggu di tempat biasa. Tapi yang bestnya, ramai juga penumpang yang menaiki jambatan lalu menaiki tren yang di platform tengah. Jam 9.00 seperti dijadualkan tren itu meninggalkan kami dalam terpinga-pinga. Sekarang sudah ada 3 landasan rupanya, jadi tren ke Seremban berada di landasan kanan sekali. Dalam kami terpinga-pinga, jam 9.05 datang tren yang lain dari arah Seremban dan berhenti di landasan biasa. Kami naik tren lalu gelak-gelak. Nampak sangat dah lama tak naik kenderaan awam.

 Komuter Bangi-BTS
 LRT BTS-Masjid Jamek
Sampai di BTS 30 minit kemudian, saya tercangak-cangak lagi. Sementelah inilah pengalaman pertama saya menaiki kenderaan awam selepas pulang 2 tahun lepas. Sekarang rupanya LRT dah pakai token. Saya main agak-agak aje nak bubuh token tu di lubang mana kat penghalang keluar. Punyalah main redah. 

Lama juga kami berada di Jalan TAR. Dari satu kedai ke satu kedai. Masuk tinjau barang-barang dan harga. Berjalan, memerhati sambil berbincang. Semuanya difikirkan dan akhirnya kami membuat keputusan.  Sementelah SOGO tidak membenarkan rakaman oleh TV3 atas faktor keselamatan murid, jadi rasanya Jalan TAR bukanlah destinasi terbaik. InsyaAllah, kami harus mencari destinasi lain yang lebih sesuai demi memikirkan faktor keselamatan murid, kebenaran rakaman oleh TV3 dan sumbangan wang oleh para dermawan dalam menjayakan projek ini. Esok kami akan tinjau tempat lain pula.

Kami pulang sekitar jam 4.00 petang dengan letih tahap gaban. Hampir-hampir kami tak naik tren kerana menunggu tren ke Seremban sedangkan tren yang tiba adalah tren ke Sungai Gadut. Mujurlah pemandu tren beria-ia suruh kami naik kerana kami masih teragak-agak dan menjadi penumpang terakhir masuk ke dalam tren. Kelakarnya masih ragu-ragu, saya terintai-intai peta perjalanan yang ada di depan pintu tren. Ketinggalan zaman kerana KTM telahpun menambah 2 stesen lagi selepas Seremban menjadikan Sungai Gadut sebagai destinasi terakhir. Jadi memanglah tak ada ditulis Seremban, tapi Sungai Gadut.

Puasa hari ini benar-benar mencabar stamina. Namun kami puas hati kerana telah membuat satu keputusan yang terbaik untuk semua. Satu perkara yang saya rasa paling berharga buat saya hari ini tentulah ingatan bahawa sekalipun telah pergi ke serata dunia ke bandaraya seperti London, Barcelona, Madrid, Milan, Armsterdam, Paris, Beijing dan Hong Kong (sekadar menamakan beberapa tempat), itu tidak bermakna saya tidak boleh sesat di dalam negara sendiri. Sesungguhnya saya manusia yang lemah dan banyak yang saya perlu pelajari setiap hari. Saya berdoa semoga saya tidak sesat di 'sana'. Jumpa lagi dalam entri saya seterusnya!

16 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012


Setiap kali menyambut Hari Guru pada setiap 16 Mei, dua lagu yang boleh dikategorikan sebagai lagu wajib yang menyentuh hati saya adalah Lagu Guru Malaysia dan Biarku Menjadi Lilin. Setiap bait lagu yang dinyanyikan itu benar-benar membuat hati saya sayu. Tanpa orang lain sedar, air mata saya bergenang setiap kali menyanyikannya. Bagi saya setiap lirik lagu itu memberi banyak peringatan kepada saya tentang niat saya terjun ke bidang pendidikan terutamanya bidang pendidikan khas. Setiap kali lagu itu dinyanyikan seolahnya ia memberi peluang kepada saya untuk menilai diri, azam dan menguatkan semangat. Kedengarannya klise tetapi itulah hakikat yang saya rasakan.

Dulu semasa saya di sekolah, saya sering tidak faham apabila guru-guru marah pada lawan-kawan yang nakal dan saya jadi hairan bila murid nakal selalunya dapat nombor tercorot. Namun apabila menyandang jawatan guru, baru saya tahu kenapakah murid yang selalu menyakitkan hati cikgu selalu dapat nombor akhir sekalipun sudah berbuih-buih guru mengajar. Sekalipun jika banyak duit murid itu pergi ke kelas tuisyen keputusannya tak juga bertambah baik. Rupanya benar, doa seorang guru (saya yakin setiap guru tidak akan mendoakan yang tidak baik kepada muridnya) itu dan pandangan guru itu terhadap muridnya mempengaruhi prestasi murid. Bila sudah duduk di depan kelas menjadi seorang guru, apabila saya memandang murid, akan ada satu rasa; murid yang menyenangkan, redhanya hati seorang guru itu mengajarnya. Walaupun sukarnya murid itu untuk mendapatkan ilmu tetapi akhirnya murid itu akan berjaya. 

Sebaliknya jika guru itu memandang dengan pandangan yang kurang menyenangkan kerana kenakalannya mahupun kerana tak tahan dengan karenah ibubapanya, maka sukarlah anaknya itu mendapat ilmu ataupun prestasinya akan menurun dari semasa ke semasa. Tahulah saya kerana walau seorang guru itu cuba bersikap profesional terhadap setiap ujian yang datang menjengahnya sebagai seorang pendidik, sebagai manusia yang penuh kelemahan, pastilah dia tetap berasa susah hati, marah, terkilan dan sebagainya. Jadi kerana itu sedaya mungkin, sebagai ibu, saya akan cuba sedaya upaya mengekalkan hubungan baik dengan guru-guru anak saya. Bukan untuk 'membeli' guru itu tetapi saya tahu, gurulah yang terbaik mengetahui siapa anak kita yang sebenarnya. Tidak rugi mempunyai hubungan baik dengan guru anak.

Selalu orang kata, senang kalau anak bersekolah sekali dengan emak. Memang senang kerana mudah untuk saya memantau pergerakan anak di sekolah. Selain itu saya boleh berbincang dengan guru anak tentang prestasi mereka. Tetapi percayalah, sekalipun satu sekolah, saya sangat menghormati guru-guru anak saya. Seboleh mungkin apa yang gurunya minta, saya akan cuba menjadi orang pertama yang mendapatkannya seperti bayaran yuran, laporan akademik mahupun bahan sekolah kerana saya tidak mahu menyusahkan gurunya. Saya hanya mahu anak saya menimba ilmu dengan gembira kerana saya percaya, bila guru meredhainya, mudahlah ilmu akan diterima oleh anak saya.

Kepada guru-guru saya di luar sana, saya sangat berterima kasih kerana telah menjadikan saya seorang manusia pada hari ini. Seperti kata-kata di kad yang saya terima saban tahun dari ibu murid saya yang dipetik dari kata-kata Imam Al Ghazali,"Hak guru lebih agung dari hak ibubapa, sebab ibubapa penyebab adanya kita sekarang dan kehidupan yang fana sementara guru, penyebab hidup yang kekal. Sekiranya tiada guru, nescaya apa yang dihasilkan dan diarahkan oleh orang tua akan celaka selamaya."

Selamat hari guru. Jasamu dikenang sepanjang kehidupan....

Lagu Guru Malaysia
Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita


Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua


Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta


Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan
Lagu & Lirik : Hashim Ahmad



Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Terangi sekeliling dengan diri terbakar
Tak siapa yang sedar
Disaat kegelapan rela aku berkorban
Demi satu harapan

Biar masa berlari
Dan kau terus mendaki
Aku tenang disini dengan sabar menanti
Tanpa dendam dan benci
Andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur
Kurawat biar sembuh

Aku tak kan bertanya
Apakah nanti balasannya
Setiap pengorbanan setiap pemberian
Demi satu ikatan

Keikhlasan dihati
Walaupun kau ragui
Pada suatu masa dan suatu ketika
Akan ketara jua

Biarku menjadi lilin
Memberikan cahaya
Saat kau kesepian saat kau kegelapan
Kurela menerangkan

Aku senang begini dapat terus berbakti
Dengan cara sendiri


Kepada diri sendiri...setiap tahun saya harus memperbaiki diri, supaya saya menjadi guru yang lebih baik dari sehari ke sehari. Menjadi guru pendidikan khas, memang tidak akan dikritik oleh murid di dalam kelas tetapi di akhirat nanti, doa saya, janganlah mereka mengkritik saya di hadapan TUHAN. Sekalipun murid saya tidak mengucapkan selamat hari guru mahupun memberikan hadiah kerana ketidakupayaan mereka, saya tahu mereka sayangkan saya.....saya tahu mereka akan berikan satu dunia jika boleh kepada saya. Bukan hadiah yang cikgu harapkan tetapi cukuplah dengan ilmu dan kasih sayang yang cikgu bagi....kalian boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan murid di aliran perdana.

Kesempatan ini saya ingin merakam terima kasih kepada semua ibubapa anak istimewa ini yang sudi mengingati guru-guru pendidikan khas di seluruh dunia dengan kiriman pelbagai bentuk ingatan sempena hari istimewa mengenang guru. Percaya atau tidak, memang ramai yang tidak mengambil berat tentang ingatan kepada guru anak mereka pada hari istimewa ini tetapi ada ibubapa yang tetap mengirim salam hari guru kepada saya walaupun saya telah lama tidak mengajar anaknya dan sudah bertukar sekolah.  Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada beliau dan keluarganya.

Selamat hari guru kepada semua........ Guru itu cumalah manusia biasa yang punya hati dan perasaan.....

24 Mac 2012

Sedikit dihulur besar erti kepada kami!

Saya terpanggil menulis entri ini selepas pulang dari rumah seorang pakcik. Petang itu sekitar jam 3.30 petang, saya sedang berehat sebaik pulang dari sekolah. Kebetulan minggu ini memang saya sangat sibuk menguruskan hal sekolah sementelah baru habis cuti seminggu. Menurut kata puan yang menelefon, anak pakcik tu menguruskan zakat dan berniat mahu menyumbangkan zakat kepada anak-anak pendidikan khas. Saya bangun lalu bersiap. Jam 4.15 petang baru saya sampai ke rumah pakcik tu bersama puan yang menelefon (ibu murid saya). Rumah pakcik tu atas bukit dan saya dimaklumkan pakcik ni pencen kastam, anak2nya semuanya berjaya dalam pelajaran.

Masuk ke rumah, saya kagum dengan dekorasi yang nampak mewah walaupun ia hanyalah sebuah rumah kampung. Ia mengesahkan cerita puan tadi. Kami menunggu beberapa ketika bersama orang-orang kampung yang diminta hadir untuk menerima zakat. Agak lama juga saya menunggu untuk anak pakcik itu sampai. Rupanya anaknya tinggal di Gombak dan berkejar ke Bangi semata-mata mahu menyampaikan zakat.

Alhamdulillah, zakat perniagaannya telah berjaya disampaikan kepada yang wajib menerimanya dan bersihlah pendapatannya pada tahun dihisab. Dua orang murid saya yang miskin telah menerima zakat anak pakcik itu yang mewakilkannya kepada saya.  

Dari cerita pakcik itu, anak-anaknya memang selalu membayar zakat perniagaan mereka seperti itu supaya zakatnya terus dapat disampaikan kepada yang berhak tanpa melalui orang ketiga seperti mana yang selalu kita lakukan (dengan membayar kepada pusat zakat).

Usaha anak pakcik ini sangat-sangat saya kagumi dan wajar dicontohi. Tidak hairan perniagaannya semakin berkembang dari tahun ke tahun. Dari cerita pakcik itu juga, anaknya yang lain selalu mendermakan mesin-mesin proses makanan yang terpakai yang masih elok kepada yang memerlukan (seperti rumah anak yatim) sebagai satu usaha kebajikan. Lalu hati saya terdetik, betapa beruntungnya pakcik dan makcik kerana mempunyai anak-anak yang begitu budiman. Saya sempat berdoa semoga zuriat saya juga begitu pada masa depan.

Beberapa hari lepas, Program Pendidikan Khas sekolah saya telahpun menerima satu mesin membuat popcorn untuk kegunaan murid-murid saya di sekolah. Ya, murid-murid pendidikan khas memerlukan bantuan seperti mesin-mesin begitu (mesin membuat mee ke, mesin membuat roti, ketuhar terpakai) dalam usaha untuk membentuk budaya keusahawanan di kalangan murid-murid. Jika hendak mengharapkan dana kerajaan seratus-peratus pastilah tidak dapat memenuhi keperluan ini kerana sekolah kami masih baru. Sementelah prasarana masih belum lengkap. 

Jadi jika anda terbaca entri saya ini, saya menyeru walau di mana anda berada, jika anda berkemampuan bantulah mereka yang memerlukan. Usaha anda sekalipun nampak kecil membawa makna yang besar kepada kami! Jika anda boleh menghulur bantuan (kami menerima apa sahaja hehhee sekalipun hanya sepotong doa), sila emelkan kepada saya di lailakamilia@yahoo.com. Bantulah saya membantu mereka membina kehidupan di masa depan!

Gambar di atas adalah sekadar hiasan. Ini adalah salah satu projek di salah sebuah program pendidikan khas iaitu mini sadwich

17 Mei 2011

HARI GURU 2011


Sebiji kek, sekeping kad dan satu tanda mata 
ingatan ikhlas buat insan bernama GURU
pada tanggal keramat 16 Mei itu

muridku yang dikasihi
ingatanmu sangat kuhargai 
cuma kupinta seperkara
doakan kesejahteraan GURUmu
agar dapat dia mengajarmu lagi esok hari
doakan GURUmu menjadi lebih sabar
dari sehari ke sehari
kerana GURUmu ini hanyalah insan biasa
yang cuba menjadi luar biasa
untukmu murid-murid yang sangat ISTIMEWA

dan sekiranya GURUmu ini 'lupa'
yang dia punya murid yang istimewa
peluklah dia dan katakan
kami sayang cikgu.....

muridku yang dikasihi
sesungguhnya cikgu sangat sayang padamu!

25 September 2010

Kursus Dalam Cuti (KDC) kini dibuka

Kepada adik-adik yang sedang berkhidmat sebagai guru sandaran, peluang menjadi guru tetap telah dibuka permohonannya. Sila dapatkan borang di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing kerana borang telahpun keluar. Tarikh tutup permohonan adalah pada 28 September 2010. Selamat maju jaya!

ps-kepada yang tidak tahu, KDC merupakan satu opsyen selain KPLI kepada mereka yang berminat untuk menjadi guru tetap. Pemohon akan bekerja sebagai guru sandaran di sekolah terlibat dan pada masa cuti sekolah akan mengikuti kuliah di Institut Pendidikan Guru terpilih.

17 September 2010

UPSR 2010: Jadual Peperiksaan UPSR


Kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR bagi tahun ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya. Biasanya anak-anak yang periksa, ibu yang tak tidur malam. Jadi ibu-ibu, bapa-bapa, selamat berjaga malam dan jangan tak lalu makan pula.....

Berikut adalah jadual peperiksaan UPSR untuk makluman semua:

Selasa (21 Sept.)

B.Melayu (pemahaman ) 
B. Melayu (penulisan) 
Matematik (Kertas 2)
* Balik (1.10)

Rabu (22 Sept.)
Matematik (Kertas 1)
* Balik (1.10)


Khamis (23/9)

Sains
B. Inggeris ( Kertas 1)
B. Inggeris ( Kertas 2) - Sessi tamat (1.10)
Ujian Aptitud - 2.30 -3.45 petang (murid tidak dibenarkan balik)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...