30 September 2009

30 Hari


Alhamdulillah hari ini 30 September genap umur Hana 1 bulan. Kerana hobi Hana minum susu dan tidur, pipinya jadi gebu dan paling ketara dagunya ada dua lapis. Semasa mengambil gambar untuk buat pasport baru-baru ini, jelas dan ketara sangat dagunya tu. Bak kata Wan, Hana kena diet ni...Boleh ke Hana?

29 September 2009

KEMBARA EROPAH: Germany - Munich




sekitar Town Hall


di hadapan stesen keretapi Munich




Allianz Arena
Kami tiba di Munich ataupun Munchen tengahari. Selepas mendaftar masuk di hotel dan berehat sebentar, kami terus ke Allianz Arena. Stadium yang menyaksikan Bayern Munich mengalahkan Manchester United pada piala Audi hujung Oktober lepas. Dari Stesen S Bahn Frotte Manning ke Allianz Arena memang jauh. Kami terpaksa berjalan sejauh lebih kurang 1km. Beberapa kali kami berhenti kerana selain jauh, permukaan jalan yang menegak menyebaban kami seolah-olah harus mendaki. Almaklum saya berjalan untuk dua orang. Allianz Arena yang berlengkar-lengkar itu memang cantik. Saya dapat membayangkan pada malam ada acara, pastinya ia sangat cantik kerana pada waktu malam ia akan menyalakan lampu yang boleh bertukar warna.

Sudah sampai, kami ke FC Butik dan melihat barang-barang cenderamata yang dipamerkan. Ramai rupanya peminat Bayern Munich membeli-belah di sini. Kami sempat bergambar dan ke Allianz Butik sebelum kami berehat-rehat utuk meneruskan perjalanan ke destinasi lain pula. Pada waktu petang, kembara stadium adalah percuma tetapi kami tidak ikut sama kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan.
Destinasi seterusnya MarienzPlatz. Di sana kami bergambar di Rathaus ataupun Town Hall yang begitu unik dan merupakan antara kebanggaan Munich. Orang sangat ramai menyebabkan kami sukar untuk mengambil gambar sekeluarga. Sebelum pulang kami ke Odeon Platz dan ke Hard Rock Café.

28 September 2009

Autumn sudah datang!


Saya paling suka bila Autumn datang. Ya, kalau ditanya diantara 4 musim, yang mana paling saya suka, itulah jawapan saya. Kenapa? Sebab waktu autum paling cantik. Daunnya warna-warni dan udaranya segar (walaupun kena pakai jaket sebab angin sejuk).

Sekarang ini suhu sudahpun mulai turun. Purata suhu sekarang di Berlin lebih kurang 19-21 degree. Memang suhu tengah cantik sementelah matahari masih ada. Kalau di Malaysia memang ramalan cuaca tu memang tak pernah saya nak ambil pusing. Tapi bila di sini, selalu nak tengok ramalan cuaca, nak tahu suhu bagaimana barulah boleh merancang aktiviti (walaupun kadang-kadang ramalan tidak benar belaka).

Jadi kalau ada yang merancang hendak bercuti ke Europe masih sempat lagi (ada tak lebih dari 3 bulan sebelum winter datang). Autumn memang cantik dan mendamaikan. Harapnya tak adalah salji turun masa autumn ni (seperti yang terjadi di US tahun ini). Mmm.. tak sabar nak tunggu daun mapple bertukar warna...

27 September 2009

Makan-makan@ Wildenowstrasse 12A

Hardy dengan keknya
Senyum anak teruna saya bila dapat kek sempena hari jadinya yang ke 8. Tahun ini saya buat kek untuk dia sendiri. Balik dari sekolah bila nampak ibunya sibuk di dapur dengan kek dia dah teruja. Dia memang menanti hari jadinya ini. Jadi malam 16 September itu seperti yang diberitahu, kami sekeluarga menjemput rakan-rakan di Berlin makan-makan sempena hari jadi Hardy, iftar dan kelahiran Hana. Majlis 3 dalam 1 ini meriah juga. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi datang meraikan kami. Juga paling penting terima kasih kepada Manami yang sudi menjadi Chef memabantu saya menyediakan hidangan majlis ini.

tetamunya...

makanannya:-nasi minyak, ayam merah, daging kurma, agar-agar, bubur dan kek


hadiahnya:Hakimypun merasa main juga...

26 September 2009

Hanya yang pulang Nurein

Nurein
Di bumi asing ini
bahasa yang agung hanya bahasa dia
dan makannya tidak sama dengan kita
susuknya besar dan tinggi belaka
aduh! matanya cantik sekali
terpesona setiapkali memandangnya
lalu spontan kita terasa terlalu kerdil dibanding mereka
tapi kita tetap jaguh
bila sampai bilangan anaknya
paling ramai 2 dan
angka 3 sudah jarang kita melihatnya
kalau marah
emosinya hebat sekali
anak yang tidur boleh terjaga barangkali
petang di waktu musim panas
wanita dan anjing lebih banyak dijalanan
dari wanita dan anak-anak di taman permainan
senyumlah dengan bibir merahmu
dan pandanglah dengan mata kecilmu
mereka menyamataraf manusia dan haiwan
yang kita
tidak suka....
kau harus cepat besar anakku
agar cepat kau fahami budaya mereka

Nurein
selamat datang ke dunia
di bumi yang kita terasa janggal ini
kita harus bernaung dan menumpang teduh
harus bernafas walau terasa sesak
walau tidak lama
sesuaikan dirimu
kerana di bumi yang asing tetapi harus kita mesrakan ini
yang sebangsa dengan kita
hanya sekerat dua
hanya yang pulang Nurein
tiada yang datang
Gambar-gambar di bawah ini dirakam sempena kepulangan teman saya Ilmiah dan suaminya Nazri yang sudah 2 tahun di Berlin. Pulangnya mereka bersama Masters dan Master Irschad, permata hati yang lahir di Berlin sebulan sebelum kelahiran Hana. Pulangnya mereka mengurangkan lagi jumlah warga Malaysia di Berlin. Mungkin kegawatan ekonomi antara faktor yang memainkan peranan.
Buat Emy dan Naz, selamat pulang ke tanahair tercinta. Terima kasih kerana banyak membantu kami menyesuaikan diri di sini. Semoga kita akan ditemukan kembali di Malaysia nanti....

berposing di hadapan stroller Euro550...hehe mahal tu!


banyaknya barang yang hendak dibawa pulang...itu barang 3 orang tu. kalau kami balik esok entah banyak manala beg yang hendak diangkut ye


Irschad tertinggal kata Emy...serius betul bincang apa tah mereka ni

ini ada lagi barang ni jangan lupa masukkan...Emy dah cuak takut barang dia tertinggal sebab semalam mereka dah buang baju-baju banyak juga kerana ingatkan dah terlebih berat

25 September 2009

Gambar Raya 2009

Ini gambar raya keluarga kami (kredit kepada saudara Amir) yang dirakam di Rumah Malaysia, Berlin. Tahun ini memang nampak lain sikit kerana hanya saya dan abang yang memakai baju sedondon sedangkan anak-anak warna lain sikit (Hardy krim oren, Hakimy krim kuning dan Hana kuning oren). Baju raya ni memang dah siap dibeli dari tahun lepas lagi. Mujurlah muat untuk budak-budak ni. Cuma baju Hana saja kami beli di sini. Kami sengaja membuat kelainan tahun ini kerana abang kata untuk menunjukkan yang tahun ini kita tidak beraya di Malaysia. Hehe macam-macam....

20 September 2009

Salam Perantauan di Akhbar Kosmo!



Ikuti Salam Perantauan kami di
Akhbar Kosmo! 20 September 2009, bersamaan 1 Syawal 1430H
atau layari:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/special.asp?pr=salam_aidilfitri2009&pub=salam_aidilfitri2009&y=2009&dt=0920&sec=Album&pg=keluargaaedyfadlyramliberlinjerman.html

18 September 2009

Salam Aidilfitri dari Perantau



Kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam Aidilfitri untuk pengunjung setia blog, pembaca novel-novel saya, teman-teman, sanak-saudara, anak-anak saudara, adik-adik, abah dan mak. Walaupun tahun ini kita tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama, kenangan yang tercipta antara kita tidak akan dilupa.



Aidilfitri ini kami sekeluarga memohon maaf zahir dan batin atas segala perbuatan dan tingkahlaku kami sepanjang perkenalan kita. Mungkin mata pena saya tajam menikam hati anda, mungkin lidah saya berkata sesedap rasa mengganggu perasaan anda, mungkin perbuatan saya menyebabkan anda berjauh hati. Atas semuanya saya mohon maafkanlah saya. Juga yang rajin menjemput saya dan keluarga makan-makan/belanja kami makan, halalkanlah segala. Semoga Aidilfitri ini menjadi kenangan terindah dan lebih bermakna kepada anda. Berhati-hati memandu di jalan raya. Pastikan pulang semula, perut yang mengempis semasa puasa tidak membuncit semula! Selamat hari raya!



Salam dihulur untuk semua

Ampun dan maaf jua dipinta

Tahun ini kami tak balik beraya

Tahun depan double ek bagi duit raya

16 September 2009

Selamat Hari Lahir ke 8 Hardy

Inilah foto terkini anak teruna sulung saya Hardy. Kejap aje rasa dia dah besar. Hari ini 16 September 2009 genap 8 tahun umur dia. Teringat lagi saat kelahirannya, saya sendirian kerana jururawat bertugas sibuk menguruskan orang sebelah. Saat doktor memberitahu yang dia menghadapi conginetal heart failure, saya tenang menerimanya hingga doktor terpaksa mengulang kembali pernyataannya bila melihat reaksi dari air muka saya. Betapa anak lelaki saya ini berjuang untuk meneruskan hidupnya dengan ubat dan pembedahan. Alhamdulillah Allah memberikan saya dan suami kekuatan menghadapi dugaan ini bersamanya. Tidak setitik air mata saya tumpah di hadapannya demi menunjukkan saya seorang ibu yang tabah walau tembok ketabahan hati ini sering runtuh melihatkan wayar-wayar yang berselirat melingkari tubuhnya, mahupun tangisannya tatkala menahan kesakitan.

Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Tuhan menatap wajahnya lagi hingga usianya begini. Tatkala merenung wajahnya yang lembut dan penuh kasih sayang pada adik-adiknya terasa tenang di hati saya. Agaknya inilah yang dikatakan orang tua-tua sejuk perut ibu mengandung. Saya mendoakan agar dapat melihat Hardy sentiasa sihat hingga ke hujung nyawa saya. Untuk anak mama, Selamat Hari Lahir ke Lapan. Semoga menjadi anak yang soleh! Amin.

14 September 2009

Acara Bercukur Rambut Hana

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa Nabi s.a.w. mengaqiqah satu ekor kambing untuk cucunya dan berseru: “Hai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambut)nya. Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham.” - Maksud Hadis Riwayat Tirmidzi.

Maka pada hari Sabtu 5 September bersamaan 17 Ramadhan, Hana Nurein Fadly pun dicukur rambutnya. Terima kasih kepada Makcik Khadijah kerana sudi mencukurkan rambut Hana. Maktok Khadijah (dipanggil anak-anak) kebetulan datang ke Berlin kerana menyambut kelahiran cucu sulungnya Muhammad Irschaad di Berlin kira-kira sebulan lepas. Beliau alhamdulillah telah selamat pulang ke Malaysia beberapa hari lepas bersama anaknya Ilmiah yang telah tinggal di Berlin selama 2 tahun.

Inilah gambar-gambar yang sempat dirakam. Sebenarnya memang kami merancang untuk mengadakan majlis makan-makan tetapi tidak kesampaian disebabkan sedikit masalah. InsyaAllah majlis kesyukuran kelahiran Hana akan diadakan bersama-sama dengan hari jadi Hardy pada 16 September nanti.

Bila dah habis bercukur, rambut hendak ditimbang tetapi yang ada hanya penimbang kuih. Hendak timbangpun penunjuknya setiap 20gm dan rambut Hana tak sampai banyak itu. Kalau di Malaysia bolehlah ke kedai emas. Bukan kat sini tak ada kedai emas, tapi kmi tak tahu macam mana nak menerangkan kepada tokeh kedainya. Sudahnya rambut Hana disimpan dan dibawa pulang saja ke Malaysia, habis cerita.

Inilah wajah terbaru anak dara hamba! Masih comel? Hehe... Tengoklah mak dia...(perasan).

13 September 2009

Makanan Best dan Halal di Berlin

Hari tu saya pernah janji nak hantar entri pasal makanan best kat Berlin ni. Inilah antara makanan yang kami selalu makan selain Kebab... Turki.


Ayam panggang, Restoren Kanun
Ayam goreng, Restoren Kanun

Restoren Kanun ni memang terkenal dengan masakan ayam...baik ayam panggangnya ataupun ayam gorengnya memang power! Bolehla disamakan dengan ayam KFC kalau kat Malaysia tu. Kalau nak ke restoren ni dari Berlin Haupbahnhof, kena naik bas TXL dan turun di Turmstrasser/Beuselstrasse.

Nasi Kubideh (daging panggang) Restoren El Reda
Sayuran dan ulaman yang dimakan bersama nasi

Satu lagi restoren yang kerap kami kunjungi untuk makan nasi yang sedap ialah Restoren El Reda yang terletak selang sebuah dengan Restoren Kanun tadi. Yang selalu dipesan tentulah Jujeh (nasi bersama ayam panggang) dan Kubideh (nasi bersama daging panggang). Kedua-dua restoren ini memberikan air teh percuma kepada pelanggannya.

Jika ke Berlin, jangan lupa singgah kedua-dua restoren ini! Sambil jalan-jalan, kita makan-makan.

12 September 2009

Berhati-hati di Jalanraya



Saya menerima berita yang tidak gembira beberapa hari lepas dari adik saya yang mengatakan ibu dan bapa saudara saya kemalangan jalan raya. Menurutnya bapa saudara saya yang demam hari itu berkeras mahu ke klinik tetapi anaknya yang baru tiba dari Lumut tidak dapat membawanya ke klinik pada masa itu kerana keletihan memandu. Dia membawa ibu saudara dan cucu perempuannya ke klinik tetapi di pertengahan jalan dia pitam lalu melanggar semua kenderaan yang ada di hadapannya. Keretanya terbelah dua.

Mereka bertiga dimasukkan ke ICU Hospital Serting. Esoknya saya menerima berita sekali lagi yang mereka telah dikeluarkan ke wad biasa. Alhamdulillah tetapi saya begitu ngeri mendengarnya. Kemalangan dan dimasukkan ke ICU tentulah kemalangan yang besar.

Saya menulis entri ini sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua. Sempena perayaan yang bakal menjelma, kita kerap kali mendengar tentang kemalangan jalanraya. Kematian demi kematian, trajedi demi trajedi. Memang kita tidak biasa mengelaknya tetapi kita boleh cuba untuk mencegahnya. Perkara yang saya belajar dari kes bapa saudara saya ialah jika seseorang itu tidak sihat, dia tidak boleh memandu. Jadi orang yang sihat harus memandu untuknya.

Di musim perayaan ini dua perkara utama yang bleh kita lakukan ialah berhenti rehat terutama perjalanan yang jauh bagi pemandu yang keletihan. Tidur perlu secukupnya. Biar sampai lambat asalkan sampai dari cepat tapi tak sampai-sampai hinggakan perlu dihantar oleh ambulans ke hospital. Selain itu kenderaan yang dipandu harus diselenggara dengan baik sebelum berjalan jauh. Ini penting bagi mengelakkan kenderaan meragam yang melewatkan perjalanan kita nanti.

Kepada yang ingin pulang beraya tahun ini, saya ucapkan selamat memandu. Rancanglah perjalanan anda awal-awal supaya segala yang direncana berjalan lancar. Selamat membakar lemang dan ketupat dan beraya bersama keluarga tercinta!

ps-kerana sudah lama tidak memandu Hardy jadi was-was dengan kemahiran memandu ibunya ini. Dia kata mama mesti dah lupa bawa kereta. Saya gelak aje. Balik Malaysia nanti kita pandu ujilah kereta MyVi tu! Pegang kuat-kuat ye...sebab saya sendiripun ragu-ragu..tapi sudah tentu saya tak mengaku dengan dia.

09 September 2009

Cara Mudah Melipat T Shirt

Untuk yang tiada pembantu rumah dan ada anak ramai tentu sibuk menguruskan rumahtangga dan kerjaya serentak hingga tiada masa untuk melipat pakaian terutamanya Tshirt anak-anak. Baru-baru ini rakan saya di Berlin ada menghantar link menarik ini. Katanya bulan-bulan Ramadhan ni, elok juga kalau masa dapat dijimatkan dan digunakan untuk menambah ibadah.

Sesiapa yang berminat bolehlah melawat ke link di bawah. Saya sudah cuba dan ternyata memang berbaloi dipelajari. Selamat Mencuba!

http://www.youtube.com/watch?v=An0mFZ3enhM&NR=1&feature=fvwp

08 September 2009

Penangguhan Entri Kembara

Jika anda masih ingat, sebelum bersalin saya sempat mengembara ke beberapa tempat menarik sekitar Jerman dan ke Austria, Slovakia dan Hungary dalam kembara dengan keretapi saya. Cerita pengembaraan saya akan saya tangguhkan buat sementara waktu, insyaAllah selepas raya nanti bagi memberi kesempatan merasai kehangatan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi. Juga dengan lahirnya puteri saya. Sabar menunggu ye!

07 September 2009

Memperkenalkan: HANA NUREIN FADLY

Selepas mengetahui saya telah selamat bersalin dan dah tengok rupa anak dara saya ni, ramai yang bertanya apa namanya pula? Ada yang mengusik ada bunyi-bunyi Jerman ke? Bila saya beritahu namanya Hana, ada pula yang kata takkan nama Hana aje. Nama abang-abangnya semua canggih-manggih... Saya senyum saja. Bukan niat nak bagi orang tertanya-tanya. Kalau dalam novel saya, mesti ada unsur ala-ala Who One To Be A Millionaire 'Kita tunggu selepas ini' agaknya itulah yang difikirkan pembaca. Tetapi saya menunggu selepas 7 hari baru hendak umumkan namanya di sini. Selepas selamat bercukur, rasanya barulah molek saya umumkan namanya walaupun sebenarnya pada hari pertama untuk keluar hospital, saya harus menamakan dia terlebih dahulu.

30 Ogos 2009 - Gambar dirakam selang seberapa minit selepas kelahirannya.

Hari Kedua-31 Ogos 2009
Hari Ketiga-1 September 2009
Hari Keempat-2 September 2009
Hari Kelima-3 September 2009
Hari Keenam-4 September 2009
Hari Ketujuh-5 September 2009

Hana Nurein Fadly binti Aedy Fadly. Sebutan Nurein itu bukan Nurin tapi Nur Ain. Sebab dalam ejaan Jerman ein disebut sebagai ain. Nurein dalam Jerman bermaksud hanya satu. Nama Hana adalah antara nama yang banyak digunakan di Jerman yang bermaksud Tuhan merahmati aku dengan mengurniakan aku anak. Kalau dalam Arab, Hana Nurein bermaksud kegembiraan/kesyukuran cahaya mata.

Hana dijangka lahir pada 21 September 2009 bersamaan 2 Syawal kerana kami dijangka menyambut Aidilfitri di Jerman pada 20 September. Walau bagaimanapun Hana lahir awal 3 minggu dan memberi kesempatan kepada ibunya untuk beraya dan mengganti puasa selama 23 hari! Pada awalnya saya merancang untuk melahirkannya dengan kaedah bersalin di dalam air tetapi nampaknya angan-angan saya tidak tercapai disebabkan Hana terlalu cepat hendak dilahirkan. Saya ke hospital jam 5.30 pagi dan dibenarkan pulang pada jam 5.30 petang pada hari yang sama! Memang segala-galanya begitu pantas dan dia menjadi hadiah harijadi abang pada tahun ini. Rasanya inilah hadiah yang akan menjadi hadiah terbaik untuknya sepanjang hayat.

Inilah gambar-gambar yang sempat saya rakam dari detik dia dilahirkan hingga ke detik sebelum kepalanya digondolkan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...