30 Ogos 2007

Perjuangan Belum Selesai- Tun Mahathir

Sajak yang ditulis dan dibacakan oleh bekas PM kita suatu masa dahulu amat terkesan di hati saya. Bacalah bait-baitnya dan hati akan tersentuh. Inilah antara sajak paling best yang saya pernah dibaca dan disimpan kemas dalam folder ....


Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkandari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatihasalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negaramerdeka dan bangsa terpelihara
Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan, Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negarakerana makmur dan mewahnya bangsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri
Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadiwira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa kerana hanya bangsa yang berjayaakan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tandaBangsanya yang berjaya.
- Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)

JANGAN LEPASKAN PELUANG MENEMUI BARISAN PENULIS ALAF 21 DI PWTC

SEMPENA menyambut 50 tahun merdeka, Alaf 21 turut mengambil bahagian dalam jualan buku di PWTC pada 30 Ogos - 2 September 2007. Untuk kali ini, Alaf 21 dengan bangganya membawa barisan penulis yang akan menemui para peminat mereka di sana.
Oh, ya... pastikan anda mendapatkan buku-buku Alaf 21 yang terkini. Semua buku yang dijual akan diberi diskaun yang berpatutan.
Gerai Alaf akan dibuka dari jam 10.00 pagi - 6.00 petang.

29 Ogos 2007

Pesta Bunga Api


Sabtu lepas baru berpeluang untuk melihat pertunjukan bunga api. Datangpun dah lambat jam 8.30 malam. Orang dah ramai terutama di arena percuma di hadapan PICC. Dalam hati teringin untuk melihat pertunjukan bunga api muzikal, jadi hubby meneruskan pemanduannya ke PICC yang gah itu. Sampai di depan pintu masuk, hanya kenderaan yang telah membeli stiker boleh masuk. Jalan sudah mulai sesak di pintu masuk lalu saya beratur membeli sticker dan tiket yang langsung tidak diketahui berapa harganya. Kelakar pula bila tiada info berkenaan harga tiket dan sticker parking diletakkan hatta di hadapan kaunter tiket. Saya hanya tahu berapa harganya bila sudah penat beratur, betul-betul untuk bayar tiket di depan jurujual tiket.
Saya mengagak harganya tentu tidak mahal sangat memandangkan penonton boleh melihat secara percuma tetapi saya terkejut kerana dikhabarkan di depan kaunter tiket tu harga tiket ialah RM30.80 seorang dan sticker parking berharga RM10. Keseluruhannya untuk melihat pertunjukan api muzikal yang saya kononnya jakun nak tengok itu berharga RM71.60. Dalam hati sabar ajelah. Mungkin ini sebabnya penganjur tidak menunjukkan harga di depan kaunter tiket secara besar-besaran. Mungkin mereka bimbang, mengetahui harganya orang akan berpatah balik. Patut penganjur memberi maklumat awal tentang sitcker parking bagi mengelakkan kesesakan yang teruk. Kesesakan dan harga tiket memberi impresi awal yang tidak baik kepada penganjur.
Dengan tiket harga sebegitu dalam kepala saya, mesti susunan tempat duduknya lebih kurang seperti stadium atau paling bodohpun atas tempat duduk kayu berteingkat macam Royal London Circus. Tapi Tipah rupanya tertipu. Tiada tempat duduk langsung dan orang ramai hanya meilihatnya berdiri. Hingga ada yang berebut kerusi tempat makan. Harga nasi beriayani RM12 dan air coklat RM5. Jadi kalau hendak ke sana bawa duit dalam kuantiti yang agak banyak ye...
Pertunjukan bunga api muzikal pada malam itu adalah pertunjukan oleh Team Itali. Dengarnya mereka berlatih 3 bulan sebelum pertunjukan dan menggunakan 1000 man month jam bekerja dengan 40 tan bahan letupan digunakan. Itu info yang saya ingat2 lupa kerana saya hanya mendengar MC memberitahu sedangkan sepatutnya penganjur memberikan brosur kepada pengunjung. Berapa sangat harga brosur tu dari RM30.80 ye? Payah sangat fotostat aje, susah ke?
Malam itu saya dapat satu lagi pengalaman hidup, tengok pertunjukan api muzikal. Setiap lenggok bunga api itu mengikut irama lagu yang dimainkan. Seronok juga mendengar muzik dari hanya mendengar dentuman bunga api dilancar. Melihat bunga api dari sudut atas tidak mengujakan sangat kerana saya pernah melihatnya di Darby Park pada malam kemerdekaan. Pemandangannya cantik dan tajam. Kalau melihat dari bawah, kadang-kadang bila terlalu lama pertunjukan bunga api itu, pemandangan kita akan terhalang oleh asap. Bila bunga api dari sudut serong juga akan kelihatan begitu tajam dan cantik.
Siapa-siapa yang belum tengok lagi, masih ada kesempatan untuk melihatnya. Team Japan akan buat persembahan pada malam 30 Ogos manakala pusingan akhir pada 2 Sept. nanti. InsyaAllah saya akan datang lagi sebab parking tiket tu masih boleh digunakan cuma saya tak masuk ke kawasan pandang. Cukuplah sekali merasa. Duit tiket tu boleh beli nasi beriyani dan air coklat, kenyang perut. Kalau pergi jangan lupa bawa kamera video dan yang seangkatan dengannya. Ada fun fair dan kat tempat awam tu ada jualan makanan. Mungkin bawa tikar satu idea yang baik jika tak mahu duduk di atas lantai pejalan kaki. Kalau tak bawa pun tak apa sebab Putrajaya bukankah bersih? Bersedia dengan kesesakan lalulintas dan fikirkan alternative route untuk pulang ke rumah. Selamat berpesta!

25 Ogos 2007

Suka Motor?

Inilah dia motor Aprillia Fareez yang saya gambarkan dalam AA.


Saya bukan minah rempit tapi memang saya suka sangat dengan motorsikal (motor). Bukan apa, motor sudah menjadi sebati dengan hidup saya sejak kecil. Mula-mula dulu abah hanya naik basikal. Dah ada duit baru abah beli motor C70.


Kenderaan pertama yang saya belajar menaikinya tentulah basikal tetapi yang berenjin tulah motor. Masa tu saya baru darjah empat. Kaki pun terkail-kail tak sampai tapi sudah gatal nak belajar. Memang rutin di kampung saya budak-budak kecil lagi sudah belajar bawa motor. Rasanya sejarah kampung tu budak darjah satu. Punya terror dia bawa motor. Mak ayah saya geleng kepala risau takut eksiden tapi dia rilek je bawak dengan kakinya yang tak sampai itu.


Mula-mula belajar naik motor, saya langgar rumah, lepas tu pokok pisang. Kira sejarah saya jatuh motor kira dahsyat jugaklah. Bak kata orang, kalau bawak motor tak eksiden tak sah. Bila dah masuk universiti, saya bawa juga motor. Pernah saya eksiden siap terbang macam superman. Alhamdulillah. Masa tu saya ingat, nyawa saya takat tu saja.


Siapa kata kalau motor berhenti kita tak boleh eksiden? Pernah sekali masa cuti semester, kawan saya minta saya hidupkan enjin motor dia. Entah kenapa malang tak berbau, motor tu terangkat ke atas dan jatuh ke atas saya. Besar juga luka di lutut ni sampai sekarang berbekas.


Tapi saya tak pernah serik dengan motor. Dulu masa tak ada kereta, dengan motor pinjam saya bawa adik-adik keliling KL. Pergi lawat Muzium, Jalan TAR. Kira jalan kat KL ni, bolehlah kalau nak merempit. Sekarang ni dah ada keretapun saya masih ada motor. Mula-mula motor Modenas, lepas tu sekarang ni Nitro. Sekali pandang Nitro tu ada juga rupa Yamaha, warna biru. Tapi saya setakat merempit kat sini ajelah. Bila sudah dewasa ni, kena fikir dua tiga kali jugak kalau nak naik motor.


Saya pernah bercita-cita hendak beli motor besar sebab rasa seronok bila naik motor. Pernahlah rasa naik Virago pinjam, hubby bawak. Cita-cita itu semakin membesar dan saya simpan di dalam hati. Suatu hari nanti saya akan memilikinya juga. Ronda-ronda dengan hubby bila anak-anak semua dah besar ke? (terbayang aksi Rahim Rajoli dalam iklan Salindah). Harga motor tu saja dah sama macam harga kereta malah ada yang harganya sama macam beli rumah. InsyaALLAH kalau ada rezeki lebih, impian itu akan terlaksana jua.


Dalam dua novel saya, saya abadikan motor di dalamnya. Dalam LK, motor Virago dan RXZ milik Zuhairee manakala dalam AA motor Honda C70 untuk Cikgu Nik Mat dan Aprillia untuk Fareez. Motor apa pulak saya nak letak dalam novel-novel seterusnya? Saya masih berkhayal.

Elemen Budaya dalam LK : Perkahwinan Cina Melayu


Saya memang sudah biasa bergaul dengan kawan-kawan Cina. Dulu semasa di Tingkatan 4, kawan-kawan Cina saya akrab Chin Hooi (dengarnya sekarang pilot), Chee Wei, Chee Yue, Lisa Gan, yang lain-lain saya tak berapa ingat namanya. Bukan bermakna saya sengaja lupa tapi masa membuatkan kita tak berapa ingat, namun ingatan terhadap kenakalan mereka saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Dalam banyak-banyak tu tersesat seorang India, namanya Aravind Chandran (dengarnya sekarang dah jadi doktor). Setiap kali gagal Fizik dan Add Math, Chee Yue dan Aravind tempat hendak mengadu.


Kami memang rapat. Kalau Tahun Baru Cina, saya (Liza dan Wa) akan pergi menziarah ke rumah mereka. Masa ni masing-masing duduk merekut sebab takut kena gigit anjing. Bila masa raya, giliran mereka ke rumah kami. Paling nak tergelak, Chee Yue sakan mengejar ayam sebab kat pekan dia tak pernah jumpa ayam. Hidangan paling diaorang suka, rendang mak saya.


Ada la juga antara kami yang nak tercouple (saya terkecuali) sama ada di antara Cina Melayu mahupun Melayu India, tapi sampai kini, saya tak pernah dengar ada yang menjadi. Paling dekatpun, beberapa tahun lepas kawan saya yang lain begitu serius sehingga sanggup jumpa parent awek dia nak minta restu. Bukan mudah sebenarnya untuk kahwin campur ni. Tekanan-tekanan dari keluarga dan masyarakat payah nak ditepis.


Lalu saya abadikan impian saya melihat pasangan Cina Melayu berkahwin, saya lakarkan dalam LK. Selalu orang cakap, itulah untungnya jadi novelis, apa dia nak buat dia dapatkan dalam fantasinya dan diterjemah di kertas. Kepada kawan-kawan saya yang terbaca entri ini, harapnya dapatlah berhubung dengan saya. Kalau kita buat reunion pun seronok jugak.

SAMBUTAN majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki sungguh meriah dan unik sekali. Majlis perkahwinan ini dilangsungkan mengikut adat istiadat masyarakat Cina tetapi disesuaikan dengan tata tertib agama Islam. Pada hari bersejarah itu, Dzalia mengenakan sepersalinan ceongsam labuh berwarna merah. Potongannya sedikit diubah suai agar tidak kelihatan terlalu sendat. Majlis dimulakan dengan upacara minum teh yang ber-langsung di rumah Zuhairee. Pasangan pengantin akan tunduk sambil menuang teh untuk ahli keluarga yang lebih tua. Dzalia menurut sahaja bila Zuhairee menuang teh ke dalam cawan ibunya, Mak Cik Zakiah kemudian Zetty. Sebagai balasan, pasangan pengantin kemudiannya dihadiahkan dengan angpau mahupun barang kemas. Kemudian keluarga Zuhairee mempersilakan pasangan pengantin itu minum teh, disusuli pasangan pengantin menghadiahkan angpau kepada mereka. Setelah itu upacara sama dilakukan kepada keluarga di sebelah Dzalia.

Majlis seterusnya berlangsung di Parameswara Ballroom, Palace Beach & Spa di The Mines, Seri Kembangan. Berseri-seri wajah kedua mempelai dengan senyuman yang tidak lekang-lekang di bibir mereka menyambut kedatangan seramai lebih kurang 150 jemputan. Ahli keluarga Zuhairee yang lebih tua mempersilakan tetamu duduk yang boleh memuatkan sepuluh orang setiap meja. Upacara itu bermula dengan ucapan tahniah daripada para tetamu dan diikuti dengan upacara memotong kek setinggi lima tingkat. Kek icing berwarna merah jambu itu memang cantik. Mereka tidak ketinggalan bersuapan kek di hadapan tetamu. Kedengaran suara-suara nakal bersiulan mengusik pasangan pengantin yang malu-malu.

Selepas upacara memotong kek, Zuhairee dan Dzalia ditemani oleh saudara-mara masing-masing singgah di setiap meja untuk minum bersama jemputan dengan mengangkat gelas minuman (yamseng) sebanyak tiga kali sambil mengucapkan selamat kepada pengantin. Sebelum beredar, tetamu menghadiahkan mereka dengan angpau.

Zuhairee sempat berbisik ke telinga Dzalia memberitahu biasanya hongbao yang diberikan merupakan wang tunai secara berpasangan. Dzalia mengerutkan dahi tanda tidak faham. Zuhairee kemudiannya menerangkan bahawa wang hadiah itu akan diberikan secara berpasangan contohnya RM50 untuk pengantin lelaki dan RM50 untuk pengantin perempuan tetapi sekiranya tetamu itu belum berkahwin kebiasaannya mereka akan memberi kurang sedikit nilainya seperti dua helai not RM20. Hangboa yang ada nanti harapnya boleh membawa mereka berbulan madu, bisik Zuhairee lagi bergurau. Dzalia mengangguk-angguk tanda faham. Sikit-sikit Dzalia cuba menyesuaikan diri dengan suasana sambutan perkahwinan yang janggal baginya. Mujurlah Zuhairee tidak jemu-jemu memberi penerangan kepadanya. Sesungguhnya perkahwinan ini akan menjadi kenangan terindah dan teristimewa buat Dzalia.

Tanah Sekangkang Kera


Inilah tanah sekangkang kera yang Laila ada. Yang gambar memula tu gambar diambil semasa mula-mula pindah dulu kira-kira 6 bulan lepas. Yang kedua tu beberapa bulan kebelakangan ini.

23 Ogos 2007

Sahabat Gelapku

Tersengih-sengih. Kira-kira ala posing mautlah tu. Dari kiri Kak Eka Fahara, Kak Rose Harissa dan hujung sekali Kak Lynn Dayana (hehehe kakak-kakak jangan mare). Sekali jumpa memang gamat...itu belum Kak Lily Haslina, Lily Suriani, Aleeya Aneesa dan Umi Azrini masuk korum. Mungkin juga kalau tambah Dhiya Zafira tak tahu nak jadi apa....
Seronok bertemu kalian...

Elemen sejarah dalam LK : Menara Condong Teluk Intan


Siapa pernah pergi ke Teluk Intan? Menara Pisa Malaysia ini memang bernilai sejarah. Kesempatan ada saya rakamkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Lihat menaranya yang menyondong ke kiri.

Otaknya sudah penat berfikir. Dia sudah tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu, mana yang dia inginkan dan mana pula hanya harapan. Sudah habis dirondanya bandar Teluk Intan, akhirnya dia berhenti betul-betul di kawasan letak kereta di hadapan deretan kedai yang menghadap menara condong. Dia sudah betul-betul keletihan, minda dan fizikal. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi.

Dzalia keluar dari perut kereta, memeluk tubuh sambil melemparkan pandangannya ke menara di hadapannya yang menjadi jolokan Pisa Malaysia. Jam di menara itu berdenting lima kali. Me-nara itulah satu-satunya kemegahan penduduk Teluk Intan. Menurut sejarah, menara condong berbentuk pagoda itu dibina oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong pada tahun 1885 untuk tujuan menyimpan air bagi kegunaan penduduk Teluk Intan sebelum bekalan air dari Changkat Jong disediakan oleh kerajaan pada tahun 1919.
Menara itu mempunyai lapan tingkat. Yang menariknya, ia hanya mempunyai tiga tingkap dan di bahagian atas sekali terletak satu tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Menara itu hampir dirobohkan oleh kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua dahulu kerana dikhuatiri akan menjadi tanda kepada serangan kapal terbang Jepun. Tetapi atas bantahan penduduk, rancangan itu telah dibatalkan.

Kini, sekitar menara itu telah disimen bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan untuk memeriahkan mercu tanda kebanggaan Teluk Intan itu. Hari ini sedang berlangsung satu pameran kereta di situ. Kelihatan beberapa buah kereta Proton dari pelbagai model dipamerkan. Kelihatan juga beberapa orang remaja asyik bermain kereta kawalan jauh tidak jauh dari situ. Asyik dia memerhatikan kerenah orang ramai di situ tetapi masalah di pundaknya belum juga mahu menyusut.

Tubuhnya tiba-tiba terasa sejuk. Dia lantas masuk ke kereta lalu menghidupkan enjin. Dia harus segera pulang jika tidak mahu demam. Akhirnya, Dzalia memecut meninggalkan bandar Teluk Intan yang semakin suram. Senja bakal melabuhkan tirainya.

20 Ogos 2007

Mari menonton House of Flying Daggers


Saya dah menontonnya entah berapa kali dah. Ini filem dah lama. Habis masak nasi tomato siang tadi, tetiba je teringin nak menonton citer HFD ni. Apa yang menariknya filem ini? Heheheh... selain heroinnya Zhang Xi Yie yang putih melepak tu tentulah heronya Takeshi Kaneshiro. Dia berdarah Taiwan dan Jepun fasih 5 bahasa. Masa dia datang Malaysia dulu, saya tak berkesempatan berjumpa dengannya (sebab tak tahu pun dia datang).


Filem ini mengisahkan dua orang konstabel yang telah diberikan tugas menjejaki ketua baru Flying Daggers iaitu Jin (Takeshi) dan Leo (Andy Lau). Mereka merancang untuk menghantar semula Mei iaitu anak kepada bekas ketua Fling Daggers yang buta (Zhang Zi Yi) ke Flying Daggers dengan Jin menyamar sebagai orang awam yang bencikan kerajaan dan Leo bersama askar mengikuti mereka di belakang.


Tanpa disedari Jin dan Mei jatuh cinta sepanjang perjalanan mereka. Dipendekkan cerita apabila sampai ke Flying Daggers didapati Mei tidak buta dan Leo adalah bekas kekasih Mei yang dtugaskan sebagai perisik kerajaan untuk Flying Daggers.


Cerita ini menarik disebabkan jalan cerita dan make beliefnya yang menjadi. Mati-mati kita percaya yang Mei tu buta tetapi rupanya hanya berpura. Selain daripada itu elemen twist and turnnya cukup menjadi. Beberapa kali kita menjangkakan sesuatu tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Sinematografinya memang superb! Pemandangan cantik menjadi latar cerita ini. Aksi kungfu tak payah ceritalah. Dari pisau terbang sampai adegan lompat pucuk buluh. Hebat tu! Filem ini cukup rencah lantas tidak hairan filem ini tercalon dalam Anugerah filem Cannes 2004. Jika ada kelapangan menonton filem ini bagus juga. Pergilah ke kedai CD yang berhampiran!

17 Ogos 2007

Laporan kemajuan kelas jahitan

Macam suspen aje. Ada-ada saja Laila. Saja buat gempak biar fius Rose terbakar. Hari ini belajar gunting tengkuk dan jahit mata lalat. Mende mata lalat? Kenapa tak mata beruk ke mata gajah ke ataupun nak buat lebih gempak bubuh je mata citcibo.... Tahu ke citcibo? Ala yang macam kapal terbang tu.... Pepatung la... Nama saintifik orang Perak bagi citcibo....
Huh, ada tugasan baru. Menggunting baju untuk buat baju kurung, jahit tepi, cantum lengan hantar sulam. Ini baju kurung kedua tau.....jeng jeng jeng...

Yeye! Cuti Sekolah

Hahahaha...
Tatkala membaca entri ni memang semuanya tengah kembang. Gumbira sesangat cikgu dapat cuti. Pagi tadi saya sibuk tanya ank murid cuti sekolah nak buat apa. Maklumlah cikgu nak cuti terlebih teruja dari anak murid sendiri.
Ek eleh...jawapan mereka main basikal, main masak-masak, tengok kartun, yang standart tinggi siket tengok DVD Garfield. Hehhehe releklah Laila...Oklah tu standard jawapan budak sekolah rendah..apa yang ko merepek ni....
Bila loceng berbunyi...semua orang dah angkat kaki tapi saya masih lagi jadi antara orang terakhir meninggalkan sekolah. Pulak...tadi teruja sangat....mende ni jiwang-jiwang..sentimental tahap gaban...
Akhir sekali duduk dalam kereta baca novel...saya ada kelas jahitanla...macam mana nak balik....
Waaaaa....

15 Ogos 2007

Kelas Menjahit? Bolehke?

Hehehehe.....
Abang gelak. Lynn dan Rose siap pandang saya atas bawah. Sesiapapun kalau kenal saya reaksinya serupa. Si keras tangan ini nak buat lawak antarabangsa ke apa? Terus-terang saya juga tidak berapa yakin dengan kebolehan diri. Saya tahu di mana kekurangan dan kelebihan saya. Bagi kain? Kalau bagi komputer atau kertas lain pulak.
Tapi mengapa tidak mencuba? Jangan tidak percaya jika saya katakan semenjak dua menjak ni, saya sudah boleh menjahit manik dan labuci baju kurung saya sendiri. Nak bukti? Nanti bila lapang saya hantarkan gambar. Tapi tidaklah sampai nak mengambil upah ye. Baju sendiripun setakat lepas (sebab saya ada banyak manuskrip tak siap!).
Perkembangan terkini. Saya sudah boleh menggunting baju kurung. Sedang mencantumkan helaiannya menjadi baju kurung. Umi (cikgu jahit) kata pastikan hari raya ni, ada satu sorang baju yang dijahit sendiri. Hehehehe...bolehke? InsyaALLAH... tadi baru jahit piping baju.
Tak sangka ye, orang keras tangan pun boleh jahit-menjahit ni... Itulah...belum cuba belum tahu. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Manuskrip bila nak siap? Waaaaaaa.....

Murid-murid Kesayangan Laila- Anak-anak Syurga

Salam semua,
Entri ini memang sudah lama ingin saya tulis tetapi beberapa halangan terutamanya ketiadaan internet membantutkannya. Sudah lebih sebulan saya mengajar di sebuah sekolah rendah. Alhamdulillah saya semakin boleh menyesuaikan diri.
Anak-anak murid saya, anak-anak syurga.
Saya diberikan dua subjek untuk mengajar iaitu Major-Pendidikan Khas dan Minor-Kemahiran Hidup. Bagi Major saya mengajar Bahasa Melayu. Anak-anak murid saya ada 7 orang sahaja. Jangan hairan kerana murid istimewa hanya maksima 7-8 orang sahaja dalam satu kelas. Biarlah saya namakan mereka dengan huruf depan saja.
Ada 3 kumpulan dalam kelas 2 di mana saya mengelaskan mereka mengikut tahap kemampuan murid. Kump. 1 paling lemah di mana saya mengajar mengecam dan membunyi suku kata KV (konsonan vokal seperti ba, ca). Kumpulan 2 sederhana di mana dia sudah diajar membaca petikan pendek. Kumpulan 3 paling baik di mana mereka sedang diajar memahami teks bacaan dan menyusun semula perkataan supaya menjadi ayat bermakna.
H ialah kanak-kanak perkembangan lewat (lembam) yang punyai jiwa kepimpinan yang tinggi. Dia ibarat ketua kelas yang sentiasa memastikan adik-adiknya sentiasa mengikut peraturan dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan baik. Dia juga sentiasa rajin membantu guru-guru.
F juga kanak-kanak lembam yang mudah tersinggung. Jadi jika dia tidak dapat menyiapkan lembaran kerja dengan betul semua, dia mudah berasa hati.
F2-kanak-kanak Sindrom Down yang sangat manja dan paling kecil. Semua abang dan kakak di kelas ini selalu risaukannya yang agak hiperaktif. Jika lalai dia akan hilang dengan tiba-tiba.
K- murid hipoaktif. Berlawanan dengan hiperaktif, murid ini paling diam dan lambat. Walau sudah bersekolah 4 tahun, sekalipun beliau tidak pernah bercakap dengan sesiapa tetapi di rumah dia boleh berkomunikasi dengan baik dengan keluarga. Jika digeletek, beliau tidak menunjukkan sebarang reaksi.
H2- murid lembam yang suka berceloteh dan tak reti duduk diam tetapi rajin hendak belajar. Suka merajuk juga dan kadang-kadang menangis hingga saya harus memujuknya dengan pelbagai cara.
N-murid lembam yang bila membaca terlalu perlahan suaranya. Perempuan tapi gemar sungguh dengan kereta.
A-murid lembam yang paling pintar. Dulu pendiam, sekarang mulutnya bukan main lagi!
Bagi kelas Kemahiran Hidup, saya ada 7 orang murid juga. Ada 2 kumpulan saja di mana Kump. 1 sudah boleh mengurus diri sendiri manakala K2 masih memerlukan bimbingan guru.
M-Murid Sindrom Down yang deria rasa terhadap habanya kurang. Bermakna jika diberikan benda panas, dia masih boleh mengatakan benda itu sejuk.
H-Murid Sindrom Down yang suka mencuba untuk bertutur walaupun apa yang dicakapkannya sukar untuk difahami.
D-Murid Sindrom Down yang suka kata mamanya ada segala!
J-Murid autisme yang suka mengulangi pernyataan orang lain (ekolalia). Contohnya saya kata kepadanya "J, duduk!" dia akan kata "J, duduk!" tetapi dia faham arahan saya dan dia duduk. Kadang-kadang bila anginnya bagus, dia akan ketawa sahaja.
H-Murid Autisme yang istimewa. Dia punyai bahasanya sendiri. Mula-mula dulu saya ingatkan dia bercakap bahasa Jawa tetapi ternyata salah. Dia akan menyelitkan apa yang cuba disampaikannya di antara bahasa peliknya. Contoh : "Cikgu, blastua bare naikbas tetere ekkele" Beliau kata Cikgu naik bas. Beliau pandai mereka cipta sesuatu hinggakan kadang-kadang sesuatu alat apabila digodeknya boleh bergerak. Lukisannya juga cantik dan bila mewarna beliau boleh menggunakan kedua-da belah tangannya serentak.
A- Murid Autisme yang sentiasa menekup lubang telinganya dengan jari. Dia mendengar ada suara lain di dalam kepalanya. Sangat comel dan manja.
M-Murid lembam yang merupakan kakak kepada adik-adik di kelasnya. Manis dan sentiasa tenang.
Anak-anak murid saya, sungguh istimewa. Bagaimana pendapat anda? Tatkala memerhatikan telatah mereka, hati menjadi tenang, umpama melihat bidadari kayangan menjelma di depan mata.

14 Ogos 2007

Ceritanya atau Orangnya?

Kalau ada anugerah yang boleh saya undi untuk drama bersiri Inggeris terbaik yang ditonton sepenuhnya tentulah saya akan undi drama bersiri popular yang digilai ramai sejak tahun lalu dan masih menjadi pilihan saya untuk 2 musim berturut-turut iaitu PRISON BREAK. Dan ketika ini tentulah kalau anda peminat fanatik siri tersebut, wajah-wajah pelakon-pelakonnya tentu akan terbayang di depan mata.

Tamat saja musim kedua, Michael Scofield, Lincoln Burrows, Fernando Sucre dan Theodore Bagwell, itulah kisah 4 lagi Fox River Eight yang masih lagi menjadi tanda tanya. Kalau mengikuti kisahnya dari awal musim, saya pasti ramai yang tidak sabar-sabar untuk menonton musim ketiga yang akan mula ditayangkan di US pada September nanti. Dan sudah tentu saya juga tidak mahu melepaskan peluang menonton sambungan ceritanya serta orangnya kerana kedua-duanya iaitu jalan cerita dan pelakon-pelakonnya terutamanya si hero, Wentworth Miller sangat berbaloi untuk ditonton.
Kehebatan siri ini terletak pada jalan cerita yang boleh membuatkan anda melekat di kerusi sepanjang masa, penuh dengan adegan suspen yang mana anda tidak jangka apa yang akan berlaku seterusnya namun setiap masalah ada saja penyelesaiannya samada secara langsung atau tidak. Kalau di musim pertama, strategi digunakan untuk melepaskan diri amat unik dan kreatif (tabik spring kepada creative team cerita ini), di musim kedua pula lebih mendebarkan dengan kisah perlarian banduan tersebut. Dan saya jangka musim ketiga akan lebih menarik dengan penamat musim kedua telah meninggalkan hint2 dan tanda tanya yang cukup menarik untuk dirungkaikan dalam musim ketiga nanti.

Rangkaian pelakonnya yang diketuai oleh Wentworth Miller (Michael Scofield) cukup berbakat. Lakonan Miller yang sentiasa cool dan 'cute' amat meluruhkan hati dan jantung wanita yang memandangnya. Lakonannya amat berkesan sehinggakan dia pernah dicalonkan anugerah Golden Globe untuk wataknya ini. Satu lagi pelakon yang memberikan lakonan hebat ialah T-Bag (lakonan Robert Knepper) yang membuatkan saya terasa amat benci dengan dirinya kerana kejahatannya telah melepaskan dirinya daripada banyak masalah. Tidak hairan jika Entertainment Weekly mengiktiraf T-Bag sebagai "TV's Best Villains".
Baik cerita atau pelakonnya, saya rasa kedua-duanya telah berjaya. Tak sabar saya nak tunggu musim ketiga. Rose Harissa, bila lagi kau nak email lukisan Wentworth kat aku?

13 Ogos 2007

Siapa aku di hatimu

Akulah dahan
tatkala ranting tempat berpaut itu patah
Akulah pantai
tatkala ombak datang
Aku ini siapa
Bila hatimu reda
Benarkah aku hanya butiran pasir
Hanya layak menumpang di kaki
Tatkala air menyapa, ditinggal pergi
Akulah itu?

12 Ogos 2007

Teka teki: Siapa boleh jawab?

Kadar Bayaran Meletak Kereta

Sebelum jam 7.00 malam
Sejam yang pertama-RM3
Jam yang berikutnya-RM1.50

Selepas jam 7.00 malam - RM4 sekali masuk

Soalannya : Berapa RM kah yang perlu dibayar oleh seorang pelanggan yang meletakkan keretanya di Hotel Grand Season pada jam 6.30 petang dan keluar pada jam 8.00 malam?

Siapa boleh jawab? Kalau jawapan anda tepay memang anda terror!

09 Ogos 2007

Streamyx Oh Streamyx

Sabar ajelah. Penderitaan bermula dengan pendaftaran telefon rumah sebagai syarat untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Tak silap masa tu masih dalam bulan April. Pergi ke TM Kajang, dikhabarkan tunggu kerana kawasan rumah baru. Lama juga menunggu. Telefon 100 tanya status, penat sebab asyik tunggu operator TM yang sibuknya mengalahkan Pak Menteri. Jadi saya pergi sekali lagi ke Kajang. Tengok-tengok TM tu dah pindah pulak ke bandar Kajang dekat dengan Metro Kajang tu. Tahu ajelah bandar Kajang, nak cari parking.... Saya diminta menunggu lagi.
Masuk bulan Jun, bila sudah ada talian didaftarkan di kawasan rumah, saya pergi ke TM Kajang lagi. Saya menunggu hampir 2 jam sehingga saya kena saman oleh MPKJ sebab parking tamat tempoh (saya kena saman 4.45 sedangkan saya kembali ke kereta jam 5.15). Mungkin kerana marah sangat menunggu saya langsung terlupakan untuk memasukkan tambahan duit syiling ke dalam mesin parking.
Awal bulan Jun 2007, telefon pun berjaya didaftarkan. 15 Jun 2007, daftar pulak Streamyx dan sejak hari itu, kami tidak pernah dapat mengakses internet melalui Streamyx yang didaftarkan. Tiga minggu dah berlalu. Sudah berpuluh panggilan ke talian TM telah dibuat dan jawapannya tetap sama... masih tidak berfungsi. Dan saya dan suami dah tak larat nak menunggu perkhidmatan streamyx ada di rumah. Lalu kami pasrah. Bosan!
Hari ini tanpa diharap dan tidak semena-mena ada orang TM telefon kata perkhidmatan ini sudah boleh beroperasi.
Siapa tak penat menunggu sebegini lama? Kalaulah ada, manusia itu paling sabar dalam dunia dan saya tabik spring.
Lynn Dayana dan Rose Harissa yang petang tadi komplen pasal Laila yang tidak mengemaskini blog, kalian tunggulah! Aku akan kotakan kataku. Selama ini hanya cyber cafe sebagai teman. kini cafe itu ada di rumahku... Tunggu....Jangan sampai muntah membaca tulisan aku yang merapu-rapu!

Langkawi kini dikenali Langkawi Geopark


Pada tahun 1987, Langkawi telah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai dan telah dinaiktaraf kepada Bandaraya Pelancongan Langkawi pada tahun 2001. Bagi mengekalkan Langkawi sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia, unggul dan kompetatif, Langkawi perlu memperkenalkan produk-produk pelancongan baru selain mengekalkan aktiviti-aktiviti pelancongan sedia ada. Berdasarkan kajian yang dibuat melalui usaha sama LADA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Langkawi telah dikenalpasti berpotensi menjadi Taman Geopark yang pertama di Asia Tenggara dan akan menjadi satu lagi daya tarikan kepada pelancong-pelancong di seluruh dunia. Keunikan Langkawi Geopark berbanding dengan Geopark-geopark lain di dunia seperti di Negara China ialah Langkawi Geopark merupakan satu kawasan seluas 478 km persegi merangkumi 99 buah pulau yang mempunyai semua elemen geopark seperti batu-batan, tasik, gua, flora dan fauna dan sebagainya.
Langkawi Geopark adalah penjenamaan baru Langkawi untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang berasaskan pelancongan. Langkawi Geopark merupakan konsep pembangunan yang mengambil kira keseimbangan antara keperluan melindungi, memelihara dan memulihara sumber alam semulajadi dan pembangunan pelancongan yang dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat. Ianya adalah berteraskan alam semulajadi dengan mengetengahkan keistimewaan dan keunikan unsur geologi, flora dan fauna yang terdapat di Langkawi.

Visi Langkawi Geopark adalah untuk memberi peluang kepada semua peringkat masyarakat sama ada pelancong, pelajar atau masyarakat tempatan mengenali, menikmati dan menghargai peripentingnya warisan geologi. Selain daripada mengekalkan keindahan semulajadi, ianya juga akan menjadi penyumbang penting kepada ekonomi tempatan.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang bersidang pada 31 Mei 2006 telah memutuskan untuk mengisytiharkan Pulau Langkawi sebagai Taman Geopark yang pertama di Malaysia. Pada 1 Jun 2007 Langkawi telah diisyhtiharkan sebagai Geopark ke 52 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara oleh UNESCO.

p/s: Jom ke Langkawi Geopark...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...