Memaparkan catatan dengan label Berlin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berlin. Papar semua catatan

10 November 2015

(EKSKLUSIF!!!) James Bond (007) Premiere di Berlin

Pertama kali saya mendapat tahu Bond Premiere akan diadakan di Berlin adalah melalui web Hotfm minggu lepas yang menganjurkan peraduan kepada pendengar bertuah yang akan diterbangkan khas untuk ke Premiere di Berlin. Setiap kali filem Bond yang baru dilancarkan, ia akan mengadakan Tayangan Perdana di Potsdamer Platz. Sebenarnya kami sudah 2 kali ke sana, berjalan-jalan di Sony Center di Potsdamer Platz dan mencari peninggalan Tembok Berlin yang masih lagi terdapat di kawasan tersebut.

Bila sudah tahu James Bond akan datang, maka dalam kepala, 'Apa salahnya menambah satu lagi pengalaman dalam hidup.' Maka 3 November itu selepas solat Maghrib jam 4.40 petang, saya dan anak-anak memulakan perjalanan ke sana. Hari sudah gelap dan hujan gerimis. Suhu rasanya bawah dari 7 darjah. Kami kuatkan semangat kerana dah bersiap sakan. Perjalanan harus diteruskan! Kita tidak harus patah semangat (kata si ibu memberi semangat pada anak-anak). Hakimy awal-awal dah mengalah. Baru 3 minit berjalan sudah nak berdukung, namun ku gagahkan jua kaki ini melangkah.

Kami tiba di Zoologisher Garten jam 5.30 petang. Menunggu abang yang habis kelas sekitar 5.30 juga. Dalam 15 minit, abang dah sampai. Kami meneruskan perjalanan 6 stesen lagi ke Postdamer Platz. Sampai di sana, mak ai... orang dah beratur sepanjang red carpet. Mestilah kat luar pagar. Jam baru menunjukkan angka 6. Awal lagi ni sedangkan aturcara dijangka bermula jam 7.00 malam. Kami menunggu di depan pintu masuk. Rasanya port tu memang cantik sebab ada kerusi dan budak-budak ni boleh naik atasnya. Dari cakap-cakap pengawal keselamatan tu, Daniel Craig akan masuk betul-betul di hadapan kami, sebab jalan raya kat tepi bangunan tu aje.

Saya pandang pengawal keselamatan itu. Saya lihat dia bercakap sesuatu dengan menggunakan alat perhubungannya sambil terjenguk-jenguk ke arah jalan raya. Agaknya dah nak sampai, fikir saya. Saya tengok jam, sudah 7.00 malam. Tapi rupanya bukan. Yang ada di depan jalan, kereta limosin putih yang panjangnya memang saya tak pernah nampak kat Malaysia. Entah siapalah yang turun (saya bukan kenal sangat artis Hollywood ni).

Tapi lepas tu pengawal tu bagi kami masuk ke sebelah kanan supaya kami isi bahagian red carpet yang di sebelah kanan yang kosong. Kami masuk dan berdirilah menanti Daniel Craig yang entah bila akan tiba. Peminat sudah menjerit bila nampak artis kegemaran mereka lalu di red carpet. Saya? Langsung tak kenal siapa. Setakat melihat saja di hadapan khalayak, artis tu akan berselfie dan tandatangan autograf. Satu yang saya tengok beza dengan artis di Malaysia, artis sini memegang kamer kita dan dia yang mengambil gambar itu bersama kita. Jadi gambar itu lebih jelas dan ada personal touch.
Suasana malam di Sony Centre semakin riuh. Mujurlah anak-anak saya cukup sporting malam itu. Orang ramaipun mereka rileks aje dan turut sama teruja (ini berkat latihan yang cukup berada dalam situasi ramai orang ni haha).

Saya dah siap dengan video cam dan buku untuk diautograf di red carpet. Sebelahnya suasana malam itu, di Sony Centre.

Berhadapan dengan Sony Centre, diletakkan poster besar Filem 007 Quantum of Solace dan di tengahnya ada pentas besar. Di sinilah semua artis dan krew utama akan diambil gambarnya oleh jurugambar majalah dan diwawancara oleh wartawan dari seluruh stesen TV dunia.

Giant poster dan pentas utama (banyak sangat cahaya jadi kamera amatur ni tak dapat ambil gambar cantik).


Akhirnya jam 7.30 malam Daniel Craig muncul. Ingatkan dia akan berjalan dari tempat kami mula-mula tunggu, rupanya dia ada dalam konvoi kereta Audi yang masuk. Sebaik kereta itu berhenti. Dia keluar. Dia membetulkan butang sut blazer (seperti di dalam filem Bond lakonannya) dan turun mendapatkan peminatnya di sebelah kiri. Dia menandatangani autograf dan mengambil gambar bersama peminat. Peminat yang berada di sebelah kanan sudah terjerit-jerit memanggil nama Daniel Craig. Sekejap saya tengok, abang yang ada di sebelah sudah hilang. Dan saya memegang kedua-dua anak teruna saya takut hilang ditelan kegilaan peminat Daniel Craig.

Inilah dia Danial Craig yang ditunggu-tunggu. Tak adalah hansome manapun (memang saya dah lama tahu) tapi bakat lakonan dia yang sangat saya kagumi.


Oh! Rupanya si suamiku yang tercinta itu sudah mendapat hasilnya. Tada!

Beginilah situasi abang dengan Daniel Craig menurut cerita dia hehe:
"Do you have a camera with you?" tanya Daniel. Abang sepantas kilat menyerahkan kameranya kepada Daniel dan dengan memegang kamera di tangan kanannya, Daniel terus mengambil gambar mereka berdua. Agaknya disebabkan terkejut dan excited dengan pelawaan Daniel bergambar, abang terus menjerit "Allllright...!" Itu yang ternganga lebih tu.
"Thank you Mr. Craig", jerit abang.

Bila dah dapat bergambar dengan Mr. Bond maka misi pertama sudah tercapai. Oh! Saya belum dapat tandatangan autograf Daniel. Itu misi ke dua. Abang sudah merakam suasana malam itu dengan kamera video. Saya dan anak-anak pergi ke belakang pentas. Kami merakam suasana malam itu untuk disimpan dalam memori kami. Sesekala kami asyik melihat skrin besar yang menayangkan gelagat Daniel Craig bersama peminatnya. Gambar perjalanan majlis malam itu dari atas pentas juga turut ditayangkan. Wanita yang menjadi komentar malam itu agak cantik juga. Dia memakai pakaian hitam dan make upnya nampak natural.

Lampu-lampu kamera memancar bersimpang-siur. Jurukamera bersama kamera yang besar, sibuk membawa tangga kecil supaya mereka boleh mengambil gambar pada spot yang bagus. Ada juga temuramah oleh stesen TV di belakang pentas. Dalam masing-masing sibuk, saya terpandangkan pintu belakang Cine Star di mana tayangan perdana bakal berlangsung itu dibuka bagi membolehkan peminat masuk. Saya dan anak-anak masuk dan dapatlah spot baik punya di lobi panggung.


Daniel menandatangani buku autograf saya. Itulah tandatangan Mr. Bond kita.

Semasa Daniel berada di depan saya dan menandatangani buku autograf (buku kuliah abang), saya macam tak boleh berfikir dah. Agaknya sebab dalam kepala saya cuma nak bagi misi mendapatkan tandatangannya. Masa tu dia bercakap dengaan kami.

"Watch out for the children down here!" jerit Daniel. "Hello boys!" Dia senyum kepada Hardy and Hakimy. Dan masa tu abang tengah sibuk menahan orang daripada menolak anak-anak kami. Kamera ada pada dia. Kenapalah otak saya lembap berfikir. Kalau saya bagi kamera itu pada Daniel tentu kami dapat bergambar dengannya anak-beranak. Itulah kesilapan terbesar saya malam itu!




Tak dapat bergambar dengan Mr. Bond maka saya dan anak2 bergambarlah di depan posternya.... Malam itu satu kenangan dan pengalaman baru dalam hidup dapat dikutip. Ia akan jadi kenangan pada kami sekeluarga. Bertemu, bertentang mata dan bercakap dengan Mr. James Bond 007!

Posting pertama 4 November 2008. Dipost semula sempena tayangan SPECTRE 2015.

07 Jun 2010

Madame Tussauds Berlin, Germany


Madame Tussauds Berlin merupakan destinasi terakhir lawatan kami sebelum pulang ke Malaysia. Ada beberapa entri Kembara Eropah yang akan saya paparkan sedikit masa lagi. Untuk kali ini saya cuma ingin berkongsi keseronokan meninjau Madame Tussauds di Berlin.

                                    
Madame Tussauds merupakan muzeum patung lilin terbesar di dunia. dengan mempunyai beerpa cawangan di bandar-bandar utama dunia seperti London, Hong Kong, Berlin, Washington, Vegas dan lain-lain, sudah pastilah kunjungan ke muzeum ini akan menjadi kemestian bagi sesiapa yang melawat ke bandar-bandar tersebut.

Berikut saya paparkan kehalusan seni patung lilin tersebut serta aksi kami sekeluarga bersama celebriti terkenal di Madame Tussauds Berlin... Enjoy...;)


Detailnya patung lilin sehinggakan urat tangan pun diabuat dengan begitu rapi menyerupai pemilik sebenar.


Mikhail Gorbachev

Presiden Barack Obama (kami jumpa dulu sebelum Dato Najib jumpa hehehe...)

Press Conference bersama Angela Merkel (Cancelor Germany) 

Presiden Perancis, si romeo Nicolas Sarkozy

Albeit Einstein E=MC2

Sesi terapi dengan Dr Sigmund Freud


Abang dengan Sven Goran Eriksson (bekas jurulatih England, sekarang jurulatih Ivory Coast)

Hardy dan Kimy dengan band Bono kalau tak salah saya...

Alahai Tom Cruise

Anak-anak lepak dengan Robbie Williams


Dating dengan George Clooney... jangan marahh...;)

Hana dengan Pakciknya Leonardo diCaprio

Kimy nak jadi Pirate sama cam Uncle Johnny Depp

J-Lo

Nicole Kidman

Ahli Beatles ke 5-7

Kenanganku bersama Micheal Jackson

Tentu anda tertanya-tanya siapakah karekter yang paling mahal setakat ini yang pernah dihasilkan? Kita sedia maklum bahawa karekter-karekter ini memang mahal tetapi setiap karekter berbeza kos menghasilkannya. Bahagian mana yang paling mahal dan susah hendak dibuat? Jawapannya ialah bahagian rambut. Paling banyak rambut, paling mahal sesuatu karekter kerana rumitnya untuk menghasilkan rambut yang benar-benar menyerupai karektor sebenar. Setakat ini Beyonce merupakan karektor termahal pernah dihasilkan. Walau bagaimanapun mulai tahun ini atau awal tahun depan, Shrek akan menandingi Beyonce kerana karekter Shrek yang tinggi dan paling banyak rambut. 

01 Februari 2010

Panduan Menghantar Cenderamata ke negara EU

Saya pasti tentu ramai yang punya teman-teman di seberang laut. Kadang-kadang terasa nak hantar hadiah pada teman-teman yang sudahpun lama tidak kita jumpa. Ada ketika, bagi mereka yang tinggal di luar negara pula, terasa hendak mengirim cenderamata istimewa yang melambangkan negara yang kita tinggal itu kepada teman-teman, mengatakan kita sangat menghargai mereka. Tambah-tambah jika orang itu yang dekat dengan hati seperti teman istimewa, keluarga mahupun sekadar teman tapi mesra, mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, kegembiraan si penerima dengan hadiah kiriman kita kadang-kadang tercalar dengan bayaran cukai yang dikenakan kerana menerima hadiah dari kita. Di negara EU (European Union), kadar cukai VAT (berbeza mengikut negara, di Jerman 19% dari harga nilai taksiran barangan ) biasanya dikenakan kepada mana-mana bungkusan yang masuk ke negara tersebut.

Jangan terkejut jika hadiah itu cuma berupa beberapa helai Tshirt, keychain ataupun fridge magnet (sekadar menamakan barangan cenderamata popular) yang bukannya untuk dijual tetap dikenakan cukai. Di Jerman, setiap barangan masuk ke Jerman yang bernilai Euro22 ke atas akan dikenakan cukai. Jadi bagaimana untuk kita mengelak dari dikenakan cukai tersebut dan membuatkan si penerima tersenyum riang menerima bungkusan dari kita?

Perkara pertama yang harus dilakukan ialah Custom Declaration. Borang ini boleh didapati di mana-mana pejabat pos di negara yang kita tinggal. Isikan borang tersebut dan tampal di atas bungkusan yang kita hendak pos itu. Di atas borang itu sila tandakan yang barang tersebut adalah untuk hadiah (gift) (biasanya hadiah tidak akan dikenakan cukai) dan letakkan nilai anggaran barangan tersebut di dalam Euro/ Pound etc (mengikut nilai matawang negara yang bakal kita kirim itu). Nyatakan juga apakah barangan itu (Tshirt etc). Jangan lupa tandatangan borang deklaration itu yang mengatakan barang yang kita pos itu tidak mengandungi barangan merbahaya. Jika borang Custom Declaration itu tidak ada di pejabat pos, anda boleh juga menulis maklumat-maklumat yang saya nyatakan tadi di atas kertas dan jangan lupa tandatangan. Lihat juga senarai barang yang tidak boleh dibawa masuk ke negara tersebut bagi mengelakkan barangan yang kita hantar langsung tidak boleh diterima. Pasti membazir wang mengirimkannya. Laman web Fedex ini http://fedex.com/berguna untuk anda tahu lebih lanjut tentang tax etc jika mahu mengirim barang ke luar negara.

Harapnya info ini berguna kepada anda! Kadang-kadang kita mahukan orang istimewa menerima kejutan dari kita. Jangan biarkan mereka terkejut dengan bayaran cukai yang tidak disangka-sangka bersama-sama hadiah kita. Rasanya, panduan ini bukan saja untuk negara EU tetapi juga untuk ke negara-negara lain seluruh dunia.

cenderamata jam dinding Edward ni sekadar contoh yer...hehe

01 Januari 2010

Sambutan Tahun Baru 2010 di Berlin


cahaya bunga api dibentuk bulat-bulat
bunga api kami semua yang selamat untuk kanak-kanak....itupun anak-anak dah takut
kak Ami buat bentuk LOVE....wanita penuh dengan cinta di mana-mana
apekehenya Bedah dah jadi rope ceromin mate....
ni Hakimy rings of fire kata aunty Mar
Tahun lepas, kami berada di London semasa sambutan tahun baru 2009. Tahun ini, kami tidak ke mana-mana. Jadi semasa Kak Aminah menjemput kami sekeluarga ke rumahnya untuk sambutan tahun baru, kami dengan senang hati bersama-sama keluarga Mar dan Manami ke rumahnya.

Sambutan tahun baru di Berlin, tidak sah jika tiada mercun dan bunga api. Seminggu dua sebelum sambutan tahun baru, kedai-kedai sudah mempromosikan jualan mercun di gedung mereka. Dari supermarket hingga ke kedai runcit, hatta kedai menjual perabot turut menjual mercun. Mercunnya pula, mak ai...punyalah 'gabak' hingga takut saya dibuatnya. Bunyinya usah ceritalah...macam duduk dalam medan perang. Di Jerman hanya mercun dan bunga api yang diluluskan piawainya saja dbenarkan dijual. Jadi walaupun besar mercun dan bunga apinya, tidak ada yang putus jari semasa bermain.

Malam itu selepas makan-makan, kami bermain bunga api dan menonton pertunjukan bunga api dan mercun percuma. Memang telinga bingit kerana boleh dikatakan setiap blok rumah di sini ada wakil yang bermain mercun dan bunga api, saling serang-menyerang. Saya teringat bunyi meriam buluh semasa hari raya dan bunga apinya macam yang dilancarkan semasa sambutan tahun baru/merdeka oleh gedung membeli-belah di Malaysia. Lebih kurang begitulah bunyinya bunga api dan mercun yang dilancarkan. Bagi yang rumahnya tinggi bolehlah melihat seni bunga api dari mana-mana posisi di Berlin. Sambutan tahun baru rasminya di Brandenburg Tor.

ps-Terima kasih sekalung budi untuk Mar yang sudi menghantar gambar untuk dimuatkan ke dalam entri ini, juga Rizza yang jadi photographer malam itu.

07 November 2009

Sempena 20 Tahun runtuhnya Tembok Berlin

Ini gambar yang saya rakam tahun lepas semasa melawat ke saki-baki peninggalan Tembok Berlin (lihat entri saya terdahulu tentang Tembok Berlin). Tahun ini genap 20 tahun Tembok Berlin diruntuhkan. Tahun ini Tembok Berlin dimuralkan semula. Memang cantik hasil kerja artis-artis yang melukisnya tetapi saya masih belum berkesempatan ke sana walaupun agenda telah lama ada di kepala. Jadi sempena 20 tahun runtuhnya Tembok Berlin yang menjadi simbolik penyatuan sebuah negara, macam-macam acara telah dirancang bagi meraikannya. Stesen TV CNN telah membuat liputan istimewa memperingati tembok ini. Bagi mereka di Malaysia bolehlah membaca tulisan rencana dari wartawan Kosmo! Nur Aishah Mohd Amin yang disiarkan di Kosmo! hari ini di ruangan Rencana Utama.
Bagi mereka di Malaysia yang berminat hendak menyimpan serpihan batu Tembok Berlin, sebagai tanda mata, InsyaAllah akan saya usahakan dalam sedikit masa lagi.

14 Oktober 2009

Asian Women's Film Festival di Berlin


Asian Women' Film Festival yang akan berlangsung dari 15 hingga 20 Oktober 2009 ini di Berlin akan memberi penghargaan kepada Allahyarham Yasmin Ahmad apabila filem arahan beliau Talentime akan ditayangkan sebagai tayangan pembukaan festival filem tersebut.

Opening Film: Thursday, 15th Oct. 09, 19.00 Cinema 1
Talentime - IN MEMORY of Yasmin Ahmad (1958 – 2009)
Malaysia 2009, 120 Min., Original with English Subtitles
As a tribute to the great Malaysian film director Yasmin Ahmad, who passed away this year on July 25, the festival will open with her last film Talentime. The setting of the film is a school competition where the complicated interplay between personal, religious and ethnic conflicts within the everyday multi-ethnic reality of Malaysia unfolds in a critical yet humorous way. Ahmad’s work has strongly influenced the themes and aesthetics of the new Malaysian cinema, and has introduced it to an international audience.

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.asianwomensfilm.de

05 Oktober 2009

Masjid Columbiadamm, Berlin



Ini masjid terbesar di Berlin. Abang sempat berterawikh di masjid ini. InsyaAllah sebelum pulang, saya ingin ke sini.

28 September 2009

Autumn sudah datang!


Saya paling suka bila Autumn datang. Ya, kalau ditanya diantara 4 musim, yang mana paling saya suka, itulah jawapan saya. Kenapa? Sebab waktu autum paling cantik. Daunnya warna-warni dan udaranya segar (walaupun kena pakai jaket sebab angin sejuk).

Sekarang ini suhu sudahpun mulai turun. Purata suhu sekarang di Berlin lebih kurang 19-21 degree. Memang suhu tengah cantik sementelah matahari masih ada. Kalau di Malaysia memang ramalan cuaca tu memang tak pernah saya nak ambil pusing. Tapi bila di sini, selalu nak tengok ramalan cuaca, nak tahu suhu bagaimana barulah boleh merancang aktiviti (walaupun kadang-kadang ramalan tidak benar belaka).

Jadi kalau ada yang merancang hendak bercuti ke Europe masih sempat lagi (ada tak lebih dari 3 bulan sebelum winter datang). Autumn memang cantik dan mendamaikan. Harapnya tak adalah salji turun masa autumn ni (seperti yang terjadi di US tahun ini). Mmm.. tak sabar nak tunggu daun mapple bertukar warna...

13 September 2009

Makanan Best dan Halal di Berlin

Hari tu saya pernah janji nak hantar entri pasal makanan best kat Berlin ni. Inilah antara makanan yang kami selalu makan selain Kebab... Turki.


Ayam panggang, Restoren Kanun
Ayam goreng, Restoren Kanun

Restoren Kanun ni memang terkenal dengan masakan ayam...baik ayam panggangnya ataupun ayam gorengnya memang power! Bolehla disamakan dengan ayam KFC kalau kat Malaysia tu. Kalau nak ke restoren ni dari Berlin Haupbahnhof, kena naik bas TXL dan turun di Turmstrasser/Beuselstrasse.

Nasi Kubideh (daging panggang) Restoren El Reda
Sayuran dan ulaman yang dimakan bersama nasi

Satu lagi restoren yang kerap kami kunjungi untuk makan nasi yang sedap ialah Restoren El Reda yang terletak selang sebuah dengan Restoren Kanun tadi. Yang selalu dipesan tentulah Jujeh (nasi bersama ayam panggang) dan Kubideh (nasi bersama daging panggang). Kedua-dua restoren ini memberikan air teh percuma kepada pelanggannya.

Jika ke Berlin, jangan lupa singgah kedua-dua restoren ini! Sambil jalan-jalan, kita makan-makan.

07 Ogos 2009

KEMBARA EROPAH: Berlin Harley Day


Setelah puas berehat di rumah setelah bercuti ke Itali dan Sepanyol, kami menjengah ke Berlin Harley Days yang berlangsung selama 3 hari dari 31 Julai, 1 dan 2 Ogos 2009. Sekadar menjamu mata dan memekakkan telinga dengan motorsikal berkuasa besar.

Belumpun tiba, sudah kedengaran ngauman enjin motorsikal dari jauh. Biasalah rombongan empunya motorsikal memang selalu berkumpulan. Bila sudah tiba kelihatan motorsikal besar ini berderetan di sepanjang jalan.



Sebetulnya kami memang menunggu acara ini, aksi stunt menggunakan motorsikal Harley Davidson. Bayangkan betapa hebatnya pelagak stunt ini mengangkat motorsikal Harley yang memang berat itu. Aksi-aksi pelagak stunt ini mendapat tepukan penonton yang kagum dengan aksinya. Tetapi sekalipun tapak stunt itu bising dengan bunyi enjin dan tepukan penonton, si Hakimy enak tidur di dalam stroller. Beberapa kali aksinya dirakam oleh pengunjung yang ternyata hairan bagaimana dia boleh melelapkan mata dengan bunyi bising sebegitu.


Selain aksi stunt dan jualan di gerai-gerai Harley Davidson (mengikut daerah di Jerman), macam-macam aktiviti lain turut disediakan kepada pengunjung antaranya konsert, pameran patung yang dibuat dari besi terpakai juga terjun bunjee dari kren. Terdengar suara orang yang menjerit gayat kerana dilepaskan pada ketinggian yang begitu mengerikan, membuatkan saya menggeleng kepala. Saya memang tidak punya keberanian seperti itu. Rasanya saya tidak akan sekali-kali mencuba aksi itu sekalipun dicabar oleh sesiapa. Itu namanya aksi membunuh diri! Haha.






Menariknya motorsikal Harley Davidson ini tidak ada satupun yang kelihatan serupa kerana ianya direkabentuk mengikut selera pemiliknya. Ada macam-macam corak dan stail jika dilihat bergantung kepada olahan pemilik. Antara yang menarik, saya rakamkan di sini untuk tontonan mata anda. Saya pernah berangan bila anak-anak sudah besar nanti, saya dan suami akan punya satu motorsikal berkuasa tinggi untuk kami sama-sama bersiar-siar berdua. Entah tercapai entahkan tidak kerana harga sebuah motorsikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson ini mencecah ratusan ribu ringgit!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...