Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Indonesia. Papar semua catatan

17 Oktober 2014

REPOST : Tips ke Bandung (Untuk pelancong pertama kali)

ENTRI INI PERTAMA KALI DI POS PADA 17/10/12 DAN DI REPOST DALAM MENGENANG 2 TAHUN TULISANNYA. ENTRI INI MENDAPAT SAMBUTAN PALING HANGAT DALAM WEB LAILA KAMILIA DENGAN 66 776 VIEW SETAKAT 12/10/14 (hampir 2 tahun). 

Terima kasih kerana melayari www.lailakamilia.com Semoga info di dalamnya bermanfaat untuk dikongsikan bersama anda!

+ Kawasan paling banyak Factory Outlet Store (FOS) ialah di Jalan Riau dan Jalan Dago, namun Jalan Setiabudhi mempunyai Rumah Mode, FOS paling popular di Bandung.

+ Teksi bermeter lebih murah dari teksi biasa. Teksi Bluebird adalah teksi yang paling baik khidmatannya dan satu-satunya teksi yang menggunakan meter di sana.

+ Pastikan mempunyai kenderaan untuk bergerak (kereta sewa, teksi etc...) kerana jarak antara FOS/ kedai adalah agak jauh. Kalau datang secara berkumpulan lebih jimat.

+ Luangkan masa ke tempat2 menarik seperti Tangkuban Perahu (sebuah kawah gunung berapi yang masih aktif tetapi tidak berbahaya). Bertolak seawal pagi kerana anda akan sampai sebelum ramai orang tiba, memudahkan anda mengambil gambar sepuasnya. Tetapi jangan membeli di sana kerana barangan di Pasar Baru lebih murah. Jangan hairan jika penjual mengikut ke mana saja anda pergi kerana itu memang cara mereka berjualan. Pastikan ada memakai kasut sneakers dan elakkan kasut bertumit kerana perjalanan ke kawah sangat jauh.

+ Bawa beg lebih yang kosong kerana anda akan perlukannya apabila pulang kelak!

+ Pasar Baru adalah tempat wajib untuk kunjungan wanita melayu. Blouse berharga RM80 di Malaysia cuma dalam RM15 sahaja di Pasar Baru! Datang pada waktu pagi sekitar jam 10. Ambil masa satu hari untuk membeli-belah di sini kerana anda punya masa untuk menawar dan membeli barangan yang anda sukai.

+ Sekiranya ingin berjimat, menaiki Angkutan (sejenis van teksi) adalah pilihan terbaik untuk bergerak dari satu tempat ke tempat, tetapi perlu tahu di mana hendak pergi kerana angkutan hanya melalui jalan2 tertentu sahaja.

+ Terdapat banyak hotel di Bandung. Hotel 3 bintang sudah cantik dan memadai memandangkan anda perlu jimatkan wang untuk membeli-belah!

+ Harga fridge magnet di airport sangat mahal kira-kira RM12 duit Malaysia. Jadi kalau jumpa di Pasar Baru, tolonglah beli untuk saya...hahaha

+ Cihampelas Street sangat terkenal kepada penggemar jeans dan tempatnya sangat happening tetapi berhati-hati dengan barangan tiruan kerana di sini anda sukar untuk membezakan mana yg asli dan mana yang tiruan.

+ Di FOS juga anda harus berhati-hati kerana ketulenan barangannya ada yang meragukan.

+ Membeli brownies adalah satu kemestian sama ada untuk di makan sendiri atau untuk diberikan kepada teman-teman. Kalau tidak sempat membelinya, anda boleh mencuri masa pada pagi sebelum kepulangan anda (jika flight jam 11 ke atas) dengan membelinya dalam perjalanan pulang. Kedai brownies Amanda dibuka seawal jam 9.00.

+ Segalanya boleh jadi wang di sini. Dari menyanyi di tengah jalan raya hinggalah memayungkan orang ketika hujan. Hati-hati menolak pelawaan orang berjualan. Dan jika anda tidak mahu mendengar nyanyian penyanyi jalanan (yang memang sedap dan tidak sumbang, tidak hairan mereka punyai penyanyi berbakat) anda pastikan cermin tingkap teksi tertutup rapat dan buat tidak tahu saja. Tetapi kadang-kadang ketika anda makan mereka akan datang dan menghulur mangkuk duit dan menyanyikan untuk anda, maka berilah duit untuk keselamatan anda.

+ Ambil peluang naik kuda di tengah kota Bandung.

+ Jangan belikan kasut sebagai hadiah untuk orang yang anda tidak bawa bersama kerana berkemungkinan kasut itu tidak muat. Itu yang terjadi kepada saya di mana kasut Nike yang berharga RM40 tidak muat untuk Hariz Hakimy saya.

+ Cuba rasa makanan di sini. Sedap dan setnya yang lengkap mesti diiringi dengan sup sayur/jagung/asam dan juga tauhu/tempe.

+ Kalau bertanya kepada orang di sini mereka selalu kata tempat yang hendak dituju itu dekat banget tetapi kesudahannya anda akan melepeh kepenatan kerana berjalan.

+ Jalan di sini tidak sukar mana. Jadi kalau nak senang sewa saja kenderaan dan pandulah sendiri.

+ Harga pas ialah harga yang tidak boleh ditawar lagi, harga mati. Harga diskon adalah harga yang diberi potongan diskaun.

+ Kalau nak mudah, boleh bawa kertas yang mengandungi senarai ringgit dan rupiahnya. Mudah untuk anda membuat anggaran harga barangan tersebut.

+ Jangan tertipu dengan harga teksi dari airport. Ia mesti tidak lebih 100, 000 rupiah untuk satu teksi.

+ Jangan lupa asingkan sedikit wang untuk membayar harga duti kastam semasa keluar dari airport.

02 September 2014

Laila Kamilia ingin Kolaborasi dengan Penulis Indonesia : Temubual dengan Antaranews.com INDONESIA

Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews.com Indonesia. Wawancara ini di dalam bahasa Indonesia ya.  Rasa pelik pula dapat baca artikel tentang diri sendiri tapi dalam bahasa lain. Terima kasih Vivi untuk satu artikel yang menarik. Terima kasih sudi temubual Laila Kamilia! Boleh baca artikel lengkap di Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews Indonesia pada 29 Ogos 2014.







09 Mei 2014

REPOST : Bali: Fakta dan Auta

REPOST : Latar Cinta Top Secret
First published : 10/2/2008





Kepada anda yang bercadang untuk bercuti ke Bali, harap-harap beberapa fakta tentang Bali ini akan membantu anda sepanjang masa anda di sana!
#Bom di Bali kedua-duanya diletupkan pada bulan Oktober. Sasarannya warga Inggeris yang sedang melepak di bar.
#Harga pakej-pakej percutian seperti pakej spa dan lawatan ke tempat-tempat menarik di Bali lebih murah semasa di Matta Fair dari dibeli di Bali.
#Bermotor di Bali satu cabaran yang besar kerana jalan raya yang sesak dengan motorsikal.
#Pemandu di Bali suka membunyikan hon.
#Peta Denpasar boleh dibeli di Metro, kedai konsep 24jam macam seven eleven.
#'Babi guling, nyaman dan menyegarkan' adalah pandangan biasa, ada di mana-mana.
#Bali terkenal dengan banyak kuil-kuil Hindu lama.
#Masyarakat Hindu di Bali memakai tanda dahi berwarna putih, jarang berwarna merah atau hitam seperti orang India di negara kita.
#Ramai lelaki Bali memakai destar seperti songkok dan berkain batik.
#Harga suratkhabar di Bali adalah Rp 10000 bersamaan dengan RM3.60 dan diterbitkan seminggu sekali.
#Budaya membaca suratkhabar jarang dilihat. Kebanyakan masyarakat mengisi masa dengan berbual dan berkumpul sesama mereka.
#Pendapatan perkapita penduduk Bali adalah Rp 100000 ataupun RM360. Jumlah ini sama dengan harga sebidang kain yang saya lihat dijual di salah sebuah kedai cenderamata di Jalan Legian.
#Bawa wang secukupnya kerana anda akan kerugian wang dalam jumlah yang banyak jika ditukar di sini. Elakkan dari menukar wang di mana-mana kedai tukaran asing yang beroperasi di deretan kedai kerana kadar caj perkhidmatan yang tinggi.
#Bahasa Indonesia berbeza dengan bahasa Malaysia kerana orang Indonesia menggunakan bahasa peringkat tinggi . Contohnya seorang Pakcik pernah berpesan kepada saya supaya membetulkan pedal pemijak kaki kerana katanya nanti kaki saya akan sengsara. Saya ketawa setiapkali mengingatkan bahasa mereka yang begitu tinggi itu.
#Air minuman hanya ada satu jenama di Bali tidak seperti di Malaysia yang ada beribu-ribu jenama air minuman hinggalah ke air mineral. Saya tersilap beli kerana ingatkan air mineral tetapi air isotonik yang diisi di dalam bekas air mineral di sini.
#Teknologi sos cili tidak sampai lagi di sini. Rasa sos cilinya seperti cili giling. Kalau anda tak boleh makan tanpa sos cili, maka bawalah sos cili paket dari sini. Di Bali ia dipanggil sambal cili.
#Air milo kotak tidak dijual banyak dan sukar mencarinya. Penggemar milo boleh membeli air susu coklat sebagai pengganti.
#Hanya segelintir penyanyi Malaysia yang dikenali di Indonesia seperti Amy Search, Siti Nurhaliza dan Sheila Majid. Berbeza dengan penyanyi dari sana yang memang terkenal berlambak-lambak di Malaysia.
#Lagu-lagu dari Kumpulan Dewi-Dewi selalu dimainkan di sana. Malah kedatangan Dewi-Dewi ke Malaysia saya ketahui dua minggu awal dari salah seorang pekerja di Jalan Legian. Kedatangan mereka ke Malaysia hanya diwar-warkan seminggu selepas kepulangan saya ke sini.
#Untuk membezakan pelancong perempuan Indonesia dan Malaysia tidak sukar. Orang Malaysia memakai tudung bawal sedangkan orang Indonesia memakai tudung manik (yang biasa dilihat dalam sinetron mereka).

27 Mei 2012

Membeli-belah di Bali

Jika berkesempatan ke Bali, selain daripada pantai yang cantik dan aktiviti-aktiviti kebudayaannya, membeli-belah merupakan satu aktiviti yang seharusnya tidak dilepaskan. Dari barangan batik hinggalah pelbagai hasil seni seperti perak, ukiran kayu, kain lace dan pelbagai cenderamata yang lainnya boleh dibeli hingga boleh rabak duit kalau tidak berhati-hati...hehehe.  Dalam entri ini saya ingin kongsikan pengalaman membeli-belah di Bali.

Jika anda bijak dalam hal-ehwal tawar-menawar, Pasar Seni Sukawati tidaklah menghampakan. Tawarlah pada harga terendah dan jika anda rasa tidak bertepatan dengan bajet anda, anda boleh membeli di kedai lain. Pasar ini lebih kurang sama dengan Pasar Khatijah mahupun Pasar Payang. Pada hemat saya, menawar pada harga Rp10,000 bagi sesuatu barangan seperti pakaian kanak-kanak, masih boleh diterima. 



Hati-hati dengan penjual jalanan yang akan mengekori ke mana anda pergi. Biasanya anda boleh menawar lebih rendah daripada pekedai kerana mereka tidak perlu membayar harga sewa kedai. Tetapi sekalipun harganya lebih murah sedikit, risiko yang perlu anda hadapi adalah penjual lain juga akan turut mahu menjual kepada anda jika anda sudah mula membeli daripada seorang penjual. Jadi jika anda sudah mencapai kata sepakat untuk membeli, anda boleh terus pergi dengan mengucapkan kata-kata penolakan yang baik. Sila periksa barangan yang ditawarkan secara pukal (lebih banyak, lebih murah) kerana kualitinya perlu diperiksa seperti ukuran baju mahupun coraknya. Jika anda tidak berhati-hati, bimbang hasilnya akan mengecewakan anda.

Jika anda malas hendak menawar, di Krisna ini menawarkan harga tetap yang agak murah. Saya perhatikan, kebanyakannya hanya kurang Rp5000 daripada penjual di Sukawati. Di sini juga suasananya lebih tenang dan sejuk. Anda boleh membeli-belah dengan selesa tanpa pening kepala untuk menawar harga.

Jika mahukan barang berjenama khususnya pakaian dan peralatan luncur air, di Bali Collection, Nusa Dua ada menawarkan pusat membeli-belah jenama antarabangsa. Di sini terdapat banyak pilihan dan pastilah harganya juga boleh tahan. Kompleks di sini sangat lengkap dengan kemudahan membeli-belah, makan dan pantai (pantai-pantai milik hotel 5 bintang). Anda boleh habiskan masa separuh hari di sini.


Namun begitu, di kawasan-kawasan tumpuan pelancong terutamanya di Tanah Lot. Pelbagai deretan kedai menjual cenderamata pada harga yang berpatutan.

Di tengah-tengah Kuta, Discovery Shopping Mall adalah yang terbesar. Jika bosan, boleh juga membeli-belah di sini. Ada banyak lagi gedung membeli-belah di Bali tetapi di sinilah yang paling ramai di sebabkan berada di kawasan tumpuan pelancong.

Terdapat juga factory outlet di sini seperti di Bandung tetapi ianya lebih kepada barangan sukan dan luncur air. Jadi lepas penat jalan-jalan tengok kebudayaan Bali, penat dengan aktiviti air mahupun ke spa, membeli-belah juga boleh dijadikan memoir indah di Bali. Selamat bercuti!

18 Julai 2011

PAKEJ JALAN-JALAN KE BANDUNG, INDONESIA

Sudah 2 kali saya ke Bandung. Banyak yang menarik di sana. Malah saya merasakan ke Bandung lebih menyeronokkan dari ke Jakarta. Kepada yang selalu mengikuti blog saya, tentu telah membaca catatan perjalanan saya ke Bandung sebelum ini.

Jadi jika ada sesiapa yang teringin ke sana, boleh mengikuti mana-mana pakej dari agen pelancongan. Kira kalau inilah kali pertama anda ke sana, mengikuti pakej membantu anda pergi ke semua tempat wajib di Bandung. Tambangnya pun taklah mahal sangat berbanding dengan pengalaman yang akan anda rasai. Berikut adalah iteneri yang biasa bagi agen apabila anda ke sana.

 makanan yang berbeza sedikit dari di Malaysia

factory outlet sesuai untuk orang yang rajin shopping

ITENARY  BANDUNG TRIP 

HARI PERTAMA : KUALA LUMPUR – BANDUNG + SHOPPING (L/D)




Berlepas dari LCCT Kuala Lumpur dengan pesawat Airasia  jam 09:40pagi. Dijangka tiba di Hussein Sasteranegara International Airport jam 10:45pagi. Makan tengahari di restoran tempatan.  Membeli-belah di Jalan Riau yang terkenal dengan factory outlets nya seperti Rumah Mode, Heritage, Cascades, The Summit, For Men, The Stamp dan The Secret.. Daftar masuk ke hotel. Makan malam di restoran tempatan.


HARI KEDUA : BANDUNG – PASAR BARU (B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, hari yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta untuk membeli belah. Membeli-belah di Pasar Baru yang merupakan syurga membeli-belah di Kota Bandung. Disini peserta berpeluang mendapatkan Baju Kurung, Kain Batik, Kain Sutera, Telekung dan juga ole-ole Bandung. Makan tengahari di Pekan Baru dan sambung membeli belah semula. . Kembali ke hotel. Makan malam di restoran tempatan. Kembali ke hotel.


HARI KETIGA : BANDUNG + TANGKUBAN PERAHU (B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, lawatan diteruskan ke gunung berapi Tangkuban Perahu yang menjadi simbol Bandung. Perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam. Di puncak gunung ini, peserta berpeluang melihat sendiri keindahan alam semulajadi yang cukup indah dengan suasana yang cukup nyaman. Makan tengahari di restoran tempatan (Kg Daun) yang terkenal dengan masakannya yang enak. Kembali ke Kota Bandung. Membeli-belah di Jalan Setiabudi dan Cihampelas yang terkenal dengan barangan berjenama pada harga murah. Juga Donatello Shoes House bagi membeli pelbagai jenis kasut pada harga murah. Makan malam di restoran tempatan. Kembali ke hotel.


HARI KEEMPAT : BANDUNG TOWN(B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, peserta akan di bawa ke Cibaduyut yang terkenal dengan barangan kulit dan Cihampelas Jeans Store Toko Tiga. Makan tengahari di restoran tempatan.  Membeli-belah di factory outlets  Jalan Dago seperti Grande, Episode, Edward Forrer, Natural dan banyak lagi.. Makan malam  di restoren tempatan dan kembali ke hotel.


HARI KELIMA : BANDUNG – KUALA LUMPUR (B)




Selepas sarapan pagi di hotel, peserta akan dibawa ke tempat mendapatkan ole-ole Bandung seperti Kue Lapis, Brownies, Kartika Sari dan Amanda. Selepas itu dibawa ke Hussein Sasteranegara International Airport bagi meneruskan perjalanan pulang dengan pesawat Airasia jam 12:00tghari. Dijangka tiba di LCCT Kuala Lumpur jam 03:05petang. Lawatan Tamat.

Pakej yang ditawarkan agen sekitar RM1200 (dewasa), RM800 (kanak-kanak 2-12 tahun), RM200 (kanak-kanak 0-2 tahun) sahaja termasuk :
1. Tiket kapal terbang Air Asia - termasuk bagasi up to 15kg (pergi), 20kg (balik) - (tertakluk kpd caj bahan api)
2. Pengangkutan di sana
3. Hotel dan sarapan pagi
4. Makan tengahari dan malam di restoren tempatan
5. Tiket masuk ke Tangkuban Perahu (Gunung Berapi)

ps-harga tiket berubah2 berdasarkan harga semasa. Selamat melancong!

12 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Jakarta

Sebelum ke Jakarta, saya menggoogle banyak tentang Jakarta tetapi tiada banyak yang saya jumpa. Saya harap entri saya tentang Jakarta ini akan dapat membantu mana-mana pelancong yang ingin ke sana. Apa yang menariknya Jakarta selain dari jem? Hehehe...Memang benar. Anda boleh larut dalam jem berjam-jam lamanya. Mujurlah ada teman saya Kak Siti Marijam yang pakar mengelak jem. Ada satu cerita menarik yang mahu saya kongsikan di sini tentang pengangkutan awam di sini. Semasa di Bandung, kami menempah 2 teksi kerana bimbang tak muat (6 orang bersama 3 beg besar) tetapi semasa sampai di Jakarta, Kak Marijam hanya memasukkan kami bertujuh bersamanya di dalam satu teksi! Haha! Anehkan tetapi ia boleh dilakukan jika anda orang sana! Kak Marijam ini sangat bijak mengelak jem hingga pemandu teksi itu juga tidak tahu jalan yang dibawa beliau tetapi anehnya, beliau sendiri tidak tahu memandu kereta! Haha!






Destinasi yang saya ingin sangat pergi tentulah ke pusat membeli-belah paling besar di Indonesia, tanah Abang. Memang ramai sangat orang sampai nak berjalanpun susah. Lebih kurang seperti pasar Baru di Bandung tetapi ia sangat besar dan terlalu sesak. Jika mahu parkir di tingkat atas, kita akan mengambil masa 1 jam untuk naik dan 1 jam lagi untuk turun. Jadi lebih baik menaiki teksi dan berjalan kaki saja. Kami meminta pemandu memakir kereta di Kebon Kacang (lebih kurang beberapa km dari Tanah Abang). Penat bershopping, kami pulang dengan azam di kepala, esok kalau nak datang, x boleh bawa Hana lagi! Kasihan!





Selain dari Tanah Abang, pusat membeli-belah yang lain adalah Mangga Dua (pakaian moden dan berjenama) dan Sarinah (pakaian moden dan berjenama lebih kepada butik). Kami hanya sempat ke Sarinah tetapi bersedialah dengan wang yang besar jika mahu berbelanja di sini. Apa tempat menarik di Jakarta selain dari membeli-belah? Tarikan lain tidak banyak iaitu MONAS (Monument National) dan Masjid Istiqlal (masjid rasmi Indonesia) selain pusat membeli belah yang besar seperti Grand Indonesia. Boleh kata semua shopping mall kami telah pergi. Oh ya! Kalau mahu membeli cenderahati pada harga yang agak munasabah, satu-satunya tempat adalah di deretan kedai cenderamata di MONAS. Selain dari itu TIADA.







Banyak catatan dan pengalaman baru dapat saya kutip semasa di sana. Tetapi semuanya indah-indah......

11 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung ke Jakarta via Keretapi

Dari Bandung, kali ini kami mahukan kelainan. Kami menaiki keretapi dari stesen keretapi Bandung ke Stesen Gambir, Jakarta. Sebenarnya selain dari berkeretapi (lebih kurang 3 jam setengah), pilihan lain adalah menaiki Cipaganti. Tentu ramai yang tertanya, Cipaganti itu apa? Cipaganti ni lebih kurang macam van yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan henti-henti macam bas tetapi ia mempunyai stesen tertentu. Perjalanannya lebih kurang dua jam setengah melalui jaringan lebuhraya. Jadi kalau nak mencuba boleh naik di mana-mana stesen Cipaganti di Bandung. Kalau perbezaan harga, pastilah naik keretapi lebih murah tetapi tidak banyak beza. Cipaganti adalah satu pilihan jika kita mahu cepat ke Jakarta.
Ada beza ke keretapi Malaysia dengan Indonesia. Kami memilih menaiki keretapi yang punya pelayan. Harganya mahal sedikit dari keretapi awam yang lain. Pastilah ia lebih bersih dan selesa. Tapi jangan fikir, tambang itu sudah termasuk dengan harga makan ya. Hehehee....Jangan seperti Tipah yang tertipu! Makanannya boleh tahan mahalnya (tetapi saya yakin anda mampu, hehehe), yang diusung pelayan dari satu gerabak ke satu gerabak. Mee sup juga ada dijual tetapi mee dan sup yer, macam maggie ayam tu bukannya mee sup Malaysia.


Yang menariknya menaiki keretapi di sini adalah pemandangan sawah padinya. Saya berasa sangat kagum kerana pemandangan sawah padinya memang berbeza dengan di Malaysia. Kalau di dalam novel Saat Kau Hadir, saya ada memaparkan latar sawah padi melalui keretapi ke Alor Setar, agaknya saya boleh menambah latar ini di dalam novel saya yang akan datang. Hehehe. Sawah padi bertingkat, di tepi rumah, di sebelah gerabak....semuanya boleh ditanam padi. Senang cerita, Indonesia memang subur!


Di kiri-kanan perjalanan, rata-rata perkampungan. Dari Bandung hingga Jakarta, kami disajikan oleh perumahan yang sangat padat. Yang menghairankan saya, di sepanjang perjalanan itu, memang tidak ada pagar yang memisahkan antara landasan keretapi dengan kawasan perumahan. Orang bebas melintas keluar-masuk. Sepertinya mereka sudah menjadi sebahagian dari jadual keretapi itu sendiri. Saya pula yang gayat takut keretapi melanggar orang. Hahaha. 
Perjalanan memang selesa. Cuma jika anda mengejar masa, ini bukanlah satu pilihan yang bijak. Hehehe. Kalau mahu melihat orang bergayut di atas keretapi macam di dalam filem, ha...marilah naik keretapi dan lihat sendiri. Satu lagi yang saya kagum, di stesen keretapi, orang bersolat di mana-mana menandakan ke manapun kamu pergi, jika Allah sentiasa di hati, amalan yang menjadi tabie itu boleh dilaksanakan hatta di tepi lif mahupun di bawah tangga. Berjalanlah dan lihatlah seluruh dunia!

10 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung

Kami ke Bandung lagi. Kalau dulu berdua, kali ini rombongan kami menjadi 6 orang. Hehehe rombongan Cik Kiah nampaknya. Tempat yang kami pergi hanyalah ke Factory Outlet sebab dah set di dalam minda, kali ini datang untuk shopping sakan!



Adakah Bandung berbeza dari beberapa tahun sebelum ini? Rasanya masih sama, cuma yang beza, bilangan rombongan dari Malaysia sudah semakin ramai. Kali ini demam shopping ini telah melekat pada mat saleh pula. Kali ini saya boleh lihat mereka di mana-mana walaupun jumlahnya sedikit. Kalau dulu memang tiada langsung. Yang saya perasan, disebabkan itu harga pakaian sudah mahal dan terlalu sukar mancari pakaian di bawah Rp25 000! Memang masih ada yang murah tetapi tidak semurah dulu. Kali ini kami menjumpai port baru iaitu pusat jeans LEVIS yang harganya memang murah (bawah RM80). 

Nak pergi lagi ke? Hehehe...sedang memikir-mikir kerana memang dah habis duit banyak sebab shopping sakan sampai bila balik rasa nak muntah tengok baju. Beg yang kosong sebanyak 2 buah itu telah selamat dipenuhkan. Saya tetap merasakan Bandung masih menawarkan destinasi membeli-belah yang mengiurkan terutama kepada peminat pakaian berjenama! Harga yang anda laburkan untuk membeli pakaian mahal boleh cover tambang yang anda laburkan. Dengan syarat! Anda membeli banyak! Kalau setakat sehelai dua, pastilah percutian anda tidak berbaloi!

03 Januari 2011

Kek Kartika Sari Bandung

Berangan nak ke Bandung lagi cuti sekolah baru2 ni tapi disebabkan abang tak dapat cuti maka hajat tu nampaknya terbantut. Saya pernah ke sana beberapa tahun yang lepas. Seronok dan bab yang paling seronok tentulah agenda shopping2. Mungkin masa saya pergi dulu orang Malaysia masih belum ramai ke Bandung. Saya selalu merekomen kawan2 yang gila shopping tu elok2la ke sana...sementelah bolehlah merasa bawa duit seperti jutawan dari langit sebab bila tanya orang sebelah..."Bang, duit kita ada berapa JUTA lagi?" Hehehee....

Disebabkan tak pergi, maka saya sempat mengirimkan dia kek yang ada dalam gambar ni... Dulu saya beawa balik sampai beberapa biji kerana sedapnya yang teramat. Saya tanya kawan saya kenapa tak beli, dia jawab mahallah. Mmmm...mahal? Saya tanya berapa dia jawab RM50. Ha! Terkejut albadak juga kerana beberapa tahun lepas, saya rasa saya membelinya pada kadar separuh dari harga yang diberitahu. Sebab itu saya boleh borong banyak. Kawan saya tu siap bawa resit lagi sebagai bukti...hehehe. Dalam hati saya kata tak apalah, mahal tapi sedap... Hehehe... Tetapi jangkaan saya silap, rupanya kek kartika sari yang saya rasa beberapa tahun lepas rasanya tak sama sebab saya rasa kek itu ...rasanya dan kelembutannya macam kek lapis sarawak yang saya jual masa Aidilfitri lepas.... Baik tempah dengan Kak Teh dan tak payah beli jauh2.

Saya diberitahu kawan saya yang cutinya tak best. Kerana katanya orang sana mengenakan harga yang lebih tinggi jika kepada pelancong Malaysia. Siap boleh tukar tanda harga lagi. Makanan di tepi jalan mahal macam harga makan di hotel. Nak melihat pemandangan di Tangkuban Perahu dan Puncak pula diganggu oleh penjual2 yang asyik mengekor ke mana kaki kita melangkah. Sungguh menjengkelkan!

Wow! Ada hikmah rupanya saya tak ke Bandung kali ini....

Published with Blogger-droid v1.6.5

08 Jun 2008

Batam, Indonesia Hari Kedua (2 Jun 08)


Dari jauh hotel ini menyerupai kapal, unik rekabentuk. Dekorasi dalamannya menggunakan konsep Yunani/Roman serta seakan ruang dalaman kapal star cruise.




Wow! Pertama kali melangkah masuk ke hotel ini saya tertarik pada dekorasi mewahnya. Elemen mewah dari sofa hingga ke kolam mandi. Segalanya mewah di sini tetapi harga hotelnya murah, hanya Rp 450 000 bersamaan RM158 untuk semalam di bilik Superiornya.
Kami jalan-jalan sekitar Jalan Sei Jodoh di Top 100, Jodoh dan DC Mall. Sebelah malamnya kami ke Batan Centre Mega Mall.
Kami hanya shopping sakan di Top 100 pada esoknya sebelum pulang. Kali ini kami tidak membeli barang banyak disebabkan susahnya nak mengangkut barang dengan budak-budak sekali.
Kami bergegas menaiki feri 10 minit sebelum berlepas. Memang seperti mengikuti Rancangan Amazing Race. penat dan mendebarkan (sebab takut terlepas bot dan nak kejar imegresen lagi). Kami hanya sampai ke rumah jam 11 malam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...