Memaparkan catatan dengan label Shopping. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Shopping. Papar semua catatan

11 Disember 2014

TIPS MELANCONG : BAGAIMANA MENUNTUT KEMBALI VAT / GST SEMASA MEMBELI-BELAH


Cuti-cuti begini ramai yang keluar negara. Bercuti kalau tak turut sama dengan shopping macam tak kena. Kepada si kaki shopping pasti tahu bahawa setiap kali membeli barangan di luar negara terutama barangan yang berjenama, anda boleh menuntut potongan cukai yang dikenakan semasa membeli barangan tersebut terutamanya di Factory Outlet. Cukai yang dinamakan value-added tax (VAT) atau goods and services tax (GST). Berikut saya kongsikan sedikit pengalaman saya di Eropah. Semoga bermanfaat.

1- Pastikan anda mendapatkan cop pada borang VAT di resit pembelian semasa di kaunter pembayaran. Ada sesetengah barangan yang hanya boleh mendapat pelepasan VAT sekiranya anda melepasi jumlah pembelian tertentu. Jika boleh, minta saja jurujual tolong anda isikan borang tuntutan di resitnya. Dia hanya perlukan passport anda bagi mengesahkan anda adalah pelancong.

2. Lebih baik anda beratur di kaunter VAT yang disediakan di Factory Outlet daripada menuntutnya semasa di lapangan terbang. Sekalipun anda terpaksa beratur panjang tetapi prosesnya lebih mudah. Lagipun anda memang sudah membawa barang yang dibeli bersama anda.

3. Anda boleh memilih untuk menerima bayaran balik VAT dalam bentuk tunai mahupun nilaian di kad kredit. Jika anda memilih bayaran balik ke dalam kad kredit, lebih baik menggunakan kad kredit yang sama digunakan semasa membuat pembayaran tadi. Saya lebih suka menerima tunai.

4. Jika anda mahu menuntut bayaran balik di kaunter VAT di Factory Outlet pastikan anda memperuntukkan masa yang cukup untuk membeli-belah dan beratur untuk menguruskan bayaran balik. Ini kerana kebiasaannya waktu operasi kedai lebih panjang daripada waktu pejabat kaunter VAT dibuka. Nanti sibuk bershopping sudah terlepas masa untuk membuat tuntutan menyebabkan anda terpaksa menuntutnya di lapangan terbang pula.

5. Sebenarnya jika anda mahu menuntut VAT di lapangan terbang, pastikan anda mempunyai banyak masa di lapangan terbang semasa mahu check in. Saya cadangkan anda uruskan hal bayaran balik VAT sebelum anda mendaftar masuk kapal terbang. Ini kerana sesetengah pegawai di kaunter mahukan pegawai kastam melihat barangan yang anda beli terlebih dahulu sebelum boleh memproses bayaran balik VAT.

6. Sekiranya anda sudah check in baru mahu menguruskan hal VAT, kemungkinan untuk tidak mendapat bayaran balik adalah tinggi kerana anda pastinya sudah check in semua barangan anda ke dalam kargo malah ada barang yang sudah dibungkus/dibalut tetapi pegawai kastam mahu melihat barangan anda.

7. Sekiranya anda mahu cepat, pastikan resit anda sudah dicop dan diisi oleh pekedai, dicop oleh kastam kemudian isikan borang tuntutan dan masukkan ke dalam peti box yang telah disediakan oleh pihak VAT.

8. Sekiranya anda melancong di Europe, anda boleh menuntut bayaran VAT di mana-mana airport di Europe. Wang akan dikreditkan ke dalam kad kredit atau bayaran tunai. Tetapi pastilah lebih mudah jika anda menuntutnya di mana barang itu dibeli yang ada kaunter VAT.

9. Biasanya pembelian di Factory Outlet ada menyediakan kaunter VAT tetapi jika  pembelian di butik, jurujual hanya boleh tolong mengisi borang VAT.

10. Pastikan borang VAT yang diisi telah lengkap sebelum meninggalkan kedai.

11. Banyak sangatkah nilai VAT yang boleh dituntut? Peratus VAT bergantung kepada sesuatu negara. Kalau di UK 20%. Banyak juga kalau dah shopping Pound memang berbaloi untuk dituntut!

Secara ringkasnya urusan tuntutan bayaran balik VAT adalah seperti berikut :

Jika membeli di factory outlet yang ada kaunter tebusan VAT:
1- Resit dicop dan diisi oleh pekedai.
2-Lengkapkan borang tuntutan yang dilampirkan bersama resit.
3-Beratur di kaunter VAT bersama barang yang dibeli.
4-Dapatkan bayaran balik secara tunai mahupun kad kredit (jika kad kredit akan mengambil masa sebulan dua untuk proses).

Jika membeli di butik tiada kaunter tebusan VAT/ di lapangan terbang:
5- boleh dapatkan cop  kastam bersama barang yang dibeli. Bawa resit yang telah dicop dan diisi oleh pekedai.
6-Beratur di kaunter VAT bersama barang yang dibeli.
4-Dapatkan bayaran balik secara tunai mahupun kad kredit (jika kad kredit akan mengambil masa sebulan dua untuk proses).

Selamat shopping dan selamat menebus balik VAT. Hak anda sila tuntut ya! Hehe...

02 Januari 2014

Tips Melancong (Pakej Tour) ke Beijing, China

Tour Group ke Beijing, China di Tiananmen Square di hadapan Forbidden City.

Dalam banyak-banyak percutian yang saya ikuti, percutian ke Beijing pada tahun 2012 yang lalu merupakan percutian saya yang menggunakan sepenuhnya khidmat travel agent. Percutian fullboard tour ini dikendali sepenuhnya oleh operator pelancongan (travel agent) dan itulah pertama kali dalam sejarah hidup saya bercuti menggunakan travel agent untuk bercuti, dan sudah tentulah perbelanjaan yang dikeluarkan agak tinggi tetapi worry free kerana segalanya termasuk penerbangan, penginapan, tour dan makan minum telah diatur oleh travel agent. Kita cuma perlu bawak diri sahaja... dan duit extra untuk bershopping!

Bagi saya, ada kalanya kita terpaksa menggunakan travel agent untuk mengembara kerana sesetengah tempat terutamya di luar negara mempunyai kesukaran seperti makan-minum dan komunikasi yang memerlukan wakil tempatan (tour guide) untuk membawa kita berjalan-jalan. Dengan mengambil tour agent, kita juga tidak perlu merancang perjalanan kita dengan terperinci kerana segalanya telah diatur. Cuma kekurangannya jadual yang diatur tersebut perlu diikuti dan waktu kita tidak boleh fleksible jika kita melancong secara DIY (Do It Yourself).

Bagi yang ingin merancang untuk bercuti ke luar negara buat pertama kali dan inginkan kelainan,  pilihlah Beijing. Satu destinasi Asia terbaik untuk anda melancong. Ini kerana Beijing menawarkan segalanya, daripada sejarah ketamadunannya, seni binanya, kemodenan dan tradisi, syurga membeli-belah, semuanya ada di sana. 

Bagi yang ingin menggunakan agensi pelancongan, di sini terdapat beberapa tips sekiranya anda ingin melancong ke Beijing (tips ini lebih kepada pakej pelancongan muslim di Beijing dan tiada kaitan dengan mana-mana ejen pelancongan):


Great Wall of China



1. Musim terbaik mengunjungi Beijing ialah ketika musim bunga (April-Mei), musim panas (Jun-Ogos) dan musim luruh (September - Oktober).

2. Jika menggunakan travel agent, belilah di MATTA fair kerana kebanyakan tour operator memberi diskaun dan hadiah extra.

3. Beijing sesuai untuk individu, berkeluarga, pasangan atau warga emas. Bagi yang ingin membawa anak kecil terutamanya bayi, tidak digalakkan kerana kebanyakan tempat lawatan di Beijing lebih tertumpu dan sesuai untuk orang dewasa sahaja.

4. Tempoh hari yang paling optimum melawat Beijing adalah 4-5 hari sahaja. Sekiranya lebih dari itu, anda mungkin kebosanan kerana selepas hari ke-5, kebanyakan tour operator hanya akan membawa anda ke tempat shopping yang sama atau berpusing di jalan yang sama di Beijing.

5. Terdapat pakej tour Beijing yang murah tetapi mewajibkan anda untuk singgah di tempat-tempat tertentu dan mengikuti kesemua iterneri yang disediakan. Dengan cara itu tour operator mendapat komisen daripada tempat yang disinggah tersebut.



6. Berhati-hati dengan travel agent yang menawarkan pakej yang amat murah kerana mungkin kos-kos lain seperti makan-minum dan pengangkutan di sana tidak dimasukkan ke dalam pakej tersebut. Pakej muslim pula agak mahal berbanding pakej tour biasa kerana melibatkan tempat makanan halal yang agak terhad.

7. Bagi pakej muslim, pastikan makanan yang ditempah di dalam penerbangan adalah untuk muslim kerana terdapat juga penerbangan seperti China Airlines dan Cathay Pacific yang perlu di request Muslim Food. Pastikan travel agent anda membuat request tersebut. Jangan bertukar tempat duduk lain di dalam flight kerana akan mengelirukan pramugari dalam pemberian makanan muslim kelak.

8. Bagi yang gemar bershopping, digalakkan membawa beg extra. Namun, beg juga boleh dibeli di sana dengan harga berpatutan.

9. Kebanyakan tour guide yang membawa pelancong Malaysia boleh berbahasa Malaysia/Indonesia tertakluk kepada ejen pelancongan yang anda ambil. Tour guide di sana perlu membayar dan berkursus sebelum diberikan lesen untuk menjadi tour guide.

10. Jika anda kesuntukan masa untuk membeli souvenir, tour guide boleh arrange penjual untuk membawa cenderamata seperti t-shirt, keychain, amgnet, kain-kain dll ke hotel penginapan anda. Harga yang ditawarkan oleh penjual sebenarnya sama dengan harga di market-market yang anda kunjungi dan kelebihannya anda tidak perlu menawar harga berbanding di market.






11. Pastikan di dalam iterneri anda mempunyai lawatan ke tempat-tempat wajib singgah berikut (jika tidak percutian anda ke Beijing tidak lengkap!):
 - Bird Nest (Stadium Olimpik Beijing)
 - Great Wall of China
 - Forbidden City
 - Tiananmen Square
 - Imperial Garden/SummerPalace

12. Kelebihan pakej muslim berbanding pakej biasa ialah penjagaan waktu solat, makanan halal dan lawatan ke tempat yang berkaitan ketamadunan Islam atau kawasan penempatan muslim. Di Beijing, masjid terkenal ialah di NiuJie Mosque. Di kawasan tersebut juga terdapat kedai dan pasaraya yang menjual makanan halal.

13. Bershopping di Beijing sangat menarik dan mencabar. Menarik kerana anda boleh memilih banyak market untuk membeli-belah secara bargaining (tawar-menawar) di beberapa market terkenal seperti Yashow (recommended) dan Pearl Market atau jika inginkan branded dan fixed price items boleh ke WangfuJing (seperti Bukit Bintang).

14. Tawar-menawar di market-market popular Beijing sang at mencabar. Banyak juga penjual yang boleh menyebut beberapa patah perkataan bahasa Malaysia bagi menarik kita mengunjungi kedai mereka. Awas dengan taktik penjual!!! Harga yang diletak memang tak masuk akal kerana TIADA BARANG ORIGINAL di market! Namun kualiti barangnya hampir menyamai barang original. 

15. Jika di market anda perlu tawar diskaun serendah 70%-80% murah daripada harga yang diletakkan. Penjual akan berlagak seolah harga tersebut tidak lojik. Strateginya: Tinggalkan kedai tersebut dan penjual akan tarik semula anda untuk tawar-menawar. Kemudian naikkan harga sedikit-sedikit sehingga persetujuan dicapai. 

16. Jika anda sudah bersetuju dengan harga yang ditawarkan, anda mesti beli barang tersebut. Jika tidak, kebanyakan penjual akan memarahi anda secara terbuka dan ada kalanya akan mengikut anda sehingga anda setuju untuk membayar harga yang dipersetujui tadi.

Selamat Bercuti.


27 Mei 2012

Membeli-belah di Bali

Jika berkesempatan ke Bali, selain daripada pantai yang cantik dan aktiviti-aktiviti kebudayaannya, membeli-belah merupakan satu aktiviti yang seharusnya tidak dilepaskan. Dari barangan batik hinggalah pelbagai hasil seni seperti perak, ukiran kayu, kain lace dan pelbagai cenderamata yang lainnya boleh dibeli hingga boleh rabak duit kalau tidak berhati-hati...hehehe.  Dalam entri ini saya ingin kongsikan pengalaman membeli-belah di Bali.

Jika anda bijak dalam hal-ehwal tawar-menawar, Pasar Seni Sukawati tidaklah menghampakan. Tawarlah pada harga terendah dan jika anda rasa tidak bertepatan dengan bajet anda, anda boleh membeli di kedai lain. Pasar ini lebih kurang sama dengan Pasar Khatijah mahupun Pasar Payang. Pada hemat saya, menawar pada harga Rp10,000 bagi sesuatu barangan seperti pakaian kanak-kanak, masih boleh diterima. 



Hati-hati dengan penjual jalanan yang akan mengekori ke mana anda pergi. Biasanya anda boleh menawar lebih rendah daripada pekedai kerana mereka tidak perlu membayar harga sewa kedai. Tetapi sekalipun harganya lebih murah sedikit, risiko yang perlu anda hadapi adalah penjual lain juga akan turut mahu menjual kepada anda jika anda sudah mula membeli daripada seorang penjual. Jadi jika anda sudah mencapai kata sepakat untuk membeli, anda boleh terus pergi dengan mengucapkan kata-kata penolakan yang baik. Sila periksa barangan yang ditawarkan secara pukal (lebih banyak, lebih murah) kerana kualitinya perlu diperiksa seperti ukuran baju mahupun coraknya. Jika anda tidak berhati-hati, bimbang hasilnya akan mengecewakan anda.

Jika anda malas hendak menawar, di Krisna ini menawarkan harga tetap yang agak murah. Saya perhatikan, kebanyakannya hanya kurang Rp5000 daripada penjual di Sukawati. Di sini juga suasananya lebih tenang dan sejuk. Anda boleh membeli-belah dengan selesa tanpa pening kepala untuk menawar harga.

Jika mahukan barang berjenama khususnya pakaian dan peralatan luncur air, di Bali Collection, Nusa Dua ada menawarkan pusat membeli-belah jenama antarabangsa. Di sini terdapat banyak pilihan dan pastilah harganya juga boleh tahan. Kompleks di sini sangat lengkap dengan kemudahan membeli-belah, makan dan pantai (pantai-pantai milik hotel 5 bintang). Anda boleh habiskan masa separuh hari di sini.


Namun begitu, di kawasan-kawasan tumpuan pelancong terutamanya di Tanah Lot. Pelbagai deretan kedai menjual cenderamata pada harga yang berpatutan.

Di tengah-tengah Kuta, Discovery Shopping Mall adalah yang terbesar. Jika bosan, boleh juga membeli-belah di sini. Ada banyak lagi gedung membeli-belah di Bali tetapi di sinilah yang paling ramai di sebabkan berada di kawasan tumpuan pelancong.

Terdapat juga factory outlet di sini seperti di Bandung tetapi ianya lebih kepada barangan sukan dan luncur air. Jadi lepas penat jalan-jalan tengok kebudayaan Bali, penat dengan aktiviti air mahupun ke spa, membeli-belah juga boleh dijadikan memoir indah di Bali. Selamat bercuti!

18 Julai 2011

PAKEJ JALAN-JALAN KE BANDUNG, INDONESIA

Sudah 2 kali saya ke Bandung. Banyak yang menarik di sana. Malah saya merasakan ke Bandung lebih menyeronokkan dari ke Jakarta. Kepada yang selalu mengikuti blog saya, tentu telah membaca catatan perjalanan saya ke Bandung sebelum ini.

Jadi jika ada sesiapa yang teringin ke sana, boleh mengikuti mana-mana pakej dari agen pelancongan. Kira kalau inilah kali pertama anda ke sana, mengikuti pakej membantu anda pergi ke semua tempat wajib di Bandung. Tambangnya pun taklah mahal sangat berbanding dengan pengalaman yang akan anda rasai. Berikut adalah iteneri yang biasa bagi agen apabila anda ke sana.

 makanan yang berbeza sedikit dari di Malaysia

factory outlet sesuai untuk orang yang rajin shopping

ITENARY  BANDUNG TRIP 

HARI PERTAMA : KUALA LUMPUR – BANDUNG + SHOPPING (L/D)




Berlepas dari LCCT Kuala Lumpur dengan pesawat Airasia  jam 09:40pagi. Dijangka tiba di Hussein Sasteranegara International Airport jam 10:45pagi. Makan tengahari di restoran tempatan.  Membeli-belah di Jalan Riau yang terkenal dengan factory outlets nya seperti Rumah Mode, Heritage, Cascades, The Summit, For Men, The Stamp dan The Secret.. Daftar masuk ke hotel. Makan malam di restoran tempatan.


HARI KEDUA : BANDUNG – PASAR BARU (B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, hari yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta untuk membeli belah. Membeli-belah di Pasar Baru yang merupakan syurga membeli-belah di Kota Bandung. Disini peserta berpeluang mendapatkan Baju Kurung, Kain Batik, Kain Sutera, Telekung dan juga ole-ole Bandung. Makan tengahari di Pekan Baru dan sambung membeli belah semula. . Kembali ke hotel. Makan malam di restoran tempatan. Kembali ke hotel.


HARI KETIGA : BANDUNG + TANGKUBAN PERAHU (B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, lawatan diteruskan ke gunung berapi Tangkuban Perahu yang menjadi simbol Bandung. Perjalanan mengambil masa sekitar 1 jam. Di puncak gunung ini, peserta berpeluang melihat sendiri keindahan alam semulajadi yang cukup indah dengan suasana yang cukup nyaman. Makan tengahari di restoran tempatan (Kg Daun) yang terkenal dengan masakannya yang enak. Kembali ke Kota Bandung. Membeli-belah di Jalan Setiabudi dan Cihampelas yang terkenal dengan barangan berjenama pada harga murah. Juga Donatello Shoes House bagi membeli pelbagai jenis kasut pada harga murah. Makan malam di restoran tempatan. Kembali ke hotel.


HARI KEEMPAT : BANDUNG TOWN(B/L/D)




Selepas sarapan pagi di hotel, peserta akan di bawa ke Cibaduyut yang terkenal dengan barangan kulit dan Cihampelas Jeans Store Toko Tiga. Makan tengahari di restoran tempatan.  Membeli-belah di factory outlets  Jalan Dago seperti Grande, Episode, Edward Forrer, Natural dan banyak lagi.. Makan malam  di restoren tempatan dan kembali ke hotel.


HARI KELIMA : BANDUNG – KUALA LUMPUR (B)




Selepas sarapan pagi di hotel, peserta akan dibawa ke tempat mendapatkan ole-ole Bandung seperti Kue Lapis, Brownies, Kartika Sari dan Amanda. Selepas itu dibawa ke Hussein Sasteranegara International Airport bagi meneruskan perjalanan pulang dengan pesawat Airasia jam 12:00tghari. Dijangka tiba di LCCT Kuala Lumpur jam 03:05petang. Lawatan Tamat.

Pakej yang ditawarkan agen sekitar RM1200 (dewasa), RM800 (kanak-kanak 2-12 tahun), RM200 (kanak-kanak 0-2 tahun) sahaja termasuk :
1. Tiket kapal terbang Air Asia - termasuk bagasi up to 15kg (pergi), 20kg (balik) - (tertakluk kpd caj bahan api)
2. Pengangkutan di sana
3. Hotel dan sarapan pagi
4. Makan tengahari dan malam di restoren tempatan
5. Tiket masuk ke Tangkuban Perahu (Gunung Berapi)

ps-harga tiket berubah2 berdasarkan harga semasa. Selamat melancong!

21 Disember 2008

Berlin (B5) Factory Outlet- Syurga beli belah


Tempat membeli-belah ini memang jauh dari tempat kami. Di dalam peta pengangkutan Berlin, ia terletak di Zon C, Berlin. Perjalanan selama hampir 2 jam bertukar 2 tren dan 2 bas, rasanya jika tidak membeli apa-apa memang tidak berbaloi. Hanya kerana kami gemarkan pengembaraan, lalu kami meredah cuaca sejuk hari itu.


Kami tiba jam 12.45 tengahari terlewat 1 jam dari masa bas ke sana berlepas. Oleh itu kami perlu menunggu bas seterusnya. Bas ke sana berselang 2 jam. Jadi memang perlu merancang awal supaya tidak terlepas bas. Tapi jangan risau, kalau terlepas bas, ada shopping mall yang agak besar di situ Havel Park untuk membuang masa menunggu bas seterusnya.

Memang ramai rupanya pengunjung di sini. Bila turun bas saja, kami sudah nampak deretan kedai-kedai yang harus kami kunjungi. Ada Nike, Puma, Adidas dan macam-macam lagi jenama antarabangsa. Yang penting sediakan duitnya saja. Kebetulan sempena Krismas maka kedai-kedai menjual barang dengan potongan yang lebih lagi. Di kedai Nike dan Adidas, tambahan diskaun 20-50% diberikan. Jadinya kedua-dua kedai ini memang menjadi kedai kegemaran kami petang itu.

Apa yang kami beli? Dengan tak sampai Euro 90, kami dapat beli 2 helai baju Adidas, 3 helai baju Nike, sepasang kasut Adidas, sehelai baju Daniel Hechter, satu botol air Nike, dan satu set booties untuk bakal anak saudara saya yang dijangka lahir Mei tahun depan. Mmm... agak lumayan dan berbaloi juga. InsyaAllah, jika ada masa dan duitnya, kami pasti ke sini lagi sebelum pulang ke Malaysia.
Kami pulang menaiki bas jam 3.30 petang. Jika terlewat, kami harus menunggu bas jam 5.30 pula. Jadi jika ingin ke sini, ialah dengan menaiki tren ke Rathaus Spandau kemudian naik bas M32 ke Dalgow Doberitz kuntuk ke Havel Park. Akhir sekali naik bas 663 Nauen ke Demex Park. Selamat bershopping dan jangan lupa jadual bas untuk pulang! Bas terakhir jam 7.30 malam.

16 Disember 2008

Shopping di Ikea, Spandau, Berlin

Ini kali kedua kami ke sini. Kami pertama kami sekadar meninjau-ninjau barang-barang yang perlu dibeli. Dan kali kedua baru kami betul-betul beli. 4 jam baru selesai membeli-belah tapi itupun tergesa-gesa dan rasa kurang selesa...Patut kami pergi awal-awal pagi tapi apakan daya, banyak sanagt urusannya pagi itu. Dapat kunci, bersihkan rumah sikit-sikit....membeli barang-barang untuk kenduri Aidil Adha, menunggu barang-barang elektrik sampai, mengemas sikit-sikit dan barulah sempat ke sana.... Kami tiba haripun dah gelap...dalam jam 5.00 petang. Janganlah kata kami ni banyak sangat duit hingga shopping barangpun dekat Ikea....Hakikatnya Ikea di sini hanyalah mall low cost....tak macam di Malaysia. kalau kat Malaysia dengar shopping kat Ikea saja, orang sudah kata banyak duit...sebab barangnya mahalkan...


Tak percaya? Tengok riset Ikea saya. Tengok harga barangnya.... Mana boleh dapat barang Ikea kat Malaysia dengan harga bawah RM1 kan....kalau ada pun ada la 1, 2...Kat sini banyak juga yang boleh dapat harga kurang Euro1. Agaknya sebab Sweden dekat dengan Jerman.... Dan tak payah nak terbang 14jam!

Tapi bila saya convert duit Malaysia, masih murah banyak di Ikea sini. Contohnya jag air yang saya beli di Ikea, Malaysia berharga RM9 sedangkan jag yang sama di sini harganya Euro0.59 dan bila dah convert tak sampai RM3.00.

Tapi murah-murahpun melayang juga Euro370 untuk semua barang-barang yang saya beli termasuk kos pengangkutan! Bila diconvert....rasa nak nangis.....Alahai rumah baru!

17 Februari 2008

Sepetang di The Mines Shopping Centre

Tengahari itu kami merancang berjanji temu. Tengahari Jumaat, tidak ramai yang mundar-mandir di kompleks membeli-belah yang terletak di Seri Kembangan itu kecuali wanita, kanak-kanak, lelaki 'uzur' dan musafir, serta yang bukan Islam. Asalnya saya berjanji temu jam 1.00 tengahari tetapi Fuza memberitahu terpaksa menunggu Fiza yang akan merempit dari Kuala Kubu Baru (dah penat tulis nama atas batu!). Asalnya kami akan bertemu 6 orang tetapi di akhir minit Dalilah sakit mata dan dua jejaka Malaya yang akan turut sama selepas solat Jumaat ada komitmen lain. Penat juga menunggu hingga 2.30 sebelum nampak batang hidung 2F.


Kami dua beranak habis meronda satu The Mines. Mula-mula ke kedai kasut, ke McD, bowling, surau, kedai CD juga ke tandas sampai 3 kali! Aktiviti terakhir sementara menunggu 2F itu, kami memberi ikan makan di tasik tinggalan lombong yang dijadikan tarikan pelancongan itu. The only shopping mall that you can sail into- seperti mottonya. Di atas tu gambar Hardy bergumbira memberi ikan makan. Habis satu plastik roti dibaginya ikan makan. Geram sungguh bila tengok ikan besar-besar betis berebut makanan. Agaknya kalau jatuhlah kita kat dalam tasik tu, alamat bersepailah daging kita digigit ikan-ikan yang kelaparan itu.

Kami pulang jam 4.30 petang, tetapi Hardy kena ikut ibunya ke satu lagi temujanji (facial treatmentlah pulak). Kesian anak teruna saya yang kena jadi P.A kepada ibunya sejak bersekolah ini. Ke sana-ke mari kami selalu berdua. Hinggakan bila beli baju atau kasut saya akan bertanyakan kepada dia, cantik ke tidak. Seronok juga bila dia sibuk memadankan ibunya dengan baju dan kasut terbaik pada pandangan matanya (saya bagi dia latihan awal untuk pilihkan isteri dia nanti, hahaha). Tetapi bukan mudah untuk membuatkan mulutnya senyap untuk mengajak saya pulang segera, habislah petang itu saya mengupahnya dengan aiskrim McD, ayam panggang Kenny Rogers, jam tangan Spiderman, DVD PS2 Ultraman 3 dan 2 buah buku cerita... Mmm... rasanya barang dia lagi banyak dari barang ibunya.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...