27 Mei 2012

Membeli-belah di Bali

Jika berkesempatan ke Bali, selain daripada pantai yang cantik dan aktiviti-aktiviti kebudayaannya, membeli-belah merupakan satu aktiviti yang seharusnya tidak dilepaskan. Dari barangan batik hinggalah pelbagai hasil seni seperti perak, ukiran kayu, kain lace dan pelbagai cenderamata yang lainnya boleh dibeli hingga boleh rabak duit kalau tidak berhati-hati...hehehe.  Dalam entri ini saya ingin kongsikan pengalaman membeli-belah di Bali.

Jika anda bijak dalam hal-ehwal tawar-menawar, Pasar Seni Sukawati tidaklah menghampakan. Tawarlah pada harga terendah dan jika anda rasa tidak bertepatan dengan bajet anda, anda boleh membeli di kedai lain. Pasar ini lebih kurang sama dengan Pasar Khatijah mahupun Pasar Payang. Pada hemat saya, menawar pada harga Rp10,000 bagi sesuatu barangan seperti pakaian kanak-kanak, masih boleh diterima. 



Hati-hati dengan penjual jalanan yang akan mengekori ke mana anda pergi. Biasanya anda boleh menawar lebih rendah daripada pekedai kerana mereka tidak perlu membayar harga sewa kedai. Tetapi sekalipun harganya lebih murah sedikit, risiko yang perlu anda hadapi adalah penjual lain juga akan turut mahu menjual kepada anda jika anda sudah mula membeli daripada seorang penjual. Jadi jika anda sudah mencapai kata sepakat untuk membeli, anda boleh terus pergi dengan mengucapkan kata-kata penolakan yang baik. Sila periksa barangan yang ditawarkan secara pukal (lebih banyak, lebih murah) kerana kualitinya perlu diperiksa seperti ukuran baju mahupun coraknya. Jika anda tidak berhati-hati, bimbang hasilnya akan mengecewakan anda.

Jika anda malas hendak menawar, di Krisna ini menawarkan harga tetap yang agak murah. Saya perhatikan, kebanyakannya hanya kurang Rp5000 daripada penjual di Sukawati. Di sini juga suasananya lebih tenang dan sejuk. Anda boleh membeli-belah dengan selesa tanpa pening kepala untuk menawar harga.

Jika mahukan barang berjenama khususnya pakaian dan peralatan luncur air, di Bali Collection, Nusa Dua ada menawarkan pusat membeli-belah jenama antarabangsa. Di sini terdapat banyak pilihan dan pastilah harganya juga boleh tahan. Kompleks di sini sangat lengkap dengan kemudahan membeli-belah, makan dan pantai (pantai-pantai milik hotel 5 bintang). Anda boleh habiskan masa separuh hari di sini.


Namun begitu, di kawasan-kawasan tumpuan pelancong terutamanya di Tanah Lot. Pelbagai deretan kedai menjual cenderamata pada harga yang berpatutan.

Di tengah-tengah Kuta, Discovery Shopping Mall adalah yang terbesar. Jika bosan, boleh juga membeli-belah di sini. Ada banyak lagi gedung membeli-belah di Bali tetapi di sinilah yang paling ramai di sebabkan berada di kawasan tumpuan pelancong.

Terdapat juga factory outlet di sini seperti di Bandung tetapi ianya lebih kepada barangan sukan dan luncur air. Jadi lepas penat jalan-jalan tengok kebudayaan Bali, penat dengan aktiviti air mahupun ke spa, membeli-belah juga boleh dijadikan memoir indah di Bali. Selamat bercuti!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Suis nouveau sur les blogs. Donc voudrais en savoir plus sur les blogs ..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...