Memaparkan catatan dengan label Lakaran Kasih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lakaran Kasih. Papar semua catatan

02 September 2014

Laila Kamilia ingin Kolaborasi dengan Penulis Indonesia : Temubual dengan Antaranews.com INDONESIA

Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews.com Indonesia. Wawancara ini di dalam bahasa Indonesia ya.  Rasa pelik pula dapat baca artikel tentang diri sendiri tapi dalam bahasa lain. Terima kasih Vivi untuk satu artikel yang menarik. Terima kasih sudi temubual Laila Kamilia! Boleh baca artikel lengkap di Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews Indonesia pada 29 Ogos 2014.







28 Ogos 2014

Lakaran Kasih



Lakaran Kasih, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, 2007.

Sinopsis :
Dzalia dan Zuhairee, dua nama yang dijanjikan untuk bertemu dan jatuh cinta. Dua insan yang sekadar menyimpan rahsia hati, sedang diri menanggung sakit tidak terperi. Betapa lemahnya manusia... semudah itu tewas dalam ujian hidup yang tidak seberapa.

Siapa sangka... setiap pertemuan mereka sebenarnya dirancang. Ikatan dua keluarga tidak memungkinkan mereka berpisah. Tapi... ingkarkan namanya jika janji yang terlafaz tidak terungkai? Apa perlunya dipateri ikatan jika tidak membawa sebarang erti? Ah, cukuplah derita yang menjerat diri. Biar dilunaskan ikrar yang menghambat memori.

Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd, 2007
Harga : RM14
Beli dari Penulis : RM12.00. Harga termasuk pos.

07 Mei 2014

TAHNIAH KEPADA 30 PEMENANG HADIAH MISTERI KEMPEN LIKE FAN PAGE LAILA KAMILIA


TAHNIAH kepada 30 yang telah terpilih untuk memenangi satu hadiah misteri daripada Laila Kamilia sempena Kempen LIKE fanpage Laila Kamilia yang berlangsung sehingga 30 April 2014 yang lalu. Terima kasih atas sokongannya. Mohon PM alamat kepada saya bersama nombor telefon selewat-selewatnya hujung minggu ini, 11 Mei 2014 untuk urusan penghantaran hadiah pada minggu depan.



SENARAI PENERIMA 30 HADIAH MISTERI

Na Nuar, Aieda Fauzie, Rabiahtul Asma, Nurhazlin Muhd Pilus, Myza Ej's, Nurkhalisah Adzmi, Hajar Azman, Nurul Ain Sallehin, Nabella Huda, Farah Fadhilah, 

Mimie Shamimi, BieBie Mentan, Maisarah Qaisarah, Rahyu Ismail, Nafizah Hanim, Qaseh Dilan, Janijah Jun, Qasehlily Muchas, BiBie Fatiemah, Nurul Husna Ali, 

Nazifah Hanim, Illa Damia, Nooraini Sulaiman, Yana Azmi, Lyza Zainol, Hanis Misaki, Zaliha Hassan, Azilah Abd Majid, Haziza Hassan, Mizs Nuriz

Kepada yang tidak terpilih, teruskan sokongan anda kepada Laila Kamilia kerana ada banyak lagi peraduan dan hadiah pada masa depan. Sesungguhnya tiada yang berharga dalam dunia penulisan Laila Kamilia selain daripada semua yang telah menyokong Laila Kamilia sejak 2006. Semoga ALLAH membalasnya dengan kebaikan yang lebih lagi. Kalau saya mampu hadiahkan semua orang, akan saya lakukan. Oleh itu hanya terima kasih yang tidak terhingga dapat saya berikan bersama doa semoga anda semua berada di dalam peliharaan dan kasih sayang ALLAH selalu. Stay connected dengan dunia  penulisan Laila Kamilia. Sayang kamu semua. Muah!

Kepada para penaja hadiah, terima kasih daun keladi atas sokongan kepada kerjaya penulisan Laila Kamilia. Semoga kita akan berkolaborasi lagi pada masa depan!

06 Mei 2014

PRE ORDER C1NT4 TOP SECRET DIBUKA

Alhamdulillah. Pre order sudah dibuka. Boleh emel saya di lailakamilia@yahoo.com atau PM di FB. Boleh lihat tawaran pakej yang tidak boleh dilepaskan sehingga 30 Jun 2014 bersama hadiah misteri (sementara stok masih ada). Setiap minggu saya akan mengepos satu batch bermula minggu depan, in syaa Allah. Semoga terhibur dengan buah tangan terbaru Laila Kamilia.

PAKEJ C1NT4 TOP SECRET - Harga Asal : RM21
Promosi : RM19 + hadiah MISTERI
Postage : RM6



PAKEJ ANAK-ANAK :- Harga Asal-RM22 + RM22 : RM44
Promosi 2 novelet - RM39.00 sahaja.
Postage : RM6


PAKEJ CINTA - C1NT4 TOP SECRET + CINTA PANDANG KE-2 + CINTA BUNGA TULIP
Harga Asal-RM21 + RM22 + RM22 = RM65
Promosi 3 novel -RM55 sahaja + hadiah MISTERI 
Postage : RM9



PAKEJ C1NTA KASIH : C1NT4 TOP SECRET + LAKARAN KASIH 
Harga Asal-RM21 + RM14 = RM35
Promosi 2 novel -RM29 sahaja + hadiah MISTERI 
Postage : RM6


PAKEJ C1NTA HADIR : C1NT4 TOP SECRET + SAAT KAU HADIR 
Harga Asal-RM21 + RM18 = RM39
Promosi 2 novel -RM32 sahaja + hadiah MISTERI 
Postage : RM6






PAKEJ C1NTA KUASA DUA : C1NT4 TOP SECRET + CINTA PANDANG KE-2 
Harga Asal-RM21 + RM22 = RM43
Promosi 2 novel -RM39 sahaja + hadiah MISTERI 
Postage : RM6


PAKEJ C1NTA TULIP : C1NT4 TOP SECRET + CINTA BUNGA TULIP
Harga Asal-RM21 + RM22 = RM43
Promosi 2 novel -RM39 sahaja + hadiah MISTERI
Postage : RM6

25 Januari 2014

DAPATKAN novel Laila Kamilia dengan lebih mudah

Tahun baru 2014. Semuanya serba baru! Bukan saja saya sudah bertukar alamat baru tetapi juga mahu mempermudahkan interaksi saya dengan pembaca yang sangat-sangat saya sayangi. 

Saya selalu dapat rungutan daripada pembaca yang kata susahnya nak dapatan novel-novel tulisan Laila Kamilia di kedai -kedai buku, terutamanya novel-novel saya yang lama. Novel Lakaran Kasih, novel pertama saya bersama Alaf 21 telah terbit pada 2007 kira-kira 8 tahun lepas, diikuti Saat Kau Hadir, pada 2008 antara novel saya yang sudah lama tetapi MASIH ADA di pasaran. 

Selepas berehat hampir 3 tahun, saya kembali di arena penulisan novel pada tahun 2011 dengan novel yang sedang bersiaran di kaca TV9 pada setiap Khamis, jam 8.30 malam! Novel Cinta Pandang ke-2 merupakan novel saya yang ketiga bersama Alaf 21. Kini anda boleh membayangkan wajah Izara Aisyah sebagai Ainnur Azleen dan Dazrin sebagai Zairul ketika membaca novel ini. Semoga anda terhibur membaca novel dan menonton drama Cinta Pandang ke-2! Dua versi teristimewa daripada saya untuk anda semua!

Pada 2013, saya kembali bersama si tulip. Kisah Adrian, jejaka separa Indo-Jerman dan Puteri Sara (dibaca sebagai Puteri Zara) gadis separuh Malaysia-Jerman ini akan membawa anda mengembara ke Eropah. Saya boleh mengatakan yang anda sudah boleh melancong ke Berlin dengan membaca novel Cinta Bunga Tulip kerana saya memberikan fakta yang benar  bagi memudahkan anda mengembara sendiri ke sana tanpa menggunakan khidmat syarikat pelancongan!



Kini segalanya dipermudahkan. Segalanya di hujung jari! Semudah A,B,C. Hanya


Dan... novel-novel itu akan dikirimkan Alaf21 ke depan pintu rumah anda! 

Tapi kalau mahu beserta autograf, boleh saja PM di FB saya di Laila Kamilia atau emel di lailakamilia@yahoo.com. Saya dengan senang hati akan melayani pesanan anda dengan hati yang besar! Hehe.

Saya mengharapkan anda terhibur membaca karya-karya saya, dari dulu, kini dan selamanya... In syaa Allah. 

Sampai jumpa lagi dengan karya saya yang terbaharu yang bakal berada di pasaran, In syaa Allah tahun ini. Doakan saya segera menokhtahkan kisah CINTA  TOP SECRET (tajuk sementara) dengan terbaik demi pembacanya!

Seperti selalu, yang buruk jadikan sempadan, yang baik buatlah tauladan! Selamat mengembara di dunia Laila Kamilia dan menyelesaikan misteri di sana!

Salam sayang,

-Laila Kamilia

26 September 2011

Selamat Ulangtahun ke 10 Hardy!

Ogos telah berlalu kini September datang. Kalau bulan Ogos, Hana dan abang sambut hari jadi, September menjadi giliran Hardy. Pejam, celik sudah 10 tahun umur anak sulung saya. Kalau berjalan di sebelah sudah hampir sama tinggi. Ya, empunya nama Hardy Zahidy Fadly ini memang tidak disangka akan besar dan tinggi seperti hari ini. 10 tahun yang lepas pada 16 September, dia lahir di Teluk Intan. Walau bagaimanapun, selepas sebulan, beliau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan kerana disyaki menghidapi VSD, sejenis masalah berkaitan jantung. Semenjak itu IJN sudah menjadi rumah nombor dua kami. Beliau menjalani pembedahan jantung pada  usia 5 tahun. Sedikit pengalaman mengalami VSD, ada saya titipkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Alhamdulillah kini dia sudah disahkan sihat dan dapat menjalani kehidupan normal.

Ya, siapa sangka, anak yang sakit-sakit itu sudah sebesar ini. Ya, dia adalah anak yang tabah. Sekalipun dia tahu, dia akan mengidapi VSD jika lahir ke dunia, dia tetap mahu menjadi anak Haslina dan Aedy Fadly, memberikan kami peluang untuk menjadi mama dan abah. Jika dia tidak tabah, pasti dia merungut semasa setahun setengah berada di Berlin. Bersekolah bersama kanak-kanak yang bahasanya langsung tidak difahaminya di kelilingnya. Dia memang anak yang tabah, kerana tidak sekalipun mukanya masam, memprotes tidak mahu ke sekolah.

Untuk anak yang setabah ini....., mama dan abah ingin memberitahu bahawa betapa kami sangat menyayangi dirimu. Selamat hari jadi ke 10 anakku. Jangan tinggal solat. Semoga hari depan menjanjikan hari yang indah dan mendamaikan!

ps-Tahun ni, kami meraikan besday Aid di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang

04 Disember 2008

Lagu Cinta

Saya suka mendengar lagu... Kira hobi jugak ni. dari sekolah dulu kalau buat homework mesti nak dengar radio... Biasalah tu kan hobi macam orang lainla juga, tak de la pelik sangat. Sampai sekarang, hobi itu terbawa-bawa semasa saya menulis. Biasa saya akan pilih satu atau dua lagu yang saya rasa bersesuaian dengan novel yang saya tulis. Lagu itu akan saya ulang-ulang berkali-kali hingga saya hafal liriknya juga moodnya. Kira bukan layan saja-saja. Dengar lagu dan tangan saya akan mula menaip...




Kenapa saya suka memasukkan lagu cinta dalam novel? Bagi saya novel pun macam filem juga, perlu ada sountracknya atau dalam bahasa Melayu runut bunyi... Bagi saya, setiap orang pasti ada lagu cinta mereka sendiri, betul tak? Setiap lagu cinta ada kisahnya yang tersendiri. Kita sering hendak mengaitkan cinta kita dengan sesebuah lagu...Jadi sudah pastinya dalam novel cinta mesti ada lagu cinta... (untuk sayalah)...

Semasa saya menulis Asmara Asrama saya memilih lagu Anuar Zain; Semua Untukmu yang dinyanyikan berduet oleh Fareez dan Suzana. Memandangkan novel itu novel humor, komedi romantik maka saya buat scene mereka menyanyikan lagu itu berduet bagi menyampaikan rasa cinta. Saya juga memasukkan lagu Accidentally In Love nyanyian Counting Crows yang saya angkat dari cerita Shrek. Saya menyamakan perasaan Fareez yang menyamakan dirinya dengan Shrek (makhluk yang kotor, yang tinggal di dalam paya) yang tidak boleh digandingkan dengan Princess Fiona. Dia merasakan dirinya terlalu kerdil (rendah diri) jika hendak dibandingkan dengan Suzana.


Dalam novel saya yang kedua, saya memilih lagu Gerimis Mengundang nyanyian Kumpulan Slam sebagai lagu cinta dalam novel itu. Ketika itu Zuhairee terkenangkan Asyikin, cinta pertama yang tidak boleh dilupakan. Walau Asyikin sudah berkahwin, dia tidak sekali-kali hilang semangat untuk terus menunggu Asyikin kembali kepadanya. Rasa bersalahnya pada Asyikin membuatnya nekad untuk terus membujang sehingga ke akhir hayat.


Bagaimana dengan novel terbaru saya Saat Kau Hadir? Saya memilih lagu dangdut Amelina & Syeeda; Secangkir Madu Merah di permulaan cerita. Kerana situasi pertemuan antara Amri dan Eliana yang agak lucu, jadi saya memilih lagu itu. Bagi saya peminat dangdut di Malaysia tidak ramai, terutamanya yang tegar seperti kawan saya Marfuza. Dia paling suka dengar lagu dangdut sedangkan usianya muda...itu sesuatu yang pelik dan lucu bagi saya sebab orangmuda biasa tentu gemar hip hop, atau paling kurang pop. Saya tidak sampai hati memasukkan lagu Goyang Gerudi Inul Darasista dalam novel itu. Lalu saya memilih lagu ratu dangdut kita yang tiada penggantinya sehingga kini, Amelina.

Lagu Keris Patih; Tapi Bukan Aku dipilih kerana lirik lagu itu bersesuaian sangat dengan perasaan Imran yang terluka dengan sikap Eliana yang acuh tak acuh kepadanya. Konon-konon keputusan telah dibuat, dan biarlah Eliana bahagia dengan hidupnya....

Waktu ini, saya sedang melayan lagu Rossa; Kau Bukan Untukku.... Syahdu syahdan lagunya. Bahagian yang paling saya suka bila dia kata, 'meskiku memohon dan meminta hatimu... jangan pernah tinggalkan dirinya... untuk diriku....' Mmm... pastinya ada kaitan dengan manuskrip saya yang sedang saya hadap itu... Macam mana perasaan Rossa ketika menyanyikan lagu itu? Saya sedang cuba menyelaminya...

12 Disember 2007

Penulis Lakaran Kasih di TV


Amboi hang kat TV glamer la. Satu SMS dari seorang teman saya terima awal pagi tadi di saat saya sedang bergelumang dengan Citra Pesona. Saya balas balik SMS dia bertanyakan pendapatnya tentang penampilan dan penyampaian saya dalam siaran Selamat Pagi Malaysia pagi tadi. Dia membalas kembali, katanya; Ok je... Explanation menarik. Novel bakal menyusul menarik juga. Tapi kan kenapa sekejap saja interview tu. Mmm.. lagi satu, kau nampak tembamla dalam TV (ke TV aku yang ajaib). Saya ketawa. Lalu saya balas lagi SMSnyadan saya forwardkan SMSnya itu kepada Lily Suriani.
Terima kasih Alaf21 kerana memberi peluang kepada saya mempromosikan Lakaran Kasih. Juga kepada krew RTM hari itu.
p/s: Lily Yong tak puas hati dengan SMS yang saya forwardkan kepadanya. Sehingga saya menulis entri ini dia minta saya beri penerangan kepadanya terutama komen kawan saya itu tentang penampilannya. Saya telah berjanji untuk menelefonnya semasa dalam kereta menuju LCCT nanti.
Saya dapat satu lagi SMS dari seorang teman di Penang yang juga menonton saya pagi tadi. Alahai... kenapalah semasa saya mengadap TV itu, rakaman itu tidak keluar.....




14 September 2007

Siapa Dzalia dalam LK


Saya ingin berkongsi pengalaman saya diajukan dengan pertanyaan oleh mereka yang sudah membaca LK. Ramai yang bertanya, dalam LK tu Dzalia tu wujud ke? Bila saya cakap watak dia betul wujud, soalan kedua pula keluar, betuk ke dia janda? Cerita dalam LK tu kisah benar ke? Bukan saya seorang saja, saya rasa semua penulis sentiasa diajukan pertanyaan yang sama. Ia menunjukkan betapa prihatinnya seorang pembaca dengan apa yang dibacanya sehinggakan terbawa-bawa keluar ke dunia realiti.

Untuk menjawab soalan yang nombor satu itu, jawapan saya, memang Dzalia wujud. Kareaktornya diambil bagi memperingati seorang kawan yang cukup sweet dan baik hati. Bahagian paling tidak benar tentang Dzalia, saya wujudkan sebagai janda berhias sedangkan di alam realiti, dia masih bujang trang tang-tang. Still available.

Harapan saya semoga 'Dzalia' saya cepat-cepat bertemu jodoh. Dan harapannya biarlah dengan lelaki sebaik Zuhairee. Kalau ada yang mahu menjalin persahabatan dengan Cik 'Dzalia Nidzar ' silakan ke http://profiles.friendster.com/juecute

Walau di mana 'Dzalia' saya berada, saya doakan dia menemui kebahagiaan yang dia ingini. Terima kasih kerana sudi menjadi Dzalia dalam LK.

25 Ogos 2007

Elemen Budaya dalam LK : Perkahwinan Cina Melayu


Saya memang sudah biasa bergaul dengan kawan-kawan Cina. Dulu semasa di Tingkatan 4, kawan-kawan Cina saya akrab Chin Hooi (dengarnya sekarang pilot), Chee Wei, Chee Yue, Lisa Gan, yang lain-lain saya tak berapa ingat namanya. Bukan bermakna saya sengaja lupa tapi masa membuatkan kita tak berapa ingat, namun ingatan terhadap kenakalan mereka saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Dalam banyak-banyak tu tersesat seorang India, namanya Aravind Chandran (dengarnya sekarang dah jadi doktor). Setiap kali gagal Fizik dan Add Math, Chee Yue dan Aravind tempat hendak mengadu.


Kami memang rapat. Kalau Tahun Baru Cina, saya (Liza dan Wa) akan pergi menziarah ke rumah mereka. Masa ni masing-masing duduk merekut sebab takut kena gigit anjing. Bila masa raya, giliran mereka ke rumah kami. Paling nak tergelak, Chee Yue sakan mengejar ayam sebab kat pekan dia tak pernah jumpa ayam. Hidangan paling diaorang suka, rendang mak saya.


Ada la juga antara kami yang nak tercouple (saya terkecuali) sama ada di antara Cina Melayu mahupun Melayu India, tapi sampai kini, saya tak pernah dengar ada yang menjadi. Paling dekatpun, beberapa tahun lepas kawan saya yang lain begitu serius sehingga sanggup jumpa parent awek dia nak minta restu. Bukan mudah sebenarnya untuk kahwin campur ni. Tekanan-tekanan dari keluarga dan masyarakat payah nak ditepis.


Lalu saya abadikan impian saya melihat pasangan Cina Melayu berkahwin, saya lakarkan dalam LK. Selalu orang cakap, itulah untungnya jadi novelis, apa dia nak buat dia dapatkan dalam fantasinya dan diterjemah di kertas. Kepada kawan-kawan saya yang terbaca entri ini, harapnya dapatlah berhubung dengan saya. Kalau kita buat reunion pun seronok jugak.

SAMBUTAN majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki sungguh meriah dan unik sekali. Majlis perkahwinan ini dilangsungkan mengikut adat istiadat masyarakat Cina tetapi disesuaikan dengan tata tertib agama Islam. Pada hari bersejarah itu, Dzalia mengenakan sepersalinan ceongsam labuh berwarna merah. Potongannya sedikit diubah suai agar tidak kelihatan terlalu sendat. Majlis dimulakan dengan upacara minum teh yang ber-langsung di rumah Zuhairee. Pasangan pengantin akan tunduk sambil menuang teh untuk ahli keluarga yang lebih tua. Dzalia menurut sahaja bila Zuhairee menuang teh ke dalam cawan ibunya, Mak Cik Zakiah kemudian Zetty. Sebagai balasan, pasangan pengantin kemudiannya dihadiahkan dengan angpau mahupun barang kemas. Kemudian keluarga Zuhairee mempersilakan pasangan pengantin itu minum teh, disusuli pasangan pengantin menghadiahkan angpau kepada mereka. Setelah itu upacara sama dilakukan kepada keluarga di sebelah Dzalia.

Majlis seterusnya berlangsung di Parameswara Ballroom, Palace Beach & Spa di The Mines, Seri Kembangan. Berseri-seri wajah kedua mempelai dengan senyuman yang tidak lekang-lekang di bibir mereka menyambut kedatangan seramai lebih kurang 150 jemputan. Ahli keluarga Zuhairee yang lebih tua mempersilakan tetamu duduk yang boleh memuatkan sepuluh orang setiap meja. Upacara itu bermula dengan ucapan tahniah daripada para tetamu dan diikuti dengan upacara memotong kek setinggi lima tingkat. Kek icing berwarna merah jambu itu memang cantik. Mereka tidak ketinggalan bersuapan kek di hadapan tetamu. Kedengaran suara-suara nakal bersiulan mengusik pasangan pengantin yang malu-malu.

Selepas upacara memotong kek, Zuhairee dan Dzalia ditemani oleh saudara-mara masing-masing singgah di setiap meja untuk minum bersama jemputan dengan mengangkat gelas minuman (yamseng) sebanyak tiga kali sambil mengucapkan selamat kepada pengantin. Sebelum beredar, tetamu menghadiahkan mereka dengan angpau.

Zuhairee sempat berbisik ke telinga Dzalia memberitahu biasanya hongbao yang diberikan merupakan wang tunai secara berpasangan. Dzalia mengerutkan dahi tanda tidak faham. Zuhairee kemudiannya menerangkan bahawa wang hadiah itu akan diberikan secara berpasangan contohnya RM50 untuk pengantin lelaki dan RM50 untuk pengantin perempuan tetapi sekiranya tetamu itu belum berkahwin kebiasaannya mereka akan memberi kurang sedikit nilainya seperti dua helai not RM20. Hangboa yang ada nanti harapnya boleh membawa mereka berbulan madu, bisik Zuhairee lagi bergurau. Dzalia mengangguk-angguk tanda faham. Sikit-sikit Dzalia cuba menyesuaikan diri dengan suasana sambutan perkahwinan yang janggal baginya. Mujurlah Zuhairee tidak jemu-jemu memberi penerangan kepadanya. Sesungguhnya perkahwinan ini akan menjadi kenangan terindah dan teristimewa buat Dzalia.

23 Ogos 2007

Elemen sejarah dalam LK : Menara Condong Teluk Intan


Siapa pernah pergi ke Teluk Intan? Menara Pisa Malaysia ini memang bernilai sejarah. Kesempatan ada saya rakamkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Lihat menaranya yang menyondong ke kiri.

Otaknya sudah penat berfikir. Dia sudah tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu, mana yang dia inginkan dan mana pula hanya harapan. Sudah habis dirondanya bandar Teluk Intan, akhirnya dia berhenti betul-betul di kawasan letak kereta di hadapan deretan kedai yang menghadap menara condong. Dia sudah betul-betul keletihan, minda dan fizikal. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi.

Dzalia keluar dari perut kereta, memeluk tubuh sambil melemparkan pandangannya ke menara di hadapannya yang menjadi jolokan Pisa Malaysia. Jam di menara itu berdenting lima kali. Me-nara itulah satu-satunya kemegahan penduduk Teluk Intan. Menurut sejarah, menara condong berbentuk pagoda itu dibina oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong pada tahun 1885 untuk tujuan menyimpan air bagi kegunaan penduduk Teluk Intan sebelum bekalan air dari Changkat Jong disediakan oleh kerajaan pada tahun 1919.
Menara itu mempunyai lapan tingkat. Yang menariknya, ia hanya mempunyai tiga tingkap dan di bahagian atas sekali terletak satu tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Menara itu hampir dirobohkan oleh kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua dahulu kerana dikhuatiri akan menjadi tanda kepada serangan kapal terbang Jepun. Tetapi atas bantahan penduduk, rancangan itu telah dibatalkan.

Kini, sekitar menara itu telah disimen bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan untuk memeriahkan mercu tanda kebanggaan Teluk Intan itu. Hari ini sedang berlangsung satu pameran kereta di situ. Kelihatan beberapa buah kereta Proton dari pelbagai model dipamerkan. Kelihatan juga beberapa orang remaja asyik bermain kereta kawalan jauh tidak jauh dari situ. Asyik dia memerhatikan kerenah orang ramai di situ tetapi masalah di pundaknya belum juga mahu menyusut.

Tubuhnya tiba-tiba terasa sejuk. Dia lantas masuk ke kereta lalu menghidupkan enjin. Dia harus segera pulang jika tidak mahu demam. Akhirnya, Dzalia memecut meninggalkan bandar Teluk Intan yang semakin suram. Senja bakal melabuhkan tirainya.

03 April 2007

Novel terbaru Alaf21 - Lakaran Kasih

Novel LAKARAN KASIH sudah menemui anda di kedai-kedai buku seluruh negara. Dapatkannya sekarang.

LAKARAN KASIH-sinopsis

Dzalia dan Zuhairee, dua nama yang dijanjikan untuk bertemu dan jatuh cinta. Dua insan yang sekadar menyimpan rahsia hati, sedang diri menanggung sakit tidak terperi. Betapa lemahnya manusia... semudah itu tewas dalam ujian hidup yang tidak seberapa.

Tapi... ingkarkan namanya jika janji yang terlafaz tidak terungkai? Apa perlunya dipateri ikatan jika tidak membawa sebarang erti? Ah, cukuplah derita yang menjerat diri. Biar dilunaskan ikrar yang menghambat memori.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...