Memaparkan catatan dengan label Anugerah & Pencapaian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Anugerah & Pencapaian. Papar semua catatan

01 Mei 2015

BULETIN LAILA KAMILIA MEI 2015

Berabuknya blog saya! Sampai batuk-batuk. Maafla ye, saya sedikit sibuk dan ada masalah dengan internet di rumah. Alhamdulillah hari ni baru diberi kelapangan mengemaskini blog yang bersawang. Dalam penyepian itu beberapa perkara yang saya nak umumkan untuk anda semua.
- Drama inspirasi novel CINTA PANDANG KE-2 kembali bersiaran di TV9
- Drama inspirasi novel CINTA PANDANG KE-2 telah disenaraikan dalam pencalonan akhir Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (boleh lihat foto-foto saya di malam final di fanpage Laila Kamilia.
-Anugerah Novelis Prolifik Alaf21 sempena Pesta Buku Antarabangsa KL 2015

06 Januari 2015

POSTMORTEM AZAM 2014




Selamat Datang 2015! Tahun Baru, Cabaran Baru untuk semua. Alhamdulillah, TUHAN panjangkan umur setahun lagi. Tahun 2014 telah ditinggalkan. Banyak kenangan sedih-sedih 2014. Bermula dengan MH370, kemudian MH17, kemudian QZ8501 tak termasuk kemarau hingga bercatu air kemudian banjir besar. Hanya air mata yang mengiringi penderitaan demi penderitaan 2014. Sekalipun telah meninggalkan 2014, hakikatnya sebagai manusia, kita harus belajar daripada musibah-musibah ini. Saya sendiri memandangnya sebagai peluang ALLAH menunjukkan begitulah gambaran hari kiamat. Manusia tidak menghiraukan manusia lain, dek harus memenuhi keperluan sendiri. ALLAH HU AKBAR. Saya rasa sangat kerdil. Kalau ALLAH menarik nyawa saya, saya berdoa, semoga ketika itu ALLAH telah tetapkan tempat saya di SYURGA. Amin! Mati itu pasti!


Tahun 2014, saya menulis 42 entri! Lebih sekali ganda daripada 2013. Wah! Itu juga satu pencapaian supaya web ini tak berhabuk. Entri kali ni, saya nak buat postmortem azam tahun lepas. Berikut adalah azam saya tahun lepas, saya nak selidik berjaya atau tidak? Huhu. Ngeri!

Azam 2014
Sebagai NOVELIS
Tahun ini saya sedang berusaha untuk muncul dengan novel baru, CINTA TOP SECRET. Manuskripnya sudah separuh perjalanan dan saya harap dapat menohktahkannya Januari ini. Doa-doa ye semoga usaha saya menyelesaikan manuskrip ini mengikut direncana.

Selain daripada itu, saya juga berharap dapat menyiapkan manuskrip buku umum saya yang pertama. Tajuknya masih belum dapat ditentukan tetapi ianya berkaitan dengan hobi saya sebagai pengembara! Travelog? Hehe! Tunggu ye!

Selain itu saya juga mengharapkan satu novel saya diadaptasikan ke layar TV! Hehe... Kalau korang nak tahu resolusi saya untuk 2014 boleh baca di majalah MIDI, Edisi Januari 2014!

Post-morterm Azam 2014
TAHUN 2014 novel saya CINTA PANDANG KE-2 telahpun diadaptasi ke layar TV9 setiap Khamis jam 8.30 malam seama 13 episod untuk slot Aurora. Pelakon yang membawakan watak Zairul Hasmat adalah Dazrin Kamarudin manakala watak Ainnur Azleen dibawakan oleh Izara Aisyah. Siaran drama ini selama lebih kurang 3 bulan berakhir pada bulan 6 Mac 2014 yang lalu. Alhamdulillah impian saya untuk melihat novel di kaca TV dimakbulkan ALLAH.


Sesungguhnya banyak pengalaman yang saya kutip dengan terbitnya drama ini. Hasrat saya untuk melihat nama saya di skrin sebagai penulis skrip juga terlaksana. Terima kasih kak Maizura Mohd Ederis yang banyak membantu saya di sepanjang proses penulisan skrip drama ini.

Setelah tamat siaran drama ini, saya telah menghantar beberapa proposal skrip drama kepada penerbit. Namun buat masa ini, masih belum ada yang diterima. Mana tahu 2015 nanti ada drama skrip tulisan saya yang akan ke udara. Yang penting jangan putus asa. 

Novel Saat Kau Hadir yang telah diterima pitching di Astro nampaknya tidak menunjukkan kemajuan yang menggalakkan. Saya sedih tetapi ia mematangkan saya. Dari situ saya mula faham bagaimana karenah pembikinan drama. Saya hanya berserah kerana rezeki itu datangnya dari ALLAH.


Sepanjang tayangan drama Cinta Pandang ke-2, saya banyak juga muncul di khalayak melalui sesi temu mesra di kedai buku atau karnival bersama pelakon. Alhamdulillah sehingga kini hubungan saya dengan para pelakon adalah baik.



Tahun ini juga rezeki saya menjadi duta galeri muslimah Aisyahscarf. Alhamdulillah. Semoga perlantikan ini memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Pada tahun ini, saya telah menganjurkan beberapa peraduan untuk menghargai sokongan pembaca novel. Bermula dengan kempen LIKE fan page LK, Makan Sampai Lebam Sembang Sampai Pengsan dan Peraduan C1NT4 TOP 5ECRET. Tahniah kepada pemenang, semoga sokongan anda kepada LK akan terus terpahat selamanya insyaa ALLAH. Semoga ALLAH murahkan rezeki kepada saya untuk menganjurkan lain-lain peraduan di masa depan. Amin...




Tahun 2014 juga saya berjaya tampil dengan novel C1NT4 TOP 5ECRET. Novel bergenre aksi ini menemui pembaca pada bulan Jun 2014 bersempena Pesta Buku Antarabangsa KL. Setelah 9 tahun saya berada dalam bidang penulisan, saya telah menemukan genre penulisan yang paling saya gemari. Kisah perisik yang mengembara ke seluruh dunia menyelesaikan misteri membuatkan adrenalina saya bagai dipam. Saya sangat teruja menyiapkannya!






Ini novel saya yang ke-5 bersama ALAF21. ALHAMDULILLAH ia dilancarkan pada 30 Ogos 2014 bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun SEMARAK, sekolah saya yang tercinta oleh mantan Pengurus Besar ALAF21, Encik Norden. Sesungguhnya ia momen paling bermakna dalam hidup saya kerana ia disaksikan oleh orang-orang yang saya sayang dan hormati (ada keluarga dan guru-guru juga orang yang bertanggungjawab melahirkan Laila Kamilia). The best moment ever in LK's life.


Acara terakhir yang saya terlibat adalah Lepak-lepak Novelist Novelholic 2.0 Boling di Melaka bersama pembaca. Tahun ni saya menjadi Penyelaras Program. Alhamdulillah tahun ni sekalipun tak dapat mengekalkan kejuaraan berkumpulan (sekadar Naib Johan) saya berjaya menjadi Johan Indvidu Novelis. Wah! Macam terror sangat. haha. Apapun ia momen yang best!


Berikut adalah keratan akhbar sepanjang 2014 yang berkaitan Laila Kamilia. Terima kasih kepada wartawan yang memberikan sokongan promosi kepada LK. Selain daripada akhbar, tahun 2014 juga LK ada muncul di rancangan Selamat Pagi Malaysia, RTM1 dan Safiyya, TV9. Video tersebut boleh ditonton di FB Laila Kamilia.






Penganjuran Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 yang berlangsung pada Jun 2014 yang lalu, LK telah tercalon dalam Top 5 bagi 2 kategori iaitu Buku Pilihan Kategori Kanak-Kanak dan Buku Adaptasi. Alhamdulillah saya menang kategori buku kanak-kanak melalui buku Powerpuffgirls Mama bersama-sama dengan 4 lagi penulis. Ketika itu saya tiada di Malaysia dan anugerah itu memberi saya semangat untuk terus berkarya. Terima kasih kepada pembaca yang memberi kepercayaan kepada buku-buku LK. Cinta Pandang ke-2 telah tewas kepada Setia Hujung Nyawa! Satu pencapaian yang harus dibanggakan juga. Hehe.




Dua perkara yang tidak terlaksana. Buku kanak-kanak saya tidak diterbitkan tahun ni sekalipun saya sudah menghantar manuskrip. Bersabarlah dengan si Kimy. hehe... dan buku Kembara saya masih belum bergerak mukasuratnya. Haila! Janji dengan editor tinggal janji nampaknya!


Azam 2014
Sebagai GURU
Tahun ini saya tidak lagi menjadi Setiausaha Panitia Pendidikan Khas, setelah menjadi setiausaha bermula 2010! Tahun ini saya mengajar Kemahiran Manipulatif dan Matematik. In syaa Allah banyak aktiviti dirancang untuk memberi pengalaman terbaik kepada anak-anak syurga. Tahun ini juga saya masih menjadi Penyelaras Majalah Sekolah dan Setiausaha Laman Web Sekolah. Sebagai Editor, saya menyasarkan untuk menyiapkan Buletin Pendidikan Khas Daerah Hulu Langat yang tertangguh pada tahun lepas.  Semoga dipermudahkan.

Postmortem 2014
Tahun ni tak kurang juga sibuknya. Sekalipun tidak ada majalah sekolah, tahun ni saya dapat menyiapkan fotobook Tahun 6 dengan airmata! Saya harus melupakan segalanya dan buka lembaran baru. Sesungguhnya pengalaman itu menyedarkan saya banyak perkara. Saya belajar daripadanya dan lebih kenal manusia yang dipanggil rakan sekerja. Pengalaman harus dibayar dengan harga yang bukan sedikit. Menjadi seorang novelis bukanlah mudah apabila orang tidak mahu membezakan saya adalah cikgu Haslina bukannya cikgu Laila Kamilia! Hmm...


Cabaran di pendidikan khas? Huhu sangat mencabar! Semoga hati saya kekal istiqamah mendidik anak-anak syurga. Angan-angan untuk menyiapkan direktori daerah nampaknya tidak kesampaian.


Azam 2014
Sebagai PENGEMBARA
Hehe! Tahun ini dimulakan dengan usaha saya melangkah ke satu lagi benua di dunia yang saya belum pernah jelajah! Ke mana tu? Nanti saya umumkan! Saya berharap saya dapat memberikan anda tips terbaik untuk melancong!

Postmortem 2014
Kita hanya merancang tetapi TUHAN menentukan! Pada saat-saat akhir visa masih belum diluluskan jadi kami terpaksa melencong ke lain. Namun percutian ke Swiss merupakan percutian terindah saya. Sehingga kini saya merindukannya!





Tahun ni saya tak dapat ikut teman-teman mendaki di Lombok, Indonesia jadi tahun ni saya kurang mendaki. In syaa ALLAH akan didaki semula mana-mana bukit yang saya mampu demi mengekalkan stamina kerana sekarang memang tidak fit.

ps- Sekalipun tahun dukacita, ia satu tahun yang memberi seribu satu cerita suka juga! Alhamdulillah.Sambung entri akan datang untuk azam 2015! Apala yang saya impikan?

03 September 2014

Pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET; SIRI PERTAMA- TERIMA KASIH SEMUA!

Berikut adalah ucapan penghargaan saya kepada semua yang telah menyokong kerjaya penulisan Laila Kamilia sempena pelancaran novel ke-5 C1NT4 TOP SECRET pada 30 Ogos 2014 di SMK Seri Perak (SEMARAK), Teluk Intan, Perak di sambutan Jubli Emas 50 Tahun SEMARAK. Kalau boleh saya nak sebutkan semua nama satu-persatu namun tak berkesempatan. Terima kasih semua! Semoga ALLAH membalasnya dengan kebaikan yang lebih lagi. Laila Kamilia sayang kamu semua!

Sinar Harian 31/8/14 sempena pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET di sambutan 50 Tahun SEMARAK, Teluk Intan, Perak pada 30/8/14

"Saya ingin merakam penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Berusaha Tuan Haji Masri, Pengetua SEMARAK kerana memberi peluang kepada seorang penulis kerdil berdiri di sini merealisasikan impiannya pada hari yang bersejarah dan bermakna bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun SEMARAK. Begitu juga kepada Encik Norden Mohamed, Presiden Kelab Alaf21 juga Ketua Pengarang Sinar Harian, yang sudi hadir di celah-celah kesibukannya dengan akhbar Sinar Harian. 


Hadirin dikasihi ALLAH, 

Menulis merupakan terapi yang menenangkan jiwa. Bermula daripada suka-suka akhirnya saya terjebak dalam dunia penulisan yang sudah tiada U-Turnnya. Novel C1NT4 TOP SECRET merupakan novel ke-5 saya bersama Alaf 21 Sdn. Bhd. Novel setebal 501ms ini mengisahkan tentang pengembaraan dua ejen perisik antarabangsa Jade, dan Zed yang jatuh cinta kepada Maryam Eisya, anak gadis pemilik mikrofilem paling dikehendaki. Pembaca akan dibawa mengembara ke Seoul, Hong Kong, Brussels, London dan Bali dalam menamatkan misi. Pada akhirnya, akan terjawab siapakah yang akan menemukan cinta sejati dan siapakah pula yang akan menyelesaikan konspirasi. 

Tahun ini adalah tahun ke-8 tahun saya menjadi penulis. Di sebalik semua ini, pastilah segalanya bermula daripada seorang guru. Sajak saya yang pertama bertajuk AKU SEBUAH BUKU yang disiarkan di Utusan Pelajar. Cikgu Faridatul Akhmar merupakan guru yang bertanggungjawab menjadikan saya 'selebriti kecil' kerana sejak itu saya menerima ramai kenalan pen pall yang membaca tulisan saya. Ketika itu saya hanya berumur 10 tahun.

Apabila di sekolah menengah, Guru Bahasa Melayu saya, Puan Hajah Mazlina Markon menyemai dan memupuk bakat penulisan saya. Beliaulah membetulkan bahasa, memberi idea untuk mengembangkan jalan cerita dan menggalakkan saya menaipnya di atas mesin taip. Hari ini saya bersyukur dan berbahagia kerana cikgu saya itu bersama-sama kita di hari bersejarah ini. Terima kasih cikgu!

Kerana besarnya peranan seorang guru menjadikan saya Laila Kamilia pada hari ini, justeru saya menyeru anak-anak yang ada di hadapan saya ini untuk menghargai jasa seorang guru. Berani bermimpi dan pergi jauh untuk menggenggam kejayaan gemilang. Apabila telah berjaya, kembalilah ke sini dan jangan lupakan jasa guru. Saya berdoa semoga pada suatu hari nanti, akan ada anak-anak di sini yang berada di tempat saya berdiri di sini membanggakan SEMARAK.

Akhir kata jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya selama ini. Kepada suami, Aedy Fadly Ramli yang menjadi tulang belakang saya selama ini. Tanpa beliau di sisi, manuskrip saya akan kekal di dalam komputer tanpa terzahir menjadi naskah tatapan anda. Juga buat anak-anak Hardy, Hakimy dan Hana yang memahami kesibukan saya sebagai guru dan penulis. Pelancaran novel ke-5 saya ini pada tarikh 30 Ogos 2014 hari ini bersamaan sambutan hari lahir anak saya yang ke-5! Penghargaan yang paling tinggi tentulah kepada kedua ibubapa saya Puan Hamidah Ismail dan Encik Kamaluddin yang sentiasa memberikan galakan.

Kepada Cikgu Noraini, Alumni Semarak; Encik Zuhainizam dan Kak Leha Junid kerana membantu saya menjadikan majlis ini realiti. Kepada Alaf21 yang percaya kepada bakat saya. Kepada rakan-rakan dan pembaca yang jauh dan dekat yang sentiasa menyokong kerjaya Laila Kamilia. Terima kasih semua! Semoga SEMARAK terus gemilang! Sekian, terima kasih."









Telah selamat dirasmikan oleh Encik Norden disaksikan Tuan Haji Masri. Gimik pelancaran akan saya ceritakan dalam tulisan Pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET siri ke-2.

Terima kasih Lin kerana sudi bersama membantu menjayakan pelancaran. Sayang sangat-sangat!

02 September 2014

Laila Kamilia ingin Kolaborasi dengan Penulis Indonesia : Temubual dengan Antaranews.com INDONESIA

Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews.com Indonesia. Wawancara ini di dalam bahasa Indonesia ya.  Rasa pelik pula dapat baca artikel tentang diri sendiri tapi dalam bahasa lain. Terima kasih Vivi untuk satu artikel yang menarik. Terima kasih sudi temubual Laila Kamilia! Boleh baca artikel lengkap di Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews Indonesia pada 29 Ogos 2014.







29 Ogos 2014

TELUK INTAN! SEMARAK! TUNGGU YONG DATANG!


Kepada semua di Teluk Intan, inilah pertama kalinya saya akan sign autograf di tempat kelahiran saya setelah 8 tahun bergelar penulis. Saya kembali ke SEMARAK setelah 20 tahun meninggalkannya! Sentimental. Hehehe... In syaa ALLAH impian saya dimakbulkan ALLAH.

SELAMAT ULANGTAHUN SEMARAK KE -50 TAHUN!

28 Ogos 2014

Cinta Pandang ke-2- Adaptasi ke Drama Bersiri 13 Episod, TV9

‘‘Dahlah gemuk macam gajah, garang pulak macam singa! Patut tak payah pergi sekolah, duduk saja dalam hutan!’’ Zairul Hasmat memang meluat dengan Ainnur Azleen. Walaupun mereka berdua sekelas, tetapi tidak pernah sebulu. Ada saja sikap Ainnur yang menjengkelkan hatinya. 

Di sekolah, Zairul ‘prince charming’ sedangkan Ainnur si Ugly Betty. Beza mereka macam langit dengan bumi! Disebabkan badan saiz XXL, Ainnur hanya mampu memuja Zairul dalam diam. Zairul pula memang seronok menyakat. Tidak sudah-sudah mengejek Ainnur menyebabkan Ainnur berasa hati lalu nekad bertukar sekolah.

Setelah bertahun lamanya masa berlalu…

Ainnur bertemu semula dengan Zairul di dalam sebuah syarikat. Dia menjadi ketua di bahagian itu manakala Zairul hanyalah sebagai budak penghantar surat.

Zairul tidak tahu bahawa gadis cantik yang menjadi bosnya itu adalah Ainnur Azleen yang pernah dikutuk dan dicaci suatu waktu dulu. Pertama kali berjumpa, dia terus jatuh cinta! Sanggup berkorban jiwa dan raga.

Aha, Ainnur mendapat idea! Inilah masanya untuk dia membalas dendam lama.
Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd, 2011
Harga : RM22
Beli dari Penulis : RM19.80. Harga termasuk pos. 

27 Ogos 2014

POWERPUFFGIRLS MAMA- Memenangi Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 Kategori Buku Kanak-Kanak Pilihan


SINOPSIS BUKU 1 HARI 1 CERITA : POWERPUFFGIRLS MAMA

Buku ini ditulis ole Laila Kamilia dan rakan-rakan Lynn DayanaCikYam Elias Maryam Elyas Nazihatul Hanan dan Zakiah Abd Ghafar. Buku ini kompilasi 15 cerpen istmewa untuk anak-anak berusia 7-12 tahun. Buku ini telah memenangi Anugerah Grup Buku Karangkraf 2014, kategori Bulu Pilihan Kana-kanak.


TULISAN LAILA KAMILIA
Hardy Dan Bola
Kalau budak lelaki tak main bola, bukan anak jantan la! Dari Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga hatta ke Liga Malaysia, Hardy memang gila bola. Tak cukup menonton, dia turut sama mengejar bola. Dia hero kelas dalam pertandingan futsal tahun sebelumnya. Tahun ini mungkinkah ada perubahan ketara? Hardy risau melihat tubuhnya yang sudah berganda. Kata doktor, kadar metabolismenya ada sedikit huru-hara. Adakah dia akan kembali menyarung jersi kelasnya? Jom kita lihat bagaimana Hardy menangani obsesinya pada bola!

Pustaka Mini Aina
Aina bersekolah di SRJK (C) Cina. Gadis usia 11 tahun ini hobinya membaca. Rumahnya penuh dengan buku kerana minatnya. Jadi Aina fikir eloklah dia menjadikan sebuah bilik menjadi sebuah mini pustaka. Hmm... Aina memang seronok membuat transformasi hingga semua kawan-kawan terbabit sama. Suatu hari Aina terpilih mewakili sekolah ke Pertandingan Pidato DiRaja. Mampukah murid sekolah aliran Cina ini menunjukkan bakatnya? Jangan lupa, dia ada Pustaka Mini Aina yang besar jasanya.

Terima Kasih ALLAH
Kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Suatu hari Iskandar didenda kerana ditangkap seorang guru sedang mengejek seorang murid pendidikan khas yang dikatakan gila. Dia didenda selama seminggu untuk menjalani pembelajaran di kelas pendidikan khas, meninggalkan kelasnya di aliran perdana. Bolehkah murid nakal seperti Iskandar menangani rakan-rakan baru di kalangan murid-murid istimewa? Setiap kejadian TUHAN pastilah ada sebabnya. Cuma Iskandar perlu buka mata untuk melihatnya.


TULISAN LYNN DAYANA

Mogok Tak Menjadi
Bila prestasi pelajaran Herman dan Aisya merosot, semua keistimewaan ditarik balik. Tiada PS2, tiada telefon dan mereka pun mogok! Namun, ibu bapa mereka yang lebih dahulu makan garam pastinya lebih berkuasa minda dan ideanya menangani mereka. Mogok pun hilang, rasa insaf pula yang datang.

Jiwa yang Merdeka
4 sekawan belajar makna merdeka setelah terperangkap dalam hujan di depan rumah Pak Ali yang sedang memasang bendera di bulan Oktober. Rupa-rupanya, besar makna merdeka yang tidak pernah mereka fikir dan selalu abaikan. Pulang ke rumah, semua pun berkobar semangat mahu berjiwa merdeka sepanjang tahun dan bukan hanya pada 31 Ogos sahaja.


Upah Vs Pahala
Fareez mahu membeli PS2 maka dia menjadi rajin namun rajinnya mesti berbalaskan upah. Semua tugasan di rumah pun pasti ada ganjaran. Hinggalah Fareez mendengar cerita tentang kerajinan Hanum membantu emaknya. Kata Hanum, dia tidak mengambil upah namun dia mengharapkan pahala. Fareez jadi malu dan belajar mahu meraih pahala juga.


TULISAN MARYAM ELYAS

Husna Dan Angry Bird
Disebabkan bermain permainan video Angry Bird, pelajaran Husna merosot. Dia mulai sedar kesalahannya apabila kerap tertidur di dalam kelas kerana letih bermain Angry Bird hingga jauh malam.

Jamil Dapat Kawan Baik
Jamil sering dibuli oleh Taha, Udin dan Abu. Namun mereka akhirnya menjadi kawan baik apabila Jamil menyelamatkan Taha daripada lemas di sungai.

Jom Facebook
Mimi mengajar atuk dan neneknya bermain facebook untuk memudahkan mereka berhubung. Mimi gembira apabila dia yang tinggal di bandar boleh melihat gambar atuk dan nenek di facebook setiap hari.

TULISAN NURLIZA MOHD NASIR

Mama, kenapa pakai tudung?
Suka benar Bella kerana dapat balik kampung. Iyalah. Selain dapat berjumpa dengan nenek dan datuk, Bella juga dapat bermain dengan sepupu-sepupunya. Bella pelik melihat emak dan mak cik-mak ciknya yang memakai tudung di dalam rumah. Setelah diperjelaskan sebabnya, barulah Bella faham.

Apa yang penting, kerjasama!
Kelas 5 Cemerlang diumumkan sebagai kelas darjah lima terkotor lagi. Arida tidak berpuas hati. Kelas mereka bukannya kotor pun cuma tidak cukup ceria sahaja. Sasha mencadangkan agar seluruh warga 5 Cemerlang mengadakan gotong-royong dan semuanya bersetuju.

Akibat tak dengar cakap
Aidi anak yatim piatu. Ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Aidi sekarang duduk dengan neneknya yang sudah tua. Walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, Aidi tetap tidak suka duduk dengan Nenek Siti. Bagi Aidi, rumahnya di bandar jauh lebih selesa. Satu hari, Aidi pergi mandi sungai berseorangan. Walaupun telah ditegah oleh Abang Leman, Aidi tetap berdegil. Namun dengan tidak diduga, Aidi telah terpijak labi-labi.

02 Julai 2014

Anugerah Grup Buku Karangkraf (AGBK) 2014 : Alhamdulillah. Terima Kasih ALLAH

Sudah hampir sebulan blog saya berabuk sejak saya tinggalkan. Alhamdulillah, hari ini baru diberi kesempatan untuk membuat entri pertama setelah berehat panjang. Entri pertama yang ingin saya tulis tentulah tentang Anugerah Grup Buku Karangkraf yang telah berlangsung gilang-gemilang pada 14 Jun 2014 yang lalu. Kebanyakan karyawan telah bercerita banyak tentang anugerah yang mengiktiraf penulis di bawah bumbung Karangkraf ini. Yang pasti, saya mungkin yang terakhir menulis berita yang sudah lama ini tetapi saya yakin, sekalipun ia telah lama berakhir, telah meninggalkan kenangan terindah kepada semua karyawan Karangkraf. 

Alhamdulillah. Untuk majlis anugerah kali pertama ini, pada awalnya saya telahpun dicalonkan untuk 3 kategori iaitu Buku Adaptasi melalui novel Cinta Pandang ke-2, Buku Pilihan dan Cover Pilihan Kanak-kanak untuk buku Powerpuf Girls Mama. 

 Pencalonan Awal
Cover Pilihan 
 Adaptasi
Buku Pilihan Kanak-kanak

Saya bersyukur sekalipun penulis kerdil, buku saya turut tercalon. Melihatkan senarai pencalonan awal, saya sudah rasa saya tidak akan pergi jauh melihatkan kepada senarai pencabarnya. Namun apabila pencalonan akhir disenaraikan, saya terkejut melihat 2 daripada 3 pencalonan awal telahpun ke senarai akhir (Top 5).

Inilah calon-calon buku hebat yang turut bertanding dengan buku-buku saya. Hebatkan calon-calonnya? Terasa saya sangat kerdil!

Saya bergambar dengan saudara Fathi, antara tulang belakang anugerah tersebut.

Saya telah diberitahu tema pakaian pada hari anugerah adalah pink-biru. Saya sebenarnya telahpun meminta seorang pembaca novel berbakat, (Sentuhan Rieyn) untuk merekabentuk pakaian yang akan dipakai pada hari bersejarah itu. Hehe. Sekalipun tiada gambaran nak menang, tapi saya mahu meraikan hari bermakna kepada para penulis itu. Saya telahpun menerima 'design' yang sangat cantik, kena dengan tema Dalam Taman. Namun disebabkan sedikit masalah, projek tersebut tidak dapat dijalankan. Saya juga sudahpun mengambil tudung daripada Aisyahscarf untuk dipakai pada hari tersebut.

Namun apa yang dirancang tidak kesampaian. Sebenarnya saya telahpun merancang untuk bercuti ke satu destinasi sejak setahun lalu. Jika ikut perancangan asal, saya akan kembali pada awal pagi 14 Jun. Namun saya sekadar boleh merancang, segalanya tidak ikut rencana apabila pada saat akhir, saya terpaksa menukar dan merombak segalanya menyebabkan saya terpaksa mengorbankan untuk tidak hadir ke majlis Anugerah  Grup Buku Karangkraf.

Saya hanya mendoakan majlis berjalan lancar dan mengucapkan tahniah kepada Grup Buku Karangkraf kerana berjaya menganjurkan anugerah ini yang pada akhirnya diumumkan menjadi acara tahunan Karangkaraf. 

Alhamdulillah. Sebaik kaki menjejak KLIA pada malam 14 Jun itu, saya diberitahu buku Powerpuf Girls Mama telahpun menang anugerah Buku Pilihan kategori Kanak-kanak.  Sekalipun Cinta pandang ke-2 tewas di tangan Setia Hujung Nyawa, saya tetap bangga dengan pencapaiannya. Terima kasih kepada team novel Cinta Pandang ke-2  (editornya, Mazuen Yahya juga perekabentuk kulit Rohana Ibrahim dan team drama Cinta pandang ke-2 (penulis skrip, Kak Maizurah Mohd Ederis, Zuli Ismail, Eenaz Mokhtar, penerbit, ZKC Production, saudara Zaini Kosnin, pengarah Nazir Juhan, juga para pelakon Dazrin (yang selalu bagi sokongan sepanjang promosi),  Amyra Rosli, Izara Aisyah, Ery Zuhairee, Abby Nour, Jazli Hassan dan lain-lain lagi... juga komposer dan penyanyi OST Cinta Pandang ke-2, Affan Aizat, Epi Cortgoth,  Mohamad Syahir, Yusri Yusuf dan Anis Syazwani juga TV9 huhu panjangnya senarai). Tak dilupakan para pembaca novel dan penonton drama Cinta Pandang ke-2. Terima kasih kerana bagi sokongan yang superb kepada penulis kerdil bernama Laila Kamilia!

Atas kemenangan Powerpuff Girls Mama, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan penulis yang turut sama terlibat dalam pembikinan buku ini; Lynn Dayana, Maryam Elyas, Zakiah Abd Ghafar dan Nazihatul Hannan juga editor comel Siti Aisyah.

Ketika pertama kali terlibat dalam penulisan buku kanak-kanak, saya memang tidak pernah berangan-angan untuk mendapat anugerah. Hanya fikirkan ketika itu, sebagai seorang guru, saya harus ada buku kanak-kanak untuk dibaca oleh kanak-kanak. Sepanjang menulisnya, saya menulis berdasarkan kisah-kisah yang dilalui supaya  kanak-kanak seronok membaca. Saya harapkan kisah-kisah yang dinukilkan akan menggembirakan kanak-kanak dan mendapat tauladan daripada kisah-kisah tersebut. Semoga memberi inspirasi dan semangat kepada anak-anak yang membaca untuk berjaya pada masa depan. Ketika kanak-kanak, banyak buku-buku yang saya baca, yang masih segar dalam ingatan saya sehingga kini dan saya berdoa, semoga ada buku-buku tulisan saya yang segar dalam kenangan anak-anak ini, in syaa Allah.

 inilah buku Powerpuff Girls Mama

Award yang diterima, Buku Pilihan Kategori Kanak-kanak

Terima Kasih ALLAH. Inilah plak yang saya baru sempat ambil dari Aisyah, hari Jumaat lepas. 

Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang banyak menyokong kerjaya penulisan saya terutamanya ibubapa juga anak-anak; Hardy, Hakimy dan Hana yang selalu memberi semangat kepada mamanya untuk menulis buku kanak-kanak dalam melayari kisah-kisah kehidupan mereka. 

Kepada suami, Aedy Fadly yang banyak berkorban dan terkorban dengan kerjaya kedua isterinya ini, terima kasih kerana memahami dan menyokong. Tanpanya, saya mungkin tidak dapat menulis walau sepatah kata.

Kepada Guru Besar saya, Encik Mohamad Jamil yang menyokong, terima kasih banyak. Saya pernah kata, jika saya dapat anugerah, saya akan sebut namanya kerana sokongannya. Hehe.

Kepada Alaf21, Grup Buku Karangkraf, tanpa anda tiada apa yang akan bermula bagi Laila Kamilia; tiada apa-apa.

Kepada pembaca, tanpa anda, siapalah Laila Kamilia. Terima kasih atas sokongan anda!

Kepada semua pemenang, sekalung tahniah! Kemenangan anda menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan karya seperti anda pada masa depan. 

Kepada semua karyawan, selamat berjuang dan semoga bertemu dalam Anugerah Grup Buku Karangkraf 2015, in syaa ALLAH.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...