Memaparkan catatan dengan label Brunei. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Brunei. Papar semua catatan

01 Ogos 2011

Wedding of the Year 2011 : Amalina dan Amali

Menerima jemputan dari  Dayang Hajah Suhana Haji Mohd Daud dan Pengiran Haji Mohd Alimin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abd Momin nun jauh di Brunei merupakan satu penghormatan yang besar buat kami sekeluarga. Saban ketika saya asyik menghitung hari. Semakin dekat harinya membuatkan hati saya semakin teruja! Saya teringin sekali melihat sambutan dan adat tradisi perkahwinan di Brunei.Ini merupakan perkahwinan sulung puteri mereka Dayangku Hajah Nur Amalina dengan pasangannya Awang Mohd Khairi Amali. 

Bagaimana saya mengenali beliau? Ceritanya menarik sekali. Beliau membaca novel saya Saat Kau Hadir dan dari situ kami saling berhubungan. Kak Su, Abang Limin dan si comel Amalina berziarah ke Berlin semasa saya baru melahirkan Hana. Memang saya malu kerana almaklum pasangan yang berketurunan bangsawan ini sudi mencemar duli ke rumah pondok saya di Berlin. Saya ingat lagi semasa dikhabarkan pasangan ini hendak datang ke rumah, abang sibuk mahu mencarikan hotel. Tetapi Kak Su awal-awal menolak. Sudahnya mereka tidurlah di pondok buruk saya di Berlin. Malu tetapi saya berasa begitu menghormati mereka dengan kesederhanaan yang mereka tunjukkan.

Ukhwah kami tidak berhenti di situ. Saban waktu kami berutus berita dan Kak Su datang pula ke Malaysia menziarahi saya di Bangi bersama ibunya. Lalu bila dia menghantar kad jemputan yang ditulis Yang Mulia Dayang Haslina bt Kamaluddin dan Suami serta Keluarga di Malaysia, saya berasa adalah tidak manis jika saya tidak memenuhi jemputan itu.

Tanggal 17 Jun, sebelum Subuh, saya sudah berada bersama ibu di LCCT. Kebetulan abang tidak dapat menemankan kerana tidak boleh bercuti, lalu saya meminta ibu menemankan. Kami bertiga beranak akhirnya menjejak kaki ke Brunei Darussalam tepat jam 9.10 minit pagi.

Berikut adalah rentetan majlis perkahwinan yang tetamu semua gelarkan Wedding of the Year 2011.

Berikut adalah lebih kurang 7 acara semasa majlis perkahwinan mengikut adat istiadat orang Brunei yang boleh saya kongsikan bersama pembaca blog. Hehehe, insyaAllah dalam Aku, Dia dan Berlin, saya akan memasukkan adegan perkahwinan ini kerana Amalina merupakan teman baik Yang Mulia Raja Nor Sara yang dibuang ke Berlin itu....Jeng jeng jeng!

ps- Ini adalah catatan Kak Su. Sengaja saya tidak mengeditnya supaya teman-teman blog boleh melihat bahasa Melayu orang Brunei ya.... hehehe. Jangan mare Kak Su....

1.Majlis Bedak2 Mandi ( berbedak kecil)
khas untok ahli keluarga dekat sahaja tapi kaka open juga untok jiran & kawan2.. Hanya bedak warna putih d gunakan. Pakaian untok yg hadir boleh casual tapi kita buat formal...baju kurong & baju melayu. Pengantin nya boleh berpakaian biasa juga. Yang membuboh bedak pun x kira siapa...tapi org tua didahulukan.

2. Majlis Akad Nikah & menerima Mahar...sama aja mcm d lain tempat..seperti Malaysia

3. Majlis Malam Berbedak. (berbedak besar) untok jemputan tergalong dari keluarga, jiran & kawan2. Pakaian untok para jemputan formal. & Pengantin nya memakai pakaian tradisi Brunei khas untok majlis berbedak.
Sepatutnya yg membuboh bedak (yg membedaki) hanya org tua sahaja termasuk uncles & aunties adik beradik pengantin. tapi biasa le...kaka suruh siapa saja. Dulu majls ni d buat hanya waktu malam tapi sekarang ada yg buat waktu siang so jadi Majlis berbedak sahaja.

4. Malam berinai. (malam bepacar dalam bahasa brunei)
ini pun untok ahli keluarga sahaja seperti majlis bedak2 mandi tapi kaka jemput ramai juga..

5. Bersanding ...

6.Malam Ambil2an... Ini sepatutnya pihak lelaki membawa makanan untok dihidang sama untok semua jemputan tapi sekarang hanya sikit saja yg buat. & Pengantin nya x boleh tidur hingga ke pagi n yg lain sepatutnya juga berjaga2 (malam berjaga2) seperti bernyanyi2..tapi disebabkan kerja esoknya kita x buat lagi.

7. Muleh 3 hari (Balik 3 hari selepas hari bersanding).. kaka x buat sebab penat dah...hahahaha...Waktu muleh 3 hari pengantin lelaki pulang ke rumah nya d pagi hari...then malam nya dia datang lagi ke rumah pengantin perempuan dengan membawa barang2 dapur..n perhiasan2 (barang kemas) ...tilam bantal extra2.

Melihatkan catatan Kak Su, memang meriah aje kan suasana dan persediaannya. Ketika menjemput kami di airport mata Kak Su nampak lebam sebab sudah beberapa hari berjaga malam. Malah katanya, untuk persediaan kenduri, beliau mengambil cuti selama 2 minggu!












Kepada Amalina dan Amali, selamat pengantin baru. Semoga tabah mengharungi alam berumahtangga. Untuk Kak Su dan Abang Limin, selamat menerima menantu. Tentu tak sabar nak tunggu cucu pula. Walau apapun Kak Su kalau jadi nenek memang nenek yang vogue dan mama Kak Su....jadi onyang yang super vogue! Hehehe. Terima kasih kerana sudi berkongsi kegembiraan dengan insan kerdil bernama Laila Kamilia!

26 Jun 2011

Jalan-jalan Brunei Darussalam

Destinasi Asia Tenggara seterusnya ke Brunei Darussalam! Sebenarnya hasrat untuk ke Brunei sudah lama bertapak di hati tetapi disebabkan sering dimomokkan yang di Brunei 'tak ada apa-apa', jadi hasrat itu sering terbantut. Namun kesempatan mendapat jemputan dari Kak Su sempena perkahwinan anaknya merealisasikan hasrat saya yang terbantut tu. Betul ke Brunei tak ada apa-apa? Mehla kita tinjau sama-sama.

Sebaik kaki melangkah keluar dari lapangan terbang antarabangsa Brunei, entah kenapa kepala saya teringatkan Langkawi. Hahhaa....Ya, Brunei dalam bahasa Arab membawa maksud tempat tinggal yang aman. Saya dapat rasakan aura ketenangan dan keamanan itu sebaik melangkah keluar dari bangunan itu. Kedua, rakyatnya hidup bersederhana. Walaupun ramai orang Brunei yang kaya-raya, saya dapat rasakan aura itu juga! Itu padandangan awal saya tentang Brunei.

Hari pertama, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Bandar Seri Begawan. Kami sempat meninjau ke Masjid Omar Ali Saifuddien dan Kampong Ayer tetapi tidak sempat bergambar kerana cuaca yang sangat panas petang itu. Kami kemudian ke istana sultan tapi tak nampakpun istananya kerana pagarnya berkilometer dari jalanraya utama....hahaha. Jadilah dapat tengok pagar. Kemudian dibawa melihat istana  Azrinaz yang masih dalam pembikinan. 

Jerudong Park

Lepas itu kami ke Jerudong Park. Dulu-dulu masuk ke taman tema ini adalah percuma tetapi kini kena bayar mengikut bilangan permainan yang hendak dimainkan. Ketika kami sampai, taman tema masih lengang. Kata abang yang membawa kami, malam-malam baru meriah. Kami pulang selepas itu lalu ke Pasar Basah Gadong untuk menikmati juadah tradisi masyarakat Brunei.




Hari kedua kami sekali lagi ke masjid dan Kampung Ayer. Jam sekitar 5.00 petang, kami menaiki teksi dari hotel penginapan Rizqun International. Perjalanan sekitar 15 minit dengan tambang $10.00 sehala. Disebabkan susahnya mencari teksi di Brunei, maka kami telah berjanji dengan pemandu teksi untuk menjemput kembali sekitar jam 7.00 malam. Di sana matawang disebut ringgit juga tetapi nilainya tidak sama. Semasa saya ke sana, tukarannya ialah RM2.55=B$1. Jadi tak bolehlah nak berbelanja mewah-mewah ye. Hehe....




papan tanda masjid

Kami bergambar dan sempat berjalan ke Water Front. Jaraknya lebih kurang 10-15 minit berjalan kaki. Jika anda mahu berjalan-jalan di sekitar Kampong Ayer menaiki bot, harganya lebih kurang $15-30 bergantung kepada tuan punya bot dan durasi perjalanan. Disebabkan saya tidak ada banyak masa (kurang-kurang 1 jam diperlukan untuk menjelajah ke Kampong Ayer), maka saya tidak memilih pakej itu. Saya hanya menyeberang ke Kampong Ayer menaiki bot dan kembali semula. Tambangnya $1. Memang menarik Kampong Ayer ini kerana rumah-rumah dibina di atas air. Mereka punya komuniti sendiri (ada sekolah, masjid etc) yang menarik untuk dilawati jika punya banyak masa.

Pasar Basah Gadong menawarkan pelbagai juadah. Makanan di Brunei lebih kurang di Malaysia. Gambar di atas adalah pulut panggang yang ada 4 inti pilihan; udang, daging, ikan dan ayam 

Antara fakta menarik tentang Brunei yang boleh saya kongsikan di sini :
-Harga petrol adalah sekitar $0.52 sen seliter kerana subsidi dari Sultan dan akan menjadi $1.75 pada Hari Keputeraan Sultan sebagai mengingati betapa mahalnya harga minyak jika tiada subsidi dari Sultan.
-Tukaran wang ringgit Brunei adalah sama dengan Dollar Singapura. Oleh yang demikian, kita boleh guna kedua-dua matawang ini di kedua-dua negara.
-Cukai kenderaan adalah murah. Sebab itu ramai yang berkereta besar. Khabarnya boleh dapat Mercedes  pada harga $50K sahaja!
-Tiada motorsikal di Brunei kerana semua mampu berkereta
-Teksi sangat sedikit (dikatakan sekitar 40 buah sahaja)
-Tiada bangunan tinggi yang boleh mengatasi kubah masjid.
-Tulisan jawi boleh dilihat di merata-rata.
-Coklat murah di sini, lebih murah dari di lapangan terbang di negara kita yang bertanda Duty Free.
-Kain-kain sutera juga murah, jadi sediakan wang secukupnya sebagai tanda mata dari Brunei.
-Jam 6.00 petang, kawasan bandar-bandar sudah sunyi. Shopping mall yang ada yang masih meriah hanya selepas Isyak.
-Ada 3 checkpoint yang disediakan Air Asia Brunei untuk memeriksa berat beg berbanding 2 di LCCT. Hehehe....jadi sila pastikan berat beg yang dibawa masuk ke dalam pesawat tidak lebih dari 7kg!


pernah lihat papan tanda McDonald's tulisan jawi?

Jika anda sudah sampai ke serata Asia Tenggara tetapi masih belum sampai ke Brunei, apa salahnya anda mencuba. Jom Melancong!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...