Pengembaraan kami kali ini melibatkan perjalanan udara sebanyak 6 kali penerbangan dalam tempoh 10 hari. Jadi banyak masa dihabiskan di dalam kapal terbang dan urusan di lapangan terbang. Disebabkan kami menggunakan penerbangan tambang murah maka ia mendarat di Lapangan Terbang yang biasanya agak jauh dari pusat bandar. Destinasi pengembaraan kami kali ini ialah Milan-Rome-Pisa-Barcelona-Madrid dari 18 Julai hingga 27 Julai 2009.
Pagi 18 Julai, kami bertolak dari rumah sekitar jam 5.45 pagi. Perjalanan dari rumah ke lapangan terbang Berlin Schonefeld memakan masa hampir sejam. Jika diikutkan kapal terbang kami jam 8.10 pagi dan kerana kami sudah check in online, sepatutnya kami boleh sampai tepat pada masanya. Namun kami sekadar merancang, Allah yang menentukan. Bas ke Hauptbanhof (Main Station untuk tren ke airport) hanya akan tiba jam 6.20 pagi. Jadi kami mengambil keputusan untuk menaiki subway jam 6.00 pagi dari Leopoldplatz ke Freidrichstrasse Station dan bercadang mengambil tren dari situ untuk ke lapangan terbang.
Kami tiba di station itu dalam jam 6.10 pagi namun situasi tidak diduga berlaku. Di Freidrichstrasse Station rupanya Deutsche Bahn (salah satu syarikat pengangkutan keretapi Jerman) telah mengurangkan operasi dan kami harus menukar tren lain pula ke Warshauer Station untuk ke lapangan terbang. Malangnya tren yang ditunggu tiba lewat dari yang sepatutnya. Hanya jam 6.45 pagi baru tren tiba. Kami sudah berserah. Jika kami terlepas kapal terbang, nampaknya rezeki tiada untuk ke Milan hari itu. Mujurlah kami tiba sejurus sebelum penerbangan. Kami menjadi antara penumpang terakhir yang masuk ke dalam pesawat dalam keadaan termengah-mengah bernafas. Namun, Alhamdulillah, penerbangan ke Bergamo lancar tanpa berlaku masalah kelewatan dan kami tiba di Lapangan terbang Bergamo lebih kurang jam 10.30 pagi.
Dari lapangan terbang kami menaiki bas ke Bergamo central station. Setelah merehatkan diri dan makan di Bergamo, kami terus menaiki keretapi ke Milan yang mengambil masa sekitar 1 jam. Di kiri kanan jalan kami disajikan pemandangan ladang-ladang jagung membuatkan rasa rindu kepada tanah air semakin menggebu. Betapa ia mengimbau kenangan saya semasa kecil di mana abah ada ladang jagung dan kami berkebun di tengah panas menuai hasil jagung. Sempat saya bercerita kepada anak-anak bagaimana proses menanam jagung hinggalah ianya dituai. Ladang bunga matahari juga menyerikan perjalanan kami pagi itu. Melihatkan bunganya yang sudah hitam tetapi belum dituai, saya merasakan ianya untuk dibuat minyak masak.
Piazza Duomo
Galleria Vittorio Emanuele
Milan- Kota fesyen dunia dengan beberapa pereka ternama menjadikan Milan sebagai ibupejabat operasi mereka. Ibukota kedua terbesar di Itali, Milan yang terkenal sebagai pusat jenama terkenal. Banyak pusat membeli belah mempamerkan Zara, Luis Vuitton dan macam-macam lagi jenama yang kalau dibariskan memang terlalu banyak.
Tiba di Milan, kami menyimpan beg di stesen Milan Central lalu mula meneroka Milan. Tempat pertama yang kami lawati adalah Piazza Duomo yang memang menjadi tarikan pelancong di Milan. Sebaik kami tiba, pelancong sudah ramai. Ada yang sibuk bergambar, tidak kurang juga yang sibuk memberi makan burung-burung merpati yang ada di datarannya. Kami didatangi beberapa orang yang konon-konon memberi jagung secara percuma kepada pelancong tetapi sebenarnya selepas itu mereka akan meminta duit. Mujurlah saya sudah membaca tentang amaran itu awal-awal di internet dan memberitahu anak-anak supaya jangan mengambil makanan burung yang dihulurkan. Saya awal-awal sudah bersedia dengan makanan untuk burung-burung itu, jadi kami boleh mengambil gambar dengan tenang tanpa diganggu mereka lagi.
Penat dibakar mentari terik, kami singgah di Galleria Vittorio Emanuele untuk berehat seketika. Bersebelahan dengan Piazza Duomo, galeri ini memang kawasan membeli-belah jenama terkemuka. Memang elok singgah menjamu tekak dan mata.
Milan Castle yang sudah dijadikan muzium
Hari kedua kami ke Milan Castle yang dikagumi tinggalan sejarahnya. Selain itu kami sempat singgah ke Stadium San Siro yang menjadi stadium kebanggaan AC Milan dan Inter Milan. Sempat masuk ke galeri yang menjual cenderamata kepada para peminatnya.
Keretapi tahun 1564 yang kini ditukar menjadi tram
Holiday Inn Assago, tempat kami menginap di Milan.
Bagi yang suka berfesyen dan membeli-belah, Kota Milan memang sesuai dilawati. Namun bagi yang inginkan 'sightseeing', Milan bukan pilihan yang sesuai. Ia lebih kepada pusat bisnes dan kota fesyen Itali yang mewah. Kami tidak kecewa ke Milan kerana kami tahu ia mempunyai tarikan yang tersendiri dan ia sebagai satu permulaan kepada pengembaraan kami. Dan untuk sightseeing di Itali, kami sudah bersedia untuk menikmati suasana dan keunikan Rome dalam destinasi Itali kami yang seterusnya. Nantikan entri saya sedikit masa lagi...