Memaparkan catatan dengan label Perguruan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perguruan. Papar semua catatan

28 Oktober 2014

Anak Istimewa Cikgu


Teman-teman seperjuangan yang disayangi, puisi ini istimewa untuk kalian...

Anak Istimewa Cikgu

Betapa diri terasa istimewa
berada di kalangan ahli syurga
biarpun kadangkala
bicaranya mungkin senyap
butirnya tiada makna
atau kadangkala dia menjerit tiba-tiba
sukar rupanya membaca apakah yang ada di mindanya
sekalipun segulung ijazah belum tentu lulus mencuba

Betapa diri terasa bangga
bila memperkenal diri
sayalah guru yang mendidik
anak-anak syurga

Betapa diri terasa bahagia
tatkala tangan kerdilnya memeluk
lalu menzahir sayang
seluas lautan tiada sempadan
atau cukuplah mengingat sekadar 
"Cikgu"

Betapa diri terasa kerdil
bila kesabaran diuji
dan tiba-tiba jadi bimbang
aku hanya manusia biasa
yang cuba menjadi guru yang luar biasa

anak istimewaku
bukan intan permata
kuharap darimu
cukuplah sekadar
menarik tanganku
melangkah ke syurga firdausi
kerana mati adalah PASTI
   
               - LAILA KAMILIA, 28/10/14, Bangi









Anak-anak cikgu sekalian, doakan kami semua istiqamah mendidik kalian sekalipun dugaan yang melanda ada kala buat kami jatuh dan kecewa... Semoga kasih sayang kita sampai ke Syurga!

02 September 2014

Laila Kamilia ingin Kolaborasi dengan Penulis Indonesia : Temubual dengan Antaranews.com INDONESIA

Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews.com Indonesia. Wawancara ini di dalam bahasa Indonesia ya.  Rasa pelik pula dapat baca artikel tentang diri sendiri tapi dalam bahasa lain. Terima kasih Vivi untuk satu artikel yang menarik. Terima kasih sudi temubual Laila Kamilia! Boleh baca artikel lengkap di Temubual Laila Kamilia dengan Antaranews Indonesia pada 29 Ogos 2014.







27 Mei 2014

Shopping Sambil Menderma Kepada Pesakit Kanser (CAKNE)

Bersempena dengan Aidilfitri, CAKNE telahpun membuat jualan amal bagi menambah dana dengan menjual kad Aidilfitri. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi Puan Azlina di talian 012224 9569. 


Beliau adalah salah seorang ibu kepada murid Laila Kamilia di sekolah. Anaknya merupakan seorang survival kanser dan sekarang sedang mengikuti pembelajaran di aliran perdana di bawah pemantauan guru Pendidikan Khas.


Jom kita beramal. Semoga usaha yang sedikit dapat membantu mereka!



Boleh layari FB mereka di https://www.facebook.com/cakne.ppukm

Berikut adalah maklumat lanjut tentang CAKNE.

CAKNE (Cancer Associates & Kindred Network) - PPUKM (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) adalah sebuah kumpulan sokongan (Support Group) untuk pesakit kanser kanak kanak yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta ahli keluarga mereka. Ia ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 oleh beberapa orang ibubapa yang anak mereka mengidap kanser.

CAKNE telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dengan nama PERSATUAN SOKONGAN KANSER KANAK-KANAK PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA pada 2 Ogos 2013.
No Pendaftaran : PPM-020-10-02082013 


Matlamat
a. Membantu pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.
b. Meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pesakit kanser kanak kanak dan ahli keluarga mereka tentang penyakit yang dihadapi serta kaedah rawatan, kaedah penjagaan dan yang seumpamanya.
c. Meningkatkan tahap kesediaan dan ketahanan pesakit kanser kanak kanak dan ahli keluarga mereka semasa sebelum rawatan, semasa sedang rawatan dan selepas rawatan.
d. Menyediakan bantuan kewangan dan peralatan untuk pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka yang memerlukan berdasarkan merit dan kemampuan kewangan pertubuhan.
e. Meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat tentang cara cara untuk menyokong pesakit kanser kanak kanak dan keluarga mereka.
f. Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser kanak kanak khususnya dan penjagaan kesihatan secara umumnya.
g. Meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan ahli khususnya dan anggota masyarakat amnya.


13 Mei 2014

Hasil Industri Murid PPKI : SMK Tun Hussein Onn, Seberang Jaya, Penang

Tudung saji cantik dan menawan. Dibuka untuk tempahan. Saiz tudung ni memang muat untuk satu pinggan makan.

Harga RM20 harga pos RM9 Jangkamasa seminggu siap. yang berminat dengan hasil tangan kreatif ini boleh berhubung dengan gurunya :


Izzi-012-4549949, Asma'Laili-0136344434 -Shazwani- 0195707709. Lihatlah gambar yang sangat menarik dan tertarik!




13 Mac 2014

Kajian Kes : Menangani Masalah Gugup dan Keyakinan Diri di Kalangan Murid Lembam

Ramai yang bertanya tentang kajian kes yang akan dibentangkan di Seminar PPKI yang akan diumumkan nanti. Inilah abstrak yang dapat saya kongsikan setakat ini. Kajian kes ini adalah kajian yang dibuat bersama Puan Penyelaras, PPKI, Puan Zarina Muhamed Sam. Semoga kajian kes ini memberi manfaat kepada yang membaca, in syaa Allah.


17 Februari 2014

Sudah Darjah 5 Tak Tahu Baca? Apa Yang Boleh Bantu Dia?

Anak dilahirkan tidak mempunyai sebarang kelainan. Normal. Wajahnya saling tak tumpah bagai suami atau isteri. Normal. Pendek kata, anak itu bagai anak-anak lain. Bersekolah tadika pada usia 6 tahun dan masuk ke tahun 1 setahun kemudiannya. 

Tetapi tahukah anda, murid berkeperluan khas kebanyakannya kelihatan normal seperti anak-anak biasa juga. Malah rata-rata murid Autism sangat comel. Murid yang mempunyai masalah lewat perkembangan juga tidak menunjukkan rupa fizikal yang berbeza daripada kebanyakan murid lain. Hanya murid Down Syndrom, Serebral Palsy (berkerusi roda) dan beberapa sindrom lain mudah dikenali berbeza daripada murid lain. Kesimpulannya, dengan sekali pandang adalah sukar untuk mengenali murid berkeperluan khas jika diukur daripada pandangan fizikal sahaja. Jadi berkemungkinan murid-murid ini berada di aliran perdana adalah besar. 

Saya mendapat kes rujukan ini daripada guru kaunseling. Katanya murid ini mempunyai masalah dalam pelajaran. Selalu tak siap kerja sekolah dan berada dalam dunia sendiri. Oleh yang demikian, saya minta kawan menghantarnya ke pendidikan khas untuk diagnosis awal. Alhamdulillah, kebanyakan guru-guru sekarang ini telah didedahkan kepada dunia pendidikan khas semasa di IPT. Jadi sedikit sebanyak, guru-guru di aliran perdana dapat mengesan tanda-tanda awal murid di aliran perdana yang mempunyai kecenderungan bermasalah pembelajaran.

Murid yang dirujuk ini didiagnos menggunakan instrumen-instrumen saringan di pendidikan khas. Antara instrumen yang digunakan adalah untuk menguji kemahiran 3 M- menulis, membaca dan mengira.  Bagi murid yang sudah 5 tahun mengikuti pembelajaran di aliran perdana, tentulah pelik apabila masih tidak dapat membaca, menulis huruf terbalik dan hanya boleh mengira nombor setakat nombor 20.

Kami membuat diagnosis awal bahawa murid ini mempunyai masalah lewat perkembangan, bermaksud umur fizikalnya sudah mencapai 11 tahun tetapi umur mentalnya masih berada di tahap yang lebih rendah. Bagi kes murid ini umur mentalnya boleh dikatakan sangat rendah dengan pencapaiannya  menyamai tahap pendidikan khas di Tahun 2. Murid ini mengeja namanya dengaan tidak tekal (sekejap betul dan sekejap salah), tidak dapat menulis nama bapanya sekalipun dia tahu nama bapanya. Malah apabila ditanya tentang ibunya juga dia masih gagap-gagap. Sedangkan jika soalan-soalan itu ditanyakan kepada anak-anak kita yang berada di aliran perdana, ia boleh dijawab sambil pejam mata.

Pada masa dahulu, kita tidak terdedah dengan pendidikan awal. Saya tidak pernah bersekolah tadika dan hanya mendapat pendidikan pada umur 7 tahun pada darjah 1. Kerana itu saya hanya belajar ABC dan membilang pada usia 7 tahun. Tidak hairan ada rakan-rakan saya yang lain, yang hanya boleh mula menulis dan membaca secara tekal pada darjah 3.

Walau bagaimanapun dengan arus kemodenan di Malaysia, pendidikan awal kanak-kanak telah berkembang dengan baik. Anak-anak dihantar ke tadika seawal umur 4 tahun, malah ada yang lebih awal daripada itu. Oleh yang demikian, ibubapa boleh mengandaikan bahawa pada usia 7 tahun, anak-anak kita sudah boleh membaca dan mengira. Sekiranya pada umur 8 tahun tetapi masih juga tidak boleh membaca, ibubapa haruslah mendapatkan pandangan daripada doktor pakar.

Doktor pakar kanak-kanak akan membuat pelbagai ujian ke atas anak. Janganlah merasakan bahawa jika membawa kepada doktor, anak itu akan sah mempunyai masalah. Kadang-kadang memang anak itu sedikit lewat perkembangannya tetapi masih boleh mengikuti pendidikan perdana dengan bantuan extra (mengambil tuisyen). Kalau anak itu tidak mempunyai masalah, tidak mengapa. Alhamdulillah. Ia akan buat kita menjadi lega dan membantunya dengan lebih lagi. Namun jika anak itu didiagnos mempunyai masalah pembelajaran dan perlu dirujuk ke pendidikan khas, sebenarnya sebagai ibubapa kita telah cuba yang terbaik membantunya.

Dunia anak itu tidak berakhir jika memang telah disahkan mempunyai masalah pembelajaran. Dengan tindakan awal ibubapa mengenalpasti anak-anak, guru-guru di pendidikan khas akan cuba membantu 'memulihkan' murid tersebut dengan bimbingan dan latihan berterusan. Terdapat murid yang telah 'pulih' dan dikembalikan ke aliran perdana melalui pendidikan inklusif. Apakah pendidikan inklusif? Saya akan kongsikan pada entri yang akan datang.

Tahukah anda bahawa dengan lesen pendidikan khas, murid tersebut boleh mendapat pelbagai keistimewaan yang tidak dapat diperolehi jika beliau terus berada di aliran perdana. Antara keistimewaan yang akan diperolehi oleh anak adalah boleh diletakkan di mana-mana kelas yang dirasakan sesuai dengan tahap pencapaiannya (umur 10 tahun tapi belajar di tahun 2), mendapat masa yang lebih dalam peperiksaan awam malah boleh memohon diletakkan di bilik berasingan (lebih privasi) selain mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan dan Elaun Pendidikan Khas sebanyak RM1800 setahun tanpa mengira ibubapanya berpendapatan RM1 juta sekalipun (hehe).

Apabila murid ini berada di bawah pengawasan pendidikan khas, mereka akan dapat bersaing dengan lebih adil di kalangan rakan sebaya dengan diberi peluang mewakili sekolah dalam pelbagai acara seperti sukan, tilawah Al-Quran, aktiviti kebudayaan, keusahawanan, kemahiran hidup dan lain-lain lagi sama seperti di aliran perdana. Semuanya ini akan berjaya meningkatkan rasa kendiri murid. 

Apalah ertinya berada di aliran perdana tetapi sekadar menjadi penumpang dan melepaskan semua keistimewaan yang ditawarkan kepadanya di pendidikan khas? Bantulah anak-anak anda kerana berada di pendidikan khas bukanlah penamat kepada masa depan mereka. TUHAN telah menetapkan tempat mereka di syurga, maka berikanlah mereka dengan kesenangan-kesenangan dunia!

11 Januari 2014

Khas untuk guru-guru : Bagaimana nak menjemput Karangkraf ke sekolah anda!

Ada yang bertanya kepada saya, bagaimana mendapatkan dana dan material untuk sekolah seperti buku. Untuk makluman, saya bukanlah guru Pusat Sumber. Apa yang selalu saya buat untuk dapatkan dana/material seperti buku adalah cara saya sendiri. Selalunya saya akan poskan di FB jika ada acara yang mahu melibatkan pengumpulan dana. Alhamdulillah rakan FB saya percayakan saya dan bermurah hati menderma bagi menjayakan sesuatu projek.

Seperti contoh, untuk aktiviti Membeli-Belah untuk Program Aidilfitri Pendidikan Khas, saya telah warwarkan di FB. Saya nyatakan tujuan program itu diadakan dan tentatifnya. Alhamdulillah ramai yang menghulur bantuan. Pada akhir projek anak-anak murid saya dapat duit poket sebanyak RM200 seorang untuk membeli keperluan Aidilfitri. Saya menefon beberapa pusat membeli-belah bagi mendapatkan tajaan lokasi. Alhamdulillah JUSCO Cheras Selatan telah memberi peluang kepada anak-anak ini membeli-belah dan membuat rakaman Al-Hidayah istimewa Maal Hijrah pada 2012.   Rancangan itu kemudiannya telahpun disiarkan di TV3. Selain daripada dana kutipan di FB, saya juga mendapatkan sumbangan daripada rakan guru yang lain yang ingin menyumbang. Alhamdulillah projek itu berjaya direalisasikan. Boleh lihat gambar di sini : Program Membeli Belah Aidilfitri

Semasa pembukaan program Pendidikan Khas (PPKI) di sekolah saya pada awal 2010, apa yang guru-guru lakukan adalah membuat hebahan kepada para penyumbang. Kelas yang kosong yang hanya ada kerusi, meja dan papan putih akhirnya berjaya dipenuhkan dengan pelbagai perabot seperti meja makan, TV, peralatan memasak dan sebagainya. Disebabkan program PPKI memerlukan bahan mawujud di dalam kelas, maka peralatan seperti ini harus disediakan pada kadar segera.

Namun jika kita mengutip dana daripada medium seperti ini, pastikan selepas membeli keperluan etc, kita menghantar bukti kepada para penderma. Memanglah mereka ikhas menderma, tetapi bukti tersebut bagi meyakinkan mereka, projek yang kita laksanakan adalah betul dan telus. Jangan sesekali membuatkan penderma ragu-ragu dengan perlaksanaan program.

Selain daripada cara hebahan seperti itu, hari ini saya ingin kongsikan satu lagi cara mudah yang boleh dilakukan di sekolah bagi menambah jumlah koleksi buku. Sekiranya di sekolah ada hari-hari sambutan tertentu seperti Hari Kokurikulum dan Pelancaran NILAM, apa yang kita boleh buat adalah menjemput penulis/motivator datang ke sekolah. Selain menyumbang buku kepada sekolah, di luar sana, ada banyak penerbit buku yang sangat bermurah hati untuk berkongsi rahsia macam-macam dengan murid-murid kita. Jemputlah mereka ke sana. Ada aktiviti pentas seperti bercerita, ceramah kerjaya, kongsi rahsia berjaya dan macam-macam lagi daripada para penulisnya. Malah jika panjang masa yang diberikan kepada mereka untuk bersedia, mereka boleh menjemput selebriti memeriahkan suasana. Selain itu penerbit juga boleh melancarkan buku pada acara tersebut. 
Pelancaran buku Kawan Baru FB di SK Subang Bestari pada 2012


Pada awal tahun seperti ini, pasti guru Pusat Sumber sedang merancang untuk pelancaran program NILAM di sekolah. Jika mahu memanggil Karangkraf untuk ke sekolah anda untuk program NILAM boleh emel Eksekutif Jualan Muhammad Asyraf  di muhammad.asyraf@karangkraf.com di talian 03- 51013683. Anda boleh hantarkan butiran program kepada beliau. Semoga info ini membantu anda!

03 Januari 2014

Salah Tanggapan Tentang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran


Gambar saya dan rakan-rakan guru PPKI bersama Tokoh Murid PPKI, Muhammad Faiz. Beliau merupakan murid autism yang berjaya bersosial dengan baik dan menjadi kebanggan PPKI. Pernah mendapat anugerah Tokoh Usahawan Daerah Hulu Langat.


Tahun baru ini saya ingin menulis tentang salah tanggapan masyarakat tentang PPKI. Tahun ini saya jadi guru kelas yang kebanyakannya murid baru. Jadi, ini antara yang saya mahu kongsi dengan anda supaya anda membantu saya memberi penerangan tentang salah tanggapan kepada PPKI.

Perlukah PPM? Kelas kotor?
Saya mengajar Pendidikan Khas bermula dari 2008. Ketika itu pendidikan khas masih baru bercambah. Ketika itu jawatan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) baru diperkenalkan. Pada ketika itu, semua kerja-kerja menguruskan murid dilakukan oleh guru.

Saya masih ingat dengan murid saya yang suka membuat helah. Dia tidak suka datang ke sekolah. Setiap hari, dia pasti mencari idea bernas untuk balik ke rumah. Siapa kata murid pendidikan khas tidak cerdik? Hehe. Murid saya itu cuma lembam (lewat perkembangan). Kalau setakat dia menangis memang cikgu tak layan. Keistimewaan guru pendidikan khas, telinganya memang lali dengan bunyi-bunyi bising. Kami boleh bertenang dalam keadaan murid menangis. Saya tidak boleh lupa, penyelaras saya, Puan Zarina akan bersama murid yang pertama kali masuk sekolah dan murid ini menangis satu hari selama berminggi-minggu! Kalian boleh bayangkan betapa tabahnya dia? 

Berbalik kepada murid saya tadi, kerana dia cerdik, dia fikir satu-satunya cara untuk membuatkan guru angkat bendera putih adalah dengan muntah. Dia fikir saya akan geli dengan dia?  Dia akan memasukkan tangannya ke dalam kerongkong dan memuntahkan semua makanan di dalam perutnya, terutama selepas waktu rehat. Tapi dia tidak berjaya 'menipu' saya. Saya bukanlah orang yang penggeli terutama kepada murid-murid saya. Saya mengemop lantai dan mengemaskan dia sambil terpaksa mengajar juga di dalam kelas yang penuh. Tentu tak boleh dibayangkan rasa ketika itu. 

Tetapi kini, dengan adanya ramai PPM, guru lebih dapat menumpukan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Apabila murid perlu dibersihkan, PPM akan menguruskan murid tersebut dan guru dapat meneruskan P&P. Jadi, jika ada pandangan negatif, yang mengatakan kelas pendidikan khas adalah kotor sebenarnya salah sama sekali. PPM akan mengemop lantai dan meja setiap hari. Malah, kebersihan di dalam kelas menjadi keutamaan kerana anak-anak murid pendidikan khas tidak boleh terdedah kepada persekitaran yang kotor kerana kesihatan mereka.  Kelas juga semakin teratur dan murid dapat menumpukan kepada pengajaran guru.

Cikgu tidak faham masalah anak saya. Guru tidak bertauliah?
Hehe... kalau cikgu pendidikan khas tak faham masalah anak murid, jadi cikgu mana yang akan faham?  Pada mulanya pastilah cikgu masih belajar memahami anak murid sebab baru kenal tapi lama-kelamaan guru akan 'masak' dengan perangai mereka dan belajar menanganinya. 

Sebagai contoh murid yang datang ke sekolah asyik menangis dan tentarum. Biasanya jika sesi pujuk-memujuk tidak menjadi, guru/PPM akan memandikan murid supaya murid dapat bertenang dan 'sejuk'. Jika murid masih tidak dapat bertenang, guru akan mencari 'benda' yang boleh membuatkan murid tenang seperti mungkin murid sukakan sesuatu, diberikan supaya dia boleh diam. Apabila sudah okey, barulah perlahan-lahan guru mengajak murid kembali kepada P&P. Selain daripada itu, jika tentarumnya berlarutan, guru akan mengambil langkah memanggil ibubapa kerana ia dikuatiri mengganggu perjalanan P&P kelas lain. Murid yang tentarum yang tidak boleh ditenangkan berkemungkinan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain. Jadi, jalan terakhir adalah membawa murid pulang. Guru boleh me'rehat'kan murid untuk kepentingan murid dan rakan-rakan sekelas.

Pada masa sekarang, kebanyakan guru adalah berijazah dan memegang diploma pendidikan dalam bidang pendidikan khas. Jadi seperti tuan/puan yang belajar bertahun-tahun di universiti dalam bidang tuan/puan, pastilah kami juga ada bidang kami yang tersendiri. Tambah pula pengalaman mengajar menjadikan kami guru-guru yang lebih berpengalaman.

Daripada tinjauan di luar, kelas pendidikan khas dikendalikan swasta adalah sekitar RM1000 dan ke atas sebulan sedangkan di sekolah kerajaan adalah percuma. Jadi, boleh tepuk dada tepuk poket. Bidang ini memang bidang yang memerlukan kepakaran dan tak perlulah dipersoalkan kelulusan guru-guru. Apabila ada yang bertanya kelayakan seorang guru dalam bidang pendidikan khas, sebenarnya mereka tidak faham. Bukan semua guru boleh mengajar di kelas PPKI.


Anak saya kena dengan guru? Mentang-mentang tak tahu cakap, cikgu belasah anak saya. Tengok! Ada lebam-lebam!
Kalau ada masalah, jangan bergosip. Sila berjumpa guru dan bertanya serta berbincang. Kami adalah guru-guru yang profesional. Yang dijaga dan diajar adalah anak-anak syurga.  Setiap yang kami lakukan kepada mereka akan dihitung di sana. Percayalah cakap guru. In syaa Allah kami tidak menipu dan kami lakukan semuanya demi kebaikan murid. Ada ibubapa yang sangat suka mencari salah guru hinggakan ada lebam sikit sudah buat spekulasi kena belasah guru. Kadang-kadang murid terjatuh di rumah saja, kena gigit dengan adik. Apabila disiasat, termalu sendiri. Janganlah menyusahkan guru dengan perkara remeh sampai kami terpaksa scan seorang demi seorang murid setiap pagi sebelum datang ke sekolah untuk tengok lebam atau tidak ada di badan. Ini bukan bermana tidak boleh berbincang, boleh... silakan tetapi percayalah dengan penerangan yang diberikan....

Kat PPKI mana ada belajar. Rugi!
Sebenarnya anak yang bermasalah pembelajaran, jika dikesan awal lebih baik. Ada yang sudah darjah 3, tak boleh membaca baru hendak masuk ke PPKI. Ini sudah agak lambat. Sepatutnya apabila darjah 1, jika tidak boleh membaca, ibubapa boleh bawa anak ke doktor untuk diagnos. Banyak kejadian, apabila murid diletakkan ditempatnya, guru-guru pendidikan khas dapat membantu mereka. Ramai murid PPKI yang kembali diinklusifkan di aliran perdana dan menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM! Bantulah anak anda sebelum terlambat! Ketepikan ego demi masa depan!

Ada banyak lagi persepsi negatif tentang PPKI. Ada masa saya kongsikan lagi! Kepada guru-guru yang baru masuk ke dunia pendidikan khas, Selamat Datang! Semoga hati-hati kita tabah mengharungi dunia pendidikan yang penuh cabaran! Kita bukan bibik, kita adalah pendidik!

Sampai jumpa lagi! Semoga ganjarannya dibalas di sana! Amin.

02 Januari 2014

REPOST : Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran: Sejauh Mana Kita Memahaminya?

Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mendefinisikan murid yang mengalami Masalah Pembelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah kognitif yang dianggap boleh diajar dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal. Terdapat pelbagai kategori murid bermasalah pembelajaran seperti Sindrom Down, Autisme, Hiperaktif, terencat akal minima, kurang upaya dalam pembelajaran (learning disabilities) dan kurang upaya dalam pembelajaran khusus contoh disleksia.
Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini berada di sekeliling kita dan jumlahnya semakin bertambah dengan meningkatnya tahun ke tahun. Terdapat banyak faktor peningkatan kelahiran kanak-kanak ini seperti faktor usia ibu, masalah kesukaran semasa kelahiran, pemakanan, pencemaran alam sekitar mahupun baka. Kanak-kanak ini mungkin jiran kita, sanak-saudara, murid-murid mahupun anak sendiri. Persoalannya sejauhmanakah kita mengenali kelompok ini dan bagaimanakah kita dapat membantu mereka menjalani kehidupan harian sebagaimana kanak-kanak normal yang lain?
Artikel ini akan menyentuh kategori murid bermasalah pembelajaran untuk mengenali mereka seterusnya memahami nature mereka supaya kita menjadi sebahagian masyarakat yang prihatin dan penyayang selaras dengan visi Wawasan 2020.
Sindrom Down
Merupakan kecelaruan genetik yang menyebabkan kerencatan akal pada kanak-kanak. Ia berpunca dari lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke 21 yang juga dikenali sebagai Trisomo 21. Individu ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang jelas yang biasa dilihat seperti mata sepet, hidung penyek, bertubuh rendah, lidah yang tebal dan panjang (menyebabkan kesukaran mereka bertutur) dan jari tangan yan pendek (menyebabkan kesukaran memegang pensel dan gunting). Ujian pra natal bertujuan mengesan kecacatan semasa janin yang biasa dijalankan adalah amniocentesis, Chorionic Villus Biopsy (CVB) dan Chorionic Villus Sampling (CVS).
Autisme
Istilah autisme berasal dari perkataan autos yang bermakna diri sendiri dan isme bermaksud aliran. Kanak-kanak Autisme bermaksud kanak-kanak yang berada di dalam dunianya sendiri. Ia biasanya mula dikesan pada kanak-kanak yang berusia 3 tahun disebabkan oleh kecelaruan neurologikal yang mengganggu fungsi otak. Individu ini biasanya sukar diajak bercakap dan suka menarik tangan orang lain bila meminta sesuatu, mengeluarkan bahasa sendiri yang sukar difahami oleh orang lain dan meniru perbualan ataupun nyanyian tanpa memahami maksudnya. Mereka suka mengulangi percakapan orang lain secara berulang-ulang yang dikenali dengan istilah ekolalia. Kebiasaannya mereka tidak suka bermain dengan orang lain (lebih suka menyendiri dengan menyorok) dan lebih sukakan objek-objek yang berputar seperti kipas angin ataupun kertas yang ditiup angin. Penggunaan Ritalin bertujuan untuk merawat masalah kurang tupuan dan hiperaktif selain vitamin B6 dan Magnesium untuk meningkatkan kesedaran dan tumpuan/perhatian kanak-kanak.
Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorder, ADHD)
Istilah hiperaktif merujuk kepada kanak-kanak yang bertingkahlaku terlampau aktif dan mengganggu. Tingkahlaku mereka yang aktif dan sukar diramal memberi gangguan kepada proses pengajaran guru di sekolah mahupun penjagaan harian di rumah. Paling ketara mereka bersikap agresif (contohnya memulakan pergaduhan dan pertengkaran), cuai menyiapkan tugasan, tidak mahu mendengar apabila kita bercakap dengannya selain mengelak membuat tugasan yang memerlukan pengekalan daya mental. Kanak-kanak ADHD memerlukan sokongan dari ibubapa dan guru dalam belajar mengurus perasaan marah dan tekanan. Ganjaran terlebih dahulu sebelum memberi hukuman. Selain itu sikap tegas terhadap murid, memberi maklumbalas impromptu dan bersifat pemaaf boleh membantu mendidik murid ADHD.
Disleksia
Disleksia diterangkan sebagai keadaan di mana seorang murid mengalami masalah membaca yang serius, yang berkait-rapat dengan gangguan urat saraf. Mereka kelihatan normal tetapi kecelaruan pada bahagian otaknya menyebabkan mereka sukar untuk membaca, menulis, mengeja mahupun mengendalikan nombor yang tidak selaras dengan tahap pencapaiannya walaupun telah diajar berkali-kali. Kanak-kanak ini berisiko menghadapi masalah emosi dan tingkahlaku kerana kecewa dengan pencapaian mereka dalam akademik yang tidak selaras dengan umur mereka. Punca disleksia tidak diketahui tetapi faktor genetik, biologi (kesukaran ketika dilahirkan) juga kematangan (lelaki lambat matang dari perempuan) dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada disleksia. Antara kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disarankan untuk kanak-kanak disleksia adalah melalui pendekatan multisensori; menggabungkan beberapa deria seperti auditori, visual, oral dan kinestetik.

Prosedur Kemasukan ke Program Pendidikan Khas
Program pendidikan khas bermasalah pembelajaran atau program integrasi terletak di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Untuk melayakkan seseorang kanak-kanak mengikuti program ini, beberapa criteria harus diikuti seperti :
· Membawa kanak-kanak ke hospital untuk pemeriksaan. Doktor akan membuat diagnos dan membuat pengesahan kecacatan kanak-kanak tersebut.
· Pengesahan tersebut dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (opsyenal) untuk didaftarkan sebagai individu berkeperluan khas. Ini melayakkan kanak-kanak mendapat elaun bantuan RM150 sebulan.
· Kanak-kanak seterusnya mendaftar ke Pejabat Pendidikan Daerah. Unit Pendidikan Khas di Jabatan Pendidikan akan memanggil ibubapa bagi menentukan sekolah yang ingin dipilih.
· Unit Pendidikan Khas akan memaklumkan kepada Guru Besar sekolah berkenaan. Temuduga murid dijalankan.
· Ibubapa harus membuat pengesahan penerimaan atau persetujuan untuk anak mereka mendaftar di sekolah tersebut jika diterima masuk ke sekolah berkenaan.

artikel ini ditulis pada 23/5/2008 dan direpost sempena tahun baru persekolahan 2014.

14 Ogos 2013

Projek Ferro Cement- Terapi Sensori bak rawatan akupuntur

Kini anda boleh membuat sendiri ferro cement ini di rumah. Saya akan menunjukkan kepada anda bagaimana ia dibuat langkah demi langkah. Menghasilkan ferro cement ini bukannya susah. Jika anda membelinya di kedai nurseri, harga bagi satu acuan ferro cement yang sudah siap bersama batu sungai adalah sekitar RM10, namun sekiranya anda membuatnya sendiri, harganya sekitar RM7 (untuk saiz yang agak besar juga, harga ferro cement yang telah siap bergantung kepada saiznya). Ini bermakna anda boleh jimat sekitar RM3 untuk satu acuan.

Bahan-bahan
Simen
Gam simen
Pasir
  Semua bahan ini dibancuh seperti hendak membuat bahan binaan.

Kayu
Paku
   Bahan ini untuk membuat acuan (frame)

Jaring
Cat luar (tahan air)
Varnish 

Langkah-langkah

1- Membuat acuan/frame- Kayu dibuat frame mengikut saiz yang anda suka. Satu cara lagi adalah dengan membuat frame terus di atas tanah (memanjang) tetapi pastikan ketika itu adalah tidak hujan supaya simen dapat kering sepenuhnya.


2- Membancuh simen dan meletakkan bancuhan ke dalam acuan/frame. Isikan simen separuh sahaja kemudian letakkan jaring untuk menguatkan binaan. Masukkan baki simen untuk menutup keseluruhan acuan/frame. 

Sekiranya anda memilih untuk membuat acuan/frame terus ke dalam tanah, sila pastikan batu sungai terus diletakkan ke atas bancuhan simen sebelum ia mengering.




3- Meletakkan batu sungai ke dalam bancuhan simen. Bahagian ini paling seronok kerana kita bebas mereka corak yang kita suka. Boleh campur warna batu dan jenis batu seperti gambar.



 4- Ferro cement yang sudah siap dicorak, perlu dijemur. Walau bagaimanapun jika anda memilih untuk meletakkannya di atas tanah terus, langkah ini boleh diabaikan dan menjimatkan masa menunggu.



5- Mengecat ferro cement yang telah kering. Setelah mengecat biarkan kering dan varnish bagi meninggalkan kesan berkilat.

 6- Mengorek tanah untuk tapak ferro cement. Ketika ini anda boleh menentukan corak yang anda mahukan, sama ada melengkung atau memanjang mengikut citarasa anda.


 7- Menyusun ferro cement yang telah siap di atas tanah.
8- Ferro cement yang telah siap, sedia untuk digunakan. Batuan ini sangat bagus merangsang deria dan dipercayai boleh memulihkan banyak jenis penyakit. Sekiranya mahu, anda boleh meletakkan pemegang bagi membantu anda  memijak batuan. Ferro cement ini banyak digunakan di taman-taman rekriasi tetapi anda boleh juga meletakkannya di rumah sebagai hiasan dan kesihatan. Bagus untuk bersama-sama anak-anak menyiapkannya sebagai satu aktiviti keluarga.

Selamat mencuba!
Nota : Saya ingin merakam penghargaan kepada para guru praktikum Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras kerana berkongsi ilmu dengan para guru menyiapkan taman mini refleksiologi ini di sekolah. Selain daripada itu, gambar-gambar di dalam entri ini adalah milik peribadi dan dirakam untuk tujuan pendidikan sahaja.

20 Januari 2013

Murid Pendidikan Khas di Aliran Perdana

Pada hari Sabtu lalu, anak-anak kecoh memanggil ibunya yang sedang bermesyuarat. Kebetulan hari itu adalah sekolah berganti. Selepas tamat sekolah, seperti biasa, anak-anak menanti saya untuk pulang. "Kenapa ni? Mama nak mesyuarat la!" Saya sudah mencekak pinggang. Geram kerana terpaksa keluar sedangkan saya sedang emncatat minit mesyuarat. "Ada orang mengamuk, mama!" Aduan Hardy membuatkan saya membuka mata.  Takkanlah teruk sangat mengamuk, sampai pengawas sekolah pun tak boleh nak uruskan? Saya bertanya di dalam hati tetapi mencari budak yang dikatakan mengamuk tadi. "Dia baling kerusi mama!" Si Hakimy pula bercerita membuatkan tanda-tanya di kepala semakin luas ruangnya.
"Sekarang korang masuk kelas!" Saya sudah memberi arahan tatkala melihat wajah seorang budak dalam usia 10-12 tahun itu sedang menyinga dan berair mata.
"Kenapa sayang?" Itulah pertanyaan pertama saya. 
"Diaorang tu semua tak faham! Saya geram!" Dia menjawab dengan nada suara yang tinggi.
Saya rapat kepadanya. Saya pegang tangannya. Saya usap tangannya. Saya senyum kepadanya. Saya berkenalan dengannya. Saya tiupkan ubun2nya setelah membaca selawat syifa'.
Setelah beberapa ketika bersoal jawab dengannya, saya mendapat jawapan lebih kurang begini. Dia marah kerana budak2 lain mendera anak katak. Dia tak tahan melihat haiwan itu didera oleh budak2 tu. Hanya kerana itu dia mengamuk sakan.
Saya senyum kepadanya. Hah! Budak ini memang budak istimewa yang diberitahu oleh rakan2 di aliran perdana. Mereka menceritakan kepada saya, betapa peliknya budak ini. Apa yang mereka simpulkan kemudian, budak ini sangat dimanjakan. Dia dihantar oleh pemandu ke sekolah. Anak orang berada. Jadi bila permintaannya tidak dituruti, jadi dia mudah mengamuk. Tapi melalui cerita mereka, saya dapat rasakan murid ini murid istimewa, cuma tidak berkesempatan bertemu mata. Jadi hari itu dapatlah saya bersembang2 dengan dia.
Saya katakan kepadanya, "Hamzah (bukan nama sebenar), macam Hamzah, anak katak tu mesti ada ibunya. Hamzah jangan risau. Cikgu percaya, anak2 katak tadi (yang lari di bawah meja), sudah diselamatkan oleh ibu katak. Tugas seorang ibu bukankah melindungi anaknya. jadi katak itu dah dibawa balik ibu katak ke tempat yang selamat, balik ke rumahnya. Jadi Hamzah tak perlu risau, anak katak itu tak mati dipijak budak2 kerana ia dah selamat di bawah jagaan ibunya." 

Sebagai orang yang normal, pastilah jawapan seperti akan membuatkan anda ketawa. tapi bagi seorang budak istimewa, jawapan saya menenangkan hatinya. Alhamdulillah selepas saya memberitahu dia bagaimana sepatutnya dia mengawal kemarahannya, dia dengan rela hati bergerak ke dewan.

Saya tersenyum. Memang budak itu budak istimewa. Sekalipun dia di aliran perdana, dia sebenarnya budak istimewa. Saya akan berjumpa dengan guru kelasnya juga guru kaunseling. Ini kerana budak itu memang kelihatan sangat tertekan. Saya bimbang, rakan2 di aliran perdana tidak memahaminya lalu mengejeknya. Dia memberitahu saya, dia hendak membunuh mereka semua! Saya akan bertindak. Perkara hendak bunuh-membunuh bukanlah perkara main2!

Apakah seorang budak yang bersekolah di aliran perdana semuanya normal? Bagaimanakah agaknya yang dikatakan kelas inklusif? Sebenarnya murid istimewa, boleh belajar di aliran perdana sekiranya guru merasakan beliau bersedia untuk mengikuti kelas di aliran perdana. Guru2 pendidikan khas akan mencadangkan kepada ibubapa apabila mereka merasakan murid itu bersedia untuk diinklusifkan. Antara kriteria yang guru-guru ambil kira pastilah murid itu sudah menguasai 3M dan boleh berdikari dan bertingkahlaku baik.


Bagaimana pula murid aliran perdana yang telah terlepas pandang? Adakah mereka boleh dirujuk ke pendidikan khas? Pastilah boleh. Sekiranya guru2 aliran normal merasakan murid ini mempunyai kelainan daripada murid2 lain, sekalipun ia mempunyai kecerdasan yang sangat superb, beliau memang boleh dirujuk di pendidikan khas. Tugas guru pendidikan khas kemudiannya membimbing murid, menyediakannya masuk kembali ke aliran perdana dan memantau pencapaiannya, baik dari segi akademi mahupun sahsiah diri.

Besar peranan seorang guru di sekolah. Guru aliran perdana dan pendidikan khas sentiasa berbincang untuk kepentingan murid. Adalah penting menempatkan murid mengikut kesesuaiannya bagi memberikan pendidikan kondusif bukan saja kepada murid itu sendiri, tetapi juga kepada murid2 lain di sekelilingnya. Ibubapa seharusnya berbincang dengan guru dan mengambil langkah pencegahan awalan, demi masa depan murid. Bukan bermakna, berada di pendidikan khas beliau akan keciciran tetapi sebenarnya membantu murid mencapai tahap perkembangan yang sejajar dengan keupayaan dirinya. Persepsi murid pendidikan khas adalah murid yang tidak boleh belajar, tidak pandai seharusnya dibuang jauh2. Apa yang penting, kita membantu murid seawal yang mungkin!



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...