Memaparkan catatan dengan label Bali. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bali. Papar semua catatan

09 Mei 2014

REPOST : Bali: Fakta dan Auta

REPOST : Latar Cinta Top Secret
First published : 10/2/2008





Kepada anda yang bercadang untuk bercuti ke Bali, harap-harap beberapa fakta tentang Bali ini akan membantu anda sepanjang masa anda di sana!
#Bom di Bali kedua-duanya diletupkan pada bulan Oktober. Sasarannya warga Inggeris yang sedang melepak di bar.
#Harga pakej-pakej percutian seperti pakej spa dan lawatan ke tempat-tempat menarik di Bali lebih murah semasa di Matta Fair dari dibeli di Bali.
#Bermotor di Bali satu cabaran yang besar kerana jalan raya yang sesak dengan motorsikal.
#Pemandu di Bali suka membunyikan hon.
#Peta Denpasar boleh dibeli di Metro, kedai konsep 24jam macam seven eleven.
#'Babi guling, nyaman dan menyegarkan' adalah pandangan biasa, ada di mana-mana.
#Bali terkenal dengan banyak kuil-kuil Hindu lama.
#Masyarakat Hindu di Bali memakai tanda dahi berwarna putih, jarang berwarna merah atau hitam seperti orang India di negara kita.
#Ramai lelaki Bali memakai destar seperti songkok dan berkain batik.
#Harga suratkhabar di Bali adalah Rp 10000 bersamaan dengan RM3.60 dan diterbitkan seminggu sekali.
#Budaya membaca suratkhabar jarang dilihat. Kebanyakan masyarakat mengisi masa dengan berbual dan berkumpul sesama mereka.
#Pendapatan perkapita penduduk Bali adalah Rp 100000 ataupun RM360. Jumlah ini sama dengan harga sebidang kain yang saya lihat dijual di salah sebuah kedai cenderamata di Jalan Legian.
#Bawa wang secukupnya kerana anda akan kerugian wang dalam jumlah yang banyak jika ditukar di sini. Elakkan dari menukar wang di mana-mana kedai tukaran asing yang beroperasi di deretan kedai kerana kadar caj perkhidmatan yang tinggi.
#Bahasa Indonesia berbeza dengan bahasa Malaysia kerana orang Indonesia menggunakan bahasa peringkat tinggi . Contohnya seorang Pakcik pernah berpesan kepada saya supaya membetulkan pedal pemijak kaki kerana katanya nanti kaki saya akan sengsara. Saya ketawa setiapkali mengingatkan bahasa mereka yang begitu tinggi itu.
#Air minuman hanya ada satu jenama di Bali tidak seperti di Malaysia yang ada beribu-ribu jenama air minuman hinggalah ke air mineral. Saya tersilap beli kerana ingatkan air mineral tetapi air isotonik yang diisi di dalam bekas air mineral di sini.
#Teknologi sos cili tidak sampai lagi di sini. Rasa sos cilinya seperti cili giling. Kalau anda tak boleh makan tanpa sos cili, maka bawalah sos cili paket dari sini. Di Bali ia dipanggil sambal cili.
#Air milo kotak tidak dijual banyak dan sukar mencarinya. Penggemar milo boleh membeli air susu coklat sebagai pengganti.
#Hanya segelintir penyanyi Malaysia yang dikenali di Indonesia seperti Amy Search, Siti Nurhaliza dan Sheila Majid. Berbeza dengan penyanyi dari sana yang memang terkenal berlambak-lambak di Malaysia.
#Lagu-lagu dari Kumpulan Dewi-Dewi selalu dimainkan di sana. Malah kedatangan Dewi-Dewi ke Malaysia saya ketahui dua minggu awal dari salah seorang pekerja di Jalan Legian. Kedatangan mereka ke Malaysia hanya diwar-warkan seminggu selepas kepulangan saya ke sini.
#Untuk membezakan pelancong perempuan Indonesia dan Malaysia tidak sukar. Orang Malaysia memakai tudung bawal sedangkan orang Indonesia memakai tudung manik (yang biasa dilihat dalam sinetron mereka).

27 Mei 2012

Membeli-belah di Bali

Jika berkesempatan ke Bali, selain daripada pantai yang cantik dan aktiviti-aktiviti kebudayaannya, membeli-belah merupakan satu aktiviti yang seharusnya tidak dilepaskan. Dari barangan batik hinggalah pelbagai hasil seni seperti perak, ukiran kayu, kain lace dan pelbagai cenderamata yang lainnya boleh dibeli hingga boleh rabak duit kalau tidak berhati-hati...hehehe.  Dalam entri ini saya ingin kongsikan pengalaman membeli-belah di Bali.

Jika anda bijak dalam hal-ehwal tawar-menawar, Pasar Seni Sukawati tidaklah menghampakan. Tawarlah pada harga terendah dan jika anda rasa tidak bertepatan dengan bajet anda, anda boleh membeli di kedai lain. Pasar ini lebih kurang sama dengan Pasar Khatijah mahupun Pasar Payang. Pada hemat saya, menawar pada harga Rp10,000 bagi sesuatu barangan seperti pakaian kanak-kanak, masih boleh diterima. 



Hati-hati dengan penjual jalanan yang akan mengekori ke mana anda pergi. Biasanya anda boleh menawar lebih rendah daripada pekedai kerana mereka tidak perlu membayar harga sewa kedai. Tetapi sekalipun harganya lebih murah sedikit, risiko yang perlu anda hadapi adalah penjual lain juga akan turut mahu menjual kepada anda jika anda sudah mula membeli daripada seorang penjual. Jadi jika anda sudah mencapai kata sepakat untuk membeli, anda boleh terus pergi dengan mengucapkan kata-kata penolakan yang baik. Sila periksa barangan yang ditawarkan secara pukal (lebih banyak, lebih murah) kerana kualitinya perlu diperiksa seperti ukuran baju mahupun coraknya. Jika anda tidak berhati-hati, bimbang hasilnya akan mengecewakan anda.

Jika anda malas hendak menawar, di Krisna ini menawarkan harga tetap yang agak murah. Saya perhatikan, kebanyakannya hanya kurang Rp5000 daripada penjual di Sukawati. Di sini juga suasananya lebih tenang dan sejuk. Anda boleh membeli-belah dengan selesa tanpa pening kepala untuk menawar harga.

Jika mahukan barang berjenama khususnya pakaian dan peralatan luncur air, di Bali Collection, Nusa Dua ada menawarkan pusat membeli-belah jenama antarabangsa. Di sini terdapat banyak pilihan dan pastilah harganya juga boleh tahan. Kompleks di sini sangat lengkap dengan kemudahan membeli-belah, makan dan pantai (pantai-pantai milik hotel 5 bintang). Anda boleh habiskan masa separuh hari di sini.


Namun begitu, di kawasan-kawasan tumpuan pelancong terutamanya di Tanah Lot. Pelbagai deretan kedai menjual cenderamata pada harga yang berpatutan.

Di tengah-tengah Kuta, Discovery Shopping Mall adalah yang terbesar. Jika bosan, boleh juga membeli-belah di sini. Ada banyak lagi gedung membeli-belah di Bali tetapi di sinilah yang paling ramai di sebabkan berada di kawasan tumpuan pelancong.

Terdapat juga factory outlet di sini seperti di Bandung tetapi ianya lebih kepada barangan sukan dan luncur air. Jadi lepas penat jalan-jalan tengok kebudayaan Bali, penat dengan aktiviti air mahupun ke spa, membeli-belah juga boleh dijadikan memoir indah di Bali. Selamat bercuti!

28 Disember 2007

Hari Keempat di Bali 15 Dis 07

Hari ke 4 kami ke Erlangga lagi, shopping lagi.... Cadangnya memang nak ke Sukawati tetapi kami batalkan. Mungkin di kunjungan lain kali. Kami ronda-ronda satu Denpasar dan Kuta. Selain daripada Erlanggar, terdapat beberapa tempat shopping yang kami rasa harganya berpatutan dan tidaklah terlalu mahal seperti di Gedung Matahari dan Carrefour Bali. Kalau nak membeli di kedai-kedai di kaki lima, kepakaran menawar harga amat diperlukan kerana di sini harganya hampir 100%-200% lebih mahal daripada harga di Erlanggar (setelah kami buat perbandingan). Jadi, kalau bernasib baik, dapatlah murah. Contohnya sandal manik yang saya beli di sebuah kedai di tepi Sunset Road cuma berharga 25,000 rupiah sahaja berbanding harga asalnya 50,000 rupiah (sebelum ditawar).

Di hadapan memorial Peristiwa Bom Bali. Dulu di sini tapak Pub & Disco. Pemandu pelancong memberitahu, kedua-dua bom diledakkan pada bulan Oktober kerana di sini pada bulan itu ada kepercayaan keagamaan. Jadi elakkan ke Bali pada bulan Oktober. Di memorial ini tercatat nama-nama mereka yang telah terkorban...kebanyakannya warga Australia.





Pantai awam di Tuban. Pelancong memang tak pergi ke sini. Rakaman kehidupan masyarakat Bali dapat dilihat di sini...

27 Disember 2007

Hari Ketiga di Bali 14 Dis 07






Kami memulakan hari dengan bermotosikal ke Denpasar sekali lagi. Kali ini dengan peta di tangan, kami ingin memulakan aktiviti shopping!
Sebetulnya niat asal ingin ke Sukawati tempat yang selalu dikunjungi pelancong untuk membeli-belah. Ju dah pesan supaya memborong di sana. Kak Lily Haslina pesan jangan ke Sukawati 1, pergi ke Sukawati 2. Bila ditanyakan kepada adik kat Metro (yang macam kedai 7 eleven kat Msia) dia mencadangkan kepada kami supaya ke Erlangga.
Erlanggga? Saya sudah gigit jari dan menggaru kepala. Mana pulak Erlangga tapi abang senyum aje. Menurut kata adik tu, ramai pelancong tak tahu tempat ni kerana Sukawati lagi glamor. Dia kata hanya pelancong dari Jakarta yang tahu tempat ini. Harganya cuma satu ke dua ribu ruppiah (40 sen ke 80 sen) beza dengan yang ada di Sukawati. Lagi pula di Sukawati kita terpaksa menawar harga macam di Petaling Street sedangkan di erlangga harganya telah tetap.
Saya pandang abang menghantar isyarat kening. Betulkah dia nak ke sana? Sudahlah tak tahu tempat, pergi pulak ke tempat yang tak disarankan oleh kawan2. Dia kata "Mari, pengembaraan kita bermula." Saya pun layan....
Nak cari Erlangga taklah susah mana sebab ada peta. Tambahan pula yang membawa motor tu Visual Space punya orang. Jadi yang tak Visual Space punya orang duduk diam-diam kat belakang. Tugasnya ambil gambar dan video.
Dah sampai, mula-mula kami survey harga. Boleh tahan jika hendak dibandingkan di Kuta. Lalu kamipun mulalah hilang akal sekejap. Habislah 600 ribu...heheh rupiah. Rata-rata pelancongnya memang orang Jakarta. Tak nampak batang hidung orang Msia ataupun orang putih kat sini.
Dah penat, kami balik ke hotel. Rehatkan diri.
Tepat jam 5.00 kami dijemput Travel Agent untuk makan malam romantik di Jimbaran Bay, tengok matahari terbenam sambil didendangkan oleh live band. Heheh sebenarnya malam itu band datang lambat. Kami dah nak balik baru diaorang datang. Tapi kat restoran yang sebelah sana memang band sudah lama menghiburkan pengunjung.
Malamnya kami window shopping di Kuta. Sempat menjengah Sogo, Kuta dan melihat panorama malam sekitar bandarnya.

18 Disember 2007

Hari Kedua di Bali 13 Dis 07

Kami memulakan hari dengan menyewa motor pada kadar Ruppiah 40 000 sehari! Bunyinya macam besar tapi bila ditukar ke Ringgit hanya RM14.30. Kadar rupiah jika ditukar ke RM harus dibahagikan dengan 2800 tetapi kalau hendak senang congak, kalikan saja dengan 4.

Kami meronda sekitar Denpasar dan Kuta tetapi tidak singgah di mana-mana kerana kami tiada peta bandar Denpasar. Kami memang suka mengembara dengan motor kerana pemandangannya lebih luas dari berkereta. Bila-bila hendak berhenti lebih mudah terutamanya kalau hendak mengambil gambar. Tetapi membawa motor di Bali begitu mencabar kerana jalannya sesak dengan motor. Sekejap-sekejap akan dihon. Berhenti di lampu isyarat kena hon, nak membelok kena hon. Mulanya kami agak hairan dengan budaya membunyikan hon ini tapi bila sudah lama, sudah biasa. Agaknya kerana itu penunggang tidak sempat nak berhayal. Tiga hari bermotosikal, kami tidak jumpa langsung dengan kemalangan!

Petang kami meronda pula sekitar Kuta. Masuk shopping mall dan makan tengahari di KFC. Jam 5 baru kami dijemput oleh travel agent untuk melawat ke Uluwatu. Malam itu kami disajikan dengan makanan Sunda.
Salah seorang penari Kecak memakai kostum Monyet Merah
Ikan Guramin, masakan Sunda yang lazat


Denpasar, Bali
Bergambar dengan poster Ada Band di Hard Rock Cafe, Kuta, Bali
Pemandangan di Uluwatu. Di bawah itu laut.
Matahari terbenam di Uluwatu
Menyaksikan tarian Kecak




Hari Pertama di Bali 12 Dis 07

Kami bertolak 4.00 petang dan sampai di Bali 3 jam selepas itu. Kami tiba di Matahari Bungalow kira-kira 8.00 malam. Waktu di Bali sama seperti waktu di Malaysia. Yang berbeza cuma siangnya lebih panjang. Waktu Subuh di sini jam 4.15 pagi dan matahari terbit jam 5.30 pagi. Tetapi waktu bekerja tetap 8.00 pagi. Matahari terbenam jam 6.30 petang.

Sebaik check in kami meronda di sekitar Jalan Legian, Kuta. Malamnya memang sibuk terutama aktiviti berjualan dan minum-minum serta berdansa bagi mereka yang gemar berlibur. Kami sekadar menghabiskan masa dengan menyerap suasana di Kuta sambil keluar-masuk ke kedai-kedai yang masih beroperasi hingga tengah malam.
Di hadapan penginapan.

Sempat khatam novel Pelabuhan Kasih oleh Lily Suriani
Bilik yang bertemakan Bali.

12 Disember 2007

Pengumuman Cuti : Ke Bali!

Saya akan ke Bali dari hari ini hingga 16 Dec. Doakan saya baik-baik saja. Selamat pergi dan selamat kembali ke tanahair tercinta! Untuk itu saya tinggalkan anda dengan gambar-gambar percutian saya di Phuket tahun lepas.






LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...