23 Disember 2008

Pengumuman Cuti : Europe Trip Siri 1

Yippie! Sempena cuti Krismas, saya dan keluarga akan bercuti ke London, Manchester dan Newcastle (insyaAllah) pada 23 Dis-1 Jan untuk melihat dan merasakan sambutan Krismas di London, shopping di Boxing Day dan mengunjungi sahabat dan menjejak kisah cinta Hirda Azleen dan Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Redza untuk novel baru.... Jumpa lagi selepas 5 Januari 2009, InsyaAllah (sebab hari tu baru Cik Alice nak hantar technician untuk pasang internet). Selamat Tahun Baru! Apa azam baru?

22 Disember 2008

Surat Cinta


Surat cinta? Saya berani bet orang zaman sekarang dah tak main dah dengan benda-benda kuno dan outdated macam ni... Zaman sekarang zaman canggih-manggih ni orang guna emel dan SMS...lagi cepat dan pantas... Tut tut tut dah sampai...taip lagi... Tut tut tut dah sampai...ataupun YM atau guna FB, Frienster etc yang sesuai dengan teknologi sekarang...

Tapi yang tak syoknya, seni surat cinta itu tak ada...tak bestla tak ada feeling....Dulu-dulu jenuh bertunggu pintu bertunggu tangga demi nak mendapatkan surat kekasih. Pakcik posmen tu memang orang yang paling ditunggu...Surat pulak berkajang-kajang.... Siap sembur minyak wangi atau bedak lagi... Siap lipat macam-macam... Siapa ada seni, bakar tepi surat dengan ubat nyamuk...Macam-macam untuk impress kekasih hati...Lepas tu kantoi dengan mak sebab surat cinta simpan bawah katil dalam kotak....hehehe.

Bila nak baca tarik kotak, sepuluh kali baca tak jemu-jemu. Habis baca simpan bawah bantal....termenung sekejap...ambil feel dan ambil balik surat tu... Bila break dengan kekasih tu mulalah ada sesi bakar-membakar surat cinta... Siap gambar kekasih dia minta balik.... Jenuh pula nak pos...

Itulah penangan surat cinta....

Orang sekarang mesti guna emel....simpan dalam peti masuk...ada juga yang print tapi excited dia mesti tak sama macam tunggu posmen hantar surat cinta kan...

Ada sorang adik tu bagi saya baca surat cinta dia...dia kata kat saya, surat cinta bodoh... Eh ada ke surat cinta bodoh? Bagi saya tak ada istilah surat cinta bodoh...Surat cinta adalah luahan hati seseorang pada seseorang yang lain...lalu di mana bodohnya. Sekalipun kita geli geleman membaca surat cinta dari seseorang...itu tetap tidak dinamakan surat cinta bodoh... Tak pernah baca surat cinta geli-geleman...hehehe malangnya nasib anda....

ps: surat cinta geli-geleman tu surat cinta yang menggunakan bahasa yang melankolik, syahdu syahdan....umpamanya 'sudah lama tidak bertemu denganmu hingga aku termimpi-mimpi bayangmu, bagai terdengar-dengar mersik suaramu bak buluh perindu...etc...

21 Disember 2008

Berlin (B5) Factory Outlet- Syurga beli belah


Tempat membeli-belah ini memang jauh dari tempat kami. Di dalam peta pengangkutan Berlin, ia terletak di Zon C, Berlin. Perjalanan selama hampir 2 jam bertukar 2 tren dan 2 bas, rasanya jika tidak membeli apa-apa memang tidak berbaloi. Hanya kerana kami gemarkan pengembaraan, lalu kami meredah cuaca sejuk hari itu.


Kami tiba jam 12.45 tengahari terlewat 1 jam dari masa bas ke sana berlepas. Oleh itu kami perlu menunggu bas seterusnya. Bas ke sana berselang 2 jam. Jadi memang perlu merancang awal supaya tidak terlepas bas. Tapi jangan risau, kalau terlepas bas, ada shopping mall yang agak besar di situ Havel Park untuk membuang masa menunggu bas seterusnya.

Memang ramai rupanya pengunjung di sini. Bila turun bas saja, kami sudah nampak deretan kedai-kedai yang harus kami kunjungi. Ada Nike, Puma, Adidas dan macam-macam lagi jenama antarabangsa. Yang penting sediakan duitnya saja. Kebetulan sempena Krismas maka kedai-kedai menjual barang dengan potongan yang lebih lagi. Di kedai Nike dan Adidas, tambahan diskaun 20-50% diberikan. Jadinya kedua-dua kedai ini memang menjadi kedai kegemaran kami petang itu.

Apa yang kami beli? Dengan tak sampai Euro 90, kami dapat beli 2 helai baju Adidas, 3 helai baju Nike, sepasang kasut Adidas, sehelai baju Daniel Hechter, satu botol air Nike, dan satu set booties untuk bakal anak saudara saya yang dijangka lahir Mei tahun depan. Mmm... agak lumayan dan berbaloi juga. InsyaAllah, jika ada masa dan duitnya, kami pasti ke sini lagi sebelum pulang ke Malaysia.
Kami pulang menaiki bas jam 3.30 petang. Jika terlewat, kami harus menunggu bas jam 5.30 pula. Jadi jika ingin ke sini, ialah dengan menaiki tren ke Rathaus Spandau kemudian naik bas M32 ke Dalgow Doberitz kuntuk ke Havel Park. Akhir sekali naik bas 663 Nauen ke Demex Park. Selamat bershopping dan jangan lupa jadual bas untuk pulang! Bas terakhir jam 7.30 malam.

20 Disember 2008

LEGOLAND Discovery Center, Berlin, Germany

Dalam sibuk dan penat dengan rumah baru, kami sempat lagi ke Legoland Discovery Center, Berlin di Sony Centre, Postdamer Platz semalam. Legoland ada di 4 buah negara iaitu di US, Denmark, UK dan German. Khabarnya Legoland akan dibuka di Malaysia di Wilayah Iskandar...betul ke? Kalau betul memang hebat Malaysia ye...
LegoLand ini sangat sesuai untuk anak-anak dalam mengembangkan bakat dan kreativiti membina struktur. Ada bengkel bagaimana membina sesuatu menggunakan Lego, simulasi membuat Lego, aktiviti membina Lego menggunakan pelbagai bentuk Lego dari yang terkecil separuh syiling 1 sen hinggalah lego terbesar macam bata. Bila dah membina, siap boleh buat ujian gegaran dan landasan menguji kereta.


Selain dari itu ada wayang 4D yang menayangkan cerita kartun Lego. Kami semua kagum dengan binaan-binaan dari Lego yang cukup kreatif (dari haiwan, bangunan, kenderaan hinggalah kepada manusia). Tapi memang memerlukan masa yang lama untuk anak-anak puas hati berada di sini. Berbaloilah dengan harga Euro14 untuk dewasa untuk sekali masuk..


Anak-anak nak pergi lagi kerana seronok sangat ke sana, tapi rasanya bagi saya, cukuplah sekali. Selain faktor harga tiket yang mahal tentulah kerana saya ini tidak kreatif dalam hal ehwal membina menggunakan Lego ini. Selalunya abang yang buat semua untuk budak-budak. Jadi semalam, kerana dia tiada (kena siapkan assignment), maka saya terpaksalah melayan budak-budak tu. Tapi saya memang tidak kreatif...

Jadi kalau kat Malaysia nanti dibuka LegoLand, ambillah peluang untuk merangsang imaginasi anak-anak anda!

17 Disember 2008

Rumah kecil kami yang baru II

Aktiviti kemas-mengemas bermula bila orang Ikea datang hantar barang pada petang Aidil Adha yang bersejarah. Sebenarnya kami mengharapkan agar barang-barang itu sampai pada hari Sabtu, 6 Disember sebelum sambutan Pra Aidil Adha di rumah kami itu tetapi rencana itu tidak kesampaian... Sudahnya pada hari Aidil Adha di saat rakyat Malaysia solat Aidil Adha dan menyambutnya dengan acara makan-makan yang panjang hingga ke malam, kami bertiga hanya duduk di rumah... Janji dengan Ikea jam 1.45 tgh tetapi kadang-kadang janji itu bukan boleh dipakai kerana mereka pernah buat rekod datang jam 8.00 pagi atau di saat kita tak bersedia menerima mereka kerana kita berada di tempat lain... Jadi untuk tidak menghuru-harakan Aidil Adha orang lain, maka kami duduk diam-diam saja di rumah....

Sampai saja barang-barang, saya termenung. Lampu bilik dan penyidai sudah selamat saya usahakan bersama Hardy. Bila buka saja meja studi dan rak TV terus saya surrender! Tengok skru macam-macam, dah tahu dah...kepakaran saya bukan di situ. Sudahnya bila abang balik jam 6.00 petang dari kuliah, kami memulakan aktiviti memasang semua barang-barang. Jam 12 tengah malam...barulah semuanya selesai....

Inilah hasilnya.... penat wo...


Ruang tamu


Dapur

bilik air paling best sebab ada bath tub... bilik studi

Inilah rumah kecil kami yang akan kami duduki insyaAllah sehingga Mac 2010 nanti. Jika ke Berlin, Jemputlah ke rumah!

16 Disember 2008

Shopping di Ikea, Spandau, Berlin

Ini kali kedua kami ke sini. Kami pertama kami sekadar meninjau-ninjau barang-barang yang perlu dibeli. Dan kali kedua baru kami betul-betul beli. 4 jam baru selesai membeli-belah tapi itupun tergesa-gesa dan rasa kurang selesa...Patut kami pergi awal-awal pagi tapi apakan daya, banyak sanagt urusannya pagi itu. Dapat kunci, bersihkan rumah sikit-sikit....membeli barang-barang untuk kenduri Aidil Adha, menunggu barang-barang elektrik sampai, mengemas sikit-sikit dan barulah sempat ke sana.... Kami tiba haripun dah gelap...dalam jam 5.00 petang. Janganlah kata kami ni banyak sangat duit hingga shopping barangpun dekat Ikea....Hakikatnya Ikea di sini hanyalah mall low cost....tak macam di Malaysia. kalau kat Malaysia dengar shopping kat Ikea saja, orang sudah kata banyak duit...sebab barangnya mahalkan...


Tak percaya? Tengok riset Ikea saya. Tengok harga barangnya.... Mana boleh dapat barang Ikea kat Malaysia dengan harga bawah RM1 kan....kalau ada pun ada la 1, 2...Kat sini banyak juga yang boleh dapat harga kurang Euro1. Agaknya sebab Sweden dekat dengan Jerman.... Dan tak payah nak terbang 14jam!

Tapi bila saya convert duit Malaysia, masih murah banyak di Ikea sini. Contohnya jag air yang saya beli di Ikea, Malaysia berharga RM9 sedangkan jag yang sama di sini harganya Euro0.59 dan bila dah convert tak sampai RM3.00.

Tapi murah-murahpun melayang juga Euro370 untuk semua barang-barang yang saya beli termasuk kos pengangkutan! Bila diconvert....rasa nak nangis.....Alahai rumah baru!

15 Disember 2008

Rumah kecil kami yang baru I

bilik studi

ruang tamu

koridor

Inilah rumah kami yang baru! Kosongkan? Itula.... kena banyak yang perlu dibuat untuk rumah ini...Hehehe duitpun habis banyak...



14 Disember 2008

Pengumuman tentang Khayal-khayal

Terima kasih Kay kerana bertanyakan tentang status blog http://khayal-khayal.blogspot.com yang tetiba hilang dari alam Siber ini. Blog merapu-rapan yang saya dijemput menyumbangkan tulisan tetapi akhirnya menjadi lebih kepada men'sumbang'kan tulisan....

Pada hari yang sama, moderator khayal-khayal Saudara Najwa Aiman telah menghantarkan emel kepada semua co-writer khayal-khayal untuk memberi penjelasan panjang lebar tentang penutupan blog itu yang telah berada di alam Siber semenjak 2005.

Alasan utama yang diberikan oleh blogger.com ialah terdapat ancaman virus pada blog tersebut. Jadi untuk mengelakkannya dari merebak, maka cara yang mereka lakukan adalah dengan menutup sementara blog terlibat. Tapi kebanyakan blog yang ditutup sementara itu nampak gayanya macam sementara untuk satu jangka masa yang tidak dapat dikenalpasti.

Jadi kesimpulannya?-Disebabkan khayal-khayal sudah ada pengikut sendiri (bukan ikuti tulisan saya, tulisan orang yang paling rajin menyumbanglah kat situ; Najwa Aiman) makanya menurut beliau kalau tak boleh retrive dia akan create blog baru tapi of course bukan menggunakan blogger.com.... Pengikut khayal-khayal boleh tunggukan saja khayal-khayal dengan wajah baru!

Suasana Krismas mula terasa di Berlin


Suasana nak menyambut Krismas sudah terasa di Berlin. Di mana-mana ada jualan Pra Krismas. Mulai 30 November lalu, Shopping Mall dibuka pada hari Ahad, dari pukul 1.00tgh hingga 6ptg (kalau hari biasa Ahad memang tutup). Jalan-jalan berhias indah. Shopping mall apatah lagi, macam-macam. Lihat saja kemeriahan di sekitar Kadewe.


Ini anak rusa Nani baru kembang ekor....


Ini kedai Louis Vuitton...berani amik gambar kat luar aje...hehe

Ini pokok krismas raksase...


Ini Hardy dan Hakimy dengan beruang kutub...entah kutub utara ke kutub selatan tak taula...sebab lupa nak tanya beruang tu... Hakimy...Why so serius???

13 Disember 2008

Tempat paling gumbira dikunjungi!




Kat Berlin ni ada banyak tempat menarik untuk dikunjungi, muziumla, tempat sejarah la, shopping mall la.... tapi dalam banyak-banyak tempat tu ada satu tempat yang saya paling gembira kalau pergi...kerana tempat itu mengingatkan saya pada tanahair tercinta....

Tempat tu bukannya tempat pelancong...tapi tempat nak beli barang mentah masakan. Jangan gelak kalau saya kata saya suka dan gembira berada di kedai Vinh-Loi; Asean Market!

Sebabnya? Ada banyak sebab. Saya ceritakan persekitarannya dulu... Masuk saja kedai tu, dah terbau macam kedai orang Cina (tapi baunya taklah yang sampai sakit hidung dan kita tak gamak nak masuk). Biasalah ada tokong Buddha dan barang-barang sembah tokong dia. Yang tu tak payah nak bagi kreditla tapi ia masih mengingatkan kita pada Malaysia...sebab banyak kedai Cina yang kita masuk kat Malaysia memang suasananya begitukan..

Saya paling suka sebab kat sini kebanyakan bahan masakan ada dijual! Jangan tak percaya, ada daun pisang, daun pandan, daun kari, daun laksa.... sayur pulak (takyah sebut kobis) ada kacang panjang, ubu kayu, petaipun ada juga kadang-kadang, kacang bendi... Buah pulak rambutan, longan dan kadang-kadang durian pun ada juga... Ikan...ikan frozenla, macam-macam ikan ada...ikan keli, ikan bilis, ikan merah semua ada... udang kering, udang harimau sumer ada...sotong ada... tauhu basah, tauhu kering semua ada...

Macam tu juga dengan bahan-bahan kering macam rempah-ratus, santan dan sos serta kicap... Carilah yang ada bertanda halal yang dikeluarkan dari Thailand mahupun Indonesia dan Malaysia...

Di sana juga boleh jumpa dengan orang serumpun dengan kita, orang Asia tak kiralah dari negara mana mereka datang... Saya pernah terjumpa dengan seorang pakcik yang sudah menetap di Jerman selama 40 tahun yang berasal dari Sabah... Mungkin kerana komuniti orang Malaysia yang boleh kata boleh dikira dengan jari (hanya mutahir ini kerajaan hantar ramai pelajar kat sini) maka pakcik tu berkawan dengan komuniti Indonesia yang sememangnya ramai di sini. Sila ambil nota bahawa orang Indonesia di sini tidak seperti orang Indonesia di Malaysia. Di sini jika bukan pelajar mereka adalah golongan profesional seperti doktor dan usahawan yang zillion ruppiahnya.... Mamat Indonesia kat sini juga mukanya boleh tahan...macam hero-hero dalam filem depa...

Oh saya sudah melalut dari tujuan asal....

Pendek kata kalau dah tak tau nak buat apa kat Berlin ni....pergi bershopping kat Vinh-Loi memang melegakan!

11 Disember 2008

Sambutan Aidil Adha di rumah kecil kami

Beginilah suasana sambutan Aidil Adha, masuk ke rumah baru dan parti hari jadi di rumah kecil kami yang baru di Willdernowsrtasse, Berlin. Majlis ini dibuat sehari lebih awal dari tarikh sebenar Aidil Adha kerana hari raya jatuh pada hari Isnin. Ramai yang tidak dapat hadir atas komitmen kuliah dan kerja. Jadi 7 Disember dipilih berdasarkan kelapangan semua orang di sini...

acara bergambar sebelum makan

budak-budak juga ada acara sendiri, main dan tengok CD

inilah juadah hari raya kami; nasi tomato, laksa Terengganu, kuih-muih

ayam masak merah dan rendang daging kawah

Inilah kami semua....ramaikan....

Gambar kat bawah ni pulak, persiapan kenduri kami...

10 Disember 2008

Blog Tergendala! Pindah Rumah Baru

Blog ini mungkin akan tergendala sebentar kerana saya akan berpindah pada 12 Disember ini dan di rumah baru itu kemudahan internet mungkin mengambil sedikit masa untuk beroperasi. Sehingga itu, saya tinggalkan anda dengan beberapa entri yang sudah saya upload awal-awal bagi menghadapi saat-saat ini. Jangan lupa tinggalkan pesanan di shout box, InsyaAllah saya akan menjenguknya jika saya berpeluang mengadap komputer dengan internet.... Saya pasti merindukan anda! Tcuss!

Penyapu Jerman

Ada ka patut depa bagi saya penyapu yang camgitu? Rumah kecil kami sekalipun tak besar, ada 2 bilik dan 1 dapur yang harus disapu selalu. Sakit pinggang juga kalau dalam tempoh 2 bulan ini saya menyapu begini. Ada juga hajat nak membeli penyapu yang lebih tinggi atau vacum cleaner tapi mengingatkan diri yang saya harus berpindah nanti, maka dibatalkan saja niat nan suci murni itu... Tak tergamak rasanya membawa penyapu masuk dalam bas atau tren. Sudahnya... penyapu itu jugalah yang menjadi peneman walaupun mulut dok membebel sebab sakit pinggang dan marahkan budak-budak sebab makan biskut bersepah-sepah...

08 Disember 2008

Selamat Hari Raya AidilAdha

Biar lembu jadi korban...jangan kita yang terkorban...berhati-hati pulang ke kampung halaman...

Kesempatan ini saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut AidilAdha 1429H. Kami akan menyambut hari raya Qurban di Berlin pada hari ini 8 Disember 2008 sama dengan orang-orang di Malaysia, InsyaAllah. Sambutan kali ini dibuat di rumah kecil kami yang baru. Memandangkan semua sibuk dengan kuliah, maka sambutannya dibuat sehari lebih awal. Sehingga berjumpa lagi dan selamat menghayati Qurban....

06 Disember 2008

Cinta Pandang Kedua yang Menduga!

Manuskrip novel keempat saya ini memang betul-betul menduga kesabaran! Bukan setakat dua kali pandang, sampai dah berkali-kali pandang tapi masih tidak puas hati hingga leher ni terkehel-kehel dibuatnya...

Manuskrip itu sudah 4 kali dirombak....tapi masih tidak puas hati lagi.

Manuskrip itu sudah ada 1 ending tapi 3 pilihan sub ending....

Saya termenung depan komputer....Mmm... selagi tak dapat keputusan rasanya kat mukasurat 60 tu jela sampai ke sudah....

04 Disember 2008

Surat Wasiat...

Azan Maghrib telah berkumandang di bumi Berlin. Saya baru sudah menamatkan sebuah surat wasiat dari seorang teman untuk kekasih yang dicintainya... Semoga tulisanku membawa kebaikan pada dirinya dan kekasih hatinya...Amin.

Spoiler Alert! Saat Kau Hadir Patut Ada Ending Lain...


Gambar ihsan dari Junaidix sempena soft launch SKH 1 November lalu

Hehehe... Semasa saya membaca emel dari seorang pembaca SKH yang tajuk emelnya SKH: Olahan dan Komentar, saya senyum saja. Sebelumnya beliau sudah meninggalkan mesej di Shot Box saya untuk menghantar komen yang lebih details nanti. Memang dia menunaikan janjinya. Komentar sebanyak 4 mukasurat itu begitu teliti; dari jalan cerita hinggalah kepada wataknya...Wah! Kira dia ni pun boleh jadi penulis juga rupanya.

Saya kira kerana terlalu panjangnya komentar dia, saya hanya dapat menyiarkan di sini cadangan Tok Lijah (nick dia) tentang penamat SKH mengikut imaginasinya yang liar itu....Hehehe (jangan silap tanggapan, saya selalu menggunakan istilah itu untuk menggambarkan imaginasi di luar kotak pemikiran yang biasa).

Begini kata Tok Lijah....(sebelum membaca lebih jauh, sila simpan dalam kepala yang Tok Lijah tidak suka jodoh yang saya tulis untuk Eliana. Ada alasan yang dia bagi...)

Boleh matikan watak Imran dengan memasukkan insiden beliau hilang di Naratiwat semasa misi keamanan PBB. Eliana kecewa lalu membawa diri ke luar negara. Ketika di sana Eliana kembali bertemu Amri yang menjadi agen rahsia FBI. Lalu cinta mereka kembali bertaut.

Namun tidak lama lepas itu, mereka terserempak dengan seorang tukang sapu di sebuah stadium yang ada iras-iras Imran. Rupanya Imran masih hidup dan telah menjadi agen rahsia untuk misi menangkap Amri yang berjaya lari keluar dari Malaysia.

Eliana kembali keliru... Siapakah yang harus dipilihnya....

Amboi Tok Lijah.... kalau panjang macam tu...bila novel ni nak habis? Hehehe agaknya Tok Lijah minta saya sambung cerita Eliana-Amri dalam novel seterusnya... Apapun...terima kasih kerana sudi membaca SKH. Terima kasih kerana sudi menghantar Olahan dan Komentar.... Saya sangat-sangat menghargainya....Terima kasih daun keladi.....

ps: Tok Lijah, 'imaginasi liar' tu boleh ke saya dapatkan khidmatnya nanti bila diperlukan? Hehehe

Lagu Cinta

Saya suka mendengar lagu... Kira hobi jugak ni. dari sekolah dulu kalau buat homework mesti nak dengar radio... Biasalah tu kan hobi macam orang lainla juga, tak de la pelik sangat. Sampai sekarang, hobi itu terbawa-bawa semasa saya menulis. Biasa saya akan pilih satu atau dua lagu yang saya rasa bersesuaian dengan novel yang saya tulis. Lagu itu akan saya ulang-ulang berkali-kali hingga saya hafal liriknya juga moodnya. Kira bukan layan saja-saja. Dengar lagu dan tangan saya akan mula menaip...




Kenapa saya suka memasukkan lagu cinta dalam novel? Bagi saya novel pun macam filem juga, perlu ada sountracknya atau dalam bahasa Melayu runut bunyi... Bagi saya, setiap orang pasti ada lagu cinta mereka sendiri, betul tak? Setiap lagu cinta ada kisahnya yang tersendiri. Kita sering hendak mengaitkan cinta kita dengan sesebuah lagu...Jadi sudah pastinya dalam novel cinta mesti ada lagu cinta... (untuk sayalah)...

Semasa saya menulis Asmara Asrama saya memilih lagu Anuar Zain; Semua Untukmu yang dinyanyikan berduet oleh Fareez dan Suzana. Memandangkan novel itu novel humor, komedi romantik maka saya buat scene mereka menyanyikan lagu itu berduet bagi menyampaikan rasa cinta. Saya juga memasukkan lagu Accidentally In Love nyanyian Counting Crows yang saya angkat dari cerita Shrek. Saya menyamakan perasaan Fareez yang menyamakan dirinya dengan Shrek (makhluk yang kotor, yang tinggal di dalam paya) yang tidak boleh digandingkan dengan Princess Fiona. Dia merasakan dirinya terlalu kerdil (rendah diri) jika hendak dibandingkan dengan Suzana.


Dalam novel saya yang kedua, saya memilih lagu Gerimis Mengundang nyanyian Kumpulan Slam sebagai lagu cinta dalam novel itu. Ketika itu Zuhairee terkenangkan Asyikin, cinta pertama yang tidak boleh dilupakan. Walau Asyikin sudah berkahwin, dia tidak sekali-kali hilang semangat untuk terus menunggu Asyikin kembali kepadanya. Rasa bersalahnya pada Asyikin membuatnya nekad untuk terus membujang sehingga ke akhir hayat.


Bagaimana dengan novel terbaru saya Saat Kau Hadir? Saya memilih lagu dangdut Amelina & Syeeda; Secangkir Madu Merah di permulaan cerita. Kerana situasi pertemuan antara Amri dan Eliana yang agak lucu, jadi saya memilih lagu itu. Bagi saya peminat dangdut di Malaysia tidak ramai, terutamanya yang tegar seperti kawan saya Marfuza. Dia paling suka dengar lagu dangdut sedangkan usianya muda...itu sesuatu yang pelik dan lucu bagi saya sebab orangmuda biasa tentu gemar hip hop, atau paling kurang pop. Saya tidak sampai hati memasukkan lagu Goyang Gerudi Inul Darasista dalam novel itu. Lalu saya memilih lagu ratu dangdut kita yang tiada penggantinya sehingga kini, Amelina.

Lagu Keris Patih; Tapi Bukan Aku dipilih kerana lirik lagu itu bersesuaian sangat dengan perasaan Imran yang terluka dengan sikap Eliana yang acuh tak acuh kepadanya. Konon-konon keputusan telah dibuat, dan biarlah Eliana bahagia dengan hidupnya....

Waktu ini, saya sedang melayan lagu Rossa; Kau Bukan Untukku.... Syahdu syahdan lagunya. Bahagian yang paling saya suka bila dia kata, 'meskiku memohon dan meminta hatimu... jangan pernah tinggalkan dirinya... untuk diriku....' Mmm... pastinya ada kaitan dengan manuskrip saya yang sedang saya hadap itu... Macam mana perasaan Rossa ketika menyanyikan lagu itu? Saya sedang cuba menyelaminya...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...