Memaparkan catatan dengan label Hariz Hakimy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hariz Hakimy. Papar semua catatan

02 Mac 2011

Sekitar percutian ke Genting Highlands 2011

Sempena hari jadi Kimy ke 5, kami sempat ke Genting. Walaupun dah beberapa kali pergi tapi kerana hari jadi Kimy, kami pergi lagi. Almaklum, tempat terdekat di KL yang mudah nak pergi. Kami sempat mengidnap di Genting semalam. Namun hasrat nak main outdoor game tergendala kerana cuaca sangat sejuk menyebabkan outdoor theme park ditutup. Jadinya tiket yang sudah dibeli secara online untuk 3 dewasa dan 2 kanak2 itu sia-sialah. Walaupun boleh ditukar ke indoor tetapi memang rugi kerana tiket  kami dah beli/main indoor game semalam sepuas-puasnya. Nak tak nak terpaksalah kami main lagi sampai nak termuntah. Game yang Kimy dan Hardy paling suka, kereta bumper. Disebabkan outdoor ditutup, maka orangpun ramai menyebabkan masa menunggu satu-satu permainan itu begitu lama. 











Kesimpulan yang boleh dibuat, lain kali beli tiket outdoor jangan online sebab bila hari hujan, theme park tutup dah rugi sebab tiket tak boleh dikembalikan. Teruk betul! Saya rasa Genting perlu mencari tarikan baru sebab kebanyakannya adalah tarikan lama. Bagi pengunjung yang sudah kerap ke sana, seolah-olah tiada lagi rasa thrill!

Inilah gambar kami sekeluarga yang sempat dirakam. Selamat hari jadi Kimy ke 5! Enjoy!

20 Februari 2011

Selamat Hari Lahir ke 5 Hariz Hakimy

Hari lahir Hakimy ke 5 disambut sederhana di rumah kami dengan kehadiran kaum kerabat kami yang terdekat pada 30 Januari 2011 yang lalu. Tahun ini Hakimy nampak matang sikit berbanding tahun sebelumnya. Dia sudah faham kenapa dia harus pergi ke sekolah dan membuat kerja rumah, tak macam tahun lepas di mana dia berhenti sekolah tadika separuh jalan. Kata cikgunya dia duduk di tepi pintu saja. Alhamdulillah positif perkembangan terbaru ini cuma Hakimy masih gembeng peyek....hahaha suka benar menangis kalau apa yang dia nak tak dapat ataupun abang tak nak kawan. Harapnya tahun-tahun mendatang, Hakimy akan bertambah matang.

Tahun ni kami hadiahkan Hakimy percutian ke Genting Highlands sempena hari lahirnya. Nanti saya upload gambar kami di sana. Makanan dan kek hari lahir pula Pak Lang yang taja. Alhamdulillah murah rezeki anak teruna saya yang sangat manja ini. Semoga membesar menjadi anak yang soleh dan hamba Allah yang taat. Amin!

24 Oktober 2010

Anak gadisku dan Ultraman

Ultraman sudah menjadi hero dari zaman dolu-dolu sampailah zaman anak-anak kita sekarang. Entah dah berapa keturunan dah ultraman ni....dah jadi lagenda. Ultraman ni dah jadi hero kesayangan tak kira bangsa. Baru-baru ni saya sempat bawa 2 anak teruna saya ke sesi Ultraman bertemu Peminat, kali ini di The Mines, Seri Kembangan. Disebabkan sudah banyak sangat kali bergambar dengan Ultraman, saya awal-awal lagi pesan dengan 2 jejaka tu supaya tengok aje tapi x nak bergambar. Bukannya apa, barisan peminat Ultraman itu terlalulah panjangnya.

Tengahari itu kami sampai awal, jam 12.00 tgh seperti yang dijadualkan tetapi sakit hati sebab tidak diberitahu yang Ultraman hanya akan muncul jam 2.00 ptg. Jenuhlah kami menunggu disajikan dengan lagu-lagu persembahan kanak-kanak Cina. Penganjur memang tidak sensitif dengan keperluan peminta Ultraman berbangsa selain Cina yang memang ramai kat depan pentas tu. Sudahlah persembahannya dalam bahasa Cina, patutnya pengacaranya cakaplah bahasa Melayu juga tapi cakap Cina dan bahasa Inggeris. Saya bukannya anti perkauman tetapi saya hairan dengan ketidakpekaan penganjur kepada saranan PM Najib yang mahukan konsep 1 Malaysia. Mujurlah pengacara di acara kemuncak ada bertutur dalam bahasa Melayu juga berselang-seli dengan bahasa Inggeris. Cukup saya tak faham. Agaknya inilah kali terakhir saya bawa budak-budak ni bertemu Ultraman. Nak boikot!

Bercerita pasal Ultraman, Hana di rumah juga sudah mula berjinak-jinak dengan Ultraman disebabkan abang-abangnya suka Ultraman. Hehehee....saya kena lakukan sesuatu ni....kena bagi benda lain ni....Takut anak gadis saya jadi Ultrawomen plak nanti...hehehehe

01 Februari 2010

30 Januari 2010- Hari Jadi Hariz Hakimy

Tahun ini tahun kedua Hakimy menyambut harijadinya di Berlin. Semasa meninggalkan Malaysia dia baru berumur 2 tahun 8 bulan dan pulangnya nanti umurnya sudah 4 tahun 4 bulan....terasa macam kejap saja masa berlalu...teruna saya yang dulunya saya dukung ke mana-mana kini sudah besar; pasti nenek, atuk, maktuk dan wan terkejut tengok Hakimy nanti.


Hakimy dengan hadiah 'misteri' . Belum buka dah tau dah ni sebab abah dah bagitau awal-awal. Balut tu saja je nak bagi thrill...hehehe. Kimy nak tengok je....kata Kimy

Hakimy ni kareaktor dia macam saya juga...Hehehe...kalau dapat bercakap memang tak reti berhenti. Betullah kata orang tua-tua, kalau rupa macam mak, perangai macam ayah. Kalau rupa macam ayah, perangai macam mak. Jadi Hardy rupa macam saya, perangainya macam abahlah....tak banyak bercakap kecuali dengan orang yang rapat...Hakimy pulak, kalau tak kenal memang dia segan, tapi kalau dah kenal....siaplah...sampai tak larat nak melayan dia...Hana macam siapa? Kata Kak Mahizah (teman di Berlin), Hana ni kecil-kecil dah ada karektor lawak...hehehe...ikut siapa tu ek?


3 permata hati saya yang melengkapkan hidup saya di perantauan...(Hariz Hakimy Fadly 4 tahun, Hardy Zahidy Fadly, 9 tahun dan Hana Nurein Fadly, 5 bulan)



Rakaman lensa Hakimy sedang 'mamam' donut dan syiling 'gabak'

Hakimy lahir selepas Hardy 5 tahun. Jadi memang kehadirannya sangat-sangat kami nantikan. Ada cerita di sebalik kelahirannya yang begitu istimewa pada saya...


tomyam hidangan birthday Hakimy tengahari itu di restoren Thai, di Alexa


abang Long turut teruja...

hadiah dari mama dan abah....senyum sampai telinga

Tahun ini kami sambut harijadinya dengan sangat sederhana. Bawa dia makan-makan dan jalan-jalan di Alexa. Sementelah cuaca sejuk dan waktu kritikal abang dengan tesis membuatkan rancangan kami untuk ke mana-mana ditangguhkan buat seketika. Apapun Hakimy gembira dengan hadiahnya dan tahu dia sudah 4 tahun....Selamat ulangtahun Hakimy! Moga jadi anak yang soleh....

30 Januari 2010

Hana sudah 5 bulan....

Hana saya dah 5 bulan hari ini....Semakin tembam, semakin bulat. Belum ada tanda dia nak meniarap mungkin sebab badannya berat. Tapi kalau duduk, memang nak bangun sendiri hingga saya terpaksa memakaikan dia tali pinggang keselamatan semasa di dalam buaiannya... Kata Kak, Su anaknya dulu tidak meniarap tetapi boleh terus berjalan tak sampai setahun... Jadi saya harap Hana saya juga begitu...

Hana saya sudah mula makan pada 17 Januari lalu(sempena harijadi mak). Mulanya saya nak tunggu sampai 6 bulan tapi bila Hana asyik merengek dan tidak boleh lena tidur malam hingga saya terpaksa berjaga (pernah hingga 9 pagi esoknya baru dia boleh tidur), jadi saya beri dia makan. Alhamdulillah, kini tidurnya semakin nyenyak...perut dah kenyang....hehehe...semakin gendutlah anak dara saya ni...

Lihatlah gambar-gambar yang dirakam oleh Hakimy. Aksi-aksi Hana ini Hakimy yang ambil..katanya nak jadi photographer bila besar nanti... Amacam? Boleh tahan tak budak 4 tahun ni ambil gambar?






Semoga Hana sihat-sihat selalu. Biarlah tembampun...mama suka...ehhhee

19 Oktober 2009

Buaian

Saya memang tak berapa gemar dengan buaian untuk anak kecil. Kenapa? Semasa saya kecil, sebagai anak yang paling sulung, pastinya saya kena membantu ibu menjaga adik-adik. Paling saya tidak suka tentulah mengenjut buaian adik. Penat betul tangan mengenjut buaian adik untuk menidurkannya. Kadang-kadang memakan masa berjam juga jika angin adik tidak berapa baik hari itu (rasanya Azham lagi susah hendak ditidurkan dari Hafis). Penat tangan mengenjut buaian berspring itu hinggakan kadang-kadang memang angin kerana dalam kepala hendak ikut kawan-kawan bermain tetapi kena pula membantu ibu mengenjut buaian. Sudahnya buaian itu dihenjut berkadar langsung dengan emosi marah... Mujurlah di bawah kepala adik diletak bantal. Jadi kalau saya henjut kuat, tak adalah terkena lantai.

Semasa Hardy merengek-rengek payah nak tidur, mak terus saja minta abah beli tali hendak buat buaian katanya. Tali rafia disangkut dengan spring buaian peninggalan adik bongsu saya (mak saya memang cermat menyimpan barang-barang lama). Bergoyang-goyang alang rumah menyangga berat Hardy dan diapun sedap tidur. Mak saya tersengih-sengih seronok kerana cucunya tidaklah menangis lagi. Sambil menidurkan Hardy mak mengasah bakat menyanyi...menidurkan cucunya dengan lagu turun-temurun kami kecil dahulu.

Tapi satu masalah besar timbul. Bila nak tidur aje, Hardy mesti nak buaian. Bila tak ada buaian Hardy susah nak tidur. Hardy dan buaian sentiasa berkadar langsung. Memang tak boleh dipisahkan. Bila dalam perjalanan jauh berkereta memang menyusahkan. Kalau kereta bergerak tidak mengapa. Tapi kalau kereta berhenti kerana lampu isyarat, terpaksalah mak dia ni menghenjut kereta supaya bergoyang...hahaha memang pengalaman melucukan. Mujurlah masa itu kereta kami hanya kereta kancil. Goyang sikit dah bergerak. Masa tu dah tak kisah orang kiri kanan asyik menoleh asalkan anak yang sedang dikendong berhenti menangis.
Kalau berjalan ke mana-mana memang kami akan bawa buaian sementelah buaian spring itu bukanlah berat sangat. Masuk dalam beg tak siapa perasan. Ia memang sudah menjadi keperluan kepada kami masa itu. Teringat semasa menginap di hotel disebabkan tiada alang maka kami menggantung buaian menggunakan alang di dalam almari....Kenangan itu memang melucukan tetapi ia mengingatkan kami berdua supaya selepas ini jangan cari pasal membiasakan anak kecil dengan buaian.

Bila Hakimy lahir, saat mak menyarankan saya memasukkannya ke dalam buaian, awal-awal lagi saya sudah angkat tangan untuk membangkang. Pengalaman dengan Hardy membuatkan saya mahu mengelakkannya berulang kembali. Lalu Hakimy hanya dikendong walau sekuat mana dia menangis. Alhamdulillah Hakimy tak memerlukan buaian untuk tidur sampailah ke besar. Letaklah di mana-mana dia akan terlelap lena.

Saat Hana lahir, saya memang tidak mahu meletakkan dia di dalam buaian. Tetapi si kecil Hana ini asyik mahu dipeluk (mungkin kerana lepas lahir terus diletak dalam dakapan ibu) maka dia mahu saya sentiasa ada memeluk dia. Masalahnya ibunya ini manusia biasa. Ada kala hendak ke tandas, ada masa hendak mengisi perut dan banyak kali terlelap tatkala menggendong dia.

Nak selesaikan masalah rasanya kami terpaksalah mengalah. Kenalah juga nampaknya dicarikan buaian. Nak beli buaian spring memang tak ada dijual di sini. Sementelah mana nak dicari alang pada rumah zaman perang ni. Nak dipos dari Malaysia? Gurau saya pada teman yang mencadang, lebih baik minta pos lemang dari buaian. Alhamdulillah terima kasih lagi kepada ebay. Inilah buaian Hana yang abahnya beli beberapa minggu lepas. Berjaya juga Hana 'berpisah' sebentar dari ibunya.

lena diulit mimpi...buaian automatik tak perlu dihenjut tangan lagi

ada muzik jadi maknya tak payahlah mengasah bakat menyanyi.... ada lampu kelip-kelip juga dan ianya boleh dilipat untuk dibawa ke mana-mana



tali pinggang keselamatan untuk mengelakkan Hana jatuh semasa mengeliat...haha

Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya orang-orang tua dulu boleh terfikir nak masukkan bayi ke dalam buaian untuk melenakannya? Sambil menulis, saya garu kepala.

31 Januari 2009

Hakimy 3 Jahre Alt

Hari ini 30 Januari 2009, hari jadi Hakimy ke 3. Istimewanya ia disambut jauh dari Malaysia. Dan Hakimy akan sambut hari jadinya lagi di Berlin pada tahun depan InsyaAllah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami hanya menyambut hari jadi Hakimy di rumah bersama-sama. Inilah parti hari jadi Hakimy....


Hariz Hakimy Fadly... lahir pada 30 Januari 2006 pada jam 12.45 malam. Saya tidak menjangka dia akan menjadi bayi pramatang kerana lahir pada minggu ke 34. Saya dimasukkan ke wad selama seminggu kerana kontraksi awal, dicucuk peha kiri dan kanan untuk mematangkan paru-paru bayi. Doktor beri saya ubat untuk melewatkan kelahirannya biar cukup 35 minggu tapi dia hendak lahir juga. Alhamdulillah beratnya melebihi 2.5 kg, jadi tidak perlu dimasukkan ke inkubator.

Dia tidak setakat mengejutkan saya dengan lahir pramatang tetapi perkara yang paling mengejutkan saya ialah bila mendapat tahu kedudukannya songsang pada minggu ke 33! Semasa saya keluar wad, doktor tidak memaklumkan saya, yang saya berkemungkinan akan melahirkannya melalui Casearian. Lalu pada 29 Januari semasa saya sudah tidak tahan kontraksi (doktor pesan jika saya sudah sakit 2 kali dalam masa 5 minit baru ke hospital) jam 7 malam, saya langsung tidak menjangka saya akan melalui satu pembedahan!
Semasa dibawa ke wad kecemasan di Hospital Putrajaya, saya terus diasak doktor bertugas; mengapa saya datang lambat, mengapa tak puasa....sedangkan hakikatnya saya tidak tahu saya akan dibedah! Saya terkedang di katil merelakan diri disuntik dan macam-macam lagi;keadaannya betul-betul dalam kecemasan kerana doktor kata sudah tidak punya masa lagi. Semuanya harus pantas kerana rahim sudah terbuka 5cm tetapi bayi tidak boleh keluar secara normal....
Ketika itu jika Tuhan mengambil nyawa saya, saya tidak sempat untuk bersalam dengan ibu, tak sempat hendak meminta doa dan restunya, nak minta ampun atas semua dosa-dosa saya padanya.... Dan saya tidak berkesempatan menatap wajah suami untuk memohon redhanya pada hembusan nafas saya yang terakhir....
Anak bertuah saya ini sudah 3 tahun hari ini.... Terasa peristiwa itu macam baru semalam berlaku. Rupanya hikmah di sebalik kelahirannya yang pramatang...dia ingin memberi peluang kepada abangnya Hardy untuk dibedah di IJN. Kerana saya sudah menolak satu slot waktu pembedahan untuk Hardy kerana waktu itu saya sedang mengandungkan Hakimy. Hardy selamat dibedah semasa Hakimy berusia 2 bulan lebih. Jika dia lahir pada 5 Mac (saya berangan sebelumnya dia dapat lahir pada hari jadi saya yang ke 29 pada 4 Mac)... ketika itu dia baru berusia sebulan.... kerana pembedahan Hardy tidak boleh ditangguhkan untuk kali kedua.
Kerana itulah anak ini saya namakan Hariz Hakimy....yang bermaksud pelindung yang bijaksana...
Selamat Hari Jadi ke 3! Semoga terus menjadi anak yang soleh dan bijaksana.

24 Oktober 2008

Dua Wajah Berbeza

Gaya santai anak bujang saya. Macam tak de apa masalah je...


Memang ada gaya orang sakit.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Franfurt malam itu memang memberi dua cerita berbeza. Buat si abang, perjalanan ini begitu mengembirakan. Dia betul-betul menikmati layanan yang disajikan di koc kelas perniagaan itu. Makan, main games, tengok movie dan tidur sedap.

Buat si adik yang kebetulan demam, malam itu memang dia buat perangai. Sekejap-sekejap dia terjaga. Mengiring salah, meniarap lagi tak kena. Akhirnya dia hanya lena betul-betul pada 1 jam terakhir perjalanan 12 jam itu. Itupun sebelum boleh diletakkan di kerusi, dia hendak tidur di atas dada abah atau mamanya. Kami bergilir-gilir menjaganya.
Tapi saya harus berikan pujian kepada krew MAS yang begitu prihatin kepada Hakimy. Sekejap-sekejap datang bertanyakan khabar. Tuala di dahi Hakimy sentiasa digantikan dengan yang baru beberapa jam sekali. Siap bagi panadol lagi (sebab ubat di dalam kargo). Mereka menawarkan pertolongan semasa mendarat di Frankfurt untuk membawa Hakimy ke farmasi tetapi kami menolaknya (atas sebab yang tidak dapat kami nyatakan di sini). Terima kasih atas layanan dan keprihatinan anda!
Kami mengucapkan syukur kerana sebaik mendarat di Frankfurt, Hakimy sudah kembali ceria. Sepertinya malam tadi itu tiada apa-apa yang telah berlaku dan langsung tidak mengganggu istirehat mama dan abahnya.... Saya dan abang tersenyum. Memandang mereka walau penat bagaimanapun tubuh, terasa bahagia....merekalah penyejuk mata, penenang jiwa...

10 Jun 2008

Pertandingan Mewarna Hakimy yang Pertama

Jeng..jeng...jeng... inilah hasilnya selepas puas bertungkus-lumus selama 15 minit! Hasil tangan umur 2 setengah tahun...Tak cukup di depan, di belakangpun berconteng....

08 Jun 2008

Kungfu Panda Mania!

Panda yang boleh berkungfu.... cerita ni memang kelakar. Boleh release tension...
Hardy dan Hariz menyertai pertandingan mewarna Kungfu Panda
Suasana meriah di Mid Valley sempena Kungfu Panda
Panda menunjukkan skil berkungfu dan menari
Sempat bergambar dengan hero ni

Sabtu lepas saya dan keluarga menghabiskan masa separuh hari di Mid Valley semata-mata untuk bertemu hero Kungfu Panda. Kami tiba awal pagi 10.45 pagi untuk menyertai pertandingan mewarna. Seramai 22 orang kanak-kanak menyertainya. Dari pemerhatian saya majoriti (15) adalah kaum Cina, 5 Melayu dan hanya 2 India. Mereka bersedia dengan peralatan mewarna dan ada juga yang bawa meja sekali. Begitu bersemangatnya ibubapa membawa anak-anak menyertai pertandingan dan memberi sokongan moral kepada anak-anak ini. Awal-awal lagi, saya memang tidak meletakkan harapan untuk menang. Sekadar suka-suka. Bak kata seorang kakak, "tak apa, beri pendedahan" apabila saya mengatakan Hariz ikut sibuk mewarna, hanya menyonteng saja (aksi Hariz mencuit hati beberapa penonton, mungkin sebab dia antara peserta terkecil).
Habis mewarna, kami melihat aksi silap mata dan pertunjukan kungfu dan tarian si Hero, Panda. Lepas bergambar kami menghabiskan masa menonton Kungfu Panda. Satu hari indah yang penuh memori dengan Panda!

04 Jun 2008

Bertemu Ultraman




Cuti sekolah ini, mak budak dah jadi tak berapa mak budak. Dah serupa aje mak dengan anak... Tak percaya tengoklah gambar-gambar ni....


Bersama Ultraman Max dan Raksasa di Jusco Cheras Selatan pada 24 Mei 2008



Bersama Ultraman Nexus di Sg. Wang Plaza pada 31 Mei 2008


Anak-nak saya memang gemarkan Ultraman. Hero mereka. Dan ultraman boleh jadi duta keamanan kerana ia tidak mengenal sempadan agama, bangsa juga negara. Peminat Ultraman merata di seluruh dunia walaupun ia hanya boleh menjadi hero di Jepun sahaja.... kerana raksasa hanya ada di Jepun!


Dulu-dulu Hardy lebih gemarkan raksasa dari Ultraman... Pelik, yang kita tak suka yang itulah yang dia suka....tapi bila difikirkan kembali, kalau semua orang suka tengok Ultraman siapa pula yang nak tengok Raksasa. Dia pernah menangis hanya kerana raksasanya kalah pada Ultraman.


Di rumah, ada macam-macam Ultraman. Masa keluar dengan Lynn Dayana, dia pun naik sama hairan sebab seperti saya, dia hanya tahu Ultraman aje...tak sangka Ultraman ada banyak...malah Ultraman perempuan pun ada... Minat Hardy menjangkit pada Hariz. Tanyalah pada dia nama Ultraman semua dia tahu....Ini Ultraman Max, Leo, Tiga, Tiga Dark, Nexus, Gaia, Dyna dan entah bermacam mak nenek Ultraman lagi... Kalau dikira jumlah RM yang dilaburkan membeli koleksi patung dan VCD, rasanya memang cukup tambang Ultraman nak datang ke Malaysia lagi cuti sekolah nanti....

26 April 2008

Pertama kali bergelap



Kasihan! Itu perkataan yang paling sesuai digambarkan kepada anak-anak saya yang pertama kali merasa pengalaman bergelap kerana tiada elektrik di Bandar Seri Putra pada hari Isnin 21 April lalu. Bukan tidak pernah bergelap bagi Hardy sebab sebelum ini kami tinggal di Putrajaya. Di sana kalau tiada elektrik, hanya 10 minit ataupun kami diberitahu melalui surat awal-awal lagi. Jadi penduduk sudah sedia dan biasanya bila tiada elektrik kami keluar sehinggalah elektrik ada semula.
Berbeza di sini, kami menjadi penduduk biasa lain, tidak seperti bandar elit Putrajaya yang segalanya pantas dan efisien itu. Jadi anak-anak saya terpaksa bergelap dalam tempoh masa yang agak lama (dari jam 6.30 hingga hampir 9.40 malam!).

Saya tergelak tengok anak-anak yang berpeluh macam orang main bola kat padang walau hanya 10 minit berpanas. Tingkap dan pintu yang terbuka menyebabkan namuk masuk dan mereka mengadu sakit kena gigit nyamuk.

Terkenang zaman kanak-kanak saya dulu yang memang tiada bekalan elektrik. Berlilin dan berpelita sudah jadi perkara biasa. Hingga terbakar leher (masih ada kesan sampai ke hari ini) dan lubang hidung berjelaga kena asap pelita. Tiada istilah panas sebab memang hari-hari tak pernah ada kipas angin apatah lagi air-cond (dalam mimpi pun tak pernah masuk, nak merasa nyamannya air-cond). Paling boleh dibuat kipas kertas!
Saya memang kesian tengok anak-anak saya. Terlalu manja dan mewah rasanya. Hinggakan bila tiada elektrik beberapa jam sudah huru-hara. Rasanya anak-anak anda begitu juga. Agaknya kalau tiba-tiba negara kita kena serang tengah malam buta, bekalan elektrik terputus, bagaimana anak-anak kita menangani krisis jika tiada elektrik sekejap dah huru-hara begitu? Minta dijauhkan bala itu!

04 April 2008

first day @ school Hakimy



Umur 2 tahun Hakimy dah ke sekolah... Kesian dia tapi apakan daya, ibunya bekerja. Hakimy mulai ke sekolah minggu lepas. Gambar-gambar ini saya rakam secara senyap. InsyaAllah tak lama sayang.... Lima bulan lagi, mama akan sentiasa ada di sisi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...