03 September 2014

Pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET; SIRI PERTAMA- TERIMA KASIH SEMUA!

Berikut adalah ucapan penghargaan saya kepada semua yang telah menyokong kerjaya penulisan Laila Kamilia sempena pelancaran novel ke-5 C1NT4 TOP SECRET pada 30 Ogos 2014 di SMK Seri Perak (SEMARAK), Teluk Intan, Perak di sambutan Jubli Emas 50 Tahun SEMARAK. Kalau boleh saya nak sebutkan semua nama satu-persatu namun tak berkesempatan. Terima kasih semua! Semoga ALLAH membalasnya dengan kebaikan yang lebih lagi. Laila Kamilia sayang kamu semua!

Sinar Harian 31/8/14 sempena pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET di sambutan 50 Tahun SEMARAK, Teluk Intan, Perak pada 30/8/14

"Saya ingin merakam penghargaan yang tidak terhingga kepada Yang Berusaha Tuan Haji Masri, Pengetua SEMARAK kerana memberi peluang kepada seorang penulis kerdil berdiri di sini merealisasikan impiannya pada hari yang bersejarah dan bermakna bersempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun SEMARAK. Begitu juga kepada Encik Norden Mohamed, Presiden Kelab Alaf21 juga Ketua Pengarang Sinar Harian, yang sudi hadir di celah-celah kesibukannya dengan akhbar Sinar Harian. 


Hadirin dikasihi ALLAH, 

Menulis merupakan terapi yang menenangkan jiwa. Bermula daripada suka-suka akhirnya saya terjebak dalam dunia penulisan yang sudah tiada U-Turnnya. Novel C1NT4 TOP SECRET merupakan novel ke-5 saya bersama Alaf 21 Sdn. Bhd. Novel setebal 501ms ini mengisahkan tentang pengembaraan dua ejen perisik antarabangsa Jade, dan Zed yang jatuh cinta kepada Maryam Eisya, anak gadis pemilik mikrofilem paling dikehendaki. Pembaca akan dibawa mengembara ke Seoul, Hong Kong, Brussels, London dan Bali dalam menamatkan misi. Pada akhirnya, akan terjawab siapakah yang akan menemukan cinta sejati dan siapakah pula yang akan menyelesaikan konspirasi. 

Tahun ini adalah tahun ke-8 tahun saya menjadi penulis. Di sebalik semua ini, pastilah segalanya bermula daripada seorang guru. Sajak saya yang pertama bertajuk AKU SEBUAH BUKU yang disiarkan di Utusan Pelajar. Cikgu Faridatul Akhmar merupakan guru yang bertanggungjawab menjadikan saya 'selebriti kecil' kerana sejak itu saya menerima ramai kenalan pen pall yang membaca tulisan saya. Ketika itu saya hanya berumur 10 tahun.

Apabila di sekolah menengah, Guru Bahasa Melayu saya, Puan Hajah Mazlina Markon menyemai dan memupuk bakat penulisan saya. Beliaulah membetulkan bahasa, memberi idea untuk mengembangkan jalan cerita dan menggalakkan saya menaipnya di atas mesin taip. Hari ini saya bersyukur dan berbahagia kerana cikgu saya itu bersama-sama kita di hari bersejarah ini. Terima kasih cikgu!

Kerana besarnya peranan seorang guru menjadikan saya Laila Kamilia pada hari ini, justeru saya menyeru anak-anak yang ada di hadapan saya ini untuk menghargai jasa seorang guru. Berani bermimpi dan pergi jauh untuk menggenggam kejayaan gemilang. Apabila telah berjaya, kembalilah ke sini dan jangan lupakan jasa guru. Saya berdoa semoga pada suatu hari nanti, akan ada anak-anak di sini yang berada di tempat saya berdiri di sini membanggakan SEMARAK.

Akhir kata jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong kerjaya saya selama ini. Kepada suami, Aedy Fadly Ramli yang menjadi tulang belakang saya selama ini. Tanpa beliau di sisi, manuskrip saya akan kekal di dalam komputer tanpa terzahir menjadi naskah tatapan anda. Juga buat anak-anak Hardy, Hakimy dan Hana yang memahami kesibukan saya sebagai guru dan penulis. Pelancaran novel ke-5 saya ini pada tarikh 30 Ogos 2014 hari ini bersamaan sambutan hari lahir anak saya yang ke-5! Penghargaan yang paling tinggi tentulah kepada kedua ibubapa saya Puan Hamidah Ismail dan Encik Kamaluddin yang sentiasa memberikan galakan.

Kepada Cikgu Noraini, Alumni Semarak; Encik Zuhainizam dan Kak Leha Junid kerana membantu saya menjadikan majlis ini realiti. Kepada Alaf21 yang percaya kepada bakat saya. Kepada rakan-rakan dan pembaca yang jauh dan dekat yang sentiasa menyokong kerjaya Laila Kamilia. Terima kasih semua! Semoga SEMARAK terus gemilang! Sekian, terima kasih."









Telah selamat dirasmikan oleh Encik Norden disaksikan Tuan Haji Masri. Gimik pelancaran akan saya ceritakan dalam tulisan Pelancaran novel C1NT4 TOP SECRET siri ke-2.

Terima kasih Lin kerana sudi bersama membantu menjayakan pelancaran. Sayang sangat-sangat!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...