12 September 2009

Berhati-hati di Jalanraya



Saya menerima berita yang tidak gembira beberapa hari lepas dari adik saya yang mengatakan ibu dan bapa saudara saya kemalangan jalan raya. Menurutnya bapa saudara saya yang demam hari itu berkeras mahu ke klinik tetapi anaknya yang baru tiba dari Lumut tidak dapat membawanya ke klinik pada masa itu kerana keletihan memandu. Dia membawa ibu saudara dan cucu perempuannya ke klinik tetapi di pertengahan jalan dia pitam lalu melanggar semua kenderaan yang ada di hadapannya. Keretanya terbelah dua.

Mereka bertiga dimasukkan ke ICU Hospital Serting. Esoknya saya menerima berita sekali lagi yang mereka telah dikeluarkan ke wad biasa. Alhamdulillah tetapi saya begitu ngeri mendengarnya. Kemalangan dan dimasukkan ke ICU tentulah kemalangan yang besar.

Saya menulis entri ini sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua. Sempena perayaan yang bakal menjelma, kita kerap kali mendengar tentang kemalangan jalanraya. Kematian demi kematian, trajedi demi trajedi. Memang kita tidak biasa mengelaknya tetapi kita boleh cuba untuk mencegahnya. Perkara yang saya belajar dari kes bapa saudara saya ialah jika seseorang itu tidak sihat, dia tidak boleh memandu. Jadi orang yang sihat harus memandu untuknya.

Di musim perayaan ini dua perkara utama yang bleh kita lakukan ialah berhenti rehat terutama perjalanan yang jauh bagi pemandu yang keletihan. Tidur perlu secukupnya. Biar sampai lambat asalkan sampai dari cepat tapi tak sampai-sampai hinggakan perlu dihantar oleh ambulans ke hospital. Selain itu kenderaan yang dipandu harus diselenggara dengan baik sebelum berjalan jauh. Ini penting bagi mengelakkan kenderaan meragam yang melewatkan perjalanan kita nanti.

Kepada yang ingin pulang beraya tahun ini, saya ucapkan selamat memandu. Rancanglah perjalanan anda awal-awal supaya segala yang direncana berjalan lancar. Selamat membakar lemang dan ketupat dan beraya bersama keluarga tercinta!

ps-kerana sudah lama tidak memandu Hardy jadi was-was dengan kemahiran memandu ibunya ini. Dia kata mama mesti dah lupa bawa kereta. Saya gelak aje. Balik Malaysia nanti kita pandu ujilah kereta MyVi tu! Pegang kuat-kuat ye...sebab saya sendiripun ragu-ragu..tapi sudah tentu saya tak mengaku dengan dia.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...