18 Mei 2011

Selamat Ulangtahun ke 11- 1 Mei 2011


Tahun ke 11. Bukan lama sangat tapi bukan juga masih baru. Kalau tengok gambar, sudah nampak beza benar dengan 11 tahun yang lepas. Syukur, selain wajah yang dimamah usia, kami masih seperti berbelas tahun dulu. Kami masih bersahabat dan bercinta....Hahaha.... Masih keluar menonton bersama, berjalan kaki ke kedai, masih bertukar cerita. Dia bercerita saya mendengar, saya bersenda dia ketawa! Alhamdulillah. Moga ALLAH merahmati kami dengan keluarga bahagia, InsyaAllah.

Tahun ini kami meraikannya bersama anak-anak di Universal Studio, Singapura! Kiranya tahun ini adalah ulangtahun dedikasi bersama anak-anak. Kami ingin berkongsi cerita suka-duka perkahwinan kami bersama anak-anak, sementelah Hardy sudahpun 10 tahun. Ya, selama 11 tahun, banyak perkara yang telah kami lalui bersama. Banyak perkara telah menguji, banyak perkara telah terjadi.

Ada perkara yang kami tinggalkan tetapi kami selalu mengingatkannya. Ada perkara yang masih kami kekalkan dan menjadi tradisi. Ada perkara yang harus dilupakan sebagaimana ada perkara yang harus dimaafkan. Tiada kesalahan harus diungkitkan sebagaimana tiada hutang yang harus dikira untuk dibayar bunga. Ada perkara yang harus diingatkan sentiasa seperti kepercayaan dan kesetiaan tanpa curiga. Ada kala kita menangis bersama tetapi di kebanyakan masa kita tertawa gembira. Ada kejayaan demi kejayaan yang dirai malah ada pula kegagalan yang dijadikan landasan untuk berjaya di masa depan.

Tanpa dia, saya bukannya sesiapa. Dan tanpa saya siapalah dia. Hakikatnya antara kami saling melengkapkan. Tanpa satunya....1500 tiada makna!

17 Mei 2011

HARI GURU 2011


Sebiji kek, sekeping kad dan satu tanda mata 
ingatan ikhlas buat insan bernama GURU
pada tanggal keramat 16 Mei itu

muridku yang dikasihi
ingatanmu sangat kuhargai 
cuma kupinta seperkara
doakan kesejahteraan GURUmu
agar dapat dia mengajarmu lagi esok hari
doakan GURUmu menjadi lebih sabar
dari sehari ke sehari
kerana GURUmu ini hanyalah insan biasa
yang cuba menjadi luar biasa
untukmu murid-murid yang sangat ISTIMEWA

dan sekiranya GURUmu ini 'lupa'
yang dia punya murid yang istimewa
peluklah dia dan katakan
kami sayang cikgu.....

muridku yang dikasihi
sesungguhnya cikgu sangat sayang padamu!

12 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Jakarta

Sebelum ke Jakarta, saya menggoogle banyak tentang Jakarta tetapi tiada banyak yang saya jumpa. Saya harap entri saya tentang Jakarta ini akan dapat membantu mana-mana pelancong yang ingin ke sana. Apa yang menariknya Jakarta selain dari jem? Hehehe...Memang benar. Anda boleh larut dalam jem berjam-jam lamanya. Mujurlah ada teman saya Kak Siti Marijam yang pakar mengelak jem. Ada satu cerita menarik yang mahu saya kongsikan di sini tentang pengangkutan awam di sini. Semasa di Bandung, kami menempah 2 teksi kerana bimbang tak muat (6 orang bersama 3 beg besar) tetapi semasa sampai di Jakarta, Kak Marijam hanya memasukkan kami bertujuh bersamanya di dalam satu teksi! Haha! Anehkan tetapi ia boleh dilakukan jika anda orang sana! Kak Marijam ini sangat bijak mengelak jem hingga pemandu teksi itu juga tidak tahu jalan yang dibawa beliau tetapi anehnya, beliau sendiri tidak tahu memandu kereta! Haha!






Destinasi yang saya ingin sangat pergi tentulah ke pusat membeli-belah paling besar di Indonesia, tanah Abang. Memang ramai sangat orang sampai nak berjalanpun susah. Lebih kurang seperti pasar Baru di Bandung tetapi ia sangat besar dan terlalu sesak. Jika mahu parkir di tingkat atas, kita akan mengambil masa 1 jam untuk naik dan 1 jam lagi untuk turun. Jadi lebih baik menaiki teksi dan berjalan kaki saja. Kami meminta pemandu memakir kereta di Kebon Kacang (lebih kurang beberapa km dari Tanah Abang). Penat bershopping, kami pulang dengan azam di kepala, esok kalau nak datang, x boleh bawa Hana lagi! Kasihan!





Selain dari Tanah Abang, pusat membeli-belah yang lain adalah Mangga Dua (pakaian moden dan berjenama) dan Sarinah (pakaian moden dan berjenama lebih kepada butik). Kami hanya sempat ke Sarinah tetapi bersedialah dengan wang yang besar jika mahu berbelanja di sini. Apa tempat menarik di Jakarta selain dari membeli-belah? Tarikan lain tidak banyak iaitu MONAS (Monument National) dan Masjid Istiqlal (masjid rasmi Indonesia) selain pusat membeli belah yang besar seperti Grand Indonesia. Boleh kata semua shopping mall kami telah pergi. Oh ya! Kalau mahu membeli cenderahati pada harga yang agak munasabah, satu-satunya tempat adalah di deretan kedai cenderamata di MONAS. Selain dari itu TIADA.







Banyak catatan dan pengalaman baru dapat saya kutip semasa di sana. Tetapi semuanya indah-indah......

11 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung ke Jakarta via Keretapi

Dari Bandung, kali ini kami mahukan kelainan. Kami menaiki keretapi dari stesen keretapi Bandung ke Stesen Gambir, Jakarta. Sebenarnya selain dari berkeretapi (lebih kurang 3 jam setengah), pilihan lain adalah menaiki Cipaganti. Tentu ramai yang tertanya, Cipaganti itu apa? Cipaganti ni lebih kurang macam van yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan henti-henti macam bas tetapi ia mempunyai stesen tertentu. Perjalanannya lebih kurang dua jam setengah melalui jaringan lebuhraya. Jadi kalau nak mencuba boleh naik di mana-mana stesen Cipaganti di Bandung. Kalau perbezaan harga, pastilah naik keretapi lebih murah tetapi tidak banyak beza. Cipaganti adalah satu pilihan jika kita mahu cepat ke Jakarta.
Ada beza ke keretapi Malaysia dengan Indonesia. Kami memilih menaiki keretapi yang punya pelayan. Harganya mahal sedikit dari keretapi awam yang lain. Pastilah ia lebih bersih dan selesa. Tapi jangan fikir, tambang itu sudah termasuk dengan harga makan ya. Hehehee....Jangan seperti Tipah yang tertipu! Makanannya boleh tahan mahalnya (tetapi saya yakin anda mampu, hehehe), yang diusung pelayan dari satu gerabak ke satu gerabak. Mee sup juga ada dijual tetapi mee dan sup yer, macam maggie ayam tu bukannya mee sup Malaysia.


Yang menariknya menaiki keretapi di sini adalah pemandangan sawah padinya. Saya berasa sangat kagum kerana pemandangan sawah padinya memang berbeza dengan di Malaysia. Kalau di dalam novel Saat Kau Hadir, saya ada memaparkan latar sawah padi melalui keretapi ke Alor Setar, agaknya saya boleh menambah latar ini di dalam novel saya yang akan datang. Hehehe. Sawah padi bertingkat, di tepi rumah, di sebelah gerabak....semuanya boleh ditanam padi. Senang cerita, Indonesia memang subur!


Di kiri-kanan perjalanan, rata-rata perkampungan. Dari Bandung hingga Jakarta, kami disajikan oleh perumahan yang sangat padat. Yang menghairankan saya, di sepanjang perjalanan itu, memang tidak ada pagar yang memisahkan antara landasan keretapi dengan kawasan perumahan. Orang bebas melintas keluar-masuk. Sepertinya mereka sudah menjadi sebahagian dari jadual keretapi itu sendiri. Saya pula yang gayat takut keretapi melanggar orang. Hahaha. 
Perjalanan memang selesa. Cuma jika anda mengejar masa, ini bukanlah satu pilihan yang bijak. Hehehe. Kalau mahu melihat orang bergayut di atas keretapi macam di dalam filem, ha...marilah naik keretapi dan lihat sendiri. Satu lagi yang saya kagum, di stesen keretapi, orang bersolat di mana-mana menandakan ke manapun kamu pergi, jika Allah sentiasa di hati, amalan yang menjadi tabie itu boleh dilaksanakan hatta di tepi lif mahupun di bawah tangga. Berjalanlah dan lihatlah seluruh dunia!

10 Mei 2011

Jalan-jalan Indonesia-Bandung

Kami ke Bandung lagi. Kalau dulu berdua, kali ini rombongan kami menjadi 6 orang. Hehehe rombongan Cik Kiah nampaknya. Tempat yang kami pergi hanyalah ke Factory Outlet sebab dah set di dalam minda, kali ini datang untuk shopping sakan!



Adakah Bandung berbeza dari beberapa tahun sebelum ini? Rasanya masih sama, cuma yang beza, bilangan rombongan dari Malaysia sudah semakin ramai. Kali ini demam shopping ini telah melekat pada mat saleh pula. Kali ini saya boleh lihat mereka di mana-mana walaupun jumlahnya sedikit. Kalau dulu memang tiada langsung. Yang saya perasan, disebabkan itu harga pakaian sudah mahal dan terlalu sukar mancari pakaian di bawah Rp25 000! Memang masih ada yang murah tetapi tidak semurah dulu. Kali ini kami menjumpai port baru iaitu pusat jeans LEVIS yang harganya memang murah (bawah RM80). 

Nak pergi lagi ke? Hehehe...sedang memikir-mikir kerana memang dah habis duit banyak sebab shopping sakan sampai bila balik rasa nak muntah tengok baju. Beg yang kosong sebanyak 2 buah itu telah selamat dipenuhkan. Saya tetap merasakan Bandung masih menawarkan destinasi membeli-belah yang mengiurkan terutama kepada peminat pakaian berjenama! Harga yang anda laburkan untuk membeli pakaian mahal boleh cover tambang yang anda laburkan. Dengan syarat! Anda membeli banyak! Kalau setakat sehelai dua, pastilah percutian anda tidak berbaloi!

26 April 2011

AKAN DATANG! Ombak Rindu

Nantikan kemunculannya. Filem Ombak Rindu terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Tarantella Pictures merupakan hasil adaptasi daripada novel popular nukilan Fauziah Ashari.


SINOPSIS FILEM:

Izzah (Maya Karin), gadis yatim piatu yang kematian ibu dan ayah akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, ayah saudaranya, Taha, mengambil tugas memelihara Izzah. Pada masa sama, Pak Cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual Izzah kepada seorang tauke kelab malam.

Di situlah dia berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz (Aaron Aziz). Hariz sanggup ‘membeli’ Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan mahu membawa dia keluar dari neraka jahanam itu.

Atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah, tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia (Lisa Surihani), anak Tan Sri Rashdan, model dan pelakon terkenal akhirnya menggugat kebahagiaan Izzah dan Hariz.

25 April 2011

Pesta Buku 2011-Dah 3 tahun Laila Kamilia tiada di Pesta Buku KL

Genap 3 tahun! Kesempatan tahun ni saya ke sana. Banyak bezanya dan suasananya tapi yang pasti tetap meriah! Saya bercadang nak ke sana hari Sabtu untuk beri sokongan kepada teman penulis Dhiya Zafira dan Lynn Dayana tetapi apakan daya saya ada sekolah ganti sempena Deepavali. Sudahnya saya sempat ke sana hari Ahad. Rancangan asal hendak beratur mengambil tandatangan Tun Mahathir - A Doctor in the House. Tapi sekali silap tarikh da..... Beliau dah datang semalamnya.... 
Keciwa....saya dapat juga tandatangan Surpriz! Eric Leong.... Hahahaha...
Inilah gambar kenangan saya di PBKL2011 tahun ini. Harapnya saya ada di meja penulis tahun depan ya! Ayuh! Siapkan manuskrip cepat! Hahahaaha..... Kepada teman-teman penulis, selamat bertugas!

suasana bz di PBKL, tapi memang x sesuailah bawa kereta sorong kanak-kanak

PBKL mengundang ramai tidak hanya wanita tetapi lelaki juga, tapi susah nak nampak selain bangsa Melayu kenapa ya? (kecuali penjual buku)

surpriz! jadilah daripada pulang dengan tangan kosong!
hehehehe www.RATU.my pun ada dalam ini cerita.....

12 April 2011

Lintasan Zebra Vs Pagar sekolah Vs guru sekarang

Baru-baru ini saya dan abang berpimpin tangan di LCCT. Sampai di garisan zebra saya lari menyebabkan abang terpaksa berlari juga. Dia hairan lalu bertanya...."Kan tu zebra kenapa nak lari?" Saya ketawa kemudian bila terdengar dia menjawab sebelum sempat saya menjawabnya. "Oh! Ini bukan Europe. Kalau di Europe, macam mana lajupun kenderaan, pasti akan berhenti kalau ada pejalan kaki nak lalu. Tapi di Malaysia (saya bukan kondem tetapi realiti), pejalan kaki yang kena beralah dengan pemandu. Bayangkan di garisan zebra tu sebelumnya ada bonggol (supaya kenderaan perlahan), tapi kenderaan memecut macam di litar F1. Langsung tak ada hormat pada pejalan kaki. Ada pula yang memberhentikan kenderaan di atas garisan zebra menyebabkan pejalan kaki sukar berjalan. Bila dah terlanggar nanti, pandai pula pejalan kaki disalahkan kerana tak tengok kiri-kanan sedangkan mereka yang salah bawa laju-laju.

Macam ada kes pintu pagar sekolah yang merentasi padang permainan kanak-kanak yang terpaksa ditutup gara-gara ibubapa yang membawa kenderaan di atas rumput taman permainan. Bila ditegur, alasannya supaya senang nak hantar anak sampai ke pagar sekolah dan orang lain boleh bawa kenapa dia tak boleh bawa. Kenapalah pemikiran rakyat Malaysia macam itu. Tidak memikirkan hal orang lain. Tak memberikan empati kepada orang lain. Janji diri sendiri lepas! 

Macam juga menyalahkan cikgu sekarang yang tak garang, lembek, sampai murid lembab tak dapat tangkap pelajaran. Siap banding guru dulu dengan guru sekarang. Tapi dia x fikir, guru sekarang jangankan bawa rotan, jentik, cubit langsung x boleh apatah mengeluarkan kata-kata harus waspada jangan hingga mengganggu emosi murid. Jadi bila anak murid lemah, melawan, guru yang disalahkan. Sedangkan dulu, kita semua sangat hormat dan takut pada guru kerana guru kita dulu garang dan mak bapak kita gunakan istilah" Buatlah cikgu apapun untuk mengajar, jangan patah riuk sudah." Sekarang ini cikgu bagi kerja rumah kena marah, tak bagi kerja rumahpun marah juga. Hinggakan susun atur murid dalam kelaspun kalau boleh, mak bapa yang nak tentukan. 

Amboi! Macam emo aje saya. Tertekan ke? Hahahaha..... Membaca kisah Nabi Muhammad S.A.W yang memberi makan pengemis Yahudi di pejabat pos baru-baru ini menyebabkan saya menilai diri kembali. Sesungguhnya saya ini bukanlah siapa-siapa. Saya tak sempurna. Saya tidak sesabar mana. Walaupun ramai yang cakap, menjadi guru pendidikan khas pastilah orangnya sangat sabar. Saya rasa saya ini tidaklah sesabar mana. Ya, dengan murid saya, saya memang sabar. Tapi dengan ibubapa???? Saya angkat bendera putih. 

Setiap hari saya berkata kepada diri. Semoga ALLAH sentiasa memandu saya mengikuti niat asal saya menjadi guru pendidikan khas. Asalkan saya ke sekolah dengan niat itu, apapun tohmahan dan karenah ibubapa saya pekakkan telinga. Saya berdoa semoga kami semua guru-guru pendidikan khas akan sentiasa berada di dalam perlindungan dan peliharaan ALLAH. Saya memang tidak sesabar apatah semulia Nabi. Semoga ALLAH menitipkan saya selaut KESABARAN. AMIN.

04 April 2011

Gula tidak termasuk....

Gambar ini diambil di salah sebuah kafe di stesen keretapi Bandung. Kalau tengok beginilah realiti kehidupan di sana. Teh dihidangkan adalah teh tanpa gula berharga RM0.50. Harga teh bergula adalah RM1.20 secawan. Inilah antara perkara yang tidak ada di Malaysia...hehehe. Kalau di sini teh tanpa gula atau kurang gula harganya tetap sama kan!

Jalan-jalan Cari Makan-Restoren AlRawsha, Kg. Pandan

Restoren AlRawsha dibuka 24 jam, 7 hari seminggu! Juga menawarkan perkhidmatan pandu lalu bagi pelanggan yang ingin cepat. Restoren ini terletak di Kg. Pandan menawarkan pilihan makanan Arab terutamanya Lubnan. Bagi penggemar makanan yang mahukan kelainan, bolehlah mencuba ke restoren ini. tapi sediakan poketnya juga ya kerana makanan di sini bukanlah boleh dikategorikan sebagai murah!

dekorasi dalaman yang menarik


restoren luas dan nyaman



rekabentuk restoren yang unik, Al Rawsha dinamakan sempena batu yang terdapat di Lubnan

nasi Arab (beras panjang bersama ayam yang dimarinate bersama)

Kalau ada yang hendak menempah, ini nombor telefonnya: 03-9200 6600. Selamat makan-makan!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...