04 Mei 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland VI - Rotterdam

Rotterdam kami menjadi destinasi terakhir kami di Belanda sebelum ke Brussels. Bandar ini dikelilingi air. Mercu tanda utama di bandar ini adalah Erasmus Bridge.


Tamatlah catatan perjalanan saya ke Belanda. InsyaAllah selepas ini, saya akan mencatatkan perjalanan ke Belgium pula. Negara yang jarang kita sebut sebagai destinasi pelancongan tetapi rupanya tidak kurang hebat kecantikannya!

03 Mei 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland V - Scheveningen Beach

Masih di The Hague, kami singgah untuk mengisi masa sementara menantikan Dina membeli ketam di pasar. Sudah lama tidak menghirup udara segar dan pemandangan di pantai, saya rasa sedikit tenang (saya memang selalu mencari tenang di tepi pantai). Air biru laut begitu mendamaikan. Kami tidak lama di sana kerana siren amaran dibunyikan meminta semua orang yang berada di pantai naik ke daratan (saya tidak pasti mengapa, mungkin amaran ikan todak sedang bermandi-manda di sana).






Tapi berbeza dengan laut di Malaysia, di sini saya tidak berani mengajak anak-anak membuat istana pasir dan kami terpaksa berkasut di atas pasir. Semuanya gara-gara anjingpun turut dibawa bersiar-siar di pantai oleh tuannya. Susah kalau ada yang sudah memberi sama hak kepada haiwan peliharaan mengikut sangat "Dog is a man's best friend." Sayang! Ia mencacatkan keseronokan kami di pantai.

02 Mei 2009

Ikan Oh Ikan Episod 3

Ingat tak saya pernah membuat entri bertajuk Ikan Oh Ikan pada awal-awal kedatangan saya ke Berlin tidak lama dulu. Baru sekarang saya berani mencuba dan inilah hasilnya kari kepala ikan salmon yang segar. Sejak beberapa bulan ini saya hanya makan ikan frozen. Masa di Rotterdam dulu, dapatlah Dina masakkan ketam masam manis yang segar. Di Belgium, Kak Na masakkan ikan goreng ikan patin yang segar. Di Paris, abang Yusri masakkan kari kepala ikan salmon yang segar. Inilah baru saya berani mencuba makan ikan salmon. Lepas ni cadangnya hendak masak ikan mackerel pula. Kata Kak Norzailina Nordin dan Kak Eka Fahara, macam ikan kembung di Malaysia. Saya dah intai-intai ikan-ikan segar tu kat Balikci (kedai menjual ikan). Harganya tidaklah mahal sangat. 1 kepala ikan berharga Euro2 sahaja. Ikan mackerel sekilo cuma Euro6.70.... memang murah dengan syarat di kepala janganlah hendak ditukar ke RM pula. Kalau tak, jawabnya makan ikan frozen ajelah sampai balik ke Malaysia tahun depan!

01 Mei 2009

Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke 9


Brugge, Belgium-9 April 2009

Selamat Ulangtahun! Semoga jodoh sentiasa diberkati. Terima kasih kerana sudi menyayangi diriku yang bukan siapa-siapa ini...

30 April 2009

Pengumuman Cuti : Europe Trip Siri 3

InsyaAllah kami ke Prague, Republic Czech bermula 1 Mei hingga 3 Mei. Saya tinggalkan anda dengan beberapa entri. Jumpa lagi!


28 April 2009

Akibat Buta Bahasa


Achtung!!! Achtung!!!
Am Montag, dem 27. April, fällt die 1. Stunde aus.
Unterrichsbeginn : 8.55 Uhr

Di sini, Hardy ada buku komunikasi antara guru dan ibubapa. Setiap kali balik sekolah, guru akan mencatatkan apa-apa mesej yang ingin disampaikannya kepada ibubapa sama ada kerja sekolah, aktiviti luar, pencapaian anak, tingkahlaku dan emosi anak yang mungkin perlukan perhatian dan galakan ibubapa (di Malaysia saya sudah buat tapi maklumbalas dari ibubapa mengecewakan saya). Jadi setiap kali balik sekolah, saya akan tanya Hardy jika gurunya ada mencatatkan apa-apa. Selalunya saya akan ke google translate untuk menterjemahkan mesej guru tersebut. Tetapi minggu lepas kerana malas hendak bangun dari sofa, saya terjemahkan saja sendiri ikut pemahaman saya. Berikut adalah terjemahan saya mengikut 7 bulan pemerhatian tinggal di Jerman:

Hati-hati! Hari Isnin, 27 April, tangga akan dibaiki selama sejam bermula jam 8.55 pagi.

Hardy bertanya dengan hairan. "Ya ke mama?" Saya yang malas hendak ke komputer berkata, "Nanti bila abah balik, kita tanyalah." Si anak yang patuh pada si ibu kelihatan terangguk-angguk walaupun dia kelihatan tidak percaya dengan jawapan si ibu.

Bila abang balik petang itu, Hardy terus membawa buku komunikasi itu kepada abahnya. Ini terjemahan abahnya.

Perhatian! Hari Isnin, 27 April, kelas akan ditunda selama 1 jam. Kelas akan bermula jam 8.55 pagi.

Hardy berkata, "Ya ke abah? Mama kata lain." Dia melaporkan dengan wajah yang berkerut. Abahnya bertanya "Mama kata apa?" Hardy jawab, "Mama kata hati-hati naik tangga sebab ada orang nak baiki tangga. Tapi Aid tengok, orang tu baiki pagar."

Abang yang berada di dalam bilik terus datang kepada saya yang sudah terkekeh-kekeh ketawa seorang diri mendengarkan perbualan dua-beranak itu. Ini bukan kali pertama saya melakukan kesalahan kerana sebelumnya angkara tidak mahu melihat kamus, saya tidak membekalkan Hardy dengan makanan semasa dia ke Muzium Coklat kerana apa yang saya faham, wang Euro 3 yang diminta guru termasuk yuran masuk ke muzium dan sarapan pagi.

Itulah natijahnya kalau tak tahu tapi buat-buat tahu. Pengajarannya selepas ini, saya akan sentiasa melihat kamus dan google translation. Hendak ke kelas bahasa, saya asyik bertangguh. Sebenarnya saya rasa, saya bertangguh kerana saya memang tidak minat belajar bahasa sejak dari dulu lagi. Mujurlah saya boleh berbahasa Melayu....itupun bukanlah begitu baik. Di sana sini compang-camping. Perbendaharaan kata pun macam tak cukup-cukup....Mujurlah dengan bahasa Melayu yang koyak-rabak itu boleh juga saya menulis 3 buah buku dan blog yang merapu-rapu....

27 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland IV - The Hague

Sebelum singgah ke Rotterdam, kami mengambil peluang untuk ke Den Haag, tempat di mana telah mencatat pelbagai peristiwa bersejarah. Kami ke International Court of Justice, ataupun Mahkamah Keadilan Dunia, The Hague. Mahkamah yang dibina pada tahun 1945 ini oleh PBB antara fungsinya menyelesaikan pertikaian antarabangsa.Di sini telah terlakar banyak sejarah yang melibatkan negara kita. Antara yang masih segar dalam memori kita tentulah pada 23 Mei 2008 ICJ telahpun memutuskan Pulau Batu Puteh, Pedra Branca yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura diputuskan kepada negara Kota Singa itu dan memberikan Pulau Batu Tengah, Middle Rocks kepada kita.

The Flames of Justice, melambangkan semangat dan cahaya keadilan tidak akan terpadam dari dunia ini. Tetapi sayangnya nama Israel tercatat sebagai negara yang diiktiraf oleh ICJ ini tetapi nama Palestin tiada. Sayang seribu kali sayang dan entah bila agaknya nama Palestin akan diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

Di mana keadilan? Di sinilah keadilan? Agaknya itulah yang sedang dilaungkan Hardy di dalam hatinya. Kami sentiasa berdoa semoga dunia akan sentiasa aman dan tenteram kerana peperangan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.

23 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland III - Amsterdam

Hari kedua kami di Amsterdam dimulakan dengan berjalan-jalan di kawasan Rijksmuseum yang terkenal itu. Kami mencari landmark Iamsterdam yang besar untuk bergambar sebagai tanda kami sudah sampai ke sini. Bila sudah berjumpa, kami menunggu tram untuk ke Schiphol Centraal. Disebabkan kami ni sarat dengan beg dan stroller maka, kami ditinggalkan tram. Hanya Emy dan Naz yang dapat masuk ke dalam tram maka kami terpaksa menunggu tram berikutnya. Pengalaman menggunakan pengangkutan awam di sini, pemandu tidak menunggu penumpang. Mereka hanya berhenti bagi penumpang masuk dan turun, saya kira cuma 1 atau 2 minit sahaja. Jadi sekalipun anda sudah beratur tetapi melepasi masa yang ditetapkan untuknya berhenti, anda terpaksa menunggu tram yang lagi satu.




Iamsterdam giant!
Saya juga mendapati keretapi di sini tidak mesra OKU. Bermaksud, OKU tidak boleh menaiki keretapi jika berjalan bersendirian kerana ia bertangga. Ini mungkin disebabkan keretapi penumpang mereka sudah berusia berpuluh tahun berbanding dengan keretapi yang digunakan di Berlin. Patutlah saya tidak nampak OKU berjalan sendirian sebagaimana di Berlin. Bagi yang membawa stroller seperti saya, memang bermasalah kerana terpaksa mengangkat berdua stroller tersebut disebabkan tangga keretapi atau tram. Bagi bas, alhamdulillah, ruang untuk OKU dan kanak-kanak ada disediakan.

lagi sekitar Iamsterdam
Kami ke check in di hotel dan kemudian menunggu bas untuk ke Keukenhof. Selepas 5 jam di sana, Emy, Naz juga Raja mahu terus pulang ke hotel sedangkan kami masih mahu berjalan-jalan di kotaraya Amsterdam. Jadi kami menaiki keretapi ke Amsterdam Centraal menggunakan tiket semalam yang masih sah digunakan kerana sah selama 24 jam. Inilah gambar-gambar yang sempat kami rakam semasa di Amsterdam.


satu terusan
anak-anak jadi pilot di KLM store
Amsterdam kota raya yang dikelilingi air maka di mana-mana anda akan nampak terusan dan bot-bot menyusuri kotaraya yang sibuk dengan basikal ini. Di mana-mana orang lebih gemar berbasikal dari menaiki kereta. Saya menggeleng kepala bila melihat ada antara basikal yang terpakir sama tua dan sama uzurnya dengan basikal arwah Tok Wan saya tetapi masih digunakan. Orang kata, selagi boleh bergerak, selagi itulah khidmatnya digunakan. Kalau buang dalam laut, belum tentu ikanpun berminat hendak buat tempat bermain-main kerana sudah berkarat serba-serbi. Tetapi itulah yang membuatkan saya kagum. Saya rasa itulah mengapa bandaraya Amsterdam sentiasa bersih, tenang dan subur. Basikal yang terpakir seluas mata memandang. Kalau senang nak dibayangkan, bayangkan motorsikal yang terpakir kat tempat parkir semasa mahasiswa sudah masuk ke dalam dewan peperiksaan!

Hard Rock Cafe, Dam Square, Rijksmuseum, Magna Plaza

Saya terbaca artikel di surat khabar semasa saya berkunjung di Gent. Wartawan Malaysia itu berpeluang bersiar-siar di Amsterdam. Tetapi sekalipun beliau mengagumi bumi Tulip ini, tetapi beliau komplen harga barangan/makanan di sini yang mahal. Yelah, memanglah mahal jika ditukar ke RM. Menurutnya 1 botol air mineral bila ditukar ke RM menjadi RM30. Aduhai! Itulah nasib kita kalau nilai duit kita rendah terpaksa pula pergi ke negara orang yang duitnya mahal dari kita.

Itu saja catatan saya di Amsterdam. Saya hanya ada 2 hari di sini kerana esoknya pagi-pagi kami sudah menaiki keretapi ke Rotterdam. Jika ada masa, boleh saja berkunjung lagi ke sini.

22 April 2009

Leazes Park, Newcastle

Pertemuan yang tidak diduga, menggamit semula apa yang sedaya upaya dilupakan bagi Ainnur Azleen tetapi bagi Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Redza ia sekadar untuk melengkapkan sebuah kisah yang tidak sudah....

Menjelang 1 Mei 2009

Tak sampaipun 10 hari lagi, saya dan suami tercinta akan menyambut ulangtahun perkahwinan yang ke 9. Pejam celik dah 9 tahun kami berumahtangga. Rasa macam baru semalam Kadhi bertanyakan kepada saya setuju atau tidak dinikahkan dengan dia. Rasa macam baru semalam kami berpeluh di depan Kadhi menjawab macam-macam soalan yang ditanya. Hehe. Bila diingat, memang banyak kenangan antara saya dan dia... Kami berdua telah menempuh macam-macam dugaan sebelum dan selepas berumahtangga. Alhamdulillah sehingga kini kami masih teguh bersama dengan 2 hero yang gagah perkasa. Pada usia 32 tahun, saya sudah ada anak berusia 8 dan 3 tahun! Macam tak percaya!


Kami bernikah pada 1 Mei 2000 bersamaan 27 Muharram 1421H. Tarikh tu dipilih antaranya kerana ia mudah diingati. 1500. Ia akan berganda setiap tahun menandakan bilangan tahun perkahwinan kami. Tahun ini 1.5.09 bermakna 9 tahun usia perkahwinan kami. Mudah nak ingat tak payah susah nak bilang dengan jari. Tarikh itu amat bermakna buat kami dan kami abadikan di setiap nombor pendaftaran kenderaan kami. Jadi kenderaan kami mesti ada 1500 di belakangnya. Dan yang baiknya, setiap tahun tarikh itu semua orang akan bercuti sempena Hari Buruh. Jadi kalau hendak bercuti untuk meraikan ulangtahun perkahwinan mudah bagi kami!



Menjelang 1 Mei 2009, seperti selalu saya sedang tercari-cari hadiah dan kejutan untuk dia (walaupun selalunya dia yang selalu kejutkan saya dengan hadiah dan agendanya). Saya sentiasa berdoa semoga dipanjangkan umur saya dan dia, jodoh saya dan dia kerana kami ingin menunaikan janji - untuk melalui hari tua bersama. Doakan semoga perkahwinan kami sentiasa berada dalam peliharaan Allah Yang Maha Berkuasa. Amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...