16 November 2007

Kisah Nabi Nuh A.S


Kisah ini sudah pernah kita dengar. Begini ulangannya:

Nabi Nuh A.S telah diperintahkan oleh ALLAH untuk menanam pokok koka yang batangnya sangat teguh. Selama 60 tahun akhirnya pokok itu cukup matang. ALLAH memerintahkan membuat sebuah kapal besar di atas bukit, dibuat bertingkat-tingkat.

Belayarlah Nabi Nuh selama 6 bulan bersama 81 pengikutnya mengharungi air banjir setinggi 15 meter tinggi dari gunung tertinggi di dunia.

Dalam pelayarannya datanglah Iblis ingin menumpang kapal tersebut dan menawarkan kepada Nabi Nuh cara bagaimana Iblis boleh memperdaya manusia. Caranya adalah dengan duduk pada nafsu dan hati manusia.

14 November 2007

Belajar main gitar



Laila belajar main gitar?Alahai! Merapu tak sudah-sudah tapi ia memang benar. InsyaALLAH mulai minggu depan, saya akan mula belajar main gitar. Alah...gitar kapok je. Entah boleh ke tidak petik gitar tangan ni entahlah. Awal-awal lagi dah kena gelak dengan adik saya Mas kerana saya beritahu nak pinjam gitar adik ipar, Amran beserta note nya sekali. Siap dah bagitahu nak belajar lagu Bukan Aku Kerispatih.

Banyak sangat yang saya nak belajar benda-benda baru dalam hidup ini. Saya tak suka melakukan perkara yang sama setiap hari. Harap TUHAN janganlah benakkan hati saya belajar main gitar dengan Fuza. Manalah tahu suatu hari nanti Cikgu Laila boleh main gitar untuk P&Pnya dalam kelas. Tinggi angan-angan tu!

Resepi Kuih Tako

Kuih tako yang sudah siap tapi dimasukkan ke dalam bekas.
Sengkuang ditabur dulu di dalam acuan dari daun pandan
Potong sengkuang kecil-kecil
Bancuhan bahagian bawah
Tuang bancuhan dalam acuan dan masak bahagian atas pula
Lelaki pun boleh buat juga, tentu sinang bah!


BAHAGIAN BAWAH

sengkuang cina

1 cawan tepung jangung (diayak)

11/2 cawan gula pasir

6 cawan air

pewarna hijau


BAHAGIAN ATAS

1 cawan tepung jagung (diayak)

6/7 cawan santan segera yang dilarut bersama air

sedikit garam


CARA MEMBUAT

1. Buat acuan dari daun pandan macam bentuk sampan.

2.Campurkan semua bahan untuk bahagian bawah dan kacau atas api hingga pekat. Tuang dalam daun yang telah tersedia sengkuang dipotong kecil.

3. Campurkan semua bahan untuk bahagian atas dan kacau atas api hingga pekat. Tuang dalam daun.

4. Biarkan sejuk dan sedia untuk dihidang.

12 November 2007

SPM Dah Mula!


Hari ini adik-adik dan anak-anak kita yang di Tingkatan 5 mengambil kertas pertamanya. Setiap kali SPM menjelma, kita akan teringat pula pada kisah kita semasa mengambil SPM beberapa tahun yang lepas. SPM menjadi peperiksaan paling penting pada semua sekalipun ada peperiksaan lain yang lebih tinggi di sekolah iaitu STPM.

Debaran di dada tak payah nak cerita. Sepatutnya malam sebelum periksa, kita boleh lepak-lepak dan sekadar membaca nota ringkas. Tetapi pelajar 'cerdik' macam saya ni, bersengkang mata membaca soalan ramalan di saat akhir untuk menghafal jawapan. Bunyinya macam kelakar tetapi strategi itu menjadi untuk saya. Saya selalu dapat merah untuk subjek Sains dan Math Tambahan pula, angka kurang dari sepuluh markah sudah menjadi kebiasaan. Pendek kata cikgu saya jimat pen merah bila menanda kertas saya.

Semasa sekolah dulu saya memang nakal. Pernah saya meminta adik junior lelaki mengendap makmal pada malam sebelum amali subjek Kimia, Biologi dan Fizik. Akibat buat salah, saya terbayang-bayang polis datang ke rumah hendak menggari dan budak-budak tu kena tangkap dengan warden. Kelakar dan bodoh betul masa tu sedangkan bukan dapat apa-apapun. Sikitpun operasi haram itu tidak dapat membantu amali. Bila masa amali terkial-kial juga. Masa di sekolah saya memang banyak main. Itu yang keputusan teruk sangat.

Tetapi semasa di Matrikulasi dan universiti saya belajar dari kesilapan yang pernah saya buat. Saya belajar bermati-matian. Orang lain tidur, saya masih bersengkang mata membuat latihan tambahan. Hasilnya memang menakjubkan. Saya pernah dapat peperiksaan Biologi 100%, Kimia 80% meninggalkan pesaing terdekat pada angka 57% dan skor Psikologi 43/44 markah. Dengan keputusan yang agak baik, saya menghabiskan Matrikulasi pada semester ke 3 (sepatutnya 4 semester) dan Ijazah pada semester ke 5 (sepatutnya 6 semester).
Satu perkara yang saya belajar, Adalah menjadi kebiasaan untuk seseorang manusia untuk melakukan kesilapan, tetapi manusia yang tidak belajar apa-apa dari kegagalannya merupakan manusia yang paling kerugian.

Untuk adik-adik yang sedang berhempas-pulas menjawab soalan peperiksaan, mungkin 10 tip terakhir ini boleh membantu. Selamat berjuang!

1- Tidur awal, selewatnya jam sepuluh untuk mendapat rehat dan tidur yang cukup.

2-Elak dari membincangkan soalan yang sudah anda lalui hari ini dnegan rakan-rakan. Perkara sudah lepas, tiada apa yang boleh anda lakukannya lagi. Jika anda menjawab dengan betul tidak mengapa tetapi jika jawapan anda salah, ia akan mengganggu mood anda dan membuatkan anda berasa tidak yakin lagi untuk kertas yang akan datang.

3-Jawab soalan-soalan tahun lepas dan soalan ramalan. Baca jawapan dan ingat bagaimana skema menjawabnya. Sekarang bukan masa untuk anda membaca buku lagi.

4-Untuk subjek Sains Tulen anda perlu buat latihan banyak dan hafal serta tahu formula mana hendak digunakan.

5-Kurangkan bercakap dan jangan mengumpat kerana mengumpat akan membuatkan anda cepat lupa.

6-Solat hajat sebelum tidur.

7-Banyak baca Quran untuk tenangkan hati.

8-Mohon restu ayah ibu sebelum keluar rumah.

9-Keluar rumah dengan Ayat Kursi dan niat semoga ALLAH memberikan bantuan. Langkah dengan kaki kanan.

10-Bacalah Robbi Yassir Wa Tuassir Ya Karim sebelum masuk ke dalam dewan supaya ALLAH permudahkan anda menjawab soalan.


Selebihnya hanya DOA yang boleh anda lakukan. Selamat maju Jaya!

11 November 2007

Terima kasih semua


Kesempatan bertemu rakan taulan yang sudah lama tidak bersua
Sekitar jam 12.00 tengahari, sudah ramai yang hadir
Teh dan Ajie membantu apa-apa patut, kalau tak ada mereka, entahlah...
Alhamdulillah. Segalanya sudah selesai. Yang tak selesai lagi cuma mengemas rumah dan sakit-sakit badan kerana kepenatan. Sepatutnya majlis ini dibuat awal-awal lagi biarlah waktu awal Aidilfitri tetapi saya sibuk pula dengan peperiksaan akhir yang baru berlalu 5 November lalu majlis ini tertundalah sehingga semlam 10 November iaitu bersamaan hari terakhir Aidilfitri.
Majlis Rumah Terbuka ni (alamak rasa macam gah sangat nak guna istilah tu, apa kata guna istilah jamuan makan aje ok) saya gembira sangat sebab ramai rakan, saudara mara dan teman sepejabat yang hadir. Malam sebelumnya jam 1.00 pagi setelah selesai orang memasang khemah, saya bertanya abang, adakah orang yang nak hadir. Alhamdulillah setelah dihitung hampir 300 jemputan hadir jamuan itu. Makanan pun semuanya habis dan tukang masak gembira buah tangannya selamat masuk ke perut (tiada yang cirit-biritkan!)
Majlis dibuka oleh Lynn Dayana dan Rose Harissa jam 10.30 pagi. Kami berbual sementara menunggu masakan terhidang jam 12.00 tengahari. Mereka serang saya pagi-pagi tetapi saya dah bersedia. Lemang dan rendang saya hidangkan bersama dadih kepada mereka. Kak Lily Haslina dan keluarga selepas itu, diikuti Lily Suriani dan Che Bi (hiasan laman) turut hadir. Terima kasih atas kunjungan anda.
Rakan-rakan ex KYPM, Kota Bharu:Yani, Yantie, Yeng, Amri, Terima kasih dan maaf tidak dapat bersama kalian ke reunion 24 Nov. ini.
Rakan-rakan ex HRC:Hadi, Yana, Ju dan Aniza, Kehadiran anda sangat dihargai.
Rakan-rakan di SK Jalan 6, Bangi: Kak Aya, Kak Midah, Umi, Musliza, Kak Sariah, Kak Faezah, Kak Zarina, Hanim, Terima kasih kerana masih mengingati diriku yang kerdil, yang hadir seketika dalam hidup kalian
Saudara-mara: semoga ukhwah terus terjalin
Juga sekalung penghargaan yang tak terhingga buat warga BPO, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya yang memang memeriahkan majlis. Tanpa anda semua, tidak sempurna majlis ini.
Untuk rakan-rakan yang tak dapat tertuliskan di sini, Penghargaan yang terhingga.
Untuk Dr. Imran Syakir yang sudah memberi keizinan untuk wataknya di dalam Citra Pesona, terima kasih dan doakan saya sempat melakarkan kisah ini dengan sebaiknya.
Untuk semua-semua yang hadir, juga yang tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, terima kasih yang teramat dari Laila dan Aedy Fadly. Atas segala kekurangan penganjuran majlis ini, kami sekeluarga memohon maaf zahir dan batin!

07 November 2007

Jamuan Raya yang bes



Macam-macam yang jadi semalam. Penat sungguh. Ia bermula dengan kejayaan saya memujuk Lily Suriani hadir sama ke jamuan Rumah Terbuka Alaf21 walaupun MC. Kerana kereta masuk bengkel, terpaksalah saya merempit ke rumah Lily. Sempatlah beraya sementara menunggu Kak Aida Adriani yang nampak begitu sopan, lemah lembut dan muda belia itu dengan honda mewahnya. Penat sungguh makan dan gelak. Tapi bahagian paling gementar bila rakaman Selamat Pagi Malaysia tu. Sampai sekarang Lily dan Kak Aida tutup telinga bila teringat peristiwa tu. Hehehhe....

Masa nak balik sekitar jam 4, saya masih menunggu Rose Harissa yang menemuduga Heronya tapi tak nampak bayang. Sempat lagi saya mengangkut 10 buku Lynn Dayana yang diulang cetak kali ke tiga tu! Kalau ada dua minah ni mesti jamuan tu lagi meriah, sebab sebatu dah dengar ketawa mereka. Tahniah ye Lynn dan jangan lupa perjanjian kita.

Kak Durrah berbesar hati tolong hantar saya ke Putrajaya ambil kereta lagi satu. Terima kasih banyak ye kak, cantik kereta akak. Saya terus pecut ke rumah Lily yang besar juga hatinya tolong saya ambil kereta di bengkel. Sempat lagi kami bersembang di Secret Recipe. Malam sampai rumah terus melepeh.

Jamuan Alaf yang meriah, makanan banyak, tetamu ramai tapi saya sempat ambil sekeping gambar ni aje. Yang lain-lain Aleeya kata nak email. Oh Aleeya, gambar pesta buku pun akak tak terima lagi....

Akhir kalam, terima kasih kepada semua yang menjadikan hidup Laila bermakna!

06 November 2007

Di alam maya pada


Rumah saya berhabuk sebab saya berhibernate. Maid pulak takde nak tolong2 cuci. Maaflah kalau dua minggu blog saya memaparkan imej raya yang tak berapa cantik tu. Bosan ek....Apa nak buat, saya sedang berada di alam maya pada.


Apa saya buat masa penyepian tu? Baca buku, baca buku, diskusi, periksa dan sesekala sempat juga menghadiri rumah terbuka. Ada juga jenguk blog sesekala tapi tak sempat buat apa. Jadi baru hari ni nak bergiat aktif semula dalam dunia blog.


Oh, saya dah kumpul beberapa bahan untuk dimasukkan ke dalam blog ini walaupun saya tak update lama. Tapi supervisor saya dah bagi amaran bila nampak saya keluarkan laptop biru ni. Satu pertanyaan yang membantutkan selera saya untuk terus berblog, kira potong stim habislah. Soalannya ialah " Bila nak siap novel?"Ya Ampun!

Tak bolehkah datang raya?

Kunjung mengunjung amalan mulia
nilai tradisi budaya kita
Kalau tak buat rumah terbuka
tak bolehkah nak datang beraya

Amalan mengadakan rumah terbuka atau dalam bahasa Omputihnye Open House mula diperkenalkan pada lewat 90an dan semakin menjadi-jadi trendnya era alaf baru ni. Bagusnya rumah terbuka ni, sesiapa saja boleh datang ke rumah sekalipun tak kenal sebelum ini. Masa ini digunakan untuk lebih beramah mesra dengan tetamu tetangga. Makanan pun banyak dan yang penting free. Sedap punya pasal sampai dua tiga pinggan kita bedal. Bila masuk rumah ke tiga, kita hanya jamu mata dan minum air saja.
Cerita pasal rumah terbuka, macam-macam ragamnya. Paling saya tak boleh lupa semasa ikut abang ke rumah seorang Pegawai Daerah di satu negeri. Bos abang beria-ia cakap, dekat saja ikut highway. Sekali punyalah jauh baru boleh sampai. Lepas tu boleh sengih lagi dan cakap, "Kalau aku cakap jauh, kau gerenti tak nak ikut punya."Boleh gitu? Berasap telinga dan berasap buntut duduk lama dalam kereta. Apapun bila orang dah menjemput, kenalah kita cuba sedaya upaya untuk hadir. Malah kalau kita berpuasa sunatpun kita boleh berbuka demi menghormati jemputan.


Berbalik kepada isu tadi, benarkah amalan rumah terbuka ini sudah terlalu relevan sehingga mengenepikan amalan kunjung-mengunjung kita dahulu yang beraya tak perlu dijemput-jemput. Bagi orang yang masih mengamalkan nilai tradisi (beraya tanpa dijemput), saya panas telinga bila setiap kali saya nak pergi melaksanakan misi Pah Bedah saya (serbu rumah orang nak beraya), abang akan cakap orang tak jemputpun, tak buat rumah terbuka, nak buat apa datang, orang tak sedia nak terima tetamu. Tapi saya tetap mengatakan bila raya, tak buat rumah terbukapun kita tetap boleh datang raya kan? Kalau tak, apa gunanya beli kuih raya kan? Tak ada kuih raya? Air bujang pun apa salahnya. Janji matlamat berkunjung itu tercapai....

Tanpa DIA siapalah aku



Aku selalu merasakan


hidup ini penuh liku kepayahan


banyak kali aku jatuh, rebah


malah menangis sudah menjadi sahabat nan setia


Namun DIA begitu PEMURAH


diutuskan hidayah kebenaran


lalu aku bangun, menilai diri dan


belajar dari kesilapan


Dan tangga kejayaan


kupanjat, kuraih satu persatu


tak terhitung pula impian yang menjadi kenyataan




Aku selalu merasakan


rakan tidak memperdulikan


hanya mencari kesenangan


ada yang menikam dari belakang


Namun DIA begitu PEMURAH


diutuskan salam perkenalan


aku mengenali teman


yang boleh jatuh bangun, menangis bersama


mendoakan kehidupanku sentiasa sejahtera




Aku selalu merasakan


kurangnya belaian kasih sayang


dibelenggu ketakutan yang bukan-bukan


Namun DIA begitu PEMURAH


menghantar sang arjuna untuk mendamaikan


penawar segala kedukaan


dan membawa bersama


penyejuk mata penenang jiwa




Aku selalu merasakan


diri serba kekurangan


tak terbandingkan dengan manusia hebat di luar sana


Namun DIA begitu pemurah


menemukan aku erti kebahagiaan hidup


menemukan aku pada semua perkara baru


yang mengujakan....


melengkapkan sebuah kehidupan




Tanpa DIA siapalah aku


Laila Kamilia 25 Oktober 2007


Bandar Seri Putra

Merdeka bagiku


Merdeka bagiku hari ini

bebas dari tugasan

bebas dari bebelan

bebas dari sebarang ujian

atau aktiviti luar yang menghitamkan

juga peperiksaan

yang menyesakkan seorang tua

yang semakin benak dan mudah pelupa

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...