02 Julai 2008

Euro Dah Tamat... Olimpik Pulak Menanti

Setelah sebulan bergelumang dengan bolasepak, maka pada 30 Jun yang lalu tamatlah sudah pesta yang membuatkan peminatnya yang bermata merah (akibat kurang tidur) kembali menjalani rutin kehidupan seperti sediakala. Antara manusia yang kembali normal ialah abang. Sejak sebulan lalu, dia tidak pernah tertinggal walau satupun perlawanan bolasepak Euro 2008 jam 12.00 malam dan 2.45 pagi hampir setiap hari (perlawanan kumpulan) dan selang 2-3 hari (kalah mati). Saya pula menjadi mangsa apabila kerap terjaga mendengar riuh jeritan goll nya di pagi-pagi buta. Dan adakalanya akibat tidak dapat melelapkan semula mata, saya pun turun untuk menonton sama aksi bola yang berlangsung di Switzerland dan Austria itu.


Antara perlawanan yang sempat saya tonton ialah Germany vs Poland (2-0), Netherlands vs France (4-1), Spain vs Russia (4-1), Portugal vs Germany (1-3), Netherlands vs Russia (1-3) dan Germany vs Turkey (3-2). Tetapi bila tiba perlawanan Final, saya tertidur dan apabila bangun, tinggal 2-3 minit sahaja lagi sebelum pengadil meniupkan wisel dan Spain diisytiharkan juara apabila menundukkan Germany dengan 1-0 hasil jaringan Torres. Antara pemain yang menjadi tarikan pada Euro kali ini dan juga menarik minat saya ialah Cristiano Ronaldo dari Portugal(kurang menyerlah kali ini tetapi sebab hensem dan berbakat), Ballack dan Podolski (Germany), Arshavin (Russia), David Villa (Spain - penjaring terbanyak Euro) dan Sneijder (Netherlands).


Apapun, Euro sememangnya satu pesta bolasepak kedua terbesar selepas Piala Dunia dan pastinya tahun 2012 nanti kita akan bertemu sekali lagi. Namun, selepas pesta Euro, kini menanti kita satu pesta sukan terbesar dunia pada bulan Ogos ini ialah Sukan Olimpik yang akan diadakan di Beijing, China pada 8-24 Ogos 2008. Ini satu lagi pesta sukan yang amat saya nantikan. Dan sudah tentu acara badminton dan olahraga menjadi favourite saya untuk melekap di kaca tv ogos nanti.


Memang saya minat sukan,

tapi dah lama tak bersukan,

patut pun tak turun2 berat badan,

Nasib kau lah badan.

27 Jun 2008

Sertai Kuiz Rindu Belum Berhenti



Bagi yang telah memiliki novel terbaru keluaran Alaf21, jangan lepaskan peluang untuk memenangi hadiah istimewa dari penulis novel Dhiya Zafira (khabarnya hadiah didatangkan khas dari Sepanyol). Sila jawab soalan-soalan mudah ini sebelum 31 Julai 2008 ke dhiya_zafira@yahoo.com.


1. Apakah nama tempat peranginan yang diusahakan oleh Adni Zuhayra?
2. Kenapakah Izz merahsiakan kepulangannya daripada pengetahuan keluarga dan Adni?
3. Berapa lamakah hukuman sebenar yang dijatuhkan ke atas Izz?
4. Apakah hubungan sebenar antara Pot dan Murni?
5. Berapa lamakah tempoh pertunangan Adni dan Khairy?
6. Sebab apakah yang membuatkan Izz merasakan Pot mempunyai komplot bersama Murni?
7. Apakah yang menyebabkan identiti sebenar Zack terbongkar?
8. " Saya menyukai RINDU BELUM BERHENTI kerana.............( lengkapkan ayat ini).

Selamat Mencuba dan Selamat Membaca!

ps: Yang belum baca, sila dapatkan novel ini di pasaran...

22 Jun 2008

Berakhirnya Prison Break Season 3 (Spoiler Alert!)


Malam esok akan berakhirlah penantian penuh debaran, pengakhiran musim ketiga! Walaupun epidod terakhir hanya akan berakhir esok, tetapi dek kerana tidak sabar menanti, saya telah menonton episod terakhir itu beberapa hari yang lalu (melalui DVD kawan yang didownload daripada internet!).


(Spoiler alert!!!) Dalam episod terakhir ini, Scoffield akhirnya berjaya juga keluar dari Sona, dengan membawa 3 orang banduan termasuklah James Whistler, misi utamanya untuk lari dari Sona. Kebijaksanaan Scoffield dan abangnya Lincoln Burrow dalam melakukan pertukaran antara anak lincoln dan Whitsler tidak dapat dihidu oleh Gretchen, wanita kejam yang menamatkan riwayat Sara (buah hati Scoffield). Memang menarik dan penuh suspens!


Episod terakhir ini juga menyerlahkan ketampanan Scoffield (wajahnya kembali bersih dan kemas). Pasti wanita tertawan dengan senyuman manis dan renungan matanya. Hahaa! Bagi yang meminati Prison Break, jangan lupa temujanji terakhir musim ketiga, malam esok jam 10.30 malam di 8TV. Dan kepada yang tidak tahu apa itu Prison Break, cuba cari DVD musim 1 dan 2 dulu di kedai video berhampiran dan saya pasti anda akan ketagih untuk menonton siri itu lagi di masa akan datang.


Prison Break musim keempat akan kembali dengan misi Scoffield untuk memburu dan membalas dendam pada kematian kekasihnya Sara. Paling best musim keempat mungkin akan menampilkan semula Sara....Mmm...rasanya tidak sabar menunggu aksi musim keempat. Sama-sama kita tunggu!

20 Jun 2008

Apa sudah jadi?

Sudah lama rasanya saya tidak menjenguk manuskrip Cinta Pandang Kedua (CPK). Dari beberapa bulan lepas asyik muka surat yang ke 35. Entah apa yang terjadi kepada saya tetapi saya benar-benar sibuk. Benar, hadis nabi "kejarlah dunia dan dunia akan jauh meninggalkanmu". Sejak maid saya tamat kontrak bulan Mac lalu, saya sibuk dengan urusan rumahtangga yang tidak sudah-sudah habisnya. Bila malam sudah penat dan saya tidur awal. Saya cuba untuk berjaga malam tetapi saya tidak mampu lagi. Bila cuti sekolah, saya habiskan masa dengan keluarga dan entah macam-macam kerja. Sudahnya pejam celik cuti sekolah sudah dua kali meninggalkan saya dan manuskrip saya tidak bergerak ke mana-mana.
Saya masih tidak dapat mengagak bila saya akan menyiapkan CPK. Memang besar harapan saya supaya saya boleh meninggalkan manuskrip CPK sebelum berhijrah tetapi nampaknya harapan itu semakin jauh....Oh TUHAN! Apa sudah jadi pada diriku?


Novel terbaru dari Dhiya Zafira



Kepada penggemar novel, sila dapatkan novel sentuhan terbaru dari novelis Dhiya Zafira. Dengan tajuk dan cover yang gempak, pasti nafsu anda tergoda untuk menyentuhnya...

13 Jun 2008

Rindu Belum Berhenti : Karya Terbaru Dhiya Zafira

Wah! Teman saya ni dah ada buah tangan baru.... Romantic Triller....dahsyat ni. jadi tunggu apa lagi...dapatkan segera di pasaran!
Ikuti temuramah bersama Dhiya yang saya sedut dari laman web Alaf21 (lepas ni saya temuramah Dhiya sendirilah pulak...itupun lepas dia balik dari bercuti di Sepanyol).


1. Tahniah di atas kelahiran RINDU BELUM BERHENTI (RBB). Boleh ceritakan bagaimana Dhiya mendapat idea dan berapa lama masa yang diambil untuk menyiapkan keseluruhan manuskrip?RBB adalah kisah seorang lelaki yang insaf atas kesilapan masa lalunya yang kotor dan hitam. RBB juga kisah seorang wanita yang tiba-tiba menjadi pelarian atas jenayah yang dirancang ke atasnya. Takdir menemukan mereka berdua dan tanpa sedar ada sejarah / rahsia yang tersembunyi di antara mereka. Idea? Kebanyakannya hasil daripada menungan saya yang tidak henti-henti. Apabila sudah mendapat plot secara kasar, barulah saya buat research serba sedikit. RBB lahir bersama KDB. Semasa menghantar manuskrip pertama, hampir 65% RBB telah siap. Cuma terhenti seketika semasa arwah ayah sakit. Saya tidak mengira masa berapa bulan atau tahun saya menulis, yang pasti seperti target saya, setahun mesti sebuah buku.
2. Membaca `Tinta Penulis' dalam RINDU BELUM BERHENTI, Dhiya ada mengatakan ini merupakan percubaan pertama saudari mencuba genre action-romantis. Berbeza sangatkah berbanding karya yang pertama? Saya tidak mengubah genre secara total. Saya masih mengekalkan unsur cinta di dalam novel saya. Ini merupakan percubaan pertama dan juga cabaran buat saya untuk melihat sama ada saya mampu untuk menulis cerita-cerita aksi sebegini. Secara jujurnya, saya lebih menggemari cerita-cerita yang berunsurkan action romance ataupun action thriller ini daripada kisah cinta semata-mata. Sejak dari zaman persekolahan, saya lebih terdedah dengan cerita-cerita begini. Jadi, saya cuba menulis cerita yang saya suka dan mengharapkan pembaca juga suka apa yang saya garapkan.
3. Antara karakter Alia & Taufik dalam KUDAMBA BAHAGIA (KDB) dengan Adni & Zack dalam RINDU BELUM BERHENTI, yang manakah lebih menjadi kesukaan dan yang manakah lebih sukar? Untuk memilih antara dua pasangan ini, sememangnya sukar kerana saya amat mengemari mereka. Saya sukakan kelembutan Alia dan kesetiaan Taufik. Saya sukakan hubungan mereka walaupun menerima dugaan yang bukan sedikit. Adni pula, saya sukakan ketegasannya. Dia tidak pernah kenal erti putus asa. Tidak pernah mengalah untuk memperjuangkan cinta. Adni tahu apa yang dimahukan dan dia berusaha untuk mendapatkannya. Zack, inilah watak yang agak payah untuk dipotraitkan. Saya kena menyelami ke lubuk hati seorang lelaki yang tersepit di antara rasa dosanya pada masa silam dengan keinginannya untuk hidup bahagia bersama Adni. Walaupun payah, tapi saya sukakan Zack dan berharap agar pembaca juga sukakan watak ini.
4. Kami yakin peminat yang telah berpuas hati dengan KUDAMBA BAHAGIA akan merasakan perasaan yang sama dalam RINDU BELUM BERHENTI. Komen sikit. Saya percaya genre apa yang kita tulis sekalipun, kalau garapannya bagus, wataknya meyakinkan, plotnya menarik, cerita itu tetap akan bagus. Itu kenyataan. Saya bercakap secara umum, bukan tertumpu pada karya saya sahaja. Secara peribadi, kemahiran penulisan saya semakin berkembang dalam RBB. Saya juga yakin RBB lebih baik daripada karya saya sebelumnya. Pembaca tidak usah takut. Kalau pembaca mencari cinta, RBB juga ada cinta. Kalau mahu air mata, RBB juga bisa mengalirkan air mata anda. Nasihat saya, bacalah dahulu dan nilaikan kemudian. Perlu diingat juga, saya masih dalam proses pembelajaran..
5. Pastinya ada kenangan manis dan tidak kurang yang pahit sepanjang Dhiya bergelar novelis. Jika tidak menjadi keberatan, kongsi-kongsilah dengan kami.Menjadi seorang penulis adalah impian saya sejak dari alam persekolahan lagi. Apabila sudah berjaya, maka apa sahaja yang berlaku selepas itu adalah manis-manis sahaja. Cuma, apa yang membuatkan saya ralat/kesal adalah kerana arwah ayah saya tidak berpeluang untuk melihat hasil kerja saya. Hanya tiga minggu ayah pergi dan saya mendapat tahu bahawa karya saya akan diterbitkan. Arwahlah yang beria-ia memupuk minat dan semangat saya untuk terus menulis. Kini, walaupun ayah telah tiada, namun semangatnya tetap bersama saya, abadi selama-lamanya.
6. Harapan Dhiya terhadap RBB tentunya yang indah-indah belaka. Ya, kan?Sudah semestinya! Saya mengharapkan yang baik-baik sahaja untuk RBB. Saya berdoa agar RBB boleh diterima pembaca, kerana tanpa pembaca siapalah saya. Saya juga berharap siapa yang menyukai KDB akan menyukai RBB. Seperti yang saya katakan tadi, baca dahulu dan nilailah kemudian. Semoga anda semua berpuas hati.
7. Target Dhiya? Insya-ALLAH... selagi ada kudrat, saya akan terus menulis. Saya mensasarkan sebuah novel setahun. Dan buat masa ini, saya berjaya mencapai target saya itu. KDB terbit pada 2007 dan RBB pula pada tahun ini. Kalau tiada aral, mungkin KTU (judul sebenar biarlah rahsia dulu, ya...) akan terbit pula tahun 2009. Insya-ALLAH. Semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan anda semua. Terima kasih kerana masih menyokong saya.

Novel terbaru dari Najwa Aiman

Dah lama tidak mendengar cerita baru dari novelis 'jantan' ini. Dalam diam mamat ni menghasilkan dua buah tanda mata baru (disamping dua anak baru).... Jika ke kedai buku dan berkesempatan tataplah tanda mata dari beliau.
Tatkala manusia secara fitrahnya berkehendakkan teman, mereka memilih untuk dipinggirkan.

Apakah yang membezakan isteri curang dengan suami mata keranjang?

10 Jun 2008

Satu cerita yang menginsafkan

Cerita ini dikisahkan sendiri oleh seseorang yang sangat dipercayai. Kira, sumber sah dan tiada alasan untuk mereka cerita. Baru-baru ini ibu kepada yang menceritakan ini meninggal dunia. Dia mempunyai seorang saudara kanak-kanak istimewa. Pada masa di hospital, ketika arwah masih di hospital, kanak-kanak ini tidak mahu masuk melihat arwah. Begitu juga ketika orang memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, kanak-kanak ini tidak mahu ikut sama walaupun dipujuk.
Ini mendatangkan hairan kepada pencerita dan dia memujuk kanak-kanak itu untuk bercerita apabila semuanya sudah selamat. Menurut kanak-kanak itu pada masa arwah sedang mengucap dua kalimah syahadah di belakang si pencerita (yang ketika itu sedang mengajar arwah mengucap) dia nampak dua makhluk yang bertanduk sedang bertepuk tangan meraikan kematian manusia (mungkinkah ia syaitan yang ingin memesongkan hati orang yang hampir meninggal dunia?). Di hadapan dada arwah satu makhluk yang sangat besar seolah-olah mahu menimpa arwah.
Pada ketika orang mengambil peluang untuk mencium wajah arwah untuk kali terakhir, kanak-kanak itu nampak bilik itu dipenuhi oleh ramai orang tua berbaju putih (mungkinkah roh-roh yang ingin mengiringi jenazah ke kubur) menunjukkan isyarat tangan ke bibir, meminta kanak-kanak itu berdiam.
Pada akhir perbualan kanak-kanak itu dengan pencerita, kanak-kanak itu menyesal kerana menurutnya telah mungkir janji pada seseorang kerana membocorkan rahsia.
Betapa istimewanya kanak-kanak yang boleh melihat alam ghaib. Pengajaran dari cerita ini begitu menginsafkan. Mati itu pasti dan bersediakah kita pergi? Semoga kita mati dalam iman, dalam Islam....

Pertandingan Mewarna Hakimy yang Pertama

Jeng..jeng...jeng... inilah hasilnya selepas puas bertungkus-lumus selama 15 minit! Hasil tangan umur 2 setengah tahun...Tak cukup di depan, di belakangpun berconteng....

08 Jun 2008

Euro 2008 sudah Bermula!

Demam Euro 2008 sudah bermula. Masa ini sindrom mata bengkak-sembab dan pening kepala akan melanda para peminat bola sebab tak cukup tidur. Mana taknya pertandingan yang bermula seawal 12.45 malam dan hanya akan berakhir kira-kira 5.30 pagi. Hanya ada sejam untuk tidur dan selepas itu perlu bergegas untuk ke pejabat pula.
Namun bola punya pasal, berjaga malam bukan menjadi soal. Malam tadi pasukan pilihan Rep. Chec dan Portugal telah melepasi ujian pertama dan pagi nanti pasukan pilihan saya dan abang German akan beraksi menentang Poland. Malam tadi saya hanya menonton perlawanan Portugal-Turki kerana ada Ronaldo! Pagi ini insyaAllah saya akan berjaga untuk menonton aksi Klose, Podolski, Ballack dan Lehnman.
Siapa kata orang perempuan tak menonton bola? Dulu masa di sekolah saya rajin menonton Piala Dunia dan pasukan pilihan saya Brazil dan German. Masa kerja dulu saya siap angkut TV ke ofis kerana ofis saya tiada TV. Biasanya saya menonton kesemua perlawanan kegemaran saya. Namun disebabkan batasan masa dan usia nampaknya kali ini jumlah perlawanan yang saya akan tonton mungkin berkurangan.
Apapun jika anda mahu berkongsi demam Euro dengan saya, boleh layari blog saya sepanjang Euro ini kerana jadual dan keputusan perlawanan akan sentiasa dipaparkan. Selamat Demam Bola!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...