28 November 2013

Ekpedisi Kinabalu ; 18 November 2013 Menggapai Puncak

Perjalanan dimulakan jam 2.30 pagi. Setelah berjaya tidur-tidur ayam, pastilah tak sukar untuk bangun jam 1.30 pagi untuk bersiap. Apabila restauran dibuka jam 2.00 pagi, apa yang saya boleh telan hanyalah roti sekeping dicicah air kopi. Itupun jenuh nak telan. Saya makan vitamin dan panadol untuk elakkan pening kepala. Setelah bersarapan ala kadar, kami berkumpul tepat jam 2.30 pagi. Kami diberikan penerangan ringkas, senaman ringkas dan berdoa (tak ringkas hehe). Paling best, orang yang sampai lambat (saya la tu), diberikan ruang jalan terlebih dahulu. Hahaha... semangat tu. 

Sampai 30 minit berjalan saya masih di depan tapi kemudian tiba-tiba saya rasa pening. Saya berhenti dan bagi peluang orang memotong. Pada ketika itu, abang dah duduk kat sebelah saya dan saya **** Habis semua makanan yang tak seberapa tu keluar semuanya. Pakcik Ishak tanya kepada saya okey ke tidak. Dia dah beritahu awal, kalau ada simptom mabuk-mabuk, boleh beritahu dan misi akan diberhentikan. Saya kata saya ok. Setelah bertenang, saya meneruskan perjalanan.

Perjalanan pagi itu hanya diterangi lampu suluh dan cahaya bulan yang cantik. Subhanallah. Nak ambil gambar bulan tapi kamera tak dapat capture, jadi saya tak dapat kongsikan bersama anda di sini.
Seperti semalam, perjalanan kami menaiki tangga-tangga dengan jalanan berbatu. Rupanya bukan saya seorang yang kena AMS (Acute Mountain Sickness) ataupun dalam bahasa Melayu yang mudah mabuk gunung/altitut tinggi. Boleh baca pasal AMS dan simptomnya di sini AMS. Mungkin saya berjalan terlalu laju supaya tak tertinggal macam semalam menyebabkan  saya kena AMS. Tapi kawan saya yang memang selalu mabuk bila naik bas, turut menghadapi AMS. Jadi mungkin itu juga salah satu sebabnya. Orang yang selalu mabuk-mabuk (bukan minum alkohol ye hehehe) naik bas, naik bot, etc la, akan mudah dapat AMS ni rasanya. Tapi kawan saya lagi teruk kerana dia muntah beberapa kali. Saya cuma muntah sekali dan pening-pening, tapi saya masih boleh melangkahkan kaki.

Kami sampai di checkpoint Sayat Sayat jam 5.30 pagi. Hmm... sepatutnya saya kena sampai jam 5.00 pagi paling lewat. Tapi renjer baik hati, benarkan kami naik. Dia pesan, kalau orang lain trun, kami kena turun juga. Saya memang tak tahu yang kena sampai di checkpoint itu jam 5.00 pagi. Kalau tahu, mungkin saya bertambah tertekan. Saya kata kat abang, kalau ada rezeki, kita sampai. Kawan saya yang tiba selepas itu tidak dibenarkan naik ke puncak. Ini disebabkan mereka menjangka kalau sudah naik lewat, nanti turun juga lewat. Hotel checkout jam 10.30 pagi dan selepas sejam bayaran tambahan RM100 akan dikenakan. Ini untuk beri peluang kepada pendaki yang baru tiba pula.

Sebaik naik mengikut tali, kami berhenti seketika untuk solat Subuh. Air yang dibawa memang sejuk gila. Matahari sudah mula mahu menunjukkan diri, lalu kami bertiga (ada seorang kawan lagi) mahu duduk melihat pemandangan matahari naik. Subhanallah. Melihat matahari muncul ketika berada di atas awan, pemandangannya memang sangat cantik!



Selepas matahari terbit, kawan saya mahu turun kerana lututnya cedera. Jika sudah sampai di Sayat Sayat, anda sudah boleh dapat sijil Kinabalu, cuma tidak berwarna. Untuk dapatkan sijil berwarna, anda kena sampai ke 8.5km. Saya dan abang berbolak-balik sama ada hendak meneruskan perjalanan atau turun saja. Badan sudah lesu tapi kami tidak cedera. Kalau tak naik, entah bila akan datang lagi. Ini operasi now or never. Sekalipun tak berapa cergas, saya kata kat abang, kita lihat dulu apa ada di sebalik puncak berbatu di belakang kami. 

Dengan semangat itu, kami tiba di balik puncak dan nampak sayup dari situ, ada kira-kira 2.5km lagi untuk sampai ke km8.5 (nak dapat sijil warna) hehe. Abang tanya kondisi saya dan saya kata, kita jalan sampai jumpa kawan-kawan lain. Kalau mereka sudah mahu turun, maka kami akan turun sama. Jika ada rezeki sampai ke puncak, maka sampailah. Dengan menapak di kawasan berbatu menuju puncak, memang penat sementelah melihat ramai pendaki yang sudah turun.

Namun kata-kata semangat seorang pendaki wanita Inggeris yang mula-mula turun, supaya kami sampai ke puncak. Katanya tak jauh lagi... Cuaca sangat cantik, jadi kami perlu teruskan... membuatkan semangat kami semakin pulih. Kami tiba di landmark Gunung Kinabalu, puncak runcing itu. Itupun saya sudah gembira. Ingatkan saya tak akan jejak ke situ. 



Perlahan-lahan dengan dorongan suami, kami berjalan perlahan-lahan. Akhirnya kami terserempak dengan kawan-kawan lain yang baru turun dari puncak. Untuk bergambar di puncak, kena beratur.  Jadi mereka terpaksa menunggu giliran. Terus-terang pakcik Ishak guide tu sudah melaporkan yang saya tidak sampai ke puncak. Jadi dia kena betulkan laporannya. Tentu dia tak sangka, si kura-kura ini akhirnya sampai juga. Sebab itulah gambar saya tak ada bersama-sama dengan rombongan utama. Mereka memang begitu fit dan sihat sebab sampai ke bawah puncak Low's Peak sekitar jam 6.30 pagi. Jadi ketika saya sampai, mereka sudah berada 2 jam di sana. Alhamdulillah, mereka memberi semangat kepada kami berdua untuk terus mendaki puncak. Mereka turun untuk mengejar untuk mengemas barang-barang dan makan. Saya sempat meminta tolong seorang kawan untuk mengemaskan barang-barang saya di katil jika saya tak sempat sampai.

Inilah akhirnya. Dalam AMS, saya berjaya sampai ke puncak. Memang puas hati. Alhamdulillah. Disebabkan hanya kami berdua, maka memang kami suka hati mengambil gambar dan video dengan bebas. Saya sempat merakam pesanan untuk anak-anak dari puncak Low's Peak tapi disebabkan angin kencang, suara saya tak jelas kedengaran.



 Inilah impian saya sejak kenal aktiviti mendaki, mendaki Kinabalu, puncak tertinggi di  Asia Tenggara. Alhamdulillah Tuhan mengabulkan impian saya. Saya harap, kejayaan saya dan suami menjadi inspirasi kepada anak-anak kami untuk mencapai impian mereka. Jika kami berdua, boleh melakukan misi mustahil dengan hanya berbekalkan doa, harapan dan semangat, pastilah mereka juga boleh menggapai impian mereka sendiri, in syaa Allah.

Ketika turun dari puncak, AMS saya semakin merusuh. Setiap kali saya berdiri, saya akan rasa loya, pening kepala dan nak muntah. Sudahnya saya mengesot. Hanya kesabaran ketika itu yang menyebabkan suami saya menanti saya. Pada pertengahan jalan, disebabkan terlalu lambat, guide tertinggalkan kami. Dia terpaksa menunggu di checkpint Sayat Sayat. Malah pakcik Ishak yang sudah turun, terpaksa naik semula ke Sayat Sayat kerana bimbangkan kami yang terlalu lama mengambil masa turun.

 Inilah papan tanda amaran tentang bahaya. Pada waktu subuh hening ketika kami semua mendaki, tak nampak bagaimana rupanya tapi bila dah siang, baru nampak betapa bahayanya di situ. Alhamdulillah kami tidak cedera dan berjaya turun dari Sayat Sayat dan tiba ke tempat penginapan di Laban Rata pada jam 11. 00 pagi.  Ketua ekspedisi, Shahrul menanti dengan beg kami. Alhamdulillah kawan tolong kemas. Makananpun masih ada disimpan. Kawan-kawan lain sudah pun check out menuju ke Timpohon Gate. 

Kami memulakan perjalanan turun pada jam 12.30 tengahari. Tak lalu makan. Perlahan-lahan kami turun ke Timpohon Gate menuruni batu-batu dan tangga, laluan sama seperti semalam selama 6 jam. Bermakna kawna-kawan terpaksa menanti 3 jam di Kinabalu Park, sebab mereka sampai jam 3.30 petang. Sabarnya mereka menunggu kami!  



Alhamdulillah misi tercapai. Daripada 19 orang yang mendaki, 16 mendapat sijil warna, 3 lagi mendapat sijil hitam putih. Tapi bersyukur kerana semua dapat sijil! Ada saja pendaki yang tak dapat sijil. Kami telah membuktikan, apapun boleh diatasi dengan menawan mental sendiri terlebih dahulu. Kekuatan fizikal penting kerana dengan fizikal yang baik, anda akan dapat menikmati ekspedisi dengan lebih gembira tetapi jika fizikal anda telah lumpuh, hanya kekuatan mental yang berjaya membawa anda sampai ke puncak! Terima kasih kepada semua rakan pendaki yang memberi sokongan juga kepada teman-teman lain yang mendoakan dan memberikan sokongan dan harapan hingga ke pintu balai ketibaan. Saya tahu ada ramai lagi di luar sana yang mendoakan saya menggapai impian saya. Terima kasih semua! Andalah permata saya yang berharga!

Saya tinggalkan anda dengan lagu yang begitu memberi semangat dan inspirasi. It's only in your mine. You can achieve everything if you want! Kepada mereka yang bercita-cita untuk menawan Kinabalu, saya mengucapkan selamat maju jaya. Anda boleh melakukannya jika anda mahu. Bawalah seseorang yang dekat dengan hati anda kerana apabila berada bersama dengan orang yang anda sayang, anda menjadi lebih kuat menghadapi kesukaran. Berdua kan lebih baik? Saya tahu saya tidak akan sampai ke puncak jika saya sendiri. benarlah kata suami saya awal-awal dulu, saya tak akan berjaya tanpanya! Selamat mendaki!



Tercapaikah 3 impian saya untuk menyahut cabaran Kinabalu? Saya sedang menyiapkan manuskrip novel saya yang terbaru Cinta Top Secret. Hanya apabila saya meletakkan titik, barulah kejayaan Kinabalu lengkap bagi saya.

25 November 2013

Ekspedisi Kinabalu : 17-18/11/13 Cabaran Sebenar Bermula

Ada 3 sebab mengapa saya menyahut cabaran Kinabalu! 1- Sedari dulu saya memang suka mendaki, telah tertanam di dalam hati untuk ke Kinabalu.  2- Tuntutan watak dalam novel terbaru saya Cinta Top Secret.  Zain Ashraff, Maryam Eisya dan Jefry Ahmad Yatim merupakan watak-watak yang saya cipta sebagai sukakan aktiviti lasak dan ekstrim. 3- Inspirasi kepada anak-anak untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang daripada apa yang dicapai oleh saya.


Ketika saya nampak iklan Ekspedisi Kinabalu ditampal di kaunter pejabat sekolah, saya kata, "Wah! Macam menarik!" Hati saya digigit-gitgit untuk ikut serta. Tapi bila melihat senarai nama yang tercatat semuanya lelaki, saya jadi hampa. Takkanlah saya seorang peserta perempuan. Saya bertanya-tanya kepada para peserta lelaki dan dikhabarkan ada seorang lagi guru perempuan yang berminat nak pergi. Saya berjumpa dengannya da dia kata kepada saya, "kalau akak tulis nama, saya pun akan kompem pergi," Lalu tercatatlah sejarah nama saya di situ sebagai satu-satunya peserta guru wanita, diikuti oleh nama kawan saya yang seorang lagi itu. Ia kekal hingga ke akhirnya, hanya kami berdua guru wanita yang menyahut cabaran Kinabalu, SKBSP.

Semasa saya memberitahu kepada enche suami, dia kata, saya tak akan sampai kecuali jika bersamanya. Jadi akhirnya saya mendaftarkan nama kami berdua. Sebelum ke Kinabalu telah diadakan beberapa siri latihan  pendakian bermula dengan Bukit Broga, Bukit Tabur, Gunung Berinchang,  Bukit Saga, FRIM dan Batu Caves, Gombak. Selain daripada itu, kami  mesti mengekalkan stamina dengan berlari setiap 3 hari. Tetapi dengan latihan begitupun, saya masih merasakan diri saya sebagai peserta ekspidisi terlemah. Setiap kali latihan, saya adalah yang terakhir sekali sampai. Sebab itu, saya selalu kata saya gementar untuk mengikuti ekspedisi Kinabalu.

Namun hari yang ditunggu akhirnya tiba. 16 November 2013, pada pagi jam 6.30 kami sudah bertolak ke KLIA. Penerbangan transit di Labuan menyebabkan perjalanan kami lewat (kapal terbang tukar tayar pulak). Hanya kira-kira jam 2.00 baru kami tiba di KK. Perjalanan seterusnya ke Kinabalu Park (kami singgah makan/solat di Putra Jaya dan rumah terbalik). 

Jam 6.45 petang, buat pertama kalinya saya nampak bayang-bayang Kinabalu berbalam-balam dari jauh. Itupun hampir membuatkan air mata saya mengalir kerana saya betul-betul rasa bersyukur. Kunjungan saya ke Kinabalu Park sebelum ini, saya langsung tidak berpeluang nampak bayang-bayangnya pun kerana hujan dan berkabus. Saya berdoa semoga ALLAH mengabulkan impian saya untuk melihat sendiri Kinabalu pada esok hari. Kami check in di Kinabalu Park dan bersedia untuk pendakian pada keesokan harinya. Malam itu saya tidur dengan begitu nyenyak. Sementelah hotelnya memang superb! Makanan dan penginapan memang perg! Terbaek!




Jam 7.00 pagi, kami semua bersedia dengan barang-barang untuk ke lobi Kinabalu Park. Kami bersarapan sebelum dibawa ke check point 1- Timpohon Gate.Selepas menyerahkan barang kepada porter, kami bergambar beramai-ramai. Ada 19 orang dalam pasukan kami. 



Setelah membuat senaman ringkas dan membaca doa, kami diterangkan secara ringkas oleh ketua guide kami pakcik Ishak. Hari ni pasukan kami ada 4 orang guide (purata lebih kurang 5 orang untuk 1 guide). Pakcik pesan, jalan jangan tengok atas, pelan-pelan dan jangan sendirian. Setelah tandatangan di buku yang disediakan, kami bertolak sekitar jam 9.30 pagi. Kalau diikiutkan jadual, kami akan tiba ke Laban Rata jam 3.30 petang iaitu selepas 6 jam perjalanan (1km=1jam). Hehe... itu perkadaran Matematik untuk mereka-mereka yang fit dan cergas. Bagi saya yang tak berapa fit dan selalu terjejas penumpuan kerana sibuk mengambil gambar dan video, tentulah angkanya akan jadi lebih besarkan? Hehe... secara logiknya la... Kita tengok nanti jam berapa saya tiba?





Terus-terang, saya sebenarnya memang memandang enteng cabaran Kinabalu. Saya diberitahu oleh Shahrul, ketua ekpedisi (beliau sudah 7 kali menawan Kinabalu) memang laluannya sukar, bertingkat-tingkat, sejuk... Masa di sana nanti, kekuatan minda saja yang akan membantu selain fizikal. Masa tu katanya, kita akan cuba mengalah. Tapi saya juga mendapat info yang latihan-latihan keras yang saya lalui bersama pasukan tidak perlu kerana Kinabalu taklah sesukar mana. Naik-turun Batu Caves 6 kali sudah memadai. Tapi apabila menghadapinya sendiri, saya bagitahu betul-betul,"kalau saya tahu, beginilah cabaran Kinabalu, saya tak akan datang." Serik? Bukan! Sebenarnya Kinabalu memang sangat-sangat mencabar bagi orang seperti saya yang tak berapa fit ini. Hehe. Jalannya yang berbatu dan bertangga-tangga itu betul-betul mencabar kemampuan fizikal saya. Perjalanan 6km itu rasanya hanya 500m jalan rata, yang selebihnya laluan berbatu bertingkat-tingkat. Penat! Sangaaaaat penat!



Petang itu cuaca memang baik, cuma pada akhir-akhir petangnya hujan/gerimis. Pemandangan memang superb! Sangat cantik! Sebab itu juga ia melengahkan perjalanan saya petang itu. Hehe. Saya memang tak boleh sabar nak klik klik. Keputusan tidak membawa kamera SLR sebenarnya tepat kerana walaupun gambar cantik tapi saya tak mampu menggalas kamera yang agak berat tu.  Saya cuma membawa air, power gel, ubatan dan makanan. Itupun rasa kaki berat aje melangkah. Pada awal ekspedisi kami telah diminta untuk memikirkan satu perkataan yang boleh menjadi motivasi kepada diri. Hehe. Saya juga jumpa perkataan itu akhirnya. Pondok! Hahaha jangan ketawa. Perkataan itu telah berjaya membawa saya sampai ke titik hujung check point akhir di Laban Rata! (setiap 1km ada 1 pondok yang ada bekalan air dan tandas). Biasanya kami akan berehat sebentar di pondok sebelum meneruskan perjalanan. Kami dinasihatkan tidak berhenti terlalu lama kerana jika tidak, badan yang panas akan sejuk menyebabkan cramp. Saya menyaksikan sendiri bagaimana seorang kawan yang menanti kawan lain yang tertinggal di belakang. Dia berhenti rehat selama 1 jam dan keesokan harinya dia cramp. Akhirnya dia tidak berjaya sampai ke puncak sekalipun dia antara peserta yang cergas dan di depan.
Akhirnya setelah melawan mental dan fizikal, kami tiba di Laban Rata pada jam 4.30 petang! 7 jam perjalanan bermakna, saya terlewat 1 jam daripada orang lain. Tapi saya bersyukur, saya selamat sampai walaupun lambat. Ketibaan kami disambut dengan pemandangan Kinabalu melatari rumah penginapan di Laban Rata. Setelah puas bergambar, kami masuk ke dalam lobi dan dihidangkan dengan makanan yang enak-enak. Tapi bila badan letih, makanan seenak manapun tidak bermakna lagi. Saya sekadar mengisi tekak dengan air dan beberapa suap nasi. Saya terpaksa bergegas mengejar solat kerana Maghrib akan menjelang tidak beberapa ketika kemudian.

Malam itu selepas Isya' saya sudah berbaring-baring di katil. Keperluan esok pagi sudahpun disediakan.  Kami dijangka bertolak ke puncak Kinabalu pada jam 2.30 pagi. Tapi mata saya tak boleh lelap. Pada malam itu saya sesak nafas. Beberapa kali saya cuba bernafas secara biasa tetapi rasa tersekat. Saya melayari internet di telefon mencari punca kerana saya bimbang diserang sakit jantung. Saya juga bersembang di whatsapp dengan kawan-kawan mengatakan saya tak boleh tidur. Pada ketika itu saya bagaikan terasa inilah malam terakhir saya, di fikiran saya hanya ada 3 perkara. Suami, anak-anak dan keluarga juga drama Cinta Pandang ke-2 yang saya tak sempat nak tengok jika saya meninggal dunia. 

Saya bangun dari pembaringan. Nekad. Jika ini malam saya yang terakhir, saya mahu mati di riba  suami. Saya gerak suami, beritahu dia, saya mahu ke tandas. Kami keluar dari bilik dan selepas itu saya rasa nafas saya kembali okey. Alhamdulillah selepas itu, saya dapat melelapkan mata beberapa ketika sebelum sedar jam 1.30 pagi untuk meneruskan perjalanan ke puncak Kinabalu. Rupanya bukan saya seorang yang merasakan pengalaman sesak nafas dan tidak boleh tidur. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti ketinggian altitut dan cuaca sejuk sekitar 14 degree. Hmm... Alhamdulillah umur saya dipanjangkan. Saya tahu DIA mahu memberikan saya peluang untuk memperbaiki diri, menjadi manusia yang lebih baik pada masa depan. Saya melangkah menuju ke puncak Kinabalu dengan harapan akan menjadi mereka yang diberi peluang untuk sampai ke puncak tertinggi di Asia Tenggara.

21 Oktober 2013

16 Oktober 2013

Jalan-Jalan Singapura (One day trip) versi DIY

Amaran : Pastikan anda benar-benar fit dan tak bawa budak-budak kalau nak ikut itenary redah dan belasah Singapura ini! Sila lihat peta MRT Singapura untuk memahami iteneri ini.

4.30 pagi- bertolak dari rumah ke LCCT
5.00 pagi- parking di LCCT dari jam 5-1.00 pagi RM42 lebih jimat daripada naik teksi RM60X2.
5.15 pagi- sahkan dokumen di kaunter Air Asia (tak perlu masukkan beg sebab travel light, dah web check in siap-siap kat rumah)
6.10 pagi- kapal terbang berlepas (solat subuh atas flight)
7.15 pagi-tiba di Changi International Airport@ Terminal 2 (tengok arah jalan untuk naik tren ke terminal utama)
7.30 pagi- tiba di terminal utama, sarapan pagi. Kalau tak tahu nak makan apa, boleh makan fast food macam Burger King (jangan risau kebanyakan fast food ada tanda halal, tak yakin tengok kat tepi dinding).
8.00 pagi- cari papan tanda MRT. beli one day tiket tourist kat kaunter. Tiket ni valid dari jam 6 pagi-12 tengah malam saja bukannya 24 jam, harganya SGD20 saja (deposit SGD10, jadi dengan SGD10 boleh naik semua kenderaan awam di Singapura dalam masa sehari memangla berbaloi). Pastikan anda sentuh kad tiket anda setiap kali naik dan turun.


Perjalanan dari Changi Aiport ke city, anda perlu menukar tren di Tanah Merah (line hijau). Dari Tanah  Merah, perjalanan diteruskan sampai ke Raffles Place. Di sini anda boleh turun dan exit di exit H. Kita akan mula dengan Merlion. Selepas exit, sebelah kanan akan nampak sungai. dari situ boleh river cruise  tapi tambangnya lain, tak boleh guna one day tiket tadi.





Dari Merlion, kami menyusur ke kanan dan lihat banyak jambatan dan bangunan tinggi. Jalan hingga jumpa simpang dan menyeberang jalan untuk ke tapak yang menempatkan Merlion. Dari sini  panoramanya cantik, Singapura yang maju!







Selepas penat bergambar kat situ, boleh memilih sama ada nak kembali naik MRT turun di stesen City Hall untuk lihat Raflles Hotel atau teruskan perjalanan anda melalui jambatan menuju The Esplanet (struktur macam kulit durian). Kami memilih berjalan kaki dan berehat seketika di The Esplanet.

Bila perut dah lapar untuk diisi makan tengahari, bolehla naik MRT turun di Bugis. Sebaik keluar dari stesen Bugis, jalan ke kanan, terus sampai jumpa traffict light. Di situ ada shopping mall. Masuk shopping mall tu dan keluar dari situ terus nampak kubah masjid. Kat situla Arab Street. Ada banyak restoren makanan halal. Pilih aje sambil jamu mata shopping. Barangan yang ada kat sini macam di Jalan Masjid India. Jadi saya tak ada beli apapun, sementelah bila di convert dengan RM yang sudah agak tinggi (dulu RM2.20 sekarnag RM dah semakin teruk RM2.70, lebih baik shopping di KL hehe).






Sebaik azan berkumandang (waktu lebih kurang sama aje di Malaysia), ambil peluang solat di antara masjid tertua di sini. Lepas tu boleh sambung jalan-jalan di kampung Melayu Gelam yang terkenal tu. Saya kembali ke stesen Bugis dan terus ke depan. Di sinilah letaknya Bugis Street, tempat orang membeli-belah juga. Harganya boleh tahan. Tshirt boleh dapat pada harga SGD10 untuk 3 helai. Orang sesak gila dan disebabkan lorongnya yang kecil, memang tak berapa sesuai untuk tolak troley baby.

Dari situ, kami naik bas. Nak tengok Singapura dari bas pula. Kami naik bas ke Marina Bay Sand. Kat sinila shopping mall terbesar di Asia! Boleh shopping kalau banyak bawa SGDnya sebab macam-macam jenama terkemuka di dunia ada di sini!





Seberang jalan je daripada Marina Bay Sand adalah Marina Bay Skypark. hah! tu yang kat belakang saya tu yang macam  kapal tu. Ada observation deck. Kalau nak naik SGD20 je! Saya amik gambar je... kat taman kat bawah ni, Marina Gardens by the Bay. Memang cantik terutama pada waktu malam! Malangnya disebabkan kepenatan, kaki dah tak larat nak berjalan lagi ke sana! jadi impian nak datang tengok garden tu waktu malam simpan kemas-kemas dalam poket la! Ada rezeki nanti boleh datang lagi dengan anak-anak pulak!



 Ini jambatan helix kat area Marina Bay juga.
Jam 8.00 malam ada pertunjukan istimewa kat luar shopping mall. Ada pertunjukan laser, rasanya lebih menarik kalau dilihat dari seberang di Merlion.

Kalau ada peluang, rasa makanan yang tak ada di Malaysia! Pasti beri pengalaman menarik. Kalau masih larat, boleh jalan-jalan di Orchard road (boleh baca entri saya sebelum ini tentang Orchard Road). Tapi disebabkan saya sudah 3 kali ke Singapura, dah pernah ke sana, jadi memang tak kuasa la nak ke sana lagi. Dah pancit! Hehe. Kalau nak ke sana naik MRT laluan merah (Jurong East).

Tepat jam 8.15 malam, semasa pertunjukan laser masih berlangsung, saya pulang menaiki MRT. Jangan lupa kembalikan tiket one day di stesen MRT di airport Changi sebelum pulang (dari Marina Bay terus ambil line hijau dan tukar tren ke Paya Lebar sebelum meneruskan perjalanan ke Changi). Selepas sahkan dokumen di kaunter Air Asia, selesai urusan imegresen, barulah saya makan. Pada malam itu flight delay 1 jam menyebabkan saya sampai ke rumah jam 2.00 pagi. 

Hehe. Pengalaman yang memenatkan tapi puas hati dapat pergi ke tempat-tempat yang saya belum pernah sampai di Singapura. Amacam? Boleh cuba iteneri ringkas dan padat ni. Lepas ni kita cuba one day trip Bangkok pula ye! Selamat melancong!

14 Ogos 2013

Projek Ferro Cement- Terapi Sensori bak rawatan akupuntur

Kini anda boleh membuat sendiri ferro cement ini di rumah. Saya akan menunjukkan kepada anda bagaimana ia dibuat langkah demi langkah. Menghasilkan ferro cement ini bukannya susah. Jika anda membelinya di kedai nurseri, harga bagi satu acuan ferro cement yang sudah siap bersama batu sungai adalah sekitar RM10, namun sekiranya anda membuatnya sendiri, harganya sekitar RM7 (untuk saiz yang agak besar juga, harga ferro cement yang telah siap bergantung kepada saiznya). Ini bermakna anda boleh jimat sekitar RM3 untuk satu acuan.

Bahan-bahan
Simen
Gam simen
Pasir
  Semua bahan ini dibancuh seperti hendak membuat bahan binaan.

Kayu
Paku
   Bahan ini untuk membuat acuan (frame)

Jaring
Cat luar (tahan air)
Varnish 

Langkah-langkah

1- Membuat acuan/frame- Kayu dibuat frame mengikut saiz yang anda suka. Satu cara lagi adalah dengan membuat frame terus di atas tanah (memanjang) tetapi pastikan ketika itu adalah tidak hujan supaya simen dapat kering sepenuhnya.


2- Membancuh simen dan meletakkan bancuhan ke dalam acuan/frame. Isikan simen separuh sahaja kemudian letakkan jaring untuk menguatkan binaan. Masukkan baki simen untuk menutup keseluruhan acuan/frame. 

Sekiranya anda memilih untuk membuat acuan/frame terus ke dalam tanah, sila pastikan batu sungai terus diletakkan ke atas bancuhan simen sebelum ia mengering.




3- Meletakkan batu sungai ke dalam bancuhan simen. Bahagian ini paling seronok kerana kita bebas mereka corak yang kita suka. Boleh campur warna batu dan jenis batu seperti gambar.



 4- Ferro cement yang sudah siap dicorak, perlu dijemur. Walau bagaimanapun jika anda memilih untuk meletakkannya di atas tanah terus, langkah ini boleh diabaikan dan menjimatkan masa menunggu.



5- Mengecat ferro cement yang telah kering. Setelah mengecat biarkan kering dan varnish bagi meninggalkan kesan berkilat.

 6- Mengorek tanah untuk tapak ferro cement. Ketika ini anda boleh menentukan corak yang anda mahukan, sama ada melengkung atau memanjang mengikut citarasa anda.


 7- Menyusun ferro cement yang telah siap di atas tanah.
8- Ferro cement yang telah siap, sedia untuk digunakan. Batuan ini sangat bagus merangsang deria dan dipercayai boleh memulihkan banyak jenis penyakit. Sekiranya mahu, anda boleh meletakkan pemegang bagi membantu anda  memijak batuan. Ferro cement ini banyak digunakan di taman-taman rekriasi tetapi anda boleh juga meletakkannya di rumah sebagai hiasan dan kesihatan. Bagus untuk bersama-sama anak-anak menyiapkannya sebagai satu aktiviti keluarga.

Selamat mencuba!
Nota : Saya ingin merakam penghargaan kepada para guru praktikum Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras kerana berkongsi ilmu dengan para guru menyiapkan taman mini refleksiologi ini di sekolah. Selain daripada itu, gambar-gambar di dalam entri ini adalah milik peribadi dan dirakam untuk tujuan pendidikan sahaja.

08 Ogos 2013

Salam Aidilfitri 1434Hijrah daripada Laila Kamilia dan keluarga



Tahun 2011, semasa novel saya Cinta Pandang ke-2 terbit, saya sempat mengirimkan kad raya versi istimewa kepada semua pembacanya. Tahun ini disebabkan kesibukan, saya tidak sempat menyediakan kiriman istimewa buat pembaca Cinta Bunga Tulip. Saya mohon ampun dan maaf atas kekurangan itu.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan maaf zahir batin. Semoga Aidilfitri ini mengirimkan kenangan yang indah-indah saja dan semuanya selamat kembali ke rumah masing-masing setelah beraya sakan.

Kepada yang telah mengirimkan kad raya kepada saya, terima kasih banyak-banyak kerana sudi mengingati diri saya ini. InsyaALLAH saya akan kirimkan kad raya kepada anda bersama satu nota istimewa, berita gembira buat saya yang tidak saya khabarkan kepada pembaca novel Laila Kamilia yang lain lagi. 

Kepada yang sudi mengirim kuih tanda ingatan juga, saya amat terharu. Betapa kalian memang sayang pada Laila Kamilia ye! Hehe! Saya juga sayangkan korang.

Kepada yang sempat bertemu muka, saling menziarah, saya amat syukuri kerana akhirnya kita dipertemukan juga. Semoga ukhwah yang terjalin akan berpanjangan.

Kepada yang saya tidak sempat bertemu, saya mendoakan agar di suatu hari yang indah kita akan bertemu juga.

Sampai jumpa lagi. Terima kasih atas kasih sayang anda!

19 April 2013

Temu Mesra Kali Pertama 2013 - Cinta Bunga Tulip

Assalamualaikum! Pertama kali turun padang mempromosikan Cinta Bunga Tulip bersama rakan novelis Hezzy Azra dengan si Velvetnya. Jadi jika ada kelapangan, jom ke MPH Alamanda, Putrajaya pada hari Sabtu, 20/4/2013 jam 2.30-4.30 petang.

Kepada yang telah mendapatkan si tulip sebelum ini, boleh bawa juga bersama buku-buku saya yang lain untuk saya tandatangan juga! 


Kepada yang mahu melengkapkan koleksi novel Laila Kamilia, inilah novel-novel saya yang lain!


Atau sekadar bersembang-sembang santai boleh saja! Jom dating! Jumpa di sana!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...