30 Ogos 2007

Perjuangan Belum Selesai- Tun Mahathir

Sajak yang ditulis dan dibacakan oleh bekas PM kita suatu masa dahulu amat terkesan di hati saya. Bacalah bait-baitnya dan hati akan tersentuh. Inilah antara sajak paling best yang saya pernah dibaca dan disimpan kemas dalam folder ....


Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati
Dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkandari membiarkan bangsaku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Dipersenda dan dilupakan
Bukan kecil langkah wira bangsa
Para pejuang kemerdekaan
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatihasalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negaramerdeka dan bangsa terpelihara
Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari bermandi
Keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsaku asyik mengia
Dan menidakkan, Mengangguk dan membenarkan,
Kerana sekalipun bangganya negarakerana makmur dan mewahnya bangsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri
Bukan kecil tugas kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan,
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka pernah menjadiwira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa kerana hanya bangsa yang berjayaakan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tandaBangsanya yang berjaya.
- Tun Dr. Mahathir Mohamad (Malam Puisi Utusan, 4 Mei 1996)

JANGAN LEPASKAN PELUANG MENEMUI BARISAN PENULIS ALAF 21 DI PWTC

SEMPENA menyambut 50 tahun merdeka, Alaf 21 turut mengambil bahagian dalam jualan buku di PWTC pada 30 Ogos - 2 September 2007. Untuk kali ini, Alaf 21 dengan bangganya membawa barisan penulis yang akan menemui para peminat mereka di sana.
Oh, ya... pastikan anda mendapatkan buku-buku Alaf 21 yang terkini. Semua buku yang dijual akan diberi diskaun yang berpatutan.
Gerai Alaf akan dibuka dari jam 10.00 pagi - 6.00 petang.

29 Ogos 2007

Pesta Bunga Api


Sabtu lepas baru berpeluang untuk melihat pertunjukan bunga api. Datangpun dah lambat jam 8.30 malam. Orang dah ramai terutama di arena percuma di hadapan PICC. Dalam hati teringin untuk melihat pertunjukan bunga api muzikal, jadi hubby meneruskan pemanduannya ke PICC yang gah itu. Sampai di depan pintu masuk, hanya kenderaan yang telah membeli stiker boleh masuk. Jalan sudah mulai sesak di pintu masuk lalu saya beratur membeli sticker dan tiket yang langsung tidak diketahui berapa harganya. Kelakar pula bila tiada info berkenaan harga tiket dan sticker parking diletakkan hatta di hadapan kaunter tiket. Saya hanya tahu berapa harganya bila sudah penat beratur, betul-betul untuk bayar tiket di depan jurujual tiket.
Saya mengagak harganya tentu tidak mahal sangat memandangkan penonton boleh melihat secara percuma tetapi saya terkejut kerana dikhabarkan di depan kaunter tiket tu harga tiket ialah RM30.80 seorang dan sticker parking berharga RM10. Keseluruhannya untuk melihat pertunjukan api muzikal yang saya kononnya jakun nak tengok itu berharga RM71.60. Dalam hati sabar ajelah. Mungkin ini sebabnya penganjur tidak menunjukkan harga di depan kaunter tiket secara besar-besaran. Mungkin mereka bimbang, mengetahui harganya orang akan berpatah balik. Patut penganjur memberi maklumat awal tentang sitcker parking bagi mengelakkan kesesakan yang teruk. Kesesakan dan harga tiket memberi impresi awal yang tidak baik kepada penganjur.
Dengan tiket harga sebegitu dalam kepala saya, mesti susunan tempat duduknya lebih kurang seperti stadium atau paling bodohpun atas tempat duduk kayu berteingkat macam Royal London Circus. Tapi Tipah rupanya tertipu. Tiada tempat duduk langsung dan orang ramai hanya meilihatnya berdiri. Hingga ada yang berebut kerusi tempat makan. Harga nasi beriayani RM12 dan air coklat RM5. Jadi kalau hendak ke sana bawa duit dalam kuantiti yang agak banyak ye...
Pertunjukan bunga api muzikal pada malam itu adalah pertunjukan oleh Team Itali. Dengarnya mereka berlatih 3 bulan sebelum pertunjukan dan menggunakan 1000 man month jam bekerja dengan 40 tan bahan letupan digunakan. Itu info yang saya ingat2 lupa kerana saya hanya mendengar MC memberitahu sedangkan sepatutnya penganjur memberikan brosur kepada pengunjung. Berapa sangat harga brosur tu dari RM30.80 ye? Payah sangat fotostat aje, susah ke?
Malam itu saya dapat satu lagi pengalaman hidup, tengok pertunjukan api muzikal. Setiap lenggok bunga api itu mengikut irama lagu yang dimainkan. Seronok juga mendengar muzik dari hanya mendengar dentuman bunga api dilancar. Melihat bunga api dari sudut atas tidak mengujakan sangat kerana saya pernah melihatnya di Darby Park pada malam kemerdekaan. Pemandangannya cantik dan tajam. Kalau melihat dari bawah, kadang-kadang bila terlalu lama pertunjukan bunga api itu, pemandangan kita akan terhalang oleh asap. Bila bunga api dari sudut serong juga akan kelihatan begitu tajam dan cantik.
Siapa-siapa yang belum tengok lagi, masih ada kesempatan untuk melihatnya. Team Japan akan buat persembahan pada malam 30 Ogos manakala pusingan akhir pada 2 Sept. nanti. InsyaAllah saya akan datang lagi sebab parking tiket tu masih boleh digunakan cuma saya tak masuk ke kawasan pandang. Cukuplah sekali merasa. Duit tiket tu boleh beli nasi beriyani dan air coklat, kenyang perut. Kalau pergi jangan lupa bawa kamera video dan yang seangkatan dengannya. Ada fun fair dan kat tempat awam tu ada jualan makanan. Mungkin bawa tikar satu idea yang baik jika tak mahu duduk di atas lantai pejalan kaki. Kalau tak bawa pun tak apa sebab Putrajaya bukankah bersih? Bersedia dengan kesesakan lalulintas dan fikirkan alternative route untuk pulang ke rumah. Selamat berpesta!

25 Ogos 2007

Suka Motor?

Inilah dia motor Aprillia Fareez yang saya gambarkan dalam AA.


Saya bukan minah rempit tapi memang saya suka sangat dengan motorsikal (motor). Bukan apa, motor sudah menjadi sebati dengan hidup saya sejak kecil. Mula-mula dulu abah hanya naik basikal. Dah ada duit baru abah beli motor C70.


Kenderaan pertama yang saya belajar menaikinya tentulah basikal tetapi yang berenjin tulah motor. Masa tu saya baru darjah empat. Kaki pun terkail-kail tak sampai tapi sudah gatal nak belajar. Memang rutin di kampung saya budak-budak kecil lagi sudah belajar bawa motor. Rasanya sejarah kampung tu budak darjah satu. Punya terror dia bawa motor. Mak ayah saya geleng kepala risau takut eksiden tapi dia rilek je bawak dengan kakinya yang tak sampai itu.


Mula-mula belajar naik motor, saya langgar rumah, lepas tu pokok pisang. Kira sejarah saya jatuh motor kira dahsyat jugaklah. Bak kata orang, kalau bawak motor tak eksiden tak sah. Bila dah masuk universiti, saya bawa juga motor. Pernah saya eksiden siap terbang macam superman. Alhamdulillah. Masa tu saya ingat, nyawa saya takat tu saja.


Siapa kata kalau motor berhenti kita tak boleh eksiden? Pernah sekali masa cuti semester, kawan saya minta saya hidupkan enjin motor dia. Entah kenapa malang tak berbau, motor tu terangkat ke atas dan jatuh ke atas saya. Besar juga luka di lutut ni sampai sekarang berbekas.


Tapi saya tak pernah serik dengan motor. Dulu masa tak ada kereta, dengan motor pinjam saya bawa adik-adik keliling KL. Pergi lawat Muzium, Jalan TAR. Kira jalan kat KL ni, bolehlah kalau nak merempit. Sekarang ni dah ada keretapun saya masih ada motor. Mula-mula motor Modenas, lepas tu sekarang ni Nitro. Sekali pandang Nitro tu ada juga rupa Yamaha, warna biru. Tapi saya setakat merempit kat sini ajelah. Bila sudah dewasa ni, kena fikir dua tiga kali jugak kalau nak naik motor.


Saya pernah bercita-cita hendak beli motor besar sebab rasa seronok bila naik motor. Pernahlah rasa naik Virago pinjam, hubby bawak. Cita-cita itu semakin membesar dan saya simpan di dalam hati. Suatu hari nanti saya akan memilikinya juga. Ronda-ronda dengan hubby bila anak-anak semua dah besar ke? (terbayang aksi Rahim Rajoli dalam iklan Salindah). Harga motor tu saja dah sama macam harga kereta malah ada yang harganya sama macam beli rumah. InsyaALLAH kalau ada rezeki lebih, impian itu akan terlaksana jua.


Dalam dua novel saya, saya abadikan motor di dalamnya. Dalam LK, motor Virago dan RXZ milik Zuhairee manakala dalam AA motor Honda C70 untuk Cikgu Nik Mat dan Aprillia untuk Fareez. Motor apa pulak saya nak letak dalam novel-novel seterusnya? Saya masih berkhayal.

Elemen Budaya dalam LK : Perkahwinan Cina Melayu


Saya memang sudah biasa bergaul dengan kawan-kawan Cina. Dulu semasa di Tingkatan 4, kawan-kawan Cina saya akrab Chin Hooi (dengarnya sekarang pilot), Chee Wei, Chee Yue, Lisa Gan, yang lain-lain saya tak berapa ingat namanya. Bukan bermakna saya sengaja lupa tapi masa membuatkan kita tak berapa ingat, namun ingatan terhadap kenakalan mereka saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Dalam banyak-banyak tu tersesat seorang India, namanya Aravind Chandran (dengarnya sekarang dah jadi doktor). Setiap kali gagal Fizik dan Add Math, Chee Yue dan Aravind tempat hendak mengadu.


Kami memang rapat. Kalau Tahun Baru Cina, saya (Liza dan Wa) akan pergi menziarah ke rumah mereka. Masa ni masing-masing duduk merekut sebab takut kena gigit anjing. Bila masa raya, giliran mereka ke rumah kami. Paling nak tergelak, Chee Yue sakan mengejar ayam sebab kat pekan dia tak pernah jumpa ayam. Hidangan paling diaorang suka, rendang mak saya.


Ada la juga antara kami yang nak tercouple (saya terkecuali) sama ada di antara Cina Melayu mahupun Melayu India, tapi sampai kini, saya tak pernah dengar ada yang menjadi. Paling dekatpun, beberapa tahun lepas kawan saya yang lain begitu serius sehingga sanggup jumpa parent awek dia nak minta restu. Bukan mudah sebenarnya untuk kahwin campur ni. Tekanan-tekanan dari keluarga dan masyarakat payah nak ditepis.


Lalu saya abadikan impian saya melihat pasangan Cina Melayu berkahwin, saya lakarkan dalam LK. Selalu orang cakap, itulah untungnya jadi novelis, apa dia nak buat dia dapatkan dalam fantasinya dan diterjemah di kertas. Kepada kawan-kawan saya yang terbaca entri ini, harapnya dapatlah berhubung dengan saya. Kalau kita buat reunion pun seronok jugak.

SAMBUTAN majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki sungguh meriah dan unik sekali. Majlis perkahwinan ini dilangsungkan mengikut adat istiadat masyarakat Cina tetapi disesuaikan dengan tata tertib agama Islam. Pada hari bersejarah itu, Dzalia mengenakan sepersalinan ceongsam labuh berwarna merah. Potongannya sedikit diubah suai agar tidak kelihatan terlalu sendat. Majlis dimulakan dengan upacara minum teh yang ber-langsung di rumah Zuhairee. Pasangan pengantin akan tunduk sambil menuang teh untuk ahli keluarga yang lebih tua. Dzalia menurut sahaja bila Zuhairee menuang teh ke dalam cawan ibunya, Mak Cik Zakiah kemudian Zetty. Sebagai balasan, pasangan pengantin kemudiannya dihadiahkan dengan angpau mahupun barang kemas. Kemudian keluarga Zuhairee mempersilakan pasangan pengantin itu minum teh, disusuli pasangan pengantin menghadiahkan angpau kepada mereka. Setelah itu upacara sama dilakukan kepada keluarga di sebelah Dzalia.

Majlis seterusnya berlangsung di Parameswara Ballroom, Palace Beach & Spa di The Mines, Seri Kembangan. Berseri-seri wajah kedua mempelai dengan senyuman yang tidak lekang-lekang di bibir mereka menyambut kedatangan seramai lebih kurang 150 jemputan. Ahli keluarga Zuhairee yang lebih tua mempersilakan tetamu duduk yang boleh memuatkan sepuluh orang setiap meja. Upacara itu bermula dengan ucapan tahniah daripada para tetamu dan diikuti dengan upacara memotong kek setinggi lima tingkat. Kek icing berwarna merah jambu itu memang cantik. Mereka tidak ketinggalan bersuapan kek di hadapan tetamu. Kedengaran suara-suara nakal bersiulan mengusik pasangan pengantin yang malu-malu.

Selepas upacara memotong kek, Zuhairee dan Dzalia ditemani oleh saudara-mara masing-masing singgah di setiap meja untuk minum bersama jemputan dengan mengangkat gelas minuman (yamseng) sebanyak tiga kali sambil mengucapkan selamat kepada pengantin. Sebelum beredar, tetamu menghadiahkan mereka dengan angpau.

Zuhairee sempat berbisik ke telinga Dzalia memberitahu biasanya hongbao yang diberikan merupakan wang tunai secara berpasangan. Dzalia mengerutkan dahi tanda tidak faham. Zuhairee kemudiannya menerangkan bahawa wang hadiah itu akan diberikan secara berpasangan contohnya RM50 untuk pengantin lelaki dan RM50 untuk pengantin perempuan tetapi sekiranya tetamu itu belum berkahwin kebiasaannya mereka akan memberi kurang sedikit nilainya seperti dua helai not RM20. Hangboa yang ada nanti harapnya boleh membawa mereka berbulan madu, bisik Zuhairee lagi bergurau. Dzalia mengangguk-angguk tanda faham. Sikit-sikit Dzalia cuba menyesuaikan diri dengan suasana sambutan perkahwinan yang janggal baginya. Mujurlah Zuhairee tidak jemu-jemu memberi penerangan kepadanya. Sesungguhnya perkahwinan ini akan menjadi kenangan terindah dan teristimewa buat Dzalia.

Tanah Sekangkang Kera


Inilah tanah sekangkang kera yang Laila ada. Yang gambar memula tu gambar diambil semasa mula-mula pindah dulu kira-kira 6 bulan lepas. Yang kedua tu beberapa bulan kebelakangan ini.

23 Ogos 2007

Sahabat Gelapku

Tersengih-sengih. Kira-kira ala posing mautlah tu. Dari kiri Kak Eka Fahara, Kak Rose Harissa dan hujung sekali Kak Lynn Dayana (hehehe kakak-kakak jangan mare). Sekali jumpa memang gamat...itu belum Kak Lily Haslina, Lily Suriani, Aleeya Aneesa dan Umi Azrini masuk korum. Mungkin juga kalau tambah Dhiya Zafira tak tahu nak jadi apa....
Seronok bertemu kalian...

Elemen sejarah dalam LK : Menara Condong Teluk Intan


Siapa pernah pergi ke Teluk Intan? Menara Pisa Malaysia ini memang bernilai sejarah. Kesempatan ada saya rakamkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Lihat menaranya yang menyondong ke kiri.

Otaknya sudah penat berfikir. Dia sudah tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu, mana yang dia inginkan dan mana pula hanya harapan. Sudah habis dirondanya bandar Teluk Intan, akhirnya dia berhenti betul-betul di kawasan letak kereta di hadapan deretan kedai yang menghadap menara condong. Dia sudah betul-betul keletihan, minda dan fizikal. Dia sudah tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi.

Dzalia keluar dari perut kereta, memeluk tubuh sambil melemparkan pandangannya ke menara di hadapannya yang menjadi jolokan Pisa Malaysia. Jam di menara itu berdenting lima kali. Me-nara itulah satu-satunya kemegahan penduduk Teluk Intan. Menurut sejarah, menara condong berbentuk pagoda itu dibina oleh seorang kontraktor Cina bernama Leong Choon Chong pada tahun 1885 untuk tujuan menyimpan air bagi kegunaan penduduk Teluk Intan sebelum bekalan air dari Changkat Jong disediakan oleh kerajaan pada tahun 1919.
Menara itu mempunyai lapan tingkat. Yang menariknya, ia hanya mempunyai tiga tingkap dan di bahagian atas sekali terletak satu tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Menara itu hampir dirobohkan oleh kerajaan British semasa Perang Dunia Kedua dahulu kerana dikhuatiri akan menjadi tanda kepada serangan kapal terbang Jepun. Tetapi atas bantahan penduduk, rancangan itu telah dibatalkan.

Kini, sekitar menara itu telah disimen bagi membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan untuk memeriahkan mercu tanda kebanggaan Teluk Intan itu. Hari ini sedang berlangsung satu pameran kereta di situ. Kelihatan beberapa buah kereta Proton dari pelbagai model dipamerkan. Kelihatan juga beberapa orang remaja asyik bermain kereta kawalan jauh tidak jauh dari situ. Asyik dia memerhatikan kerenah orang ramai di situ tetapi masalah di pundaknya belum juga mahu menyusut.

Tubuhnya tiba-tiba terasa sejuk. Dia lantas masuk ke kereta lalu menghidupkan enjin. Dia harus segera pulang jika tidak mahu demam. Akhirnya, Dzalia memecut meninggalkan bandar Teluk Intan yang semakin suram. Senja bakal melabuhkan tirainya.

20 Ogos 2007

Mari menonton House of Flying Daggers


Saya dah menontonnya entah berapa kali dah. Ini filem dah lama. Habis masak nasi tomato siang tadi, tetiba je teringin nak menonton citer HFD ni. Apa yang menariknya filem ini? Heheheh... selain heroinnya Zhang Xi Yie yang putih melepak tu tentulah heronya Takeshi Kaneshiro. Dia berdarah Taiwan dan Jepun fasih 5 bahasa. Masa dia datang Malaysia dulu, saya tak berkesempatan berjumpa dengannya (sebab tak tahu pun dia datang).


Filem ini mengisahkan dua orang konstabel yang telah diberikan tugas menjejaki ketua baru Flying Daggers iaitu Jin (Takeshi) dan Leo (Andy Lau). Mereka merancang untuk menghantar semula Mei iaitu anak kepada bekas ketua Fling Daggers yang buta (Zhang Zi Yi) ke Flying Daggers dengan Jin menyamar sebagai orang awam yang bencikan kerajaan dan Leo bersama askar mengikuti mereka di belakang.


Tanpa disedari Jin dan Mei jatuh cinta sepanjang perjalanan mereka. Dipendekkan cerita apabila sampai ke Flying Daggers didapati Mei tidak buta dan Leo adalah bekas kekasih Mei yang dtugaskan sebagai perisik kerajaan untuk Flying Daggers.


Cerita ini menarik disebabkan jalan cerita dan make beliefnya yang menjadi. Mati-mati kita percaya yang Mei tu buta tetapi rupanya hanya berpura. Selain daripada itu elemen twist and turnnya cukup menjadi. Beberapa kali kita menjangkakan sesuatu tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Sinematografinya memang superb! Pemandangan cantik menjadi latar cerita ini. Aksi kungfu tak payah ceritalah. Dari pisau terbang sampai adegan lompat pucuk buluh. Hebat tu! Filem ini cukup rencah lantas tidak hairan filem ini tercalon dalam Anugerah filem Cannes 2004. Jika ada kelapangan menonton filem ini bagus juga. Pergilah ke kedai CD yang berhampiran!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...