04 Oktober 2011

Temu Mesra Penulis Grup Buku Karangkraf di MPH One Utama!

Jom ke MPH One Utama pada 15,16 dan 22,23 Oktober ini mulai 2.00 hingga 5.00 petang. Mari beramah mesra bersama saya dan rakan-rakan Grup Buku Karangkraf iaitu MuRni AqiLa, Zuri Yanie, Mila Yusof, Hanis Azla, Rozita Abd. Wahab, Ayu Emelda dan Aisya Sofea. Lokasi MPH ini adalah di New Wing One Utama berdekatan dengan pintu masuk Parkson.  Jumpa di sana!

Pembeli novel Cinta Pandang ke-2 bakal menerima cenderamata istimewa dari Laila Kamilia pada 23/10/2011 (Ahad). Jumpa di One Utama!


Temu Mesra Penulis Grup Buku Karangkraf di Putrajaya!

Temu Mesra Penulis Grup Buku Karangkraf di EXPO JUALAN BUKU Sempena Sambutan Bulan Bahasa Peringkat Putrajaya Pada 5 - 7 Oktober 2011 Di Ruang Legar Dewan Persidangan , Kompleks Perbadanan Putrajaya


Pembeli novel Cinta Pandang ke-2 bakal menerima cenderamata istimewa dari Laila Kamilia pada 6/10/2011 (Khamis). Jumpa di Putrajaya!


03 Oktober 2011

SYARAT PENYERTAAN PERADUAN NOVEL CINTA PANDANG KEDUA


Untuk menyertai peraduan novel CPK2 ini sangat mudah.


SYARAT UTAMA:


1. Dapatkan novel Cinta Pandang Ke-2 di pasaran.

2. Jawab soalan berikut:
i. Namakan sekolah menengah Ainnur dan Zairul.
ii. Berikan nama tasik di Newcastle, UK yang disebut dalam novel ini. 
iii. Berapakah nilai wang yang dibayar Zairul bagi  membebaskan Ainnur dari tahanan di Phuket?

3. Sertakan slogan: “Saya meminati watak ........... dalam Cinta Pandang Ke-2 kerana ...... (tidak lebih  dari 15 patah perkataan).

4. Hantarkan jawapan dan slogan anda beserta nama penuh, nombor kad pengenalan (NRIC),  alamat rumah, alamat emel dan nombor telefon ke emel lailakamilia@yahoo.com (Letakkan Subject: Peraduan Cinta Pandang Ke-2)

5. Tarikh tutup penyertaan pada 6 Oktober 2011.

6. Pemenang akan dihubungi oleh Laila Kamilia untuk penebusan hadiah.

SYARAT TAMBAHAN

1. Peraduan ini terbuka kepada SEMUA pembaca yang telah membaca novel CPK2 tidak kira di mana jua anda berada di muka bumi ini. Pembaca yang telah menghantar jawapan sebelum 16 September tidak perlu menghantar semula penyertaan mereka.

2. Jawapan yang tepat mesti diemel dan sampai sebelum jam 12 tengah malam tepat pada 6 Oktober 2011.

3. Keputusan pemenang adalah muktamad. Sebarang bantahan tidak akan dilayan. 

4. Jika terdapat lebih dari seorang pemenang, pemenang utama adalah berdasarkan slogan terbaik.

5. Hadiah boleh dituntut daripada penganjur setelah pengumuman rasmi dibuat pada 14 Oktober 2011. Sila beri masa kepada penganjur untuk menguruskan hadiah. 

6. Bagi hadiah utama, kekosongan bilik hotel adalah     bergantung kepada hotel berkenaan. Pemenang boleh memilih salah satu hotel  tersebut tetapi tarikh muktamad dan pemilihan hotel adalah tertakluk kepada keputusan penganjur. Pemenang hadiah utama juga dikehendaki menghantar nama hotel yang dipilih beserta 3 tarikh pilihan kepada penganjur sekiranya diumumkan sebagai pemenang. Tempahan juga perlu dibuat selewat-lewatnya sebulan sebelum tarikh penginapan dan tarikh terakhir penginapan mestilah tidak lebih dari 1 Mac 2012.

7. Hadiah tidak boleh ditukar dengan wang ringgit tetapi penganjur berhak menukarkannya dengan hadiah yang  sama nilai dengannya. 

30 September 2011

SALE! Hingga 70% di Karangkraf Mall

SALE! Karangkraf Mall 1-3 Oktober, diskaun sehingga 70%

Selamat Hari Jadi Abang....

Selamat hari jadi buat suami tersayang pada 31 Ogos 2011 yang lalu, sehari selepas hari jadi Hana. Semoga panjang umur, murah rezeki dan sentiasa dalam perlindungan Allah selalu. 

28 September 2011

Novel Alaf 21 dicetak rompak!

cover yang palsu lebih gelap. kertas mudah cabut sebab digam bukan dijahit
bar code palsu tidak jelas. jadi bila discan susah/tak boleh dibaca
sebelah kiri asli yang kanan palsu sebab bunga nampak difotostat

Selama ini, kita menyangka cetak rompak hanya berlaku dalam industri hiburan dan perfileman tanah air saja. Banyak CD,VCD dan DVD lagu dan filem yang dirakam secara tidak sah dan dijual di pasaran terbuka dengan harga yang murah.


Malang sekali, kebiadaban lanun-lanun cetak rompak ini telah merebak ke dalam industri buku tanah air pula. Novel-novel Alaf 21 telah menjadi mangsanya! Salah satu novel yang telah menarik perhatian lanun-lanun ini untuk mengaut keuntungan secara haram adalah novel Cinta Yang Kurasa karya Anis Ayuni.

Seorang pembeli novel Cinta Yang Kurasa telah memulangkan novel ini secara pos ke pejabat Alaf 21 atas alasan novel ini ‘rosak’ kerana hampir 80 peratus muka suratnya tercabut. Pihak kami telah memeriksa novel ini dengan teliti. Ternyata novel ini bukan yang asli!

Ciri-ciri novel cetak rompak adalah seperti berikut.
1. Kandungan teks dalam telah difotostat.
2. Bunga di bahagian permulaan setiap bab tidak jelas kerana difotostat.
3. Warna cover di bahagian depan dan belakang lebih gelap daripada cover yang asli.
4. Barcode di cover belakang tidak jelas.
5. Novel yang tiruan digam saja dan ini menyebabkan muka suratnya mudah tercabut. Manakala novel yang asli dijahit dan tidak tercabut.

Menurut pembeli, dia membeli novel ini di sebuah pasar raya. Novel ini dibalut plastik. Dia hairan kerana ketika mahu membuat bayaran, petugas di kedai itu tidak dapat scan barcode buku ini. Sebaik tiba di rumah, setelah membuka plastiknya, dia mendapati ada muka surat yang tercabut dan membuat keputusan untuk memulangkan semula kepada Alaf 21.

Kes ini kami anggap serius kerana ia menjejaskan imej Alaf 21 di bawah Grup Buku Karangkraf, menganiayai pembeli-pembeli dan menjejaskan pendapatan penulis. Perkara ini akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan seterusnya bertindak membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Di sini kami menyeru kepada semua pembeli agar lebih berhati-hati. Sebarang laporan mengenai perkara ini boleh disampaikan kepada kami di 03 51013888 sambungan ke Alaf 21 - 3692/3683/3684. Kerjasama anda sangat kami hargai.

Novel Alaf 21 Terlaris Minggu Ini (28092011)

1. Ingat Janji Kita - Murni Aqila
2. Kupujuk Hati - Zuri Yanie
3. Bintang Itu Milikku - Arfa Ardiya
4. Raungan Mantera - Serunai Faqir
5. Uda Dan Dara - Aisya Sofea
6. Kasih Yang Suci - Meen Zulaikha
7. Setia Hujung Nyawa - Fatin Nabila
8. Cinta Pandang Ke-2 - Laila Kamilia
9. Semerah Inai Di Jari - Mila Yusof
10. Ombak Rindu - Fauziah Ashari






















26 September 2011

Selamat Ulangtahun ke 10 Hardy!

Ogos telah berlalu kini September datang. Kalau bulan Ogos, Hana dan abang sambut hari jadi, September menjadi giliran Hardy. Pejam, celik sudah 10 tahun umur anak sulung saya. Kalau berjalan di sebelah sudah hampir sama tinggi. Ya, empunya nama Hardy Zahidy Fadly ini memang tidak disangka akan besar dan tinggi seperti hari ini. 10 tahun yang lepas pada 16 September, dia lahir di Teluk Intan. Walau bagaimanapun, selepas sebulan, beliau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan kerana disyaki menghidapi VSD, sejenis masalah berkaitan jantung. Semenjak itu IJN sudah menjadi rumah nombor dua kami. Beliau menjalani pembedahan jantung pada  usia 5 tahun. Sedikit pengalaman mengalami VSD, ada saya titipkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Alhamdulillah kini dia sudah disahkan sihat dan dapat menjalani kehidupan normal.

Ya, siapa sangka, anak yang sakit-sakit itu sudah sebesar ini. Ya, dia adalah anak yang tabah. Sekalipun dia tahu, dia akan mengidapi VSD jika lahir ke dunia, dia tetap mahu menjadi anak Haslina dan Aedy Fadly, memberikan kami peluang untuk menjadi mama dan abah. Jika dia tidak tabah, pasti dia merungut semasa setahun setengah berada di Berlin. Bersekolah bersama kanak-kanak yang bahasanya langsung tidak difahaminya di kelilingnya. Dia memang anak yang tabah, kerana tidak sekalipun mukanya masam, memprotes tidak mahu ke sekolah.

Untuk anak yang setabah ini....., mama dan abah ingin memberitahu bahawa betapa kami sangat menyayangi dirimu. Selamat hari jadi ke 10 anakku. Jangan tinggal solat. Semoga hari depan menjanjikan hari yang indah dan mendamaikan!

ps-Tahun ni, kami meraikan besday Aid di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang

21 September 2011

Pengumuman Penting! Tarikh Peraduan Cinta Pandang ke-2 dilanjutkan!

Sukacita saya ingin mengumumkan dengan rasminya bahawa tarikh Peraduan Cinta Pandang ke-2 dilanjutkan! Saya tahu ada yang tidak puas hati, tetapi juga sebenarnya ada yang tersenyum senang. Setelah menerima rungutan dari pembaca CPK2 yang tidak berkesempatan untuk memasuki peraduan tersebut disebabkan kesukaran mendapatkan stok novel CPK2 di pasaran, saya harus berlaku adil kepada semua. Saya mengakui masalah mendapatkan novel CPK2 ini terjadi disebabkan novel tersebut sedang diulangcetak untuk kali kedua selepas hari raya Aidilfitri tempoh hari. Jadi proses untuk mengagihkan novel tersebut di kedai buku juga mengambil masa yang lama. Untuk makluman, novel tersebut dalam proses diulangcetak untuk kali ketiga. Jadi di antara selang masa itu, berlaku ketiadaan di pasaran. Menyedari hal ini, setelah meminta pandangan daripada beberapa pihak, saya dengan ini mengumumkan yang peraduan CPK2 dilanjutkan sehingga tengah malam 6 Oktober 2011. Ini bermakna pembaca mempunyai masa selama 15 hari lagi untuk menerima novel CPK2 yang dibeli, membaca, menjawab soalan dan menghantar jawapan. Saya akan mengumumkan pemenang pada 14 Oktober 2011. Jadi kepada peminat novel di luar sana, anda boleh dapatkan CPK2 di kedai-kedai buku berhampiran anda, melalui Alaf21 atau boleh juga pesan terus dari saya dengan menghantar emel ke lailakamilia@yahoo.com. Diskaun istimewa bersama tandatangan penulis menanti anda!

Kepada yang sudah menghantar jawapan, pastikan menerima kiriman emel pengesahan dari saya. Saya tahu yang sudah menghantar sebelum 16 September lepas pastinya tidak puas hati tetapi saya berharap anda memahami keputusan yang terpaksa saya ambil demi keadilan kepada semua pembaca. Kepada semua pembaca CPK2, terima kasih atas sokongan anda. Selamat membaca dan menyertai peraduan CPK2. Selamat maju jaya kepada yang telah menghantar dan yang masih mahu menghantar! Inilah tanda penghargaan saya kepada semua pembaca CPK2!


20 September 2011

Cinta Pandang Ke-2 sudah cetakan Ke-3

Alhamdulillah. CPK2 sedang dalam proses ulangcetak kali ke-3. Terima kasih semua untuk sokongan anda!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...