26 Oktober 2008

Alhamdulillah... Laptop dah pulih

Alhamdulillah... setelah bersusah-payah menaip dengan menggunakan sebelah tangan, laptop saya akhirnya berjaya kembali pulih. Harapnya biarlah betul-betul pulih kerana saya tiada alasan untuk bermalas-malas di depan komputer. Manuskrip sudah jauh dari garis tarikh yang telah ditetapkan...
Terima kasih kepada Yanty dan Illiana yang sudi membantu (saya download AVG dan betulkan setting keyboard). Muah!

Money Matters : Pindah duit


Bagi mereka yang baru pertama kali hendak ke luar negara tetapi memerlukan duit yang banyak untuk perbelanjaan kehidupan di negara orang di sini saya ingin kongsikan pengalaman tersebut.

Kita boleh memilih sama ada :
a- bawa sendiri (risiko pada keselamatan diri dan duit). Jika nak bawa juga jangan simpan di satu tempat dan dalam beg kargo.
b- bank draft (prosesnya lambat dan ambil masa)
c- travellors cheque (rugi sebab matawang ditukar ke USD dulu baru ke matawang yang kita mahu)
d-moneygram/western union (caj perkhidmatannya agak tinggi)
e- telegrafic transfer (melalui bank sendiri. sedikit caj perkhidmatan dikenakan. kalau Maybank akan caj RM10 per transaction dan Deutsche Bank (EUR 5,50)


Jadi pilihan yang terbaik pastinya e, tetapi jika anda perlu menggunakan duit pada kadar segera sebaik tiba, adalah menjadi masalah jika duit anda masih di bank. Saya difahamkan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh membawa keluar wang dari Malaysia secara tunai lebih dari RM10K. Jika perlu membawa jumlah wang yang banyak, kita perlu membuat pengisytiharan kepada kastam dan perlu check in lebih awal 3-4 jam sebelum masa berlepas.

Jadi sebelum keluar dari Malaysia, sila aktifkan aybank Phonebanking. Tetapi jika masih tidak sempat, kita masih boleh memohon TAC melalui konsultan Maybank.

25 Oktober 2008

Laptop meragam kena virus


Kepada semua pengunjung blog, saya minta maaf kerana blog ini mungkin akan bersawang dalam tempoh beberapa ketika kerana laptop saya diserang virus. Saya tidak boleh menaip kerana keypad saya telah menjadi huru-hara. Tekan k keluar a, tekan m keluar o. Inipun saya kena tekan fn sambil menaip. Jika anda ada solution kepada masalah ini, harap dapat bantu saya pada kadar segera. Terima kasih atas budi baik anda.

Jalan-jalan Berlin : Alte Museum


Bersebelahan dengan Berliner Dom ialah Alte Natinalgalerie (Muzium Kebangsaan Lama) yang menyimpan banyak khazanah lama koleksi kurun ke 19. Kalau dilihat betul-betul gambar yang pertama itu di sebelah kanan air pancut itu terbias pelangi di sebelahnya....

24 Oktober 2008

Musim menuai sudah tiba...selamat datang ke dunia baby comel

Entri ini istimewa buat anak-anak teman saya di SKBR. Masing-masing sibuk nak menambah keluarga bermula dari awal tahun lagi... Daripada 9 orang yang masuk pertandingan, hanya 6 orang yang berjaya masuk ke pusingan akhir.... Yang tewas di awal garisan permulaan lagi sayalah antaranya...

Mengikut perkiraannya, orang pertama yang akan bersalin adalah Syalmizahwaty. Kemudian Suriani, isteri Azmi Ismail, isteri Najib, Hamizah dan akhir sekali Azura. Tetapi hendak dijadikan cerita Muhammad Alif hendak jadi abang sulung, maka Ariel Hadiff terpaksa bagi peluang kepada Alif untuk dipanggil Abang Long. Muhammad Alim jadi Abang Ngah, Thaqif Danisy Abang Uda, anak Mizah jadi Abang Chik dan Anak Azura penutupnya menjadi adik yang paling bongsu.

Tak sangka 6 bayi lelaki sekaligus lahir. Koleksi anak-anak lelaki teman-teman saya ini memeriahkan pasukan anak lelaki keluarga kami di SKBR yang memang dah berderet yang diketuai oleh anak Cikgu Rahim dan Cikgu Ramlan. Maka kalau kami nak jadi besan, maka yang lelaki memang kurang pilihan dan siapa yang punya anak perempuan boleh demand!

Nampaknya pada tahun 2015 akan ada ramailah gu Tahun 1 untuk anak guru Pendidikan Khas di SKBR (dengan syarat tiada teman-teman yang berpindah sekolah). Kalau macam sekarang hanya Hardy dan Nizam (anak Azura) yang berada di Tahun 1 sementara seorang lagi Aqil di Tadika yang selalu 'menunggu tangga' menanti ibu dan bapa mereka untuk pulang ke rumah. Saya tak dapat membayangkan apabila hero-hero itu di Tahun 1 nanti. Siapakah paling hero? Siapa pula yang akan sentiasa dibuli?

Tataplah gambar mereka. Siapa yang paling comel? Doakan mereka menjadi anak-anak yang soleh. Terima kasih untuk Adilawati yang sudi menghantar gambar ini khas dari bumi Malaya. Dan sampaikanlah al Fatihah buat arwah anak Mizah yang hanya sempat menghirup nafas duniahanya 2 hari. InsyaAllah abang-abang dan adik akan doakan Arif di sana... Untuk Mizah, semoga tabah menjalani kehidupan. Allah menguji insan yang tabah.... Arif sentiasa menanti di pintu syurga untuk ibu dan ayahnya....

Abang Long -Muhammad Aliff

Abang Ngah - Muhammad Alim

Abang Lang- Muhammad Ariel Hadiff
Abang Uda- Muhammad Thaqif Danisy

Abang Su-belum dinamakan lagi

Dua Wajah Berbeza

Gaya santai anak bujang saya. Macam tak de apa masalah je...


Memang ada gaya orang sakit.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Franfurt malam itu memang memberi dua cerita berbeza. Buat si abang, perjalanan ini begitu mengembirakan. Dia betul-betul menikmati layanan yang disajikan di koc kelas perniagaan itu. Makan, main games, tengok movie dan tidur sedap.

Buat si adik yang kebetulan demam, malam itu memang dia buat perangai. Sekejap-sekejap dia terjaga. Mengiring salah, meniarap lagi tak kena. Akhirnya dia hanya lena betul-betul pada 1 jam terakhir perjalanan 12 jam itu. Itupun sebelum boleh diletakkan di kerusi, dia hendak tidur di atas dada abah atau mamanya. Kami bergilir-gilir menjaganya.
Tapi saya harus berikan pujian kepada krew MAS yang begitu prihatin kepada Hakimy. Sekejap-sekejap datang bertanyakan khabar. Tuala di dahi Hakimy sentiasa digantikan dengan yang baru beberapa jam sekali. Siap bagi panadol lagi (sebab ubat di dalam kargo). Mereka menawarkan pertolongan semasa mendarat di Frankfurt untuk membawa Hakimy ke farmasi tetapi kami menolaknya (atas sebab yang tidak dapat kami nyatakan di sini). Terima kasih atas layanan dan keprihatinan anda!
Kami mengucapkan syukur kerana sebaik mendarat di Frankfurt, Hakimy sudah kembali ceria. Sepertinya malam tadi itu tiada apa-apa yang telah berlaku dan langsung tidak mengganggu istirehat mama dan abahnya.... Saya dan abang tersenyum. Memandang mereka walau penat bagaimanapun tubuh, terasa bahagia....merekalah penyejuk mata, penenang jiwa...

23 Oktober 2008

Jalan-jalan Berlin : Reichtag Building


Bangunan ini merupakan bangunan Parlimen di Jerman yang bersidang sejak tahun 1894. Di pintu gerbang utamanya terukir perkataan Dem Deutschen Volke yang bermaksud Kepada Rakyat Jerman.

22 Oktober 2008

Berlin : Brandenburg Tor


Merupakan pintu masuk ke Berlin City yang menjadi simbol Berlin khususnya dan negara Jerman itu sendiri. Ia dibina pada tahun 1788 hingga 1791 dan menjadi salah satu mercu tanda utama di Eropah. Tidak percaya, lihatlah bilangan pengunjung yang datang dari serata tempat hingga hendak bergambarpun harus mesti ada latar belakang orang di belakangnya.

Ia pintu pagar yang sangat besar dengan 4 ekor kuda yang dinamakan Quadriga di tengah-tengahnya. Kini ia ditutup untuk laluan trafik dan hanya dibuka untuk pejalan kaki.

21 Oktober 2008

Berlin : Berliner Dom

Berliner Dom dari pandangan depan
Berliner Dom dari pandangan sisi

Bangunan ini dibina di antara tahun 1895 and 1905. Bangunan asalnya telahpun dirobohkan dan digantikan dengan yang ada sekarang. Beberapa kali pembaikan dibuat terutama akibat Perang Dunia ke II.

Ikan oh Ikan

Baru masuk minggu kedua, saya dah mula rindu nak makan ikan.... Kat sini payah sikit nak cari ikan sementelah jauh dari laut... Ada juga yang saya nampak di Pasar Turki, tapi satu ikanpun saya tak kenal. Masa pergi Vein Lhoi ada juga ikan yang saya kenal, tapi semuanya frozen.... Teringin ikan segar? Maknanya kena buat research sikit dan cuba rasa sendiri. Kat sini pun rasanya seperti saya baru belajar memasak. Macam baru aje terasa telinga ni pedas kena komen dengan mak masa mula-mula belajar masak dulu....kurang garamlah...hangitlah... entah apa rasa pun tak tahula... kira kalau bagi tetamu datang mesti tak lalu nak makan....

Ini kerana saya belum habis bereksperimen dengan bahan masakan dan perkakasan di sini. Kat sana pakai dapur gas, kat sini pakai dapur elektrik... Pernahlah kerana baru mencuba telur dadar saya hangit.

Oleh itu demi kerana ikan yang saya teringin nak makan sangat-sangat tu (nak buat masak asam pedas dan bakar), saya perlu mendapatkan pertolongan profesional. Orang yang paling layak untuk ditanya tentulah Selebriti Chef kita Kak Norzailina Nordin dan jiran saya yang suka memasak yang sudah biasa tinggal di luar negara, Kak Eka Fahara. Inilah kelas tutorial ikan saya.

Kak Eka :
Kau cari ikan salmon yang isinya oren. Boleh buat masak sambal dan kari. Ikan mackerel (lebih kurang ikan kayu). Ikan soul fish macam ikan pari berwarna putih. Ada juga ikan trout. Segar-segar sedap Laila.

Tutorial 1 : Mencari nama-nama ikan dan rupanya di Google
Mak datuk. Satupun tak ada web yang boleh tunjukkan gambar ikan tu betul-betul. Paling bengang ikan soul fish...ada ke ditunjukkan gambar band Soul Fish... Memang gagal macam ni nak cari ikan kat Berlin ni...

Kak Lina:
Ikan Salmon tu isinya merah-merah (kak Eka kata oren...waaa... dah konfius...agaknya merah oren-oren kot). Sedap kalau buat sup. Cara nak buat sup. Bubuh semua dalam periuk. Bahan-bahan macam kita buat sup ayam/daging tu. Didihkan. Bila warna ikan dah tukar pucat, angkat.
Ikan mackerel macam ikan kembung. Ikan mullet macam ikan gelama tapi besar. Ikan tuna isi dia merah-merah. Semua ikan tu boleh bakar. Cara nak bakar. Bubuh rempah kat ikan. Bungkus dalam aluminium foil. Masuk dalam oven suhu 200 darjah celsius selama 20 minit. (dah ada ikan bakar lepas ni misi nak cari belacanlah pulak sebab nak buat sambal pencicah, hahaha).

Kata saya :
Kak, masalahnya saya dah cari dalam internet...Gambonya semua tak boleh pakai....
Jawapan Kak Lina : Ko pi pasar. Peh tu ko ambik gambo ikan tu sekor-sekor. Ko post kat blog. Nanti akak komen.

Tutorial 2 : Mengambil gambar ikan di Pasar Turki
Aduh! Nak buat tidak, nak buat tidak! Nanti orang Turki tu kata bengong orang Malaysia ni. Sanggupkah saya menyelesaikan tutorial ini dalam misi makan ikan??? Tunggu!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...