21 Oktober 2008

Di Langit Cinta karya terbaru Lily Haslina Nasir


Sinopsis:

Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

“Cinta pertama dengan kau tapi malam pertama dengan Meriam!” Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah cuma dia yang setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuanya tentang Raiz. Tapi, batinnya terseksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana... Raiz pula menangisi setiap malamnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu untuk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yang pertama dan terakhir setelah beratus kali
Meriam menyindirnya suami dayus dan serba-serbi tidak mampu.

Kasih mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan Raiz dipertemukan semula dalam episod kedua. Janji mereka untuk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dengan ijab kabul tanpa restu keluarga.

Bagaimana dengan Meriam?

Penulis tersohor ini juga sedang bermurah hati nak bagi hadiah kepada pembaca bertuah! Apa kata setelah habis membaca, anda tunjukkan bakat pada Kak Lily kita... Mesti lumayan hadiahnya. Apa yang perlu anda buat?

Sila beri pendapat anda.... Bagi pendapatpun orang nak bagi hadiah... Cubalah, mana tahu nasib anda baik...

1. APA YANG PALING ANDA SUKA TENTANG DI LANGIT CINTA?

2. PERKARA YANG ANDA TIDAK SUKA TENTANG DI LANGIT CINTA?

3. BABAK DAN DIALOG YANG MANA YANG PALING ANDA INGATI DI DALAM DI LANGIT CINTA?

4. WATAK YANG PALING BERKESAN DI HATI ANDA?

5. KALAU ANDALAH PENULIS DI LANGIT CINTA, APA AGAKNYA PERUBAHAN JALAN CERITA YG ANDA LAKUKAN?



Senangkan?! Hantarkan emel pada saya roslily@gmail.com sebelum atau pada 5 Disember 2008.

Kereta Baru Saya : Made in Germany

Abang Idrose pesan beli Mercedez atau BMW bawa balik Malaysia. Belumpun dua minggu di sini, saya sudahpun menunaikan pesanannya....

Tada! Inilah dia kereta baru saya.... Cantik tak?

Di sini plastik untuk membeli barang tidak disediakan. Masa kat Malaysia kita siap buang-buang lagi plastik kalau shopping kat Carefour. Kat sini dah bayar, barang-barang kena masukkan ke dalam beg masing-masing. Kira memang satu siksaan kalau nak membeli barang tapi tak ada beg. Lagi payah sebab tak ada kereta yang memerlukan kita naik bas turun bas/tram/subway.
Ada satu hari, Fida bawa saya ke Pasar Turki. Di situlah saya beli kereta tu dengan harga Euro 10,00. Masa tu semangat nak membeli barang menyala-nyala. Beli barang sampai tak ingat dunia. Almaklum bila dah jumpa barang dapur yang kita nak di Asian Market Vein Lhoi (macam nama Vietnam je) di bumi yang turun salji ni. Bila balik, sementara nak tunggu abang habis kelas jam 3.00 ptg, saya naik ke rumah Fida. Fuh! Berpeluh ketiak, rasa nak patah pinggang. Kerana saya harus mengangkut kereta saya untuk di parking di tingkat 4 apartment Fida! Tak payah bayangkan barang lain yang ada dalam kereta tu, cukuplah kalau saya kata antara barang yang saya beli adalah beras yang beratnya 5 kilo! Itu baru naik, turun pun sama juga siksanya. Cuba bayangkan pula Fida dan Abang Chik yang mengangkat beras 20 kilo ke apartment mereka.... Esoknya saya rasa nak demam. Dan Fida sudah gelakkan saya!

20 Oktober 2008

Berlin - Fernsehturm Berlin (Television Tower)

Lebih kurang menara KL juga Kami sempat posing ultraman

Bergambar kenangan di sekitar kawasan Fernsehturm



Pelukis jalanan sedang menunjukkan bakat

Mercu tanda di pusat bandar Berlin ini dibina pada tahun 1965. Lama juga sudah lebih kurang 43 tahun dibina. Dengan ketinggian hanya 368 m, Berlin Tower ini merupakan satu tarikan pelancong ke Berlin. Malah, tak sah ke Berlin jika tidak singgah ke sini. Di kawasan menara ini terdapat taman bunga mawar berwarna merah jambu di sebelah kanan dan kiri. Di tengah-tengahnya ada patung pancutan air yang sangat cantik.
Mercu ini yang keempat tertinggi di Eropah. Seperti Menara KL, ada juga restoren dan menara tinjau di sini. Jadi kita boleh makan sambil melihat Berlin. Dikatakan kita akan kembali ke kedudukan asal dalam tempoh 30 minit.
Menara televisyen ini mula memancarkan siaran percubaan selepas 4 tahun dibina pada 3 Oktober 1969.

19 Oktober 2008

Penghargaan dari Laila untuk anda

Tanpa anda semua di belakang saya, siapalah seorang Laila! Kesempatan ini saya ingin merakam jutaan terima kasih buat semua yang sentiasa menyokong hobi saya ni... Ada orang bertanya kenapa Laila rajin sangat abadikan nama-nama atau watak-watak rakan-rakannya kat dalam novel... Jawapan saya mudah saja...itu caranya saya mengabadikan kenangan bersama anda semua. Itu juga caranya saya menghargai persahabatan kita. Kerana bila kita tiada lagi nanti, tulisan saya itu akan dapat dikenang oleh penyambung zuriat kita.... Terima kasih kerana mewarnai dunia Laila.

Yang pertama sekali tentulah untuk suami Aedy Fadly Ramli yang sentiasa menjadi hero dalam hidup saya. Tanpa dia menyelamatkan saya berkali-kali, Saat Kau Hadir ini tidak akan sekali-kali hadir.

Untuk ibubapa Puan Hamidah dan Encik Kamaluddin juga mertua Hajah Abidah dan Haji Ramli yang sentiasa memberi sokongan dan suntikan semangat untuk saya terus menulis.

Anak-anak yang comel dan nakal Hardy Zahidy dan Hariz Hakimy yang selalu mengacau mama 'bekerja'. Suatu hari kalian akan faham juga.... dan saat itu mama pasti merindukan telatah kalian mengganggu mama.

Dr. Imran Syakir yang sudi meminjamkan nama Dr. Imran Syakir dalam SKH ini. Begitu juga Illiana Azizan untuk Eliana Irdina. Persahabatan antara kita akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan. Moga kalian menemukan kebahagiaan dalam hidup akhirnya. Orang yang baik, akan bertemu jodoh dengan yang baik juga, InsyaAllah.

Ernaleza Mahsum, yang banyak membantu saya mengenali orang Sabah. Dalton di Pulau Mamutik dan Firdaus dan rakan-rakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah. Perkenalan yang sekejap tetapi meinggalkan kenangan yang manis buat saya. Aramaiti!

Kakitangan Alaf 21 Sdn Bhd yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan, bimbingan dan panduan buat pendatang baru. Tanpa mereka bekerja bersungguh-sungguh, SKH ini tidak sekali-kali akan menjadi realiti.

Para peminat novel dan Alaf21 Fan Club yang sentiasa menyokong juga memberikan komen dan kritikan membina untuk saya lebih berdaya saing dan bekerja lebih kuat.

Rakan-rakan novelis yang menyemarakkan semangat saya untuk menulis dan menulis, lalu kritikan mereka saya jadikan panduan untuk meningkatkan mutu penulisan-Kak Norzailina Nordin, Kak Lily Haslina Nasir, Kak Eka Fahara, Lynn Dayana, Dhiya Zafira, Lily Suriani, Rose Harissa dan Umi Azrini. Juga rakan-rakan penulis lain yang senarainya terlalu panjang untuk saya tuliskan. Terima kasih untuk semua.

Juga pelayar blog yang rajin mewarnai lailakamilia.blogspot.com

Selamat membaca Saat Kau Hadir. Yang baik jadi tauladan, buruk buat sempadan. Semoga terhibur!


18 Oktober 2008

Persembahan Pentas yang Menyeronokkan

Produksi pementasan pentas Mencari Jalan Pulang. Ada pokok, bunga, gajah, itik, tenggiling, rama-rama dan harimau (yang sudah tukar kostum). Cuba teka di mana saya? Hehehehe! Yang paling comel sebelah mak arnab. Tak payah pakai kostum sebab saya hanya menulis skrip saja. Kasi peluang orang lain tunjuk bakat berlakon!
Kelakar! Bila dah tua-tua kena jadi budak kecik. Tapi jangan bimbang, orang tua sebenarnya lagi terror kalau disuruh jadi budak kecik. Kami yang tua-tua ni begitu teruja melakonkan watak-watak yang diciptakan. Nanti bila ke sekolah, kami akan bimbing murid-murid berlakon seperti kami juga. Pasti kenangan semasa di IPIK akan terjelma semula. Memang kami berguling-guling ketawa bila tengok balik pementasan ini. Tapi yang syoknya kawan-kawan semuanya sporting. Suruhlah jadi apapun! Tapi paling best tentu jadi penulis skrip. Sebab saya boleh berkhayal dan part paling syok mengenakan kawan sendiri. Siapa suruh saya tulis skrip. Padan muka diaorang saya suruh berguling, menari dan pakai kostum pelik-pelik. Maaflah ye. Bukankah sebelum buat skrip saya dah tanya kalian “ Betul ke nak bagi saya tulis skrip ni?” dan kalian sedap saja mengangguk.

17 Oktober 2008

Rumah kecil kami


Bergambar di hadapan rumah kami



Permandangan di kawasan apartment



Ruang antara bilik dalam apartment


Bilik kecil di apartment kami


Ruang dapur

Rumah kecil kami. Cukuplah untuk kami sekeluarga. Ada 2 bilik tidur, 2 bilik air dan 1 tandas juga dapur yang comel (kak Eka mesti tak suka sebab dia rajin memasak, tak suka berlaga buntut).

Dari tingkap rumah, kami akan nampak pemandangan hijau pokok pine dan dedaun pohon lain yang sedang menguning. Mula-mula kami datang, masih ada daunnya lagi. Sempat kami berpossing kat depan rumah tapi sekarang daun sudah banyak yang gugur.... dah botak dan daun dah coklat. Dulu burung-burung rajin juga singgah kat pokok-pokok tu. Ada juga lebah yang sibuk bekerja. Masing-masing hendak menyimpan bekalan untuk winter nanti agaknya.

Dari tingkap rumah kami juga ada dua buah rumah yang cantik sangat balkoninya. Ada bunga helicolia bergantung, ada juga kincir angin mainan. Bila angin bertiup, kincir anginnya turut sama bertiup. Saya suka tengok pemandangannya....penuh warna-warni... Lebih mudah dibayangkan bunga-bunga di Cameron Highland bunga-bunga di sini.

Rumah ni sementara saja untuk dua bulan. Lepas ni kami kena cari rumah lain. Kami akan berpindah lagi... Dulu-dulu saya selalu kata saya ni boleh dijadikan 'Tokoh Maal Hijrah' sebab rajin sangat berpindah rumah (rumah kami di BSP rumah yang ke enam). Kami akan pindah lagi... Mesti seronok dan lebih 'adventure' sebab kali ini kami berpindah tanpa lori dan tanpa kereta. Nantikan entri saya pada masa akan datang untuk laporan Pindah Rumah pula....

16 Oktober 2008

Hari Pertama di bumi Germany (10 Oktober 2008)

Saya suka gambar ni.

Sempat posing walaupun sesat

Mak bapak pun nak juga posing dalam bas

Hardy dan Hakimy nak rebut daun gugur

Gembira dah sampai Jerman
Kami tiba di Frankfurt sekitar 645 pagi. Hari masih gelap. Di luar pesawat hanya lampu-lampu masih menyala. Bumi Jerman bermandikan cahaya. Saya dapat rasakan betapa majunya kota Frankfurt ini. Beberapa mercu tanda gah berdiri cantik dipandang dari pandangan atas.

Alhamdulillah... urusan imegresen yang kami risau-risaukan itu selesai sekejap saja. Kami menghirup udara Frankfurt di luar lapangan terbang Frankfurt tepat jam 7.00 pagi. Sejuk. Perkataan pertama yang keluar dari mulut yang berwap.

Tepat jam 7.05 bas yang membawa kami ke Terminal 1 mula bergerak. Efisyen.

Kami menunggu hingga 10.15 pagi untuk menaiki pesawat Luthfansa untuk ke Airport Berlin Tegel. Perjalanannya tak sampai sejam. Saya sedikit mual kerana pesawat ini terolang-olang. Pertama kali naik pesawat itu, apa yang baru bagi saya tentulah pramugari yang memakai cermin mata. Kelakar dan risau bila melihat setiap kali pramugari itu tunduk membetulkan cermin matanya yang menggelungsur. Kalau emergency, cermin mata tercabut, siapa yang nak selamatkan siapa? Satu lagi mereka meraikan penumpang kanak-kanak dengan memberi laluan terlebih dahulu kepada penumpang bersama kanak-kanak. Mereka juga memberikan setiap kanak-kanak buku warna, pensil warna dan jigsaw puzzle.

Kami keluar paling akhir kerana sibuk mengumpulkan 5 beg perang tu. Sebaik melangkah keluar, kami disambut rakan-rakan Malaysia di sini. Ada Emy, Fida dan Abang Chik (Muz) juga Encik Tukirin dari JPA. Pagi itu kami berempat tiba bersama dengan 2 lagi pelajar Malaysia yang baru (Ezhar dan Manami@Yo). Disebabkan beg kami yang berat itu, maka kami terpaksa berpecah 2 kumpulan. Beg dan saya, Hardy, Hakimy dan Yo naik kereta MPV Encik Tukirin sedangkan yang lain naik bas. Memang menyusahkan beg tu..hehehe (bak kata seorang teman cara gaya beg dibawa macam nak pergi lama, rupanya setahun setengah je. Saya jawab balik...saja nak bagi gempak, nak bagitahu nak pergi jauh dan nak bagi penuh kapal terbang).

Pemandangan bumi Berlin berwarna-warni, hijau, kuning dan merah. Jalan-jalan raya dipenuhi dengan daun-daun yang berguguran. Musim luruh. Di sebelah kanan orang berjalan kaki dan menaiki basikal. Di sebelah kiri bas dan tram berwarna kuning melintas di jalan raya. semua orang sibuk di waktu pagi itu.

Kami tiba di Wedding. Suasana tenang. Kelihatan di mana-mana orang berjalan memakai pakaian tebal. Orang-orang Turki ada di mana-mana.

Selepas solat Jumaat, abang menguruskan rumah sementara kami. Jam 5 abang datang menjemput saya yang ada di rumah Mar dan abang Rizza (port persinggahan kami yang dijamu dengan makanan Malaysia, seperti sambal dan ikan kering...fuh sedap).

Kami balik ke rumah di Iranische Straße 13347 Berlin, Germany. Pertama kali naik U Bahn (subway) di Leopoldplatz dan turun di Neunerplatz. Beria-ia si Nazri nak hantar kami tolak untuk tidak menyusahkan dia yang sudah banyak susah dengan kehadiran kami di sini. Sudahnya bila turun kami tersesat jalan. Patutlah dah hampir 2km berjalan tak sampai-sampai lagi.

Kami berpatah balik. Beli kebab Euro 2.00 dan kami meneruskan perjalanan 10 minit lagi untuk sampai ke rumah. Hari pertama di Berlin sudah berakhir.


Dhiya Tag Laila!

Rules:
1. The rules of the game get posted at the beginning
2. Each player answers the questions about themselves
3. At the end of the post the player then tags 5 people and posts their names, then goes to their blogs and leaves a comment, letting them know they got tagged and to ask them to play and read your blog

Starting time: 3.46pm
Name : Haslina binti Kamaluddin
Sisters : 2 prpn saje
Brothers : 2 lelaki saje
Shoe size : 5 (rasanya kalau kanak2 yg kaki besar sama je saiz ngan saya)
Height : 153cm

Where do you live : Berlin, Jerman
Have you ever been on a plane : Mestila (takkan nak kayuh perahu atau jalan kaki datang sini)
Swam in the ocean : pernah (boleh tahanla pengalamannya.... tapi masih takut2 lagi)
Fallen asleep at school : kat sekolah rasanya tak pernah...jarang kot... tapi kat maktab pernahla masa dengar ceramah...bosan....(dan dah tua...)
Broken someone’s heart : hahahhaha (malas nak cerita)
Fell off your chair : pernah masa form 3 dan std 6 rasanya (saya selalu kena buli)

Sat by the phone all night waiting for someone to call : yup terutamanya kalau abang x balik-balik lagi dan dia kata dah on the way tapi x sampai-sampai
Saved e-mails : depends pada email2 yang penting n best saja
What is your room like : mmm... bergantung juga bilik kat sini ke kat rumah kat BSP. Yang pasti mesti ada komputer/laptop
What’s right beside you: peta subway Berlin
What is the last thing you ate : nasi, telur masak pedas yang entah apa-apa rasa, sup tulang ayam turki dan sayur campur yang best

Ever had...Chicken pox : Masa dalam pantang Hakimy. Siksa ya amat sebab terlalu mendengar kata/petua orang dolu-dolu. Boleh saya lurus bendul percaya, chicken pox tak ada ubat...last2 sendiri merana
Sore throat : Kadang-kadang (bukannya penyanyi pun)
Stitches : Caeserian bersalinkan Hakimy (entah dia jahit ke dia gam....)
Broken nose : tak pernah
Do you believe in love at first sight : percaya sangat2
Like picnics : tengok keadaan dan di mana lokasinya

Who was/were...The last person you danced with : anak-anak
Last made you smile : sembang ngan kawan kat sype
You last yelled at : tak ingat (saya kan perempuan yang lembut dan bersopan santun...ahaks tapi merempit)
Today did you...
Talk to someone you like : sudah tentu
Kissed anyone : mestilah ada
Get sick : selalu selsema (cuaca sejuk sangat kat luar)

Talk to an ex : nope. pass is pass.
Miss someone : ramai... kat Malaysia
Who do you really hate: saya kalau tak suka kat seseorang gerenti boleh tahu sebab tak pandai nak cover.... terutamanya kalau orang tu kerjanya suka cari salah orang
Do you like your hand-writing : tak sebab terlalulah cantiknya
Are your toe nails painted : takla
Whose bed other than yours would you rather sleep in : makla
What color shirt are you wearing now : oren (tadipun baru lepas makan buah oren)

Are you a friendly person : memang, Pah Bedah. Tapi biasa saya akan tahu bila nak bercakap dan bila kena diam. Biasa kalau tak kenal saya mesti ingat saya ni pendiam dan sopan santun
Do you have any pets : tak ada.
Do you sleep with the TV on : jarang tengok TV tapi kalau sampai tidur depan TV mesti sebab tengok bola sepak
What are you doing right now : Menjawab soalan 'tagged' yang terlalu banyak ni.
Can you handle the truth : alhamdulillah setakat ni boleh lagi.
Are you closer to your mother or father : mak
Do you eat healthy : hmmm...campur-campur

Do you still have pictures of you & your ex : tak de
If you’re having a bad day, who are you most likely to go to : suami dan Hardy
Are you loud or quiet most of the time : ikut situasi.
Are you confident : yup

5 things I was doing 10 years ago
1-kat u final year
2-first time naik kpl trbg pi Sarawak
3-tambah rumah mak, ganti bumbung baru
4-crammed tangan jawab 2 paper esei pada hari yang sama (1 paper 4 esei)
5-pi Mahkamah Syariah, lawat budak juvana untuk paper Family Laws etc.

5 things I would do if I were a billionaire
1-ada perniagaan sendiri
2- ada rumah anak yatim dan remaja bermasalah
3-semua yang terdekat dengan saya akan goyang kaki
4-keliling dunia
5-ada charity foundation sendiri

5 of my bad habits
1) suka ambil mudah semua perkara terutama yang berkaitan dengan abang sebab bagi saya dia rakan paling memahami, jadi take for granted perasaan dia kot...mesti ingat alah...dia mesti faham punya
2)lembut sangat dengan orang sampai orang pijak kepala
3)selalu harap dapat treat yang sama dengan treat kita pada orang
4)suka update blog (hahaha...macam takde kerja lain nak buat)
5)bertangguh siapkan novel (waaaa bilalah manuskrip baru nak siap?)

5 places I've lived/living
1) Teluk Intan, Perak
2) Serdang, Selangor
3) Kota Bharu, Kelantan
4) Putrajaya
5)Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor

5 people I tag
1-Illiana
2-Kak Meen Zulaikha (sebab hari tu dia tag saya)
3-Fatin Nabila
4-Zainab
5-Rinn
time completed :4.36 pm (sambil chating, sambil tidurkan anak...hehehe alasan orang lambat siap)

14 Oktober 2008

Catatan Perjalanan : Persiapan ke Berlin, Jerman

Nak pindah terus ke Berlin ker?

Tiket kapal terbang....ke Frankfurt



Kak Eka tengah pasangkan kasut Hakimy. Sebelahnya Alis, mak, mak mentua, mak tok dan Zura. Di belakang Amin dan Jun.

Abang dan rakan pejabatnya

Kami membuat persiapan ke Berlin rasanya hampir 1 tahun. Dengan sibukkan macam-macam dokumen dan karenah birokrasi, memang penat. Shopping apatah lagi... Dari Bandung hinggalah ke segenap kedai yang ada di KL. Penat. Sampai naik muak. Sebab itulah beg kami sampai 5 yang gabak-gabak dan berat macam askar nak pergi berperang. Kerana persediaan yang panjang juga alhamdulillah, tiada perkara terlepas pandang dan kami bolehlah membuat persiapan dengan tenang.

Kami boleh minta pergi lebih awal seminggu tetapi kami memilih tarikh 9hb supaya kami boleh menyambut hari raya dan kaum keluarga dapat berhari raya juga. Kami balik ke BSP pada 5hb. Konon-konon nak masak-masak untuk kengkawang yang datang beraya... Akhirnya semua dirancang tak menjadi. Hari Isnin 6hb, kami ke Shah Alam... menziarah En. Makhzan, ke pejabat Alaf21 dan konon-konon ke PKNS nak ke JPJ tapi silaplah pulak. Patutnya kami ke Padang Jawa. Lepas tu kami ke bank di Putrajaya, ke Pejabat Pendaftaran. Petang dah ke Bangi nak tukar duit. Senja tu kelam-kabut cari makanan sebab Yana and the gang nak datang rumah.... Saya lelap jam 12 malam bila semua tetamu dah pulang....

7hb saya ke The Mines pulak...tukar duit. Tak cukup kat situ pergi jalan TAR pulak, dengan tujuan yang sama...Hehehe macam juta-juta pulak saya tukar duit... Taklah sebanyak tu RM20K je... bila convert ke Euro ciput je Euro4K je.... Dah tengahari saya balik, nak meraikan rakan-rakan dari SKBR pulak. Saya tak sempat masak apa-apa. Saya memang dah beli barang-barang semalam untuk masak nasi tomato tapi rupanya urusan saya masih tidak selesai. mereka datang bawa sayur dan kuah pecal. Di rumah mak dah masak bubur kacang... Jadi itu saja yang dapat saya jamu bersama kuih raya.

Petangnya saya merempit ke rumah Kak Eka. Konon-konon nak tolong apa-apa patut untuk majlis Farewell saya. Terasa diri sangat dihargai oleh rakan-rakan yang bersusah-payah nak meraikan saya. Jam 6.30 balik rumah dan bersiap. Rumah tak sampai sepelaung tapi sayalah yang paling lewat sampai malam itu.... Terima kasih kengkawan yang sudi meraikan saya yang begitu kerdil dalam arena penulisan jika hendak dibandingkan dengan nama-nama besar mereka.

Kelakarnya, malam itu saya siap berhabis-habisan. Siap pakai baju merelap-merelip macam nak mengadap Sultan Mizan... Abang pulak saya paksa pakai baju Melayu, mujur saja saya tak suruh pakai samping.... Ini semua kerana Kak Eka kata kena pakai baju formal ni tema hari raya.... Tengok-tengok saya yang over... Masuk aje dah kena dapat tepukan gemuruh selayak artis nak buat persembahan pentas. Semua dah hadir. Malunya saya. Saya siap bisik kat Kak Lina lagi yang puji baju cantik... Saya kata saya beli RM2+ je sepasang dah siap kat Batam...Hehehe....

8hb. Pagi di rumah. Petang ke rumah Kak Su untuk beraya dan ke rumah Dina untuk tengok baby comelnya yang baru lahir.

9hb.Saya duduk di rumah, tengok checklist apa-apa yang belum siap lagi. Pergi beraya kat rumah jiran. Masak nasi tomato untuk keluarga. Malamnya bersia-siap untuk ke KLIA. Ha... itulah gambar -gambar yang sempat dirakam pada hari-hari terakhir di bumi Malaya.

Kepada kawan-kawan yang sudi menghantar saya hingga ke KLIA-Fuza, KRol, Izzi, Kak Eka dan abang Idros, Kak Ai dan kakak serta anak saudaranya (sedap serunding... dah nak habis dah) dan kawan-kawan sepejabat abang yang memenuhkan KLIA.

Kepada sepupu Amin dan Jun. Maaflah kunjungan pengantin baru yang pertama kali ke rumah tidak dilayan dengan sempurna... Makan tak malam tu?

Kepada adik-adik yang banyak jasa dan bakti kepada Kak Long dan Abang Aedy- Maslina dan Amran (terima kasih tolong hantar kereta balik kampung) dan anak saudara Amna dan Alis (maaflah Mak Long dan Pak Long tak sempat nak peluk cium, sebabnya kecil sangat dan mereka berlari-lari... peluk cium dari kejauhan). Hayazi dan Baizura, Epi. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi menghantar dari Alor Setar hingga ke KLIA. Siap ambil cuti lagi.

Kepada ibubapa yang sangat-sangat disayangi dan dikasihi. Pesanan mak untuk jaga anak-anak akan sentiasa Lily ingat.... Bak kata mak.... " kamu nak tak banyak, 2 orang aje.... kamu tu payah nak beranak...jaga anak elok-elok....." Mak mentua pula pesan " Banyak-banyak berdoa. Baca Quran selalu" Adoi! Semua pesanan membuatkan saya sebaknya. Mak Tok pula tak kata apa tapi saya pesan kat dia "Mak Tok mesti sihat-sihat. kami balik 2 tahun lagi mesti nak jumpa Mak Tok".

Kepada semua-semua.... Saya bagi pihak keluarga memohon kemaafan andai malam itu saya tidak dapat melayan anda dengan sebaiknya. Terima kasih yang tak terhingga. Tanpa kalian siapalah kami. Kasih-sayang kalian yang telah membawa kami melangkah sejauh ini. Ada umur, InsyaAllah kita akan berjumpa lagi.

Salam dari kejauhan,

Haslina Kamaluddin
Berlin, Jerman
14 Oktober 2008
Autumn in my heart

02 Oktober 2008

Gambar Aidilfitri

Kalau saya ada anak perempuan akan beginilah gambar keluarga kami....

Hahaha...sengih lebih sebab dapat makan lemang... Sebenarnya abang tengah test smile detecter kat kamera dia...

Hardy, Hakimy yang PMC hari tu, Amna dan Alis

Alis, 1 yang comel dan manis. Saya tempah untuk kemas rumah saya bila besar nanti

Amna, 3 yang lebih lasak dari Hakimy. Beza sebulan aje tapi tahun lain

Raya tahun ni kami sambut di Teluk Intan. Kebiasaannya kami bergilir dan tahun ni jatuh beraya di Teluk Intan. Setiap tahun kami akan balik kedua-dua rumah. Raya kedua kami beraya di Alor Setar. Tahun ni persiapan kami sederhana. Kerana kami dah shopping sakan untuk ke Berlin. Sampai dah nak muntah. Duitpun dah habis banyak.

Kuih raya? Beli satu dua. Itupun bagi hadiah pada orang. Bila balik ke rumah di BSP, saya cilok kuih tradisi mak dan kuih moden mak mertua. Dah mereka pakar. Belipun tak guna sebab nanti hasilnya mengecewakan.. Yang dibeli biasanya memang dah confirm sedap.

Tahun ni anak buah belum bertambah. Macam tahun lepas juga. Cuma Amna Nafisah, 3 dan adiknya Alma Alis, 1 makin nakal. Bila ditambah dengan Hardy dan Hakimy memang malas nak cerita. Tahun depan insyaAllah saya akan dapat seorang lagi anak buah. Adik saya mengandung lagi anak ketiga. Adik ipar saya yang baru kahwin belum dengar muntah-muntah lagi... Agaknya bila balik nanti berapalah bilangan ahli keluarga kami bertambah.... Mesti raya dua tahun lagi lebih meriah...

Duit raya? Tahun ni kami lambat benar tukar duit. Sudahnya tukar dengan kawan-kawan yang berniaga di Bazar Ramadhan. Sampul raya pula masih ada baki tahun lepas dan selebihnya minta ehsan kengkawan dan adik-beradik. Yang pasti raya tahun ni duit rayanya lebih sikit. Sama ada kami beri atau anak-anak terima, sebabnya itu duit raya untuk dua tahun...tahun ni dan tahun depan....

Tahun ni masakan tradisi seperti lemang, ketupat, dodol semuanya mak buat sendiri. Jadi tahun ni kira kami beraya sakan. InsyaAllah tahun depan harapnya tidaklah mengidam lemang dan yang sewaktu dengannya... Kalu tak haru juga untuk dipos. Almaklum jangka hayat makanan tu kan sekejap saja.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...