19 Januari 2008

Minggu demam sedunia



Minggu ini saya tak berapa sihat. Jadi blog saya juga bersawang. Hati memang meronta untuk menulis sesuatu. Almaklumlah dalam tempoh saya sedang bercuti dari menulis ni, blog menjadi tempat saya melepas gian. Tetapi kesihatan saya membuatkan segalanya terbatas.

Bila saya sembuh, anak-anak pula yang demam. Hardy tidak ke sekolah dua hari kerana demam. Bila anak demam, mak pun turut demam. Beberapa kali saya terjaga kerana menyejukkan kepalanya dengan kain. Tujuannya supaya suhu badannya menurun. Saya paling bimbang bila anak demam panas.

Pensyarah saya selalu pesan, kalau anak demam panas, jagalah elok-elok. Kalau boleh tidak tidur, berjagalah. Kalau boleh cuti, temankanlah anak di rumah. Kerana pernah terjadi, si ibu sibuk bekerja hingga mengabaikan anak yang demam. Mungkin pada hematnya, anaknya sudah 7 tahun, sudah darjah 1, sudah besar maka dia tidak perlu ambil berat macam anak masih kecil. Sudahnya anaknya demam panas dan kena tarik-tarik ataupun sawan kerana suhu badan terlalu tinggi. Bila sudah kena sawan, anak yang sedia pintar di dalam kelasnya (periksa dapat nombor 1) tiba-tiba langsung mengalami kerencatan otak lalu akhirnya diletakkan di kelas khas. Kasihan kan...dilahirkan sihat tetapi kerana kelalaian dan sikap ambil mudah ibu, anak itu akhirnya jadi begitu.

Kisah yang kedua tentang ibu yang sibuk bekerja tetapi anaknya sakit mata masih dihantar ke nurseri. Bila ditegur, katanya anaknya sakit mata sikit saja. Tapi virus sakit mata itu menyebabkan ramai kanak-kanak lain turut sakit mata di nurseri itu. Si ibu masih juga menghantar anaknya ke nurseri sehinggalah akhirnya bila dia sendiri dijangkiti sakit mata barulah dia tidak pergi bekerja, cuti.

Kisah yang ketiga tentang si ibu yang menghantar anaknya ke sekolah walaupun anaknya mendapat cirit-birit. Sudahnya habis satu sekolah berbau cirit.

Moralnya di sini, penting manapun kerja, kalau anak sakit, kerja sudah menjadi soal kedua. Kalau anak sakit, biarlah dia berehat di rumah. Satu dua hari tidak ke sekolah tidak mengapa. Dia tidak akan tertinggal jauh. Kalau dia ke sekolah tetapi akhirnya menyusahkan orang di sekelilingnya juga tidak memberi makna. Mana ada orang yang sakit boleh belajar kan!

Saya selalu mengingatkan diri saya, keluarga adalah segala-galanya!

Hak Cinta Terpelihara

Selepas Jika Benar Cinta, novelis Lynn Dayana kembali bersama air tangannya yang kedua. Semasa pertama kali diberi penghormatan membaca deraf manuskrip HCT ini saya terus SMS kepadanya menyatakan yang karyanya kali ini lebih matang dan lebih segala-galanya.
Saya jadi tidak sabar untuk menghayati HCT ini. Tajuknya saja sudah buat hati teruja. Lynn memang suka menulis novel dengan memilih tajuknya dahulu baru mencanai idea menulis yang lain-lainnya. Dia memang istimewa dan lain dari kebanyakan penulis yang menulis dulu baru memikirkan tajuk...
Kepada peminat novel.... tataplah ia! Senang-senang berkunjung ke blognya di http://lynn-dayana.blogspot.com/

12 Januari 2008

The Star Education Fair 2008

Kepada yang berniat dan bercita-cita untuk menyambung pengajian, jika ada masa berkunjunglah ke Kuala Lumpur Convention Centre hari ni dah esok bermula jam 11 hingga 7 malam.
Dijangka, 5 dewan KLCC itu akan penuh dengan 400 gerai pameran dari 180 wakil dalam dan luar negara.
Inilah masanya kita mengintai peluang untuk mengetahui lebih lanjut peluang-peluang, kursus-kursus bersesuaian, universiti idaman dan kos diperlukan. Pendek kata, segala-galanya ada untuk setiap pertanyaan kita. Jika ada masa, berkunjunglah ke sana!

11 Januari 2008

Never Look Back



JANGAN PANDANG BELAKANG!

Benarkah kita seharusnya tidak pandang ke belakang, menyesali apa yang telah terjadi, meninjau keputusan-keputusan yang pernah kita buat yang akhirnya mengecewakan kita. Bagaimana pula dengan kegagalan-kegagalan lalu, haruskan dibiarkan berlalu? Berdosakah kita bila kita masih mengharapkan agar masa yang lalu dapat diputarkan kembali agar kita tidak gagal lagi?

Jika ditanya kepada anda, apakah keputusan yang paling bodoh yang pernah anda buat dalam hidup, adakah anda ada jawapannya? Dan apakah yang anda lakukan bila setiap kali anda dibayangi rasa bersalah kerana membuat keputusan itu?

Pejamkan mata, cuba pandang ke belakang, ke dalam diri anda sendiri. Beranikah anda menyatakan yang anda telah sembuh sepenuhnya dari penyesalan lepas? Benarkah penyesalan itu ada penawarnya atau anda masih dibayangi lagi rasa bersalah itu, menghambat anda ke mana anda melangkah?

Jika benar ada penawar bagi segala kesilapan yang pernah kita buat, jawapannya adalah JANGAN PANDANG BELAKANG! Hidup perlu diteruskan... Ambillah iktibar darinya kerana orang yang gagal bukanlah kerana dia gagal, tetapi kerana dia gagal mengambil iktibar dari kegagalannya. Malang itu adalah bila dia jatuh lagi di tempat yang sama, berulangkali...

Tetapi mengapa sukar untuk membuang rasa itu pergi? Sesungguhnya bila berbicara terlalu mudah...kerana ia hanya di antara gigi dan lidah... Kenyataannya, berkata itu lebih mudah dari melaksanakannya. Seringkali kita jadi tewas dan menyalahkan diri terutamanya bila kita sentiasa gagal dan gagal lagi....

09 Januari 2008

2007 Yang ditinggalkan






2007 telah berlalu memberi kita semua satu pengalaman berwarna-warni. Bila ditinjau-tinjau, ada banyak pengalaman lepas yang harus kita jadikan iktibar mahupun pendorong untuk terus melangkah ke tahun 2008.


Saya belajar satu perkara. Hidup ini terlalu singkat. Isikan ia dengan makna, bukan sia-sia. Pagi esok, bila kita terjaga, kita sentiasa ada pilihan; menarik selimut ataupun berjuang merealisasikan impian. Semuanya ada di tangan.

Tidak terlewat untuk saya meninjau 2007 dari lensa diri sendiri. Saya telah menempuhi tiga peristiwa paling besar dalam hidup saya sepanjang 2007. Pindah rumah, berhenti kerja dan mulakan kerjaya baru. Apa lagi?

Januari
-Novel pertama saya Asmara Asrama yang terbit hujung Disember 2006 mula dipasarkan. Impian saya untuk melihat hasil tangan diterbitkan sebelum usia 30 tahun tercapai. Cita-cita dari kecil untuk ada buku sendiri terlaksana.
- Pindah rumah dari Putrajaya ke Bandar Seri Putra pada hujung Disember 2006 telah lengkap sepenuhnya. Impian punya rumah sendiri akhirnya terlaksana jua. Walaupun kecil, ia memberi makna yang besar bagi saya.
-Berhenti kerja sebagai Pegawai Tadbir di HRC, UPM setelah menjawatnya selama 5 tahun. Banyak perkara saya belajar di sini. Semuanya mendewasakan. Sebenarnya saya mula memikirkan secara serius untuk berhenti kerja setelah bersalin anak ke dua. Cuti 2 bulan itu memberi ruang kepada saya untuk berfikir dengan mendalam. Hijrah itu lebih baik. Akhirnya bulat saya membuat keputusan.
-Memulakan kerjaya baru. Saya bermula dari zero, untuk menjadi Guru Pendidikan Khas. Mendaftar di Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada mulanya sukar untuk saya percaya. Segalanya terlalu asing bagi saya.

Februari
-Sukan di IPIK. Lelah rasanya terutama dah tua ni kena turun padang. Tapi saya masih berupaya. Masih boleh memberi markah kepada rumah sukan untuk acara 1500m, 100m dan lempar cakera (acara kegemaran saya).
-Saya mendaftar menjadi ahli pengakap. Kelakar, bila dah tua-tua pakai uniform pengakap. Dulu masa saya sekolah, kerana tak mampu beli uniform, saya tak dapat masuk mana-mana pasukan beruniform. Kini impian kecil saya tercapai sekalipun usianya sudah tidak sepadan lagi.
- Pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Singa. Kami berkereta bersama anak-anak. Sesat jalan tapi kami menempuhi hari yang mengujakan di Sentosa Island.

Mac
-Novel kedua saya Lakaran Kasih diterbitkan. Ini adalah hadiah hari lahir ke 30 saya paling bermakna.

April
-Elaun pertama sebagai pelatih diterima..... Kembung juga poket bila dapat tunggakan beberapa bulan tiada gaji.... Mujur saja ada cik abang. Kalau tak agaknya apalah yang saya nak makan. Tol ke IPIK sehari sudah RM8. Tidak termasuk minyak dan lain-lain keperluan pelajaran. Itu belum cerita kes nak bayar dua buah kereta dan rumah... Masa ni terasa sayangnya pada abang...haahaha
-Sukaneka. Kami kena menganjurkan sukaneka dan menyertainya. Kelakar bila kena masuk acara budak-budak seperti masukkan gelang getah dengan straw, lari kepit bola, isi air dalam botol dsb. Betul-betul enjoy!
-Pertama kali bertugas di Pesta Buku di PWTC. Saya ingat lagi, hari Jumaat itu, petang. Sepatutnya memang saya tiada kelas tetapi di saat akhir kelas kami diminta menganjurkan Sukaneka pada hari tersebut. Memang saya macam orang putus nyawa. Berlari ke PWTC selepas habis kelas pukul 1230. Sampai di PWTC jam 230. Jam 330 saya bergegas balik ke IPIK kerana Sukaneka akan bermula. Penat!

Mei
-Ulangtahun perkahwinan yang ke 7 pada 1 Mei 2007. Tahun ini kerana kesibukan dan tidak berwang, saya tidak dapat membuat persediaan seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun ini saya hanya menghadiahkan abang sebotol minyak wangi dari Body Shop. Cuma abang yang menghadiahkan saya dengan 'sesuatu' dan merancang makan malam yang romantik. Saya rasa bersalah sangat kepadanya. huhuhu
-Pesta Buku kali ini saya berpeluang bertemu dengan rakan-rakan penulis dan menjalin persahabatan dengan mereka sehingga kini. Saya bersyukur kerana mereka sentiasa memberi dorongan dan sudi meluangkan masa bersama penulis yang baru bertatih ini.
-Pementasan Drama Mencari Jalan Pulang di IPIK. Saya penulis skripnya. Kami betul-betul bergumbira!

Jun
-Kami ke Kota Singa lagi. Kali ini sekadar berjalan-jalan di Orchard Road dan sekitarnya.

-Bersama teman-teman mengharungi cabaran di BIG. Pengalaman yang saya tidak akan lupa sampai mati, menggendong kayak dengan Fiza. Rasa putus semua urat perut saya yang dibedah cesaerian dulu. Memang pensyarah tu tak ada hati dan perut kerana mengarahkan dua orang wanita yang serba lemah menggendong kayak seberat 80 kilo itu.
Julai
-Praktikum selama 3 bulan memberi pengalaman pertama berdepan dengan anak-anak syurga. Mmm... saya harus kuat semangat!
Ogos
-Royalti pertama untuk Lakaran Kasih. Saya berbelanja sesuka hati dan simpan sedikit.
-Kami sekeluarga berpesta bunga api di PICC, Putrajaya, menyaksikan musical fireworks.
September
-Majlis berbuka puasa untuk kelas PK1.9. Wah sakan kami makan. Majlis tu dibuat di kediaman saya.
Oktober
-Saya kembali ke kelas setelah tamat praktikal 3 bulan. Alhamdulillah saya mendapat pencalonan cemerlang.
-Hari raya Aidilfitri disambut di Alor Setar.
-Peperiksaan akhir bermula.
November
-Pertama kali menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri. Ia bersekali dengan house warming yang tak dibuat dulu. Ramai tetamu yang hadir, hampir 300 orang. Wah! Rumah kecil saya bagaikan menyambut menantu.
-Saya mengikuti Kursus Induksi dan BTN.
Disember
-Bulan yang ditunggu-tunggu! Akhirnya tamat pengajian saya di IPIK. Baru-baru ini saya menelefon ke sana bertanyakan keputusan peperiksaan saya. Alhamdulillah Haslina Kamaluddin, CGPA 3.63 Cemerlang! Saya bersyukur. Dah tua-tua masih boleh mendapat keputusan sebegitu. Terima kasih kepada suami dan anak-anak yang paling banyak berkorban demi saya.
-Tamat Ujian Induksi pada 4 Dis., saya terus pulun Citra Persona. Saya hampir gila bersama Ileana (watak utama dalam CP yang tertekan kerana 'kehilangan' kekasihnya Amri). Beberapa hari saya tidak tidur, hingga mata bengkak dan sakit mata. Saya sakit jiwa menyiapkannya tetapi alhamdulillan akhirnya CP siap juga.
-Saya mengakhiri tahun 2007 dengan menghadiahi diri saya percutian ke Bali. Mengisi setiap masa yang telah saya luangkan kepada kerjaya untuk bersama suami tercinta.
Itu sebahagian rentetan hidup saya sepanjang 2007. Ada pahit, ada manis. Tetapi semuanya mengadun pengalaman indah untuk saya bawa ke tahun 2008. Saya sudah posting, anak dah masuk darjah 1. Apa azam saya tahun ini? Tunggu n3 saya berikutnya...

Selamat Datang 2008/1429H !

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.
Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
"Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun"

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata
"Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua. Kepada yang menghantar SMS untuk salam tahun baru, Terima Kasih bebanyak atas ingatan anda. Semoga ALLAH mengurniakan kita semua dengan keberkatan dalam kehidupan mendatang. Maaflah kerana saya tak boleh membalas SMS atau panggilan anda kerana 'telefon canggih' saya sedang merajuk atau CELCOM buat hal lagi... Semoga bergumbira dan selamat bercuti!

07 Januari 2008

Kenali dirimu melalui bentuk : jawapannya

Oh, si Yana dah sibuk tanya jawapan... dah tak sabar dengan n3 saya terdahulu... Ini jawapannya ye Pah Bedah...

Jika anda memilih segitiga
-berwawasan, bercita-cita tinggi, ada satu arah tuju yang ditetapkan
-akan berusaha untuk mencapai apa yang dicita-citakan
-seorang yg rajin berusaha
-sanggup tinggalkan kawan demi cita-cita dan arah tuju jika dihalang
-boleh meninggalkan orang yang menolong demi kepentingan diri

Jika anda memilih segi empat
-sangat logikal
-mengutamakan fokus dan maklumat yang terperinci
-lebih utamakan maklumat dari khabar angin
-pentingkan keadilan dan saksama
-utamakan peraturan dan panduan
-menilai sesuatu secara objektif

Jika anda memilih bulat
-mementingkan keharmonian
-mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan orang
-selesa bergaul
-ramai kawan
-mudah memahami perasaan orang lain

Jika anda memilih ombak
-fleksibel
-sentiasa serba boleh
-mempunyai minat pelbagai
-kurang menggemari peraturan dan disiplin
-tidak gemar sesuatu yang berjadual rutin
-suka kepada sesuatu yang bebas, kurang kawalan

Bagaimana? Sudah mengenali diri sendiri? Apa kata cuba tanya kawan anda pula. Tapi awas, jika dia sudah tahu jawapannya, penilaian ini sudah tidak sah lagi.

Sumber: Teori Personaliti Peter, 1962 (edited 1974)

06 Januari 2008

Satu hari yang melelahkan...


Harinya 2 Januari 2007. Hari saya bermula seawal 6.30 pagi. Hari ni hari orientasi tahun 1. Saya bersiap untuk bawa Hardy ke sekolahnya. Sampai di sekolah, selepas mendengar taklimat dan selesai, kami hantar Hardy pulang ke rumah jam 10.30 pagi. Kami bergegas ke Shah Alam, lalu selepas pulang kami ke sekolah lama Hardy untuk urusan pertukaran sekolah. Tandatangan guru besar di sekolah lama diperlukan da borang itu perlu dibawa ke Pejabat Pendidikan daerah Hulu Langat yang terletak berhampiran Tesco Kajang. Sebaik sampai, waktu makan tengahari telah tiba, jam sudah pukul 1. Kami diminta kembali semula jam 2.00 petang.


Urusan selesai jam 3.00 petang. Kami ke Putrajaya. Jam 4.30 bertolak semula ke Shah Alam. 7.00 malam sudah ada di Sunway Pyramid. Jam 11 malam baru sampai di rumah. Saya betul-betul kepenatan hari itu hinggakan saya tidak lalu menjamah makanan. Esoknya saya akan mula bekerja....

Hardy: 1st Day @ School!

Hardy dah Darjah Satu.... Dah besar dah anak saya...(dalam hati beringat dan umur akupun dah semakin senja...) Apa lagi lepas ni..... Masuk sekolah menengah dan masuk universiti lepas tu saya dapat menantu dan dapat cucu. Macam jauh saja perjalanan itu tapi pejam celik masa berlalu dengan pantas....
Anak sulung saya ni orangnya lemah lembut jadi saya dan abang risau juga bila dia di sekolah... Bila tengok kawan-kawannya yang agresif, saya jadi bimbang kalau-kalau dia dibuli. Tapi saya sentiasa berdoa semua yang baik-baik saja terjadi kepada dia. Semoga dia dapat menyesuaikan diri di sekolah baru dan suasana pembelajaran baru.
Mula-mula Hardy nak jadi pilot, lepas dia tahu erti sekolah nak jadi guru macam mama dan sejak akhir-akhir ni bila dia dah gila main PS2 dia kata nak jadi pemain bola macam Beckham.
Saya doakan walau apa jua cita-cita dia, dia akan jadi anak yang soleh, taat pada TUHAN dan berjaya dunia dan akhirat!
Taklimat orientasi Tahun 1
Hari pertama di sekolah...

Mulianya Ibadah Korban

N3 ini sepatutnya sudah lama saya masukkan tetapi kerana kesibukan, saya terpaksa menangguhkannya. Tetapi tidak terlewat lagi kerana kita masih di bulan Zulhijjah. Tahun ini saya merayakan pagi Aidiladha di Teluk Intan, Perak. Tahun ini abah berkorban kerbau. Pengalaman pertama bagi kedua-dua anak teruna saya melihat orang menyembelih kerbau.

Kerbau yang sudah disembelih, darahnya dialirkan ke dalam lubang yang sudah awal-awal dikorek. Sebenarnya sukar melawan tenaga kerbau. Hampir sepuluh orang cuba menumbangkan kerbau yang sudah berikat. Ternyata tenaga kerbau ini begitu kuat.

Kerja membuang kulit dan melapah daging kerbau dilakukan secara gotong-royong.
Kalau ada berapa kerat orang, baik tak payah... buat penat badan saja.
Rasa daging kerbau kurang manis jika hendak dibandingkan dengan daging lembu. Struktur dagingnya pula agak kasar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...