28 Februari 2009

Tenggelam dalam kenangan....

Dah genap tiga tahun anak teruna saya yang bongsu ni si Hariz Hakimy 30 Januari lalu. Rasa macam baru semalam tengok dia lahir di Hospital Putrajaya. Baru tumbuh gigi, ada gigi 1, kemudian 2 kemudian 4 dan hinggalah sampai dah menggigit kuat..... Hari ini masa tengok gambar-gambar lama teringin nak upload gambar si Hakimy ni masa kecil-kecil yang saya suka tengok....

itu masa ada gigi 4....

Yang dua keping gambar kat bawah tu gambar dia tidur meniarap. Sampai sekarang tak berubah. Hinggakan lampin selalu basah sebab dia tidur macam tu. Saya suka tengok sebab macam kiut jer...


Hari ini mulut dia dah macam bertih goreng. Ada saja dia nak bercakap. Sekarang dialah teman saya bila abang dia pergi sekolah dan abahnya ke kuliah. Kata-kata dia yang saya suka ialah : " Mama ni kedekut lah... tak nak senyum dengan Hakimy... Why so serius?" Kadang-kadang dia buat aksi silap mata yang dibelajar dari Pak Sunya melalui web cam. Dia bising "Kape duit Hakimy tak patah?"

Saya rajin melayan dia bercakap. Kalau kami menonton cerita di TV, dialah orangnya yang mulut tak reti diam. Ada banyak benda yang hendak ditanya dan biasanya akan bermula dengan "Kape dia...." Bila satu soalan dah dijawab dia akan mula tanya soalan lain pulak. Hinggakan abangnya selalu pesan jangan bising-bising masa tengok wayang. Telatahnya sering buat saya tak kering gusi....Dialah penawar sunyi di hati saya....

Kebelakangan ini, bila Hakimy mula bercakap sepatah dua perkataan Deutsch seperti shockolade, tomaten, bananen, orangensaft....semasa berkomunikasi dengan saya, saya seakan baru teringat... yang kami sudah hampir 6 bulan tinggal di Berlin!

27 Februari 2009

Lynn Dayana Kembali Lagi...Dengan Novel Barula...



Teman saya yang seorang ini begitu gigih menulis. Dia yang saya kenali hampir 5 tahun rasanya semasa mengikuti bengkel penulisan dulu tidak banyak berubah. Yang berubah mungkin kerana gelombang emosi. Tapi saya mengagumi dia kerana semangatnya menulis di celah-celah kesibukan pekerjaan di Pizza Hut.

Dalam tempoh 3 tahun ini 3 buah novelnya telah diterbitkan oleh Alaf 21 Sdn Bhd. Yang menariknya tentang Lynn, tajuk-tajuk novelnya sentiasa kreatif di hujung bibir. Bermula dengan Jika Benar Cinta yang sudah tercetak beberapa kali, kehadiran Hak Cinta Terpelihara mengesahkan bakat semulajadi yang ada padanya. Kali ini Lynn kembali dengan TLC... hehehe Tarikh Luput Cinta... Saya sudah terbayang novel keempatnya yang bertajuk....biarlah rahsia dulukan...yang pasti memang catchy dan mudah diingati kerana lain dari yang lain....Kalau anda nak tahu cik Lynn kita ni terror gak bab buat blurb... hehhe yang korang baca kat belakang kulit buku tu la. Dia memang berbakat dengan meringkaskan sebuah cerita! Tapi saya lagi terror! Kalau buat blurb abang selalu kata...tak payah buat lah...baca kat belakang orang dah tahu citer pasal apa... Blurb saya jadi ringkasan cerita yang betul-betul meringkaskan sebuah buku yang tebalnya 400 ms itu....

Jadi kepada peminat novel dan peminat Lynn Dayana, dapatkan senaskah dua novel ini untuk simpanan anda! TLC seperti novel-novel Lynn yang lain, pastinya menyajikan sesuatu yang fresh from the oven! Tahniah untuk Alaf kerana punya novelis seperti Lynn Dayana dan Tahniah juga untuk Lynn yang sentiasa meletakkan satu tangannya di keyboard walaupun satu tangannya yang lagi satu sibuk mengesat air mata!

Sinopsis dari Lynn
Airel, Imanina dan Rezzal mesti bersaing demi harta bernilai RM 22.5 juta. Saat harta menjadi taruhan, nyawa manusia mula kehilangan nilainya. Pertarungan pun bermula untuk menjadi pemenang namun apabila hati mula berantakan kerana cinta, emosi dan logik pun mula bersengketa mencari ruang untuk berkuasa. Mana satu arah mahu mereka tuju?

Bagi Imanina, pendirian dia dan Airel jauh berbeza. Airel di utara, dia di selatan. DI KL sentral, Rezzal mendoakan mereka bertemu. Namun hatinya tidak mahu. Tidak sanggup menerima Airel si kacang hantu! Airel mesti ditumpaskan.
Manakala warna pelamin imanina dan Airel, Rezzal yang mengangankan. Ada masanya, Rezzal berdoa biarlah Imanina pekak manakala Airel pula bisu, agar dunianya jadi lebih tenang walaupun hanya untuk sesaat! Mereka berdua memang menyusahkan!
Kata Rezzal, skala cinta Airel pada Imanina, bagaikan 7 gunung, 7 lautan dan 7 langit. Sedangkan bagi Airel, sebagai kekasih gelap dia tidak mahu, kekasih separuh masa dia tidak rela! Sayang pada Imanina yang hanya seinci, tidak mungkin menjadi seela!
Maka perang pun bermula tanpa menyedari, ada insan keempat yang mahukan bahagiannya. Lalu bingkisan demi bingkisan dari dia yang mengaku sebagai Pencinta mengundang keraguan dan sejuta persoalan? Antara nilai persahabatan, peluang percintaan dan harta dunia yang berjuta, mana satukah yang mahu dijadikan pilihan?



Blurb original dari belakang buku :
Airel, seorang eksekutif muda dituduh pecah amanah kerana menggunakan wang syarikat. Disebabkan tuduhan itu, dia diberhentikan kerja serta-merta. Dalam kesempitan hidup, tiba-tiba dia ditawarkan dengan harta bernilai RM22.5 juta daripada seorang lelaki yang tidak dikenali. Namun, untuk meraih harta itu, dia dikehendaki ke Langkawi. Di sana, dia bertemu dengan Rezzal dan Imanina.
Mereka juga mendapat tawaran yang serupa.

Tuan Haji Kamarul, seorang lelaki tua yang sangat berpengaruh. Namun, sayang... Dia tiada anak untuk mewarisi segala perniagaannya. Lantaran itu, Airel, Imanina dan Rezzal telah dipilih untuk menjadi pewarisnya. Namun, dia bukan ingin memberi dengan cara yang mudah. Tarikh luput diberikan kepada mereka untuk merebut harta ini.

Pada saat impian hampir tercapai, tiba-tiba wujud insan keempat sebagai pesaing. Pesaing yang inginkan mereka semua musnah! Musnah, supaya harta yang diidam-idamkan itu menjadi hak mutlaknya seorang. Namun, siapakah insan keempat ini dan apakah muslihat Tuan Haji Kamarul memilih mereka untuk merebut hartanya?

Sempatkah salah seorang daripada mereka memenangi pertandingan ini sebelum tarikh luput yang diberkan? Tarikh Luput Cinta... Debarnya menyesakkan dada!


ps: sila dapatkan juga novel dari Eyman Hykal-Meniti Maut... novel ketiga buah tangan beliau yang nyata berlainan sekali dari novel pertama dan keduanya...Mungkinkah beliau sedang bereksperimen?

26 Februari 2009

Dah Habis Hibernate?


hehehe...gambar ini tiada kaitan dengan cerita ini

Tak sampai seminggu hibernate... saya dah penat. Rasa rindu menulis di blog membuatkan saya menyingkatkan masa hibernate itu... Tentu ada yang tertanya apa yang saya buat masa hibernate... Tak ada apapun... Saya cuma rasa bosan sendirian... Lalu saya menulis dan menulis dan ZZZZZZZZZ. Lebih ZZZZZZZZZZ sebenarnya dari menulis. Adalah diisi dengan aktiviti kelas masak-memasak; nasi ayam, mee kari dan kuih lapis.

Cadangnya hujung minggu ini kami sekeluarga (tanpa abang...ish ish) akan main ski di Goslar, Jerman. Tetapi memandangkan saya harus menolak Hakimy dengan stroller di kawasan ais itu terus saya fikir, berdua lebih baik... hehe tentunya dengan abang. Jadi hasrat itu batal. Mungkin musim winter yang akan datang kami sekeluarga akan pergi main ski bersama-sama. Oleh itu hujung minggu ini kami akan keluar juga, ke Muzium Matematik....hehe macam tak masuk je nak ganti main ski...

Sehingga jumpa lagi!


kami tidak sabar menanti 2 April

20 Februari 2009

Pengumuman Cuti : Hibernate untuk seketika

Untuk beberapa ketika, blog ini mungkin akan sengaja ditinggalkan bersawang (sekurang-kurangnya seminggu dua). Di akhir-akhir musim sejuk ni tuan rumah hendak berhibernate seketika. Harapnya dengan hibernate itu banyak benda terbengkalai dapat saya sudahkan.... Jumpa lagi nanti dan jangan jemu menunggu saya....

18 Februari 2009

Bercinta...tidak semestinya bersatu...

Siapa yang ingin jatuh cinta hanya jika untuk terluka
Siapa yang ingin jatuh cinta hanya jika untuk tenggelam dalam air mata
Siapa yang jika diberi pilihan, tidak mahu hidup bersama kekasih hatinya
Siapa yang mahu hidup sengsara
Membiarkan kekasih hati hidup bahagia
lalu diri menanggung derita
tetapi itulah erti cinta bagi sesetengah mereka
Cinta tak semestinya bersatu
Cinta tak semestinya keduanya bahagia ke jinjang pelamin


Cinta itu boleh juga jadinya...
Asalkan si dia berbahagia, saya sudah pun punyai seluruh dunia
tidak mengapa tidak bersama
kerana cinta tak semestinya bersatu
Jika akhirnya kita akan mengatakan
"Cukuplah melihatnya bahagia dengan orang lain yang berhak membahagiakannya"
kerana jodoh, ajal dan maut ketentuan dariNya
Kita hanya merancang, Dia menentukan


Sekuat manapun kita berusaha
jika akhirnya kita akan mengatakan
"Usaha saya sampai di sini saja"
Jika tidak tertulis jodoh kita dan dia
Ia pastinya tidak akan membawa kita ke mana-mana
Kerana jika benar dia dan kita memang ditakdir bersama
Dalam dunia lain pasti tetap bersama juga
InsyaAllah...pada masa yang akan datang, dia akan kembali juga....

ps; sajak ini ditujukan istimewa buat dua insan istimewa dalam hidup saya, satu di Malaysia dan satu di UK yang berkongsi nama yang sama....yang begitu tegar mempertahankan cinta kerana mereka tahu cinta itu tidak semestinya bersatu. InsyaAllah, sebagai teman, saya akan sentiasa meminjamkan bahu dan telinga walau mendengar cerita yang sama dari mereka. Kerana dalam persahabatan; tiada sempadan antara kebahagiaan dan penderitaan...tiada sempadan antara kelebihan dan kekurangan. Kita akan sama-sama mengharunginya....walau berkali-kali saya katakan....hidup ini harus diteruskan...dan berhentilah mengesat air mata luka.

Laila@Berlin
18 Februari 2009
8.01mlm

Rutin Baru Setiap Hari

Kalau di Malaysia pada waktu hari bekerja memang saya susah nak buat sarapan pagi sebab jam 6 sudah harus bersiap untuk ke tempat kerja. Tapi bila di sini setiap hari saya harus menyediakan sarapan pagi untuk Hardy juga untuk abang. Yang barunya, saya harus menyediakan bekalan makanan untuk Hardy makan pada waktu Pause (rehat). Di sini sekolahnya tiada kantin, jadi guru dan murid makan bersama-sama dengan makan bekalan masing-masing. Bagusnya kejadian cirit-birit payah nak jadi sebab ibubapa yang sediakan bekalan makanan dari rumah.
Saya fikir-fikir, kalau benda ni digunapakai di Malaysia, mesti dapat tentangan dari ibubapa...juga pengusaha kantin...satu kena bangun pagi masak, dan satu lagi tentu bengang sebab bisnes depa lingkup. Yang untungnya tentu makcik jual nasi lemak tepi jalan. Pasti makin laris jualan mereka... Tapi yang bagusnya, kuranglah berita pasal keracunan makanan di sekolah. Cikgu-cikgu pun tak adalah susah nak hantar murid ramai-ramai ke hospital...

16 Februari 2009

Ada Berapa Imej Kami?

Cuba kira ada berapa imej kami dalam gambar-gambar di bawah? Bolehkan anda teka juga di manakah diri kami yang sebenar? Adakah di kiri, kanan atau di tengah atau di celah-celah cermin kecil? Gambar ini dirakam di Sealife and Aquadome, Berlin. Menarik terowong ini kerana ilusi optik yang terhasil akibat pantulan cermin ini menyebabkan kami terpaksa meraba-raba mencari jalan keluar dan terpaksa memanggil nama anak-anak yang sudah berjalan di depan kerana risau mereka hilang... Menakjubkan!

Ada 3 imej gambar Hardy dan Hakimy
Ada 4 imej gambar abang dan 1 saya sebagai jurugambar pun ada imej juga

Ada 3 imej gambar saya dan 1 abang sebagai jurugambar


Ada 5 imej gambar Hardy dan Hakimy


Ada 5 imej gambar Hardy dan 3 imej Hakimy

14 Februari 2009

Rumah Terbakar Panggil Bomba

Bomba datang berlumba-lumba.... Ingat lagi dengan lagu kanak-kanak itu? Tapi saya bukan hendak bercerita tentang lagu kanak-kanak. Ini cerita benar tentang kelalaian saya yang hampir menyebabkan saya memanggil bomba dan mendail nombor 112.
Di sini saya menggunakan dapur elektrik. Ada empat tungku. Dapur elektrik ni yang kelakarnya kalau letak kertas tak terbakar pun. Letak lilin pun sumbunya tak menyala tapi ia memang panas. Sudah beberapa kali saya salah menyalakan tungku. Nyala yang ini, tapi yang sebelah sana yang menyala. Entah kenapa saya ni tak perasan sedangkan memang sah lagi nyata, label yang diletakkan di depan dapur tu.
Hinggakan suatu hari saya memasak air. Sambil tu saya santai-santai di depan TV. Dua kali abang tanya, masak apa. Saya kata masak air aje.... Mungkin dia sudah terbau sesuatu tetapi bila dia lihat saya tenang saja, dia turut tidak ambil kisah. Sampailah Hardy kata "Mama, apa yang bercahaya kat dapur?" Kami semua ke dapur. Rupanya kelalaian kali ketiga itu memang membawa padah. Api di dapur sudah menjulang. Habis kabinet dapur saya dimakan jelaga.
Rupanya saya menyalakan tungku yang salah sekali lagi. Air langsung tidak panas tetapi yang berapi itu adalah periuk yang mengandungi minyak. Mujurlah Tuhan masih menyayangi kami.... Jika tidak... entahlah...

Untuk Dalilah!

Yang selalu keep in touch dan menghantar berita-berita sensasi ke Berlin; inilah jawapan saya kepada soalan-soalannya bila saya memberitahu hasrat suci murni saya hendak makan buah Melaka. Soalannya ada 4 tapi saya biarkan saja tidak berjawab:
1-Ada tak tepung pulut di Berlin?
2-Bagaimana dengan daun pandan?
3-Kelapa parut macam mana?
4-Gula kabung mana nak cari?
Inilah hasilnya dari resepi yang dikirimnya ke Berlin. Dah menjadi dah buah Melaka saya! Terima kasih....daun keladi....Walaupun tidak berapa cantik di dalam gambar tapi rasanya dapat mengubat seribu rindu pada keenakan buah Melaka di Malaysia. Hehehe. Rupanya orang keras tangan ni boleh juga buat kuih...yang hairannya semua kuih yang saya cuba di sini menjadi...bermaksud boleh dimakan la. Bak kata Emy, teman saya di Berlin "Kat Berlin ni masak apa saja semua menjadi kak." Betullah.... Hanya perlukan sedikit kreativiti..... mengubah bahan di sana sini...

13 Februari 2009

Pakej Fotografi Perkawinan oleh MrCats

Kepada sesiapa yang sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinan dan sedang mencari-cari fotographer untuk majlis indah tersebut, apa kata berkunjun ke blog MrCats untuk melihat senarai harga pakej yang ditawarkan.

Rasanya pakej tersebut boleh ditawarkan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor sahaja kot. Kenalah tanya pemilik blog tersebut, MrCats. Mungkin kalau sebut Laila Kamilia yang rekomen, boleh dapat diskaun kot, kan MrCats kan?

Berkunjunglah ke blog http://88greenwedding.blogspot.com/ untuk mendapatkan pakej terbaik anda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...