28 Ogos 2014

Cinta Pandang ke-2- Adaptasi ke Drama Bersiri 13 Episod, TV9

‘‘Dahlah gemuk macam gajah, garang pulak macam singa! Patut tak payah pergi sekolah, duduk saja dalam hutan!’’ Zairul Hasmat memang meluat dengan Ainnur Azleen. Walaupun mereka berdua sekelas, tetapi tidak pernah sebulu. Ada saja sikap Ainnur yang menjengkelkan hatinya. 

Di sekolah, Zairul ‘prince charming’ sedangkan Ainnur si Ugly Betty. Beza mereka macam langit dengan bumi! Disebabkan badan saiz XXL, Ainnur hanya mampu memuja Zairul dalam diam. Zairul pula memang seronok menyakat. Tidak sudah-sudah mengejek Ainnur menyebabkan Ainnur berasa hati lalu nekad bertukar sekolah.

Setelah bertahun lamanya masa berlalu…

Ainnur bertemu semula dengan Zairul di dalam sebuah syarikat. Dia menjadi ketua di bahagian itu manakala Zairul hanyalah sebagai budak penghantar surat.

Zairul tidak tahu bahawa gadis cantik yang menjadi bosnya itu adalah Ainnur Azleen yang pernah dikutuk dan dicaci suatu waktu dulu. Pertama kali berjumpa, dia terus jatuh cinta! Sanggup berkorban jiwa dan raga.

Aha, Ainnur mendapat idea! Inilah masanya untuk dia membalas dendam lama.
Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd, 2011
Harga : RM22
Beli dari Penulis : RM19.80. Harga termasuk pos. 

Saat Kau Hadir


Saat Kau Hadir terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, 2008.

Sinopsis :
Bibit-bibit cinta Eliana dengan Amri berputik sejak mereka sama-sama terlibat dalam aktiviti perkhemahan. Rimbunan kenangan manis bersama-sama Amri menguatkan lagi rasa cinta Eliana. Diri yang selama ini kontang dengan kasih sayang mula diresapi bara asmara, menghangatkan lagi seluruh musim dingin di hatinya.

Entah apa silapnya, sedang asyik dilambung rindu, bermulalah satu episod hitam dalam hidupnya. Amri tiba-tiba menghilangkan diri sekali gus mengubah seluruh cerita cinta yang terlakar. Hatinya jadi rawan

Tatkala itu, Imran Syakir menghadirkan diri. Jejaka sebelah rumah itu pada awalnya dipandang sinis oleh Eliana. Namun Imran tetap tegar mencelah, menjadikan kehadirannya mula dirasai. Datangnya untuk menyembuh lara hati, memberinya satu pengalaman cinta yang berbeza.

Resam hidup, dugaan akan sentiasa datang menguji ketabahan dan keimanan setiap insan. Tahun berganti tahun... Amri kembali menuntut haknya setelah Eliana dibiar sendirian melalui trauma. Eliana keliru. Kerana Amri juga, dia hampir menemui ajalnya!

Perlukah dia setia pada janji semalam yang telah berlalu pergi ataupun berpaut pada harapan esok yang belum pasti?
Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd, 2008
Harga :RM18
Beli dari Penulis : RM16.00

Lakaran Kasih



Lakaran Kasih, terbitan Alaf 21 Sdn Bhd, 2007.

Sinopsis :
Dzalia dan Zuhairee, dua nama yang dijanjikan untuk bertemu dan jatuh cinta. Dua insan yang sekadar menyimpan rahsia hati, sedang diri menanggung sakit tidak terperi. Betapa lemahnya manusia... semudah itu tewas dalam ujian hidup yang tidak seberapa.

Siapa sangka... setiap pertemuan mereka sebenarnya dirancang. Ikatan dua keluarga tidak memungkinkan mereka berpisah. Tapi... ingkarkan namanya jika janji yang terlafaz tidak terungkai? Apa perlunya dipateri ikatan jika tidak membawa sebarang erti? Ah, cukuplah derita yang menjerat diri. Biar dilunaskan ikrar yang menghambat memori.

Terbitan : Alaf21 Sdn Bhd, 2007
Harga : RM14
Beli dari Penulis : RM12.00. Harga termasuk pos.

27 Ogos 2014

POWERPUFFGIRLS MAMA- Memenangi Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013 Kategori Buku Kanak-Kanak Pilihan


SINOPSIS BUKU 1 HARI 1 CERITA : POWERPUFFGIRLS MAMA

Buku ini ditulis ole Laila Kamilia dan rakan-rakan Lynn DayanaCikYam Elias Maryam Elyas Nazihatul Hanan dan Zakiah Abd Ghafar. Buku ini kompilasi 15 cerpen istmewa untuk anak-anak berusia 7-12 tahun. Buku ini telah memenangi Anugerah Grup Buku Karangkraf 2014, kategori Bulu Pilihan Kana-kanak.


TULISAN LAILA KAMILIA
Hardy Dan Bola
Kalau budak lelaki tak main bola, bukan anak jantan la! Dari Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga hatta ke Liga Malaysia, Hardy memang gila bola. Tak cukup menonton, dia turut sama mengejar bola. Dia hero kelas dalam pertandingan futsal tahun sebelumnya. Tahun ini mungkinkah ada perubahan ketara? Hardy risau melihat tubuhnya yang sudah berganda. Kata doktor, kadar metabolismenya ada sedikit huru-hara. Adakah dia akan kembali menyarung jersi kelasnya? Jom kita lihat bagaimana Hardy menangani obsesinya pada bola!

Pustaka Mini Aina
Aina bersekolah di SRJK (C) Cina. Gadis usia 11 tahun ini hobinya membaca. Rumahnya penuh dengan buku kerana minatnya. Jadi Aina fikir eloklah dia menjadikan sebuah bilik menjadi sebuah mini pustaka. Hmm... Aina memang seronok membuat transformasi hingga semua kawan-kawan terbabit sama. Suatu hari Aina terpilih mewakili sekolah ke Pertandingan Pidato DiRaja. Mampukah murid sekolah aliran Cina ini menunjukkan bakatnya? Jangan lupa, dia ada Pustaka Mini Aina yang besar jasanya.

Terima Kasih ALLAH
Kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Suatu hari Iskandar didenda kerana ditangkap seorang guru sedang mengejek seorang murid pendidikan khas yang dikatakan gila. Dia didenda selama seminggu untuk menjalani pembelajaran di kelas pendidikan khas, meninggalkan kelasnya di aliran perdana. Bolehkah murid nakal seperti Iskandar menangani rakan-rakan baru di kalangan murid-murid istimewa? Setiap kejadian TUHAN pastilah ada sebabnya. Cuma Iskandar perlu buka mata untuk melihatnya.


TULISAN LYNN DAYANA

Mogok Tak Menjadi
Bila prestasi pelajaran Herman dan Aisya merosot, semua keistimewaan ditarik balik. Tiada PS2, tiada telefon dan mereka pun mogok! Namun, ibu bapa mereka yang lebih dahulu makan garam pastinya lebih berkuasa minda dan ideanya menangani mereka. Mogok pun hilang, rasa insaf pula yang datang.

Jiwa yang Merdeka
4 sekawan belajar makna merdeka setelah terperangkap dalam hujan di depan rumah Pak Ali yang sedang memasang bendera di bulan Oktober. Rupa-rupanya, besar makna merdeka yang tidak pernah mereka fikir dan selalu abaikan. Pulang ke rumah, semua pun berkobar semangat mahu berjiwa merdeka sepanjang tahun dan bukan hanya pada 31 Ogos sahaja.


Upah Vs Pahala
Fareez mahu membeli PS2 maka dia menjadi rajin namun rajinnya mesti berbalaskan upah. Semua tugasan di rumah pun pasti ada ganjaran. Hinggalah Fareez mendengar cerita tentang kerajinan Hanum membantu emaknya. Kata Hanum, dia tidak mengambil upah namun dia mengharapkan pahala. Fareez jadi malu dan belajar mahu meraih pahala juga.


TULISAN MARYAM ELYAS

Husna Dan Angry Bird
Disebabkan bermain permainan video Angry Bird, pelajaran Husna merosot. Dia mulai sedar kesalahannya apabila kerap tertidur di dalam kelas kerana letih bermain Angry Bird hingga jauh malam.

Jamil Dapat Kawan Baik
Jamil sering dibuli oleh Taha, Udin dan Abu. Namun mereka akhirnya menjadi kawan baik apabila Jamil menyelamatkan Taha daripada lemas di sungai.

Jom Facebook
Mimi mengajar atuk dan neneknya bermain facebook untuk memudahkan mereka berhubung. Mimi gembira apabila dia yang tinggal di bandar boleh melihat gambar atuk dan nenek di facebook setiap hari.

TULISAN NURLIZA MOHD NASIR

Mama, kenapa pakai tudung?
Suka benar Bella kerana dapat balik kampung. Iyalah. Selain dapat berjumpa dengan nenek dan datuk, Bella juga dapat bermain dengan sepupu-sepupunya. Bella pelik melihat emak dan mak cik-mak ciknya yang memakai tudung di dalam rumah. Setelah diperjelaskan sebabnya, barulah Bella faham.

Apa yang penting, kerjasama!
Kelas 5 Cemerlang diumumkan sebagai kelas darjah lima terkotor lagi. Arida tidak berpuas hati. Kelas mereka bukannya kotor pun cuma tidak cukup ceria sahaja. Sasha mencadangkan agar seluruh warga 5 Cemerlang mengadakan gotong-royong dan semuanya bersetuju.

Akibat tak dengar cakap
Aidi anak yatim piatu. Ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Aidi sekarang duduk dengan neneknya yang sudah tua. Walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, Aidi tetap tidak suka duduk dengan Nenek Siti. Bagi Aidi, rumahnya di bandar jauh lebih selesa. Satu hari, Aidi pergi mandi sungai berseorangan. Walaupun telah ditegah oleh Abang Leman, Aidi tetap berdegil. Namun dengan tidak diduga, Aidi telah terpijak labi-labi.

KAWAN BARU FB


SINOPSIS BUKU 1 HARI 1 CERITA :



KAWAN BARU FB

TULISAN LAILA KAMILIA dan rakan-rakan Lynn Dayana CikYam Elias Maryam Elyas Nazihatul Hanan dan Zakiah Abd Ghafar. Buku ini kompilasi 15 cerpen istmewa untuk anak-anak berusia 7-12 tahun.


Kawan Baru FB- Mila seorang kanak-kanak yang baru belajar menutup aurat. Sekalipun hanya anak penjual kuih, dia juga tidak mahu ketinggalan dalam dunia Facebook. Bertuahlah kerana bapanya seorang juruteknik komputer yang berfikiran terbuka. Jadi bila ayah beri lampu hijau membuka akaun FB, kerjanya asyik melayan FB hingga karipap digoreng jadi hangus. Hari-hari kerjanya menanya bilangan 'friend' yang ada di FB dengan kawan-kawan sekelas. Masing-masing berlumba siapa punya 'friend' teramai. Satu kejadian membuatkan semua kawan-kawan Mila mula takut dengan dunia FB. Hey! Kejutan dari teman FB menyedarkan Mila apakah nilai persahabatan sebenar.


Hakimy Hilang PSP- Hobi Hakimy main PSP. Diusung ke sana ke sini hingga hobi bertukar obsesi. Pesan mama jangan bawa PSP keluar dari rumah tapi kalau sudah namanya obsesi, diam-diam PSP dibawa tanpa mama sedari. Janjinya hanya mahu main sekejap sampai tahap yang diingini. Tapi bila sakit perut, fikiran yang waras sudah tidak boleh fikir apa-apa lagi. Cari tandaslah nak ke mana lagi? Tapi PSP? Oh! Ini cerita seorang budak lelaki yang terpaksa membayar sebuah pengalaman dengan harga yang tinggi.


Neptune Perlukan Raja-Indahnya kalau Teluk Intan tiba-tiba jadi pulau berais. Sejuk, nyaman dan putih bersalji.  Tak perlulah bosan duduk di depan TV semata-mata kerana matahari tegak di kepala membahang dengan suhu mak ai, berpinau mata. Suatu hari impian Amsyar Daniel menjadi kenyataan! Peluang menjadi Raja kepada Planet Neptune datang sekelip mata. Aha! Mari kita kongsikan pengalaman beliau mentadbir planet berais.


SINOPSIS TULISAN LYNN DAYANA


Lagu Hati Sefia - Jadi penyanyi kan bagus? Popular, kaya dan berjaya! Itu mimpi Sefia. Bila tragedi melanda dan Sefia kelam kabut mana satu alif, mana satu ba dan hilang huruf ta, Sefia sedar dari leka. Hafal lirik itu membuang masa. Baca Al-Quran lebih banyak afdalnya.


Sesat Dalam Terang - Kembar Hanif dan Hanani yang berbeza tingkah. Hanif mahu cepat saja. Suka tergesa-gesa. Masuk ke dalam hutan, mereka sesat dalam terang. Mujur ada Hanani yang pulang mendapatkan bantuan. Hanif belajar makna merendah diri dan berfikir dengan logik.

Kuasa Kerepek - Yalah, dia anak orang miskin. Emak menjual kerepek saja. Hari Guru, Arman diketawakan. Pelajar lain beri hadiah mahal, dia beri kerepek saja. Namun dengan kuasa kerepek itulah dia menyelamatkan kawan sekelasnya yang kemalangan jalanraya. Kawan yang tadinya sombong jadi malu.

SINOPSIS TULISAN MARYAM ELYAS


Akibat Lupa Kawan - Rozi dan Raihana berkawan baik. Semuanya berubah dengan kehadiran Faridah. Rozi semakin rapat dengan Faridah dan Raihana terpinggir. Akhirnya Rozi mulai sedar tindakannya itu tidak elok dan mereka gembira berkawan bertiga.


Oh, Maria! - Maria ialah anak yatim piatu. Kematian Tok Samad akibat dipatuk ular membuatkan Maria semakin sedih. Kegembiraan mulai terpancar apabila Mak Intan dan Pak Ibrahim mengambilnya sebagai anak angkat.


Tragedi Tali Air : Kejadian Fikri hanyut di tali air menjadi pengajaran kepada Puan Tina supaya lebih bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerja.


SINOPSIS TULISAN NURLIZA MUHD NASIR


Balqis dan Tina - Walaupun kembar seiras, Balqis dan Tina sering sahaja berkelahi. Macam anjing dengan kucing, tidak boleh duduk bersama. Ada sahaja yang tidak kena sampai pening kepala Puan Zaharah dibuatnya. Satu hari, Puan Zaharah membawa Balqis dan Tina ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Namun tanpa disangka, Balqis telah hilang!



Kakak, Adik Keluar Angin! - Izzah hendak menunaikan Solat Zohor secara berjemaah dengan kakaknya tetapi Ifaf pula mahu tengok cerita kartun. Aduhai, keduanya saling menyalahkan antara satu sama lain. Ifaf marahkan Izzah yang ambil wuduk sampai lencun bajunya. Manakala, Izzah pula salahkan Ifaf kerana melengahkan solat. Puan Zaiton menasihati mereka agar tidak bermasam muka sesama adik-beradik.



Mimpi Ngeri Daniel - Daniel sangat suka tengok cerita kartun sampai tidak mahu ke mana-mana. Baik bermain dengan kawan-kawannya di padang mahupun mengikut mami dan abahnya ke pasar. Daniel lebih senang duduk di hadapan TV, pagi petang siang malam. Satu malam, Daniel telah bermimpi dikejar pak cik-pak cik Casper yang jahat. Daniel insaf dan berjanji tidak melawan cakap mami dan abahnya lagi.

03 Ogos 2014

PENGUMUMAN : KELAB ALAF21

Sebagai menghargai sokongan pembaca buku ALAF21, kini memperkenalkan satu kelab untuk menjalin ukhwah dan kasih sayang antara penulis dan pembaca ALAF21. Sila klik 



untuk pendaftaran keahlian. Pelbagai aktiviti menarik yang tidak patut dilepaskan jika anda adalah peminat buku-buku ALAF21. Sila daftar segera kerana aktiviti pertama bakal berlangsung pada 17 Ogos 2014. Jangan lepaskan peluang keemasan bersama-sama penulis kesayangan anda dengan lebih intim.

26 Julai 2014

Salam Aidilfitri 2014



Salam Aidilfitri 2014 Daripada Laila Kamilia dan Keluarga. Kesempatan ini terimalah salam kemaafan daripada kami sekeluarga. Maaf Zahir Batin. Semoga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayang dan rahmat ALLAH selalu. Sampai jumpa lagi.

03 Julai 2014

Spoiler Alert : C1NT4 TOP SECRET : Versi Serius

AMARAN : Kepada yang belum membaca novel ini, sila jangan baca. Ruangan ini disediakan seperti dijanjikan di bahagian Tinta Penulis di dalam novel C1NT4 TOP SECRET; versi serius yang saya maksudkan. Versi ini lebih kompleks kerana saya ingin memasukkan beberapa elemen serius sebagai sub plotnya. 

Saya sangat berharap anda berpuas hati dengan apa yang telah saya persembahkan di dalam novel tersebut. Sebarang maklumbalas dan komen untuk penambahbaikan di masa depan sangat-sangat dialukan di emel saya di lailakamilia@yahoo.com atau boleh PM saya di FB: Laila Kamilia.
Sampai jumpa lagi dalam novel Laila Kamilia yang akan datang, in syaa ALLAH.

FRAGMEN NOVEL C1NT4 TOP SECRET : LAILA KAMILIA ; PROLOG



Prolog
Trafalgar Square, London
Jam 1130

TRAFALGAR SQUARE. Namanya diilhamkan sempena kemenangan British ke atas Perancis dalam Perang Trafalgar pada tahun 1805. Tumpuan pelancong serata dunia ke kota mewah London ini tidak akan lengkap jika tidak berkunjung ke sini. Seperti hari kebanyakannya, Trafalgar Square sentiasa sibuk menjadikan kota itu tidak pernah sunyi daripada sesak, asap dari kenderaan  dan manusia.
“Tunggu sini.” Arahan jelas diberikan.
“Err... Tapi, Jade?”
“Kau tunggu sini, biar aku saja yang masuk.”
“Tapi kau dah janji dengan aku, kali ni kita selesaikan bersama. Takkan aku kat luar aje? Bila lagi aku nak ambil pengalaman kau, Jade?” Zed tunduk. Kecewa.
“Bukan aku tak nak ajak kau sekali, tapi arahan KP nak aku seorang saja. Nanti apa-apa berlaku susah kita. Dah! Kau tunggu sini. That’s an order!” Jade terus menutup pintu kereta dan hilang di celah-celah ratusan manusia yang sedang bersiar-siar di Trafalgar Square menuju ke bangunan Malaysia Tourisme Promotion Board tidak jauh dari dataran itu.


Zed mendengus sekali lagi. Tidak habis-habis menjadi sidekick. Hanya peneman kepada rakan setugasnya yang sering sahaja melakukan tugasan merbahaya. Memang selalu dia cuma menjadi pemandu dan penghubung Jade dengan HQ. Macamlah dia hanya jadi pak pacak dalam episod tembak-menembak dan pecah masuk di lapangan. Ingat serah nyawa sama macam posmen serah surat ke?
Sehingga hari ini sudah masuk tiga tahun dia menjalankan misi dengan Jade tetapi tidak pernah sekali pun KP memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan tugas utama. Walaupun dia pernah menyelamatkan nyawa Jade (dan tak terkira jugalah Jade menyelamatkan nyawanya), peranannya itu bagai tidak memberikan apa-apa makna. Nada!
Sudah merata ceruk dunia dia jelajahi bersama Jade, namun setiap kali misi berjaya, nama Jade saja disebut KP sehingga kembang kempis hidung Jade dengan pujian melambung KP setiap kali mereka pulang ke HQ di Putrajaya. Sungguh tidak adil!
Setiap kali ada misi penyamaran, Jade selalu diberikan watak lelaki macho yang kaya; dengan tuxedonya, dengan kereta sport mewahnya, dengan beberapa model-model cantik iras artis ternama dibayar untuk mengiringinya bersama semua gajet-gajet terkini dari hujung kaki hinggalah kepalanya siap tersedia.
Dia? Sebagai tukang sapu sampah di depan bangunan, pelayan restoran, pemandu teksi dan yang paling dia tidak boleh lupa adalah menjadi badut berhidung besar berwarna merah di sebuah funfair di Port Dickson!
Hari ini sekali lagi, permintaannya tidak dipenuhi. Janji Jade untuk membawanya sekali menyelesaikan misi yang masuk hampir empat bulan mereka siasat bersama ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan sama sekali. Kesemua petunjuk yang dikumpul akhirnya berjaya membawa mereka untuk satu perjumpaan rahsia di dalam bangunan Malaysia Tourisme Promotion Board tidak sampai 130 meter dari tempat dia berdiri.
Perjumpaan yang diatur oleh Jade bakal menamatkan misi ini kerana seorang pemberi maklumat telah meminta Jade untuk berjumpa dengannya di dalam bangunan tersebut. Kenapa Jade memilih bangunan tersebut? Tidak pula dia ketahui. Sememangnya Jade banyak muslihat. Ada perkara-perkara dalam misi yang hanya diketahuinya apabila musuh sudah dilihat atau peluru sudah datang seperti hujan lebat. Jadi seperti biasa, dia awal-awal lagi sudah bersedia fizikal dan mental jika dipanggil pada bila-bila masa untuk memberi khidmat atau menjadi penyelamat!
Zed keluar dari perut kereta lalu bersandar pada kereta, bermain-main dengan pemetik api Zippo pemberian Jade kepadanya. Sambil menunggu matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Bosan tetapi dia masih tidak lupa peranannya sebagai penyiasat yang sedang berada di lapangan. Bukan semua orang diberi peluang seperti itu. Ada beribu-ribu orang yang tidak terpilih dan dia seharusnya bangga dengan pencapaiannya setakat ini, walaupun peranannya itu hanyalah sebagai sidekick.
Kalaulah ibunya tahu yang anaknya ini seorang penyiasat antarabangsa, mahu riuh satu kampung sampai raya tahun hadapan cerita itu tidak habis dijaja. Menangis menyesal tak sudah kerana meninggalkan dirinya kepada ayah semasa kecil dulu. Dan ayahnya pula tentulah menjadikan cerita kehebatannya kepada semua pelancong yang ditemuinya. Zed memang ada banyak sebab untuk rasa sebegitu bangga!
Dia mengetepikan rasa bosannya lalu kembali fokus pada kerja. Sebuah kamera dikeluarkan dari poket seluar kanannya lalu mula mencari sasaran lensa, bagaikan pelancong yang santai berlibur di kota London.
Lensa ditalakan ke tengah-tengah dataran yang terletaknya sebuah monumen yang dinamakan Nelson’s Column, dikelilingi oleh empat patung singa yang besar. Bagi mendapatkan imej dari sudut yang lain, dia berjalan ke arah salah satu patung singa di sebelah kanan.
Pandangannya tertumpu ke arah The Mall, bukannya sebuah shopping mall tetapi nama jalan yang menghala ke arah Buckingham Palace, istana rasmi kerabat DiRaja British. Teringatkan Jade, pandangannya beralih kembali ke arah laluan Jade menghilang tadi. Dia melihat jam. 20 minit telah pun berlalu. Masih belum ada apa-apa arahan yang terbaru.
Kelibat seorang tua berbaju jaket labuh hingga ke paras lutut bewarna biru tiba-tiba menarik perhatiannya. Lelaki tersebut sedang berjalan terhincut-hincut menghala ke arah Jalan Haymarket. Mungkin keadaan fizikal lelaki itu yang sebegitu membuatkan perhatian Zed tertarik padanya.
Zed memandang lagi lelaki tua itu. Meneliti dengan waspada. Seketika lelaki itu mengeluarkan sarung tangan dari dalam poket seluarnya lalu dipakai dan terus berjalan dengan pantas. Namun matanya tertancap pada sesuatu yang terjatuh dari kocek lelaki tua itu. Jalannya agak pantas tanpa menyedari dia telah tercicirkan sesuatu.
“Hey, Mister!” Dia menjerit. Jaraknya dengan lelaki tua itu agak jauh, pastilah menyebabkan teriakannya tidak didengari oleh lelaki itu. Tambahan pula ramai sangat manusia di kelilingnya. Dia berlari menuju ke arah ‘sesuatu’ yang terjatuh tadi. Seorang budak perempuan sedang memungutnya.
“Sorry, this is not yours.” Zed terus mengambil telefon bimbit yang sedang dipegang oleh budak perempuan itu lalu berlari mencari lelaki tua itu. Tujuannya hanya satu, memulangkan kembali telefon bimbit tersebut kepada lelaki tua tadi. Dia terus berlari.
Kelibat lelaki itu dilihatnya menuruni tangga untuk ke stesen Subway Haymarket. Dia terus mengejar. “Hey, mister! Mister! You’ve dropped you cellphone!” Termengah-mengah dia mengejar lelaki itu. Akhirnya, dia berjaya menyentuh bahu lelaki tua itu.
Lelaki tua itu menoleh.
Ah! Rupa-rupanya lelaki Asia. Zed mengukir senyuman sambil menghulurkan telefon bimbit di tangannya.
“Sorry, that’s not mine. Bukan telefon saya.” Lelaki itu membalas. Dia terus meninggalkan Zed yang terpinga-pinga.
“But, eh... tapi, pak... saya nampak handphone bapak jatuh dari kocek bapak! Pak! Pak!” Zed memanggil dengan rasa hairan tetapi lelaki tua yang boleh bertutur bahasa Indonesia itu terus berlari melintasi palang tiket di tempat menunggu kereta api bawah tanah itu bagai tidak pernah tempang.
Lelaki itu langsung tidak menghiraukannya. Zed marah.  Mengapakah panggilannya tidak dilayan sedangkan dia amat pasti telefon bimbit yang dipegangnya itu memang sah milik lelaki tua itu?
Tiba-tiba telefon bimbit di tangannya berdering. Dia keliru. Mahu dijawab atau dibiarkan sahaja. Beberapa kali telefon bimbit itu berdering. Hanya dipandang dengan rasa serba salah. Orang di sekeliling sudah memerhatinya.
“Hello!” Akhirnya, dia menjawab juga, tidak tahan dengan deringan yang berkali-kali itu. “Hello!” Zed mengerutkan dahinya. Suara di talian amat dikenalinya. “Jade?”

ps-Gambar-gambar latar yang dibayangkan di dalam Prolog C1NT4 TOP SECRET dirakam daripada lensa Laila Kamilia.

02 Julai 2014

Anugerah Grup Buku Karangkraf (AGBK) 2014 : Alhamdulillah. Terima Kasih ALLAH

Sudah hampir sebulan blog saya berabuk sejak saya tinggalkan. Alhamdulillah, hari ini baru diberi kesempatan untuk membuat entri pertama setelah berehat panjang. Entri pertama yang ingin saya tulis tentulah tentang Anugerah Grup Buku Karangkraf yang telah berlangsung gilang-gemilang pada 14 Jun 2014 yang lalu. Kebanyakan karyawan telah bercerita banyak tentang anugerah yang mengiktiraf penulis di bawah bumbung Karangkraf ini. Yang pasti, saya mungkin yang terakhir menulis berita yang sudah lama ini tetapi saya yakin, sekalipun ia telah lama berakhir, telah meninggalkan kenangan terindah kepada semua karyawan Karangkraf. 

Alhamdulillah. Untuk majlis anugerah kali pertama ini, pada awalnya saya telahpun dicalonkan untuk 3 kategori iaitu Buku Adaptasi melalui novel Cinta Pandang ke-2, Buku Pilihan dan Cover Pilihan Kanak-kanak untuk buku Powerpuf Girls Mama. 

 Pencalonan Awal
Cover Pilihan 
 Adaptasi
Buku Pilihan Kanak-kanak

Saya bersyukur sekalipun penulis kerdil, buku saya turut tercalon. Melihatkan senarai pencalonan awal, saya sudah rasa saya tidak akan pergi jauh melihatkan kepada senarai pencabarnya. Namun apabila pencalonan akhir disenaraikan, saya terkejut melihat 2 daripada 3 pencalonan awal telahpun ke senarai akhir (Top 5).

Inilah calon-calon buku hebat yang turut bertanding dengan buku-buku saya. Hebatkan calon-calonnya? Terasa saya sangat kerdil!

Saya bergambar dengan saudara Fathi, antara tulang belakang anugerah tersebut.

Saya telah diberitahu tema pakaian pada hari anugerah adalah pink-biru. Saya sebenarnya telahpun meminta seorang pembaca novel berbakat, (Sentuhan Rieyn) untuk merekabentuk pakaian yang akan dipakai pada hari bersejarah itu. Hehe. Sekalipun tiada gambaran nak menang, tapi saya mahu meraikan hari bermakna kepada para penulis itu. Saya telahpun menerima 'design' yang sangat cantik, kena dengan tema Dalam Taman. Namun disebabkan sedikit masalah, projek tersebut tidak dapat dijalankan. Saya juga sudahpun mengambil tudung daripada Aisyahscarf untuk dipakai pada hari tersebut.

Namun apa yang dirancang tidak kesampaian. Sebenarnya saya telahpun merancang untuk bercuti ke satu destinasi sejak setahun lalu. Jika ikut perancangan asal, saya akan kembali pada awal pagi 14 Jun. Namun saya sekadar boleh merancang, segalanya tidak ikut rencana apabila pada saat akhir, saya terpaksa menukar dan merombak segalanya menyebabkan saya terpaksa mengorbankan untuk tidak hadir ke majlis Anugerah  Grup Buku Karangkraf.

Saya hanya mendoakan majlis berjalan lancar dan mengucapkan tahniah kepada Grup Buku Karangkraf kerana berjaya menganjurkan anugerah ini yang pada akhirnya diumumkan menjadi acara tahunan Karangkaraf. 

Alhamdulillah. Sebaik kaki menjejak KLIA pada malam 14 Jun itu, saya diberitahu buku Powerpuf Girls Mama telahpun menang anugerah Buku Pilihan kategori Kanak-kanak.  Sekalipun Cinta pandang ke-2 tewas di tangan Setia Hujung Nyawa, saya tetap bangga dengan pencapaiannya. Terima kasih kepada team novel Cinta Pandang ke-2  (editornya, Mazuen Yahya juga perekabentuk kulit Rohana Ibrahim dan team drama Cinta pandang ke-2 (penulis skrip, Kak Maizurah Mohd Ederis, Zuli Ismail, Eenaz Mokhtar, penerbit, ZKC Production, saudara Zaini Kosnin, pengarah Nazir Juhan, juga para pelakon Dazrin (yang selalu bagi sokongan sepanjang promosi),  Amyra Rosli, Izara Aisyah, Ery Zuhairee, Abby Nour, Jazli Hassan dan lain-lain lagi... juga komposer dan penyanyi OST Cinta Pandang ke-2, Affan Aizat, Epi Cortgoth,  Mohamad Syahir, Yusri Yusuf dan Anis Syazwani juga TV9 huhu panjangnya senarai). Tak dilupakan para pembaca novel dan penonton drama Cinta Pandang ke-2. Terima kasih kerana bagi sokongan yang superb kepada penulis kerdil bernama Laila Kamilia!

Atas kemenangan Powerpuff Girls Mama, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan penulis yang turut sama terlibat dalam pembikinan buku ini; Lynn Dayana, Maryam Elyas, Zakiah Abd Ghafar dan Nazihatul Hannan juga editor comel Siti Aisyah.

Ketika pertama kali terlibat dalam penulisan buku kanak-kanak, saya memang tidak pernah berangan-angan untuk mendapat anugerah. Hanya fikirkan ketika itu, sebagai seorang guru, saya harus ada buku kanak-kanak untuk dibaca oleh kanak-kanak. Sepanjang menulisnya, saya menulis berdasarkan kisah-kisah yang dilalui supaya  kanak-kanak seronok membaca. Saya harapkan kisah-kisah yang dinukilkan akan menggembirakan kanak-kanak dan mendapat tauladan daripada kisah-kisah tersebut. Semoga memberi inspirasi dan semangat kepada anak-anak yang membaca untuk berjaya pada masa depan. Ketika kanak-kanak, banyak buku-buku yang saya baca, yang masih segar dalam ingatan saya sehingga kini dan saya berdoa, semoga ada buku-buku tulisan saya yang segar dalam kenangan anak-anak ini, in syaa Allah.

 inilah buku Powerpuff Girls Mama

Award yang diterima, Buku Pilihan Kategori Kanak-kanak

Terima Kasih ALLAH. Inilah plak yang saya baru sempat ambil dari Aisyah, hari Jumaat lepas. 

Kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang banyak menyokong kerjaya penulisan saya terutamanya ibubapa juga anak-anak; Hardy, Hakimy dan Hana yang selalu memberi semangat kepada mamanya untuk menulis buku kanak-kanak dalam melayari kisah-kisah kehidupan mereka. 

Kepada suami, Aedy Fadly yang banyak berkorban dan terkorban dengan kerjaya kedua isterinya ini, terima kasih kerana memahami dan menyokong. Tanpanya, saya mungkin tidak dapat menulis walau sepatah kata.

Kepada Guru Besar saya, Encik Mohamad Jamil yang menyokong, terima kasih banyak. Saya pernah kata, jika saya dapat anugerah, saya akan sebut namanya kerana sokongannya. Hehe.

Kepada Alaf21, Grup Buku Karangkraf, tanpa anda tiada apa yang akan bermula bagi Laila Kamilia; tiada apa-apa.

Kepada pembaca, tanpa anda, siapalah Laila Kamilia. Terima kasih atas sokongan anda!

Kepada semua pemenang, sekalung tahniah! Kemenangan anda menjadi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan karya seperti anda pada masa depan. 

Kepada semua karyawan, selamat berjuang dan semoga bertemu dalam Anugerah Grup Buku Karangkraf 2015, in syaa ALLAH.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...