27 Januari 2010

Saat Kau Hadir : Satukan Hati Tiga Negara


SKH mempertemukan Kak Ami (Jerman), Kak Su (Brunei) dan Laila (sudah pasti Malaysia tercinta, juga Hana!)

Saya tidak pernah terfikir, novel-novel saya akan membawa saya 'keluar' dari Malaysia. Mungkin saja saya ini terlalu 'low profile' ataupun merendah diri hingga saya tidak meletakkan aras yang tinggi dalam pengharapan saya. Saya memang begitu. Dari dulu walaupun siapa saya, saya tetap Haslina Kamaluddin yang sama. Itulah yang selalu saya katakan kepada teman-teman. Saya bukanlah penulis hebat seperti Habiburrahman malah terlalu jauh dibanding dengan Asma Nadia, penulis-penulis besar di Indonesia. Apatah pula hendak diukur dengan Aisya Sofea, Anis Ayuni atau kakak-kakak kesayangan saya Norzailina Nordin dan Eka Fahara atau teman Lynn Dayana, Bikash Nur Idris, Aleeya Anesa, Dhiya Zafira, Shanika Latisya, Umi Azrini dan ramai lagi yang senarainya terlalu panjang jika saya harus menulisnya di sini Ya, saya hanyalah penulis kerdil yang masih banyak perlu belajar. Terpulang kepada 'motivator' yang mengatakan, orang yang selalu berasa kerdil sememangnya kerdil. Tetapi saya memang penulis kerdil yang bukan siapa-siapa. Lalu jika ada yang bertanya kepada saya, tips menulis novel, saya akan ketawa dan seolah-olah mengelak menjawabnya. Bukan kerana apa, kerana kerdilnya saya ini tentunya tidak layak memberikan tips atau nasihat apatah panduan dunia penulisan.


bergambar di galeri kereta di Kudam

Saya mengenali Kak Su melalui emel kirimannya. Ya, dia membaca SKH dan dari situ kami berkenal mesra. Kami saling bertukar khabar dan semasa beliau memberitahu akan menziarahi saya di Berlin, saya sangat berbesar hati. Lalu pada 17-18 Januari lalu, kami bertemu dan menjalin kasih di Berlin!


Pangeran Alimin, abang, saya dan Kak Su menanti bas 100 di Zoologischer Garten

Saya berasa terharu dengan kunjungan Kak Su sekeluarga. Maaflah jika terdapat sebarang kekurangan semasa bersama kami. InsyaAllah jika ada rezeki, kami akan membuat kunjungan balas ke Brunei, bersama-sama Kak Aminah (yang tidak sabar-sabar mahu ke Malaysia...hehehe). Kini saya, kak Su dan Kak Ami meneruskan ukhwah lewat Facebook. Moga di suatu masa kami dipertemukan kembali, insyaAllah!


ke Hard Rock Cafe, Berlin

Melalui novel, saya bersyukur kerana dapat menjalin ukhwah dengan ramai kenalan yang saya tidak pernah kenal sebelum ini. Alhamdulillah, rezeki yang Allah kurniakan dengan bakat yang ada, itulah caranya kita menjalin ukhwah. Kepada 'follower' blog Laila Kamilia, saya sekali lagi ingin merakam penghargaan dan terima kasih dengan sokongan ada. Tanpa anda, saya mungkin tiada kudrat untuk meneruskan penulisan di ruang maya ini. Kerana andalah saya terus semangat menulis dan menulis. Saya sangat berharap dapat berkomunikasi dengan anda. Jangan biarkan hanya saya sendiri yang berbicara. Tinggalkan pesan walau hanya dengan satu perkataan. Anda boleh hubungi saya di lailakamilia@yahoo.com atau facebook Haslina Kamaluddin. Mari kita kongsikan pengalaman bersama!

ps-jika Nisah dari Singapura membaca entri ini, harap dapat emel saya kerana alamat emel Nisah saya sudah tiada (ditelan virus komputer). Semoga Nisah selamat melahirkan bayi yang comel ya!

2 ulasan:

Unknown berkata...

tertarik betul bila tengok kak ami ni. mesti teringatkan kak ai. same ke watak dua orang ini kak?

LK berkata...

hahaha...samala...wanita yg penuh kasih sayang...nnt dtg msia blh jumpa. kak ai dah dapat kontek x?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...