11 Ogos 2009

KEMBARA EROPAH: Sepanyol I - Barcelona

Pemandangan Barcelona yang dirakam dari atas bukit Mont Juic

Percutian kami ke Barcelona, Sepanyol selama 2 hari. Kali ini kami menyewa kereta disebabkan Lapangan Terbang Girona yang memakan masa lebih kurang sejam dari pusat bandar Barcelona. Tambahan pula hotel yang kami tempah berada di tepi lebuhraya. Cuaca di Barcelona memang panas kering hingga mencecah 41 darjah celcius. Terasa hangat kulit terbakar dek matahari tetapi itu tidak menghalang kami dari meneroka Barcelona cuma ia menghadkan kami dari pergi ke beberapa destinasi tarikan pelancong disebabkan kepenatan. Kami minum air banyak bagi mengganti cecair di dalam badan. Hardy kata Barcelona lebih panas dari Malaysia. Dia yang tidak tahu berapa darjah suhu harian pun boleh merasakan kehangatan Barcelona.


di tengah pusat bandaraya Barcelona

Pada hari pertama kami di Barcelona, kami memulakan pengembaraan dengan menuju ke Camp Neu, stadium yang digunakan FC Barcelona. Namun GPS meragam pada hari itu dan tidak berfungsi dengan sepatutnya. Perjalanan yang jaraknya hanya 8km telah menjadi 2 jam. Kami langsung tidak menjumpai stadium. Bila ia kembali berfungsi, kami membatalkan rancangan ke stadium lalu terus ke pusat bandar. Destinasinya Mont Juic yang terkenal dengan pelancong. Kami berjalan-jalan di sekitar Mont Juic. Antara destinasi yang sempat kami kunjungi ialah Musical Fountain dan Stadium Olimpik Barcelona.


Musical Fountain dan National Museum

Stadium Olimpik




Camp Neu, FC Barcelona
Kami ke Camp Neu pada hari esoknya. Mujurlah GPS tidak meragam tetapi ia membawa kami ke jalan merentasi bandaraya Barcelona yang memang banyak sangat lampu isyaratnya. Sudahnya 8km mengambil masa hampir setengah jam. Menariknya di butik FC Barcelona ini terdapat pelbagai barangan cenderamata dan harganya juga agak berpatutan (kecuali harga jersi yang memang berharga piawai seperti lain-lain butik FC). Puas meronda Camp Neu kami memakir kereta di Mount Juic lalu menggunakan kenderaan awam berjalan-jalan sekitar Barcelona.


Ini Sagrida Familia, antara bangunan yang menjadi ciptaan arkitek terkenal mereka Goudi. Tetapi ia masih tidak sempurna. Di sini sana ada saja kren yang mengganggu pemandangan untuk diambil gambar. Dari jauh, ia kelihatan cantik tetapi bila dilihat dengan mata, ia tidaklah secantik yang saya bayangkan tatkala melihatnya jauh dari perbukitan. Perkataan paling sesuai menggambarkannya ialah unik.



Town Hall

Tengahari itu kami berehat seketika di sekitar Town Hall. Terdapat banyak kerusi di kawasan teduh. Sempatlah mengambil gambar sekeping dua sebelum ke Hard Rock Cafe.


artis jalanan di Las Ramlas

Melihat lautan manusia di Las Ramlas membuatkan hati tertanya-tanya, apa yang membuatkan lorong ini dipenuhi manusia. Di penghujung lorong ini adalah pantai Barceloneta. Disebabkan destinasi kami seterusnya adalah pantai Barceloneta, jadi apa salahnya menyusur hingga ke penghujungnya. Ternyata Las Ramlas tidak mengecewakan kerana ia benar-benar menghiburkan anak-anak dengan artis jalanannya. macam-macam kstum dan bakat yang dipersembahkan. Paling anak-anak suka tentulah dracula dan Edward Scissorhand. Setiap persembahan pastilah ada harga. Jika ingin bergambar dengan mereka, lemparkan saja syiling ke dalam kotak yang diletakkan di hadapan mereka. Saya perhati, mereka ini tidak kisah berapa saja duit yang diberikan.



Penat melihat aksi artis jalanan, singgah sebentar di La Boqueria, di mana pasar segar berada. Melihatkan sayur-mayur dan buah-buahan yang dipamerkan, perut yang tidak lapar minta diisi tambah pula tekak yang dahaga. Jus segar dijual di sini dan pastinya anda puas hati dengan rasanya. Sediakan saja duit yang secukupnya.



Kami sudahnya tiba juga di Marina, pelabuhan di pantai Barceloneta. Inilah pantai dari laut Mediteranean. Pantai di manapun bagi saya tetap sama. Airnya tetap biru walau di mana. Cuma pemandangannya saja yang berbeza. Kami tidak lama di sini kerana pemandangan yang tidak berapa sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Selesai bergambar, kami pulang.

di hadapan monumen di pelabuhan
di Kuala Lumpur... kedai menjual pakaian

Esoknya kami pulang dan sempat singgah ke La Roca Village, perkampungan Designer Outlet yang terletak di antara Lapangan Terbang Girona dan Barcelona. Tidak banyak yang kami beli kerana harga yang ditawarkan tidaklah murah terutamanya jika ditukar kepada RM. Butik Calvin Klein, Burberry, Tommy Hilfinger antara yang terdapat di sini.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...