06 Jun 2009

Alkisah Perkhidmatan Perubatan

Di Berlin, saya sentiasa berdoa supaya kami sekeluarga sihat walafiat. Bukannya saya tidak pernah berdoa di Malaysia supaya kami sentiasa sihat tetapi di sini saya berdoa dengan lebih lagi bersama harapan yang sangat tinggi. Ini kerana susahnya untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang memuaskan hati. Lain di Malaysia, kalau sakit di tengah malam, berlambak-lambak klinik swasta yang dibuka 24jam! Di sini masalahnya jika sakit pada hari Rabu atau hari cuti umum, kenalah ke Hospital.

Masalah utama ialah pertuturan. Rata-rata doktor perubatan di klinik biasa bertutur di dalam bahasa Jerman. Apalah yang hendak dihairankan kerana buku-buku perubatan mereka dalam bahasa Jerman. Jadi penguasaan bahasa Inggeris bagi seorang doktor bukanlah satu keperluan. Tambahan pula, pelanggan semuanya bertutur di dalam bahasa Jerman.

Jika saya hendak ke klinik, saya terpaksa membuat tinjauan di internet atau ditanya kepada teman-teman, klinik mana yang boleh memberikan perkhidmatan dalam bahasa Inggeris. Kalau doktor yang boleh berbahasa Inggeris, jururawat atau kerani tidak boleh berbahasa Inggeris, masalah juga. Takkanlah hendak dibawa teman-teman yang boleh berbahasa Jerman setiap kali ke klinik. Pastinya mereka juga sibuk dengan tugasan dan kita juga perlu untuk bersendirian bersama doktor yang merawat disebabkan maklumat-maklumat sulit dan peribadi. 

Selepas itu kena pula buka google map, cari di mana klinik itu berada. Kemudian buka pula laman perkhidmatan pengangkutan awam untuk lihat cara termudah ke sana. Pendek kata, memang urusannya panjang. 

Pernah juga ketika Hakimy batuk teruk, saya meminta seorang teman menemankan kami berjumpa doktor. Kelakarnya, dia juga tidak berapa fasih Jerman dan doktor pula tidak tahu Inggeris. Sudahnya terpaksa menggunakan isyarat bahasa tubuh. 

Di Jerman, kami harus membayar insuran bulanan untuk mendapatkan rawatan perubatan. Setiap 3 bulan, sebanyak Euro10 dibayar pula kepada klinik jika hendak mendapatkan rawatan dalam tempoh itu. Doktor akan memberikan preskripsi ubat dan kami harus membeli ubat di farmasi pula. Biasanya kami tidak perlu membayar harga ubat di farmasi kerana sudah membayar insuran kecuali harga ubat itu agak mahal, maka wang tambahan diperlukan. Biasanya jika setakat batuk dan selesema, kami tidak ke klinik tetapi membeli terus ubat di farmasi (harus mengeluarkan belanja sendiri kerana tidak melalui perskripsi doktor).

Jadi bersyukurlah berada di Malaysia. Klinik mudah dapat dan boleh pula dipilih-pilih. Kalau ke klinik kerajaan lagilah, ubat pun percuma cuma bayar RM1 saja untuk pendaftaran. Itupun ramai yang tunjuk muka masam bila terpaksa menunggu lama sedangkan bukan tidak tahu, perkhidmatan di hospital kerajaan memang lambat disebabkan terlalu ramai orang hendak dilayan.

2 ulasan:

Abang Long berkata...

Syukur Alhamdulillah.

Tahun lepas sahaja, keluar masuk hospital sebanyak 18 kali. Layanan Dr dan kakitangan memang 1st CLASS !

LK berkata...

ye....bersyukurlah....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...