25 Mei 2009

KEMBARA EROPAH: Tinjau-tinjau Zoo Berlin

Rancangan untuk ke Zoo Berlin sudah lama terencana tetapi atas tuntutan masa dengan mendahulukan tempat yang jauh-jauh dan menunggu musim sejuk berakhir, kami akhirnya sampai juga ke zoo Berlin, zoo tertua di Jerman.


dihadapan pintu gerbang utama di Budapest Strasse, Elephant Gate yang telah dibina pada 1899



Pagi itu hujan memang agak lebat sejak malamnya. Cadangnya kami akan pergi bersama Yeo dan keluarganya tetapi disebabkan hari hujan maka kami batalkan niat untuk ke zoo. Tetapi melihatkan wajah Hardy yang masam, maka abang gagahkan juga untuk ke sana sementelah esoknya dia akan terbang ke Bangladesh selama 3 minggu. Ini kes tak sampai hati nak hampakan anak-anak. Maka dalam hujan yang masih rintik, demi kasih sayang pada anak, maka kami meredah juga tengahari Sabtu itu. Bila kami sampai, orang boleh tahan juga ramai. Tetapi yang berbeza dengan zoo di Malaysia, di sini yang melawat zoo bukan sekadar kanak-kanak tetapi orang dewasa lebih ramai rasanya.


Disebabkan sudah tengahari maka kami terlepas untuk melihat beberapa jenis haiwan makan. Disebabkan tiada pertunjukan haiwan seperti di Zoo Negara dan Zoo Melaka maka waktu memberi haiwan makan, adalah masa yang biasa ditunggu-tunggu oleh pengunjung zoo. Kami hanya sempat melihat singa, harimau dan gorilla diberi makan. Kami teruja melihat singa dan harimau yang manja berguling-guling sebelumnya tiba-tiba menjadi agresif apabila makan. Gorilla yang cerdik, berebut makanan dan menyimpannya di kaki dan membawa makanan ke satu sudut apabila untuk makan kesemuanya. Macam manusia juga, bila berdepan dengan buffet begitulah keadaannya juga. Masukkan dalam pinggan dan bila sudah penuh, cari tempat untuk makan!




Haiwan-haiwan di zoo ini kelihatan sangat jinak dan cerdik. Singa laut misalnya, sentiasa membuat aksi yang menghiburkan. Kalau hendak belajar berenang, rasanya dengan melihat mereka berenang ke sana-sini kita sudah boleh belajar teknik asas berenang. Penguin pula seperti dalam filem Madagascar, sentiasa tegak mematung hinggakan anak-anak bertanya penguin itu betul atau tipu?

Anak-anak mencari watak-watak kartun Madagascar semasa berjalan di zoo. Sibuk mereka mencari Marty (kuda belang), Skipper (penguin), Moto-Moto dan Gloria (badak air), Melman (zirafah) dan Alex (singa). Bila badak air yang besarnya macam dinasor berbunyi, anak-anak jadi bertambah teruja. Bunyinya macam raksasa kata Hakimy dan membuatkan kawasan sekitarnya seolah-olah bergegar dengan bunyi ngaumannya. Hardy seperti biasa tidak mahu pulang selagi tidak dipaksa. Dia hendak pusing satu pusingan lagi sedangkan kami sudah benar-benar keletihan. satu hari yang penat tetapi kami puas hati kerana ia memberi kami pengalaman baru dalam melawat zoo.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...