07 Mac 2009

Susah nak cari rumah....

Inilah gambar pintu utama rumah saya dan penghuni lain di Wildernowstrasse 12A. Saya sendiri tak tahu nak gambarkan rumah saya ini jenis apa, bukan flat, rasanya apartment lebih sesuai tetapi bukanlah macam apartment di Malaysia yang lawa-lawa.

Rumah saya ini dibina pada zaman Perang Dunia Kedua lagi... rumah dah lama tapi masih tahan. Yang membezakan apartment lama dengan baru di Berlin ini tentulah dari segi tangganya. Biasa rumah lama tangganya menegak menyebabkan mengah nak naik. Kalau rumah lama hanya ada 4 tingkat tetapi ia menyamai dengan rumah baru yang ada 6 tingkat dan ada lif! Tangganya juga lebih mendatar! Banyak juga ukiran kayu di dinding-dinding juga di pemegang tangga. Bila berjalan kena perlahan-lahan kerana bimbang mengganggu jiran yang sedang berehat disebabkan bunyi papan.

Boleh dikatakan, di Berlin ini semua rumah adalah apartment. Tiada rumah sesebuah dan rumah sesebuah hanya boleh dilihat di luar bandar, di kawasan kampung-kampung. Jadi semua rumah dilengkapkan dengan loceng tekan seperti gambar di atas. Ada juga interkom disediakan pada sesetengah rumah. Jadi jika tetamu datang, mereka perlu menekan loceng di pintu utama dan kunci hanya dibuka dari dalam rumah orang yang hendak diziarah. Jadi keselamatan memang terjamin kerana kita hanya membenarkan orang yang kita kenal atau ada urusan yang masuk ke rumah kita.

Walau bagaimanapun posmen dan Dewan Bandaraya biasanya punya kunci utama bagi memudahkan mereka masuk ke kawasan rumah kita untuk melaksanakan tugas mereka.

Alkisahnya, posmen tak dapat jumpa rumah saya untuk menghantar kad insuran kepada saya dan anak-anak. Disebabkan sebelum ini, tiada masalah berlaku, maka kami langsung tidak terfikirkan hal ini hinggalah kami sudah bosan sebulan menanti kad insuran itu. Rupa-rupanya di pintu utama itu hanya ada nama Ramli. Kesemua surat dialamatkan kepada abang. Di pintu utama itu tidak ada nama Kamaluddin dan Aedy Fadly.

Jadi disebabkan alamat rumah semua orang di apartment saya adalah 12A Wildernowstrasse, tidak ditulis LG ke F1 ke macam di Malaysia, maka posmen tidak dapat menghantar surat kepada saya dan anak-anak. Manalah posmen kenal sorang-sorang yang tinggal di apartment ini. Bermaksud, saya harus meletakkan nama semua penghuni rumah saya di depan pintu supaya posmen boleh menghantar surat! Punyalah tak perasan selama ini....

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...