20 Disember 2012

Jom Europe! Projek Terbaru Laila

Assalamualaikum dan selamat sejahtera! Wah! Dah agak lama saya tidak mengemaskini blog saya dengan info travel. Seribu kemaafan kepada pengunjung setia blog saya yang kebanyakannya mengikuti blog Laila Kamilia kerana info-info travel Laila. Menyiapkan novel, kesibukan kerja dan kurang berjalan (tahun ni sempat juga berjalan tapi tak sempat dikemaskini juga) antara yang menyebabkan saya tidak dapat menghidangkan anda dengan info terbaru. Tetapi alhamdulillah, mujur sempat menjawab kiriman emel anda bertanyakan tentang info travel. Rasanya semua emel dapat saya jawab di celah-celah kesibukan itu.

Jadi saya dengan sukacita ingin memaklumkan, buku terbaru saya selepas novel Ich Liebe Dich adalah Jom Europe! InsyaAllah saya akan berusaha menyiapkannya secepat mungkin. Doakan saya!

Sehingga itu semoga berjumpa lagi pada entri seterusnya. 


London : Antara 10 destinasi terbaik Eropah dalam buku Jom Eropah (tajuk sementara).

17 Disember 2012

Kesediaan Menulis

Sudah berapa lama juga saya tidak menulis entri tentang pendidikan walaupun sebenarnya saya ingin tulis sejak sekian lama. Kalau dulu saya menulis tentang kesediaan membaca, kali ini saya ingin menyentuh tentang kesediaan menulis pula. Ya, menulis sebenarnya datang dulu dari membaca atau pandai memabaca dulu baru boleh menulis? Ia sebenarnya terpulang kepada kebolehan individu kerana ada yang suka membaca manakala ada yang suka menulis. Tapi saya percaya, sebenarnya ramai antara kita yang bermula dengan menulis terlebih dahulu.

Kebolehan menulis bermula dengan contengan. Ya, semasa kita bayi lagi, bila mendapat pensel, kita akan mula menconteng entah apa-apa. Mula-mula garisan dan kemudian bulatan. Tetapi pernahkah kita terfikir, bagaimana asas untuk kita menulis?

Menulis memerlukan kekuatan motor halus. Oleh itu semasa anak anda masih bayi, sentiasa beri dia galakan untuk menyentuh pelbagai benda, bermula dengan yang lembut kemudian barulah keras. Semasa Hardy masih kecil, saya sentiasa memakaikan dia sarung tangan kerana kata orang tua-tua nanti sejuk tetapi berlainan dengan Hakimy saya sentiasa lepas bebas tangannya tanpa sarung tangan sejak bayi kecuali semasa sejuk. Saya dapati Hakimy lebih cepat memegang, melempar kerana otot tangannya telah bersedia. Motor halusnya telah bersedia untuk dia mengembara dengan pengalaman-pengalaman baru melalui deria sentuhannya.

Oleh itu sebagai persediaan awal, semasa kanak-kanak, adalah digalakkan supaya memberi peluang kepada anak anda bermain dengan pasir, tanah liat ataupun bola lembut supaya dia dapat bermain dan mengembara dengan deria sentuhannya supaya apabila motor halusnya sudah bersedia, dia akan boleh memegang pensel dan mengawalnya dengan baik. Ini kerana menulis bukan sekadar boleh memegang pensel tetapi mengawal pergerakan pensel itu yang paling penting. Kerana itu, di sekolah di dalam kelas pendidikan khas, guru-guru selalu bermain-main dengan tangan anak-anak seperti mengurut, menyentuh, menguli tanah liat dan sebagainya. Janganlah pula dimarah kerana kelihatan seolah-olah guru-guru itu tidak mengajar tetapi sebenarnya beliau sedang melakukan senaman dan terapi kepada tangan anak anda.

Seorang teman suatu hari merungut kerana tulisan anaknya tidak cantik. Dia bertanyakan kepada saya kerana bimbangkan tentang prestasi anaknya yang dikatakan tidak sejajar dengan prestasi dia suami isteri yang sudah boleh menulis cantik pada usia yang lebih awal. Saya tanyakan kepada dia bagaimana dia mengajar anaknya menulis dan jawapannya ialah dengan meminta anaknya menulis di atas kertas A4 kosong yang tidak bergaris. Saya meminta dia membuat garisan atas kertas tersebut dan bila anaknya sudah mahir, barulah dilatih menulis tanpa garisan. Alhamdulillah tidak berapa lama kemudian, dia memberitahu tulisan anaknya sudah semakin cantik. 

Semasa saya bersekolah, teman saya yang mempunyai tulisan yang sangat cantik. Namanya Hirdawati. Sehingga kini saya tidak pernah berjumpa dengan tulisan tangan secantik tulisan tangan dia. Dia boleh menyalin nota yang dibaca guru dengan cantik sekali, berkait-kait, berbunga-bunga. Apa yang saya boleh katakan, dia memang suka membuat latihan menulis hingga mendapat tulisan cantik seperti itu. Kawan saya seorang lagi, berkata ayahnya akan memegang rotan semasa mengajar anak-anak menulis kerana itu adik-beradiknya mempunyai tulisan tangan yang cantik dan kemas.

Kesimpulannya, menulis memerlukan latihan juga sebagaimana lain-lain kemahiran yang kita pelajari. Semakin banyak kita berlatih, semakin kita mahir dengannya. Tetapi ia sebenarnya bermula sejak anak-anak itu masih bayi kerana kesediaan menulis harus diterapkan lebih awal.


Satu lagi, saya ingin kongsikan. Jika anak anda rajin benar menulis, berikan dia kertas. Jangan sesekali memberinya menconteng dinding atau sofa etc kerana ia adalah medium yang salah. Saya bimbang kerana rajinnya dia menulis, habis dinding tandas di sekolah diconteng! Rajin-rajin juga bawa mereka masuk pertandingan melukis atau mewarna. Walaupun tidak menang, semua itu memberi satu pengalaman berharga kepada mereka!

Powerpuff Girls Mama : Kini di Pasaran!


SINOPSIS BUKU 1 HARI 1 CERITA : POWERPUFFGIRLS MAMA


TULISAN LAILA KAMILIA 

Hardy Dan Bola
Kalau budak lelaki tak main bola, bukan anak jantan la! Dari Liga Perdana Inggeris, La Liga, Bundesliga hatta ke Liga Malaysia, Hardy memang gila bola. Tak cukup menonton, dia turut sama mengejar bola. Dia hero kelas dalam pertandingan futsal tahun sebelumnya. Tahun ini mungkinkah ada perubahan ketara? Hardy risau melihat tubuhnya yang sudah berganda. Kata doktor, kadar metabolismenya ada sedikit huru-hara. Adakah dia akan kembali menyarung jersi kelasnya? Jom kita lihat bagaimana Hardy menangani obsesinya pada bola!





Pustaka Mini Aina
Aina bersekolah di SRJK (C) Cina. Gadis usia 11 tahun ini hobinya membaca. Rumahnya penuh dengan buku kerana minatnya. Jadi Aina fikir eloklah dia menjadikan sebuah bilik menjadi sebuah mini pustaka. Hmm... Aina memang seronok membuat transformasi hingga semua kawan-kawan terbabit sama. Suatu hari Aina terpilih mewakili sekolah ke Pertandingan Pidato DiRaja. Mampukah murid sekolah aliran Cina ini menunjukkan bakatnya? Jangan lupa, dia ada Pustaka Mini Aina yang besar jasanya.


Terima Kasih ALLAH
Kata pepatah, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Suatu hari Iskandar didenda kerana ditangkap seorang guru sedang mengejek seorang murid pendidikan khas yang dikatakan gila. Dia didenda selama seminggu untuk menjalani pembelajaran di kelas pendidikan khas, meninggalkan kelasnya di aliran perdana. Bolehkah murid nakal seperti Iskandar menangani rakan-rakan baru di kalangan murid-murid istimewa? Setiap kejadian TUHAN pastilah ada sebabnya. Cuma Iskandar perlu buka mata untuk melihatnya.


TULISAN LYNN DAYANA

Mogok Tak Menjadi
Bila prestasi pelajaran Herman dan Aisya merosot, semua keistimewaan ditarik balik. Tiada PS2, tiada telefon dan mereka pun mogok! Namun, ibu bapa mereka yang lebih dahulu makan garam pastinya lebih berkuasa minda dan ideanya menangani mereka. Mogok pun hilang, rasa insaf pula yang datang.

Jiwa yang Merdeka
4 sekawan belajar makna merdeka setelah terperangkap dalam hujan di depan rumah Pak Ali yang sedang memasang bendera di bulan Oktober. Rupa-rupanya, besar makna merdeka yang tidak pernah mereka fikir dan selalu abaikan. Pulang ke rumah, semua pun berkobar semangat mahu berjiwa merdeka sepanjang tahun dan bukan hanya pada 31 Ogos sahaja.


Upah Vs Pahala
Fareez mahu membeli PS2 maka dia menjadi rajin namun rajinnya mesti berbalaskan upah. Semua tugasan di rumah pun pasti ada ganjaran. Hinggalah Fareez mendengar cerita tentang kerajinan Hanum membantu emaknya. Kata Hanum, dia tidak mengambil upah namun dia mengharapkan pahala. Fareez jadi malu dan belajar mahu meraih pahala juga.


TULISAN MARYAM ELYAS

Husna Dan Angry Bird
Disebabkan bermain permainan video Angry Bird, pelajaran Husna merosot. Dia mulai sedar kesalahannya apabila kerap tertidur di dalam kelas kerana letih bermain Angry Bird hingga jauh malam.

Jamil Dapat Kawan Baik
Jamil sering dibuli oleh Taha, Udin dan Abu. Namun mereka akhirnya menjadi kawan baik apabila Jamil menyelamatkan Taha daripada lemas di sungai.

Jom Facebook
Mimi mengajar atuk dan neneknya bermain facebook untuk memudahkan mereka berhubung. Mimi gembira apabila dia yang tinggal di bandar boleh melihat gambar atuk dan nenek di facebook setiap hari. 

TULISAN NURLIZA MOHD NASIR

Mama, kenapa pakai tudung?
Suka benar Bella kerana dapat balik kampung. Iyalah. Selain dapat berjumpa dengan nenek dan datuk, Bella juga dapat bermain dengan sepupu-sepupunya. Bella pelik melihat emak dan mak cik-mak ciknya yang memakai tudung di dalam rumah. Setelah diperjelaskan sebabnya, barulah Bella faham.

Apa yang penting, kerjasama!
Kelas 5 Cemerlang diumumkan sebagai kelas darjah lima terkotor lagi. Arida tidak berpuas hati. Kelas mereka bukannya kotor pun cuma tidak cukup ceria sahaja. Sasha mencadangkan agar seluruh warga 5 Cemerlang mengadakan gotong-royong dan semuanya bersetuju.

Akibat tak dengar cakap
Aidi anak yatim piatu. Ibu dan ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Aidi sekarang duduk dengan neneknya yang sudah tua. Walaupun ditatang bagai minyak yang penuh, Aidi tetap tidak suka duduk dengan Nenek Siti. Bagi Aidi, rumahnya di bandar jauh lebih selesa. Satu hari, Aidi pergi mandi sungai berseorangan. Walaupun telah ditegah oleh Abang Leman, Aidi tetap berdegil. Namun dengan tidak diduga, Aidi telah terpijak labi-labi.

Live While You're Young- One Direction, lagu inspirasi Ich Liebe Dich

Untuk mendapatkan mood menulis kisah anak-anak remaja di luar negara, saya menemankan diri saya dengan lagu Live While You're Young- One Direction, sebagai inspirasi. Lagunya yang rancak dan 'hidup' membuatkan saya berasa bersemangat untuk menggarap ILD. Muzik video anak-anak muda sedang bersukaria, memberikan saya gambaran kehidupan mereka di sana. Hehe dan menjamu mata juga! 

Jom saksikan video One Direction. Sambil tu cubalah teka yang mana satukah Adrian si mata coklat-biru dalam ramai-ramai ahli One Direction yang comey itu? Hehe.

15 Disember 2012

Ich Liebe Dich : Dalam proses akhir...

Bahagia! Wajah saya ketika ini pasti sama ketika gambar ini dirakam di Taman Keukenhoff beberapa tahun lalu. Hehe... setelah setahun, akhirnya saya menoktahkan juga manuskrip itu. Idea untuk menjana  ILD telah ada ketika saya masih di Berlin. Alhamdulillah ianya dapat direalisasikan setelah 2 tahun setengah saya pulang dari sana.

Seperti selalu, saya mengharapkan anda semua suka pada tulisan saya. Manuskrip ini merupakan yang tersusah saya siapkan di sepanjang saya menjadi novelis selama 6 tahun! Jadi saya harap hasilnya dabom!

Ketika ini, saya sedang menyiapkan perkara-perkara akhir untuk novel ke 5 saya ini seperti blurb, tinta penulis, penghargaan dan segemen ilmu. 

Tak sabar menantikan buah hati saya? Hmm... saya juga. Saya benar-benar berharap anda terhibur dengan kisah cinta yang berlatarkan Berlin ini. Hmm... semoga kisah ini menjadi sebuah kisah cinta yang bukan biasa-biasa...

22 November 2012

Buku Baru Powerpuff Girls Mama sudah ada di pasaran!

Jeng! Jeng! Disember 2012, buku kanak-kanak yang terbaru daripada Laila Kamilia sudah menjenguk diri. Macam buku Kawan Baru FB yang sebelumnya, buku ini ditulis bersama 4 orang penulis yang lain. Kali ini buku ini lebih berwarna dan lebih comelkan?  

Kesempatan ini saya ingin merakam penghargaan kepada semua Team Grup Buku yang namanya disenaraikan di bawah ini kerana tanpa usaha mereka, buku ini tidak sekali-kali menjadi realiti. Terima kasih banyak-banyak!


Hmm... kepunyaan siapakah buku ini?


Inilah tajuk-tajuk 15 cerpen yang ditulis pleh 5 orang penulis, melengkapkan kisah 1 hari 1 cerita menjadi 30 cerita. Jadi, kalau anak-anak dah beli buku Kawan Baru FB, lengkapkanlah dengan Powerpuff Girl Mama pula ya! InsyaAllah banyak manfaat daripadanya!



Jadi, cuti-cuti sekolah ini, jom dapatkan Powerpuff Girl Mama!

19 Oktober 2012

Jom Borak-borak dengan Laila Kamilia di Hospital Sg. Buloh


Esok 20 Oktober 2012 (Sabtu) bersempena Program Sihat Ceria Bersama Si Cilik, saya akan bersama-sama anak-anak di Wad Padeatrik, Hospital Sg. Buloh, Selangor. Saya akan membacakan buku cerita daripada buku Kawan Baru FB. Program ini merupakan lawatan amal bersama Grand BlueWave Hotel Shah Alam dan Grup Buku Karangkraf ke hospital tersebut dengan slogan “Hati yang suci…mencipta keajaiban”. Banyak acara menarik disediakan untuk menggembirakan anak-anak di wad padeatrik. 

Ini tentatif programnya: 


9.30 pagi                 :  Ucapan Alu-aluan Pengarah Hospital Sg. Buloh

  9.35 pagi                 :  Ucapan wakil GBWHSA

  9.40 pagi                 :  Sesi Lawatan Wad Pediatrik

10.00 pagi                :   Sesi Aktiviti Bermula

11.30 pagi                :   Sesi Aktiviti Tamat

11.40 pagi                :   Acara Penyampaian Hadiah / Sesi Fotografi

12.00 tengah hari   :   Makan Tengah hari - Tamat

Senarai Aktiviti:
1.    Mewarna
2.    Jigsaw Puzzle
3.    Bercerita dari Buku
4.    Menyanyi & Menari

Semasa Anas (sales GBK) meninggalkan PM di FB saya memaklumkan hal ini saya senyum saja. Sesungguhnya saya berbesar hati dapat bersama-sama anak-anak di sana. Terima kasih atas jemputan ini. InsyaAllah jumpa nanti di sana! Semoga bermanfaat.

ps-Pastilah ada hadiah istimewa yang menanti daripada Auntie Laila untuk anak yang bertuah! 


25 September 2012

Laila Kamilia di Program Cintai Buku

Kalau ada yang berdekatan, mari meriahkan Program Cintai Buku di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam pada hari Ahad 30 September 2012. Ada macam-macam aktiviti menarik bermula 8.00 pagi - 5.00 petang. InsyaAllah temui saya di sana sempena pelancaran buku 1 Hari 1 Cerita- Kawan Baru FB. 

Antara aktiviti saya di sana :
8-9.00 pagi- Pelancaran Buku  1 Hari 1 Cerita- Kawan Baru FB
9.30-10.00 pagi- Sesi bercerita bertajuk Kawan Baru FB
10.00 pagi- 1.00 tengahari -Sesi ramah mesra

Jumpa di sana!

22 September 2012

Sinopsis Kawan Baru Facebook tulisan Nurliza Muhd Nasir

1 HARI 1 BUKU-KAWAN BARU FACEBOOK TULISAN NURLIZA MUHD NASIR

Berikut adalah 3 cerpen tulisan Nurliza atau juga dikenali sebagai Nazihatul Hannan. Semoga terhibur!


1. Balqis dan Tina : Walaupun kembar seiras, Balqis dan Tina sering sahaja berkelahi. Macam anjing dengan kucing, tidak boleh duduk bersama. Ada sahaja yang tidak kena sampai pening kepala Puan Zaharah dibuatnya. Satu hari, Puan Zaharah membawa Balqis dan Tina ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Namun tanpa disangka, Balqis telah hilang!


2. Kakak, Adik keluar angin! : Izzah hendak menunaikan Solat Zohor secara berjemaah dengan kakaknya tetapi Ifaf pula mahu tengok cerita kartun. Aduhai, keduanya saling menyalahkan antara satu sama lain. Ifaf marahkan Izzah yang ambil wuduk sampai lencun bajunya. Manakala, Izzah pula salahkan Ifaf kerana melengahkan solat. Puan Zaiton menasihati mereka agar tidak bermasam muka sesama adik-beradik.


3. Mimpi ngeri Daniel : Daniel sangat suka tengok cerita kartun sampai tidak mahu ke mana-mana. Baik bermain dengan kawan-kawannya di padang mahupun mengikut mami dan abahnya ke pasar. Daniel lebih senang duduk di hadapan TV, pagi petang siang malam. Satu malam, Daniel telah bermimpi dikejar pak cik-pak cik Casper yang jahat. Daniel insaf dan berjanji tidak melawan cakap mami dan abahnya lagi.

Bagi mereka yang mahu berinteraksi dengan penulis yang sedang mencipta nama ini, silalah ke blog beliau di sini.

17 September 2012

Bantulah Anak Pintar Cerdas Anda!

Ramai yang tidak tahu bahawa, anak pintar cerdas juga sebenarnya harus diletakkan di dalam program pendidikan khas integrasi (PPKI) di sekolah kerajaan. Selalunya orang menganggap program PPKI ini hanyalah untuk anak-anak yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autism, sindrom down, disleksia dan lain-lain lagi. Sementelah apabila kita melawat PPKI, murid-murid sebeginilah yang memang ramai berada di kelas. Tanggapan ini sebenarnya adalah sedikit silap dan harus diperbetulkan. Sebenarnya selagi murid itu memerlukan guru memberikan perhatian one to one (perseorangan), maka dia tergolong dalam murid yang berada di dalam PPKI.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang anak pintar cerdas. Anak ini perlu diberikan perhatian istimewa kerana bakat kecerdasannya jika tidak ditangani akan merugikan bukan saja ibubapa tetapi kepada negara. Berikut adalah beberapa persoalan tentang anak pintar cerdas yang perlu anda tahu. Apa kata kita tengok anak kita di rumah dan fikirkannya, malah tahu rupa-rupanya anak kita itu tergolong dalam golongan yang diklasifikasikan sebagai anak PINTAR CERDAS.

APAKAH CIRI PALING MUDAH YANG BOLEH DIPERHATI?
Anak ini mempunyai kebolehan kognitif yang jauh lebih pintar dari rakan sebayanya. Sebagai contoh mempunyai kebolehan membaca pada usia 2 tahun.

Anak ini mungkin juga mempunyai kebolehan luar biasa di dalam bidang selain dari akademik seperti dalam bidang sukan, muzik, seni dan sebagainya. Sebagai contoh boleh menghasilkan lukisan yang sangat cantik yang kadang-kadang sama baiknya dengan orang dewasa pada usia kecil.

Kecerdasan kanak-kanak ini kadang-kadang hanya menjurus ke dalam satu bidang yang diminatinya sahaja seperti Matematik. Sebagai contoh, kebolehannya dalam mata pelajaran lain adalah setara dengan rakan sebaya tetapi beliau boleh menghasilkan formula Matematik sendiri dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan angka-angka. Selain daripada itu ada juga anak yang boleh menghafaz al-Quran pada usia 4 tahun misalnya.

APAKAH UJIAN YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK MENGESAHKAN ANAK SAYA PINTAR CERDAS?
Anda boleh membawa anak ini untuk pemeriksaan doktor. Anak ini boleh menjalani Ujian Kederdasan IQ. Biasanya anak yang mempunyai IQ melebihi 130 dikategorikan sebagai pintar cerdas (IQ manusia normal adalah 91-120).

SETELAH SAH ANAK SAYA PINTAR CERDAS, APA YANG SAYA BOLEH LAKUKAN UNTUK MEMBANTUNYA?
Tidak ramai yang tahu bahawa negara kita sedang mengumpulkan anak-anak yang pintar cerdas dari seluruh Malaysia. sebenarnya jika dibandingkan dengan negara lain di dunia memang Malaysia tertinggal dari aspek ini. Malahan jangan tidak percaya jika dibandingkan dengan negara jiran, Malaysia juga agak terkebelakang. Bayangkan negara seperti Vietnam telah punya sekolah anak pintar sendiri! Singapura lagilah telah maju ke hadapan dengan rangkaian sekolah-sekolah khas untuk anak pintar. 

Oleh yang demikian, kita harus menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia melalui program PERMATA PINTAR. Program ini telah bermula pada bulan 17 Januari 2011. Pengambilan pertama pelajar pintar cerdas untuk program ini ialah seramai 116 orang pelajar berumur 16 tahun dari seluruh Malaysia yang telah melalui tiga ujian saringan iaitu Ujian PERMATApintar UKM1, Ujian PERMATApintar UKM2 dan Ujian Kompetensi Matematik dan Sains (Ujian UKM3).

Jadi apa kata, anda mengorak langkah pertama dengan membaca maklumat lanjut tentang program ini di http://www.permatapintar.edu.my

Terdapat ujian UKM1 yang anda boleh minta anak anda jalani di mana-mana saja internet boleh dicapai. Manalah tahu, anak anda memang pintar cerdas dan langkah anda hari ini  telah membantu kehidupannya di masa depan. Ini kerana tidak semua anak yang pintar cerdas boleh menangani dirinya sendiri dengan baik. 

Saya berharap artikel saya ini dapat membantu anda dan si permata! Selamat maju jaya!


Ilustrasi di atas sekadar hiasan,  diambil dari buku terbaru saya Kawan Baru FB. Di dalam buku yang mengandungi 15 buah cerpen kanak-kanak yang ditulis bersama 4 penulis Grup Buku Karangkraf. Ilustrasi ini terdapat dalam kisah Neptun Perlukan Raja. Kisah seorang budak lelaki bernama Amsyar Daniel yang dibawa ke Planet Neptun kerana  Neptune memerlukan raja mempunyai IQ130 ke atas. 

BARU: Tempahan Novel LAILA KAMILIA

ANDA TIDAK PERLU POPULAR UNTUK MEMILIKI NOVEL LAILA KAMILIA :)))



Kini anda boleh menempah novel tulisan LAILA KAMILIA dari Grup Buku Karangkraf terus daripada saya.

Jika ingin menempah, sertakan maklumat anda di dalam borang tempahan yang disediakan dan masukkan bukti pembayaran (jika anda telah buat pembayaran* ke akaun saya), dan tekan butang SUBMIT.

Jika anda hanya ingin menempah dan masih belum membuat pembayaran, isi juga borang di bawah dan tinggalkan kosong di bahagian bukti pembayaran. Saya akan menghubungi anda untuk maklumat lanjut jumlah pembayaran yang perlu anda lakukan. 


*PEMBAYARAN BOLEH DIBUAT MELALUI AKAUN MAYBANK (ONLINE DI MAYBANK2U.COM 108065366563 - HASLINA BINTI KAMALUDDIN) ATAU PAYPAL (lailakamilia@yahoo.com).

Untuk segala maklumat lanjut, boleh hubungi saya di email lailakamilia@yahoo.com.


 KLIK SINI untuk menempah sekarang!



*Credit to Aaron Aziz. Gambar diambil ketika penggambaran Adam dan Hawa di KLIA beberapa bulan yang lalu. Novel di tangan Aaron ialah novel Cinta Pandang Ke-2, khas untuk Aaron Aziz. Terima kasih.

10 September 2012

TAHNIAH! Pemenang CPK2 Ekstra!


Tentu ramai yang menanti keputusan Peraduan CPK2 Ekstra! Pastilah juga ternanti-nanti apakah hadiahnya kan? Berikut adalah kepada pemenang yang bertuah! Tahniah!

PEMENANG UTAMA-Yusjulaini Muhamad Nor
Beliau bakal memenangi koleksi tudung jenama RATU bernilai RM150, baucer pembelian buku Alaf21 bernilai RM100 dan buku terbaru Laila Kamilia -Kawan Baru FB.

HADIAH SAGUHATI-Zul Akmen
Beliau bakal memenangi baucer pembelian buku Alaf21 bernilai RM50 dan buku terbaru Laila Kamilia -Kawan Baru FB.

Kepada yang tidak berjaya, boleh cuba lagi pada peraduan lain yang dianjurkan Laila Kamilia. Kesempatan ini, saya ingin merakam terima kasih atas sokongan anda kepada Cinta Pandang ke-2. Tanpa anda, siapalah Laila Kamilia. Saya amat menghargainya. Jangan lupa nantikan novel terbaru saya nanti. Sehingga itu jumpa lagi dan doakan cepatlah saya bawa Puteri Sara Ismeth dan Achmad Faris Adrian Fadhli  bertemu anda!

ps- sementara itu, terimalah 2 buku kanak-kanak dari saya dan rakan-rakan Grup Buku Karangkraf; Kawan Baru FB dan Powerpuff Girls Mama (insyaAllah akan terbit tidak lama lagi). 

Sinopsis Kawan Baru Facebook Tulisan Maryam Elyas

1 HARI 1 BUKU-KAWAN BARU FACEBOOK TULISAN MARYAM ELYAS 

1. Akibat lupa kawan : Rozi dan Raihana berkawan baik. Semuanya berubah dengan kehadiran Faridah. Rozi semakin rapat dengan Faridah dan Raihana terpinggir. Akhirnya Rozi mulai sedar tindakannya itu tidak elok dan mereka gembira berkawan bertiga.


2. Oh, Maria! : Maria ialah anak yatim piatu. Kematian Tok Samad akibat dipatuk ular membuatkan Maria semakin sedih. Kegembiraan mulai terpancar apabila Mak Intan dan Pak Ibrahim mengambilnya sebagai anak angkat. 

3. Tragedi tali air : Kejadian Fikri hanyut di tali air menjadi pengajaran kepada Puan Tina supaya lebih bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerja.

03 September 2012

Sinopsis Kawan Baru FB tulisan Lynn Dayana

1 HARI 1 BUKU-KAWAN BARU FACEBOOK TULISAN LYNN DAYANA


1. Lagu Hati Sefia : Jadi penyanyi kan bagus? Popular, kaya dan berjaya! Itu mimpi Sefia. Bila tragedi melanda dan Sefia kelam kabut mana satu alif, mana satu ba dan hilang huruf ta, Sefia sedar dari leka. Hafal lirik itu membuang masa. Baca Al-Quran lebih banyak afdalnya.


2. Sesat Dalam Terang : Kembar Hanif dan Hanani yang berbeza tingkah. Hanif mahu cepat saja. Suka tergesa-gesa. Masuk ke dalam hutan, mereka sesat dalam terang. Mujur ada Hanani yang pulang mendapatkan bantuan. Hanif belajar makna merendah diri dan berfikir dengan logik.


3.Kuasa Kerepek : Yalah, dia anak orang miskin. Emak menjual kerepek saja. Hari Guru, Arman diketawakan. Pelajar lain beri hadiah mahal, dia beri kerepek saja. Namun dengan kuasa kerepek itulah dia menyelamatkan kawan sekelasnya yang kemalangan jalanraya. Kawan yang tadinya sombong jadi malu.


Penulis versatile ini memang tidak dapat disangkal kebolehannya. Inilah buah tangannya ke 11! Dari novel dewasa, remaja kini Lynn Dayana menyentuh hati kanak-kanak pula dengan tulisannya. Tiga cerpen ini terdapat dalam buku Kawan Baru Facebook. Dapatkan sekarang!

28 Ogos 2012

Kawan Baru FB (BFF) hehehe Best Friend Facebook

Tada! Inilah buah tangan terbaru saya yang panas dari kilang. Buku kanak-kanak yang comel ini mengandungi kompilasi 15 cerpen  daripada 5 orang penulis Grup Buku Karangkraf. Buku ini sebenarnya buku pertama dalam projek 1 Hari 1 Cerita. Buku berwarna-warni ini sangat sesuai dibaca oleh kanak-kanak berusia 7-12 tahun. Ilustrasinya juga sangat menarik. Memang tak rugi menjadikannya salah satu koleksi dalam simpanan si cilik!

Dalam buku ini saya menulis 3 cerpen iaitu Neptun Perlukan Raja, Hakimy Hilang PSP dan tajuk buku ini sendiri Kawan Baru FB. Berikut adalah senarai cerpen tulisan Lynn Dayana, Maryam Elyas, Nurliza Mohd Nasir dan Zakiah Abd. Ghaffar.


SINOPSIS 1 HARI 1 CERITA KAWAN BARU FB TULISAN LAILA KAMILIA

Kawan Baru FB- Mila seorang kanak-kanak yang baru belajar menutup aurat. Sekalipun hanya anak penjual kuih, dia juga tidak mahu ketinggalan dalam dunia Facebook. Bertuahlah kerana bapanya seorang juruteknik komputer yang berfikiran terbuka. Jadi bila ayah beri lampu hijau membuka akaun FB, kerjanya asyik melayan FB hingga karipap digoreng jadi hangus. Hari-hari kerjanya menanya bilangan 'friend' yang ada di FB dengan kawan-kawan sekelas. Masing-masing berlumba siapa punya 'friend' teramai. Satu kejadian membuatkan semua kawan-kawan Mila mula takut dengan dunia FB. Hey! Kejutan dari teman FB menyedarkan Mila apakah nilai persahabatan sebenar.

Hakimy Hilang PSP- Hobi Hakimy main PSP. Diusung ke sana ke sini hingga hobi bertukar obsesi. Pesan mama jangan bawa PSP keluar dari rumah tapi kalau sudah namanya obsesi, diam-diam PSP dibawa tanpa mama sedari. Janjinya hanya mahu main sekejap sampai tahap yang diingini. Tapi bila sakit perut, fikiran yang waras sudah tidak boleh fikir apa-apa lagi. Cari tandaslah nak ke mana lagi? Tapi PSP? Oh! Ini cerita seorang budak lelaki yang terpaksa membayar sebuah pengalaman dengan harga yang tinggi. 

Neptune Perlukan Raja-Indahnya kalau Teluk Intan tiba-tiba jadi pulau berais. Sejuk, nyaman dan putih bersalji.  Tak perlulah bosan duduk di depan TV semata-mata kerana matahari tegak di kepala membahang dengan suhu mak ai, berpinau mata. Suatu hari impian Amsyar Daniel menjadi kenyataan! Peluang menjadi Raja kepada Planet Neptune datang sekelip mata. Aha! Mari kita kongsikan pengalaman beliau mentadbir planet berais.














Saya harap anda semua suka dengan karya terbaru saya ini. Menjadi kanak-kanak memang menyeronokkan. Melihatkan buku ini, saya tiba-tiba teringatkan diri saya 25 tahun lepas. Masa itu memang sukar untuk mendapatkan buku-buku Melayu apatah yang berwarna-warni dengan ilustrasi begini. Masa itu saya hanya berangan dapat memegang buku seperti ini. Hehehe. Tak sangka setelah 25 tahun, saya ada buku yang saya idamkan, ditulis sendiri. 

Kalau ada yang mahu membeli buku ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak boleh terus memesan dari saya dengan harga RM20 sahaja dan saya akan poskannya kepada anda (hehe hadiah hari jadipun best juga, kos pos bergantung kepada jenis perkhidmatan pos pilihan anda). Terima kasih atas sokongan anda kepada karya saya selama ini. Saya amat menghargainya!  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...