Salam Aidilfitri 2014 Daripada Laila Kamilia dan Keluarga. Kesempatan ini terimalah salam kemaafan daripada kami sekeluarga. Maaf Zahir Batin. Semoga kita semua sentiasa berada dalam kasih sayang dan rahmat ALLAH selalu. Sampai jumpa lagi.
Memaparkan catatan dengan label Nostalgia Raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nostalgia Raya. Papar semua catatan
26 Julai 2014
08 Ogos 2013
Salam Aidilfitri 1434Hijrah daripada Laila Kamilia dan keluarga
Tahun 2011, semasa novel saya Cinta Pandang ke-2 terbit, saya sempat mengirimkan kad raya versi istimewa kepada semua pembacanya. Tahun ini disebabkan kesibukan, saya tidak sempat menyediakan kiriman istimewa buat pembaca Cinta Bunga Tulip. Saya mohon ampun dan maaf atas kekurangan itu.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan maaf zahir batin. Semoga Aidilfitri ini mengirimkan kenangan yang indah-indah saja dan semuanya selamat kembali ke rumah masing-masing setelah beraya sakan.
Kepada yang telah mengirimkan kad raya kepada saya, terima kasih banyak-banyak kerana sudi mengingati diri saya ini. InsyaALLAH saya akan kirimkan kad raya kepada anda bersama satu nota istimewa, berita gembira buat saya yang tidak saya khabarkan kepada pembaca novel Laila Kamilia yang lain lagi.
Kepada yang sudi mengirim kuih tanda ingatan juga, saya amat terharu. Betapa kalian memang sayang pada Laila Kamilia ye! Hehe! Saya juga sayangkan korang.
Kepada yang sempat bertemu muka, saling menziarah, saya amat syukuri kerana akhirnya kita dipertemukan juga. Semoga ukhwah yang terjalin akan berpanjangan.
Kepada yang saya tidak sempat bertemu, saya mendoakan agar di suatu hari yang indah kita akan bertemu juga.
Sampai jumpa lagi. Terima kasih atas kasih sayang anda!
07 September 2011
Selamat Hari Raya Aidilfitri 2011
Masih belum terlambat untuk kami sekeluarga mengucapkan salam Aidilfitri kepada seluruh pengunjung lailakamilia.blogspot.com. Jika ada salah silap di sepanjang tulisan saya di sini harap dimaafkan. Terima kasih atas kesetiaan anda bersama saya.
17 Ogos 2011
Buka Puasa di MAEPS@Serdang 2011
Bosan-bosan hujung minggu lepas, kami sekeluarga bercadang berbuka puasa di luar saja. Malas nak pergi jauh-jauh, taknak sesak, harga berpatutan, pilihan makanan banyak, senang nak solat. Jadi lepas kira-kira semua, kami sepakat bawa anak-anak ke Maeps, Serdang.
Setibanya kami, orang memang dah ramai. Parkir dah penuh, menyebabkan kami terpaksa parkir di bahagian atas. Masa tu dah jam 7 lebih. Orang yang datang lebih awal sudah siap duduk santai dengan makanan dah siap ada di meja. Kami yang lewat ni walaupun dah buat tempahan awal, jenuhla juga nak mencari tempat dan mengambil makanan. Bila dapat meja, pengumuman waktu berbuka sudah ke udara.
dalam iklan kata ghazal, tapi nyanyian life jer...
Anak-anak suka dengan kek yang macam-macam
Ramai juga kanak-kanak yang ikut sama
Antara hidangan
Antara hidangan dan dekorasi
Iklan
Makanan boleh tahan, banyak. Cuma tempatnya agak ramai orang menyebabkan pergerakan sedikit sukar. Kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah makan percuma. Jadi memang sesuai untuk keluarga dan rakan taulan bertemu. Ruang bersolat juga terhad. Anak-anak seronok jadi kami tumpang gembira....Berbaloila bawa budak-budak ni makan bufet...
02 Ogos 2011
Pohon tinggalkan alamat
Assalamualaikum kepada semua pengunjung setia blog Laila Kamilia. Kesempatan ini saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak. Moga tahun ini kita semua dapat meningkatkan amalan. Saya dengan rendah hati memohon kemaafan andai ada tulisan saya yang meninggung hati dan perasaan kalian. Semoga tulisan saya ada memberi banyak manfaat dari mudaratnya...hehhe. Saya juga memohon jika dapat saudara-saudari pengunjung blog meninggalkan alamat kalian kepada saya di lailakamilia@yahoo.com. Ada sesuatu yang ingin saya titipkan atas kesetiaan kalian mengunjungi blog ini. Terima kasih dan semoga jumpa lagi!
16 September 2010
Salam Aidilfitri 2010
Lamanya blog saya ni tidak dikemaskini. Orang yang berkunjungpun dah terbatuk-batuk bila masuk.Hehe. Maaflah ye. Masalah utama saya selain dari sibuk (alah...orang lain sibuk juga tapi sempat update blog pun), kerana komputer Vaio saya sedang tenat. Sehingga kini, pakar IT saya (cik Yana) masih tak jumpa apa masalahnya. Bila Vaio saya meragam, bermaksud saya tidak dapat memuat turun gambar-gambar dari kamera. Tunggu punya tunggu....sampai sekarang masih tidak dijumpai sebabnya. Jadi sebagai langkah menyelesaikan blog saya yang tergendala sejak lama ini, saya beli card reader. Alhamdulillah, barulah boleh dipaparkan gambar-gambar yang sudah diambil ke dalam blog ini. Saya harap lepas ni, saya berkesempatan mengupdate blog saya ini. Kalau berita-berita yang keluar dalam blog ini sudah basi, maaflah yer, sebab baru boleh buat entri kalau ada gambar....kan???
Gambar di atas adalah gambar kami sekeluarga ya ng terbaru, dirakam pada pagi Syawal ke 2 di rumah mertua di Alor Setar. Sudah 2 tahun kami tidak pulang beraya di Alor Setar. Sudah 10 tahun saya menunggu untuk memakai baju raya yang sama dengan anak perempuan saya...Alhamdulillah, tahun ini barulah ia dapat dimakbulkan Tuhan. Hehe.
Kesempatan ini kami sekeluarga ingin mengucapkan salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua saudara mara, rakan taulan dan pengunjung lailakamilia.blogspot.com.
Jumpa lagi pada entri akan datang, InsyaAllah!
08 Ogos 2010
Kek Lapis Sarawak Cantik dan Biskut Raya Rangup
Belumpun Ramadhan, tapi Laila dah sibuk dengan kuih raya. Haha! Teman-teman terdekat nampak saya sibuk benar nak menyambut raya tahun ni. Haha! Ada yang tertanya-tanya kenapa saya terlebih teruja tahun ni berbanding tahun-tahun sebelumnya, sampaikan siap menjual kuih raya lagi, tak pernah-pernah sebelum ni! Hahaha!
Sebenarnya saya pun terasa, raya tahun ni saya yang lebih teruja dari anak-anak. Agaknya sebab tahun lepas tak berapa terasa nak raya kan, sebab sensorang aje. Jadi tahun ni teruja lebihla. Hehe! Alhamdulillah puasa yang 23 hari tu sudah selamat saya tunaikan. Kini saya sedang menghitung menunggu Ramadhan datang lagi bagi tahun ini.
Disebabkan saya sudah jumpa dengan tokeh kek lapis yang sedap dan cantik, biskut rangup dan kerepek serta kacang best jadi saya ingin berkongsi dengan orang lain juga. Jadi kalau sesiapa hendak menempah kek lapis ke, biskut ke, kacang ke atau kerepek, boleh terus email saya di alamat lailakamilia@yahoo.com. Maklumat lengkap tentang kuih-muih itu tertera di bawah gambar ya. Hari Raya pastinya lebih bermakna dengan kehadiran kuih-muih yang lazat dan cantik kan?
Kek lapis sarawak : 1 roll RM25 @ 1 kg RM 53
kalau kek Cheese, mocha dan coklat cheese
1 roll RM30 @ 1 kg RM 63
saiznya 6X6" tinggi 2.5"
Tempahan sehingga seminggu sebelum raya
kalau kek Cheese, mocha dan coklat cheese
1 roll RM30 @ 1 kg RM 63
saiznya 6X6" tinggi 2.5"
Tempahan sehingga seminggu sebelum raya
biskut raya dari Kedah: Almond London, Nestum Choc., Cheese dan Cinderella
Arabian Nestle, Snow White, Fine Nut dan Cornflakes rangup semuanya berharga RM23 sekotak (50-52 biji)
Selamat menjamu mata!
30 November 2009
Aidiladha 2009
bergambar kenangan bersama Kak Ami dan Mar di Rumah Malaysia
Ini tahun pertama saya berhari raya Aidiladha di Berlin walaupun tahun lepas sepatutnya saya sudah merasakan suasananya. Semuanya gara-gara saya baru berpindah dan orang Ikea hendak menghantar barang yang dibeli ke rumah tanpa masa yang tepat. Sudahnya saya dan anak-anak hanya 'beraya' di rumah dan mendengar cerita raya kawan-kawan saja. Abang kebetulan ada kuliah hari itu.
Tahun ini walaupun sambutannya tidaklah semeriah Aidilfitri (diukur dari segi bilangan kehadiran tetamu dan makanan) alhamdulillah disambut kami dengan seadanya. Disebabkan cuaca tidak berapa baik (suhu semakin sejuk), ramai yang demam. Jadi sambutan di Rumah Malaysia tidaklah ramai, begitu juga sambutan kami di Kampung Wedding. Apapun, kami merasa juga makan sedap-sedap bersama kambing panggang!
26 November 2009
Selamat menyambut Aidiladha
Salam dari Berlin!
Kepada semua pengunjung blog, kami sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha.... Berhati-hati di jalan raya. Selamat Berqurban dan Bersedekah!
Kelebihan 10 Zulhijjah
Diharamkan berpuasa kerana Hari Raya Aidiladha.
Barangsiapa berkorban dengan satu ekor haiwan pada hari itu maka setiap ttisan darah yang mengalir dari tengkuk haiwan itu menghapuskan dosanya dan dosa ahli keluarganya.
Barangsiapa yang bersedekah dengan memberi makan kepada fakir miskin atau bersedekah pada hari itu maka ia akan dibangkitkan oleh Allah dengan aman sentosa dan berat timbangan amalannya lebih berat dari Bukit Uhud di Madinah.
14 Oktober 2009
Cerita Raya VI : Aidifitri di Berlin
Allah hu akbar! Allah hu akbar! Allah hu akbar! Syukur dipanjatkan kerana diberi peluang untuk merasai suasana pagi syawal 1430H. Sekalipun Syawal kali ini tanpa emak dan abah juga adik-adik dan rakan taulan, ia memberi kami pengalaman baru. Apa perasaan saya di pagi raya? Ya, memang sedih kerana tidak dapat bertemu muka dengan mereka-mereka yang saya sayangi. Terus-terang saya katakan, Aidilfitri kali ini saya menghadapi kesedihan, kesayuan dengan penafian. Saya menafikan telinga saya dari mendengar lagu-lagu raya. Saya menafikan tangan saya dari menulis kad raya (kecuali untuk ibubapa). Saya menafikan diri saya dari ingatan-ingatan terhadap kenangan indah di Aidilfitri. Apa keputusanannya? Ya, saya berjaya dari menitiskan airmata di pagi raya. Saat menelefon emak dan abah memohon kemaafan, saya berjaya mengawal perasaan sebak saya. Hurray! Saya berjaya!
syahdu Rizza mengalun takbir di pagi raya
Di perkampungan Wedding, Berlin, kami memulakan sambutan Aidilfitri setelah 30 hari genap berpuasa di Malaysian Hall, Wedding (rumah Mar dan Rizza) dengan berbuka puasa bersama-sama. Habis berbuka kami bertakbir meraikan kemenangan berpuasa sebulan dan memanjat kesyukuran kerana diberi peluang menyambut Aidilfitri sekali lagi.
Esoknya pagi-pagi kami beramai-ramai berpakaian tradisi menaiki kenderaan awam ke Kedutaan Malaysia untuk solat sunat Aidilfitri. Inilah pertama kalinya saya memakai baju kurung setelah hampir setahun di sini. Baju raya kami sekeluarga memang sudah dibeli awal-awal lagi tahun lepas. Mujurlah memang padan dengan tubuh badan anak-anak yang sudah membesar. Jadi sebenarnya bukanlah baju raya tahun ini. Baju raya dibeli tahun lepas tapi dipakai tahun ini....sebab tu tak pernah pakai sebelum ini. Sengaja disimpan untuk menyambut Aidilfitri.
siapa kata di Berlin tak ada ketupat, lemang dan rendang? segalanya ada dihidangkan
Usai solat sunat Aidilfitri, sementara menunggu rumah terbuka Aidilfitri di Rumah Malaysia, teman-teman sempat bersembang dan bermaaf-maafan sambil makan nasi lemak. Abang pulang ke rumah menjemput saya dan anak-anak yang tidak turut serta ke Kedutaan pagi itu untuk ke Rumah Malaysia (Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Jerman).
kuih muih yang dihidangkan memang lazat-lazat semuanya juadah Malaysia kecuali buah-buahan 'tempatan'

bersama kak Aminah dan Manami
dapat bertemu dengan warga Malaysia yang menetap di Jerman
di tangga Rumah Malaysia
Hakimy dengan teman ultramannya Aariz Amsyar
gambar kandid yang saya suka
Setelah bermaafan dan bersalaman dengan teman-teman, mengisi perut dengan hidangan hari raya yang umph, kami bergambar pula. Penat betul hari raya itu. Mujur si kecil neynyak tidur di dalam bakulnya. Semasa kami pulang tengahari itu, tetamu masih ramai mengunjungi Rumah Malaysia. Teman-teman ada yang meneruskan aktiviti berkunjung ke rumah terbuka raya anjuran rakyat Malaysia yang sudah bermastautin di Berlin tetapi kami terus pulang ke rumah kerana keletihan. Walaupun hari raya kami singkat tahun ini, tetapi ia meninggalkan kenangan manis untuk dikenang. Tambahan kerana kami merayakannya bersama seseorang yang begitu istimewa; Hana Nurein Fadly!
12 Oktober 2009
Cerita Raya VI : Buka Puasa di Kedutaan
Kejadian ini berlaku sebelum rayala tapi entri ini sebagai kredit kepada Kedutaan Malaysia di Berlin yang sudi menjemput kami makan-makan. Selalu mereka membuat acara dan mereka tidak jemu menjemput kami yang sememangnya sentiasa rindu dengan masakan Malaysia. Orang Kedutaan ni isteri-isterinya memang terror memasak pelbagai juadah. Selalu masa beginilah kami dapat merasa makanan Malaysia yang betul-betul rasa Malaysia. Jangan tidak percaya, jamuan raya hari tu kuih goyang, semperit, siput dan maruku ada dihidangkan. Malu pula nak tunjuk kuih raya saya yang bulat-bulat atau petak kerana tidak ada acuan...haha!
yang pakai tudung ungu tu menyibuk nak berbuka juga
11 Oktober 2009
Cerita Raya V : Kuih Raya Saya
Macam mimpi dapat makan kuih raya tahun ni. Semuanya gara-gara teman saya Yeo yang rajin terlebih tahun ni. Nak buat kuih raya kerana nak dapat feel raya katanya. Disebabkan rumah saya ada oven besar maka rumah saya dijadikan destinasi membuat kuih raya.
Yeo sedang berposing di depan oven. mujurlah biskut tu menjadi. kalau tidak bergambar ajelah yang lebih
si dara Erna turut datang ambil feel raya. mujurlah biskut tu menjadi. kalau tidak bersembangnya ajelah yang lebih
tepung yang diuli erna. mujurlah menjadi biskutnya. kalau tidak memang ernala yang disalahkan
acuan tak ada. biskut kami bentuknya bulat atau empat segi aje. mujurlah menjadi biskutnya. kalau tidak memang sah kena kutuk cik-cik abangnya
Dah mana gambar saya? Hehe. Saya tukang amik gambar aje. Tolong sikit-sikit aje. Yang menjadi chefnya Yeo. Petang itu saya hanya jadi water girl aje. Tukang tampal ceri, sapu telur kuning atas biskut, gentel tepung etc....Rasa malu pulak nak mengaku kuih raya tu saya yang punya...Tak apalahkan janji dapat makan kuih raya. hehe. Apapun tahun depan, Yeo kenalah cari teman lain buat kuih raya sebab saya sudah pulang. Namun saya pasti setiap kali Aidilfitri menjelma, Yeo akan tetap mengingati si water girl ini...
07 Oktober 2009
Cerita Raya IV : Buat Kek?
zubereitung-cara penyediaan di belakang kotak
Saya buat kek? Di Malaysia saya memang jarang buat kek sementelah mudah sangat nak dapat kek di mana-mana. Tradisi jarang membuat kek itu diteruskan bila ada di Berlin ni (kek yang selalu dibuat di sini kek pisang asyik tak jadi...hehe). Tapi di suatu petang ramadhan nan indah, abang tiba-tiba ajak saya buat kek. "Buat kek?" tanya saya dengan senyum-senyum kambing. Rajin benar ke dapur sejak tak ke kelas ni? Saya berkata di dalam hati. Beberapa hari sebelumnya abang ajak saya buat popia serunding.
"Tak pe, Ina buat, abang buka kamus." Bagai tahu-tahu jawapan saya, abang sudah memberitahu sambil meletakkan kotak kek segera yang diambilnya dari dalam almari. Hehe. Terjumpa juga dia dengan kek segera yang diberi Fida beberapa bulan sebelumnya. Memang saya malas nak membuat kek itu sebab segala-galanya dalam bahasa Deutsche. Nak buat kena translate pulak. Memang leceh. tapi bila sudah ada 'kawan' di dapur membantu, maka nak tak nak, saya sudah tak ada alasan lagi nak menyorok kotak kek itu.
Inilah sudahnya kek yang jadi setelah kami bertungkus-lumus 'bertekak' di dapur. Kelakar kerana sorang tak pernah buat kek tapi ikut buku, sorang pulak buta Deutsche. Kami berdua gelak-gelak aje. Entah jadi entah tidak. Tapi bila dimakan sedap!
inilah hasil perang kami di dapur
Beberapa hari sebelum hari jadi Hardy, saya sibuk hendak belajar buat topping kek dari Kak Aminah yang selalu bawa kek cantik-cantik bila ada majlis. Masa dia ajar tu macam senang aje. Saya pun belajar gelak-gelak sambil berlari-lari menyusukan Hana di ruang tamu dan berkejar pula ke dapur melihat kek yang dibuat Kak Aminah.
Jadi pada 16 September tu dengan yakinnya saya menggodek kek span yang dibeli. Dalam hati walau ada rasa cuak sedikit kerana mahu mencuba buat pertama kalinya dengan resepi ingat-ingat lupa, maka sayapun menggagahkan diri demi anak tersayang.
Mula-mula kena masak puding. Kesalahan pertama, puding belum betul-betul sejuk saya sudah masukkan mentega lalu berketullah jadinya puding saya.
Kemudian saya masak hirisan almond dengan gula. Kesalahan kedua, saya terbiar lama gula jadilah gula hangus....patutnya saya kacau-kacau selalu.
Lalu dengan puding yang terlalu kental dan berketul, juga almond dengan gula hangus saya tu, jadi juga topping untuk kek hari jadi Hardy. Kak Aminah senyum-senyum bila datang petang itu saya beritahu tidak jadi. Katanya nanti cuba lagi. Habis hancur resepi turun-temurun dari late neneknya saya kerjakan. Hmm...adakah ada lain kali? Tengoklah nanti!

kek ni sedap sebab dibuat dengan kasih sayang mama kan Hardy!
05 Oktober 2009
Masjid Columbiadamm, Berlin
04 Oktober 2009
Cerita Raya II : Kad Raya
03 Oktober 2009
Cerita Raya I : Hana Nurein
kad ucapan dari hospital yang ditandatangan oleh bidan dan doktor yang menyambut kelahiran. paling istimewa tapak kaki Hana turut dicop di situ
abah dan anak. memang Hana anak abah sebab wajahnya memang boleh kata 99 peratus ikut abah. cuma mata coklatnya yang diwarisi dari saya....
20 September 2009 bersamaan 1 Syawal 1430H. Patutnya hari ini dia lahir dan saya di hospital tetapi dia hendak beraya juga. Pagi syawal itu sudah 3 minggu usianya. Lahirnya menceriakan raya saya di perantauan. Alhamdulillah.
ps-saya ingin merakam penghargaan kepada Kak Eka Fahara, Shanika Latisya, Lynn Dayana, Alaf21FC dan Marfuza yang sudi 'meletakkan' gambar Hana saya di dalam blog mereka.
25 September 2009
Gambar Raya 2009

Ini gambar raya keluarga kami (kredit kepada saudara Amir) yang dirakam di Rumah Malaysia, Berlin. Tahun ini memang nampak lain sikit kerana hanya saya dan abang yang memakai baju sedondon sedangkan anak-anak warna lain sikit (Hardy krim oren, Hakimy krim kuning dan Hana kuning oren). Baju raya ni memang dah siap dibeli dari tahun lepas lagi. Mujurlah muat untuk budak-budak ni. Cuma baju Hana saja kami beli di sini. Kami sengaja membuat kelainan tahun ini kerana abang kata untuk menunjukkan yang tahun ini kita tidak beraya di Malaysia. Hehe macam-macam....
20 September 2009
Salam Perantauan di Akhbar Kosmo!

Ikuti Salam Perantauan kami di
Akhbar Kosmo! 20 September 2009, bersamaan 1 Syawal 1430H
atau layari:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/special.asp?pr=salam_aidilfitri2009&pub=salam_aidilfitri2009&y=2009&dt=0920&sec=Album&pg=keluargaaedyfadlyramliberlinjerman.html
18 September 2009
Salam Aidilfitri dari Perantau
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam Aidilfitri untuk pengunjung setia blog, pembaca novel-novel saya, teman-teman, sanak-saudara, anak-anak saudara, adik-adik, abah dan mak. Walaupun tahun ini kita tidak dapat merayakan Aidilfitri bersama, kenangan yang tercipta antara kita tidak akan dilupa.
Aidilfitri ini kami sekeluarga memohon maaf zahir dan batin atas segala perbuatan dan tingkahlaku kami sepanjang perkenalan kita. Mungkin mata pena saya tajam menikam hati anda, mungkin lidah saya berkata sesedap rasa mengganggu perasaan anda, mungkin perbuatan saya menyebabkan anda berjauh hati. Atas semuanya saya mohon maafkanlah saya. Juga yang rajin menjemput saya dan keluarga makan-makan/belanja kami makan, halalkanlah segala. Semoga Aidilfitri ini menjadi kenangan terindah dan lebih bermakna kepada anda. Berhati-hati memandu di jalan raya. Pastikan pulang semula, perut yang mengempis semasa puasa tidak membuncit semula! Selamat hari raya!
Salam dihulur untuk semua
Ampun dan maaf jua dipinta
Tahun ini kami tak balik beraya
Tahun depan double ek bagi duit raya
12 September 2009
Berhati-hati di Jalanraya

Saya menerima berita yang tidak gembira beberapa hari lepas dari adik saya yang mengatakan ibu dan bapa saudara saya kemalangan jalan raya. Menurutnya bapa saudara saya yang demam hari itu berkeras mahu ke klinik tetapi anaknya yang baru tiba dari Lumut tidak dapat membawanya ke klinik pada masa itu kerana keletihan memandu. Dia membawa ibu saudara dan cucu perempuannya ke klinik tetapi di pertengahan jalan dia pitam lalu melanggar semua kenderaan yang ada di hadapannya. Keretanya terbelah dua.
Mereka bertiga dimasukkan ke ICU Hospital Serting. Esoknya saya menerima berita sekali lagi yang mereka telah dikeluarkan ke wad biasa. Alhamdulillah tetapi saya begitu ngeri mendengarnya. Kemalangan dan dimasukkan ke ICU tentulah kemalangan yang besar.
Saya menulis entri ini sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua. Sempena perayaan yang bakal menjelma, kita kerap kali mendengar tentang kemalangan jalanraya. Kematian demi kematian, trajedi demi trajedi. Memang kita tidak biasa mengelaknya tetapi kita boleh cuba untuk mencegahnya. Perkara yang saya belajar dari kes bapa saudara saya ialah jika seseorang itu tidak sihat, dia tidak boleh memandu. Jadi orang yang sihat harus memandu untuknya.
Di musim perayaan ini dua perkara utama yang bleh kita lakukan ialah berhenti rehat terutama perjalanan yang jauh bagi pemandu yang keletihan. Tidur perlu secukupnya. Biar sampai lambat asalkan sampai dari cepat tapi tak sampai-sampai hinggakan perlu dihantar oleh ambulans ke hospital. Selain itu kenderaan yang dipandu harus diselenggara dengan baik sebelum berjalan jauh. Ini penting bagi mengelakkan kenderaan meragam yang melewatkan perjalanan kita nanti.
Kepada yang ingin pulang beraya tahun ini, saya ucapkan selamat memandu. Rancanglah perjalanan anda awal-awal supaya segala yang direncana berjalan lancar. Selamat membakar lemang dan ketupat dan beraya bersama keluarga tercinta!
ps-kerana sudah lama tidak memandu Hardy jadi was-was dengan kemahiran memandu ibunya ini. Dia kata mama mesti dah lupa bawa kereta. Saya gelak aje. Balik Malaysia nanti kita pandu ujilah kereta MyVi tu! Pegang kuat-kuat ye...sebab saya sendiripun ragu-ragu..tapi sudah tentu saya tak mengaku dengan dia.
Mereka bertiga dimasukkan ke ICU Hospital Serting. Esoknya saya menerima berita sekali lagi yang mereka telah dikeluarkan ke wad biasa. Alhamdulillah tetapi saya begitu ngeri mendengarnya. Kemalangan dan dimasukkan ke ICU tentulah kemalangan yang besar.
Saya menulis entri ini sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua. Sempena perayaan yang bakal menjelma, kita kerap kali mendengar tentang kemalangan jalanraya. Kematian demi kematian, trajedi demi trajedi. Memang kita tidak biasa mengelaknya tetapi kita boleh cuba untuk mencegahnya. Perkara yang saya belajar dari kes bapa saudara saya ialah jika seseorang itu tidak sihat, dia tidak boleh memandu. Jadi orang yang sihat harus memandu untuknya.
Di musim perayaan ini dua perkara utama yang bleh kita lakukan ialah berhenti rehat terutama perjalanan yang jauh bagi pemandu yang keletihan. Tidur perlu secukupnya. Biar sampai lambat asalkan sampai dari cepat tapi tak sampai-sampai hinggakan perlu dihantar oleh ambulans ke hospital. Selain itu kenderaan yang dipandu harus diselenggara dengan baik sebelum berjalan jauh. Ini penting bagi mengelakkan kenderaan meragam yang melewatkan perjalanan kita nanti.
Kepada yang ingin pulang beraya tahun ini, saya ucapkan selamat memandu. Rancanglah perjalanan anda awal-awal supaya segala yang direncana berjalan lancar. Selamat membakar lemang dan ketupat dan beraya bersama keluarga tercinta!
ps-kerana sudah lama tidak memandu Hardy jadi was-was dengan kemahiran memandu ibunya ini. Dia kata mama mesti dah lupa bawa kereta. Saya gelak aje. Balik Malaysia nanti kita pandu ujilah kereta MyVi tu! Pegang kuat-kuat ye...sebab saya sendiripun ragu-ragu..tapi sudah tentu saya tak mengaku dengan dia.
Langgan:
Catatan (Atom)














