Memaparkan catatan dengan label Holland. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Holland. Papar semua catatan

12 Februari 2013

KEMBARA EROPAH Belanda/Holland II - Keukenhof Park

Taman Keukenhof- entry reposting 19/4/2009
Tahun 2009 sudah 60 tahun wujudnya Keukenhof yang membawa maksud taman di dapur. Yang menariknya selama 60 tahun ini, ia tetap kekal sebagai satu tarikan pelancong untuk ke Belanda. Ada yang datang saban tahun, malah ada pula yang datang 3 kali dalam tahun yang sama semasa ia dibuka. Taman ini dibuka selama 3 bulan sahaja dalam setahun bermula Mac hingga Mei tetapi bilangan pengunjung yang datang terlalu ramai menjangkau puluhan ribu pengunjung.
Tahun ini (2009) banyak acara dirancang bagi menyambut ulangtahun ke 60 tetapi kami tidak sempat mengikuti acara tersebut kerana jadual perjalanan kami yang ketat. Mungkin jika yang ingin ke sana boleh berkunjung ke webnya terlebih dahulu http://www.keukenhof.com/. Kami tak sempat untuk ke sana lagi tahun depan kerana kami akan pulang akhir Mac 2010. Melalui cerita teman yang telah berkunjung ke sana, pada bulan Mac bunga tulip belum kembang lagi. April adalah bulan paling cantik untuk mengunjungi taman tersohor ini....

Inilah sebahagian gambar-gambar yang saya rakam semasa berada selama 5 jam di sana... Saya memang mabuk bunga hari itu....

ps- Untuk album penuh lawatan Pah Bedah ke Taman Keu, sila klik https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10151433769837229.504556.829392228&type=1

04 Mei 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland VI - Rotterdam

Rotterdam kami menjadi destinasi terakhir kami di Belanda sebelum ke Brussels. Bandar ini dikelilingi air. Mercu tanda utama di bandar ini adalah Erasmus Bridge.


Tamatlah catatan perjalanan saya ke Belanda. InsyaAllah selepas ini, saya akan mencatatkan perjalanan ke Belgium pula. Negara yang jarang kita sebut sebagai destinasi pelancongan tetapi rupanya tidak kurang hebat kecantikannya!

03 Mei 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland V - Scheveningen Beach

Masih di The Hague, kami singgah untuk mengisi masa sementara menantikan Dina membeli ketam di pasar. Sudah lama tidak menghirup udara segar dan pemandangan di pantai, saya rasa sedikit tenang (saya memang selalu mencari tenang di tepi pantai). Air biru laut begitu mendamaikan. Kami tidak lama di sana kerana siren amaran dibunyikan meminta semua orang yang berada di pantai naik ke daratan (saya tidak pasti mengapa, mungkin amaran ikan todak sedang bermandi-manda di sana).






Tapi berbeza dengan laut di Malaysia, di sini saya tidak berani mengajak anak-anak membuat istana pasir dan kami terpaksa berkasut di atas pasir. Semuanya gara-gara anjingpun turut dibawa bersiar-siar di pantai oleh tuannya. Susah kalau ada yang sudah memberi sama hak kepada haiwan peliharaan mengikut sangat "Dog is a man's best friend." Sayang! Ia mencacatkan keseronokan kami di pantai.

27 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland IV - The Hague

Sebelum singgah ke Rotterdam, kami mengambil peluang untuk ke Den Haag, tempat di mana telah mencatat pelbagai peristiwa bersejarah. Kami ke International Court of Justice, ataupun Mahkamah Keadilan Dunia, The Hague. Mahkamah yang dibina pada tahun 1945 ini oleh PBB antara fungsinya menyelesaikan pertikaian antarabangsa.Di sini telah terlakar banyak sejarah yang melibatkan negara kita. Antara yang masih segar dalam memori kita tentulah pada 23 Mei 2008 ICJ telahpun memutuskan Pulau Batu Puteh, Pedra Branca yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura diputuskan kepada negara Kota Singa itu dan memberikan Pulau Batu Tengah, Middle Rocks kepada kita.

The Flames of Justice, melambangkan semangat dan cahaya keadilan tidak akan terpadam dari dunia ini. Tetapi sayangnya nama Israel tercatat sebagai negara yang diiktiraf oleh ICJ ini tetapi nama Palestin tiada. Sayang seribu kali sayang dan entah bila agaknya nama Palestin akan diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

Di mana keadilan? Di sinilah keadilan? Agaknya itulah yang sedang dilaungkan Hardy di dalam hatinya. Kami sentiasa berdoa semoga dunia akan sentiasa aman dan tenteram kerana peperangan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.

23 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda/Holland III - Amsterdam

Hari kedua kami di Amsterdam dimulakan dengan berjalan-jalan di kawasan Rijksmuseum yang terkenal itu. Kami mencari landmark Iamsterdam yang besar untuk bergambar sebagai tanda kami sudah sampai ke sini. Bila sudah berjumpa, kami menunggu tram untuk ke Schiphol Centraal. Disebabkan kami ni sarat dengan beg dan stroller maka, kami ditinggalkan tram. Hanya Emy dan Naz yang dapat masuk ke dalam tram maka kami terpaksa menunggu tram berikutnya. Pengalaman menggunakan pengangkutan awam di sini, pemandu tidak menunggu penumpang. Mereka hanya berhenti bagi penumpang masuk dan turun, saya kira cuma 1 atau 2 minit sahaja. Jadi sekalipun anda sudah beratur tetapi melepasi masa yang ditetapkan untuknya berhenti, anda terpaksa menunggu tram yang lagi satu.




Iamsterdam giant!
Saya juga mendapati keretapi di sini tidak mesra OKU. Bermaksud, OKU tidak boleh menaiki keretapi jika berjalan bersendirian kerana ia bertangga. Ini mungkin disebabkan keretapi penumpang mereka sudah berusia berpuluh tahun berbanding dengan keretapi yang digunakan di Berlin. Patutlah saya tidak nampak OKU berjalan sendirian sebagaimana di Berlin. Bagi yang membawa stroller seperti saya, memang bermasalah kerana terpaksa mengangkat berdua stroller tersebut disebabkan tangga keretapi atau tram. Bagi bas, alhamdulillah, ruang untuk OKU dan kanak-kanak ada disediakan.

lagi sekitar Iamsterdam
Kami ke check in di hotel dan kemudian menunggu bas untuk ke Keukenhof. Selepas 5 jam di sana, Emy, Naz juga Raja mahu terus pulang ke hotel sedangkan kami masih mahu berjalan-jalan di kotaraya Amsterdam. Jadi kami menaiki keretapi ke Amsterdam Centraal menggunakan tiket semalam yang masih sah digunakan kerana sah selama 24 jam. Inilah gambar-gambar yang sempat kami rakam semasa di Amsterdam.


satu terusan
anak-anak jadi pilot di KLM store
Amsterdam kota raya yang dikelilingi air maka di mana-mana anda akan nampak terusan dan bot-bot menyusuri kotaraya yang sibuk dengan basikal ini. Di mana-mana orang lebih gemar berbasikal dari menaiki kereta. Saya menggeleng kepala bila melihat ada antara basikal yang terpakir sama tua dan sama uzurnya dengan basikal arwah Tok Wan saya tetapi masih digunakan. Orang kata, selagi boleh bergerak, selagi itulah khidmatnya digunakan. Kalau buang dalam laut, belum tentu ikanpun berminat hendak buat tempat bermain-main kerana sudah berkarat serba-serbi. Tetapi itulah yang membuatkan saya kagum. Saya rasa itulah mengapa bandaraya Amsterdam sentiasa bersih, tenang dan subur. Basikal yang terpakir seluas mata memandang. Kalau senang nak dibayangkan, bayangkan motorsikal yang terpakir kat tempat parkir semasa mahasiswa sudah masuk ke dalam dewan peperiksaan!

Hard Rock Cafe, Dam Square, Rijksmuseum, Magna Plaza

Saya terbaca artikel di surat khabar semasa saya berkunjung di Gent. Wartawan Malaysia itu berpeluang bersiar-siar di Amsterdam. Tetapi sekalipun beliau mengagumi bumi Tulip ini, tetapi beliau komplen harga barangan/makanan di sini yang mahal. Yelah, memanglah mahal jika ditukar ke RM. Menurutnya 1 botol air mineral bila ditukar ke RM menjadi RM30. Aduhai! Itulah nasib kita kalau nilai duit kita rendah terpaksa pula pergi ke negara orang yang duitnya mahal dari kita.

Itu saja catatan saya di Amsterdam. Saya hanya ada 2 hari di sini kerana esoknya pagi-pagi kami sudah menaiki keretapi ke Rotterdam. Jika ada masa, boleh saja berkunjung lagi ke sini.

15 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda (Holland) I - Volendam

Perjalanan kami bermula seawal 6.30 pagi pada 4 April 2009 tetapi matahari sudah menunjukkan wajahnya di kaki langit. Syuruk memang awal kerana kami sudah meninggalkan Winter. Cuaca tidaklah sejuk sangat, sekitar 18 darjah tetapi angin pagi yang bertiup membuatkan sesekala kami terasa kesejukan. Kami menaiki kapal terbang tambang murah Transavia milik Belanda dari lapangan terbang Tegel, Berlin.

Sekalipun tambang murah, kami dibawa menaiki bas untuk ke tangga pesawat sedangkan perjalanannya memang terlalu dekat. Tidak seperti Air Asia yang kebanyakan pesawatnya jauh dari balai menunggu menyebabkan kita terpaksa menapak agak jauh.

Masuk ke dalam kapal terbang, sekali lagi kami dipertontonkan dengan kecanggihan pesawat yang lengkap dengan skrin tv. Ternyata Transavia tidak seperti pesawat tambang murah lain seperti Ryan Air contohnya.

di dalam pesawat Transavia

mini Keukenhof di Schiphol Centraal
Kami tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam kira-kira satu jam setengah selepas itu. Lapangan terbang yang sibuk ini memang luas dan besar. Kami berjalan jauh juga sebelum ke tempat mengambil bagasi. Mujurlah kemudahan seperti laluan escalator dan deretan kerusi menunggu yang banyak dapat membantu keselesaan pengguna.

Setelah menyimpan beg di tempat simpanan beg, kami mengambil keretapi ke pusat bandaraya Amsterdam. Yang tak bestnya tambangnya agak mahal iaitu kira-kira Euro7 pergi-balik dan semasa di dalam bandaraya, kami kena membeli tiket lain pula untuk menggunakan kenderaan awam di sana. One Day Ticket berharga sekitar Euro7 dan harga untuk ke tempat-tempat lain di luar bandaraya Amsterdam harganya lain pula.

Petang itu, kami merancang ke Volemdam untuk melihat kebudayaan Belanda dan kincir angin. Jadi kami terpaksa membayar Euro7 lagi untuk ke sana!



di hadapan Amsterdam Centraal

rombongan Cik Kiah di Volendam


Volendam memang kawasan tarikan pelancong di Amsterdam tetapi ramai yang tidak mengetahuinya. Perjalanan ke sana memang cantik diliputi kawasan rumput hijau dan sungai-sungai, binatang ternak seperti kuda dan biri-biri, juga rumah-rumah tradisi yang cantik. sepanjang perjalanan saya memang begitu asyik dengan pemandangannya. Di dalam hati, saya berasa begitu bersyukur kerana dapat juga menjejakkan kaki ke bumi Belanda ini.

Alkisahnya dolu-dolu semasa ditanya cik abang negara mana saya paling teringin hendak menjejakkan kaki, saya menjawabnya dengan spontan Belanda. Bila ditanya mengapa, saya katakan kepada dia yang cikgu saya pernah cerita masa di sekolah bahawa akibat perubahan cuaca dan pemanasan global, suatu hari nanti ada beberapa negara yang akan lupus dari peta dunia dan negara baru akan muncul. Negara yang akan lupus itu antaranya ialah Belanda kerana kedudukannya berada di bawah paras laut. Jadi kerana itu saya bercita-cita sejak kecil hendak ke Belanda dan alhamdulillah cita-cita itu akhirnya terlaksana juga....

Di Volendam, kami menikmati pemandangan kapal-kapal layar yang berlabuh. Kawasan ini memang cantik dan bersih. Ia adalah sebuah perkampungan nelayan.Gerai-gerai menjual cenderahati juga berderetan. Paling istimewa, walau harga barangan yang anda beli itu hanya Euro1, tuan kedai berbesar hati membalutnya dengan kertas hadiah untuk anda. Saya tidak sempat mengambil gambar dengan berpakaian Deutch kerana ketika itu Hakimy sedang tidur.


Kami pulang tanpa dapat bergamar di hadapan kincir angin kerana bas tidak boleh berhenti di kawasan kincir angin yang ada di hadapan jalanraya itu. Kami pulang ke hotel dan malam itu saya benar-benar keletihan!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...