29 April 2008

Jalan-jalan Menara KL (Kuala Lumpur Tower)




Sekadar mengisi masa lapang di hujung minggu Sabtu lalu kami anak-beranak ke Menara KL. Seperti biasa, ramai pelancong asing yang ada di sini. Yang pasti Menara KL lebih menarik dikunjungi dibandingkan Menara Alor Setar yang seperti hidup segan mati tak mahu. Suasana masih meriah. Menara KL memberikan tarikan baru kepada pengunjung dengan aktiviti flying fox. Rasanya Menara KL perlukan lebih tarikan baru untuk membawa lebih ramai pengunjung yang bukan saja hendak melihat pemandangan KL dari sayup awan.

Cuci Kereta RM2 Sahaja!





Sudah lama saya tidak terjumpa dengan nilai hebat seperti ini. Cuci Kereta bernilai RM2.00 sahaja! Namun, sayangnya ia bukannya di Lembah Kelang...
Bagi warga KL, peluang mencuci kereta dengan harga RM2.00 memang sesuatu yang tidak pernah dinikmatinya, tetapi jika anda berkunjung ke Alor Setar (terutamanya orang Alor Setar) sebuah kedai cuci kereta di Jalan Sultanah Bahiyah ini memang menjadi tumpuan ramai. Hampir setiap minit pasti kenderaan akan beratur panjang menunggu giliran untuk dicuci. Purata cucian bagi sebuah kereta hanya mengambil masa antara 5 hingga 7 minit sahaja.
Harga lain seperti vacumm hanya RM3.00 dan yang menariknya di Alor Setar, bukan hanya kedai cuci kereta tersebut menawarkan harga runtuh seperti itu, malah ada yang berani meletakkan harga cuci manual RM3.50 sahaja...
Kalau berkunjung ke Alor Setar dengan kereta, pastikan anda tidak ketinggalan mencuba kedai cuci kereta ini. Memang berbaloi.

26 April 2008

Pertama kali bergelap



Kasihan! Itu perkataan yang paling sesuai digambarkan kepada anak-anak saya yang pertama kali merasa pengalaman bergelap kerana tiada elektrik di Bandar Seri Putra pada hari Isnin 21 April lalu. Bukan tidak pernah bergelap bagi Hardy sebab sebelum ini kami tinggal di Putrajaya. Di sana kalau tiada elektrik, hanya 10 minit ataupun kami diberitahu melalui surat awal-awal lagi. Jadi penduduk sudah sedia dan biasanya bila tiada elektrik kami keluar sehinggalah elektrik ada semula.
Berbeza di sini, kami menjadi penduduk biasa lain, tidak seperti bandar elit Putrajaya yang segalanya pantas dan efisien itu. Jadi anak-anak saya terpaksa bergelap dalam tempoh masa yang agak lama (dari jam 6.30 hingga hampir 9.40 malam!).

Saya tergelak tengok anak-anak yang berpeluh macam orang main bola kat padang walau hanya 10 minit berpanas. Tingkap dan pintu yang terbuka menyebabkan namuk masuk dan mereka mengadu sakit kena gigit nyamuk.

Terkenang zaman kanak-kanak saya dulu yang memang tiada bekalan elektrik. Berlilin dan berpelita sudah jadi perkara biasa. Hingga terbakar leher (masih ada kesan sampai ke hari ini) dan lubang hidung berjelaga kena asap pelita. Tiada istilah panas sebab memang hari-hari tak pernah ada kipas angin apatah lagi air-cond (dalam mimpi pun tak pernah masuk, nak merasa nyamannya air-cond). Paling boleh dibuat kipas kertas!
Saya memang kesian tengok anak-anak saya. Terlalu manja dan mewah rasanya. Hinggakan bila tiada elektrik beberapa jam sudah huru-hara. Rasanya anak-anak anda begitu juga. Agaknya kalau tiba-tiba negara kita kena serang tengah malam buta, bekalan elektrik terputus, bagaimana anak-anak kita menangani krisis jika tiada elektrik sekejap dah huru-hara begitu? Minta dijauhkan bala itu!

24 April 2008

Giliran Menanti Kasih Menemui Anda!


Semasa saya menemui novelis tersohor ini beberapa bulan lepas, dia memberitahu saya yang novel terbarunya akan muncul tidak lama lagi. Katanya kali ini Menanti Kasih berlainan sekali sentuhannya dari sentuhan novel sebelumnya. Kiranya kali ini gerenti jiwang karat punya! Ternyata apa yang Kak Lina kata memang benar! Dari komen yang saya dengar dan baca, kali ini novel Menanti Kasih betul-betul menyengat!
Kepada yang telah memiliki novel ini, pastikan anda menjawab kuiz yang Kak Lina anjurkan. Lumayan juga hadiahnya. Tarikh tutup adalah pada 30 Jun 2008. Maklumat lanjut tentang kuiznya sila ke http://norzailina.blogspot.com/
Oh Ya! Tahniah kepada pemenang-pemenang kuiz novel Hak Cinta Terpelihara karya Lynn Dayana. Pemenang Pertama Hamidah Omar dan Kedua Aznida Abu Hasan tentunya dah sengkak perut makan Pizza yer.... Pasti berbaloi menjadi peminat novel. Setelah kenyang minda kita kenyang perut pula.
Jangan lupa kuiz Menanti Kasih ye... Kali ini boleh shopping sakan pulak! Selamat mencuba!
MENANTI KASIH
Harga: RM19.90
Penulis: Norzailina Nordin
Halaman: 528
ISBN: 978-983-124-361-9

Sinopsis: PERTEMUAN kali pertama ketika melancong ke Itali, membuatkan Farhana jatuh hati pada Giovanni. Siapa lelaki itu sehingga Farhana buta dalam pencarian cinta, sedangkan mereka saling mengenali hanya untuk tempoh dua minggu? Betapa taksubnya cinta dua insan ini bilamana perasaan kasih, sayang dan rindu sering menerjah sanubari. Mereka mampu menepis segala tohmahan yang dianggap dusta belaka.Namun, dalam keseronokan bercinta, ada insan yang merana. Kamel... satu-satunya lelaki yang pernah singgah di hati Farhana. Mengapa ditolak luahan perasaannya sedangkan mereka berkawan sudah lama? Kasihan lelaki itu! Cintanya tidak kesampaian...Kemunculan Ahmad Ridzafi memberi tamparan hebat kepada Farhana. Lelaki itu melamarnya dengan penuh keikhlasan jiwa. Biar bagaimana hebat sekalipun onak merintangi, gadis itu harus menjadi miliknya. Fikiran Farhana menjadi tidak keruan. Mampukah dia menerima lama-ran itu kerana pada masa yang sama mengharapkan orang yang di-sayangi datang membersihkan luka di hati?Farhana benar-benar buntu. Dia ingin menyayangi dan disayangi. Sememangnya, dia hidup dalam alam realiti tetapi masih tidak berupaya menggapai kebahagiaan. Yang mana satu menjadi pilihan hati? Dia hanya berserah kepada Yang Maha Esa dan menanti kasih jejaka yang sudi bertakhta di hatinya.

22 April 2008

Bila kehilangan

Sabtu lepas, saya sempat menghadiri majlis tahlil arwah Firwance. Sekejap masa berlalu, sedar-sedar dah dua minggu arwah meninggalkan keluarga. Saya sempat membaca catatan terbaru Erna di fotopagesnya. Ceritanya tentang pertemuan dan perkenalan dengan Firwance menyentuh hati saya...
Akhir-akhir ini saya selalu berfikir tentang kehidupan. Pemergian arwah Firwance memberi ruang insaf yang cukup besar pada saya, memberi ingat maut akan datang pada bila-bila masa. Semuanya ketentuan Dia. Usia bukan penghalang kita dijemput mengadapNya.
Ada benarnya bila orang selalu berkata, bila dah hilang baru terasa, bila ada hendak bercakaran saja... Kita selalu ambil mudah pada sesuatu perkara terutama yang melibatkan orang yang dekat dengan kita. Contoh macam suami, kekasih, sahabat mahupun ibubapa sendiri. Bagi kita mereka dekat dengan kita, pasti mereka fahami tingkah laku dan tindakan kita. dalam tak sedar, tindak-tanduk kita menyakitkan hati orang lain. Kita ambil kesempatan atas kebaikan mereka kepada kita.
Masa dia ada di depan mata, dialah orang yang kita nak lawan cakapnya. Kalau bergaduh apa saja kita nak kata pada dia. Tak kiralah main sedap mulut nak kata apa. Janji hati kita puas. Kita tak sedar betapa sakitnya hati dia dengan kata-kata kita. Lagi best kalau dapat sindir dia dan dia terasa. Kita pentingkan ego kita. Semua yang kita buat betul saja. Hanya dia yang salah. Hanya dia yang patut mengalah dan minta maaf walaupun jauh di sudut hati kita, kita sedar sebenarnya itu semua adalah salah kita. Selagi dia tak minta maaf selagi itulah kita isytihar perang dunia ketiga. Bila dia dah lembut hati minta maaf, kita tarik tangan, tolak dia jauh-jauh macam jijik sangat dia dengan dosanya yang tak seberapa tu. Bila dia telefon langsung tak nak angkat. Biar padan dengan muka dia. Siapa suruh buat salah pada kita yang perasan diri umpama maharaja. Oh tingginya ego kita! Sedangkan dia susah hati. Sudahlah gagal memujuk, risau keadaan si dia entah apa ceritanya. Selamat atau tidak dia...
Pernah tak terfikir di fikiran kita, di saat kali terakhir kita bertemu dengan dia pagi tadi adalah hari terakhirnya di dunia ini. Pagi tadi dia datang minta maaf pada kita, tapi kita masih tidak mahu memaafkan dia kerana konon-konon nak ajar dia supaya hormatkan kita. Sedih tak jika dia meninggal dengan membawa rasa terkilan, dosanya pada anda tidak anda ampunkan lagi. Anda tidak dapat melihat senyuman terakhirnya kerana anda langsung tidak ingin memandang wajah dia...
Oh! Minta dijauhkan dari Allah....
Saya menyeru kepada diri saya dan sesiapa yang membaca catatan saya ini, sementara si dia kesayangan anda masih ada di sisi hargailah dia.... kalau cinta katakan cinta... kalau sayang buktikan dengan kata-kata... memang ada masanya kita akan bergaduh dan terkilan sesama kita, tetapi ingatlah kita tidak akan tahu bila hari terakhir kita... semoga kenangan terakhir kita bersama dia yang kita sayangi tidak berakhir dengan kelukaan. Biarlah yang enak-enak untuk dikenangkan. Saya pasti anda tidak boleh memaafkan diri sendiri seumur hidup anda jika ianya terjadi kepada anda!
Saya pernah membaca artikel yang bunyinya lebih kurang begini...
jika anda bangun pagi, dia membebeli anda...sabarkanlah hati
kerana itu tandanya dia yang anda sayangi itu masih bernafas di muka bumi....
selamat berkasih sayang...
ps: jika ada sesiapa yang pernah berkecil hati dengan saya, saya mohon kemaafan dari hujung rambut ke hujung kaki. saya ini hanya insan yang sentiasa melakukan kesilapan...

19 April 2008

Catatan Perjalanan ke Bandung

Percutian 3 hari 2 malam ke Bandung macam tidak cukup untuk kami berdua. Kami tiba di Bandung jam 1240 waktu tempatan. Disebabkan kali ini kami tidak membeli apa-apa pakej jadi segalanya harus diuruskan sendiri. Kami menaiki teksi ke apartment Setia Budhi di Jalan Setia Budhi. Tambang yang dikenakan agak mahal (Rp 100 000 bersamaan RM 35.70) sedangkan kami diberitahu tambang jika menggunakan teksi bukan airport adalah lebih kurang Rp 30-50K). Tetapi sukar mendapatkan teksi bukan airport kerana anda harus menunggu di luar airport pula. Namun ambang itu masih masuk akal kerana saya diberitahu seorang pemadu teksi Blue Bird (satu-satunya syarikat teksi bermeter di Bandung) ada pelancong Malaysia yang ditipu hingga Rp 200K!
Kami check in di Setia Budhi apartment setengah jam kemudian. Tuan punya unit menunggu kami di lobi (harga unit ditawarkan oleh pengendali apartment lebih mahal hingga mencecah 400K semalam sedangkan jika terus dengan tuan punya unit harganya cuma 750K untuk 2 malam). Biliknya sangat memuaskan hati dengan semua peralatan memasak (kecuali dapur gas juga tak disangka seterika). Sepanjang tinggal di sini, kami meminta reception memanggil teksi Blue Bird kerana tidak mahu ditipu dengan harga teksi yang melampau.
Kami menuju ke Pasar Baru dan tiba jam 300 petang. MasyaALLAH, saya sudah rambang mata. Semua saya nak angkut tetapi masa begitu suntuk (kedai tutup jam 5.30). Awal lagi abang sudah beritahu di sini semua barang perempuan saja tapi saya buat tak endah. Sebabnya saya ni bukannya hantu shopping sangat dan boleh mengawal diri dalam hal ehwal membeli-belah ni. Tapi kat sini, saya jadi teruja. Mana taknya telekung yang cantik di Malaysia harganya RM85, tapi kat sini cuma RM20, malah telekung harga sekitar RM7 juga ada. Tudung sarimah saya angkut untuk anak kawan harganya tak sampai RM2. Jubah RM150, di sana cuma RM45. Blouse sulam pula harganya dari RM10! Baju ultraman RM5. Baju kebaya sulam tu RM30 (disini almost RM100). Itu belum lagi kain-kain lace yang malas saya nak cerita. Buat sakit hati aje... Nasib baiklah abang dah tarik saya keluar, dan ingatkan saya banyak lagi tempat lain nak dikunjungi, kalau tak, mahu ada orang tidur depan pintu Pasar Baru hari tu!!!
Sebelah malamnya giliran abang pula rambang mata. Kami singgah ke Factory Outlet Centre(F.O.C) di sekitar jalan Setiabudhi seperti Rumah Mode, Natural dan Mode Plus. Tapi paling banyak beli barang tentulah di Rumah Mode yang terkenal tu. Banyak pakaian berjenama dijual pada harga yang sangat munasabah. Semua ada di sini dari Tshirt, kasut, beg tangan hingga ke pakaian panas. Bayangkan jeans Hugo yang dibeli abang kalau di Malaysia dekat RM400, di sini cuma RM60. Winterjacket Esprit yang harga RM500 lebih di Malaysia cuma RM120, Boss blazer jacket cuma RM50 dan t-shirt Nike, Adidas, Gap, Guess, Polo, Levis, Versace, Armani cuma antara RM20 ke RM50 sahaja! Memang borong sakan...
Kami menapak balik ke apartment apabila jam menunjukkan jam 1000 malam (bila kedai dah tutup). Rupanya jauh juga kami menapak. Sampai di bilik masing-masing pancit!
Pagi jam 7.00 kami bertolak ke Tangkuban Perahu. Pada mulanya kami bercadang untuk membeli pakej Tangkuban Perahu di Matta Fair, tetapi harganya yang mahal (RM180 per pax atau RM360 untuk 2 orang) membuatkan kami tidak jadi membeli pakej itu. Namun alang-alang sampai ke Bandung, rugi pula jika tidak melihat ikon Bandung itu, lagipun kami tidak pernah melihat dan merasai suasana gunung berapi. Apa salahnya ke sana buat pertama kali. Jadi, dengan menggunakan teksi Bluebird kami ke sana. Bayaran teksi cuma 180,000 rupiah (RM80) pergi, tunggu dan balik.
Di entrance kami perlu bayar 35000 rupiah (RM12). Sampai di sana jam 8.15 pagi dan kami merupakan pelancong pertama sampai! Maka berpusu-pusulah penjual bermacam barang menyerbu kami untuk menjual gelang, manik, keychain dan lain2, tapi pesanan pemandu teksi supaya tidak membeli sebarang barang yang dijual membuatkan kami berhati2. Ini kerana barang2 tersebut dijual berkali ganda dripada yang dijual di Pasar Baru.
Melihat panorama indah kawasan gunung berapi Tangkuban Perahu memang menakjubkan. Kami mengambil seorang guide yang tiba2 saja muncul untuk membawa kami berjalan ke dalam kawasan gunung berapi yang sudah mati itu. Harga guide dalam 150000 rupiah sejam utk 2-5 org (okaylah dalam RM60). Penat tapi berbaloi.
Selepas ke Tangkuban Perahu, kami menyambung shopping di beberapa F.O.C lagi. Disebabkan kami tidak ada peta, kami sekadar bertanya kepada orang awam. Satu yang kami pelajari, orang di sini agaknya biasa berjalan kaki. sebab itu bila ditanya mereka katakan dekat saja sedangkan hakikatnya mak datuk jauh. Jadi kami memang membuang masa berjalan ke destinasi yang dikatakan dekat banget itu!Kali ini di Jalan Dago dan jalan Riau pula. Rasanya hampir semua F.O.C kami singgah. Pencarian saya pada beg tangan dan kasut tidak kesampaian kerana hanya ada satu kedai (sebelah kedai kek Kartika Sari) yang menjual seleksi barangan kulit yang original, sedangkan barangan kulit yang lain adalah tiruan (tetapi tiruan pun kualitinya cantik). Harganya Rp 1 juta selepas diskaun. Jadi saya fikir, lebih baik saya beli di Malaysia kerana harganya lebih kurang sama dan pastinya yang betul-betul ori).
Malamnya kami ke Paris Van Java, sebuah pusat membeli belah terbesar di Bandung. Gabungan Sogo, Carrefour dan banyak lagi kedai2 branded menjadikan pusat ini sangat sibuk dengan manusia. Namun, bila tiba masa untuk pulang, memang masalah sebab kami tidak dapat cari teksi dan akhirnya kami gamble dengan naik angkutan yang tidak diketahui arah tujunya. Alhamdulillah, sampai juga ke hotel.
Memang percutian kali ini amat singkat. Namun, ini bukanlah kali terakhir saya ke Bandung. Jika ada rezeki, saya akan sampai lagi. Bandung, wait for me...

16 April 2008

Bandung : Shop Till You Drop!

Shopping hari pertamaShopping hari kedua
Rasa macam jutawan, bawa duit juta-juta dan belanja macam orang tak ingat dunia. Bandung memang syurga membeli-belah. Dan rasanya kaki saya yang terhinggut-hinggut dua tiga hari selepas balik dari Bandung cukup menceritakan bagaimana berjalan sakannya saya membeli-belah. Sampai sekarang masih teringat-ingat barang-barang kat sana. InsyaAllah bulan Ogos nanti saya bercadang nak ke sana lagi. Nak memborong lagi.

07 April 2008

Al Fatihah untuk Firwance

"Firwance dah tak ada kak... Firwance dah tak ada..." Panggilan dari Erna petang Sabtu lalu membuatkan saya tersentak.
"Erna cakap apa ni..." Saya bertanya sambil tergagap-gagap.
"Firwance dah tak ada kak, Firwance dah meninggal... eksiden..." Sambil teresak-esak Erna menggagahkan dirinya memberikan saya jawapan yang terlalu sukar untuk dia lafazkannya.
"Innalillah... bila Erna?" Air mata sudah mula mengalir ke pipi. Terbayang di mata saya wajah Firwance. Nama arwah pernah saya abadikan di dalam novel Lakaran Kasih. Arwah berusia 29 tahun. Terlalu muda untuk meninggalkan seorang isteri dan 2 anak lelaki comel yang begitu disayangi.
"Tengahari tadi. Dia konvoi eksiden motor di exit Pagoh." Suara Erna yang semakin tenggelam itu menyukarkan saya memahami butiran percakapannya.
"Sabar Erna...banyak sabar... Erna SMS alamat, sekejap lagi akak sampai. Erna sabar yer...." Saya hanya mampu katakan itu. Selebihnya air mata saya sudah tidak tertahan lagi. Pemergian Firwance memang langsung tidak diduga, tiada tanda.
Rasanya dengan cerita itu dan kesihatan Hariz yang terganggu sudah memberikan makna saya menyepikan diri dari dunia luar buat seketika. Bagi rakan-rakan yang menantikan saya membuat laporan percutian saya di Bandung, harap sabar menanti kerana saya masih berkabung. Sedekahkanlah Al Fatihah untuk arwah Mohamad Firwance Basri yang telah meninggalkan keluarga tercinta pada hari Sabtu 5 April 2008. Juga titipkanlah kata-kata semangat untuk Ernaleza Mahsum dan anak-anak di http://anakbunga80.fotopages.com/.
Semoga sahabatku ini tabah mengharungi dugaan TUHAN. InsyaALLAH, kami akan sentiasa di sisi di saat Erna memerlukan...

Pesta Buku Tanpa Laila Kamilia



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 sedang berlangsung di PWTC dari 4 hingga 13 April 2008. Tahun ini Pesta buku agak kurang promosinya, mungkin kerana ia diadakan di luar musim cuti sekolah. Apapun, masih ada masa untuk ke sana. Dan walaupun kali ini tiada Laila Kamilia di pesta buku, Laila akan tetap ke sana bagi menyokong perjuangan rakan-rakan di sana. Kejayaan rakan-rakan adalah kemanisan buat diriku...
Jumpa di sana...

04 April 2008

first day @ school Hakimy



Umur 2 tahun Hakimy dah ke sekolah... Kesian dia tapi apakan daya, ibunya bekerja. Hakimy mulai ke sekolah minggu lepas. Gambar-gambar ini saya rakam secara senyap. InsyaAllah tak lama sayang.... Lima bulan lagi, mama akan sentiasa ada di sisi.

02 April 2008

Prison Break Season 3: Pengembaraan bermula...

Peminat Wenworth Miller tentunya akan melekap di depan kaca tv setiap Isnin jam 10.30 malam apabila Micheal Scolffield dan rakan-rakan memulakan aksi Prison Break yang dijanjikan lebih mencabar. Mulai 31 Mac lalu, tempahlah kerusi kelas 1 di depan kaca tv anda. 8TV telah memulakan tayangan Prison Break Season 3 tepat jam 10.30 minit malam.

Prison Break musim pertama bermula dengan rancangan Michael Scofield merompak di bank semata-mata untuk menempatkan dirinya satu penjara di Fox River untuk menyelamatkan abangnya yang disabit kesalahan membunuh adik Presiden US. Menariknya beliau yang merupakan jurutera yang melukis pelan penjara itu telah membuat tatoo di tubuhnya yang menyimpan rahsia kunci kepada segala rancangan yang diatur rapi untuk membawa abangnya keluar dari Fox River, sebuah penjara yang paling ketat kawalan keselamatannya.

Di musim kedua memaparkan pelarian Michael Scoefield dan kehidupannya dalam buruan yang menjadikan dia dan 7 orang banduan lagi yang melarikan diri bersamanya the most wanted person in America.
Kini di musim ke-3, Scoffield kembali lagi dengan dirinya kini berada di dalam penjara bernama Sona di Panama dan pastinya unsur-unsur suspen akan terus bermain di dalam musim ini seperti musim2 yang lalu.
Jangan lupa temujanji kita dengan Miller setiap Isnin, 10.30 malam, 8TV.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...