Memaparkan catatan dengan label Hardy Zahidy. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hardy Zahidy. Papar semua catatan

26 September 2011

Selamat Ulangtahun ke 10 Hardy!

Ogos telah berlalu kini September datang. Kalau bulan Ogos, Hana dan abang sambut hari jadi, September menjadi giliran Hardy. Pejam, celik sudah 10 tahun umur anak sulung saya. Kalau berjalan di sebelah sudah hampir sama tinggi. Ya, empunya nama Hardy Zahidy Fadly ini memang tidak disangka akan besar dan tinggi seperti hari ini. 10 tahun yang lepas pada 16 September, dia lahir di Teluk Intan. Walau bagaimanapun, selepas sebulan, beliau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan kerana disyaki menghidapi VSD, sejenis masalah berkaitan jantung. Semenjak itu IJN sudah menjadi rumah nombor dua kami. Beliau menjalani pembedahan jantung pada  usia 5 tahun. Sedikit pengalaman mengalami VSD, ada saya titipkan dalam novel saya Lakaran Kasih. Alhamdulillah kini dia sudah disahkan sihat dan dapat menjalani kehidupan normal.

Ya, siapa sangka, anak yang sakit-sakit itu sudah sebesar ini. Ya, dia adalah anak yang tabah. Sekalipun dia tahu, dia akan mengidapi VSD jika lahir ke dunia, dia tetap mahu menjadi anak Haslina dan Aedy Fadly, memberikan kami peluang untuk menjadi mama dan abah. Jika dia tidak tabah, pasti dia merungut semasa setahun setengah berada di Berlin. Bersekolah bersama kanak-kanak yang bahasanya langsung tidak difahaminya di kelilingnya. Dia memang anak yang tabah, kerana tidak sekalipun mukanya masam, memprotes tidak mahu ke sekolah.

Untuk anak yang setabah ini....., mama dan abah ingin memberitahu bahawa betapa kami sangat menyayangi dirimu. Selamat hari jadi ke 10 anakku. Jangan tinggal solat. Semoga hari depan menjanjikan hari yang indah dan mendamaikan!

ps-Tahun ni, kami meraikan besday Aid di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang

24 Oktober 2010

Anak gadisku dan Ultraman

Ultraman sudah menjadi hero dari zaman dolu-dolu sampailah zaman anak-anak kita sekarang. Entah dah berapa keturunan dah ultraman ni....dah jadi lagenda. Ultraman ni dah jadi hero kesayangan tak kira bangsa. Baru-baru ni saya sempat bawa 2 anak teruna saya ke sesi Ultraman bertemu Peminat, kali ini di The Mines, Seri Kembangan. Disebabkan sudah banyak sangat kali bergambar dengan Ultraman, saya awal-awal lagi pesan dengan 2 jejaka tu supaya tengok aje tapi x nak bergambar. Bukannya apa, barisan peminat Ultraman itu terlalulah panjangnya.

Tengahari itu kami sampai awal, jam 12.00 tgh seperti yang dijadualkan tetapi sakit hati sebab tidak diberitahu yang Ultraman hanya akan muncul jam 2.00 ptg. Jenuhlah kami menunggu disajikan dengan lagu-lagu persembahan kanak-kanak Cina. Penganjur memang tidak sensitif dengan keperluan peminta Ultraman berbangsa selain Cina yang memang ramai kat depan pentas tu. Sudahlah persembahannya dalam bahasa Cina, patutnya pengacaranya cakaplah bahasa Melayu juga tapi cakap Cina dan bahasa Inggeris. Saya bukannya anti perkauman tetapi saya hairan dengan ketidakpekaan penganjur kepada saranan PM Najib yang mahukan konsep 1 Malaysia. Mujurlah pengacara di acara kemuncak ada bertutur dalam bahasa Melayu juga berselang-seli dengan bahasa Inggeris. Cukup saya tak faham. Agaknya inilah kali terakhir saya bawa budak-budak ni bertemu Ultraman. Nak boikot!

Bercerita pasal Ultraman, Hana di rumah juga sudah mula berjinak-jinak dengan Ultraman disebabkan abang-abangnya suka Ultraman. Hehehee....saya kena lakukan sesuatu ni....kena bagi benda lain ni....Takut anak gadis saya jadi Ultrawomen plak nanti...hehehehe

19 Oktober 2009

Buaian

Saya memang tak berapa gemar dengan buaian untuk anak kecil. Kenapa? Semasa saya kecil, sebagai anak yang paling sulung, pastinya saya kena membantu ibu menjaga adik-adik. Paling saya tidak suka tentulah mengenjut buaian adik. Penat betul tangan mengenjut buaian adik untuk menidurkannya. Kadang-kadang memakan masa berjam juga jika angin adik tidak berapa baik hari itu (rasanya Azham lagi susah hendak ditidurkan dari Hafis). Penat tangan mengenjut buaian berspring itu hinggakan kadang-kadang memang angin kerana dalam kepala hendak ikut kawan-kawan bermain tetapi kena pula membantu ibu mengenjut buaian. Sudahnya buaian itu dihenjut berkadar langsung dengan emosi marah... Mujurlah di bawah kepala adik diletak bantal. Jadi kalau saya henjut kuat, tak adalah terkena lantai.

Semasa Hardy merengek-rengek payah nak tidur, mak terus saja minta abah beli tali hendak buat buaian katanya. Tali rafia disangkut dengan spring buaian peninggalan adik bongsu saya (mak saya memang cermat menyimpan barang-barang lama). Bergoyang-goyang alang rumah menyangga berat Hardy dan diapun sedap tidur. Mak saya tersengih-sengih seronok kerana cucunya tidaklah menangis lagi. Sambil menidurkan Hardy mak mengasah bakat menyanyi...menidurkan cucunya dengan lagu turun-temurun kami kecil dahulu.

Tapi satu masalah besar timbul. Bila nak tidur aje, Hardy mesti nak buaian. Bila tak ada buaian Hardy susah nak tidur. Hardy dan buaian sentiasa berkadar langsung. Memang tak boleh dipisahkan. Bila dalam perjalanan jauh berkereta memang menyusahkan. Kalau kereta bergerak tidak mengapa. Tapi kalau kereta berhenti kerana lampu isyarat, terpaksalah mak dia ni menghenjut kereta supaya bergoyang...hahaha memang pengalaman melucukan. Mujurlah masa itu kereta kami hanya kereta kancil. Goyang sikit dah bergerak. Masa tu dah tak kisah orang kiri kanan asyik menoleh asalkan anak yang sedang dikendong berhenti menangis.
Kalau berjalan ke mana-mana memang kami akan bawa buaian sementelah buaian spring itu bukanlah berat sangat. Masuk dalam beg tak siapa perasan. Ia memang sudah menjadi keperluan kepada kami masa itu. Teringat semasa menginap di hotel disebabkan tiada alang maka kami menggantung buaian menggunakan alang di dalam almari....Kenangan itu memang melucukan tetapi ia mengingatkan kami berdua supaya selepas ini jangan cari pasal membiasakan anak kecil dengan buaian.

Bila Hakimy lahir, saat mak menyarankan saya memasukkannya ke dalam buaian, awal-awal lagi saya sudah angkat tangan untuk membangkang. Pengalaman dengan Hardy membuatkan saya mahu mengelakkannya berulang kembali. Lalu Hakimy hanya dikendong walau sekuat mana dia menangis. Alhamdulillah Hakimy tak memerlukan buaian untuk tidur sampailah ke besar. Letaklah di mana-mana dia akan terlelap lena.

Saat Hana lahir, saya memang tidak mahu meletakkan dia di dalam buaian. Tetapi si kecil Hana ini asyik mahu dipeluk (mungkin kerana lepas lahir terus diletak dalam dakapan ibu) maka dia mahu saya sentiasa ada memeluk dia. Masalahnya ibunya ini manusia biasa. Ada kala hendak ke tandas, ada masa hendak mengisi perut dan banyak kali terlelap tatkala menggendong dia.

Nak selesaikan masalah rasanya kami terpaksalah mengalah. Kenalah juga nampaknya dicarikan buaian. Nak beli buaian spring memang tak ada dijual di sini. Sementelah mana nak dicari alang pada rumah zaman perang ni. Nak dipos dari Malaysia? Gurau saya pada teman yang mencadang, lebih baik minta pos lemang dari buaian. Alhamdulillah terima kasih lagi kepada ebay. Inilah buaian Hana yang abahnya beli beberapa minggu lepas. Berjaya juga Hana 'berpisah' sebentar dari ibunya.

lena diulit mimpi...buaian automatik tak perlu dihenjut tangan lagi

ada muzik jadi maknya tak payahlah mengasah bakat menyanyi.... ada lampu kelip-kelip juga dan ianya boleh dilipat untuk dibawa ke mana-mana



tali pinggang keselamatan untuk mengelakkan Hana jatuh semasa mengeliat...haha

Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya orang-orang tua dulu boleh terfikir nak masukkan bayi ke dalam buaian untuk melenakannya? Sambil menulis, saya garu kepala.

27 September 2009

Makan-makan@ Wildenowstrasse 12A

Hardy dengan keknya
Senyum anak teruna saya bila dapat kek sempena hari jadinya yang ke 8. Tahun ini saya buat kek untuk dia sendiri. Balik dari sekolah bila nampak ibunya sibuk di dapur dengan kek dia dah teruja. Dia memang menanti hari jadinya ini. Jadi malam 16 September itu seperti yang diberitahu, kami sekeluarga menjemput rakan-rakan di Berlin makan-makan sempena hari jadi Hardy, iftar dan kelahiran Hana. Majlis 3 dalam 1 ini meriah juga. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi datang meraikan kami. Juga paling penting terima kasih kepada Manami yang sudi menjadi Chef memabantu saya menyediakan hidangan majlis ini.

tetamunya...

makanannya:-nasi minyak, ayam merah, daging kurma, agar-agar, bubur dan kek


hadiahnya:Hakimypun merasa main juga...

16 September 2009

Selamat Hari Lahir ke 8 Hardy

Inilah foto terkini anak teruna sulung saya Hardy. Kejap aje rasa dia dah besar. Hari ini 16 September 2009 genap 8 tahun umur dia. Teringat lagi saat kelahirannya, saya sendirian kerana jururawat bertugas sibuk menguruskan orang sebelah. Saat doktor memberitahu yang dia menghadapi conginetal heart failure, saya tenang menerimanya hingga doktor terpaksa mengulang kembali pernyataannya bila melihat reaksi dari air muka saya. Betapa anak lelaki saya ini berjuang untuk meneruskan hidupnya dengan ubat dan pembedahan. Alhamdulillah Allah memberikan saya dan suami kekuatan menghadapi dugaan ini bersamanya. Tidak setitik air mata saya tumpah di hadapannya demi menunjukkan saya seorang ibu yang tabah walau tembok ketabahan hati ini sering runtuh melihatkan wayar-wayar yang berselirat melingkari tubuhnya, mahupun tangisannya tatkala menahan kesakitan.

Saya bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Tuhan menatap wajahnya lagi hingga usianya begini. Tatkala merenung wajahnya yang lembut dan penuh kasih sayang pada adik-adiknya terasa tenang di hati saya. Agaknya inilah yang dikatakan orang tua-tua sejuk perut ibu mengandung. Saya mendoakan agar dapat melihat Hardy sentiasa sihat hingga ke hujung nyawa saya. Untuk anak mama, Selamat Hari Lahir ke Lapan. Semoga menjadi anak yang soleh! Amin.

22 Mac 2009

Amaran! Hati-hati Bila Membaca Balasan YM Laila!


Tinggal beribu-ribu batu dari tanah air membuatkan hubungan saya dengan keluarga dan teman-teman terhad. Hanya emel dan YM menghubungkan jarak yang jauh antara kami. Namun faktor masa, membuatkan kadang-kadang kami tidak dapat berbual lama. Beza waktu Berlin-K.L adalah 7 jam (day light saving time) atau 6 jam (waktu biasa). Ini bermakna bila saya baru bangun untuk bersarapan pagi jam 6 atau 7 pagi, anda di Malaysia sudahpun habis makan tengahari dan bagi yang kuat makan, mungkin sudah tidak sabar menunggu waktu minum petang pula. Perubahan masa itu sentiasa berubah-ubah dengan perubahan musim di Berlin.

Semasa Hardy sudah pandai membaca, sekitar umurnya 6 tahun, saya pernah membuat entri tentang dia sudah pandai menghantar SMS melalui telefon bimbit saya. Kali ini pada usianya belumpun sampai 8 tahun, Hardy belajar sesuatu yang baru.... YM.....

Bagaimana dia boleh mendapat ilmu baru ini? Disebabkan kebosanan di rumah (nak keluar bermain sejuk dan siaran TV dalam Deutsche) maka saya izinkan dia melayari internet. Dia paling suka tengok YouTube melihat Ultraman, Sin Chan, Upin dan Ipin, Doraemon dan siaran-siaran Astro macam Hikayat Putra Shazlan dan Geng Bas Sekolah. Jadi kadang-kadang bila ada teman-teman yang Buzz! saya di YM dia akan tolong nak jawab. Jadi sekiranya jawapan kepada sapaan anda di YM itu berbunyi ala-ala begini:-
-ejaan dan tatabahasanya sangat skema menggunakan bahasa Malaysia standard cth: Saya sedang makan di dapur bersama Hakimy
-tanpa ada penggunaan ringkasan perkataan cth: Di Malaysia sudah pukul berapa?
-Buzz! banyak kali bila anda tidak menjawab balik
-simbol-simbol YM seperti ketawa, sedih etc banyak dihantar kepada anda
-bila berlaku kesalahan ejaan, balasannya akan ditulis dari perkataan pertama hinggalah ke perkataan yang salah/ hingga habis ayat keseluruhan cth: Saya akan bersembang dengan awak pukul 3 nanti, sedangkan perkataan yang salah dieja yang perlu dibetulkan mungkin perkataan bersembang sahaja

Jadi, sekiranya anda menerima balasan YM dari saya hati-hatilah. Sudah ramai yang terpedaya. Jika saya tidak memberitahu kepada mereka, mereka ingatkan yang sedang berYM dengan anda adalah saya tetapi sebenarnya Hardy. Tetapi setakat ini, dia memberitahu saya siapa yang sedang menegur saya di YM. Seringkali juga di waktu saya sedang tidur dia mengejutkan saya dan memberitahu anda sedang bertanyakan sesuatu kepada saya. Kebiasaannya saya akan meminta dia menaipkan jawapan saya kepada anda...Hehehe... saya yang bersalah sebenarnya... Lain masa, bolehkah anda teka siapa yang sedang menjawab YM anda... saya atau dia???

12 Februari 2009

Nettbook 3 bulan... Ingatye Hardy!



Ingat lagi notebook di atas? Saya pernah membuat entri pasal nettbook Asus Aspire One yang abang belikan konon-konon nak bagi semanangat pada isterinya ini hendak berkarya...Hehehe. Apa sudahnya dengan nettbook yang baru 3 bulan dibeli itu?

Inilah sudahnya! Hardy terjatuhkan nettbook itu lalu cecair LCD monitor itu pecah.... Tak tahu nak kata apa. Nak kena rotan pun bukan boleh dapatkan balik nettbook tu. Sayang memang sayang, tapi sudah tentu sayang anak tu lebih lagi....
ps-gambar ini diambil supaya bila Hardy besar nanti, dia akan ingat pernah merosakkan laptop yang baru dibeli 3 bulan semasa berusia 7 tahun....hehehe.

24 Januari 2009

Hardy ersten Tag in der Schule

First Day @ School! Akhirnya setelah 3 bulan bercuti panjang, Hardy dah mula sekolah pada Dienstag (hari Selasa) 20 Januar 2009. Dua hari yang pertama abang yang hantar, hari ini bermulalah rutin saya menghantar dan menjemput dia pulang. Rumah dengan sekolah tak jauhpun hanya seberang jalan tapi sebab kena melintas, maka saya akan menjemput dia pergi dan balik....
Hardy posing depan pagar sekolah
Hardy posing depan pintu utama sekolah

banyaknya hasil lukisan murid ditampal di dinding sekolah

Pengalaman saya? Sukar nak dijelaskan. Saya hanya cakap Ich nicht sprechen Deutsch, maksudnya saya tak boleh cakap Deutsch. Dan dia balas Ich nicht sprechen English. Jadi? Korang bayangkan sendirila....Macam itik cakap ngan ayam...
Bila Hardy bali tunjuk buku dan hasil kerja sekolah dia, saya senyum aje. Sebabnya Hardy kelas 1/2d maksudnya ia kelas campuran kanak-kanak 7 dan 8 tahun....Sudahpun nak masuk separuh tahun, rupa-rupanya mereka baru belajar melakar dan mengenali huruf N. Kalau di Malaysia, masuk darjah 1 murid sudah boleh membaca, tapi di sini masuk darjah 2 baru hendak mengenal huruf. Bila sudah masuk 10 tahun baru subjek English diperkenalkan. Jadi pendidikan di sini mudah supaya murid-murid tak tertekan. Tapi mereka banyak aktiviti di luar seperti menonton wayang dan teater, pementasan, lawatan dan sebagainya. Cuma aktiviti seni dan kreatif terutamanya lukisan sangat ditekankan supaya mereka berfikir kreatif....
Jadinya saya harus bijak mengatur jadual Hardy supaya bila balik ke Malaysia darjah 3 nanti, dia tak masuk kelas paling corot....

24 Oktober 2008

Dua Wajah Berbeza

Gaya santai anak bujang saya. Macam tak de apa masalah je...


Memang ada gaya orang sakit.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Franfurt malam itu memang memberi dua cerita berbeza. Buat si abang, perjalanan ini begitu mengembirakan. Dia betul-betul menikmati layanan yang disajikan di koc kelas perniagaan itu. Makan, main games, tengok movie dan tidur sedap.

Buat si adik yang kebetulan demam, malam itu memang dia buat perangai. Sekejap-sekejap dia terjaga. Mengiring salah, meniarap lagi tak kena. Akhirnya dia hanya lena betul-betul pada 1 jam terakhir perjalanan 12 jam itu. Itupun sebelum boleh diletakkan di kerusi, dia hendak tidur di atas dada abah atau mamanya. Kami bergilir-gilir menjaganya.
Tapi saya harus berikan pujian kepada krew MAS yang begitu prihatin kepada Hakimy. Sekejap-sekejap datang bertanyakan khabar. Tuala di dahi Hakimy sentiasa digantikan dengan yang baru beberapa jam sekali. Siap bagi panadol lagi (sebab ubat di dalam kargo). Mereka menawarkan pertolongan semasa mendarat di Frankfurt untuk membawa Hakimy ke farmasi tetapi kami menolaknya (atas sebab yang tidak dapat kami nyatakan di sini). Terima kasih atas layanan dan keprihatinan anda!
Kami mengucapkan syukur kerana sebaik mendarat di Frankfurt, Hakimy sudah kembali ceria. Sepertinya malam tadi itu tiada apa-apa yang telah berlaku dan langsung tidak mengganggu istirehat mama dan abahnya.... Saya dan abang tersenyum. Memandang mereka walau penat bagaimanapun tubuh, terasa bahagia....merekalah penyejuk mata, penenang jiwa...

08 Jun 2008

Kungfu Panda Mania!

Panda yang boleh berkungfu.... cerita ni memang kelakar. Boleh release tension...
Hardy dan Hariz menyertai pertandingan mewarna Kungfu Panda
Suasana meriah di Mid Valley sempena Kungfu Panda
Panda menunjukkan skil berkungfu dan menari
Sempat bergambar dengan hero ni

Sabtu lepas saya dan keluarga menghabiskan masa separuh hari di Mid Valley semata-mata untuk bertemu hero Kungfu Panda. Kami tiba awal pagi 10.45 pagi untuk menyertai pertandingan mewarna. Seramai 22 orang kanak-kanak menyertainya. Dari pemerhatian saya majoriti (15) adalah kaum Cina, 5 Melayu dan hanya 2 India. Mereka bersedia dengan peralatan mewarna dan ada juga yang bawa meja sekali. Begitu bersemangatnya ibubapa membawa anak-anak menyertai pertandingan dan memberi sokongan moral kepada anak-anak ini. Awal-awal lagi, saya memang tidak meletakkan harapan untuk menang. Sekadar suka-suka. Bak kata seorang kakak, "tak apa, beri pendedahan" apabila saya mengatakan Hariz ikut sibuk mewarna, hanya menyonteng saja (aksi Hariz mencuit hati beberapa penonton, mungkin sebab dia antara peserta terkecil).
Habis mewarna, kami melihat aksi silap mata dan pertunjukan kungfu dan tarian si Hero, Panda. Lepas bergambar kami menghabiskan masa menonton Kungfu Panda. Satu hari indah yang penuh memori dengan Panda!

04 Jun 2008

Bertemu Ultraman




Cuti sekolah ini, mak budak dah jadi tak berapa mak budak. Dah serupa aje mak dengan anak... Tak percaya tengoklah gambar-gambar ni....


Bersama Ultraman Max dan Raksasa di Jusco Cheras Selatan pada 24 Mei 2008



Bersama Ultraman Nexus di Sg. Wang Plaza pada 31 Mei 2008


Anak-nak saya memang gemarkan Ultraman. Hero mereka. Dan ultraman boleh jadi duta keamanan kerana ia tidak mengenal sempadan agama, bangsa juga negara. Peminat Ultraman merata di seluruh dunia walaupun ia hanya boleh menjadi hero di Jepun sahaja.... kerana raksasa hanya ada di Jepun!


Dulu-dulu Hardy lebih gemarkan raksasa dari Ultraman... Pelik, yang kita tak suka yang itulah yang dia suka....tapi bila difikirkan kembali, kalau semua orang suka tengok Ultraman siapa pula yang nak tengok Raksasa. Dia pernah menangis hanya kerana raksasanya kalah pada Ultraman.


Di rumah, ada macam-macam Ultraman. Masa keluar dengan Lynn Dayana, dia pun naik sama hairan sebab seperti saya, dia hanya tahu Ultraman aje...tak sangka Ultraman ada banyak...malah Ultraman perempuan pun ada... Minat Hardy menjangkit pada Hariz. Tanyalah pada dia nama Ultraman semua dia tahu....Ini Ultraman Max, Leo, Tiga, Tiga Dark, Nexus, Gaia, Dyna dan entah bermacam mak nenek Ultraman lagi... Kalau dikira jumlah RM yang dilaburkan membeli koleksi patung dan VCD, rasanya memang cukup tambang Ultraman nak datang ke Malaysia lagi cuti sekolah nanti....

26 April 2008

Pertama kali bergelap



Kasihan! Itu perkataan yang paling sesuai digambarkan kepada anak-anak saya yang pertama kali merasa pengalaman bergelap kerana tiada elektrik di Bandar Seri Putra pada hari Isnin 21 April lalu. Bukan tidak pernah bergelap bagi Hardy sebab sebelum ini kami tinggal di Putrajaya. Di sana kalau tiada elektrik, hanya 10 minit ataupun kami diberitahu melalui surat awal-awal lagi. Jadi penduduk sudah sedia dan biasanya bila tiada elektrik kami keluar sehinggalah elektrik ada semula.
Berbeza di sini, kami menjadi penduduk biasa lain, tidak seperti bandar elit Putrajaya yang segalanya pantas dan efisien itu. Jadi anak-anak saya terpaksa bergelap dalam tempoh masa yang agak lama (dari jam 6.30 hingga hampir 9.40 malam!).

Saya tergelak tengok anak-anak yang berpeluh macam orang main bola kat padang walau hanya 10 minit berpanas. Tingkap dan pintu yang terbuka menyebabkan namuk masuk dan mereka mengadu sakit kena gigit nyamuk.

Terkenang zaman kanak-kanak saya dulu yang memang tiada bekalan elektrik. Berlilin dan berpelita sudah jadi perkara biasa. Hingga terbakar leher (masih ada kesan sampai ke hari ini) dan lubang hidung berjelaga kena asap pelita. Tiada istilah panas sebab memang hari-hari tak pernah ada kipas angin apatah lagi air-cond (dalam mimpi pun tak pernah masuk, nak merasa nyamannya air-cond). Paling boleh dibuat kipas kertas!
Saya memang kesian tengok anak-anak saya. Terlalu manja dan mewah rasanya. Hinggakan bila tiada elektrik beberapa jam sudah huru-hara. Rasanya anak-anak anda begitu juga. Agaknya kalau tiba-tiba negara kita kena serang tengah malam buta, bekalan elektrik terputus, bagaimana anak-anak kita menangani krisis jika tiada elektrik sekejap dah huru-hara begitu? Minta dijauhkan bala itu!

12 Mac 2008

Saya Budak Baru Belajar


Hardy sedang belajar menghantar SMS. Sebelum ini dia sudah pandai menelefon abahnya. Paling dia suka menelefon abah dan memberitahu "Abah terkena panggilan hangit!" Masa tu pantang ada peluang dia akan telefon abahnya hatta abahnya di dalam bilik tidur di tingkat atas sedangkan dia di tingkat bawah.

Terkini bila dia sibuk belajar menghantar SMS, saya jadi pening kepala. Macam-macam SMS yang dihantarnya. Antaranya adalah seperti yang di bawah (sila abaikan jika ada kesalahan ejaan kerana dia baru masuk darjah 1 tak sampai 3 bulan).
Mama suke ke kalau ade kawan - SMS itu dihantar ketika saya sedang rancak bersembang dengan Dhiya Zafira yang kebetulan tidur di rumah malam itu.
Mama aid mintak maaf kerana aid bagi mesej dekat kawan mama - Dia bagi bila saya membebel marahkan dia yang pandai-pandai hantar SMS kepada kawan-kawan saya yang ada dalam inbox SMS.
Apa abah kecoh-kecoh. Aid pun tak kecoh-kecoh - SMS tu dia beri pada suami saya yang tak tahu apa-apa. Bila ditanya dia jawab saja-saja....
Banyak lagi SMS yang dikirim Hardy. Maknya pening kepala sebab hujung bulan nanti nak membayar bil Celcom. Dalam hati, diajar salah, tak ajarpun salah. Anak zaman sekarang kalau pasal teknologi memang cepat aje dapat. Nak marah salah, tak marahpun salah....

Bercuti di Kampung






Tak sabar menunggu cuti sekolah bermula. Memang dah lama merancang nak bawa anak-anak merasa pengalaman tinggal di kampung beberapa hari sempena cuti sekolah ini. Memang menjadi amalan sebelum tidur, saya dan anak-anak ada sesi bercerita. Cerita-cerita saya biasanya berkisar pada pengalaman hidup semasa kecil, cerita rakyat dan cerita fiksyen (yang direka sendiri). Kadang-kadang bila dah penat bercerita atau sudah kering idea, Hardy pula akan bercerita tentang kisahnya.
Lalu pada musim cuti sekolah ini saya memberi peluang kepada anak-anak merasa sendiri pengalaman yang pernah saya ceritakan kepada mereka. Kira praktikum lah ni!
Saya membawa anak-anak memancing. Dari mencari cacing untuk dibuat umpan memancing, hinggalah proses memancing. Kelakarnya penat menunggu sekor ikan pun tak nak naik....hanya acah-acah saja. Budak-budak tu juga seronok berlari dalam kebun limau atuknya sambil memetik buah limau.
Saya bawa Hardy keliling kampung membonceng basikal tua, mengejar ayam dan menziarah guru dan keluarga angkat saya.
Satu kemahiran yang Hardy dah master cuti kali ini. Menampar nyamuk! Kelakar! Almaklum anak bandar. Jumpa nyamuk jarang-jarang. Bila nyamuk gigit menangis. tapi kali ini dia dengan bangganya menunjukkan kepada saya hasil tamparannya! Saya cukup puas hati sebab selama ini dia memang cukup fobia dengan nyamuk.
Saya selalu kata kasihan budak-budak sekarang, tak merasa pengalaman hidup di kampung. Celik-celik mata dah ada kereta, dah ada PS2 dah ada taman permainan. Terfikir berapa ramai kanak-kanak sekarang yang tak pandai menggagau ikan, memanjat pokok, bergayut di hutan, menganyam mengkuang dan daun nipah. Malah merasa digigit lintah atau pacat. Balik kampung pun berkurung dalam rumah. Kasihan.... Orang dulu semua rasa, malah boleh survive juga dengan internet dan segala macam mak nenek kemudahan IT. Agak-agak bertahun-tahun dari sekarang, ada lagi tak ayam kat kampung???

22 Februari 2008

Lukisan Hardy di Internet!



Kelakar pulak bila si Yana beria-ia mengupload lukisan Hardy di http://illianaazizan.blogspot.com/. Inilah lukisan yang tak seberapa itu tapi begitu dihargai...Terima kasih Yana. You're still the best sister I ever had.

17 Februari 2008

Sepetang di The Mines Shopping Centre

Tengahari itu kami merancang berjanji temu. Tengahari Jumaat, tidak ramai yang mundar-mandir di kompleks membeli-belah yang terletak di Seri Kembangan itu kecuali wanita, kanak-kanak, lelaki 'uzur' dan musafir, serta yang bukan Islam. Asalnya saya berjanji temu jam 1.00 tengahari tetapi Fuza memberitahu terpaksa menunggu Fiza yang akan merempit dari Kuala Kubu Baru (dah penat tulis nama atas batu!). Asalnya kami akan bertemu 6 orang tetapi di akhir minit Dalilah sakit mata dan dua jejaka Malaya yang akan turut sama selepas solat Jumaat ada komitmen lain. Penat juga menunggu hingga 2.30 sebelum nampak batang hidung 2F.


Kami dua beranak habis meronda satu The Mines. Mula-mula ke kedai kasut, ke McD, bowling, surau, kedai CD juga ke tandas sampai 3 kali! Aktiviti terakhir sementara menunggu 2F itu, kami memberi ikan makan di tasik tinggalan lombong yang dijadikan tarikan pelancongan itu. The only shopping mall that you can sail into- seperti mottonya. Di atas tu gambar Hardy bergumbira memberi ikan makan. Habis satu plastik roti dibaginya ikan makan. Geram sungguh bila tengok ikan besar-besar betis berebut makanan. Agaknya kalau jatuhlah kita kat dalam tasik tu, alamat bersepailah daging kita digigit ikan-ikan yang kelaparan itu.

Kami pulang jam 4.30 petang, tetapi Hardy kena ikut ibunya ke satu lagi temujanji (facial treatmentlah pulak). Kesian anak teruna saya yang kena jadi P.A kepada ibunya sejak bersekolah ini. Ke sana-ke mari kami selalu berdua. Hinggakan bila beli baju atau kasut saya akan bertanyakan kepada dia, cantik ke tidak. Seronok juga bila dia sibuk memadankan ibunya dengan baju dan kasut terbaik pada pandangan matanya (saya bagi dia latihan awal untuk pilihkan isteri dia nanti, hahaha). Tetapi bukan mudah untuk membuatkan mulutnya senyap untuk mengajak saya pulang segera, habislah petang itu saya mengupahnya dengan aiskrim McD, ayam panggang Kenny Rogers, jam tangan Spiderman, DVD PS2 Ultraman 3 dan 2 buah buku cerita... Mmm... rasanya barang dia lagi banyak dari barang ibunya.....

12 Februari 2008

Transformasi Sunway Pyramid






Laila sudah parah. Tak cukup datang dengan abang, kali ini kedua-dua anak terunanya diangkut sekali ke Sunway Pyramid. Agaknya Laila sudah jatuh hati pada Sunway Pyramid yang serba-serbi indah itu. Aduhai!
Kami pusing-pusing tapi tak habispun satu Sunway Pyramid kami sudah penat. Tujuannya ke sini kerana mencari permata hati wanita.... Dua tiga kedai yang kami kunjungi asyik bertanyakan "Untuk bertunang ke?" ataupun "Untuk occasion apa?" Nampak sangat kalau kita nak beli barang tu untuk hari-hari yang istimewa. Dan bila menjelangnya Velentine maka orang ingat kita pun nak sambut Valentine juga padahalnya satu hari Valentine pun saya tak pernah nak sambut....
Rasanya saya akan ke sini lagi... sebab apa? Saya belum jengah lagi ke tempat yang saya suka sangat membeli belah...Jusco! Tunggulah nanti.... saya pasti akan ke mari lagi....
p/s : pesanan untuk abang, sedia-sediakanlah duit yang cukup untuk isterimu ini....

The Lost World of Tambun (Part II)

Hakimy bermain air di Waterfall Beach Garden yang luas dan berombak
Explorer Ship-tarikan terbaru yang baru dibuka pada cuti Tahun Baru Cina
Sempat merakam gambar dari Lost World Train setelah penat seharian di air
Batu kapur berusia lebih 400 juta tahun
Dragon Flights- tak boleh pakai selipar kalau tak entah kepala sapa yang kena

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...