15 April 2009

KEMBARA EROPAH: Belanda (Holland) I - Volendam

Perjalanan kami bermula seawal 6.30 pagi pada 4 April 2009 tetapi matahari sudah menunjukkan wajahnya di kaki langit. Syuruk memang awal kerana kami sudah meninggalkan Winter. Cuaca tidaklah sejuk sangat, sekitar 18 darjah tetapi angin pagi yang bertiup membuatkan sesekala kami terasa kesejukan. Kami menaiki kapal terbang tambang murah Transavia milik Belanda dari lapangan terbang Tegel, Berlin.

Sekalipun tambang murah, kami dibawa menaiki bas untuk ke tangga pesawat sedangkan perjalanannya memang terlalu dekat. Tidak seperti Air Asia yang kebanyakan pesawatnya jauh dari balai menunggu menyebabkan kita terpaksa menapak agak jauh.

Masuk ke dalam kapal terbang, sekali lagi kami dipertontonkan dengan kecanggihan pesawat yang lengkap dengan skrin tv. Ternyata Transavia tidak seperti pesawat tambang murah lain seperti Ryan Air contohnya.

di dalam pesawat Transavia

mini Keukenhof di Schiphol Centraal
Kami tiba di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam kira-kira satu jam setengah selepas itu. Lapangan terbang yang sibuk ini memang luas dan besar. Kami berjalan jauh juga sebelum ke tempat mengambil bagasi. Mujurlah kemudahan seperti laluan escalator dan deretan kerusi menunggu yang banyak dapat membantu keselesaan pengguna.

Setelah menyimpan beg di tempat simpanan beg, kami mengambil keretapi ke pusat bandaraya Amsterdam. Yang tak bestnya tambangnya agak mahal iaitu kira-kira Euro7 pergi-balik dan semasa di dalam bandaraya, kami kena membeli tiket lain pula untuk menggunakan kenderaan awam di sana. One Day Ticket berharga sekitar Euro7 dan harga untuk ke tempat-tempat lain di luar bandaraya Amsterdam harganya lain pula.

Petang itu, kami merancang ke Volemdam untuk melihat kebudayaan Belanda dan kincir angin. Jadi kami terpaksa membayar Euro7 lagi untuk ke sana!



di hadapan Amsterdam Centraal

rombongan Cik Kiah di Volendam


Volendam memang kawasan tarikan pelancong di Amsterdam tetapi ramai yang tidak mengetahuinya. Perjalanan ke sana memang cantik diliputi kawasan rumput hijau dan sungai-sungai, binatang ternak seperti kuda dan biri-biri, juga rumah-rumah tradisi yang cantik. sepanjang perjalanan saya memang begitu asyik dengan pemandangannya. Di dalam hati, saya berasa begitu bersyukur kerana dapat juga menjejakkan kaki ke bumi Belanda ini.

Alkisahnya dolu-dolu semasa ditanya cik abang negara mana saya paling teringin hendak menjejakkan kaki, saya menjawabnya dengan spontan Belanda. Bila ditanya mengapa, saya katakan kepada dia yang cikgu saya pernah cerita masa di sekolah bahawa akibat perubahan cuaca dan pemanasan global, suatu hari nanti ada beberapa negara yang akan lupus dari peta dunia dan negara baru akan muncul. Negara yang akan lupus itu antaranya ialah Belanda kerana kedudukannya berada di bawah paras laut. Jadi kerana itu saya bercita-cita sejak kecil hendak ke Belanda dan alhamdulillah cita-cita itu akhirnya terlaksana juga....

Di Volendam, kami menikmati pemandangan kapal-kapal layar yang berlabuh. Kawasan ini memang cantik dan bersih. Ia adalah sebuah perkampungan nelayan.Gerai-gerai menjual cenderahati juga berderetan. Paling istimewa, walau harga barangan yang anda beli itu hanya Euro1, tuan kedai berbesar hati membalutnya dengan kertas hadiah untuk anda. Saya tidak sempat mengambil gambar dengan berpakaian Deutch kerana ketika itu Hakimy sedang tidur.


Kami pulang tanpa dapat bergamar di hadapan kincir angin kerana bas tidak boleh berhenti di kawasan kincir angin yang ada di hadapan jalanraya itu. Kami pulang ke hotel dan malam itu saya benar-benar keletihan!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...