Allah hu akbar! Allah hu akbar! Allah hu akbar! Syukur dipanjatkan kerana diberi peluang untuk merasai suasana pagi syawal 1430H. Sekalipun Syawal kali ini tanpa emak dan abah juga adik-adik dan rakan taulan, ia memberi kami pengalaman baru. Apa perasaan saya di pagi raya? Ya, memang sedih kerana tidak dapat bertemu muka dengan mereka-mereka yang saya sayangi. Terus-terang saya katakan, Aidilfitri kali ini saya menghadapi kesedihan, kesayuan dengan penafian. Saya menafikan telinga saya dari mendengar lagu-lagu raya. Saya menafikan tangan saya dari menulis kad raya (kecuali untuk ibubapa). Saya menafikan diri saya dari ingatan-ingatan terhadap kenangan indah di Aidilfitri. Apa keputusanannya? Ya, saya berjaya dari menitiskan airmata di pagi raya. Saat menelefon emak dan abah memohon kemaafan, saya berjaya mengawal perasaan sebak saya. Hurray! Saya berjaya!
syahdu Rizza mengalun takbir di pagi raya
Di perkampungan Wedding, Berlin, kami memulakan sambutan Aidilfitri setelah 30 hari genap berpuasa di Malaysian Hall, Wedding (rumah Mar dan Rizza) dengan berbuka puasa bersama-sama. Habis berbuka kami bertakbir meraikan kemenangan berpuasa sebulan dan memanjat kesyukuran kerana diberi peluang menyambut Aidilfitri sekali lagi.
Esoknya pagi-pagi kami beramai-ramai berpakaian tradisi menaiki kenderaan awam ke Kedutaan Malaysia untuk solat sunat Aidilfitri. Inilah pertama kalinya saya memakai baju kurung setelah hampir setahun di sini. Baju raya kami sekeluarga memang sudah dibeli awal-awal lagi tahun lepas. Mujurlah memang padan dengan tubuh badan anak-anak yang sudah membesar. Jadi sebenarnya bukanlah baju raya tahun ini. Baju raya dibeli tahun lepas tapi dipakai tahun ini....sebab tu tak pernah pakai sebelum ini. Sengaja disimpan untuk menyambut Aidilfitri.
siapa kata di Berlin tak ada ketupat, lemang dan rendang? segalanya ada dihidangkan
Usai solat sunat Aidilfitri, sementara menunggu rumah terbuka Aidilfitri di Rumah Malaysia, teman-teman sempat bersembang dan bermaaf-maafan sambil makan nasi lemak. Abang pulang ke rumah menjemput saya dan anak-anak yang tidak turut serta ke Kedutaan pagi itu untuk ke Rumah Malaysia (Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia ke Jerman).
kuih muih yang dihidangkan memang lazat-lazat semuanya juadah Malaysia kecuali buah-buahan 'tempatan'
bersama kak Aminah dan Manami
dapat bertemu dengan warga Malaysia yang menetap di Jerman
di tangga Rumah Malaysia
Hakimy dengan teman ultramannya Aariz Amsyar
gambar kandid yang saya suka
Setelah bermaafan dan bersalaman dengan teman-teman, mengisi perut dengan hidangan hari raya yang umph, kami bergambar pula. Penat betul hari raya itu. Mujur si kecil neynyak tidur di dalam bakulnya. Semasa kami pulang tengahari itu, tetamu masih ramai mengunjungi Rumah Malaysia. Teman-teman ada yang meneruskan aktiviti berkunjung ke rumah terbuka raya anjuran rakyat Malaysia yang sudah bermastautin di Berlin tetapi kami terus pulang ke rumah kerana keletihan. Walaupun hari raya kami singkat tahun ini, tetapi ia meninggalkan kenangan manis untuk dikenang. Tambahan kerana kami merayakannya bersama seseorang yang begitu istimewa; Hana Nurein Fadly!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan