Saya dan
manuskrip ini terlalu banyak kisah suka dukanya. Terlalu panjang rentetan
catatan yang tidak dapat saya ringkaskan sepanjang tempoh yang panjang itu. Novel
ini saya garap berdasarkan pengalaman sebuah kisah benar yang terjadi kepada seseorang
gadis yang sangat naif bernama Ainnur Azleen.
Saya mengakui untuk mengangkat sebuah kisah benar menjadi sebuah naskah
manuskrip novel, begitu mencabar kebolehan dan kredibiliti saya sebagai seorang
penulis dan seorang ibu. Sementelah kisah yang saya paparkan ini merupakan
kisah seorang gadis yang melalui saat getir dicabul oleh orang yang sangat
disanjung dan dihormatinya. Sebagai
seorang penulis, saya mahu menulis cerita yang plotnya jelas dan nyata
sedangkan sebagai seorang ibu, saya tidak mahu anak saya malu membaca karya
saya suatu hari nanti.
Ia sesungguhnya sangat
mencabar kreativiti saya berkarya kerana limitasi antara imaginasi dan unsur
kisah benar itu sendiri. Saya harus berhati-hati agar karya ini tidak
menyebabkan si empunya cerita berasa aib ataupun terasa hati. Beberapa kali
saya merombak jalan cerita hinggakan pernah di suatu ketika saya berasa
benar-benar tertekan dan hampir berputus-asa seperti yang pernah saya luahkan di dalam entri sebelum-sebelumnya....
Manuskrip novel keempat saya ini memang betul-betul menduga kesabaran! Bukan setakat dua kali pandang, sampai dah berkali-kali pandang tapi masih tidak puas hati hingga leher ni terkehel-kehel dibuatnya...
Manuskrip itu sudah 4 kali dirombak....tapi masih tidak puas hati lagi.
Manuskrip itu sudah ada 1 ending tapi 3 pilihan sub ending....
Saya termenung depan komputer....Mmm... selagi tak dapat keputusan rasanya kat mukasurat 60 tu jela sampai ke sudah....
Hehe... Bukan mudah untuk meletakkan penamatnya! Mujur saja Ainnur Azleen memberi
ruang kebebasan seratus-peratus dalam mempersembahkan kisahnya kepada
masyarakat. Besar harapannya supaya kisah ini dapat memberi pengajaran berguna
kepada anak-anak gadis di luar sana supaya pandai menjaga diri. Sekali membuat
kesilapan, ia akan mengubah seratus-peratus kehidupan di masa depan.
Novel ini
mengupas tentang persepsi atau pandangan manusia. Dalam kehidupan kita
seharian, kita sering mengangkat seseorang berdasarkan ukuran tahap tinggi
rendah pendidikannya, taraf hidupnya, personalitinya. Sering kita memandang
tinggi golongan berpangkat dan memandang rendah kepada mereka yang
‘biasa-biasa’.
Dalam novel ini
saya mengisahkan tentang seorang gadis bernama Ainnur Azleen yang terpedaya
pada topeng persepsi Prof. Ir. Dr. Ahmad Redza. Lalu bagaimana seorang lelaki
bernama Zairul yang ‘biasa-biasa’ itu mengubah sejarah hidupnya.
Saya mengharapkan anda pembaca-pembaca terhibur dan mendapat pengalaman menarik, pengajaran yang baik sebaik meletakkan novel ini di pengakhiran bacaaan anda! Kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana sokongan anda semua, Cinta Pandang ke-2 sudah dicetak sebanyak 7 kali! Alhamdulillah! Pastilah kemunculan dramanya menjadi 'hadiah' terindah buat semua pembacanya!
Saya sedang menyiapkan novel terbaru saya, bertajuk sementara Cinta Top Secret. Doakan saya menyiapkannya dengan terbaik! Kerana saya mahukan pembaca saya menatap hanya yang terbaik daripada Laila Kamilia. Sampai jumpa lagi!
Salam teramat sayang,
-Laila Kamilia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan