Tada! Inilah buah tangan terbaru saya yang panas dari kilang. Buku kanak-kanak yang comel ini mengandungi kompilasi 15 cerpen daripada 5 orang penulis Grup Buku Karangkraf. Buku ini sebenarnya buku pertama dalam projek 1 Hari 1 Cerita. Buku berwarna-warni ini sangat sesuai dibaca oleh kanak-kanak berusia 7-12 tahun. Ilustrasinya juga sangat menarik. Memang tak rugi menjadikannya salah satu koleksi dalam simpanan si cilik!
Dalam buku ini saya menulis 3 cerpen iaitu Neptun Perlukan Raja, Hakimy Hilang PSP dan tajuk buku ini sendiri Kawan Baru FB. Berikut adalah senarai cerpen tulisan Lynn Dayana, Maryam Elyas, Nurliza Mohd Nasir dan Zakiah Abd. Ghaffar.
SINOPSIS 1 HARI 1 CERITA KAWAN BARU FB TULISAN LAILA KAMILIA
Kawan Baru FB- Mila seorang kanak-kanak yang baru belajar menutup aurat. Sekalipun hanya anak penjual kuih, dia juga tidak mahu ketinggalan dalam dunia Facebook. Bertuahlah kerana bapanya seorang juruteknik komputer yang berfikiran terbuka. Jadi bila ayah beri lampu hijau membuka akaun FB, kerjanya asyik melayan FB hingga karipap digoreng jadi hangus. Hari-hari kerjanya menanya bilangan 'friend' yang ada di FB dengan kawan-kawan sekelas. Masing-masing berlumba siapa punya 'friend' teramai. Satu kejadian membuatkan semua kawan-kawan Mila mula takut dengan dunia FB. Hey! Kejutan dari teman FB menyedarkan Mila apakah nilai persahabatan sebenar.
Hakimy Hilang PSP- Hobi Hakimy main PSP. Diusung ke sana ke sini hingga hobi bertukar obsesi. Pesan mama jangan bawa PSP keluar dari rumah tapi kalau sudah namanya obsesi, diam-diam PSP dibawa tanpa mama sedari. Janjinya hanya mahu main sekejap sampai tahap yang diingini. Tapi bila sakit perut, fikiran yang waras sudah tidak boleh fikir apa-apa lagi. Cari tandaslah nak ke mana lagi? Tapi PSP? Oh! Ini cerita seorang budak lelaki yang terpaksa membayar sebuah pengalaman dengan harga yang tinggi.
Neptune Perlukan Raja-Indahnya kalau Teluk Intan tiba-tiba jadi pulau berais. Sejuk, nyaman dan putih bersalji. Tak perlulah bosan duduk di depan TV semata-mata kerana matahari tegak di kepala membahang dengan suhu mak ai, berpinau mata. Suatu hari impian Amsyar Daniel menjadi kenyataan! Peluang menjadi Raja kepada Planet Neptune datang sekelip mata. Aha! Mari kita kongsikan pengalaman beliau mentadbir planet berais.
Saya harap anda semua suka dengan karya terbaru saya ini. Menjadi kanak-kanak memang menyeronokkan. Melihatkan buku ini, saya tiba-tiba teringatkan diri saya 25 tahun lepas. Masa itu memang sukar untuk mendapatkan buku-buku Melayu apatah yang berwarna-warni dengan ilustrasi begini. Masa itu saya hanya berangan dapat memegang buku seperti ini. Hehehe. Tak sangka setelah 25 tahun, saya ada buku yang saya idamkan, ditulis sendiri.
Kalau ada yang mahu membeli buku ini untuk dihadiahkan kepada anak-anak boleh terus memesan dari saya dengan harga RM20 sahaja dan saya akan poskannya kepada anda (hehe hadiah hari jadipun best juga, kos pos bergantung kepada jenis perkhidmatan pos pilihan anda). Terima kasih atas sokongan anda kepada karya saya selama ini. Saya amat menghargainya!
2 ulasan:
Haii...
sy nak order buku ni..
bagaimana dgn pembayaran?
hi eyrajabar, terima kasih. bagi saya alamat emel. nanti saya emelkan details
Catat Ulasan