Sudah berapa lama juga saya tidak menulis entri tentang pendidikan walaupun sebenarnya saya ingin tulis sejak sekian lama. Kalau dulu saya menulis tentang kesediaan membaca, kali ini saya ingin menyentuh tentang kesediaan menulis pula. Ya, menulis sebenarnya datang dulu dari membaca atau pandai memabaca dulu baru boleh menulis? Ia sebenarnya terpulang kepada kebolehan individu kerana ada yang suka membaca manakala ada yang suka menulis. Tapi saya percaya, sebenarnya ramai antara kita yang bermula dengan menulis terlebih dahulu.
Kebolehan menulis bermula dengan contengan. Ya, semasa kita bayi lagi, bila mendapat pensel, kita akan mula menconteng entah apa-apa. Mula-mula garisan dan kemudian bulatan. Tetapi pernahkah kita terfikir, bagaimana asas untuk kita menulis?
Menulis memerlukan kekuatan motor halus. Oleh itu semasa anak anda masih bayi, sentiasa beri dia galakan untuk menyentuh pelbagai benda, bermula dengan yang lembut kemudian barulah keras. Semasa Hardy masih kecil, saya sentiasa memakaikan dia sarung tangan kerana kata orang tua-tua nanti sejuk tetapi berlainan dengan Hakimy saya sentiasa lepas bebas tangannya tanpa sarung tangan sejak bayi kecuali semasa sejuk. Saya dapati Hakimy lebih cepat memegang, melempar kerana otot tangannya telah bersedia. Motor halusnya telah bersedia untuk dia mengembara dengan pengalaman-pengalaman baru melalui deria sentuhannya.
Oleh itu sebagai persediaan awal, semasa kanak-kanak, adalah digalakkan supaya memberi peluang kepada anak anda bermain dengan pasir, tanah liat ataupun bola lembut supaya dia dapat bermain dan mengembara dengan deria sentuhannya supaya apabila motor halusnya sudah bersedia, dia akan boleh memegang pensel dan mengawalnya dengan baik. Ini kerana menulis bukan sekadar boleh memegang pensel tetapi mengawal pergerakan pensel itu yang paling penting. Kerana itu, di sekolah di dalam kelas pendidikan khas, guru-guru selalu bermain-main dengan tangan anak-anak seperti mengurut, menyentuh, menguli tanah liat dan sebagainya. Janganlah pula dimarah kerana kelihatan seolah-olah guru-guru itu tidak mengajar tetapi sebenarnya beliau sedang melakukan senaman dan terapi kepada tangan anak anda.
Seorang teman suatu hari merungut kerana tulisan anaknya tidak cantik. Dia bertanyakan kepada saya kerana bimbangkan tentang prestasi anaknya yang dikatakan tidak sejajar dengan prestasi dia suami isteri yang sudah boleh menulis cantik pada usia yang lebih awal. Saya tanyakan kepada dia bagaimana dia mengajar anaknya menulis dan jawapannya ialah dengan meminta anaknya menulis di atas kertas A4 kosong yang tidak bergaris. Saya meminta dia membuat garisan atas kertas tersebut dan bila anaknya sudah mahir, barulah dilatih menulis tanpa garisan. Alhamdulillah tidak berapa lama kemudian, dia memberitahu tulisan anaknya sudah semakin cantik.
Semasa saya bersekolah, teman saya yang mempunyai tulisan yang sangat cantik. Namanya Hirdawati. Sehingga kini saya tidak pernah berjumpa dengan tulisan tangan secantik tulisan tangan dia. Dia boleh menyalin nota yang dibaca guru dengan cantik sekali, berkait-kait, berbunga-bunga. Apa yang saya boleh katakan, dia memang suka membuat latihan menulis hingga mendapat tulisan cantik seperti itu. Kawan saya seorang lagi, berkata ayahnya akan memegang rotan semasa mengajar anak-anak menulis kerana itu adik-beradiknya mempunyai tulisan tangan yang cantik dan kemas.
Kesimpulannya, menulis memerlukan latihan juga sebagaimana lain-lain kemahiran yang kita pelajari. Semakin banyak kita berlatih, semakin kita mahir dengannya. Tetapi ia sebenarnya bermula sejak anak-anak itu masih bayi kerana kesediaan menulis harus diterapkan lebih awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan