Tidak terlintas sekali dalam hidup saya untuk merasai walaupun sekali peluang untuk menaiki salah sebuah keretapi terlaju di dunia. Namun peluang berada di bumi Berlin ini datang menggolek apabila abang berjaya mendapatkan tiket keretapi laju ICE Germany hanya melalui ebay untuk mengelilingi Jerman untuk kami sekeluarga dengan harga yang sukar dipercayai. Jadi kami sekeluarga keluar lagi berjalan-jalan. Kali ini kembara kami ke Europe bermula di Berlin-Munich-Vienna (Austria)-Bratislava (Slovakia)-Budapest (Hungary)-Munich-Stuttgart-Koln-Essen-Berlin selama 9 hari bermula 11 Ogos-19 Ogos 2009 yang lalu.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang keretapi laju di German. Selalunya jika orang bercerita tentang keretapi laju atau bullet train atau high speed train, orang pasti mengaitkannya dengan keretapi laju di Jepun yang terkenal dengan nama Shinkansen atau Perancis TGV. Di Jerman, ia dikenali dengan panggilan ICE, singkatan bagi Inter City Express yang diusahakan oleh syarikat Pengangkutan Deutsche Bahn (DB).
Kenapa keretapi laju amat berbeza dengan keretapi biasa? Tentulah pada kelajuannya. UIC (International Union of Railways) mendefinasikan keretapi laju perlulah beroperasi dan mempunyai kelajuan minimum 250km/j atas landasan baru atau minimum 200km/j atas landasan sedia ada. Cuba bandingkan kereta yang kita pandu di lebuhraya, maksimum hadnya adalah 110 km/j dan keretapi laju bergerak lebih sekali ganda daripada kelajuan maksimum kereta kita di lebuhraya di Malaysia! Dan yang paling mengujakan, bagi ICE Jerman, kelajuan puratanya adalah 300km/j bagi satu-satu perjalanan!
Bak perjalanan dengan kapal terbang, menaiki ICE tidak sama seperti menaiki keretapi biasa. Walaupun kelajuannya amat luar biasa, suasana di dalamnya amat senyap dan stabil. Kemewahan kemasan dalamannya amat jelas dirasai.
Jika tidak mahu duduk di Compartment, penumpang boleh memilih untuk duduk di tempat duduk di gerabak dan boleh juga memilih untuk tempat duduk yang ada meja makan.
Jadual perjalanan disediakan kepada penumpang supaya kita mengetahui station iCE akan berhenti dan jarak dan waktu ketibaan di setiap stesen.
Jika lapar boleh ke Restoran atau Bistro yang disediakan di dalam keretapi. Pelbagai makanan disediakan dan boleh juga menikmati makanan di meja makan yang disediakan atau bawa pulang ke tempat duduk masing-masing.Konon-konon nak menyiapkan manuskrip....
Berapakah harga tiketnya jika ingin menaiki ICE? Untuk perjalanan sehala dari Berlin-Munich (jarak sama seperti Pulau Pinang ke Johor, 600km) sahaja bagi seorang sekitar EUR130.00 bersamaan dengan RM650.00 untuk perjalanan sekitar 6 jam ke atas (mengikut bilangan pertukaran keretapi). Bayangkan jika kami sekeluarga 4 orang menaiki keretapi tersebut mengelilingi Jerman menggunakan ICE. Pasti tersedak mak ayah di kampung mendengar harganya. Mujurlah ada Ebay... hehehe...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan