19 April 2013

Temu Mesra Kali Pertama 2013 - Cinta Bunga Tulip

Assalamualaikum! Pertama kali turun padang mempromosikan Cinta Bunga Tulip bersama rakan novelis Hezzy Azra dengan si Velvetnya. Jadi jika ada kelapangan, jom ke MPH Alamanda, Putrajaya pada hari Sabtu, 20/4/2013 jam 2.30-4.30 petang.

Kepada yang telah mendapatkan si tulip sebelum ini, boleh bawa juga bersama buku-buku saya yang lain untuk saya tandatangan juga! 


Kepada yang mahu melengkapkan koleksi novel Laila Kamilia, inilah novel-novel saya yang lain!


Atau sekadar bersembang-sembang santai boleh saja! Jom dating! Jumpa di sana!

21 Februari 2013

Sinopsis Cinta Bunga Tulip-Laila Kamilia


Berkawan sejak kecil, Adrian dan Puteri Sara Ibrani berkongsi segala suka dan duka. Puteri Sara, gadis yang kuat merajuk namun Adrian Fadhli ada cara terbaik untuk memujuk. Hadiahkan bunga tulip... seluruh hati Puteri Sara cepat saja cair!

Mereka hanya sayang-menyayangi. Istilah cinta tidak terpahat dalam sanubari. Namun bohonglah kalau tidak ada sekelumit cinta!

Dalam geram menunggu luahan Adrian, Puteri Sara ingin mencapai satu impian. Dia ingin pulang ke Malaysia, merungkai rahsia yang dipendam oleh papanya selama 21 tahun. Dia perlukan pertolongan Adrian untuk meyakinkan papanya yang dia sudah cukup dewasa untuk pulang ke kampung halaman.

Adrian resah. Perlukah dia melepaskan gadis itu pergi meninggalkannya?

Sudah cukup kuatkah dia untuk berhadapan dengan papa Puteri Sara agar melepaskan anak gadisnya pulang ke Malaysia? Dia juga punya nekad. Dia harus sampaikan kata-kata ini kepada Puteri Sara :

"Ich Liebe Dich...! (Aku cinta kamu)"


15 Februari 2013

Adrian Fadhli : Dari Kaca Mata Laila Kamilia

Saya menerima banyak pertanyaan tentang watak hero Cinta Bunga Tulip, si Adrian (sila baca sebagai Adrian, bukan Adrien). Rata-rata bertanya adakah hero saya kali ini lebih hebat atau sekurang-kurangnya menyamai si Zairul dalam Cinta Pandang ke-2? Bagaimanakah rupanya? Karektornya? Hmm... jom kita lihat sama-sama!

Cuba lihat kedua-dua foto kumpulan pop remaja terkenal dari UK ini! Sebelumnya saya pernah mewar-warkan di FB/blog tentang wajah Adrian yang saya gambarkan adalah seperti salah seorang ahli One Direction. Saya minta kalian meneka yang mana satukah di antara 4 orang ahli One Direction yang bermata coklat biru adalah digambarkan sebagai Achmad Faris Adrian Fadhli?


Adakah Liam yang kacak? Atau si romeo Harry Style?
 Mungkinkah Niall yang baby face?

Atau mungkin juga si Louise yang cute dan innocent?

Di kepala saya semasa menulis Cinta Bunga Tulip, Adrian digambarkan sebagai lelaki separuh Jerman-Indo yang berwajah Eropah. Orangnya tinggi, berambut perang dan bermata coklat kebiruan. 

Karektor Adrian sebagai lelaki yang akan melindungi Sara walau apa yang terjadi. Beliau pernah berjanji akan membawa Sara pulang ke Malaysia pada usia 12 tahun. Semenjak itu dia menabung wang daripada pemberian papi dan maminya. Selain daripada itu dia merupakan seorang street dancer yang selalu membuat persembahan. Beliau juga mempunyai perniagaan ebay. Semuanya semata-mata mahu mencari pendapatan sampingan untuk membawa Sara pulang ke Malaysia semasa berusia 21 tahun nanti. Dia melakukannya tanpa pengetahuan Sara.

Adrian lelaki nakal (kuat mengusik) dan juga kuat cemburu. Apabila dia menyedari perasaannya yang sebenar kepada Sara, dia memang selalu terbakar kerana api cemburu.

Oh, ya! Perfume kegemarannya adalah Cool Water, Davidoff. Paling dia suka adalah menghadiahkan wanita dengan bunga tulip! Pastilah dia sudah hafal semua simbolik di sebalik warna tulip pemberiannya.

Sekarang sudah boleh agak siapakah Achmad Faris Adrian Fadhli yang saya gambarkan? Liam, Harry, Niall ataupun Louise? Hmm... Saya tinggalkan anda dengan ahli One Direction yang ada di kepala anda. Ya, siapapun yang anda bayangkan, dialah Adrian Fadhli si hero Cinta Bunga Tulip.

Saya tinggalkan anda dengan klip video yang selalu saya mainkan ketika menyiapkan Cinta Bunga Tulip. Semoga terhibur!

ps-Sila bayangkan beliau digandingkan bersama Shae.





13 Februari 2013

Puteri Sara Ibrani : Dari Kaca Mata Laila Kamilia


NOTA : Sebutan namanya yang benar di dalam bahasa Jerman adalah ZARA.

Saya membayangkan dia seorang gadis kacukan Malaysia-Jerman. Sederhana tinggi, kurang 5 inci daripada Adrian. Matanya hazel dan berambut panjang, perang kehitaman. Sara gemarkan tulip dan suka termenung di depan tingkap.

Semasa saya melihat cover novel Cinta Bunga Tulip, hati saya berlagu riang kerana ilustrator telahpun mempersembahan Puteri Sara Ibrani bt Megat Iskandar Ibrani itu dengan begitu sempurna. Sekalipun hanya daripada pandangan sisi, semua yang saya gambarkan terzahir. Perfect! Hati saya berdetik.


Semasa pertama kali melihat video klip Shae, penyanyi baru kacukan Australia-Indo ini, hati saya terus berkata, 'Inilah Sara!' Jadi kepada pembaca Cinta Bunga Tulip, boleh bayangkan wajah Shae semasa membaca novel ini ya!


Kalau mahu tahu lebih tentang Shae sila baca di  http://www.sinarharian.com.my/hiburan/shae-cantik-dan-berbakat-1.101182


Mahu lihat video klip SAYANG, sila klik di http://www.youtube.com/watch?v=A9LRYN6ta8E
Semoga terhibur menonton Shae dan Sara dalam Cinta Bunga Tulip.

ps-boleh baca bab awal Cinta Bunga Tulip di FB Laila Kamilia di https://www.facebook.com/LailaKamilia/notes

Semoga terhibur!

12 Februari 2013

KEMBARA EROPAH Belanda/Holland II - Keukenhof Park

Taman Keukenhof- entry reposting 19/4/2009
Tahun 2009 sudah 60 tahun wujudnya Keukenhof yang membawa maksud taman di dapur. Yang menariknya selama 60 tahun ini, ia tetap kekal sebagai satu tarikan pelancong untuk ke Belanda. Ada yang datang saban tahun, malah ada pula yang datang 3 kali dalam tahun yang sama semasa ia dibuka. Taman ini dibuka selama 3 bulan sahaja dalam setahun bermula Mac hingga Mei tetapi bilangan pengunjung yang datang terlalu ramai menjangkau puluhan ribu pengunjung.
Tahun ini (2009) banyak acara dirancang bagi menyambut ulangtahun ke 60 tetapi kami tidak sempat mengikuti acara tersebut kerana jadual perjalanan kami yang ketat. Mungkin jika yang ingin ke sana boleh berkunjung ke webnya terlebih dahulu http://www.keukenhof.com/. Kami tak sempat untuk ke sana lagi tahun depan kerana kami akan pulang akhir Mac 2010. Melalui cerita teman yang telah berkunjung ke sana, pada bulan Mac bunga tulip belum kembang lagi. April adalah bulan paling cantik untuk mengunjungi taman tersohor ini....

Inilah sebahagian gambar-gambar yang saya rakam semasa berada selama 5 jam di sana... Saya memang mabuk bunga hari itu....

ps- Untuk album penuh lawatan Pah Bedah ke Taman Keu, sila klik https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10151433769837229.504556.829392228&type=1

08 Februari 2013

Cinta Bunga Tulip - Novel Terbaru Laila Kamilia 2013

Tada! Selepas Cinta pandang ke-2, 2011 tahun ini barulah muncul novel baru saya Cinta Bunga Tulip yang tajuk asalnya Ich Liebe Dich. Saya harap novel ini juga akan diterima pembaca. Mungkin garapan saya kali ini lain sedikit, tetapi saya tetap menyajikan sebuah kisah yang segar dari ladang. Unsur misteri dan rahsia, masih lagi tetap kompem ada.

Inilah kulitnya! Cantikkan?


Bila pertama kali, editor menunjukkan gambar kulit buku ini, terus saya sengih sampai ke telinga. Saya terbayangkan si Puteri Sara yang hobinya memang suka termenung di tingkap, suka tulip dan tak sabar nak balik ke Malaysia. Semuanya diterjemah oleh Marliya, dari Unit Grafik Alaf21 dengan begitu baik sekali. Gambar wanita yang digambarkan oleh pereka grafik juga dari jauh sudah menggambarkan seorang perempuan Mat Salih. Betulkan?

Alhamdulillah, saya menarik nafas lega akhirnya novel ini siap juga. Setelah menempuh suka-duka, akhirnya  inilah dia! Banyak kenangan tercipta mendewasakan saya sebagai penulis novel. Bukan senang menulis sekalipun sudah 7 tahun saya mencebur diri dalam bidang ini. Cabaran utama adalah untuk menyajikan cerita yang segar dan kena dengan selera pembaca.

Apa kisah Cinta Bunga Tulip? Hmm... lebih kurang sinopsis di belakang buku beginilah alkisahnya...

Berkawan sejak kecil, Adrian dan Puteri Sara Ibrani berkongsi segala suka dan duka. Puteri Sara, gadis yang kuat merajuk namun Adrian Fadhli ada cara terbaik untuk memujuk. Hadiahkan bunga tulip... seluruh hati Puteri Sara cepat saja cair!

Mereka hanya sayang-menyayangi. Istilah cinta tidak terpahat dalam sanubari. Namun bohonglah kalau tidak ada sekelumit cinta!

Dalam geram menunggu luahan Adrian, Puteri Sara  ingin mencapai satu impian. Dia ingin pulang ke Malaysia, merungkai rahsia yang dipendam oleh papanya selama 21 tahun. Dia perlukan pertolongan Adrian untuk meyakinkan papanya yang dia sudah cukup dewasa untuk pulang ke kampung halaman.

Adrian resah. Perlukah dia melepaskan gadis itu pergi meninggalkannya?

Sudah cukup kuatkah dia untuk berhadapan dengan papa Puteri Sara  agar melepaskan anak gadisnya pulang ke Malaysia? Dia juga punya nekad. Dia harus sampaikan kata-kata ini kepada Puteri Sara :

"Ich Liebe Dich...!"


20 Januari 2013

Murid Pendidikan Khas di Aliran Perdana

Pada hari Sabtu lalu, anak-anak kecoh memanggil ibunya yang sedang bermesyuarat. Kebetulan hari itu adalah sekolah berganti. Selepas tamat sekolah, seperti biasa, anak-anak menanti saya untuk pulang. "Kenapa ni? Mama nak mesyuarat la!" Saya sudah mencekak pinggang. Geram kerana terpaksa keluar sedangkan saya sedang emncatat minit mesyuarat. "Ada orang mengamuk, mama!" Aduan Hardy membuatkan saya membuka mata.  Takkanlah teruk sangat mengamuk, sampai pengawas sekolah pun tak boleh nak uruskan? Saya bertanya di dalam hati tetapi mencari budak yang dikatakan mengamuk tadi. "Dia baling kerusi mama!" Si Hakimy pula bercerita membuatkan tanda-tanya di kepala semakin luas ruangnya.
"Sekarang korang masuk kelas!" Saya sudah memberi arahan tatkala melihat wajah seorang budak dalam usia 10-12 tahun itu sedang menyinga dan berair mata.
"Kenapa sayang?" Itulah pertanyaan pertama saya. 
"Diaorang tu semua tak faham! Saya geram!" Dia menjawab dengan nada suara yang tinggi.
Saya rapat kepadanya. Saya pegang tangannya. Saya usap tangannya. Saya senyum kepadanya. Saya berkenalan dengannya. Saya tiupkan ubun2nya setelah membaca selawat syifa'.
Setelah beberapa ketika bersoal jawab dengannya, saya mendapat jawapan lebih kurang begini. Dia marah kerana budak2 lain mendera anak katak. Dia tak tahan melihat haiwan itu didera oleh budak2 tu. Hanya kerana itu dia mengamuk sakan.
Saya senyum kepadanya. Hah! Budak ini memang budak istimewa yang diberitahu oleh rakan2 di aliran perdana. Mereka menceritakan kepada saya, betapa peliknya budak ini. Apa yang mereka simpulkan kemudian, budak ini sangat dimanjakan. Dia dihantar oleh pemandu ke sekolah. Anak orang berada. Jadi bila permintaannya tidak dituruti, jadi dia mudah mengamuk. Tapi melalui cerita mereka, saya dapat rasakan murid ini murid istimewa, cuma tidak berkesempatan bertemu mata. Jadi hari itu dapatlah saya bersembang2 dengan dia.
Saya katakan kepadanya, "Hamzah (bukan nama sebenar), macam Hamzah, anak katak tu mesti ada ibunya. Hamzah jangan risau. Cikgu percaya, anak2 katak tadi (yang lari di bawah meja), sudah diselamatkan oleh ibu katak. Tugas seorang ibu bukankah melindungi anaknya. jadi katak itu dah dibawa balik ibu katak ke tempat yang selamat, balik ke rumahnya. Jadi Hamzah tak perlu risau, anak katak itu tak mati dipijak budak2 kerana ia dah selamat di bawah jagaan ibunya." 

Sebagai orang yang normal, pastilah jawapan seperti akan membuatkan anda ketawa. tapi bagi seorang budak istimewa, jawapan saya menenangkan hatinya. Alhamdulillah selepas saya memberitahu dia bagaimana sepatutnya dia mengawal kemarahannya, dia dengan rela hati bergerak ke dewan.

Saya tersenyum. Memang budak itu budak istimewa. Sekalipun dia di aliran perdana, dia sebenarnya budak istimewa. Saya akan berjumpa dengan guru kelasnya juga guru kaunseling. Ini kerana budak itu memang kelihatan sangat tertekan. Saya bimbang, rakan2 di aliran perdana tidak memahaminya lalu mengejeknya. Dia memberitahu saya, dia hendak membunuh mereka semua! Saya akan bertindak. Perkara hendak bunuh-membunuh bukanlah perkara main2!

Apakah seorang budak yang bersekolah di aliran perdana semuanya normal? Bagaimanakah agaknya yang dikatakan kelas inklusif? Sebenarnya murid istimewa, boleh belajar di aliran perdana sekiranya guru merasakan beliau bersedia untuk mengikuti kelas di aliran perdana. Guru2 pendidikan khas akan mencadangkan kepada ibubapa apabila mereka merasakan murid itu bersedia untuk diinklusifkan. Antara kriteria yang guru-guru ambil kira pastilah murid itu sudah menguasai 3M dan boleh berdikari dan bertingkahlaku baik.


Bagaimana pula murid aliran perdana yang telah terlepas pandang? Adakah mereka boleh dirujuk ke pendidikan khas? Pastilah boleh. Sekiranya guru2 aliran normal merasakan murid ini mempunyai kelainan daripada murid2 lain, sekalipun ia mempunyai kecerdasan yang sangat superb, beliau memang boleh dirujuk di pendidikan khas. Tugas guru pendidikan khas kemudiannya membimbing murid, menyediakannya masuk kembali ke aliran perdana dan memantau pencapaiannya, baik dari segi akademi mahupun sahsiah diri.

Besar peranan seorang guru di sekolah. Guru aliran perdana dan pendidikan khas sentiasa berbincang untuk kepentingan murid. Adalah penting menempatkan murid mengikut kesesuaiannya bagi memberikan pendidikan kondusif bukan saja kepada murid itu sendiri, tetapi juga kepada murid2 lain di sekelilingnya. Ibubapa seharusnya berbincang dengan guru dan mengambil langkah pencegahan awalan, demi masa depan murid. Bukan bermakna, berada di pendidikan khas beliau akan keciciran tetapi sebenarnya membantu murid mencapai tahap perkembangan yang sejajar dengan keupayaan dirinya. Persepsi murid pendidikan khas adalah murid yang tidak boleh belajar, tidak pandai seharusnya dibuang jauh2. Apa yang penting, kita membantu murid seawal yang mungkin!



11 Januari 2013

Sinopsis Cinta Bunga Tulip-Novel Terbaru Laila Kamilia 2013


            Ich Liebe Dich (Aku Cinta Kamu) - Kalimah agung ini muncul di mana-mana pelusuk dunia, cuma cara bicara dan bahasanya sahaja yang berbeza. Tiada siapa pernah nafikan kewujudan cinta, kerana cinta selamanya dianggap membawa bahagia.
            Tetapi kisah cinta ini berbeza. Ia kisah cinta pelbagai warna. Seperti tulip dan makna yang dizahirkannya. Warna cinta dan warna tulip boleh saja macam-macam ceritanya.
            Cinta sama ada bahagia atau sengsara. Cinta mungkin saja harapan mahupun kemusnahan. Cinta itu kejujuran tetapi boleh jadi penuh pendustaan. Cinta itu matlamatnya perkahwinan malah menuntut pengorbanan.
            Ini bukan saja kisah cinta Puteri Sara Ibrani, gadis separuh Jerman-Malaysia dan Achmad Faris Adrian Fadhli, jejaka Jerman-Indonesia itu. Ia sebuah kisah yang mengupas apakah makna sebenar CINTA.
            Cinta itu boleh jadi milik siapa-siapa. Cinta boleh terjadi di mana-mana. Cinta tidak berhenti pada kali pertama malah tiada juga nombor akhirnya. Perasaan indah itu membawa rasa bahagia dan indah saja, mengutip hati-hati luka dan lara, mencantum rindu dan kenangannya.
            
Ini sebuah kisah cinta penuh rahsia dan tanda tanya. Haruskah ia dirungkai atau biarkan cinta itu dalam dunia misterinya? Kisah ini mungkin membuatkan anda tertanya di hujungnya, 'Apakah warna tulip cinta anda?' Kerana warna cinta dan warna tulip boleh saja macam-macam ceritanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...