Pada hari Sabtu lalu, anak-anak kecoh memanggil ibunya yang sedang bermesyuarat. Kebetulan hari itu adalah sekolah berganti. Selepas tamat sekolah, seperti biasa, anak-anak menanti saya untuk pulang. "Kenapa ni? Mama nak mesyuarat la!" Saya sudah mencekak pinggang. Geram kerana terpaksa keluar sedangkan saya sedang emncatat minit mesyuarat. "Ada orang mengamuk, mama!" Aduan Hardy membuatkan saya membuka mata. Takkanlah teruk sangat mengamuk, sampai pengawas sekolah pun tak boleh nak uruskan? Saya bertanya di dalam hati tetapi mencari budak yang dikatakan mengamuk tadi. "Dia baling kerusi mama!" Si Hakimy pula bercerita membuatkan tanda-tanya di kepala semakin luas ruangnya.
"Sekarang korang masuk kelas!" Saya sudah memberi arahan tatkala melihat wajah seorang budak dalam usia 10-12 tahun itu sedang menyinga dan berair mata.
"Kenapa sayang?" Itulah pertanyaan pertama saya.
"Diaorang tu semua tak faham! Saya geram!" Dia menjawab dengan nada suara yang tinggi.
Saya rapat kepadanya. Saya pegang tangannya. Saya usap tangannya. Saya senyum kepadanya. Saya berkenalan dengannya. Saya tiupkan ubun2nya setelah membaca selawat syifa'.
Setelah beberapa ketika bersoal jawab dengannya, saya mendapat jawapan lebih kurang begini. Dia marah kerana budak2 lain mendera anak katak. Dia tak tahan melihat haiwan itu didera oleh budak2 tu. Hanya kerana itu dia mengamuk sakan.
Saya senyum kepadanya. Hah! Budak ini memang budak istimewa yang diberitahu oleh rakan2 di aliran perdana. Mereka menceritakan kepada saya, betapa peliknya budak ini. Apa yang mereka simpulkan kemudian, budak ini sangat dimanjakan. Dia dihantar oleh pemandu ke sekolah. Anak orang berada. Jadi bila permintaannya tidak dituruti, jadi dia mudah mengamuk. Tapi melalui cerita mereka, saya dapat rasakan murid ini murid istimewa, cuma tidak berkesempatan bertemu mata. Jadi hari itu dapatlah saya bersembang2 dengan dia.
Saya katakan kepadanya, "Hamzah (bukan nama sebenar), macam Hamzah, anak katak tu mesti ada ibunya. Hamzah jangan risau. Cikgu percaya, anak2 katak tadi (yang lari di bawah meja), sudah diselamatkan oleh ibu katak. Tugas seorang ibu bukankah melindungi anaknya. jadi katak itu dah dibawa balik ibu katak ke tempat yang selamat, balik ke rumahnya. Jadi Hamzah tak perlu risau, anak katak itu tak mati dipijak budak2 kerana ia dah selamat di bawah jagaan ibunya."
Sebagai orang yang normal, pastilah jawapan seperti akan membuatkan anda ketawa. tapi bagi seorang budak istimewa, jawapan saya menenangkan hatinya. Alhamdulillah selepas saya memberitahu dia bagaimana sepatutnya dia mengawal kemarahannya, dia dengan rela hati bergerak ke dewan.
Saya tersenyum. Memang budak itu budak istimewa. Sekalipun dia di aliran perdana, dia sebenarnya budak istimewa. Saya akan berjumpa dengan guru kelasnya juga guru kaunseling. Ini kerana budak itu memang kelihatan sangat tertekan. Saya bimbang, rakan2 di aliran perdana tidak memahaminya lalu mengejeknya. Dia memberitahu saya, dia hendak membunuh mereka semua! Saya akan bertindak. Perkara hendak bunuh-membunuh bukanlah perkara main2!
Apakah seorang budak yang bersekolah di aliran perdana semuanya normal? Bagaimanakah agaknya yang dikatakan kelas inklusif? Sebenarnya murid istimewa, boleh belajar di aliran perdana sekiranya guru merasakan beliau bersedia untuk mengikuti kelas di aliran perdana. Guru2 pendidikan khas akan mencadangkan kepada ibubapa apabila mereka merasakan murid itu bersedia untuk diinklusifkan. Antara kriteria yang guru-guru ambil kira pastilah murid itu sudah menguasai 3M dan boleh berdikari dan bertingkahlaku baik.
Bagaimana pula murid aliran perdana yang telah terlepas pandang? Adakah mereka boleh dirujuk ke pendidikan khas? Pastilah boleh. Sekiranya guru2 aliran normal merasakan murid ini mempunyai kelainan daripada murid2 lain, sekalipun ia mempunyai kecerdasan yang sangat superb, beliau memang boleh dirujuk di pendidikan khas. Tugas guru pendidikan khas kemudiannya membimbing murid, menyediakannya masuk kembali ke aliran perdana dan memantau pencapaiannya, baik dari segi akademi mahupun sahsiah diri.
Besar peranan seorang guru di sekolah. Guru aliran perdana dan pendidikan khas sentiasa berbincang untuk kepentingan murid. Adalah penting menempatkan murid mengikut kesesuaiannya bagi memberikan pendidikan kondusif bukan saja kepada murid itu sendiri, tetapi juga kepada murid2 lain di sekelilingnya. Ibubapa seharusnya berbincang dengan guru dan mengambil langkah pencegahan awalan, demi masa depan murid. Bukan bermakna, berada di pendidikan khas beliau akan keciciran tetapi sebenarnya membantu murid mencapai tahap perkembangan yang sejajar dengan keupayaan dirinya. Persepsi murid pendidikan khas adalah murid yang tidak boleh belajar, tidak pandai seharusnya dibuang jauh2. Apa yang penting, kita membantu murid seawal yang mungkin!
2 ulasan:
Kak Laila, u make me cry...
Saya pun bru belajar ttg aliran perdana..inklusif ni..semua kerana Aqilah
semoga bermanfaat Suhana.
Catat Ulasan