001
Pengkalan
Utama (HQ), Agensi Perisikan Global (APG), Putrajaya
Jam 0843
ZED membelokkan kereta ke bangunan mewarna hijau sebaik
melepasi bulatan di Presint 5. Sebaik sampai di palang keselamatan, dia
menyentuh pas masuknya pada skrin pembaca kad di pintu masuk. Sambil mengangkat
tangan tanda hormat ke arah pengawal keselamatan bertugas, dia terus memandu
Mercedes Benz C200 miliknya menuju ke kawasan parkir pekerja.
|
‘Bahagian Penyelenggaraan Landskap.’ Dia membacanya di
dalam hati sebaik di pintu masuk. Bangunan hijau ini masih cantik. Masih sama
seperti kali terakhir dia meninggalkannya kira-kira empat bulan lepas.
Landskap tamannya yang cantik dan terjaga menunjukkan
pekerja di bangunan itu menjaga kehijauan dengan baik. Satu penyamaran yang
cukup berjaya. Pastilah tiada siapa menyangka di sinilah letaknya APG. Dia
senyum sendiri! Terasa seronok menjadi sebahagian ‘penyamaran’ ini.
Dia meneruskan pemanduan sebelum memberhentikan kereta
sebaik tiba di hadapan palang besi mesin automatik menuju ke kawasan parkir.
Dia menyentuh kad nama pada papan pengimbas. Sebaik palang dinaikkan, dia
memandu ke aras bawah sekali. Rutin yang selalu dia lakukan apabila ke sini,
sama juga dengan pekerja-pekerja lain di bangunan ini.
Dia mematikan enjin kereta sebaik tiba di kotak parkir
yang dikhaskan untuknya. Sebelum keluar, dia memandang ke arah cermin,
membetulkan tali leher. Dia tersenyum. Ini hari yang besar! Dadanya tiba-tiba
berdebar. Setiap kali ke sini, dia pasti berdebar. Di sinilah dia akan
melaporkan diri untuk setiap misi; bermula dan berakhir. Walau sejauh mana dia
pergi, dia pasti kembali ke sini.
Dia memegang dada. Debarannya terasa lebih sedikit kali
ini. Dia cuba menambahkan lebar senyuman. Menutup gugup di hati. Inilah masa
yang dinanti-nantikan sebaik bersetuju terlibat dalam arena ini.
Setelah
yakin, dia keluar menuju ke arah pintu lif. Matanya membelingas ke kiri kanan,
memastikan dia sendirian di dalam lif. Dia menekan beberapa kod yang sudah
dihafal pada butang kekunci.
“Selamat datang ke HQ, Mr. Zed! Sila aktifkan imbasan
retina.” Suara perempuan berkomputer kedengaran jelas di pendengaran. Dia
mendekatkan matanya ke mesin pengimbas retina di butang kekunci lif.
“Pengesahan retina seratus peratus. Sila tekan butang
untuk ke pintu masuk.” Sebaik arahan tamat, butang kekunci di lif tiba-tiba
bergerak. Panel lif yang tadinya hanya memaparkan butang dari aras lantai, G
hingga ke tingkat 3, tiba-tiba menggelongsor turun. Aras-aras baru tertera di
panel lif, memaparkan butang dari aras -1 hinggalah ke -3.
Tanpa melengahkan masa dia terus menekan butang -3,
bangunan paling bawah sekali, di mana nadi agensi perisikan ini. Sebaik butang
ditekan, panel lif tambahan tadi terus naik semula ke atas, menyerlahkan panel
lif yang asal. Menakjubkan! Bagi yang pertama kali melihatnya tetapi dia sudah
lali!
APG,
Putrajaya
Jam 0857
Jade melihat jam di pergelangan tangan. Ada beberapa minit
saja lagi sebelum angka menginjak ke pukul 0900. Dia sampai lebih awal lima
minit daripada yang sepatutnya. Lima minit yang dirasakan seperti lima jam
lamanya. Dia tidak pernah rasa begini sebelum ini.
Tapi hari ini itulah yang dirasakannya. Dia memandang
lagi ke arah lif lutsinar yang sedang menggelongsor turun. Dari sofa di ruangan
menunggu itu dia sudah nampak kelibat yang ditunggu.
“Cepat kau datang? Selalunya kau datang tepat, tak
pernah tercepat atau terlambat.” Zed menyambut huluran salam Jade dengan
pertanyaan.
Jade hanya tersenyum. “Selamat datang ke dunia baru,
sahabat!” ucapnya lalu memeluk Zed dengan erat.
Hari ini
dia akan berpisah dengan Zed setelah beberapa tahun bersama. Mereka adalah
pasangan pengintip yang selalu menyelesaikan misi-misi antarabangsa. Mungkin
kerana itu, hari ini Jade berasa sedikit tidak selesa. Rakan setugas akan
dipisahkan. Mereka akan diberikan rakan setugas yang baru.
“Terima kasih kerana banyak memberi tunjuk ajar selama
ni. Insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi lepas ni.” Zed memberitahu selepas
meleraikan pelukan.
“Kau adalah rakan setugas yang terbaik pernah aku ada.”
Jade menepuk bahu Zed pula.
“Kau akan jumpa dengan rakan setugas yang lebih baik
daripada aku. Percayalah.” Zed gelak-gelak. Sedaya mungkin dia tidak mahu
episod persahabatan di dalam tugas mereka berakhir di situ.
Walaupun banyak yang dia tidak puas hati sepanjang
menjalankan misi dengan Jade, dia tahu Jade adalah sahabatnya yang terbaik.
Apabila bekerja, mereka bagaikan ada dua otak di dalam satu badan.
Walaupun otak milik Jade jarang nak berkongsi, tapi
apabila di lapangan, di tempat kejadian, gandingan mereka sangat serasi. Dia
bagaikan boleh membaca apa yang dikehendaki oleh fikiran Jade. Beberapa kali
mereka saling menyelamatkan antara satu sama lain. Mission accomplished. Apa
lagi yang hendak dikatakan?
“Jom! KP dah menanti. Nanti kita sambung borak lepas
ni.” Jade sudah menolak Zed berjalan di hadapannya.
“Eh! Jalan dululah... macam tak biasa.” Zed mengelak.
“No! No! This is your big day!” Jade
ketawa-ketawa, cuba menyembunyikan rasa duka dan sedih di hatinya. Zed itu kan apprenticenya?
Daripada tak tahu apa-apa macam bayi, Zed digilapnya hingga menjadi salah
seorang ejen yang disegani.
Mestilah Jade ada rasa campur baur di hatinya. Sedih
terpaksa berpisah. Gembira sebab sahabatnya telah dinaikkan ke jawatan penuh,
sama sepertinya. Dia bagai teringat-ingat hari pertama dia diberi ugasan
pertama dulu. Agaknya inilah perasaan yang sama dirasakan oleh rakan
setugasnya, Eye semasa berpisah dengannya.
“Kita jalan sama-sama,” ujar Zed.
Mereka menuju ke arah kanan, masuk ke dalam lif yang
tertutup. Sebaik masuk, mereka mendepakan tangan, bersedia untuk diperiksa.
“Imbasan senjata negatif.” Kedengaran suara daripada
mesin pengimbas senjata memberikan laporan sebaik mengimbas tubuh mereka. Zed
menekan butang pertama bertanda L. Lif akan membawa mereka ke satu bilik rahsia
bertemu dengan KP (Ketua Pengarah), ketua APG. Tidak lama lagi mereka akan
diberikan taklimat tugasan terkini.
Lif dibuka. Kelihatan Moon, setiausaha kepada KP sedang
menanti dengan senyuman di mejanya. Seperti biasa juga, meja Moon kemas dan
licin berkilat bagaikan kerjanya di situ hanya jadi tukang jawab telefon,
selebihnya tukang lap meja. Macamlah dia tidak membuat sebarang kerja.
“Selamat kembali Ejen Jade dan Ejen Zed. KP sedang
menanti di dalam.” Moon bangun memberi tabik hormat.
“Bunga untuk awak, Moon.” Jade menyerahkan sekuntum
mawar biru dari kocek blazernya kepada Moon.
Moon tersenyum bahagia menyambut kuntuman bunga itu lalu
menggeleng kepala.
“Awak sedikit pun tak berubah, Ejen Jade.” Moon ketawa
bahagia. Dia sudah masak sangat dengan perangai Jade yang suka menyakat wanita.
Melihat penampilan Jade, mana-mana wanita boleh dipikatnya tetapi sehingga kini
setahunya, Jade masih ‘single and available’.
“Sekeping coklat untuk menceriakan harimu.” Zed
tiba-tiba mencelah sambil menghulurkan tangannya kepada Moon.
Senyuman Moon semakin melebar. “Awak juga, Ejen Zed.
Terima kasih.” Pandangannya terarah pada Zed pula. Ejen yang seorang ini,
walaupun kelihatan sedikit pendiam tetapi dia boleh menyerap bakat playboy
Jade dengan baik.
“Jumpa lagi, Moon!” Kedua-dua ejen itu memberikan
senyuman paling mesra kepada Moon. Mereka membetulkan blazer dan masuk
ke dalam bilik KP dengan gah sekali.