22 April 2014

CINTA TOP SECRET : BAB 001


001
Pengkalan Utama (HQ), Agensi Perisikan Global (APG), Putrajaya
Jam 0843

ZED membelokkan kereta ke bangunan mewarna hijau sebaik melepasi bulatan di Presint 5. Sebaik sampai di palang keselamatan, dia menyentuh pas masuknya pada skrin pembaca kad di pintu masuk. Sambil mengangkat tangan tanda hormat ke arah pengawal keselamatan bertugas, dia terus memandu Mercedes Benz C200 miliknya menuju ke kawasan parkir pekerja.
‘Bahagian Penyelenggaraan Landskap.’ Dia membacanya di dalam hati sebaik di pintu masuk. Bangunan hijau ini masih cantik. Masih sama seperti kali terakhir dia meninggalkannya kira-kira empat bulan lepas.
Landskap tamannya yang cantik dan terjaga menunjukkan pekerja di bangunan itu menjaga kehijauan dengan baik. Satu penyamaran yang cukup berjaya. Pastilah tiada siapa menyangka di sinilah letaknya APG. Dia senyum sendiri! Terasa seronok menjadi sebahagian ‘penyamaran’ ini.              
Dia meneruskan pemanduan sebelum memberhentikan kereta sebaik tiba di hadapan palang besi mesin automatik menuju ke kawasan parkir. Dia menyentuh kad nama pada papan pengimbas. Sebaik palang dinaikkan, dia memandu ke aras bawah sekali. Rutin yang selalu dia lakukan apabila ke sini, sama juga dengan pekerja-pekerja lain di bangunan ini.
Dia mematikan enjin kereta sebaik tiba di kotak parkir yang dikhaskan untuknya. Sebelum keluar, dia memandang ke arah cermin, membetulkan tali leher. Dia tersenyum. Ini hari yang besar! Dadanya tiba-tiba berdebar. Setiap kali ke sini, dia pasti berdebar. Di sinilah dia akan melaporkan diri untuk setiap misi; bermula dan berakhir. Walau sejauh mana dia pergi, dia pasti kembali ke sini.
Dia memegang dada. Debarannya terasa lebih sedikit kali ini. Dia cuba menambahkan lebar senyuman. Menutup gugup di hati. Inilah masa yang dinanti-nantikan sebaik bersetuju terlibat dalam arena ini.
Setelah yakin, dia keluar menuju ke arah pintu lif. Matanya membelingas ke kiri kanan, memastikan dia sendirian di dalam lif. Dia menekan beberapa kod yang sudah dihafal pada butang kekunci.
“Selamat datang ke HQ, Mr. Zed! Sila aktifkan imbasan retina.” Suara perempuan berkomputer kedengaran jelas di pendengaran. Dia mendekatkan matanya ke mesin pengimbas retina di butang kekunci lif.
“Pengesahan retina seratus peratus. Sila tekan butang untuk ke pintu masuk.” Sebaik arahan tamat, butang kekunci di lif tiba-tiba bergerak. Panel lif yang tadinya hanya memaparkan butang dari aras lantai, G hingga ke tingkat 3, tiba-tiba menggelongsor turun. Aras-aras baru tertera di panel lif, memaparkan butang dari aras -1 hinggalah ke -3.
Tanpa melengahkan masa dia terus menekan butang -3, bangunan paling bawah sekali, di mana nadi agensi perisikan ini. Sebaik butang ditekan, panel lif tambahan tadi terus naik semula ke atas, menyerlahkan panel lif yang asal. Menakjubkan! Bagi yang pertama kali melihatnya tetapi dia sudah lali!

APG, Putrajaya
Jam 0857

Jade melihat jam di pergelangan tangan. Ada beberapa minit saja lagi sebelum angka menginjak ke pukul 0900. Dia sampai lebih awal lima minit daripada yang sepatutnya. Lima minit yang dirasakan seperti lima jam lamanya. Dia tidak pernah rasa begini sebelum ini.
Tapi hari ini itulah yang dirasakannya. Dia memandang lagi ke arah lif lutsinar yang sedang menggelongsor turun. Dari sofa di ruangan menunggu itu dia sudah nampak kelibat yang ditunggu.
“Cepat kau datang? Selalunya kau datang tepat, tak pernah tercepat atau terlambat.” Zed menyambut huluran salam Jade dengan pertanyaan.
Jade hanya tersenyum. “Selamat datang ke dunia baru, sahabat!” ucapnya lalu memeluk Zed dengan erat.
Hari ini dia akan berpisah dengan Zed setelah beberapa tahun bersama. Mereka adalah pasangan pengintip yang selalu menyelesaikan misi-misi antarabangsa. Mungkin kerana itu, hari ini Jade berasa sedikit tidak selesa. Rakan setugas akan dipisahkan. Mereka akan diberikan rakan setugas yang baru.
“Terima kasih kerana banyak memberi tunjuk ajar selama ni. Insya-ALLAH kita akan berjumpa lagi lepas ni.” Zed memberitahu selepas meleraikan pelukan.
“Kau adalah rakan setugas yang terbaik pernah aku ada.” Jade menepuk bahu Zed pula.
“Kau akan jumpa dengan rakan setugas yang lebih baik daripada aku. Percayalah.” Zed gelak-gelak. Sedaya mungkin dia tidak mahu episod persahabatan di dalam tugas mereka berakhir di situ.
Walaupun banyak yang dia tidak puas hati sepanjang menjalankan misi dengan Jade, dia tahu Jade adalah sahabatnya yang terbaik. Apabila bekerja, mereka bagaikan ada dua otak di dalam satu badan.
Walaupun otak milik Jade jarang nak berkongsi, tapi apabila di lapangan, di tempat kejadian, gandingan mereka sangat serasi. Dia bagaikan boleh membaca apa yang dikehendaki oleh fikiran Jade. Beberapa kali mereka saling menyelamatkan antara satu sama lain. Mission accomplished. Apa lagi yang hendak dikatakan?
“Jom! KP dah menanti. Nanti kita sambung borak lepas ni.” Jade sudah menolak Zed berjalan di hadapannya.
“Eh! Jalan dululah... macam tak biasa.” Zed mengelak.
No! No! This is your big day!” Jade ketawa-ketawa, cuba menyembunyikan rasa duka dan sedih di hatinya. Zed itu kan apprenticenya? Daripada tak tahu apa-apa macam bayi, Zed digilapnya hingga menjadi salah seorang ejen yang disegani.
Mestilah Jade ada rasa campur baur di hatinya. Sedih terpaksa berpisah. Gembira sebab sahabatnya telah dinaikkan ke jawatan penuh, sama sepertinya. Dia bagai teringat-ingat hari pertama dia diberi ugasan pertama dulu. Agaknya inilah perasaan yang sama dirasakan oleh rakan setugasnya, Eye semasa berpisah dengannya.
“Kita jalan sama-sama,” ujar Zed.
Mereka menuju ke arah kanan, masuk ke dalam lif yang tertutup. Sebaik masuk, mereka mendepakan tangan, bersedia untuk diperiksa.
“Imbasan senjata negatif.” Kedengaran suara daripada mesin pengimbas senjata memberikan laporan sebaik mengimbas tubuh mereka. Zed menekan butang pertama bertanda L. Lif akan membawa mereka ke satu bilik rahsia bertemu dengan KP (Ketua Pengarah), ketua APG. Tidak lama lagi mereka akan diberikan taklimat tugasan terkini.
Lif dibuka. Kelihatan Moon, setiausaha kepada KP sedang menanti dengan senyuman di mejanya. Seperti biasa juga, meja Moon kemas dan licin berkilat bagaikan kerjanya di situ hanya jadi tukang jawab telefon, selebihnya tukang lap meja. Macamlah dia tidak membuat sebarang kerja.
“Selamat kembali Ejen Jade dan Ejen Zed. KP sedang menanti di dalam.” Moon bangun memberi tabik hormat.
“Bunga untuk awak, Moon.” Jade menyerahkan sekuntum mawar biru dari kocek blazernya kepada Moon.
Moon tersenyum bahagia menyambut kuntuman bunga itu lalu menggeleng kepala.
“Awak sedikit pun tak berubah, Ejen Jade.” Moon ketawa bahagia. Dia sudah masak sangat dengan perangai Jade yang suka menyakat wanita. Melihat penampilan Jade, mana-mana wanita boleh dipikatnya tetapi sehingga kini setahunya, Jade masih ‘single and available’.
“Sekeping coklat untuk menceriakan harimu.” Zed tiba-tiba mencelah sambil menghulurkan tangannya kepada Moon.
Senyuman Moon semakin melebar. “Awak juga, Ejen Zed. Terima kasih.” Pandangannya terarah pada Zed pula. Ejen yang seorang ini, walaupun kelihatan sedikit pendiam tetapi dia boleh menyerap bakat playboy Jade dengan baik.
“Jumpa lagi, Moon!” Kedua-dua ejen itu memberikan senyuman paling mesra kepada Moon. Mereka membetulkan blazer dan masuk ke dalam bilik KP dengan gah sekali.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...